You are on page 1of 2

CIRI-CIRI FALSAFAH PENDIDIKAN TIMUR YANG MEMPENGARUHI FALSAFAH

PENDIDIKAN KEBANGSAAN.
Konsep falsafah pendidikan adalah suatu konsep penjelasan pemikiran dan prinsip-
prinsip yang memberi panduan serta masalah penjelasan halangan terhadapnya. Falsafah
pendidikan menggabungkan matlamat-matlamat pendidikan, dasar-dasar dan amalan-
amalan supaya menjadi sesuatu yang logis, tekal dan jelas. Falsafah pendidikan di
Malaysia telah dipengaruhi unsur-unsur daripada falsafah lain dari pelbagai bidang. Antara
falsafah yang mempunyai hubung kait dengan falsafah pendidikan di Malaysia adalah
falsafah pendidikan Timur, Barat dan Islam. Jika dibandingkan dengan falsafah-falsafah
pendidikan sama ada di negara Barat, Timur ataupun faIsafah pendidikan Islam, falsafah
pendidikan di Malaysia merupakan sesuatu falsafah pendidikan yang mempunyai ciri
tersendiri. Bagaimanapun, ia pula mengandungi sebahagian unsur yang terdapat dalam
falsafah pendidikan Barat, Timur dan juga falsafah pendidikan Islam. Falsafah pendidikan di
Malaysia boleh dihayati daripada Falsafah pendidikan kebangsaan yang telah diumumkan
secara rasmi pada 1988. Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini penting kerana ianya akan
menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua usaha dan rancangan
dalam bidang pendidikan.
Salah satu ciri Falsafah pendidikan kebangsaan ialah mengembangkan potensi
pelajar secara menyeluruh dan bersepadu. Hal ini bertujuan demi membentuk insan yang
harmonis dan seimbang. Ciri ini juga boleh dihayati daripada falsafah pendidikan
rekonstruktisme, konfusianisme, nasionalisme dan internasionalisme. Mengikut falsafah
pendidikan Islam, perkembangan individu dari segi intelek, rohani, emosi adalah
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Ciri ini dapat dilihat persamaannya
pada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan falsafah pendidikan Islam. Tambahan pula
Pendidikan Agama dan Pendidikan Moral dalam KBSR dan KBSM mencerminkan ciri
pembelajaran afektif untuk perkembangan individu, khasnya dari segi rohani, emosi dan
agama.
Selain itu, konsep pendidikan Islam juga turut diterapkan ke dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Islam mengatakan bahawa pendidikan merupakan satu proses
secara berterusan bagi memupuk seluruh potensi semulajadi manusia dari segi intelek,
akhlak, rohani dan jasmani secara bersepadu dan seimbang ke arah pembentukan insan
soleh yang membawa kepada kebaikan di dunia dan akhirat. Ciri ini dapat dilihat di mana
Falsafah Pendidikan Kebangsaan turut menyelitkan unsur intelek, akhlak, rohani, jasmani
dan emosi. Penerapan ini menjadikan falsafah pendidikan Islam sebagai satu panduan asas
kepada pendidikan di Malaysia. Maka terbuktilah sebahagian besar falsafah pendidikan
kebangsaan menggunakan isi utama dalam falsafah pendidikan Islam. Antara cirinya
adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis di samping mempunyai kepercayaan kepada Tuhan.
Di samping itu, Falsafah pendidikan Timur bertujuan untuk mencapai kebijaksanaan,
mengekalkan struktur kekeluargaan, menggubal undang-undang dan memenuhi kehendak
sosial dan ekonomi. Mata pelajaran yang memfokuskan pendidikan moral, politik, ekonomi,
kebudayaan, muzik, kesusasteraan dan sejarah telah diadaptasi di dalam Falsafah
pendidikan Kebangsaan di mana mata pelajaran seperti ini merupakan kurikulum pendidikan
di China. Tambahannnya, pendidikan di China juga menyatakan bahawa guru merupakan
fasilitator dan penyampai ilmu yang mahir. Selaras dengan itu, Kerajaan telah mewujudkan
Falsafah Pendidikan Guru untuk menghasilkan guru yang berkualiti dan berupaya mencapai
kecemerlangan pendidikan. Pendidikan di India juga dilihat menekankan peranan guru
sebagai fasilitator dan pemangkin bagi menggerakkan perbincangan murid serta menjadi
penjana idea yang kreatif dan bernas dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, pendidikan
sekarang bukan sekadar berpusatkan guru sebaliknya boleh berpusatkan pelajar. Guru
bertindak sebagai rujukan pelajar sekiranya mempunyai masalah. Hal ini menjadikan proses
pengajaran dan pembelajaran sebagai proses komunikasi dua hala dan berkesan.
Kesimpulannya, Falsafah pendidikan Kebangsaan sememangnya merupakan suatu
falsafah pendidikan yang berkesan dalam melahirkan banyak insan yang berjaya walaupun
kebanyakannya berpandukan daripada falsafah Barat, Timur dan Islam. Implikasi daripada
falsafah-falsafah tersebut masih kekal dalam sistem pendidikan di Malaysia. Pendidikan di
Malaysia juga sememangnya menerapkan fakta-fakta dari falsafah pendidikan yang lain bagi
mewujudkan satu sistem pendidikan yang mantap dan berkesan terhadap para pelajar.
Pendidikan di Malaysia mementingkan aspek-aspek di mana tata tertib, perlakuan dan
pendidikan moral amat dititikberatkan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang
berpengetahuan tinggi di samping mempunyai perwatakan yang sopan. Sukatan pelajaran
pula sentiasa diubah supaya bersesuaian dengan peredaran zaman yang berlaku secara
pesat.

You might also like