You are on page 1of 6

PERKEMBANGAN TERKINI KAJIAN TINDAKAN, GURU SEBAGAI PENYELIDIK DAN

PERANAN SEKOLAH
OLEH :MOHD. ADZMIN @ LOSININ BIN JOHALIN, AHLI PASUKAN KAJIAN TINDAKAN SABAH

onsep Kajian Tindakan berasal daripada usaha seorang ahli psikologi sosial yang bernama Kurt Lewin pada tahun
1946. Beliau mulai menggunakan pendekatan Kajian Tindakan selepas Perang Dunia Kedua dalam usaha
menyelesaikan pelbagai masalah dalam komuniti dan mengutamakan dua idea Kajian Tindakan yang penting iaitu:

 Keputusan kumpulan
 Komitmen kepada peningkatan kerja.

Kedua-dua idea ini merupakan asas pendekatan Kajian Tindakan yang menegaskan usaha kolaboratif atau usaha
sama kumpulan dan meningkatkan lagi mutu prestasi kerja (Kemmis dan McTaggart:1988)

Pada tahun 1953, idea Lewin diperkembangkan oleh Stephen Corey di Teachers College, Columbia University, New
York sebagai pendekatan penyelidikan yang diselenggarakan oleh guru-guru di sekolah.

Manakala John Elliot (1976) dan rakan-rakannya menggunakan kaedah ini dalam Ford Teaching Project di United
Kingdom sebagai pendekatan membantu guru mengembangkan usaha inkuiri dalam pengajaran dan pembelajaran di
dalam bilik darjah. Di Eropah, Kajian Tindakan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha perubahan dan
peningkatan mutu pendidikan di sekolah.

Kemmis dan McTaggart telah mengembangkan Kajian Tindakan di Australia sebagai sistematik untuk meningkatkan
prestasi guru di sekolah (Kemmis dan McTaggart:1988).

Senario Kajian Tindakan di Malaysia bermula apabila Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya Bahagian
Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP/EPRD), telah memulakan inisiatif untuk membudayakan
Kajian Tindakan di sekolah melalui aktiviti Sub-Program 4, iaitu Penyelidikan Pendidikan di bawah program yang
dikenali sebagai 'Programme for Innovation, Excellence and Research (PIER)'. Program pembiayaan Bank Dunia ini
bermula pada tahun dari 1993 sehingga 1996 dengan mengadakan kursus-kursus Kajian Tindakan kepada guru-guru
di seluruh Malaysia serta menyediakan peruntukan untuk menjalankan projek Kajian Tindakan di sekolah-sekolah.
Sebanyak 741 projek Kajian Tindakan telah berjaya dilaksanakan oleh guru-guru sepanjang program PIER
(Madzniyah: 1998).

Pada tahun 1998 hingga 2000, BPPDP/EPRD telah mendapat peruntukan khas dari Kementerian Sains, Teknologi dan
Alam Sekitar di bawah Program Kesedaran Sains untuk membolehkan aktiviti Kajian Tindakan dilaksanakan. Sebanyak
632 projek Kajian Tindakan telah dijalankan oleh guru-guru Matematik dan Sains di seluruh negara di bawah
peruntukan ini. Manakala bagi kursus Kajian Tindakan, sebanyak 20 kursus telah dijalankan kepada guru-guru
Matematik dan Sains selama 3 tahun ini (Madzniyah: 2000).

Sejak tahun 1993, Seminar Penyelidikan Pendidikan Kebangsaan telah diadakan oleh BPPDP/EPRD sebagai wahana
untuk menyebarkan hasil-hasil penyelidikan, terutama di kalangan guru untuk dikongsi bersama. Di samping itu,
beberapa orang guru yang terlibat diberi peluang membentangkan hasil Kajian Tindakan mereka (Prosiding Seminar,
BPPDP: 2000).

Selain daripada usaha BPPDP/EPRD, terdapat universiti-universiti tempatan dan maktab-maktab perguruan di bawah
Bahagian Pendidikan Guru yang terlibat dalam membantu dan memberi sokongan kepada guru-guru dalam usaha
mereka mengkaji dan menyelidik isu dan masalah di dalam bilik darjah dan sekolah. Di antaranya ialah Pusat
Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (Kim Phaik Lah: 1994) dan Maktab Perguruan Temenggong
Ibrahim (Hanipah Hussin:1999).

Kajian Tindakan adalah satu langkah berterusan oleh guru untuk menilai dan mengesan keberkesanan amalan sendiri.
Melalui langkah-langkah mengesan dan menilai itu data dikumpul untuk dijadikan panduan mengubahsuai amalan lalu
supaya keberkesanan amalan mengajar seterusnya dapat dipertingkatkan.

Kajian Tindakan menyarankan supaya guru mengubah amalan mengajar. Perubahan amalan yang disarankan
bukanlah perubahan secara mendadak, serta drastik atau mengubah amalan kepada sesuatu keadaan yang asing.
Perubahan yang disarankan ialah dari segi mengubahsuai amalan secara berperingkat berasaskan data yang telah
dikutip.

Guru bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyelidik tetapi beliau juga adalah pihak yang dikaji. Sebagai
penyelidik guru mengumpul dan menganalisis data, mencadangkan aktiviti P&P serta melaksanakan sendiri aktiviti
tersebut.

1
Di sekolah murid menghadapi pelbagai masalah pembelajaran. Berasaskan pertimbangan itu, Kajian Tindakan yang
bertujuan untuk menangani pelbagai masalah P&P lebih menepati matlamat untuk membimbing murid mencapai tahap
cemerlang dalam pendidikan. Berasaskan pertimbangan itu juga amalan menyelidik menggunakan pendekatan Kajian
Tindakan wajar dilakukan berterusan supaya sebarang masalah pembelajaran yang timbul dapat ditangani serta
dikesan seawal mungkin iaitu sebelum ia menjadi terlalu rumit untuk ditangani.

Dalam usaha untuk memahami proses P&P pula, langkah-langkah kajian ditumpukan untuk meningkatkan
keberkesanan aktiviti P&P bukan untuk menentukan atau mengenalpasti sama ada sesuatu langkah lebih baik atau
berkesan daripada yang lain. Pendekatan atau bahan P&P yang dianggap baik boleh digunakan untuk menangani
sebarang masalah pembelajaran yang dikaji. Di BTPN Sabah, telah bermula sejak Tahun 2000 dengan kronologinya
adalah seperti berikut:

1998 - 2005 – Penghasilan Bahan Bantu Belajar melalui KUBUS dan pengupasan HSP

2003 – Kursus Kajian Tindakan Siri 1 (PKTS) seramai 52 orang

2004 - Kursus Kajian Tindakan Siri 2 (PKTS) seramai 12 orang

2005- Kursus Kajian Tindakan Siri 3 (PKTS) seramai 19 orang

2006- Kursus Kajian Tindakan Siri 4 (PKTS) seramai 23 orang

2007- Kursus Kajian Tindakan Siri 5 (PKTS) seramai 6 orang

2008- Kursus Kajian Tindakan Siri 6 (PKTS) seramai 52 orang

Kolokium Kajian Tindakan Sabah

2006 Bertempat di Marina Court Kota Kinabalu

2007 Bertempat di Hotel Marco Polo Tawau

2008 Bertempat di BTPN Sabah

2009 Bertempat Hotel Kingston Tawau

Pencapaian Program Kajian Tindakan BTPN Sabah

2007 Penghasilan Modul Kajian Tindakan BTP KPM

2006 Anugerah Inovasi Kebangsaan Johan

2003, 2004, 2005, 2006, 2007, 2008 hingga 2009 Penerbitan Jurnal BTPN dan bahan Inovasi.

Penghasilan bahan prototaip yang diakui mutunya di peringkat negeri dan kebangsaan

2007/08/09 – Roadshow Kajian Tindakan peringkat kebangsaan

2005 – 2009 – Pembantu Pengkaji bagi program kajian Universiti tempatan dan UNICEF

Pengembangan Profesionalisme Guru

Kajian Tindakan mengembangkan kemampuan guru sebagai peneroka pengetahuan yang profesional. Guru sebagai
seorang profesional tidaklah semata-mata mengamalkan pengetahuan yang dikemukakan oleh orang lain tetapi
berupaya merintis jalan bagi menangani pelbagai masalah P&P.

Dalam Kajian Tindakan, guru sebagai penyelidik mengkaji amalan bekerjanya sendiri serta kaitannya dengan
keberkesanan pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya. Amalan bekerja iaitu amalan mengajar
termasuklah cara guru berinteraksi dengan murid, latihan-latihan yang disediakan, gaya penyampaian, soalan-soalan
yang digunakan dan sebagainya. Guru menjalankan kajian atas kesedaran bahawa terdapat masalah yang
mengganggu proses pembelajaran di kalangan murid-murid yang diajarnya dan masalah itu perlu ditanganinya
sendiri.

2
Apabila seseorang guru mengamalkan Kajian Tindakan beliau perlu melakukan pengubahsuaian amalan P&P secara
berterusan sehingga berlaku peningkatan dalam pencapaian murid pada tahap yang jauh lebih baik berbanding
dengan keadaan sebelum kajian dijalankan. Sekiranya pencapaian murid meningkat setelah melakukan aktiviti P&P
yang telah dirancang untuk menangani masalah yang wujud, bolehlah dirumuskan bahawa amalan pengajaran guru
berkesan. Keberkesanan pengajaran guru meningkatkan kewibawaannya sebagai pendidik dan dengan itu tahap
profesionalisme guru itu juga turut meningkat.

Kajian Tindakan memperlihatkan pengembangan guru sebagai sesuatu yang mengarah dari bawah ke atas (bottom-
up) dan bukan dari atas ke bawah (top-down). Model penjana pengetahuan (knowledge-generating model)
mengandaikan bahawa kemajuan dalam latihan pendidikan perlulah berasaskan pada pandangan dan pengalaman
guru sendiri. Model ini menekankan peranan guru sendiri sebagai model utama kajian tanpa menerima tekanan atau
arahan dari pihak atasan. Dapatan dari kajian diterima sebagai sebahagian daripada percambahan idea dalam bidang
yang dikaji.

Meningkatkan Keberkesanan Amalan Mengajar

Peningkatan keberkesanan amalan mengajar seseorang guru boleh dilihat melalui peningkatan prestasi pihak yang
menerima perkhidmatan guru tersebut iaitu murid-murid. Melalui pemerhatian terhadap aktiviti-aktiviti P&P yang
dijalankan di bilik darjah, guru mengumpul data secara terancang untuk mengesan kelemahan dan kekuatan aktiviti
yang dilaksanakan. Data yang telah dianalisis memberi gambaran yang jelas kepada guru tentang faktor-faktor yang
mempengaruhi keberkesanan proses P&P. Berpandukan kepada analisis data guru mengubahsuai amalan mengajar
yang lalu supaya menjadi lebih berkesan. Proses mengutip data dan mengubahsuai amalan berlaku berulangkali
sehinggalah berlaku peningkatan dalam prestasi murid.

Tujuan Kajian

Pelaksanaan Kajian Tindakan di bilik darjah bertujuan khusus untuk meningkatkan keberkesanan amalan mengajar
guru dan meningkatkan pencapaian murid. Secara logik, seorang murid dianggap berjaya menguasai kemahiran-
kemahiran pembelajaran yang terdapat dalam sukatan pelajaran apabila berjaya mendapat markah tinggi dalam
sebarang penilaian bagi mata pelajaran tersebut. Dalam konteks pencapaian akademik, murid tersebut juga dianggap
cemerlang dalam mata pelajaran itu.

Sesuatu Kajian Tindakan yang bertujuan untuk mengatasi pelbagai masalah pembelajaran atau membantu murid
menguasai pelbagai kemahiran pembelajaran yang ditetapkan untuk satu-satu mata pelajaran adalah lebih menepati
matlamat untuk membantu murid mencapai tahap cemerlang dalam satu-satu mata pelajaran. Perhatikan contoh
berikut:

 Membantu murid belajar dengan berkesan melalui pengajaran yang berkesan.


 Membantu murid merancang cara belajar di bilik darjah dengan berkesan melalui bimbingan guru yang
berkesan.

 Contoh di atas boleh dijadikan tujuan kajian tindakan untuk dilaksanakan oleh seorang guru dalam
satu kelas, atau untuk semua guru dalam satu sekolah bagi satu atau semua mata pelajaran atau
pelbagai mata pelajaran. Kajian itu boleh dilaksanakan dalam tempoh setahun atau untuk beberapa
tahun.

 Pelaksanaan Kajian Tindakan untuk satu atau beberapa tahun sesi persekolahan pastilah
mengandungi beberapa pusingan atau kitaran mengikut masalah-masalah yang hendak ditangani.
Tiap-tiap kitaran kajian mengandungi tujuan khusus berkaitan dengan satu-satu masalah atau
kemahiran yang cuba ditangani. Perhatikan contoh-contoh berikut:

• Meningkatkan penguasaan kemahiran mendarab sifir 2 hingga 4.

• Meningkatkan kefahaman murid tentang rumah sa, puluh dan ratus dalam

 kemahiran asas menambah.Selain daripada bertujuan untuk menangani masalah pembelajaran


khususnya yang berkaitan dengan pencapaian rendah di kalangan murid, Kajian Tindakan juga
boleh dijadikan strategi untuk memperbaiki lagi pencapaian murid yang berada pada tahap baik ke
tahap cemerlang.

3
Mengubah Amalan Mengajar

Dalam situasi pembelajaran di bilik darjah murid-murid menghadapi berbagai-bagai masalah. Perkara ini boleh
dikesan melalui pencapaian murid yang berbeza-beza walaupun mereka diberi pengalaman pembelajaran yang sama.
Apakah lagi yang boleh dilakukan oleh guru untuk membantu murid-murid golongan ini?

Langkah-langkah P&P melalui Kajian Tindakan melibatkan guru mengutip data terperinci tentang berbagai faktor bilik
darjah yang mempengaruhi proses pembelajaran. Hasil analisis data tersebut membantu guru memahami mengapa
sesuatu aktiviti P&P yang dilaksanakan tidak mencapai matlamat. Dengan cara ini guru dapat mengesan langkah
menjalankan aktiviti yang perlu diubahsuai. Apabila berlaku pengubahsuaian aktiviti, secara tidak langsung guru yang
terlibat mengubah amalan mengajar iaitu amalan dalam bentuk menyediakan aktiviti P&P. Dalam Kajian Tindakan
pengubahsuaian terhadap aktiviti P&P perlu dan sentiasa dilakukan. Amalan mengubahsuai aktiviti diteruskan
sehingga pencapaian murid meningkat ke tahap yang sebaik mungkin.

Proses pengubahsuaian sesuatu aktiviti berlaku setelah aktiviti itu dilaksanakan. Data tentang pelaksanaan aktiviti
dianalisis dan hasil analisis itu dijadikan panduan atau landasan untuk memperbaiki aktiviti yang sama atau membina
aktiviti baru.

Melalui proses "cuba-cuba" aktiviti diubahsuai mengikut keperluan murid dan dengan cara tersebut keberkesanan
aktiviti P&P boleh dipertingkatkan. Usaha berterusan oleh guru untuk menilai keberkesanan amalan mengajar juga
membolehkan guru tersebut mengesan kelemahan yang menimbulkan masalah pembelajaran seawal mungkin.
Dengan cara ini langkah pembaikan dapat dibuat sebelum sesuatu masalah menjadi serius dan terlalu sukar untuk
ditangani.

Kajian Menjelaskan Amalan Penyelidik

Guru yang menjalankan Kajian Tindakan memainkan peranan sebagai pengkaji. Perkara yang dikaji ialah amalan guru
itu sendiri berkaitan dengan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid yang diajar. Oleh itu guru adalah
pihak yang dikaji dan beliau tidak mewakili mana-mana kelompok populasi. Justeru, adalah tidak wajar dapatan Kajian
Tindakan digunakan untuk membuat generalisasi terhadap amalan guru lain. Begitu juga, cadangan untuk
memperbaiki aktiviti atau langkah P&P berdasarkan dapatan sesuatu kajian adalah sesuai dan lebih tepat untuk
memperbaiki amalan guru yang menjalankan Kajian Tindakan itu sendiri.

Perkongsian Maklumat

Perkongsian dapatan kajian adalah perkara penting yang disarankan dalam Kajian Tindakan. Melalui perkongsian itu
guru lain boleh menggunakan dapatan kajian sebagai rujukan atau panduan bagi melaksanakan kajian mereka sendiri.
Seseorang guru yang berhasrat untuk mencuba aktiviti-aktiviti P&P yang telah dilaksanakan dalam Kajian Tindakan
guru lain perlulah mengutip data tentang amalannya dahulu. Berdasarkan analisis data yang dikutip itu aktiviti yang
hendak dicuba diubahsuai mengikut keperluan murid-muridnya sendiri.

Memahami Proses Pembelajaran

Guru yang menjalankan Kajian Tindakan turut mengalami proses pembelajaran. Melalui pendekatan ini guru cuba
memahami proses pembelajaran murid-muridnya. Dengan memahami proses pembelajaran murid, guru boleh
mengambil langkah untuk memperbaiki pengajarannya yang tidak berkesan. Kajian Tindakan yang memberi
penekanan kepada langkah-langkah untuk membuktikan bahawa sesuatu pendekatan atau aktiviti pengajaran adalah
lebih baik daripada yang lain atau untuk menentukan sejauh mana keberkesanan penggunaan sesuatu alat bantu
dalam pengajaran tidak menepati matlamat untuk memperbaiki amalan guru. Perhatikan contoh-contoh dibawah.

• Perbandingan Antara K.eberkesanan Teknik Mengajar A Dengan Teknik Mengajar B.

• Keberkesanan Penggunaan Internet Dalam Pengajaran.

Contoh di atas mebayangkan bahawa tumpuan kajian adalah untuk menguji keberkesanan teknik mengajar atau
bahan P&P, manakala kajian tindakan pula cuba mengesan kekuatan atau kelemahan amalan guru.

Melalui Kajian Tindakan teknik mengajar A atau B serta penggunaan internet dalam pengajaran boleh dijadikan
langkah atau aktiviti P&P untuk menangani sesuatu masalah yang dikaji.

Pendekatan Penyelidikan Dalam Pengajaran

Berbagai aktiviti atau program tambahan dilaksanakan di sekolah untuk mempertingkatkan prestasi murid. Seringkali
aktiviti tersebut dilaksanakan di luar bilik darjah sama ada sebagai kelas tambahan atau program berbentuk kempen
untuk menggalakkan lagi minat murid terhadap pelajaran. Seseorang guru yang menjalankan Kajian Tindakan tentang

4
amalan mengajarnya bukanlah melaksanakan sesuatu projek khusus untuk tujuan penyelidikan semata-mata tetapi
mengajar dengan menggunakan pendekatan penyelidikan. Kajian dijalankan semasa guru mengajar di bilik darjah
dengan cara menggabungjalinkan ciri-ciri penyelidikan dalam pengajaran seperti mengumpul data tentang pengajaran
dan selepas itu menganalisis data tersebut. Dalam Kajian Tindakan langkah-langkah penyelidikan iaitu merancang,
bertindak, memerhati dan mereflek perlu dipatuhi.

Mengutip Dan Menganalisis Data

Kajian Tindakan memberi ruang kepada guru untuk menerokai daya kreativiti dan inovasi. Oleh itu alat yang
digunakan untuk mengutip data tidak perlu dihadkan kepada beberapa alat yang lazim digunakan dalam kajian tradisi
seperti temubual atau soalselidik. Guru boleh membina alat sendiri untuk mengumpul data asalkan alat yang dibina itu
praktikal dan sesuai digunakan mengikut keperluan kajian. Pengalaman mengajar yang ada pada guru khususnya
yang berkaitan dengan aktiviti penilaian yang sering dilakukan oleh guru adalah aset penting yang boleh dimanfaatkan
untuk membina alat.

Berasaskan data daripada pelbagai sumber, kebenaran dapatan Kajian Tindakan boleh diperkukuhkan. Melalui langkah
pemerhatian terhadap pelaksanaan aktiviti-aktivit P&P data boleh dikumpul oleh tiga pihak iaitu penyelidik sendiri,
rakan dan murid-murid yang diajar. Manakala di peringkat memahami masalah pula, guru boleh mendapatkan data
daripada beberapa sumber sedia ada serta mengutip data daripada murid-murid sebagai data tambahan sekiranya
perlu.

Data yang dikumpul perlulah dianalisis supaya memberi makna kepada keadaan yang sedang dikaji. Terdapat
beberapa cara yang boleh digunakan untuk menganalisis data. Antara cara yang mudah ialah mengelompokkan data
daripada beberapa sumber mengikut tajuk atau tema tertentu. Dengan cara membandingkan data-data itu perkaitan
antara data-data dapat dilihat. Melalui cara ini keadaan yang dikaji dapat dilihat atau difahami dengan lebih jelas.

Usaha Berpasukan

Guru boleh melaksanakan Kajian Tindakan bersendirian tetapi berdasarkan pengalaman beberapa orang guru di
sekolah-sekolah di Australia didapati bahawa Kajian Tindakan adalah lebih berkesan apabila dilaksanakan secara
usaha sama atau berpasukan. Didapati juga bahawa usaha sama di kalangan guru adalah lebih berkesan apabila
semua guru dalam pasukan penyelidik turut terlibat menjalankan K.ajian Tindakan di bilik darjah masing-masing.

Peranan berpasukan menjadikan Kajian Tindakan lebih berkesan kerana idea dan pandangan yang berbagai boleh
membantu memantapakan sesuatu keputusan. Selain daripada memberi pandangan tiap-tiap ahli boleh saling
membantu dalam melaksanakan tindakan seperti membuat pemerhatian atau mengumpul data.

Usaha berpasukan juga sangat penting bagi pelaksana kajian tindakan yang menghadapi kebuntuan semasa
melaksanakan kajian. Dengan adanya pasukan penyelidik guru boleh saling merujuk dan saling bertanya apabila
menghadapi masalah.

Di sekolah kerja berpasukan boleh diwujudkan melalui panitia mata pelajaran. Kajian Tindakan boleh dijadikan agenda
utama panitia untuk membina semangat kerja berpasukan serta meningkatkan profesionalisme guru.

Bagaimana usaha berpasukan dapat diwujudkan sedangkan para guru mempunyai senarai tugas yang tidak pernah
berakhir? Sekiranya seseorang guru pelaksana Kajian Tindakan memerlukan bantuan daripada guru lain, adakah perlu
bagi beliau mengadakan satu mesyuarat khusus? Perjumpaan yang formal hanya dapat diadakan selepas waktu
sekolah. Sekiranya guru-guru terlibat tidak boleh meluangkan masa, sudah tentulah perbincangan tidak dapat
dijalankan.

Bagi meneruskan kajian, langkah-langkah pelaksanaan perlu diubahsuai. Perbincangan boleh diadakan secara
berperingkat. Mana-mana ahli yang mempunyai waktu senggang serentak bolehlah mengadakan perbincangan dahulu.
Jika perlu guru yang memerlukan bantuan itu bolehlah merujuk kepada ahli-ahli lain kemudian iaitu apabila mereka
mempunyai masa terluang khususnya pada waktu senggang.

Usaha berpasukan tidak semestinya berlaku di kalangan guru-guru dalam satu sekolah sahaja. Guru haruslah
mengambil inisiatif untuk berkongsi pengalaman dengan guru-guru di sekolah lain khususnya sekolah yang
berhampiran. Aktiviti berkongsi pengalaman di antara sekolah-sekolah memberi peluang kepada guru untuk
memperbaiki lagi kemahiran menjalankan kajian melalui pertukaran idea dan pengalaman.

Keberkesanan Kajian Melalui Pelaksanaan Jangka Panjang

'Program For Enhancaing Effective Learning" (PEEL) iaitu program penyelidikan di sekolah melalui Kajian Tindakan
telah dilaksanakan di sekolah-sekolah di Victoria, Australia. Menurut guru-guru yang terlibat dalam program itu, Kajian
5
Tindakan sebagai pendekatan pengajaran untuk mencapai matlamat pendidikan terbukti berkesan apabila
dilaksanakan dalamjangka waktu yang panjang. Melalui pelaksanaan kajian berulang kali dalam jangka waktu yang
panjang, guru berpeluang untuk mencuba berbagai-bagai idea. Melalui proses "cuba-cuba" kemahiran menjalankan
kajian meningkat dan keberkesanan pengajaran juga turut meningkat. Oleh sebab itu kajian tindakan diamalkan
sebagai pendekatan pengajaran seharian di bilik darjah dan amalan penyelidikan ini diteruskan tahun demi tahun.

Kesimpulan

Kajian Tindakan adalah satu langkah berterusan oleh guru untuk menilai dan mengesan keberkesanan amalan sendiri.
Melalui langkah-langkah mengesan dan menilai itu data dikumpul untuk dijadikan panduan mengubahsuai amalan lalu
supaya keberkesanan amalan mengajar seterusnya dapat dipertingkatkan.

Kajian Tindakan menyarankan supaya guru mengubah amalan mengajar. Perubahan amalan yang disarankan
bukanlah perubahan secara mendadak, serta drastik atau mengubah amalan kepada sesuatu keadaan yang asing.
Perubahan yang disarankan ialah dari segi mengubahsuai amalan secara berperingkat berasaskan data yang telah
dikutip.

Guru bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyelidik tetapi beliau juga adalah pihak yang dikaji. Sebagai
penyelidik guru mengumpul dan menganalisis data, mencadangkan aktiviti P&P serta melaksanakan sendiri aktiviti
tersebut.

Di sekolah murid menghadapi pelbagi masalah pembelajaran. Berasaskan pertimbangan itu, Kajian Tindakan yang
bertujuan untuk menangani pelbagi masalah P&P lebih menepati matlamat untuk membimbing murid mencapai tahap
cemerlang dalam pendidikan. Berasaskan pertimbangan itu juga amalan menyelidik menggunakan pendekatan Kajian
Tindakan wajar dilakukan berterusan supaya sebarang masalah pembelajaran yang timbul dapat ditangani serta
dikesan seawal mungkin iaitu sebelum ia menjadi terlalu rumit untuk ditangani.

Dalam usaha untuk memahami proses P&P pula, langkah-langkah kajian ditumpukan untuk meningkatkan
keberkesanan aktiviti P&P bukan untuk menentukan atau mengenalpasti sama ada sesuatu langkah lebih baik atau
berkesan daripada yang lain. Pendekatan atau bahan P&P yang dianggap baik boleh digunakan untuk menangani
sebarang masalah pembelajaran yang dikaji.

Bibliografi / Rujukan:

Toh, S.C. & Abdul Rahim Mohd. Saad. (1994). The design and construction of an authoring tool for rapid prototyping
of courseware and the evaluation of the efficacy of the courseware developed. Laporan penyelidikan projek yang
dibiayai oleh Univesiti Sains Malaysia.

Mohd Fadzli Ali. 2001. Distance Education: Constructivism and the Internet. Prosiding Konvensyen Teknologi
Pendidikan Kali ke 14. hlm. 242-246.

Pusat Perkembangan Kurikulum. 1991. Pembelajaran secara Konstruktivisme. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan
Malaysia.

Nik Azis Nik Pa. 1997. Konsep tentang realiti dan prospek pendidikan di abad ke 21. Jurnal Kebangsaan Pengetua-
Pengetua Sekolah Menengah Malaysia. 2: 37-52.

You might also like