You are on page 1of 4

Apa Itu Pentaksiran Bilik Darjah PBD

Sekiranya anda seorang guru, pasti anda pernah mendengar PBD, iaitu singkatan daripada
Pentaksiran Bilik Darjah.

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi
pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan,
kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif, sebagai
pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.

Pentaksiran Sekolah telah dikenali sebagai Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) mulai hujung
tahun 2016.

PBD mengekalkan semua konsep Pentaksiran Sekolah dan melibatkan penentuan tahap
penguasaan murid dalam setiap mata pelajaran.

Tahap penguasaan ini dinyatakan dalam Standard Prestasi seperti terdapat dalam Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) semua mata pelajaran di bawah Kurikulum
Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR),
Kurikulum Standard Kelas Peralihan (KSPK) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah
(KSSM).

Selain daripada Standard Prestasi, Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran juga
dirujuk dalam pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah.
Maksud PBD

Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan proses yang berterusan dalam sesi PdP bagi
mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan penguasaan murid
terhadap matlamat kurikulum yang dihasratkan.

PBD melibatkan proses mengumpul dan menganalisis maklumat serta membuat refleksi yang
berterusan terhadap PdP dalam membuat pertimbangan secara konsisten ke arah menambah
baik PdP tersebut.

Pelaksanaan PBD yang betul akan memberi gambaran yang jelas tentang penguasaan murid
terhadap Standard Pembelajaran yang ditetapkan dalam kurikulum.

Semua maklumat yang diperoleh dari pentaksiran bukanlah bertujuan untuk perbandingan
atau persaingan antara murid.

Sebaliknya maklumat tersebut hendaklah digunakan untuk membantu pihak sekolah dan ibu
bapa untuk merancang tindakan susulan ke arah menambah baik penguasaan dan pencapaian
murid dalam pembelajaran.

Objektif PBD

PBD dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran tentang kemajuan pembelajaran murid di


samping memberi maklum balas tentang pengajaran guru.
Melalui PBD, guru dapat:

 mengesan pengetahuan sedia ada murid


 mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
 mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam
 pembelajaran dari semasa ke semasa
 mengetahui keberkesanan PdP
 merancang, mengubah suai dan menambah baik kaedah PdP
 menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta.

Melalui PBD, murid dapat:

 mengesan perkembangan diri


 mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran
 meningkatkan pencapaian pembelajaran
Aspek Yang Ditaksir

Pelbagai aspek boleh ditaksir melalui PBD yang meliputi pelbagai kecerdasan serta
perkembangan emosi dan sahsiah murid. Aspek yang ditaksir ini termasuklah aspek nilai dan
kompetensi yang diperlukan dalam dunia hari ini, di samping perkembangan kognitif, afektif
dan psikomotor seperti dinyatakan dalam DSKP setiap mata pelajaran.
Contoh aspek yang ditaksir ialah:

 Pengetahuan
 Kemahiran berfikir
 Kemahiran berbahasa
 Kemahiran mengira
 Kemahiran belajar
 Kemahiran bersosial
 Kemahiran manipulatif
 Kemahiran amali
 Kemahiran kinestatik
 Kreativiti
 Kesihatan dan kecergasan
 Amalan nilai murni
 Sikap

Templat Pelaporan PBD

Templat pelaporan ini disediakan dalam fail Microsoft Excel dan digunakan oleh guru secara
luar talian. 

Templat pelaporan PBD terdiri daripada lima halaman (sheet tab) iaitu Panduan, Rekod
Prestasi Murid, Laporan Murid (Individu), Data Pernyataan Tahap Penguasaan dan Graf
Pelaporan.

Laporan ini boleh dicetak dan diedarkan kepada murid dan ibu bapa bagi memaklumkan
tahap penguasaan murid dalam sesuatu mata pelajaran. Laporan ini membolehkan guru,
murid dan ibu bapa mengambil tindakan susulan yang sewajarnya bagi menambah baik PdP.

Template Pelaporan PBD ini boleh dimuat turun di laman web rasmi BPK.

Diharap maklumat ini dapat membantu rakan-rakan guru khususnya dalam memahami
maksud sebenar PBD, dan kaedah pelaksanaannya di sekolah.

You might also like