You are on page 1of 29

2.

0 KONSEP KARYA AGUNG MELAYU

Karya agung merupakan salah satu hasil peninggalan masyarakat Melayu dahulu. Hal ini

demikian kerana, karya agung merujuk hasil ciptaan seni yang mengandungi coretan dan

pemikiran penulis yang kreatif dan mempunyai daya cipta yang tinggi. Selain itu, penulis

karya terdiri daripada golongan masyarakat yang mahir dalam bidang penulisan. Penulis

akan menggarap pelbagai hasil tulisan dan cerita-cerita dengan menyelitkan pengalaman

hidup, unsur-unsur keindahan dan pelbagai gambaran seperti idealisme, nilai, pandangan

hidup, adat budi, kesedaran moral, nilai keintelektualan dan sebagainya di dalam hasil

karya yang dihasilkan. Hasil ciptaan hadir dalam bentuk hikayat- hikayat, kitab undang-

undang, surat-surat rasmi, dan sebagainya.

Selain itu, penghasilan karya agung Melayu telah mencerminkan keindahan bahasa

dan garapan idea yang bernas oleh penulis terdahulu. Hal ini demikian kerana, menurut

Andri Wicaksono (2014:3), sesebuah karya dicipta pengarang untuk dinikmati, dihayati, dan

dimanfaatkan bagi khalayak (pembaca). Oleh sebab itu, garapan idea penulis sudah tentu

menyelitkan sesuatu yang bernilai dan berguna kepada pembaca sama ada dalam bentuk

nasihat, pandangan dan falsafah atau sindiran dan kritikan.

Oleh sebab itu, karya agung Melayu menjadi satu wadah kepada penulis untuk

menyampaikan sesuatu kepada pembaca. Oleh itu, karya agung Melayu seperti Hikayat

Hang Tuah, Hikayat Abdullah, Kitab Undang-undang, dan sebagainya mengandungi ciri-ciri

tertentu yang telah menjadikan karya-karya tersebut bernilai dan diangkat menjadi karya

terunggul dalam alam Melayu.

3.0 LATAR BELAKANG PENULIS


Hikayat Abdullah ditulis oleh Abdullah Munsyi. Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin

Abdul Kadir. Beliau dilahirkan pada 7 Safar tahun 1796 di Kampung Masjid yang juga

dikenali sebagai Kampung Pali. Abdullah mempunyai lima orang adik-beradik tetapi

keempat-empat abangnya telah meninggal dunia ketika masih kecil, berusia antara satu

hingga tiga tahun. Abdullah dilahirkan dan diberi nama Abdullah bersempena dengan nama

seorang guru iaitu Habib Abdullah Hadad. Asal usul keturunan Abdullah ialah dari Arab

Yaman dan berbangsa Uthmani. Syeikh Abdul Kadir merupakan moyang kepada Abdullah,

Muhammad Ibrahim nama datuknya dan ayahnya pula bernama Abdul Kadir, diambil

sempena nama moyang Abdullah sendiri.

Antara bahasa yang dikuasai oleh Abdullah ialah bahasa Melayu, bahasa Tamil, bahasa

Arab, dan bahasa Inggeris. Abdullah telah menerima gelaran “munsyi” yang bermaksud

guru ketika berumur 11 tahun kerana kepintarannya dan mempunyai banyak ilmu. Beliau

juga telah menjadi guru dan mengajar agama kepada askar Islam di Melaka. Panggilan

“munsyi” digunakan oleh Abdullah di hujung namanya dan gelaran tersebut menjadi

sebahagian daripada nama penuh beliau sehingga kini.

Abdullah meninggal dunia pada tahun 1854 ketika berusia 58 tahun semasa dalam

perjalanan ke Mekah. Ketika itu, beliau ingin menunaikan fardhu haji pada 19 Januari 1854.

Sepanjang perjalanan itu, Abdullah mencatat pengalamannya tetapi terhenti apabila beliau

meninggal dunia semasa berada di Mekah. Hasil tulisan Abdullah itu tetap dicetak

walaupun tidak dapat disiapkan dengan diberi tajuk “Kisah pelayaran Abdullah ke Jeddah”.

4.0 SINOPSIS HIKAYAT ABDULLAH

Di dalam hikayat Abdullah terdapat 29 bab kesemuanya. Antara tajuk bagi bab-bab

tersebut ialah ‘Hikayat Abdullah’, ‘Peri Abdullah Diperanakkan’, ‘Permulaan Belajar

Mengaji’, ‘Darihal Kota Melaka’, ‘Darihal Raja Farquhar’, ‘Darihal Tuan Raffles’, ‘Darihal Lord
Minto’, ‘Darihal Tengku Panglima Besar’, ‘Anglo College’, ‘Darihal Kernel Farquhar Pergi

Mencari Tempat Hendak Membuat Negeri’, ‘Darihal Negeri Singapura’, ‘Darihal Holanda

Dalam Melaka’, ‘Darihal Tengku Long’, ‘Darihal Kernel Farquhar Kena Tikam’, ‘Darihal

Tempat Belajar Tuan Raffles’, ‘Darihal Surat Raja Siam’, ‘Darihal Tuan Raffles Membuat

Undang-Undang Negeri Singapura, Adanya’, ‘Darihal Tuan Raffles Hendak Pulang’, ‘Darihal

Kernel Farquhar Hendak Pulang’, ‘Darihal Doctor Mengubati Penyakit Pasang-Pasangan’,

‘Darihal T’ien Ti Hui Dalam Negeri Singapura’, ‘Darihal Tuan Crawfurd Dengan Sultan Husin

Syah Negeri Singapura’, ‘Darihal Chapel Atau Tempat Sembahyang Orang Putih Di Melaka’,

‘Ini Salasilah Asal Penghulu Naning’, ‘Darihal Sultan Husin Syah Singapura’, ‘Darihal Gereja

Inggeris Di Singapura’, ‘Darihal Tuan Gabenor Butterworth’ dan berakhir dengan bab

‘Penutup’.

Secara keseluruhannya, hikayat ini merupakan suatu penceritaan yang menggambarkan

kehidupan penulis dan penduduk negeri Melaka serta peristiwa harian terutamanya yang

berkaitan dengan perhubungan dan pengalaman Abdullah sendiri dengan orang-orang

Inggeris, iaitu para pegawai Inggeris yang bekerja di dalam atau di luar kerajaan, penduduk

tempatan dan pemerintah. Abdullah juga telah menurunkan pemikiran dan falsafah beliau

terhadap bahasa Melayu, sikap orang Melayu, kepandaian dan teknologi orang Eropah, dan

sistem pemerintahan Inggeris yang berteraskan undang-undang bertulis, keadilan,

bersistem serta teratur. Hikayat ini juga cuba memaparkan sejarah sosial pada zaman

Abdullah Munsyi semasa tinggal di Melaka.

5.0 ISI ATAU MESEJ

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), mesej bermaksud pesanan (berita, kata-kata

singkat) yang hendak disampaikan kepada seseorang atau sesuatu (gagasan, pengajaran)
yang hendak disampaikan dalam sesuatu karya. Terdapat beberapa isi dan mesej yang

terdapat dalam hikayat ini, iaitu :

5.1 Kehidupan Abdullah

Dalam hikayat ini, Abdullah telah menceritakan asal usul keturunannya bermula daripada

moyangnya, iaitu Syeikh Abdul Kadir yang berasal dari keturunan Arab, Yaman dan

berbangsa Uthmani. Datuknya bernama Muhammad Ibrahim dan ayahnya pula bernama

Abdul Kadir, diambil sempena nama moyang Abdullah sendiri. Antara bahasa yang dikuasai

oleh Abdullah ialah bahasa Melayu, bahasa Tamil, bahasa Arab, dan bahasa Inggeris.

Abdullah telah menerima gelaran “munsyi” yang bermaksud guru ketika berumur 11 tahun

kerana kepintarannya dan mempunyai banyak ilmu.

Kisah Abdullah sejak kecil terdapat dalam hikayat ini iaitu sejak dilahirkan, diajar

mengaji oleh neneknya, dididik oleh bapanya dan sehingga beliau menjadi seorang yang

berjaya. Contoh peristiwa, boleh dilihat di bawah:

“Maka pada suatu hari apabila dilihat oleh nenekku rupa conteng-conteng itu hampir

serupa huruf, maka baharulah dituliskannya pengajiankku dalam suatu loh kecil, disuruhnya

mengaji”.

(Hikayat Abdullah, 2007: 18)

5.2 Perjanjian Antara Inggeris dengan Melayu

Selain itu, terdapat juga peristiwa berkaitan perjanjian antara Kompeni Inggeris dengan

Tengku Long untuk mendapatkan Singapura. Raja Farquhar telah berhasrat untuk membuka
sebuah negeri, maka suatu perjanjian telah meterai antara beliau dengan Temenggung.

Contohnya:

“ ini surat tanda [h] suka Temenggong bersahabat dengan Kompeni Inggeris serta dengan

suka redhanya, jikalau ada yang suka Tengku Long memberikan Pulau Singapura ini kepada

Kompeni Inggeris, iaitu kepada Tuan Raffles dan Tuan Farquhar akan diperbuat mereka itu

negeri”

(Hikayat Abdullah, 2007: 144)

5.3 Mengandungi Nilai-Nilai Murni

Dalam hikayat ini juga ada diselitkan unsur-unsur nasihat dan nilai yang baik yang boleh di

ambil iktibar oleh pembaca. Sebagai contoh, dalam hikayat ini menasihati anak-anak supaya

jangan menderhaka kepada ibu bapa. Contoh:

Nasihat: Dengarkan olehmu, hai sekalian anak yang berbudi dan yang berbahagia, bahawa

demikianlah besarnya kebajikan ibu bapa itu akan anaknya. Adakah patut kita derhaka akan

dia dan tiada kita menurut perintahnya dan kita memecahkan hatinya dan kita

mengeluarkan air matanya?...

(Hikayat Abdullah, 2007: 14)

Abdullah sangat patuh kepada ibu, bapa dan neneknya. Segala yang diperintahkan

oleh mereka akan ditunaikan oleh Abdullah walaupun sebenarnya beliau tidak suka

melakukan perkara yang diarahkan itu. Sebagai contoh:


“Inilah engkau buat main-main sehari-hari. Jikalau engkau bermain tanah atau pergi main

panas, aku pukul”. Maka takutlah aku pergi ke mana-mana, melainkan duduklah aku

menconteng-conteng papan itu dengan dakwat”.

(Hikayat Abdullah, 2007: 17)

6.0 PEGANGAN HIDUP

Menurut Aim Abdul Karim, (2006:93) pegangan hidup merupakan sebuah konsep seseorang

atau sekelompok masyarakat yang menanggapi dan menerangkan segala masalah yang

terjadi. Pegangan hidup juga merupakan komponen budaya hidup yang cenderung untuk

mengalami perubahan seiring dengan perubahan hidup konsep masyarakat. Oleh itu,

pegangan hidup yang diterangkan oleh Abdullah dalam hikayat beliau menunjukkan

pegangan hidup yang diamalkan oleh masyarakat Melayu ketika zaman secara langsung

mahupun tidak langsung. Antara pegangan hidup tersebut seperti berikut :

6.1 Sikap Tidak Membangga Diri

Pandangan hidup yang boleh dilihat di dalam hikayat Abdullah ini ialah sifat tidak mahu

membangga diri. Bapa Abdullah iaitu Syeikh Abdul Kadir tidak pernah memuji Abdullah

dalam apa jua yang dilakukan oleh beliau. Walaupun orang ramai memuji Abdullah, tetapi

bapanya tidak pernah walaupun sekali memujinya. Hal ini kerana, bapanya tidak mahu,

Abdullah lupa dan bangga diri apabila dipuji. Contohnya:

“Ada suatu kitab bahasa Melayu dengan bahasa Arab, terlalu bagus. Salinlah itu kitab.”

Maka itu pun kusalinlah. Ada beberapa lamanya maka sudahlah kitab itu. Maka dilihat oleh

orang lain akan tulisannya kitab itu, semua orang mengatalkan baik, tetapi bapaku sahaja

mengeji-ngeji aku dengan tiada berkeputusan. Katanya, “Lihat rupa tulisanmu, seperti cakar
ayam, membuang-buang kertas! Budak-budak kecil pun boleh menulis demikian! Semuanya

disalahkannya, suatu pun tiada yang baik. Maka sekaranglah baharu kuketahui bahawa akal

bapaku itu tiada ia mahu memuji kebajikanku atau tulisanku sebab ia takut menjadi besar

hatiku, serta congkak oleh sebab kepandaian dan ilmu itu”.

(Hikayat Abdullah, 2007: 30)

6.2 Semua Bangsa Dianggap Bersaudara

Buktinya dapat dilihat apabila teks ini menggambarkan hubungan antara Tuan Milne

dengan Abdullah. Mereka saling belajar mengenai bahasa lain. Buktinya dapat dilihat

seperti tersebut;

“Kita bapa ini?” Maka jawabnya, “Kitab Injil.” Lalu katanya, “Ambillah tuan satu, pergi

baca,” Maka akuambil serta memberi terima kasih. Kemudian kataku, “Tuan, sahaya terlalu

suka hendak belajar baca Inggeris,”. Maka jawabnya, “Baiklah. Sahaya boleh ajar. Akan

tetapi, ajar sama sahaya baca Melayu.” Maka jawabku, “Baiklah, tuan. Nanti esok sahaya

datang, tuan.”

(Hikayat Abdullah, 2007:100)

6.3 Mempercayai Sumpah Dan Ikrar

Sumpah dan ikrar merupakan satu perjanjian yang dilakukan untuk sesuatu perkara.

Lazimnya, terdapat lafaz-lafaz tertentu yang digunakan ketika melafazkan sumpah. Merujuk

Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi telah mempamerkan pandangan hidup masyarakat

Melayu Melaka pada zaman tersebut yang berpegang teguh kepada sumpah dan ikrar yang

dilakukan sehingga mereka takut untuk melanggar sumpah atau ikrar itu.
Hal ini disulitkan lagi dengan mengangkat Al-Quran sebagai cagaran kepada sumpah

mereka. Oleh sebab itu, sumpah yang telah dilafazkan tidak akan dilanggar sewenang-

wenangnya. Berikut merupakan keratan petikan dalam hikayat tersebut yang

melambangkan pandangan hidup seumpama itu:

“…‘kalau mahu betul-betul, semuanya orang aku mahu bersumpah , yang tiada boleh sekali-

kali membukakan rahsia ini. Jika barang siapa tiada mahu turut, katalah’. Maka jawab

sahaya, ‘yang mana Tengku suruhkan, itulah sahaya buat’. Maka dikeluarkan Qur’an,

dipanggilnya sahaya dahulu disuruhnya bersumpah”

(Hikayat Abdullah, 2007: 93)

Berdasarkan keratan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah mempamerkan satu

peristiwa perjanjian sumpah yang dilakukan oleh Pangeran kepada Tengku Panglima Besar

supaya dia tidak memecahkan rahsia kebohongan Tengku Panglima Besar kepada Tuan

Raffles. Tengku Panglima Besar telah menggunakan Al-Quran sebagai cagaran sumpah

tersebut sehingga Pangeran takut dan berasa bersalah untuk melanggar sumpah yang telah

dibuat.

6.4 Penerimaan Rakyat Terhadap Sistem Beraja

Dalam susun lapis masyarakat Melayu terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan yang

memerintah dan golongan yang diperintah. Golongan yang memerintah merujuk kepada

raja dan bangsawan manakala golongan yang diperintah merujuk kepada rakyat jelata dan

hamba. Dalam susun lapis masyarakat Melayu ini, golongan raja merupakan autoriti atau

pemerintah tertinggi dalam pentadbiran dalam strata sosial masyarakat Melayu.


Kedudukan raja ini akan dikuatkan dengan konsep daulat dan penentangan terhadap

rakyat dianggap menderhaka dan akan menerima kesusahan. Dalam hikayat ini, Abdullah

menceritakan penerimaan rakyat terhadap sistem beraja. Abdullah mengkritik rakyat

Melayu yang terikat dengan perintah yang diberikan oleh orang atasan. Hal ini kerana,

rakyat Melayu dilihat terikat dengan pelbagai peraturan dan pantang larang.

“Bermula ada pun segala rakyat yang ada di bawah perintah Melayu itu tiadalah boleh

angkat kepala dan tiada boleh bersuka hati sendirinya dan tiada boleh berani mengadakan

barang suatu perkara-perkara yang besar sebab sekaliannya ada berlarang dan pantang

daripada raja. Hendak membuat rumah batu atau rumah bagus-bagus, takut. Dan membuat

perahu yang bagus dibubuh air mas dan sebagainya, takut.”

(Hikayat Abdullah, 2007:347)

7.0 NILAI BUDAYA

Budaya berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘budayyah’ yang merupakan kata jamak bagi

perkataan ’buddhi’ yang membawa maksud budi pekerti atau akal (Mohd Rashid Hj. Mohd

Idris et. al, 2014:125). Oleh itu, nilai budaya ini akan membincangkan hal-hal berkaitan

dengan budi dan akal manusia. Dalam bahasa Inggeris, budaya disebut sebagai ’culture’

yang berasal daripada perkataan Latin, iaitu ‘colore’ yang bermaksud menanam atau

mengerjakan.

Budaya mempunyai hubungan yang erat dengan masyarakat. Segala sesuatu yang

terdapat dalam sesebuah masyarakat mempunyai hubung kait atau boleh ditentukan oleh

kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri. Di samping itu, budaya juga adalah

sesuatu yang diwarisi dan konsep ini disebut sebagai organik lampau. Oleh itu, budaya

dapat disimpulkan sebagai keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan
pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk

kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat.

7.1 Mempercayai Kehebatan Pawang

Pawang atau dikenali sebagai bomoh atau dukun sering kali menjadi orang yang dirujuk

apabila berlaku sesuatu yang berkaitan dengan alam ghaib atau tahyul. Selain itu, pawang

juga dirujuk sebagai ahli perubatan tradisional yang sering menggunakan tumbuh-

tumbuhan atau haiwan semasa proses berubat.

Merujuk Hikayat Abdullah, penulis telah mencerminkan nilai budaya yang diamalkan

oleh masyarakat pada zaman tersebut. Hal ini kerana, Abdullah Munsyi ada menceritakan

perihal kepercayaan masyarakat Melayu Melaka pada zaman tersebut yang begitu percaya

kepada kehebatan pawang. Hal ini dapat dilihat pada keratan petikan seperti berikut:

“… dan lagi, kebanyakan orang-orang Melayu dan Cina dan lainnya percaya, katanya,

“Pawang itu terlalu pandai hikmah gajah.” Dan lagi, banyak-banyak doa dibacakannya

sampai gajah di hutan semuanya takut akan ia, istimewa manusia. Maka sebab itu maka

serba bangsa pun ada meminta ubat-ubat dan hikmat-hikmat dan tangkal-tangkal

kepadanya.”

( Hikayat Abdullah, 2007: 75)

Berdasarkan keratan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah menggarapkan jalan

cerita yang mempamerkan nilai budaya masyarakat pada zaman itu yang mempercayai

kehebatan pawang sehingga mereka meletakkan kepercayaan penuh terhadap pawang

tersebut. Namun begitu, Abdullah Munsyi telah menyelar tindakan dan kepercayaan
masyarakat tersebut dengan mengatakan mereka telah ditipu dan diperbodohkan oleh

pawang tersebut.

7.2 Mempercayai Benda Karut-Marut

Kepercayaan ini dipercayai oleh orang Cina dan Melayu sejak turun-temurun lagi.

Contohnya, hantu, syaitan, polong, pontianak, jin, pelesit, mambang, raksasa, nenek

kebayan dan sebagainya. Selain itu, ilmu gagah dan penunduk, pengasih, kebal, perangsang

dan sebagainya turut dipercayai oleh mereka. Kenyataan ini jelas dilihat dalam Hikayat

Abdullah yang berbunyi:

“Maka kepada suatu hari datanglah perempuan Cina itu kepada isteri Tuan Milne, katanya,

“semalam anak sahaya di rumah kena rasuk pontianak dan polong, hampir mati.” Maka

isteri Tuan Milne itu tiada mengerti akan perkataan pontianak dan polong itu. Maka

beberapa jenis dinyatakan oleh perempuan Cina itu dengan tangannya dan mulutnya, tiada

juga ia mengerti.”

(Hikayat Abdullah, 2007: 110)

7.3 Pemakaian Pakaian Melambangkan Melayu

Bangga dengan pakaian Melayu juga merupakan nilai budaya yang terdapat dalam hikayat

Abdullah. Dalam hikayat ini ada menyatakan bahawa Dato’ Sulaiman dan Dato’ Astur

sentiasa memakai pakaian Melayu dan tidak mahu mengubah gaya penampilan mereka.

Contohnya:
“Adalah pada masa kudapati akan dia itu, kira-kira umur Dato’ Sulaiman itu lebih kurang

daripada delapan atau sembilan puluh tahun. Maka itulah orang asal berasal Melayu,

lagipun ia itu orang yang berpengetahuan dan bangsawan. Dan lagi ada seorang, Dato’

Astur namanya, sama tuanya, dengan tiada mereka mau mengubah pakaian asal Melayu

sampai matinya, iaitu berdestar dan berbaju tekua dan berkain kembang, adanya.

(Hikayat Abdullah, 2007: 37)

7.4 Menyayangi Pemimpin

Hikayat Abdullah mempunyai banyak cerita yang menerapkan unsur nilai budaya, iaitu

menyayangi pemimpin. Nilai ini penting dalam kehidupan masyarakat Melayu dahulu yang

mengamalkannya antara anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, umur mahupun

agama. Abdullah telah menghuraikan nilai kasih sayang tersebut dalam diri penduduk

Singapura secara langsung terhadap pemimpin mereka.

Beliau menyatakan bahawa penduduk Singapura tanpa mengira bangsa sangat

menghormati Tuan Farguhar (Tuan Raffles) kerana nilai budi bahasanya yang tinggi.

Penduduk Singapura berasa sangat sedih untuk melepaskan Tuan Raffles pulang ke Eropah.

Abdullah menceritakan perasaan penduduk semasa Tuan Farguhar ingin belayar pulang ke

Eropah:

“Lalu naiklah ia ke kapal. Maka segala perahu itu pun berhimpunlah di kapal. maka orang

yang menghantar itu pun masing-masing naiklah memberi tabik…mereka itu dan mengajar

mereka itu dengan berbagi-bagai perkataan. maka adalah kelakuannya kepada segala

orang-orang itu seperti anak dengan bapa. Demikianlah sehingga menangislah masing-

masing...”.

(Hikayat Abdullah, 2007:212)

8.0 NILAI ILMU


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010: 1081), nilai merupakan darjat, kualiti, mutu,

taraf dan sifat ketinggian yang merangkumi pemikiran, agama dan kemasyarakatan. Nilai

juga merupakan segala perbuatan, perlakuan atau tindakan yang bermutu, bertaraf atau

elok yang harus dijadikan contoh dan teladan (Nik Hasan Basri Nik Ab. Kadir, 2007: 148).

Mohd Rashid Md Idris pula (2011:12) mentakrifkan nilai dalam bidang sains sosial kepada

tiga konteks utama iaitu sebagai sifat (attribute), ‘al-qimah’ (harga yang ditetapkan dan

diletakkan pada sesuatu) dan aksiologi yang mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai.

8.1 Ilmu Perubatan

Abdullah telah menghidapi penyakit pasang-pasangan yang seakan-akan penyakit bisul di

kelangkang beliau sehingga menyebabkan beliau tidak dapat berjalan dengan selesa.

Penyakit itu telah menular dan menjadi serius apabila hampir keseluruhan penduduk mula

dijangkiti penyakit tersebut. Setelah Abdullah memaklumkan hal tersebut kepada Tuan

Morgan, beliau diminta untuk menemui seorang doktor (tiada dinyatakan namanya).

Doktor tersebut telah merawat penyakit pasang-pasangan itu dengan cara menikam

kawasan bengkak pada kelangkang Abdullah dan mengeluarkan air bisanya. Proses

perubatan tersebut dapat dilihat berdasarkan berikut :

“Maka kulihat diletakkannya pisau itu dengan perlahan, rasanya seperti digigit semut.

Kemudian diputarnya sekurup pisau itu. Maka mata pisau itu pun tenggelamlah di dalam.

Maka terpancarlah airnya keluar. Maka oleh doktor itu diberinya satu pasu akan

menadahkan air itu. Maka adalah lamanya air itu memancar sekira-kiranya suku jam…maka

diambilnya kapas dicelupkannya ubat dibubuhnya. Maka penyakit itu pun pulanglah seperti

sedia kala.”

(Hikayat Abdullah , 2007:217-218)


8.2 Masyarakat Yang Berkemahiran Dalam Penulisan Karya

Teknik serta kemahiran menulis sesuatu karya sama ada dalam bentuk hikayat, surat, kitab,

syair, dan sebagainya bukan dimiliki oleh semua orang. Hal ini kerana, kemahiran ini

memerlukan bakat yang meliputi kreativiti serta pengalaman yang luas. Hal ini penting bagi

mencipta satu karya yang baik dan indah. Merujuk Hikayat Abdullah, penulis telah

mempamerkan satu nilai ilmu yang dimiliki oleh masyarakat Melayu Melaka pada zaman

tersebut, iaitu kemahiran menulis karya-karya seperti hikayat, syair, kita, surat-surat rasmi,

dan sebagainya. Berikut merupakan keratan petikan yang menggambarkan nilai ilmu yang

dimiliki oleh masyarakat pada zaman tersebut:

“Maka adapun perkara yang ditulis itu berbagai-bagai-bagai: ada yang menyalin hikayat,

ada yang menulis surat kiriman, ada yang menulis darihal jalan-jalan bahasa Melayu dan

syair dan sebagainya. Maka adalah masing-masing dengan pekerjaannya”.

( Hikayat Abdullah, 2007: 63)

Berdasarkan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah memaparkan nilai ilmu yang

dimiliki oleh golongan masyarakat pada masa itu. Kebanyakan masyarakat mahir dalam

penulisan karya-karya klasik ini dan secara tidak langsung telah menggambarkan keupayaan

mereka mengenal huruf-huruf.

8.3 Ilmu Firasat

Maksud Firasat dari segi Islam ialah perasaan atau gerakan hati yang benar atau tepat

kerana mendapat pimpinan dari Allah SWT. Dari segi istilah, ilmu firasat ialah pengetahuan

mengenai tanda-tanda pada muka dan anggota badan untuk mengetahui kelakuan atau

nasib orang (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010). Berikut merupakan contoh petikan yang

mengandungi ilmu firasat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dalam hikayat :
"Jikalau diusiknya sahaja kota ini, nescaya banyaklah orang mati, karena ada beberapa

banyak jin syaitan dalam kota itu."

(Hikayat Abdullah,2007 : 41)

“Maka sebab sangka itu menjadi banyaklah orang bermimpi berjenis-jenis dan yang ada

konon ditampar syaitan, muntah-muntah darah lalu mati, dan yang sakit berjenis-jenis

penyakit”.

(Hikayat Abdullah, 2007: 45)

8.4 Ilmu Perdukunan

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), dukun ialah orang yang mengubat orang

sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional dengan menggunakan bacaan jampi

serapah dan sebagainya. Definisi ilmu perdukunan pula ialah yang mengenai atau berkaitan

dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun, di

rantau sebelah sini, gejala dan kegiatan perbomohan atau sudah menjadi rempah dalam

kehidupan. Antara contoh petikan yang terdapat dalam hikayat tentang ilmu perdukunan

ialah :

“Syahadan, maka adalah pada masa itu, dalam Melaka datang seorang, iaitu datang dari

Terengganu, bernama Pawang Gajah. Maka asalnya ia orang Kedah yang tau pada ilmu

gajah dan berbagai-bagai ubatan”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 51)


“Maka sebab itu maka serba bangsa pun ada meminta ubat-ubatan dan hikmat-hikmat dan

tangkal-tangkal kepadanya”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 55)

8.5 Nilai Menuntut Ilmu (Kerajinan)

Nilai ini dapat digambarkan apabila Abdullah banyak menerima pengajaran daripada Tuan

Morrison. Berikut merupakan petikan teks tersebut:

“Bermula, serta adapun sifatnya Tuan Morrison itu kulihat orangnya berbudi, lagipun

terlalu pandai menghambat hati manusia. Apabila ia berkata-kata itu dengan lemah

lembutnya, dan lagi banyak nasihat keluar daripadanya. Maka daripadanya banyak aku

mendapat pelajaran dalam bahasa Inggeris dan adat menyalin daripada suatu bahasa

kepada bahasa lain. Maka kepadanyalah aku belajar Injil Matius itu dalam bahasa Inggeris

serta dengan tafsirnya.”

(Hikayat Abdullah, 2007:118)

9.0 NILAI KEPENGARANGAN

Secara umumnya, teknik kepengarangan meliputi satu kaedah atau cara seseorang penulis

atau pengarang menggarap jalan cerita sesebuah karya yang dihasilkan. Hal ini kerana,

teknik yang digunakan untuk menggarap sesebuah cerita dalam sesebuah karya dilihat

penting kerana melalui teknik tersebut penulis dapat menyampaikan sesuatu pemikiran

secara berkesan dan tertib. Selain itu, teknik kepengarangan ini merupakan sinonim kepada

teknik penceritaan yang lazimnya berkait rapat dengan penggunaan dialog, gaya bahasa,

monolog, monolog dalaman, imbas kembali, imbas muka dan sebagainya. Semua teknik ini

sering kali digunakan oleh penulis semasa menghasilkan sesebuah karya. Berikut

merupakan teknik yang digunakan oleh Abdullah dalam menulis hikayatnya.


9.1 Teknik Retorik Pemerian

Teknik ini meliputi satu kaedah penceritaan secara langsung tentang sesuatu peristiwa atau

kejadian. Secara umumnya, teknik ini merupakan proses memerihalkan atau menceritakan

secara terperinci dan mendalam tentang sesuatu peristiwa. Selain itu, peristiwa atau

kejadian yang diperihalkan merupakan pengalaman yang dialami oleh penulis itu sendiri

atau pengalaman berdasarkan pemerhatian penulis.

Menurut Hasuria Che Omar & Rokiah Awang (2009: 97), retorik pemerian adalah

retorik yang memerikan sesuatu maksud dengan cara memindahkan pengamatan dan

pemerhatian kepada pembaca dengan melibatkan imej, sensasi, perasaan, hal, fizikal, dan

sebagainya. Oleh sebab itu, penceritaan peristiwa tersebut tampak mendalam dan

terperinci. Hal ini kerana, teknik ini lebih memudahkan pembaca untuk memahami jalan

cerita sesebuah karya yang dihasilkan.

Dalam hikayat ini, Abdullah Munsyi telah menggunakan teknik kepengarangan ini dalam

menggarap cerita. Hal ini kerana, Abdullah Munsyi merupakan seorang pengarang yang

gemar menghasilkan karya berbentuk biografi, iaitu penceritaan tentang perkara atau

orang lain. Dalam hikayat ini, Abdullah Munsyi lebih banyak mengisahkan, menceritakan,

dan melaporkan apa-apa yang terjadi atau yang dialami dalam kehidupannya pada zaman

tersebut. Oleh sebab itu, Abdullah Munsyi telah mengehadkan penggunaan dialog dalam

penceritaan beliau dalam hikayat ini, namun dalam beberapa bahagian dalam hikayat ini,

unsur dialog masih kelihatan.

Selain itu, teknik pemerian yang digunakan oleh Abdullah Munsyi dalam hikayat ini

tidak terbatas kepada sesuatu peristiwa yang dialami sahaja, namun begitu beliau juga ada

memerihalkan tentang ciri-ciri sesuatu perkara atau seseorang. Berikut merupakan contoh-

contoh bagi teknik pemerian yang digunakan oleh Abdullah Munsyi dalam hikayat ini:
“Syahadan, maka aku hendak menceritakan perbuatan kandang itu. Maka pergilah masing-

masing memotong kayu ke dalam hutan, sebesar-besar paha dan panjangnya dua belas

hasta. Setelah berkampunglah kayu-kayu itu, maka dicacak ke dalam tanah, rapat-rapat,

jaraknya dua tiga jari...”

(Hikayat Abdullah, 2007: 52)

Dalam masa yang sama, Abdullah Munsyi telah memerihalkan ciri-ciri Tuan Raffles dengan

baik berdasarkan pemerhatian beliau setelah bergaul dengan orang-orang Inggeris

tersebut. Berikut merupakan petikan teknik pemerian yang digunakan dalam hikayat

tersebut:

“… maka, adalah sifat Tuan Raffles itu aku lihat tubuhnya sederhana, tiada tinggi, tiada

rendah, tiada gemuk, tiada kurus, dahinya luas alamat besar hematnya, dan kepalanya

buntar bincu ke hadapan alamat berakal dan rambutnya warna perang alamat berani dan

telinganya lebar alamat banyak pendengaran, bulu kening lebar dan matanya sebelah kiri

ada juling-juling air…”

(Hikayat Abdullah, 2007: 63)

9.2 Teknik Bercerita

Penceritaan merupakan satu bentuk penyampaian melalui cerita sama ada dalam penulisan

mahupun lisan. Teknik penceritaan ini akan menghubungkan beberapa siri peristiwa yang

berkaitan dalam satu plot yang logik. Dalam hikayat ini, terdapat kisah tentang anak

Abdullah Munsyi dilahirkan dan peristiwa Abdullah Munsyi yang kehilangan isteri tercinta

setelah mendapat anak tersebut. Beliau menyatakan dengan jelas waktu kelahiran anaknya

dan beliau telah mengungkapkan rasa kesedihan beliau setelah kehilangan isterinya.

Berikut merupakan contoh keratan petikan yang menggunakan teknik bercerita yang

terdapat dalam hikayat ini:


“Kalakian, setelah senanglah aku ditolong Allah, maka pada suatu malam Jumaat isteriku

sakitlah hendak bersalin. Maka semalam-malaman itu tiadalah kami tidur. Hatta sampailah

kepada pagi hari Jumaat pukul setengah enam, iaitu pada enam hari bulan Rabiulawal

tarikh sanat 1256 maka zahirlah anaknya itu laki-laki. Makan pada saat zahir anaknya itu

maka berlakulah kehendak Allah atasnya maka berpindahlah ia dari negeri yang fana ke

negeri yang baqa dengan pahala syahid”.

(Hikayat Abdullah, 2007: 324)

Berdasarkan contoh petikan di atas, Abdullah Munsyi telah menggunakan kaedah bercerita

semasa mengarang idea dan pengalaman beliau. Peristiwa yang diceritakan merupakan

peristiwa yang dialami sendiri oleh beliau dan keluarga. Oleh itu, dapat dilihat secara

terperinci setiap cerita yang telah dikemukakan oleh Abdullah Munsyi.

9.3 Penerapan Unsur Nasihat

Pengarang Hikayat Abdullah turut memasukkan kata-kata nasihat yang merupakan

rumusan kecil setelah beliau menceritakan satu-satu bab hikayat tersebut. Nasihat tersebut

ditulis berdasarkan cerita yang terkandung dalam sesebuah bab yang perlu dicontohi oleh

pembaca. Pengarang menggunakan unsur nasihat ini secara langsung bagi memudahkan

pembaca untuk memahami isi atau nasihat yang disampaikan dalam cerita. Nasihat

tersebut turut dinyatakan oleh pengarang sebagai satu saluran positif yang terkandung

dalam hikayat tulisannya. Nasihat tersebut ditulis seperti berikut :

“ Nasihat : Segala perkara yang kusebut ini sekaliannya maka seyogianya mengambil

ibaratlah kiranya segala orang yang berbudi dan bijaksana akan kias dan hikayatku yang

kuceritakan perihal orang yang baik dan sempurna pengetahuannya itu. Kalau dengan
mudah-mudahan boleh ia meniru akan kelakuan dan tabiat dan budi serta bijaksana yang

demikian itu. Seperti kata arif : Terutama mata dengan nama yang baik daripada hidup

dengan nama yang jahat, adanya.”

(Hikayat Abdullah, 2007:212)

9.4 Teknik Penceritaan Orang Pertama (Autobiografi)

Cerita Hikayat Abdullah merupakan karangan tulisan Abdullah sendiri. Penceritaan ini

dikarang berdasarkan pengalaman dan penglihatan penulis sendiri terhadap kehidupan

masyarakat pada ketika itu. Berikut merupakan contoh petikan yang menunjukkan teknik

kepengarangan autobiografi :

“bahawa sekarang dengarkan olehmu wahai kekasihku, maka adalah aku karangkan akan

kitab ini darihal hikayat diriku, maka kunamai akan dia Hikayat Abdullah. Maka adalah ku

rencanakan dalamnya dari zaman moyangku sampailah kepada masa aku diperanakkan

oleh ibuku dalam negeri Melaka…”

(Hikayat Abdullah, 2007 : 6)

9.5 Teknik Imbas Kembali

Teknik Imbas Kembali Teknik ini merupakan kaedah imbasan atau gambaran semula

tentang sesuatu peristiwa yang dialami atau berlaku di sekeliling penulis. Lazimnya sesuatu

peristiwa tersebut meninggalkan kesan yang mendalam sehingga penulis masih dapat

menggarapkan kembali cerita tersebut secara terperinci. Selain itu, teknik imbas kembali

dalam sesebuah karya akan menjadikan lebih menarik dan memberi kesan kepada
pembaca. Teknik imbas kembali banyak digunakan oleh Abdullah Munsyi dalam penulisan

hikayat ini. Bermulanya penceritaan imbasan kembali mengenai latar belakang diri beliau

dan keluarga kisah peperangan antara Inggeris dengan penghulu Naning. Kesemua cerita ini

telah menggunakan teknik imbas kembali. Kesannya, teknik kepengarangan beliau telah

menampakkan konflik-konflik yang berlaku secara teliti dan pembaca seolah-olah merasai

bersama pengalaman yang telah dilalui sendiri oleh beliau. Berikut merupakan salah satu

contoh penggunaan teknik imbas kembali dalam hikayat beliau:

“ … maka aku pun pergilah melihat bersama-sama. Maka aku dapati tengah orang besarnya

mengajar di tengah padang. Maka sekaliannya mereka itu berkuda. Adapun kudanya itu

semuanya kuda Arab belaka dengan tingginya dan sama bulunya serta dengan cantiknya.

Maka kulihat orang-orang itu semuanya tampan-tampan belaka dengan tinggi besarnya”.

(Hikayat Abdullah, 2007: 76)

Berdasarkan contoh petikan hikayat di atas, dapat dilihat teknik imbas kembali

yang digunakan oleh Abdullah Munsyi. Beliau telah memberi imbasan kembali tentang

peristiwa kedatangan orang beberapa orang Islam bersama tiga orang Inggeris. Abdullah

Munsyi dapat menceritakan imbasan peristiwa tersebut secara terperinci kerana beliau

mengalami pengalaman itu sendiri. Oleh sebab itu, penceritaan yang terperinci tentang

imbasan peristiwa tersebut dapat dilihat dalam hikayat ini.


10.0 SENI BAHASA

Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007: 78), gaya bahasa ialah cara atau ragam

bahasa yang digunakan dalam penulisan atau lisan atau pun cara pemakaian bahasa dalam

sesebuah karya atau susunan kata, frasa dan ayat yang digunakan oleh pengarang dalam

karya yang dihasilkan. Terdapat pelbagai seni bahasa yang digunakan oleh penulis dalam

hikayat ini antaranya ialah majaz perbandingan dan pertentangan.

Majaz perbandingan pula merujuk kepada penggunaan unsur-unsur bahasa yang

bersifat membandingkan dua hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama manakala

majaz pertentangan ialah bentuk bahasa yang mengemukakan makna yang bertentangan

dengan makna yang sebenarnya.

10.1 Simile

Dalam Hikayat Abdullah ini, penggunaan majaz perbandingan dapat dilihat dengan unsur

simile. Gaya bahasa simile merupakan penggunaan gaya bahasa yang membandingkan dua

hal padahal berlainan ataupun sengaja dianggap sama. Simile juga lebih menggunakan

perkataan “seperti”, “umpama”, dan sebagainya. Sebagai contoh :

“Maka kulihat akan hal negeri Singapura daripada masa itu, seperti kelakuan perempuan

kematian suaminya: rambutnya pun kusut, mukanya pun masam, duduklah ia dengan

dukacitanya karena serinya telah tiada.”

(Hikayat Abdullah, 2007 : 213)

Berdasarkan contoh gaya bahasa di atas, penulis menggunakan gaya bahasa simile

tersebut dengan menyamakan keadaan Singapura yang kehilangan seorang pemimpin

ketika itu. Penduduk Singapura berasa sangat sedih dan perasaan sedih tersebut dinyatakan

seperti gaya bahasa simile di atas.


10.2 Hiperbola

Penggunaan majaz pertentangan dapat dilihat dengan penggunaan gaya bahasa hiperbola.

Menurut Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2005:60), perkataan hiperbola berasal daripada

bahasa Yunani yang terdiri daripada perkataan “hyper” yang bermaksud melebihi dan

“ballien” bererti meluahkan atau mengeluarkan. Dalam Hikayat Abdullah, penggunaan

hiperbola ini dapat dilihat bagaimana Abdullah menggambarkan kepanjangan rambutnya

yang tidak bercukur kerana beliau jatuh sakit.

“Hatta maka hari pun sianglah maka kurasakan badanku tiada berketahuan terlalu panas,

sebab rambutku terlalu panjang dari Singapura sampai ke Melaka tiada bercukur kerana

tiada diberi oleh mereka itu, katanya ‘nanti bentan’.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 323)

10.3 Skema Pengguguran

Selain daripada majaz perbandingan dan pertentangan yang digunakan, dalam Hikayat

Abdullah juga turut menggunakan skema pengguguran. Skema pengguguran yang dilihat

dalam hikayat ini ialah asidenton, iaitu pengguguran kata hubung. Dalam penghasilan

karya, pengguguran yang dilakukan bagi memberikan kesan keunikan dan kepelbagaian

gaya bahasa dalam sesuatu karya yang dihasilkan.

Dalam Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi telah menggunakan skema pengguguran

kata hubung ini dapat proses menggarap jalan cerita hikayat tersebut. Berikut merupakan

keratan petikan yang mempamerkan skema pengguguran dalam hikayat ini:

“ … Maka sebentar lagi datanglah baris, ada kira-kira seribu supai, dari Limbungan sampai

ke Liri itu, semuanya sekali masuk ke dalam Melaka…”


( Hikayat Abdullah, 2007 : 78)

Berdasarkan petikan di atas, Abdullah Munsyi telah menggunakan skema pengguguran

dalam penggarapan cerita beliau. Hal ini kerana, beliau telah menggugurkan kata hubung

‘dan’ dalam ayat “… Limbungan sampai ke Liri, semuanya sekali masuk ke dalam Melaka…”

dan menggantikan kata hubung tersebut dengan meletakkan tanda baca koma (,) antara

kedua-dua ayat tersebut.

10.4 Peribahasa dan Perumpamaan

Selain itu terdapat penggunaan peribahasa dan perumpamaan dalam hikayat ini. Menurut

Za’ba dalam Abdullah Yusof (2012:115), peribahasa ialah susunan cakap pendek yang

melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak

perkataannya, luas dan benar tujuannya. Penggunaan peribahasa dalam Hikayat Abdullah

dapat dilihat pada petikan berikut. Penggunaan peribahasa dalam hikayat ini dapat dilihat

menceritakan kelicikan akal fikiran Tuan Raffles:

“Maka sekaliannya itu adalah seperti perkataan Melayu :Mulut disuap pisang dan pantat

dikait onak. Maka bahawa sesungguhnya dalam hati Tuan Raffles terlalu banyak fikiran;

hendak dihalaukannya nyata-nyata nescaya kelihatanlah jahatnya kepada Temenggung.

Maka oleh sebab kepandaiannya dan akalnya itu :Di mata pun tiada kena, di kening pun

tiada kena .Ia melepaskan dirinya itu dengan perihal sahaja”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 182)

Perumpamaan ialah peribahasa yang mempunyai makna dua lapis. Ia terbahagi kepada dua

bahagian iaitu perumpamaan yang menyebut perbandingannya dan perumpamaan yang

tidak menyebut perbandingannya. Secara umumnya, perumpamaan ini juga disebut

sebagai bahasa kiasan. Dalam Hikayat Abdullah, penggunaan perumpamaan dapat dilihat
pada petikan berikut yang mana dalam petikan tersebut Abdullah telah memberi

perbandingan mengenai kelakuan manusia dengan menggunakan unsur alam dalam

mengungkapkannya.

“Adakah pernah telaga yang keruh itu mengalir airnya jernih? Dan lagi pula katanya jikalau

di hulu airnya keruh, dapat tiada di hilirnya pun keruh juga adanya. Ibaratnya jikalau dahulu

orang yang membuat negeri Amerikan itu orang jahat, segala keturunannya itu pun jahatlah

juga adanya”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 320)

10.5 Pantun

Selain itu, dalam Hikayat Abdullah terdapat penggunaan pantun. Pantun merupakan sejenis

puisi Melayu lama yang berangkap yang mengandungi ayat pembayang dan ayat maksud.

Dalam hikayat ini, Abdullah menggunakan pantun dalam memberi nasihat.

‘Penggaga dalam timba,

Mari digoreng dalam kuali;

Seekor naga di Lautan China,

Digonggong kumbang dibawanya lari’.

‘Patah ranting di tengah rimba,

Patah di titi Malim Sidi;

Sungguhpun gajah binatang besar,

Sudahlah rezeki si ular lidi’.


(Hikayat Abdullah, 2007 : 296)

Selain daripada gaya bahasa tersebut, terdapat juga penggunaan bahasa Keling dan

bahasa Arab yang terdapat dalam hikayat Abdullah. Perkataan keling yang dikenal pasti

digunakan dalam hikayat ini ialah perkataan ‘aci’ yang bermaksud kakak. Contohnya:

“ada pun panggilannya pada bondanya itu ‘aci’, iaitu bahasa Keling, ertinya kakak dalam

bahasa Melayu”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 18)

Penggunaan bahasa Arab yang digunakan dalam hikayat ini dapat dilihat dalam

petikan berikut:

“Maka beberapa lamanya dalam hal yang demikian maka datanglah seorang orang Arab

sayid yang bernama Habib Abdullah, bangsanya Hadad. Maka adalah iaitu aulia”.

(Hikayat Abdullah, 2007 : 12)

Perkataan Arab sayid dalam petikan di atas merujuk kepada kelas bangsawan atau gelaran

bagi keturunan Rasulallah yang lelaki manakala aulia merujuk kepada orang agama yang

dipandang tinggi. Perkataan Al-ghaib ‘ind Allah pula bererti ‘yang tiada kelihatan itu, Allah

sahaja yang mengetahuinya’.

11.0 PENUTUP

Kesimpulannya, Hikayat Abdullah merupakan sebuah karya agung yang unggul kerana karya

ini mempunyai nilai estetik yang tinggi dari aspek kepengarangannya. Ciri-ciri karya agung
yang terdapat dalam naskhah Hikayat Abdullah ini memperlihatkan keunggulan pengarang

dalam menyampaikan mesej kepada pembaca. Ciri-ciri karya agung seperti mesej, nilai

budaya, padangan hidup, nilai ilmu, teknik kepengarangan dan seni bahasa yang terdapat

dalam sesuatu karya ini mencetuskan idealisme pengarang dalam sesebuah karya.Dalam

hal ini, Hikayat Abdullah memperlihatkan kepengarangan Abdullah yang mampu

mencetuskan pemikiran, nilai dan pegangan atau pandangan hidup bangsa Melayu pada

suatu ketika dahulu. Sebagai contoh, Hikayat Abdullah adalah sebuah karya agung

merupakan satu karya agung yang memperihalkan pengalaman dan kisah hidup sebenar

Abdulah bin Abdul Kadir Munsyi sejak beliau dilahirkan sehingga meninggal dunia.

Selain itu, Abdullah Munsyi juga melakukan kritikan terhadap masyarakat Melayu pada

ketika itu yakni menjurus kepada sikap pemerintah yang mementingkan diri dan mudah

terpengaruh dengan penjajah dan sikap orang Melayu yang tidak mahu mengubah diri agar

menjadi lebih baik. Dalam pada itu, Abdullah Munsyi juga mengkritik golongan penjajah,

iaitu mengambil kesempatan terhadap kelemahan orang Melayu. Walaupun begitu, kritikan

yang dilakukan oleh Abdullah Munysi memperlihatkan beliau mempunyai idealisme dan

pendiriannya terhadap mesej yang hendak disampaikan. Setiap cerita yang disampaikan

dalam setiap bab Hikayat Abdullah ini mempunyai nilai keunggulan yang menjadikan

Hikayat Abdullah sebagai karya agung yang perlu dihargai oleh generasi pada masa ini.

BIBLIOGRAFI
Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim, Mohd Ra'in Shaari (2009). Semantik dan pragmatik

bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn.Bhd.

Abdul Rahman Napiah, Mohd Rashid Md. Idris, Seri Lanang Jaya Rohani (2014). Karya agung

Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Aimi Abdulkarim (2006). Pendidikan kewarganegaraan : membangun warga negara yang

demokratis untuk kelas IX. Jakarta : Grafindo Media Pratama.

Andri Wicaksono (2014). Pengkajian Prosa Fiksi. Yogyakarta: Penerbit Garudhawaca.

Hassan Ahmad (2007). Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur : Yayasan Karyawan.

Hasuria Che Omar & Rokiah Awang (2009). Kelestarian bidang penterjemahan. Kuala

Lumpur : Persatuan Penterjemah Malaysia.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Rashid Hj Md Idris et. al (2014). Karya agung Melayu. Tanjung Malim : Universiti

Pendidikan Sultan Idris.


Nik Hassan Basri Nik Ab.Kadir (2005). Stilistik komsas. Tanjong Malim : Penerbit UPSI

Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir (2007). Komsas pegangan teras keterampilan. Kuala

Lumpur: Icon Region Sdn. Bhd.

You might also like