You are on page 1of 4

Bersama Tabung Haji: Dua cara pelaksanaan haji ifrad

Oleh Sapawi Che Mat

Ibadat paling afdal, mencabar jemaah kerana tempoh lama dalam ihram

HAJI ifrad iaitu berniat haji saja pada bulan haji dan melaksanakan semua amal ibadat yang
berkaitan dengan haji. Umrah pula dilakukan setelah selesai melaksanakan haji. Haji ifrad ialah
haji yang afdal dan paling mencabar, kerana lama berada dalam ihram.

Cara pelaksanaannya terbahagi kepada dua bahagian iaitu cara pelaksanaan cara ibadat
haji dan cara ibadat umrah.

Cara pelaksanaan ibadat haji:

 Sebelum berniat ihram, adalah disunatkan mandi sunat ihram dengan niat, “Saja aku mandi
sunat ihram kerana Allah Taala.”

 Memakai pakaian ihram. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya dua helai kain lepas yang tidak
bersarung seperti seluar, baju dan sebagainya dan disunatkan berwarna putih. Bagi wanita pula
hendaklah menutupi semua badan kecuali muka dan tangan.
 Sebelum berniat ihram, disunatkan mendirikan solat sunat ihram dua rakaat dan
berdoa semoga Allah menerima ibadat haji ini dan mempermudahkan urusannya.

 Berniat ihram haji adalah rukun haji. Lafaz niatnya, “Saja aku mengerjakan haji dan aku
berihram dengannya kerana Allah Taala.”

 Niat ihram hendaklah dilakukan di miqat atau sebelumnya sebagai wajib haji. Bagi jemaah haji
Malaysia ada dua miqat yang berkaitan iaitu Qanul Manazil (jika penerbangan ke Jeddah dan
terus ke Makkah), atau Bir’ Ali (jika perjalanan ke Madinah dulu).

 Sebaik saja selesai niat ihram, maka diwajibkan menjaga larangan ketika dalam ihram
sehinggalah bertahallul (wajib haji).

 Disunatkan bertalbiah mulai selepas niat ihram sehingga bertahallul awal.

 Apabila sampai di Makkah, disunatkan melakukan tawaf qudum iaitu mengelilingi Kaabah
sebanyak tujuh keliling.

 Selepas sempurna tawaf qudum, para jemaah boleh memilih sama ada hendak melakukan
sa’ie haji sekarang (rukun haji) atau boleh juga ditangguhkan sa’ie hingga selesai tawaf haji
(ifadhah).

 Wukuf adalah rukun haji yang dilakukan selepas niat ihram iaitu berada di bumi Arafah walau
pun sekejap selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga fajar 10 Zulhijjah.

 Setelah selesai wukuf, jemaah bergerak menuju Muzdalifah untuk tujuan bermabit di
Muzdalifah (wajib haji) dan disunatkan mengutip anak batu.

 Melontar jamrah kubra dilakukan selepas tengah malam pada 10 Zulhijjah.

 Bercukur atau bergunting rukun haji dan boleh dilakukan bermula selepas tengah malam pada
10 Zulhijjah (wajib haji).

 Setelah melaksanakan lontaran jamrah kubra dan bercukur atau bergunting, maka terhasillah
tahallul awwal, iaitu telah bebas sepuluh perkara larangan ketika ihram dan yang masih menjadi
larangan ialah perkara yang berkaitan dengan hubungan jenis dan nikah kahwin.

 Mabit (bermalam) di Mina wajib dilaksanakan pada malam 11 dan 12 Zulhijjah bagi jemaah
yang memilih nafar awal. Manakala, jemaah yang memilih nafar thani adalah wajib mabit di Mina
pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah (wajib haji).
 Melontar jamrah sughra, jamrah wusta dan jamrah kubra adalah wajib dilaksanakan pada 11
dan 12 Zulhijjah bagi jemaah yang memilih nafar awal. Manakala, jemaah yang memilih nafar
thani adalah wajib melontar ketiga-tiga jamrah tadi pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah (wajib haji).

 Tawaf rukun haji (tawaf ifadhah) hendaklah dilakukan bermula selepas tengah malam 10
Zulhijjah.

 Sa’ie sebagai rukun haji hendaklah dilakukan selepas tawaf haji sekiranya tidak dilakukan
selepas tawaf qudum.

Apabila selesai melakukan lontaran jamrah kubra, bercukur atau bergunting dan sudah selesai
tawaf dan sa’ie, maka berhasillah tahallul thani iaitu bebas daripada semua larangan ketika
dalam ihram.

Cara pelaksanaan haji ifrad mengikut cara ibadat umrah. Apabila selesai mengerjakan haji,
jemaah yang melaksanakan haji ifrad akan bersiap-siap untuk melaksanakan umrah.

Pelaksanaannya seperti berikut:

 Jemaah disunatkan mandi sunat ihram sebelum berniat ihram.

 Memakai pakaian ihram. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya dua helai kain lepas yang tidak
bersarung seperti seluar, baju dan sebagainya dan disunatkan berwarna putih. Bagi wanita pula
hendaklah menutupi semua badan kecuali muka dan tangan .

 Pergi ke miqat (wajib umrah) untuk berniat umrah. Miqatnya ialah di tanah halal, dan yang
afdalnya ialah di Ji’ranah, Tana’im atau Hudaibiah.

 Sebelum berniat ihram, disunatkan mendirikan solat sunat ihram dua rakaat (jika bukan waktu
tahrim) dan berdoa semoga Allah menerima ibadat umrah dan mempermudahkan urusannya.

 Berniat ihram umrah sebagai rukun umrah yang pertama. Lafaz niatnya “Saja aku
mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala.”

 Sebaik saja selesai niat ihram, maka diwajibkan menjaga larangan semasa dalam ihram
sehinggalah bertahallul (wajib umrah).

 Disunatkan bertalbiah mulai selepas niat ihram sehingga memulakan tawaf umrah.

 Hendaklah melakukan tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh keliling. Ini adalah
rukun umrah yang kedua.

 Setelah selesai melakukan tawaf dengan sempurna, maka hendaklah melakukan sa’ie antara
Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali sebagai rukun umrah yang ketiga.

 Bercukur atau bergunting sebagai rukun umrah yang keempat hendaklah dilakukan selepas
selesai melaksanakan sa’ie dengan sempurna. Apabila selesai bercukur atau bergunting, maka
terhasillah tahallul yakni bebas daripada semua larangan semasa dalam ihram.

 Melaksanakan susunan rukun umrah secara berturutan seperti di atas, bererti sudah
melaksanakan tertib sebagai rukun umrah yang kelima.

Bagi yang memilih haji qiran, ada dua keadaan bagi mereka iaitu:</B.
 Berniat haji dan umrah serentak pada bulan haji kemudian menunaikan semua amal
ibadat yang berkaitan dengan haji. Umrah pula dikira selesai apabila selesai menunaikan
haji.

 Haji Qiran juga boleh berlaku kepada orang yang berniat umrah di bulan haji tetapi
sebelum memulakan tawaf ia berniat menunaikan haji.

Cara pelaksanaan haji qiran hampir sama dengan melaksanakan haji ifrad, yang
membezakannya ialah, ketika berniat di Miqat hendaklah berniat haji dan umrah serentak.
Lafaznya, “Saja aku mengerjakan haji dan umrah dan aku berihram dengan keduanya
kerana Allah Taala.”

Apabila selesai mengerjakan haji, jemaah tidak perlu lagi mengerjakan umrah, kerana
umrahnya sudah terhasil dengan mengerjakan haji tadi.

Dr Sapawi Che Mat adalah pengkursus ibadat haji, Lembaga Tabung Haji

You might also like