You are on page 1of 2

Sekolah dan Pemuafakatan Komuniti

Sekolah merupakan sebuah institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh masyarakat. Dengan kata
lain, sekolah merupakan salah sebuah komuniti dalam masyarakat. Maka, perhubungan sekolah
dengan komuniti boleh diibaratkan bagai isi dengan kuku, mereka saling berinteraksi dan saling
mempengaruhi antara satu sama lain.

Oleh sebab komuniti merupakan sebuah masyarakat kecil, jadi sekolah juga diertikan sebagai
masyarakat kecil kerana sekolah merupakan sebahagian daripada masyarakat di mana semua
anggota hidup bersama dalam kawasan sekolah, mengikut peraturan-pertauran dan cara-cara yang
ditetapkan oleh pihak sekolah. Bukan itu sahaja, sekolah juga berkonsepkan sebagai suatu sistem
sosial iaitu salah satu institusi pendidikan yang ditubuhkan untuk memenuhi keperluan anggota-
anggota masyarakat supaya membolehkan mereka menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran
untuk kemajuan dan perkembangan diri dan masyarakatnya.

Hari ini, sekolah dipertanggungjawabkan untuk memberi pendidikan dan menghasilkan perubahan
positif ke atas pelajar. Oleh itu, sekolah merupakan pengaruh yang utama sebagai satu aspek alam
sekeliling yang mendatangkan kesan di dalam pembentukan sahsiah pelajarnya. Seperti yang sedia
maklum, kebudayaan masyarakat sentiasa mengalami perubahan. Justeru itu, pendidikan sekolah
tidak memadai lagi dengan penyampaian pengetahuan dan cara hidup tradisi sahaja malah ia perlu
menyediakan ahli-ahli masyarakat untuk menghadapi dan menerima proses pembaharuan. Oleh itu,
sekolah juga memainkan peranan sebagai agen memodenisasikan masyarakat dalam semua
bidang perkembangan dan kemajuan selari dengan keperluan-keperluan yang telah dinyatakan
dalam Matlamat Pendidikan Negara.

Selain itu, kerjasama di antara sekolah-sekolah adalah lebih diutamakan untuk memupuk
kesefahaman dan perpaduan di antara anggota-anggota yang terdiri daripada pelbagai kaum. Maka,
di samping meningkatkan kerjasama dalam bidang aktiviti kurikulum dan kokurikulum di antara
sekolah-sekolah daerah, negeri dan negara, konsep sekolah wawasan pula diperkenalkan oleh
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia,
pada bulan Disember 1995 bertujuan memberi peluang kepada murid-murid daripada pelbagai
kaum untuk belajar dan berinteraksi bersama dalam sesuatu kawasan yang sama demi memupuk
dengan lebih awal lagi perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat berbilang kaum.

Sekolah melahirkan pelajar-pelajar atau generasi yang berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia.
Generasi-generasi yang berilmu pengetahuan seterusnya dapat memberi sumbangan yang amat
bernilai untuk perkembangan dan kemajuan masyarakat dan negara. Kerjasama di antara sekolah
dan masyarakat adalah penting untuk membawa sekolah dan masyarakat bersama-sama menuju ke
arah kejayaan dan kegemilangan. Jika kedua-dua aset ini tidak saling berinteraksi sudah pasti
remaja yang berilmu pengetahuan tidak akan terhasil. Oleh sebab itu, dalam pelaksanaan “Satu
Malaysia” remaja dijadikan sebagai aset negara yang utama. Merekalah yang akan menentukan
masa hadapan negara.

Untuk itu, mereka perlu berketerampilan, mempunyai daya saing, kreatif dan inovatif. Remaja yang
berilmu dan bijaksana juga merupakan golongan intelektual yang mampu berfikir dan menyumbang
kepada pembangunan, kemajuan dan juga ketamadunan bangsa dan negara. Dalam
merealisasikan “ Satu Malaysia” remaja seharusnya menghayati falsafah muhibah dan kerukunan
serta keharmonian antara kaum.
Justeru itu, untuk menjayakan semua ini segalanya harus bermula di sekolah dan kerjasama
sekolah itu sendiri dengan komuniti amat penting kerana hubungan kedua-duanya boleh diibaratkan
bagai aur dengan tebing.

You might also like