You are on page 1of 1

Terdapat pelbagai definisi yang diberikan mengenai warga tua.

Menurut kamus dewan bahasa


dan pustaka edisi keempat warga tua didefinisikan sebagai ahli atau anggota yang sudah lanjut
usia. Kebiasaannya warga tua dapat dikesan melalui ciri-ciri fizikal dan biologinya. Hooyman
dan Kiyak (1998) mengkategorikan warga tua kepada empat pendekatan iaitu kronologi, biologi,
psikologi dan sosial. Pendekatan kronologi merujuk kepada peningkatan umur seseorang yang
dikira sejak lahir. Pendekatan biologi pula merujuk kepada perubahan tubuh badan secara fizikal
yang boleh mengurangkan kemampuan sistem organ dalam tubuh disebabkan oleh sel-sel tubuh
menjadi tua dan rosak. Pendekatan psikologi ialah pendekatan yang merujuk kepada perubahan
dalam sistem deria, persepsi dan fungsi mental individu manakala pendekatan sosial merujuk
kepada perubahan peranan dan hubungan individu dengan struktur sosialnya. Di Malaysia,
definisi warga tua diambil dari World Assembly on Aging in 1982. Berdasarkan resolusi yang
dibuat dalam World Assembly on Aging in 1982 di Vienna, warga tua bermaksud mereka yang
berumur 60 tahun ke atas. Umur 60 tahun ini telah dijadikan sebagai petunjuk kepada warga tua
di ASEAN dan Asia termasuklah Malaysia. Negara maju menjadikan umur 65 ke atas sebagai
petunjuk kepada warga tua.

Keprihatinan Malaysia terhadap warga tua amat dititikberatkan kerana warga tua merupakan
sebahagian daripada ahli masyarakat dan negara yang diakui mempunyai banyak pengalaman
dan kemahiran. Mereka telah banyak memberi sumbangan selama ini dan masih mempunyai
potensi menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Oleh yang demikian, adalah
wajar mereka mendapat perhatian, penghormatan dan kasih sayang bagi mempastikan menikmati
kesejahteraan hidup sepanjang hayat. Pihak kerajaan telah mewujudkan dasar terhadap warga tua
iaitu Dasar Warga Tua Kebangsaan dan Dasar Warga Emas Negara. Dasar Warga Tua
Kebangsaan adalah untuk mewujudkan masyarakat warga tua yang sejahtera, bermaruah,
mempunyai martabat diri yang tinggi, dengan mengoptimumkan potensi dlri mereka dan
menentukan mereka menikmati semua peluang di samping mendapat penjagaan dan
perlindungan sebagai ahli keluarga, masyarakat dan negara.

You might also like