You are on page 1of 15

JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

HANG TUAH LAMBANG PERADABAN BANGSA MELAYU


Ayu Nor Azilah Mohamad1
Mohamed Ali Haniffa2
Wayu Nor Asikin Mohamad3

ABSTRAK

Watak Hang Tuah tercatat dan terhurai dengan megahnya dalam karya sastera Melayu
klasik iaitu Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah naratif epik
keagungan orang Melayu, masyarakat dan bangsanya, yang boleh diambil sebagai iktibar
kepada seluruh masyarakat Melayu di mana jua dan pada sepanjang zaman. Fokus
perbincangan artikel ini ialah tentang watak Hang Tuah yang menjadi adiwira kepada
keagungan kerajaan Melayu Melaka. Perbuktian dibuat untuk menjelaskan persoalan
mengenai alam pemikiran orang Melayu yang dicerminkan oleh watak Hang Tuah
sehingga diangkat menjadi watak utama dalam Hikayat Hang Tuah. Pendekatan sastera
sejarah digunakan untuk melihat kehebatan Hang Tuah sehingga menjadi tunjang tentang
kehebatan seorang laksamana laut berdarah Bugis kepada seluruh masyarakat Melayu di
serata dunia. Sifat kesetiaan, keperwiraan, keberanian dan kebaktian Hang Tuah menjadi
ikonik dalam pembinaan peradaban bangsa Melayu demi membela bangsa dan negara.

Kata kunci: Hang Tuah, Hikayat, Perlambangan, Peradaban, Melayu

ABSTRACT

The character of Hang Tuah is recorded and remarkably dignified in the classic Malay
literature, Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah is an epic litarary work describes the
greatness of Malay civilization, which can be taken as a lesson to the whole Malay
community. The focus of this article is the character of Hang Tuah who became the hero of
Malacca Sultanate. The evidence was made to explain on how the Malays’ minds were
reflected by the character of Hang Tuah until it became the main character in Hikayat
Hang Tuah. Historical literature approaches are used to examine the greatness of Hang
Tuah, an admiral that originated from Bugis towards the whole Malay community around
the world. The spirit of loyalty, courageous, bravery and worship of Hang Tuah become
an icon in the construction of Malay civilization.

Keywords: Hang Tuah, Hikayat, Symbolism, civilization, Malays.

1
Pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan, Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor. ayunorazilah@kuis.edu.my
2
Pensyarah Kanan (PhD). Jabatan Pengajian Tamadun dan Falsafah. Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun
dan Falsafah. Universiti Utara Malaysia. Sintok. Kedah. m.ali@uum.edu.my
3
Pensyarah. Jabatan Pengajian Bahasa. Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pengajian Bahasa. Kolej
Universiti Bestari. Setiu. Terengganu. wayu@ucbestari.edu.my

20
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

Pendahuluan

Hang Tuah merupakan wira orang Melayu yang tercatat dalam Hikayat Hang Tuah. Oleh
yang demikian, perbincangan mengenai Hikayat Hang Tuah itu perlu melihat kewujudan
Hikayat Hang Tuah terlebih dahulu. Penceritaan tentang Hang Tuah dalam karya sastera
Hikayat Hang Tuah, iaitu sebuah naratif epik keagungan orang Melayu, masyarakat dan
bangsanya yang menjadi tunjang tentang kehebatan seorang laksamana laut berdarah
Bugis kepada seluruh masyarakat Melayu di serata dunia. Karya ini yang tertulis dalam
bentuk prosa adalah antara karya Melayu klasik yang terpanjang (146,000 perkataan, 491
halaman versi transliterasi huruf rumi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka) yang telah
diterima oleh UNESCO’s Memory of the World Programme International Register pada
tahun 2001 (Hashim Musa, Rohaidah Kamaruddin 2015:ix).
Hikayat Hang Tuah ialah salah satu daripada teks yang tertua yang kita ketahui.
Karya ini sememangnya tiada disebut pengarangnya. Antara faktor lain ialah untuk
melambangkannya sebagai sebuah naratif bangsa Melayu yang dimiliki bersama oleh
seluruh masyarakat Melayu sepanjang zaman. Oleh sebab karya ini merupakan karya
sastera epik, maka mengikut para pengkaji, aspek kejituan sejarahnya tidak perlu
ditekankan, kerana “hikayat ini hendak menciptakan seorang yang luar biasa, seorang
‘superman’, seorang maha manusia, Hang Tuah!” (Hashim Musa & Rohaidah
Kamaruddin, 2015:22).
Hikayat Hang Tuah pertama kali disebut pada kurun ke-17 dan terdapat sekurang-
kurangnya 20 manuskrip teks hikayat ini. Hikayat Hang Tuah telah ditulis antara tahun
1641 dan 1721. Soelastin Soetrisno menyatakan bahawa tarikh itu boleh dirapatkan lagi
iaitu di antara 1676 dengan 1700. Pengarang hikayat ini tidak diketahui tetapi mungkin
menunjukkan bahawa berasal daripada golongan pegawai Raja yang paling kanan, iaitu
Bendahara yang keluarganya mempunyai pertalian darah dengan Raja itu dan yang
kelihatan mungkin memendam cita-cita untuk menduduki takhta (Ahmad Sarji, 2004:2).
Mengikut Encyclopedia of Malaysia, perkataan “hikayat” ialah kata pinjaman
daripada bahasa Arab yang bererti semua jenis sejarah. Erti perkataan ini dalam bahasa
Melayu telah diubah dengan edaran masa sehingga judul sesuatu karya dan perkataan itu
hanya membawa erti ‘cerita’. Cerita-cerita dalam Hikayat Hang Tuah mengemukakan
pengalaman-pengalaman hidup yang tulen yang disuburkan dengan nilai-nilai sastera yang
sebenar. Ini bertepatan dengan Hikayat Hang Tuah bukan karangan sejarah tetapi sebuah
karya sastera Melayu lama iaitu sebuah karya yang asli. Dari segi ini, Hikayat Hang Tuah
tidak ada bandingannya dalam kesusasteraan Melayu lama. Cerita-cerita panji seperti
Hikayat Cekel Waneng Pati berasal dari Jawa. Hikayat Seri Rama dan Hikayat Sang Boma
disadurkan dari epik-epik Hindu, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Muhammad Hanafiah
dan sebagainya diterjemahkan dari sumber-sumber Islam. Hanya Hikayat Hang Tuah
inilah satu-satunya epik Melayu. Sepertimana yang pernah ditegaskan oleh Mohd Taib
Osman dan Abu Hassan Sham bahawa:

“Hikayat ini (Hang Tuah) merupakan epik Melayu asli yang terbesar dan
terpenting.”
(Mohd Taib Osman dan Abu Hassan Sham, 1983:98)

Nama Hang Tuah dan sahabat-sahabat karibnya, iaitu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang
Lekir dan Hang Lekiu amatlah masyhur dalam kalangan bangsa Melayu. Kisah-kisah
mereka berulang-ulang disebut dan diceritakan dari dahulu hinggalah sekarang ini, dari
yang berbentuk cerita-cerita lisan, wayang-wayang bangsawan hinggalah kepada
sandiwara dan filem. Bangsa Melayu tidak pernah jemu-jemu dengan kisah pahlawan

21
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

mereka ini. Kita juga tidak dapat menyangkal bahawa dalam Hikayat Hang Tuah ada
kalanya perasaan kemanusiaan dan semangat kepahlawanan yang dilahirkan serta
dilukiskan di dalamnya menimbulkan perasaan kagum, ghairah dan hormat di dalam
sanubari. Perasaan seperti ini juga pasti telah dialami oleh pembaca atau pendengar tiga
ratus tahun dahulu dan mungkin tiga ratus tahun yang akan datang. Hal ini kerana sifat-
sifat inilah yang membenarkan Hikayat Hang Tuah digelar sebuah manuskrip klasik.
Pada zaman sains ini banyak orang membahaskan soal kewujudan atau tidaknya,
munasabah atau karutnya, dongeng atau sebenarnya tokoh-tokoh ini dan sebagainya. Soal-
soal sedemikian ini lebih merupakan soal-soal sejarah yang sedikit kerumitan dapat
dihuraikan selagi penyelidikan sejarah mengenai bangsa Melayu dan tanah air belum
dibuat dengan begitu dalam, luas dan dengan kaca mata kebangsaan. Walau pun begitu,
kisah lima orang pahlawan ini semenjak beratus-ratus tahun sudah memang menjadi kisah
yang melambangkan kepahlawanan Melayu. Pahlawan-pahlawan tersebut merupakan
sumber ilham kepada bangsa Melayu dalam bercita-cita dan berusaha membangun dan
maju kembali pada zaman-zaman kemudiannya. Oleh itu dalam zaman kemerdekaan dan
pembangunan bangsa dan negara sekarang ini sesuai benarlah jika Hikayat Hang Tuah ini
diberi perhatian. Tambahan pula hikayat ini merupakan salah satu karya asli dan agung
dalam kesusasteraan Melayu (Kassim Ahmad 1993: vii-xvii).

Ciri-Ciri Peradaban Melayu

Masyarakat Melayu lama sememangnya telah mempunyai peradaban. Hal ini akan dapat
dibuktikan melalui kajian mengenai ciri-ciri peradaban masyarakat Melayu berdasarkan
teks Hikayat Hang Tuah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, peradaban bermaksud
keadaan serta tingkat kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani sesuatu bangsa dan
masyarakat (Kamus Dewan Edisi Keempat 2005: 7). Malah perkataan peradaban ada
kaitan dengan akar kata adab yang mempunyai hubungan erat dengan etika. Perkataan
adab yang berasal daripada bahasa Arab secara harfiah bermaksud prinsip bertingkah laku
atau kesan daripada tingkah laku yang baik dan benar. Beradab bererti bersopan,
terhormat, hidup teratur oleh hukum, dan diikat oleh sistem masyarakatnya (Esa Khalid &
Mohd. Azhar Abd. Hamid 2004:150-151). Secara umumnya, ciri-ciri tamadun dalam
pembinaan sesuatu peradaban ialah:

1. Wujudnya sistem kepercayaan dan agama;


2. Kewujudan penempatan masyarakat manusia di sesebuah kawasan atau
beberapa kawasan yang disatukan membentuk kota, bandar atau madinah
seperti Lembah Indus, Lembah Yang Tze dan Lembah Nil;
3. Peningkatan kualiti kehidupan yang lebih baik, seterusnya terhasil
peningkatan jangka hayat;
4. Kewujudan sistem organisasi dan institusi sosial dalam bidang politik,
pentadbiran, ekonomi dan pendidikan yang lebih baik dan teratur;
5. Kemunculan satu bahasa atau beberapa bahasa yang serumpun dengan satu
sistem tulisan yang tersendiri bagi menjadi perantaraan komunikasi,
perakaman, penyampaian dan pewarisan khazanah tamadun dalam
pelbagai bidang ilmu;
6. Kewujudan sistem perundangan yang teratur dan sistem nilai serta moral
yang berwibawa yang dikuatkuasakan untuk mengatur perlakuan dan
tindak-tanduk masyarakatnya dalam segala kegiatan kehidupan;
7. Kelahiran dan peningkatan daya reka cipta dalam penciptaan teknologi dan
pembinaan bagi menyempurnakan lagi keselesaan kehidupan; dan

22
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

8. Kelahiran dan perkembangan daya kreativiti dalam menghayati falsafah,


kesenian, kesusasteraan dan nilai estetika yang tersendiri.
(Osman Bakar, Azizan Baharuddin, Zaid Ahmad (Editor)
2012:9)

Berdasarkan ciri-ciri umum di atas, perwatakan Hang Tuah dalam teks Hikayat Hang Tuah
telah menggambarkan peradaban Melayu pada zamannya. Ini berdasarkan beberapa
peristiwa yang melibatkan Hang Tuah sendiri, sahabat-sahabat Hang Tuah, masyarakat
yang diwakili oleh Hang Tuah dan negara yang didiami oleh Hang Tuah. Bukan itu sahaja,
pemikiran masyarakat Melayu yang dicorakkan oleh pengarang kepada watak Hang Tuah
bagi mencerminkan peradaban Melayu turut dibawa oleh Hang Tuah ke luar negara ketika
menjadi ‘utusan diraja’.
Fokus perbincangan artikel ini ialah untuk melihat pemikiran masyarakat Melayu
melalui perwatakan Hang Tuah berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah. Untuk itu, beberapa
peristiwa yang melibatkan watak Hang Tuah akan ditonjolkan bagi melihat peradaban
Melayu. Ini bersesuaian dengan kedudukan Hikayat Hang Tuah sebagai sebuah epik
Melayu yang menonjolkan kisah Hang Tuah sebagai mewakili masyarakat Melayu. Bagi
memaparkan peristiwa-peristiwa tersebut, pembacaan dan penelitian serta analisis setiap
peristiwa dilakukan terhadap teks Hikayat Hang Tuah.

Hang Tuah Lambang Peradaban Melayu

Hikayat Hang Tuah merupakan sebuah epik Melayu yang mengandungi nilai-nilai
kesusasteraan yang tinggi. Hikayat ini banyak memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan,
kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai moral dan sebagainya. Hikayat ini juga
mencerminkan budaya bangsa Melayu, cara hidup, alam kehidupan dan corak pemikiran
bangsa Melayu pada zaman itu.
Pelukisan watak Hang Tuah sebagai hero yang digambarkan begitu gagah, berani,
setia, bijak dan amat patuh kepada pemerintah, biarpun kadang-kadang sudah dianggap
keterlaluan bagi pemikiran masyarakat masa sekarang. Namun perlu difahami bahawa
segala reaksi dan tindakan Hang Tuah yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah memang
dianggap amat bertepatan dengan pandangan dan sikap masyarakat pada zamannya. Turut
diketengahkan dalam hikayat ini ialah aspek kesetiaan dan ketaatan bangsa Melayu yang
digambarkan dalam sifat serta watak Hang Tuah. Begitu juga kesanggupan dan
kemasyhuran bangsa Melayu dalam pembinaan peradaban digambarkan dalam
pengembaraan serta kebolehan Hang Tuah.
Bagi melihat pemikiran masyarakat Melayu dalam perwatakan Hang Tuah,
beberapa aspek yang boleh diketengahkan antaranya ialah aspek keperwiraan, kesetiaan,
kebaktian, keberanian dan sebagainya.

1) Kepahlawanan

Berdasarkan teks Hikayat Hang Tuah, watak Hang Tuah ialah manusia sejarah. Hang Tuah
bukanlah manusia biasa tetapi berfungsi sebagai simbol keperwiraan bangsa Melayu.
Diberikan sifat berani, kecekalan hati, keyakinan penuh pada diri sendiri dan jiwa
pendekar dalam permainan senjata sebenarnya menjadi lambang keperwiraan bangsa
Melayu sendiri. Keperwiraan Hang Tuah adalah keperwiraan bangsa Melayu malah
keagungan kerajaan Melayu Melaka sesungguhnya amat bergantung kepada keterlibatan
Hang Tuah dalam politik Kesultanan Melayu Melaka. Dengan ayat yang paling mudah,
kejayaan kerajaan Melayu Melaka pada zaman kegemilangannya telah membentuk dalam

23
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

diri manusia cemerlang bernama Hang Tuah. Jadi, kejayaan Melayu dan kejayaan bangsa
Melayu dilambangkan sebagai seorang perwira yang ‘mythical’, yakni manusia yang
membela kesultanan dan keamanan bangsanya.
Sebagai menggalas watak agung bangsa Melayu, watak Hang Tuah dicipta bukan
untuk menggambarkan kebenaran sejarah tetapi dilihat untuk dijadikan lambang
kemegahan dan kekuatan bangsa Melayu. Menurut Kassim Ahmad:

“Kebangunan, kebesaran dan kejatuhan Melaka berhubung rapat dengan tokoh


Hang Tuah. Apabila Melaka besar dialah menjadi orang kanan bersama
bendahara dalam urusan pentadbirannya, dan dalam urusan keselamatan negeri,
suaranya muktamad. Apabila ia jatuh sakit Melaka diancam oleh Portugis dan
terus kalah apabia ia berundur diri daripada perkhidmatan negara. Tidak lain
Hang Tuah ialah lambang kekuasaan dan kebesaran Melaka. Di dalam
hidupnya tercatat riwayat kerajaan Melayu Melaka dan riwayat bangsa Melayu
dalam zaman feudal yang sudah lampau” (Hikayat Hang Tuah 1993:xvi).

A. Teeuw memberi makna perkataan “Tuah” (fortune) yang bermaksud bahagia dan
selamat. Ini bererti nama Hang Tuah itu sendiri telah mendorong beliau berperanan
mendukung keselamatan negara dan bangsanya. Sifat kepahlawanan dan kebijaksanaan
Hang Tuah dapat dilihat ketika peristiwa Hang Tuah menggunakan kuasa ghaibnya
menyengetkan jong Tun Ratna Diraja dan Tun Bira Sira kerana mereka keberatan hendak
bekerjasama membawa Tun Teja ke Melaka. Akan tetapi apabila mereka menyaksikan
sesuatu yang luar biasa akibat kepahlawanan Hang Tuah itu, baharulah utusan dari Siam
itu bersetuju bekerjasama dengan Hang Tuah. Selain itu, peristiwa yang disebutkan juga
perbuatan Hang Tuah memanah dan mengusir angkatan pimpinan Seri Buana Inderapura
yang bertujuan hendak mengambil semua Tun Teja dapat dilakukan.

Gambaran kepahlawanan Hang Tuah:


“… dipanahnya, ditujunya kepala perahunya kenaikan laksamana itu, lalu patah.
Maka dipanahnya pula, ditujunya temberang; kena, lalu putus. Maka ditujunya pula
kemudi, itu pun kena lalu patah” (Hikayat Hang Tuah:246).

Selain itu, Hang Tuah memanah tunggul perahu Tun Jenal lalu patah. Bendahara Seri
Buana Inderapura mengakui kehandalan dan kepahlawanan Hang Tuah lalu mengajak
angkatannya berundur. Kehandalan dan ketangkasan Hang Tuah diakui di samping
memiliki ilmu kebatinan yang tinggi;

“Jika engkau hendak tahu, akulah hulubalang Yang Dipertuan Melaka yang tiada
berlawan di tanah Majapahit. Jika selagi ada kerisku dua bilah ini dan anak
panahku yang sembilan ratus sembilan puluh ini bahawa sekali-kali Tun Teja ini
tiada aku kembalikan” (Hikayat Hang Tuah:245).

Malah, Hang Tuah sendiri mengeluarkan kata-kata yang menunjukkan dirinya bersifat
kepahlawanan dan berani adalah seperti berikut:

“… jikalau tiada gerangan kupandang kasihnya, sekarang juga kelengkapan ini


habis kubinasakan dengan anak panahku yang sembilan ratus sembilan puluh ini,
suatu pun anak panahku tidak jatuh ke tanah, sekaliannya mengenai orang
Inderapura juga” (Hikayat Hang Tuah:245).

24
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

Keperwiraan Hang Tuah bukan setakat menonjol di bumi Melaka malah turut terserlah di
dunia luar seperti di Benua Keling, Benua China, Siam, Majapahit dan Turki. Hang Tuah
memang diakui sebagai Laksamana yang sukar ditandingi dalam apa jua aspek sekalipun.
Sesungguhnya keperwiraan Hang Tuah menjadi inspirasi kepada masyarakat Melayu.
Justeru, keagungan Hang Tuah merupakan keagungan bangsa Melayu.

2) Kesetiaan

Hang Tuah diperlihatkan sebagai seorang watak yang amat setia kepada tuannya.
Ketaatsetiaan yang dipapar oleh Hang Tuah begitu mutlak (absolute) sifatnya. Hang Tuah
sanggup berkorban apa sahaja termasuk nyawanya sendiri sebagai pertaruhan seandainya
diperlukan oleh raja dan negara. Prinsip hidupnya iaitu ‘pantang Melayu menderhaka
kepada raja’ sebenarnya merupakan lambang kesetiaan masyarakat Melayu keseluruhan di
dalam pemerintahan feudal. Raja (Sultan) dianggap sebagai tempat bergantung hidup dan
tempat mendapatkan perlindungan oleh rakyat pada zaman feudal. Mereka percaya, raja
merupakan titisan dewa-dewa dan wakil Tuhan di dunia. Justeru itu, segala titah perintah
daripada raja mesti dijunjung dan kedaulatan raja mesti dipelihara.
Hang Tuah sebagai hulubalang dan juga laksamana Melaka memang terkenal
dengan kesetiaannya kepada raja. Hang Tuah juga begitu setia terutamanya kepada raja
keturunan dari keinderaan iaitu dari Bukit Siguntang Mahabiru. Dalam satu peristiwa
Hang Tuah diperintah supaya membunuh Sang Jaya Nantaka yang telah dilantik menjadi
Raja Muda kerana telah difitnah orang. Akan tetapi Hang Tuah memohon maaf;

“Setelah Tun Tuah mendengar titah raja demikian itu maka Tun Tuah pun
menghunus keris panjangnya dan penduanya lalu meniarap sujud bersembahkan,
“Ya Tuanku Syah Alam, patik tuanku melalui titah tuanku yang maha mulia itu
derhakalah. Patik mohonkan ampun dan kurnia di bawah Duli Yang Dipertuan,
yang nama patik mendatangkan tangan patik ke atas anak cucu raja di Bukit
Siguntang itu mohonlah patik” (Hikayat Hang tuah; 84-85).

Apabila diperhatikan, hanya peristiwa di atas merupakan satu-satunya perintah dan


kehendak raja Melaka yang tidak dapat ditunaikan oleh Hang Tuah. Namun, dalam
peristiwa yang lain, Hang Tuah amat patuh, mengambil berat terhadap perintah atau yang
ada kepentingan raja. Contohnya peristiwa utusan rombongan Melaka ke Majapahit yang
diketuai oleh Patih Kerma Wijaya dan Hang Tuah sendiri.

Selain itu, peristiwa Hang Tuah difitnah oleh Patih Kerma Wijaya akibat hubungan Hang
Tuah yang terlalu akrab dan disayangi oleh raja. Akibatnya, Hang Tuah dijatuhi hukuman
bunuh. Lalu Bendahara datang menemui Hang Tuah dan menerangkan perintah raja itu.
Kesetiaan Hang Tuah diperlihatkan;

“Setelah laksamana mendengar kata bendahara demikian itu, maka laksamana pun
menghunus kerisnya dari pinggangnya lalu dipersembahkannya pada bendahara;
demikian katanya, “Alhamdulillah! Si Tuah tiada bertuan dua tiga dan Si Tuah
tiada mahu derhaka kepada tuannya. Segeralah datuk kerjakan titah yang maha
mulia itu” (Hikayat Hang Tuah; 207).

Kesetiaan Hang Tuah terserlah apabila beliau amat berpegang kepada prinsip ‘buat baik
berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali’. Pegangan tersebut merupakan lambang
prinsip kesetiaan orang Melayu ketika itu. Sesiapa yang menderhaka bererti maut bakal

25
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

diterima. Hang Tuah sendiri telah bersumpah bahawa beliau sama sekali tidak akan
bertuan kepada orang lain selain daripada Raja Melaka. Hang Tuah tidak pernah belot
sama ada di negara sendiri mahu pun di negara lain ketika berkhidmat sebagai diplomat.
Hang Tuah merupakan lambang kesetiaan bangsa Melayu kepada pihak pemerintah tanpa
memperhitung kesilapan rajanya. Sebagai rakyat, menjadi satu tanggungjawab
mencurahkan ketaatsetiaan mutlak kepada raja. Ini sebenarnya mencerminkan kesetiaan
rakyat keseluruhan ketika itu.
Suatu peristiwa Hang Tuah menawarkan diri untuk mengambil buah nyiur gading
di dalam taman raja yang terlalu tinggi tetapi di tengah-tengah batangnya telah dimakan
anai-anai. Sebelum itu tidak ada seorang pun yang berani melakukannya. Hang Tuah
berjaya memperoleh buah nyiur itu. Jasa dan kesetiaan Hang Tuah menyebabkan dia amat
disayangi oleh raja;

“Maka raja pun makin bertambah-tambah kasihnya dan kurnia akan laksamana;
barang sembah laksamana itu tiadalah dilalui oleh raja. Maka segala pegawai dan
pertuanan pun semakin bertambah-tambah dengkinya akan laksamana” (Hikayat
Hang Tuah: 277).

Kesan daripada itu, Hang Tuah sekali lagi difitnah oleh para pembesar dan Patih Kerma
Wijaya yang menyebabkan Hang Tuah dijatuhi hukuman bunuh. Bendahara menyedari
kedudukan perkara itu lalu menyuruh Hang Tuah bersembunyi di Hulu Melaka. Tidak
lama kemudian meletuslah pula peristiwa Hang Jebat yang cuba menuntut bela atas
kematian Hang Tuah. Akhirnya Hang Jebat dianggap penderhaka oleh raja. Dalam
keadaan terdesak, Hang Tuah dipanggil semula. Ketika dalam persembunyian, Hang Tuah
menuntut ilmu dengan Syeikh Mansur yang banyak memberi perangsang.

“Setelah laksamana mendengar kata syeikh demikian itu, maka ia pun terlalu belas
akan raja lalu titik air matanya serta menghunus pisau dari pinggangnya …”
(Hikayat Hang Tuah:373).

Ini menjelaskan bahawa semenjak kemunculan Hang Tuah, bumi Melaka semakin
gemilang di mata dunia. Hang Tuah merupakan tunggak utama kerajaan Melaka dalam
menjadi sebuah negara yang berpengaruh dan stabil. Keberadaan Hang Tuah di Melaka
membuatkan Melaka ampuh dari serangan musuh. Beberapa pembesar sendiri melahirkan
rasa cemburu terhadap Hang Tuah seperti peristiwa di atas kerana Hang Tuah berjaya
menyelesaikan banyak isu di Melaka dan sangat disayangi sultan. Hal ini membuatkan
beberapa pembesar berasa tersisih. Walau bagaimanapun, setelah Hang Tuah ‘dihukum
bunuh,’ baharulah pembesar tersebut menghargai kepentingan dan keberadaan Hang Tuah
di Melaka (Norazimah Zakaria, Suhana Sariff, Mazarul Hasan Mohamad Hanafi, 2016).
Apabila dijemput semula dengan tidak berlengah-lengah, Hang Tuah pergi
mengadap raja di istana Melaka.

“Setelah laksamana melihat raja datang, maka laksamana pun segera meniarap
sujud pada kaki raja. Maka raja pun memeluk mencium laksamana seraya dipegang
tangan laksamana lalu dibawa baginda ke rumah bendahara” (Hikayat Hang
Tuah:374).

Sifat kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja telah menyebabkan Hang Tuah
sanggup membunuh Hang Jebat iaitu sahabat karibnya sejak kecil. Hang Jebat telah
dianggapnya telah menderhaka kepada raja. Bagi Hang Tuah, sesiapa sahaja yang

26
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

menderhaka, tanpa mengira kawan atau lawan, pengakhirannya mesti dihapuskan.


Tindakan tersebut penting demi memelihara dan mempertahan institusi kesultanan agar
sentiasa teguh dan utuh. Kedaulatan raja mesti dipelihara dan keagungan bangsa Melayu
mesti diutamakan. Hang Tuah adalah manusia sejarah dan legenda yang menjadi lambang
kesetiaan bangsa Melayu khususnya di dalam institusi Kesultanan Kerajaan Melayu
Melaka yang mengamalkan corak pemerintahan feudal.

3) Kebaktian

Dengan berbekalkan prinsip ‘Melayu tidak akan hilang di dunia,’ Hang Tuah diceriterakan
sejak kecil dalam lingkungan umur 10 tahun lagi sehinggalah meningkat dewasa didapati
tidak henti-henti membuat jasa kebaktian kepada raja dan negara. Jadi, tidak hairanlah
apabila disebut Hang Tuah sebenarnya adalah lambang bagi kebesaran dan kekuasaan
bangsa Melayu.
Hang Tuah bukan sekadar sebagai insan penyelamat bangsanya bahkan kebaktian
yang dicurahkan selama ini mencerminkan kelebihan bangsa dan negaranya pada kaca
mata dunia.

“Memperlihatkan kelebihan Melaka ke atas Majapahit, Tanah Melayu atas Pulau


Jawa, dan terutama kelebihan abdi Melayu Hang Tuah ke atas abdi Jawa Gajah
Mada, kedua-duanya sebagai lambang negaranya.”

Sebagai rakyat, hasrat berbakti kepada tuannya begitu membuak-buak. Justeru, Hang Tuah
dikatakan menurut apa sahaja yang dititahkan oleh raja sehinggakan sanggup mempertaruh
nyawanya demi mencurahkan kebaktian. Hang Tuah melaksanakan tanggungjawab yang
diberikan oleh sultan dengan jayanya dan bersungguh-sungguh demi mempertahan
kedudukan serta kedaulatan negara bangsanya. Sifat kehulubalangan dan keinginan Hang
Tuah berbakti kepada rajanya tergambar dalam episod kegagalan urusan peminangan Tun
Teja, puteri Bendahara Inderapura (Pahang) oleh Tun Utama dan Tun Bija Sura. Katanya
kepada raja;

“Maka Tun Tuah pun menyembah seraya berkata, Cih! Bukan orangnya yang
dititahkan itu. Jika Si Tuah gerangan membawa titah tuannya, sehingga putih
tulang, tiada putih mata!” Setelah Tun Utama dan Tun Bija Sura mendengar kata
Tun Tuah itu maka Tun Utama dan Tun Bija Sura pun masam mukanya” (Hikayat
Hang Tuah:116).

Ekoran kegagalan rombongan peminangan tersebut, Hang Tuah sendiri yang pergi semula
ke Inderapura dalam usaha membawa Tun Teja untuk dipersembahkan kepada raja
Melaka. Peristiwa penolakan peminangan tersebut telah memberi kesan kepada Hang
Tuah. Hang Tuah seolah-olah terasa terhina. Hal ini kerana jiwa Hang Tuah terlalu kasih
dan sayang akan raja lalu Hang Tuah mencuba nasib. Jika berjaya, sudah tentu pada
anggapan Hang Tuah kesalahannya yang lalu akan dimaafkan.

“Maka Laksamana pun fikir dalam hatinya, “Adapun aku ini dimurkai oleh Duli
Yang Dipertuan Melaka. Jika demikian baiklah aku mencari satu kebaktian supaya
aku boleh kembali ke Melaka; kerana Duli Yang Dipertuan Melaka dahulu terlalu
amat berahi akan Tun Teja, malah keturunan gila. Jika demikian, baiklah Tun Teja

27
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

itu kuperdayakan kubawa pulang ke Melaka untuk dipersembahkan pada baginda


itu, supaya aku beroleh kembali” (Hikayat Hang Tuah:217).

Memang tepat jangkaan Hang Tuah. Setelah berjaya mempersembahkan Tun Teja, Raja
Melaka amat gembira dan barulah menyedari akan kesetiaan Hang Tuah yang sanggup
berbakti.

“Maka raja bertitah, “Ayuh, mamak bendahara; kita hendak anugerah nama akan
Tun Tuah itu, kerana ia banyak kebaktiannya pada kita dengan teguh setianya.”
Maka sembah bendahara, “Daulat tuanku, sebenarnyalah patik itu dianugerah
nama.” Maka titah raja, “Hai Hang Tuah, kita anugerahi nama ‘Laksamana’
dudukmu di atas segala hulubalang” (Hikayat Hang Tuah:252).

Hang Tuah akan berasa bahagia apabila hati rajanya gembira dan apabila dimurkai, Hang
Tuah akan menambat hati tuannya dengan berusaha memperoleh apa yang dihajati oleh
tuannya. Contohnya peristiwa Hang Tuah melarikan Tun Teja demi mengambil hati Sultan
Melaka seperti yang dikisahkan di atas. Kebaktian Hang Tuah bukan didorong oleh sikap
prejudis yang mempunyai kepentingan tertentu tetapi keikhlasan Hang Tuah yang semata-
mata ingin menegakkan keutuhan bangsa Melayu dan menjaga institusi diraja agar tidak
dapat dicabar.

4) Keberanian

Dalam Hikayat Hang Tuah, nilai keberanian banyak digambarkan melalui watak Hang
Tuah dan empat orang sahabat karibnya. Sejak awal lagi kelima-lima mereka digambarkan
mempunyai keberanian dan kepintaran memberi buah fikiran biarpun dalam keadaan
genting.

Contohnya peristiwa ini:

“Maka kata Hang Jebat, “Perahu musuhlah lakunya. Apa bicara kita sekalian?”
Maka sahut Hang Kasturi, “Apatah yang kita endahkan? Yang kita kehendak pun
bertemu dengan perahu musuh.” Maka sahut Hang Lekir dan Lekiu, “Mengapa
pula begitu! Masa beta tuangkan; sehingga mati sudahlah.” Maka kata Hang Tuah
seraya tersenyum, “Hai saudaraku, pada bicara hamba, baik juga perang di atas
pulau kerana perahu kita kecil; tewas juga kita kerana ia tiga buah dengan besarnya
dan senjata pun banyak dan orang pun banyak; sukar melawani dia” (Hikayat Hang
Tuah: 24-25).

Bagaimana pun penonjolan Hang Tuah sebagai seorang yang berani melebihi para
sahabatnya yang lain. Contohnya Hang Tuah hanya berseorangan berjaya membunuh
orang yang mengamuk di kampungnya ketika berusia 10 tahun.

“Maka orang mengamuk itu pun datanglah ke hadapan Hang Tuah serta ditikamnya
dada Hang Tuah. Maka Hang Tuah pun melompat menyalahkan tikam orang itu;
maka salah tikamnya itu. Maka Hang Tuah pun melompat, maka diparangnya
kepala orang mengamuk itu dengan kapak, kena, belah dua; …”
(Hikayat Hang Tuah: 24-25).

28
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

Sifat keberanian Hang Tuah juga dipaparkan semasa Hang Tuah bersama-sama Patih
Kerma Wijaya mengetuai utusan meminang Puteri Raden Galuh Emas Ayu di Majapahit;

“… maka Tun Tuah pun geram rasanya. Maka ia pun memekis, katanya, “Cih,
barang siapa undur setapak juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini.
Bukan orangnya yang hendak digertak-gertak itu.”
Maka orang mengamuk itu pun datang pula; dilihatnya segala Melayu itu bergerak
pun tiada” (Hikayat Hang Tuah:125).

Berpunca daripada raja Majapahit sendiri iaitu Betara Majapahit, yang menyuruh orang-
orangnya mengamuk ketika utusan dari Melaka berjalan menuju ke istananya untuk
menguji keberanian utusan dari Melaka itu;

“Maka titah Seri Betara pada Patih Gajah Mada, “Pada bicaraku, mari kita cuba
utusan Melayu ini, beranikah atau penakutkah ia ini, beranikah atau penakutkah ia
ini, kerana aku dengar hulubalang yang enam orang datang ini akan ganti, maka
telinga rajanya dan penaka tubuh rajanya” (Hikayat Hang Tuah; 122).

Disebabkan raja Melaka telah beristeri dua iaitu berkahwin dengan Tun Teja, maka ia
mendatangkan kemarahan kepada Seri Betara Majapahit. Seri Betara bertambah-tambah
marah kerana sebelum itu pun beliau berhasrat hendak membunuh raja Melaka, Hang Tuah
dan menakluk negeri Melaka. Namun yang menjadi penghalangnya ialah laksamana Hang
Tuah. Sewaktu raja Melaka berada di Majapahit, Seri Betara dan Patih Gajah Mada
sentiasa bersahaja mencari jalan bagaimana hendak mencapai maksud mereka. Antaranya
menyuruh 40 orang yang terpilih handal supaya mengamuk dan menghapuskan Hang Tuah
serta orang Melayu yang lain. Selepas itu memerintahkan Petala Bumi dan Barit Ketika.
Banyak peristiwa di Majapahit yang mendedahkan keberanian Hang Tuah. Bahkan
bukan sahaja keberanian Hang Tuah ditonjolkan tetapi gambaran ketinggian ilmunya yang
boleh menjelmakan dirinya menjadi harimau. Contohnya;

“Maka laksamana pun melompat, diparangnya harimau itu. Maka ia pun melompat;
salah parang laksamana pun. Maka laksamana pun menjadikan dirinya seekor
harimau pula, lalu bertangkap keduanya terlalu gempita bunyinya. Maka dilihat
Barit ketika harimau itu tertangkap, maka tewas Petala Bumi oleh laksamana.”
(Hikayat Hang Tuah:334)

Dalam Hikayat Hang Tuah banyak peristiwa yang mendedahkan keberanian Hang Tuah
khususnya dan juga para sahabatnya. Peristiwa-peristiwa tersebut seperti yang berlaku di
Majapahit, di Inderapura, di Siam (bertembung dengan pendekar Jepun), peristiwa
bertembung dengan angkatan Portugis dan banyak lagi peristiwa lain.

5) Prinsip Pantang Derhaka

Gambaran masyarakat dalam Hikayat Hang Tuah memaparkan tentang masyarakat yang
memiliki struktur organisasi, iaitu raja mempunyai kedudukan paling atas. Malah raja
memiliki kuasa pentadbiran sepenuhnya. Segala perintah raja tidak dapat disangkal dan
kata-kata raja itu dianggap sebahagian daripada undang-undang. Rakyat pula dikehendaki
memberi hormat dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada raja. Ini bersesuaian
dengan masyarakat Melayu yang tertanam nilai-nilai hidup seperti konsep ‘pantang anak

29
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

Melayu menderhaka kepada raja’. Jika ada seseorang membuat sesuatu yang bercanggah
dengan kehendak raja maka orang berkenaan dianggap sebagai orang yang menderhaka.
Jika tanpa adanya penderhakaan dalam sesebuah negeri atau kerajaan, maka sudah
tentu raja akan dapat memerintah dengan aman dan stabil. Keadaan politik akan menjadi
stabil. Hasilnya rakyat keseluruhan dapat hidup dalam aman dan damai serta para
pedagang pula akan datang beramai-ramai ke dalam negeri untuk menjalankan perniagaan.
Prinsip taat setia dan ‘pantang anak Melayu derhaka’ ini dilihat dalam Hikayat
Hang Tuah lebih menjurus kepada konsep kedaulatan raja. Apatah lagi dipercayai
keturunan raja Melaka berasal dari Bukit Siguntang Mahabiru iaitu raja keinderaan yang
turun dari kayangan bernama Sang Sapurba yang lahir bersama-sama makhota. Ini
bermakna bukan keturunan rakyat biasa tetapi tergolong dalam tinggi darjatnya. Bagi
Hang Tuah, hanya keturunan raja dari Bukit Siguntang sahaja yang dia akui sebagai ketua
atau rajanya. Ketaatan Hang Tuah begitu ketara sehingga di hadapan raja-raja lain pun dia
sanggup berkata sedemikian.
Umpamanya ketika Hang Tuah dalam buangan di Inderapura, dipujuk oleh raja
Inderapura supaya terus menetap di situ;

“Maka titah raja, “Baiklah Tun Tuah duduk di Inderapura ini.’ Maka sembah
laksamana, “Daulat Tuanku Syah Alam, apatah salahnya patik jadi hamba ke
bawah Duli Yang Dipertuan? Tetapi Si Tuah tiada mahu bertuan lain daripada anak
cucu raja di Bukit Siguntang .…” (Hikayat Hang Tuah:216).

Jelas bahawa masyarakat zaman itu amat patuh dan memandang tinggi terhadap
kedudukan raja terutamanya yang berketurunan dari Bukit Siguntang. Keturunan dari
Bukit Siguntang dipercayai mempunyai daulat. Jika kata-kata atau perintahnya tidak
diikuti maka akibatnya seseorang itu akan ditimpa bencana dan akan mendatangkan sial
kepada seluruh masyarakatnya. Oleh itu, sebagai mengelakkan terkena daulat maka semua
golongan rakyat hendaklah setia dan jangan menderhaka (Muhammad Yusoff Hashim
2015:19).
Mengikut kepercayaan masyarakat zaman dahulu, jika sekalipun raja berlaku
zalim, rakyat tidak harus memberontak tetapi akan suatu kuasa lain yang akan
menghancurkan negeri tersebut. Oleh sebab itu, jika pihak raja dan rakyat berpegang teguh
kepada kata sepakat maka akan berpanjanganlah kerajaan itu dan rakyat akan hidup dalam
keadaan harmoni, aman serta tenteram.
Demikianlah yang berlaku terhadap Hang Jebat yang dianggap menderhaka kepada
raja Melaka. Hang Jebat bertindak demikian disebabkan hendak menegakkan keadilan
kerana Hang Tuah dibunuh oleh raja tanpa usul periksa. Kezaliman membuka jalan kepada
penderhakaan. Terdapat sebilangan masyarakat dahulu berpendapat, raja memerintah
mestilah adil dan rakyat taat setia; apabila raja menjadi zalim, rakyat boleh membuangkan
ketaatannya. Sebilangannya membenarkan tindakan Hang Jebat (Mohd Yusof Ibrahim
2009:168).
Namun, raja bertindak zalim kerana merasakan itu hak mutlaknya. Fikiran serupa
itu pula dipersetujui oleh masyarakat feudal pada zaman itu. Raja Melaka sendiri telah
mengisytiharkan Hang Jebat sudah menderhaka. Baginda menitahkan agar Hang Jebat
ditangkap dan dihukum serta merta. Namun, tiada seorang pun yang berani dan berjaya
melaksanakan titah itu. Hang Jebat gagal dan dikecewakan oleh Hang Tuah, rakan karib
dan yang dibelanya sendiri. Akibat perasaan yang amat kecewa, Hang Jebat bertindak liar
lalu melepaskan geramnya kepada rakyat Melaka yang dianggapnya menyokong perbuatan
raja yang zalim itu. Hal itu membawa kepada peristiwa pembunuhan Hang Jebat dan
rakyat Melaka banyak yang menjadi korban.

30
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

Hang Jebat sendiri menerangkan sebab-sebab kenapa dia berbuat demikian.

“Sebab pun aku berbuat pekerjaan demikian, kerana laksamana itu akulah yang
membalas dia pada raja Melaka dan segala pegawai yang dengki akan dia.
Sekarang mengapa maka segala pegawai yang dengki akan laksamana itu tiada
dititahkan raja membunuh aku supaya aku penggal lehernya …”
(Hikayat Hang Tuah:365).

Niat seperti itu belum terdapat dalam masyarakat feudal pada masa itu dan dianggap
sebagai perbuatan yang melampaui batas serta menderhaka. Kemunculan semula Hang
Tuah memberikan satu kejutan yang tidak terhingga kepada Hang Jebat. Dia terperanjat
kerana tidak menyangka sama sekali bahawa Hang Tuah masih hidup. Pada hematnya
Hang Tuah telah dibunuh Bendahara atas titah sultan. Jikalau dia mengetahui Hang Tuah
masih hidup sudah pasti dia tidak akan menderhaka kepada raja.
Tetapi ternyata langkahnya sudah terlanjur;

“Hai orang kaya Laksamana, keranamulah maka aku berbuat pekerjaan ini. Pada
bicaraku, engkau tiada dalam dunia ini lagi. Jika aku tahu akan engkau ada hidup,
demi Allah dan Rasul-Nya, tiada aku berbuat pekerjaan ini.”
(Hikayat Hang Tuah:382)

Namun sebagai pahlawan, Hang Jebat tidak mudah menyerah kalah sebelum berjuang.
Walaupun Hang Jebat menyedari bahawa kematiannya hanya di tangan Hang Tuah tetapi
dia seolah-olah yakin selagi keris Taming Sari masih ada dalam tangannya, Hang Tuah
tidak akan dapat membunuhnya. Tambahan pula Hang Jebat masih menyakini bahawa
segala kejadian dan takdir semata-mata disebabkan oleh Allah. Hang Jebat tidak
menyangka Hang Tuah beria-ia benar hendak membunuhnya. Di samping itu, dia tidak
putus-putus cuba menjelaskan mengapa dia sanggup melakukan pekerjaan yang tidak
sepatutnya dilakukan sebagai seorang pahlawan;

“Aku pun kerana dilihat engkau dibunuh oleh bendahara tiada dengan dosanya;
sebab itulah maka sakit hatiku, sedang engkau banyak kebaktianmu dan jasamu
lagi dibunuh oleh raja, istimewa aku pula” (Hikayat Hang Tuah:387).

Selain daripada alasan yang diberi, Hang Jebat menganggap tujuan Hang Tuah
menemuinya semata-mata untuk membunuhnya. Hang Jebat juga terfikir bahawa
kesalahan sudah terlalu banyak. Ini selaras dengan prinsip hidupnya ‘sepala-pala nama
jahat jangan kepalang, seperti pantun Melayu, rosak bawang ditimpa jambaknya.’ Bagi
Hang Jebat, dengan berbuat demikian maka lengkap dan sempurnalah namanya yang
dianggap sebagai penderhaka.
Sebagai seorang pahlawan yang mempunyai prinsip tersendiri dan memang
bertentangan dengan Hang Tuah, beliau sememangnya tidak sanggup membunuh Hang
Tuah. Oleh yang demikian, beliau rela mati di tangan orang yang dianggap sebagai saudara
kandungnya. Hang Jebat menangis kerana terlalu terharu mendengar pengakuan Hang
Tuah bahawa betapa berat hatinya melaksanakan hukuman raja kerana selama ini bukan
hanya sebagai sahabat tetapi sudah seperti saudara kandung.

“Maka kata laksamana, “Hai Si Jebat, apatah dayaku, kerana aku dititahkan raja
membuangkan engkau? Dalam pada itu pun, jika engkau berdosa ini lain daripada

31
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

dosa yang demikian, tahu juga kupohonkan. Yang engkau dan Hang Kasturi, Hang
Lekir, Hang Lekiu ini bukanlah sahabat lagi padaku penaka saudarakulah. Sukar
aku berkata.” Setelah hang Jebat mendengar kata laksamana itu, maka ia pun
menangis, katanya, “Kerana kita ini pun lima saudara berkecil-kecilan; bukan lagi
sahabat. Penaka saudaralah” (Hikayat Hang Tuah:390).

Hang Tuah juga berasa serba salah dan amat berat untuk membunuh Hang Jebat. Tetapi
apakan daya baginya pantang anak Melayu berbuat penderhakaan kepada rajanya.
Akhirnya Hang Jebat dapat ditumpaskan oleh Hang Tuah. Sebenarnya Hang Jebat
berupaya untuk mengalahkan Hang Tuah berdasarkan kecergasan namun dia rela mati di
tangan Hang Tuah. Bagi Hang Jebat, tidak ada gunanya hidup lama jika semua golongan
masyarakat pada masa itu menganggapnya sebagai pendosa dan penderhaka terhadap
rajanya. Hang Jebat amat serba salah berhadapan dengan Hang Tuah iaitu orang yang
dikasihinya dan punca yang menyebabkan dia bangun menuntut bela.
Kasih Hang Tuah kepada Hang Jebat pula tetap wujud walaupun dia sendiri yang
menikam Hang Jebat;

“Setelah laksamana mendengar kata Hang Jebat demikian itu, maka dipimpin oleh
laksamana tangan Hang Jebat dibawanya ke kampungnya. Maka oleh laksamana
disapunya darah pada segenap tubuh Hang Jebat pun dibawa ke rumahnya. Maka
kata laksamana pada Hang Jebat, “Hai saudaraku, mahukah saudaraku makan nasi
walau sesuap?” (Hikayat Hang Tuah:395).

Perbuatan yang dilakukan oleh Hang Jebat pada sama itu dianggap oleh masyarakat feudal
sebagai penderhaka. Sebenarnya cara Hang Jebat itu telah mendahului zamannya. Taraf
pemikiran Hang Jebat tidak sesuai dengan masyarakat pada masa itu. Sebaliknya amat
bersesuaian dengan taraf pemikiran masyarakat pada hari ini yang semakin lama semakin
maju. Oleh itu, setiap tindak-tanduk yang menyalahi undang-undang, adat dan budaya
pada masa itu dianggap salah. Perbuatan yang menyalahi batas-batas kesusilaan
masyarakat pada zamannya, perlu diberi hukuman setimpal dengan kesalahan tersebut.
Justeru itu, masih wujud persoalan sama ada perbuatan Hang Jebat itu dianggap mengikut
lunas-lunas yang betul. Hal ini disebabkan perbuatan membela sahabatnya adalah di jalan
yang benar tetapi kesalahan yang besar ialah membunuh ramai orang dengan cara melulu
sedangkan mereka tidak berdosa.
Namun demikian, masyarakat pada zaman sekarang menerima kenyataan bahawa
perjuangan Hang Jebat di tempat yang sewajarnya dan selaras dengan aspirasi rakyat.
Walaupun perbuatan membunuh itu keterlaluan tetapi dari aspek psikologi seseorang yang
sudah kecewa maka perjuangan itu perlu diteruskan. Di sini nampak ketegasan pendirian
Hang Jebat yang tidak mengenal sama ada seseorang itu rakyat biasa atau golongan raja.
Segala tindakan Hang Jebat itu tidak akan berlaku jika rakyat, kerajaan dan raja
mengamalkan konsep sistem kemasyarakatan, kemanusiaan dan nilai-nilai murni yang
dibanggakan oleh semua golongan bagi membentuk sebuah masyarakat yang jitu serta
bermaruah.
Hang Tuah berpegang kepada prinsip ‘anak Melayu pantang derhaka’ manakala
Hang Jebat pula ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.’ Perbezaan prinsip
antara Hang Tuah dengan Hang Jebat ini telah memberi satu gambaran bahawa masyarakat
lebih menerima konsep yang dipegang oleh Hang Tuah. Hang Tuah tetap dianggap
pembela dan penyelamat maruah raja dengan menghapuskan penderhaka dalam
masyarakat ketika itu. Hal ini jelas terbukti apabila dikhabarkan oleh bendahara bahawa
Hang Tuah masih hidup, sultan Melaka sangat gembira. Malah tindakan Bendahara yang

32
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

tidak menjalani perintah raja tidak dianggap pula difikirkan sebagai ‘ingkar kepada titah
raja.’ Apabila dilihat pada masa itu, tindakan Bendahara itu ‘dimaafkan’ oleh raja kerana
telah menyelamatkan Hang Tuah. Hang Tuah amat diperlukan untuk ‘menghilangkan’
Hang Jebat. Inilah pemikiran masyarakat Melayu pada zaman itu.
Untuk itu, konsep pantang derhaka perlu difahami dan ditanam kepada semua
lapisan rakyat di seluruh negara terutamanya apabila kedatangan agama Islam. Konsep
kesetiaan dan hormat-menghormati antara satu sama lain hendaklah dipupuk. Amalan-
amalan seperti seperti tidak menderhaka kepada orang tua, guru, ketua dan seumpamanya
hendaklah disemai sejak kecil lagi (Abdul Halim Bandan 1994:110).

Kesimpulan

Hikayat Hang Tuah telah memperkenalkan watak Hang Tuah yang menjadi tunjang
kepada pergerakan plot cerita. Hang Tuah beraksi sebagai duta yang bijaksana dan berani
terutamanya ketika mengunjungi negeri luar. Ini bersesuaian dengan sifat bangsa Melayu
yang sebati dalam peribadi Hang Tuah. Hang Tuah suka merendah diri dan bersopan
santun di hadapan majlis di raja. Di tempat beliau singgahi kegagahannya menjadi perkara
yang menakjubkan. Hang Tuah juga fasih bertutur dalam bahasa negeri-negeri yang
dikunjunginya. Ini disisipkan bertujuan untuk menzahirkan satu pembayangan tentang
corak kota Melaka sendiri iaitu kota kosmopolitan. Melaka sarat disinggahi oleh pelbagai
bangsa di dunia serta dengan pelbagai bahasa pertuturan di pasar dagangan Melaka.
Manakala bahasa perdagangan utama ialah bahasa Melayu.
Kesemua sifat kota Melaka ini dan dengan kekayaannya termasuk kekayaan budi
pekerti orang Melayu berserta diplomasinya dilambangi oleh Hang Tuah. Mungkin juga
kunjungan-kunjungan Hang Tuah itu adalah bertujuan untuk memperkenalkan bangsa
Melayu kepada dunia.
Di bawah pimpinan Hang Tuah, cita-cita Melaka untuk memperluas jajahan
taklukan terlaksana. Terengganu, Inderapura, Bentan dan Lingga telah dibawa ke bawah
pemerintahan Melaka. Itu semua diperlihat kebesaran kebaktian Hang Tuah terhadap
Melaka sehingga seorang pun tiada sama martabat dengannya. Hang Tuah adalah
merupakan tunjang pasak negara kerana setiap kejadian mengenai Melaka berkait rapat
dengan Hang Tuah. Hakikatnya bahawa Hang Tuah adalah tulang belakang susunan
pemerintahan negara Melaka dengan pemasyhuran demikian;

“Barang sesuatu pekerjaan jika tiada Laksamana membicarakan belum-lah putus,


kerana perkataan Laksamana itu perkataan raja-lah, tiada-lah berani Bendahara dan
Temenggong dan segala pegawai dan pertuanan sekalian melalui bicara Laksamana
itu” (Hikayat Hang Tuah:638).

Hang Tuah juga unsur pandangan hidup zaman feudal iaitu dalam wataknya terjalin
semangat kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dan jiwa yang pantang derhaka. Semangat
kesetiaan dan jiwa pantang derhaka ini adalah sendi dan corak masyarakat Melayu feudal.
Dasar perjuangannya adalah “sehingga puteh tulang-nya tiada puteh mata,” dan falsafah
hidupnya; “baik mati dengan nama yang baik, jangan hidop dengan nama yang jahat …”
(Hikayat Hang Tuah:943). Politik zaman feudal adalah kuasa mutlak raja dan ini diberi
keteguhan oleh satu kepercayaan rakyat; “kerana raja pun ganti Allah subhanahu wata’ala
di dalam dunia …” (Hikayat Hang Tuah:126). Hang Tuah sebagai pejuang dan penjamin
tata susila masyarakat. Jelas terbukti bahawa melalui watak Hang Tuah kita boleh
mengetahui alam fikiran masyarakat Melayu.

33
JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH
e-ISSN: 2289-8042
SPECIAL ISSUE (2017)

Rujukan

Abdul Halim Bandan. 1994. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Cahaya Pantai
Publishing (M) Sdn. Bhd.
Ahmad Sarji. 2004. Hang Tuah:Tokoh Epik Nasional. Selangor: Pelanduk Publications
(M) Sdn. Bhd.
Dr. Muhammad Yusoff Hashim. 2015. Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin). Melaka: Kolej
Universiti Islam Melaka.
Esa Khalid & Mohd Azhar Abd Hamid. 2004. Beberapa Aspek Tamadun Melayu, India,
China dan Jepun. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Hashim Musa & Rohaidah Kamaruddin. 2015. Hang Tuah Catatan Okinawa. Serdang:
Universiti Putra Malaysia.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kassim Ahmad. 1993. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Taib Osman dan Abu Hassan Sham. 1983. Warisan Prosa Klasik. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Badon & A. Samad Harun. 1993. Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Nurin
Enterprise.
Muhd Yusof Ibrahim. 2009. Tun Perak: Pencetus Wawasan Empayar Melaka. Kuala
Lumpur: Tinta Publishers.
Norazimah Zakaria, Suhana Sariff, Mazarul Hasan Mohamad Hanafi. 2016. “Strategi
Kepengarangan Melayu Tradisi sebagai Lambang Akal Budi Bangsa yang Tinggi”
dalam Journal of Education and Social Sciences, Vol 3, (Feb.) ISSN 2289-9855.
Perak: Universiti Sultan Idris Shah.
Osman Bakar, Azizan Baharuddin & Zaid Ahmad. 2012. Modul Pengajian Tamadun
Islam dan Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

34

You might also like