Professional Documents
Culture Documents
Penerapan Nilai-Nilai Islam Melalui Penggunaan Media Dalam Pendidikan
Penerapan Nilai-Nilai Islam Melalui Penggunaan Media Dalam Pendidikan
net/publication/326059445
CITATIONS READS
3 2,193
4 authors, including:
Noranis Ismail
Taylor's University
3 PUBLICATIONS 3 CITATIONS
SEE PROFILE
Some of the authors of this publication are also working on these related projects:
All content following this page was uploaded by Rezki PERDANI Sawai on 29 June 2018.
Kebiasaannya, nilai‐nilai moral dan budaya diterapkan dari satu genarasi ke generasi
yang lain melalui didikan ibu bapa, orang dewasa atau guru di sekolah. Kehidupan pada
masa kini, dipengaruhi oleh teknologi moden dan masyarakat terbudaya dengan media
di mana kebanyakan ideologi budaya dan penerapan nilai diturunkan dari satu generasi
ke generasi yang lain melalui media seperti televisyen, muzik dan Internet. Kanak‐kanak
di Malaysia juga terpengaruh dengan media terutama media yang berunsurkan hiburan.
Kajian ini bertujuan untuk melihat penggunaan media elektronik dalam penerapan nilai‐
nilai Islam kepada kanak‐kanak dengan mengenalpasti nilai‐nilai yang boleh difahami
daripada cerita Upin dan Ipin dan mengenalpasti pengaruh media terhadap sikap dan
tingkah laku kanak‐kanak. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa media mempunyai
potensi untuk menerapkan nilai melalui konsep didik hibur. Batasan, saranan dan
cadangan kajian juga dibincangkan.
Kata kunci: Upin dan Ipin, nilai‐nilai Islam, media
.............................................................................................................................
Kertas kerja dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan Media dan Pemikiran Islam
(MIST2009) pada 21‐22 Julai 2009 di Hotel Equatorial, Bangi, Malaysia.
1. Latarbelakang kajian
Perkembangan pesat teknologi moden telah menjadikan media sebagai salah satu alat
yang sangat berpengaruh dalam kehidupan individu terutama di kalangan generasi muda
kanak‐kanak. Perkembangan teknologi pendidikan telah diterima oleh kebanyak guru
sebagai inovasi yang menjadi penawar kepa hampir semua keperluan pengajaran seperti
yang dinyatakan oleh Mohd. Arif dan Rosnanin (2001) dalam Mohd. Arif dan Amla
(2008).
Secara semulajadi, minda seorang kanak‐kanak sangat mudah untuk dipengaruhi.
Terutama dengan rancangan‐rancangan yang ditayangkan di televisyen; tidak kira jalan
cerita atau isi kandungannya, formatnya dan gerakannya. Maka apabila masa dihabiskan
dengan menonton televisyen, kanak‐kanak akan terikut‐ikut dengan apa yang
ditontonnya, dan tentulah media tersebut seolah‐olah menjadi guru kepada kanak‐
kanak tersebut (Perloff, 1997).
Menonton televisyen bukanlah satu perlakuan yang pasif. Kanak‐kanak akan memproses
secara aktif apa yang mereka tontoni daripada media televisyen. Mereka akan
memberikan reaksi terhadap paparan auditori dan visual serta menimbangkan sama ada
untuk menonton atau tidak sesuatu rancangan itu. Berdasarkan Huston et al. (1992),
selain daripada tujuan mencari hiburan, kanak‐kanak menggunakan televisyen sebagai
alat untuk mempelajari sesuatu.
Kanak‐kanak akan terlibat secara aktif dalam sesuatu rancangan yang ditontoni
berdasarkan tahap pemahaman mereka tentang apa yang berlaku di dalam rancangan
tersebut. Beberapa rancangan kanak‐kanak telah dibentuk yang bukan sahaja
merangkumi isi kandungan hiburan tetapi bertujuan mengajar konsep nilai dan sifat‐
sifat yang positif. Beberapa contoh rancangan atau program kanak‐kanak popular
daripada Barat yang mempunyai elemen di atas termasuklah Sesame Street, Blue’s Clues
dan Dora the Explorer. Manakala di Malaysia, Upin dan Ipin, Kacang dan Usop Sontorian
adalan contoh rancangan‐rancangan yang mempunyai ciri‐ciri yang sama. Rancangan‐
rancangan ini bukan sahaja menghiburkan, malahan menggalakkan kanak‐kanak untuk
menggunakan daya pemikiran di samping memberikan kemahiran memproses masalah.
Selari dengan perkembangan minda kanak‐kanak, mereka akan mempelajari proses
menonton televisyen. Misalnya, kanak‐kanak yang kecil tidak dapat mengingati plot
cerita yang ditonton berbanding kanak‐kanak yang lebih tua umurnya. Semakin tua
umur seorang kanak‐kanak, daya pemahamannya terhadap isi kandungan rancangan
yang ditontoninya itu juga meningkat dan mereka juga akan menonton dengan lebih
strategik dan kritikal (Perloff, 1997).
Salomon (1983) menyatakan bahawa media menyediakan sistem yang simbolik untuk
pemprosesan kerana media bukan sahaja menyiarkankan kandungan kepada penonton,
tetapi kandungan yang disiarkan itu mempunyai bentuk dan struktur yang seragam. Ini
boleh dilihat daripada persepsi penonton tentang dunia yang dibentuk melalui
televisyen misalnya, cara hidup di Hollywood adalah kaya dan glamor, maka, cara hidup
semua orang Amerika adalah sedemikian.
Kanak‐kanak pula belajar cara‐cara berfikir dan bertingkah‐laku melalui media dengan
memahami rancangan disiarkan dari segi kandungan dan format dan juga karakter dan
plot sesuatu cerita. Kanak‐kanak juga belajar bahawa sifat tertentu boleh dikaitkan
dengan jenis kandungan yang tertentu. Walaubagaimanapun, rancangan yang disajikan
oleh media bukanlah bersifat positif semata dan memenuhi kehendak budaya hidup
masyarakat di Malaysia.
Warren (1997) menyebut bahawa apa yang paling penting adalah untuk ibubapa
menjadi agen pembudayaan dengan menonton bersama kanak‐kanak agar dapat
bersama‐sama terlibat dalam dialog secara aktif tentang visual dan cerita yang
ditontoni. Dengan ini, ibubapa dapat membentuk selera rancangan yang patut ditonton
oleh kanak‐kanak seterusnya menjadi agen pembudayaan yang positif dalam
perkembangan kanak‐kanak.
Pengaruh media terhadap kanak‐kanak terutama televisyen adalah satu isu yang sering
diperkatakan oleh ibubapa, pendidik, para pengkritik media dan kumpulan‐kumpulan
lain. Sesetengah daripada mereka melihat media sebagai positif di mana ia dapat
membantu proses pembentukan kanak‐kanak manakala ada juga yang tidak
berpendapat sedemikian.
2. Penyataan masalah
Islam telah lama mengajar peri pentingnya cerita sebagai bahan dalam mendidik,
berdakwah dan menasihati orang lain seperti kisah‐kisah yang diceritakan di dalam Al‐
Quran dan hadith seperti kisah‐kisah para nabi di antaranya Surah Ashabul Kahfi, Surah
Nabi Yusof AS dan Nabi Sulaiman AS. Setiap cerita ini mengandungi pengajaran yang
tiada tandingan dan boleh dijadikan bahan dalam pengajaran khususnya dalam
penerapan nilai‐nilai Islam yang murni.
Walaupun terdapat pelbagai cerita atau siri yang ditayangkan di televisyen yang menarik
perhatian kanak‐kanak, terlalu sedikit kajian yang dibuat berkaitan dengan kesan cerita‐
cerita tersebut terhadap perkembangan nilai dan moral kanak‐kanak di Malaysia.
Terdapat kajian‐kajian lepas yang menyatakan keberkesanan siri dan cerita Sesame
Street, Electric Company dan Mister Roger’s Neighborhood dalam peningkatan kognitif
dan pencapaian akademik kanak‐kanak serta nilai‐nilai sosial seperti semangat
kerjasama dan interaksi positif (Mares & Woodward, 2001). Bagaimanapun, kesemua
cerita tersebut adalah berlatarbelakangkan budaya Barat yang mungkin kurang sesuai
dengan budaya Asia terutama di kalangan masyarakat Malaysia.
2.1 Kerangka Konseptual
Menurut Bandura (2004) dalam Mohammad (2008) menyatakan pengaruh media dalam
mempengaruhi perubahan tingkah laku sosial dan peribadi pengguna media boleh
berlaku melalui dua cara (dual path of influence), iaitu melalui jalan terus dan melalui
intervensi faktor sistem sosial (mediated path of influence). Penggunaan media ke atas
sosial dan individu melalui intervensi sosial bergantung pada efikasi kemahiran kognitif
sosial individu seperti kemahiran pengaturan kendiri (self‐regulatory capability),
kemahiran muhasabah kendiri (self‐reflective capability), kemahiran memahami mesej
komunikasi (symbolic communication capability), dan kemahiran dan kemampuan
mempelajari mesej simbolik (vicarious capability). Mohammad (2008) meringkaskan
teori kognitif sosial dan program didik hibur menjadi inspirasi kepada pengkaji untuk
menjalankan kajian ini.
Pengaruh Terus
Penerapan Nilai mengambil kira Teori Perkembangan Moral
Kogtitif Kohlberg
Rajah 1: Pengaruh simbolik komunikasi media secara terus dan melalui intervensi kognitif sosial ke atas
perubahan sistem sosial dan tinglah laku individu
Sumber : Ubahsuai dari Mohamad (2008):Falsafah, Sejarah dan Fungsi Pendekatan Didik Hibur Media
untk Perubahan Tingkah Laku Sosial dan Personal
Teori perkembangan moral oleh Lawrence Kohlberg (dalam Rahman, 1999) yang
memberi tumpuan kepada pertimbangan moral dan dikategorikan kepada tiga tahap
atau enam peringkat seperti berikut: Tahap prakonvensional terbahagi kepada dua
peringkat; (i) Orientasi dengan kepatuhan (kesan‐kesan fizikal menentukan apa yang
baik atau jahat), (ii) Orientasi instrumental relativus (apa yang memuaskan keperluan
diri sendiri adalah baik), dan tahap konvensional terbahagi kepada dua peringkat; (iii)
peringkat orientasi persetujuan antara individu atau ”good boy‐nice girl” (apa yang
menenangkan atau membantu orang lain adalah baik), (iv) Orientasi undang‐undang
dan peraturan (melihat sosial order, melaksanakan tugas atau tanggungjawab adalah
baik). Sementara tahap ketiga, pascakonvensional yang juga terbahagi kepada dua
peringkat; (v) Orientasi contact‐ligalistic social (nilai yang dipersetujui masyarakat,
termasuk hak‐hak individu dan peraturan untuk mencapai persetujuan menentukan apa
yang benar) ;dan (vi) Orientasi prinsip etika sejagat (apa yang benar ialah sosial suara
batin yang harmoni dengan prinsip sejagat, iaitu keadilan).
Bedasarkan kerangka konseptual di atas, pengkaji cuba menjalankan kajian rintis dan
kajian sebenar yang menggunakan bahan media DVD kartun kanak‐kanak Upin dan Ipin
yang dianggap menghibur dan diminati oleh kanak‐kanak Malaysia masa kini.
2.2 Definisi konsepsual kajian
Istilah penting dalam kajian ini ialah definisi ”penerapan nilai‐nilai Islam ”. Nilai Islam
adalah nilai sejagat yang mengandungi nilai‐nilai moral dan etika yang boleh diterima
oleh semua agama. Ajaran Islam mencakupi tiga aspek iaitu aqidah, ibadah dan akhlak.
Akhlak Islam berasaskan pegangan aqidah iaitu beriman dan percaya kepada Allah SWT.
Aqidah yang bersih adalah paksi melahirkan akhlak mulia. Manakala ibadah dalam Islam
terbahagi kepada dua, iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus ialah
kepatuhan dan tunduk kepada hukum: rukun Islam dan rukun Iman. Manakala ibadah
umum ialah selain yang terkandung dalam ibadah khusus yang merangkumi segala
gerak‐geri dan tindak tanduk manusia berhubung dengan kehidupan seharian dalam
keluarga, masyarakat dan berbakti kepada bangsa serta negara (Abdul Rahman, 1999).
Orang Islam mempercayai peraturan moral yang ditetapkan oleh Tuhan ditafsirkan
dalam tradisi agama. Peraturan ini merangkumi setiap individu di mana sahaja dan tidak
bergantung kepada kebolehannya untuk memberi kepuasan kepada manusia sahaja
atau yang telah dibentuk oleh segolongan masyarakat. Pewajarannya ialah peraturan
moral adalah hak Tuhan (Buku Sumber UNESCO, 1999). Konsep nilai dan moral dalam
Islam tertumpu kepada prinsip dan asas kepercayaan tertentu. Antaranya ialah: Tuhan
adalah Pencipta alam dan merupakan sumber kepada semua yang baik, benar dan
indah; manusia adalah khalifah di bumi Tuhan; kesederhanaan; kesepaduan dan
penguasaan semua secara praktikal adalah asas kepada pencapaian keutuhan yang
tertinggi dan moral yang kukuh; dan tanggungjawab muktamad manusia adalah kepada
Tuhan yang menciptanya.
Hierarki Nilai dalam Islam mengikut susunan nilai dan moral yang bersifat inklusif dan
bersepadu, merangkumi kepercayaan kepada Tuhan, amalan keagamaan, ibadat,
tingkah laku sosial, membuat keputusan, menimba ilmu, tabiat makan, kesopanan
dalam peraturan dan semua aspek dalam kehidupan manusia. Dari sudut epistemologi,
nilai dalam Islam boleh diatur dalam satu hierarki tertentu mengikut keutamaan (Rajah
2).
4 – Nilai tambahan
3 – Nilai utama
2 – Nilai
teras
1
Nilai asas
Rajah 2: Hierarki Nilai Mengikut Islam
Sumber: Buku Sumber UNESCO‐APNIEVE (1999)
Terdapat satu nilai asas sahaja iaitu kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan,
empat nilai teras seperti tingkahlaku yang baik, keberanian, keadilan dan kebijaksanaan,
beberapa nilai utama seperti persaudaraan, sikap penyayang dan pemurah, belas
kasihan, ketekunan, kebebasan, penghargaan, kejujuran, memberi layanan dan baik,
merendah diri, keutuhan, kemesraan, kesedaran, kepatuhan kepada Tuhan,
kesederhanaan, keamanan, ketekunan, bertanggungjawab, hormat, kesyukuran,
kreativiti, amanah, ketulusan, ketabahan; dan pelbagai nilai tambahan pemikiran kritis,
demokrasi, hak asasi manusia, cintakan ilmu pengetahuan, perasaan kekitaan, sikap
kekeluargaan, kemampanan pembangunan, berpandangan jauh, bertanggungjawab
kepada diri sendiri, tanggungjawab dan hubungan yang harmonis dan erat, bekerjasama
untuk kebaikan, penggunaan masa yang berkesan, kebebasan bertutur, pengurusan
kewangan yang berkesan, penampilan diri yang sopan, disiplin kendiri, berdikari,
tanggungjawab sosial, bersikap baik hati dalam semua aspek kehidupan, konsisten
dalam tindakan, menghormati kemuliaan dan hak asasi individu lain, kesederhanaan
dalam keseronokan dan penggunaan sumber yang berkesan.
Nilai‐nilai Islam merangkumi nilai akhlak dan moral yang mana akhlak bermaksud
perangai atau tingkah laku, tabiat, kepercayaan, pegangan atau agama. Moral dan
akhlak terbentuk hasil daripada pendidikan dan pembudayaan yang bermaksud boleh
diajar dan dipelajari.
Media dalam Pendidikan membawa maksud bahan bantu mengajar yang menggunakan
media dari segi teknologi dan bahannya telah berkembang dalam pendidikan Amla
(2008). Perkembangan teresebut menurut para pengamal media, khususnya guru
memahami kriteria dan menguasai kemahiran‐kemahiran tertentu. Menurut Amla:
“Terdapat beberapa isi pokok yang perlu difahami oleh para pendidik semasa
menggunakan media dalam pengajaran dan pembelajaran. Kefahaman tentang
impak media secara am dan kepentingan memahami konsep celik media agar
dapat diterapkan dalam pembangunan bahan pengajaran yang menggunakan
bahan media”
(Amla, 2008)
Peranan media dalam pendidikan moral dapat dilihat dalam dua sudut. Pertama,
pendidikan nilai dapat dibina dalam pendidikan celik media. Kedua, menggunakan
media dalam pedagogi dan kandungan pengajaran nilai yang dapat menggantikan
pengajaran/pembelajaran nilai yang sering dianggap menjemukan Amla (2008). Media,
terutamanya media elektronik atau digital dapat membantu proses pembelajaran nilai
secara berkesan. Bagi tujuan kajian ini media yang dimaksudkan merujuk kepada alat
cakera padat cerita bersiri komik kanak‐kanak yang bercirikan nilai Islam iaitu cerita
Upin dan Ipin.
3. Objektif Kajian
(a) Untuk melihat penggunaan media dalam penerapan nilai‐nilai Islam kepada kanak‐
kanak;
(b) Untuk mengenalpasti nilai yang difahami dari cerita Upin dan Ipin
(c) Untuk mengenalpasti pengaruh media terhadap sikap dan tingkah laku kanak‐kanak
4. Metodologi
Kajian ini dijalankan secara tinjauan iaitu maklumat diperolehi melalaui soal selidik.
Kajian ini melibatkan sebuah sekolah rendah.
4.1 Sampel Kajian
Sampel kajian terdiri daripada 55 orang pelajar tahun 1 dan 2. Daripada jumlah itu, 27
orang pelajar lelaki dan 28 orang pelajar perempuan. Pemilihan sampel adalah dibuat
secara bertujuan.
4.2 Alat kajian
Alat kajian yang digunakan di dalam kajian ini adalah soal selidik. Alat kajian ini
mengadungi 9 item utama yang merangkumi 32 sub‐item bagi keseluruhan soal selidik.
Kajian rintis menggunakan analisis alpha Cronbach telah dijalankan untuk menentukan
kebolehpercayaan alat kajian Alat kajian ini mengandungi 32 item yang mewakili 2
dimensi iaitu i) minat menonton cerita kartun, dan ii) Nilai yang difahami dari cerita
Upin dan Ipin.
4.3 Analisis Data
Data kajian ini dianalisis menggunakan Statistical Packages for Social Sciences versi 13.0.
Statistik deskriptif digunakan untuk menganalisis maklumat responden. Kaedah
kuantitatif yang akan digunakan adalah bersifat survey. Pada hari kajian, kanak‐kanak
dalam lingkungan umur 7‐8 tahun telah menonton DVD cerita Upin dan Ipin.. Setelah
selesai, pengkaji akan mengedarkan borang soal‐selidik yang dianggap sesuai dengan
tahap usia kanak‐kanak tersebut.
5. Keputusan dan perbincangan kajian
Dapatan kajian ini menghuraikan penggunaan media elektronik yang merangkumi tv,
video dalam penerapan nilai‐nilai Islam di kalangan responden. Berdasarkan analisis
data, didapati bahawa kesemua responden (100%) mempunyai minat yang tinggi untuk
melihat media bersifat audio visual khususnya tv. Jenis audio visual yang dikaji adalah
cerita kartun. Sebanyak 93% responden meminati cerita kartun, manakala 7% tidak
meminati kartun. Media yang berbentuk audio visual khususnya kartun menarik
perhatian kanak‐kanak kerana memiliki ciri‐ciri seperti warna yang terang, bunyi yang
pelbagai, lagu dan sebagainya.
Selain menghiburkan, kartun juga mampu mendidik kanak‐kanak tentang nilai‐nilai
Islam, budaya dan sosial masyarakat. Ini adalah selari dengan pendapat Papa et. al
(2000) yang mendefinisikan program didik hibur sebagai suatu proses yang direka dan
digunakan sebagai mesej media untuk menghibur dan mendidik dalam meningkatkan
pengetahuan terhadap sesuatu ilmu, menjana atitud yang positif dan change behaviors.
Pengkaji menyenaraikan 8 jenis kartun yang mengandungi pengajaran nilai. Antaranya
ialah siri animasi Kacang, Bola Kampung, Usop Sontorian, Kluangman, Spongebob
Squarepants, Dora the Explorer, Mickey Mouse Clubhouse, dan Jimmy Neutron.
Spongebob Squarepants merupakan kartun yang paling diminati oleh responden dengan
kekerapan 93% manakala hanya 27% daripada jumlah responden menonton cerita
kartun Kluangman. Kesemua responden (100%) meminati cerita kartun Upin dan Ipin.
Hasil dapatan kajian juga mendapati bahawa responden memahami nilai‐nilai Islam
seperti kasih sayang, hormat, cakap benar, amanah, tidak tamak, sabar, pemaaf, puasa,
sedekah, solat tarawikh, mengaji dan tolong‐menolong yang cuba diterapkan oleh
kartun Upin dan Ipin. Amalan dan nilai Puasa dan Mengaji mendapat kekerapan tertinggi
oleh responden sebanyak 100%. Nilai tidak tamak dalam kajian iini mendapat skor
kekerapan terendah iaitu sebanyak 23%.
Pengkaji juga cuba mendapat responden terhadap minat kepada watak‐watak
kegemaran mereka dalam Upin dan Ipin. Ada lima watak utama iaitu Upin, Ipin, Fizi,
Ehsan dan Mael (rujuk Rajah 3).
Rajah 3: Lima watak utama cerita Upin dan Ipin
Sumber: Les Copaque Production (2009)
Kebanyakkan responden memilih Ipin sebagai watak kegemaran mereka (98%)
manakala watak yang paling tidak digemari ialah Mael iaitu sebanyak 36% sahaja. Alasan
yang diberikan oleh responden semasa memilih watak yang digemari adalah kerana
watak itu bersifat kelakar. Watak‐watak tersebut juga menjadi ikutan kebanyakkan
responden. 82% menyatakan mereka meniru perangai watak yang mereka gemari.
Kanak‐kanak pada umur 7‐8 tahun cenderung untuk meniru perlakuan model yang
dilihat. Dapatan kajian ini menyokong teori sosial kognitif yang dikemukakan oleh Albert
Bandura. Bandura menyarankan perkembangan pembelajaran berlaku melalui
pemerhatian atau imitasi. Pembelajaran jenis ini melibatkan proses memberi perhatian,
mengingat, melkaon dan memurnikan dalam minda dan melakonkan semula. Di
akhirnya individu ini diberi peneguhan supaya dia lebih bermotivasi melakukan tindakan
yang diingini. Adalah tanggungjawab keluarga untuk memberi peneguhan kepada
kanak‐kanak berkaitan nilai‐nilai yang telah dipelajari dari media. Kebanyakan
responden (69%)menyatakan bahawa mereka menonton tv bersama ahli keluarga.
6. Cadangan dan saranan
Terdapat beberapa batasan kajian. Antaranya ialah kesukaran untuk membuat
penentuan umur bagi responden kajian yang bersesuaian dengan tahap pemahaman
nilai yang ditunjukkan dalam media yang dipilih. Adalah dicadangkan agar pengkaji
bekerjasama dengan guru untuk mengenalpasti responden dengan lebih dekat sebelum
kajian dibuat.
Limitasi kajian yang lain adalah berkaitan dengan alat kajian itu sendiri. Alat kajian yang
dibina oleh pengkaji perlu dikemaskinikan dan disesuaikan dengan tahap pemahaman
dan usia responden.
Memandangkan kajian ini merupakan satu kajian rintis, pengkaji berhasrat untuk
melanjutkan kajian ini pada masa akan datang. Kajian yang berkaitan dengan penerapan
nilai boleh dibuat dalam pelbagai reka bentuk kajian seperti eksperimental, kualitatif
dan mixed method untuk memahami lebih mendalam peranan dan penggunaan media
dalam penerapan nilai‐nilai Islam.
Hasil kajian akan memberi perspektif dan pembelajaran baru kepada penyelidik untuk
membina modul pembelajaran dan pengajaran yang bersesuaian untuk kanak‐kanak.
Ianya berpotensi dijadikan model pembelajaran dan pengajaran yang berkesan bagi
semua guru khususnya bagi guru sekolah rendah.
Dapatan kajian boleh dikongsikan kepada tenaga pengajar lain melalui laporan yang
dicetak dalam jurnal universiti dan dibentang di seminar anjuran universiti tempatan
dan di peringkat kebangsaan. Selain itu akan diterbitkan sebagai bahan bacaan ilmiah
dan rujukan bagi para ilmuan akademik dan pelajar‐pelajar.
Berpotensi membentuk pelajar di peringkat master untuk menjalankan kajian sama ada
secara kuantatif atau kualitatif sebagai usaha penambahbaikan sistem pengajaran dan
pembelajaran
Bibliografi
Bandura, A. (1977). Social learning theory. United States: New Jersey.
Huston, A. (1992). Big world, small screen: The role of television in American society.
United States: University of Nebraska.
Jawatan Kuasa APNIEVE Malaysia Kementerian Pendidikan. (1999). Buku sumber
UNESCO‐APNIEVE. Kuala Lumpur: Jawatan Kuasa APNIEVE Malaysia Kementerian
Pendidikan.
Kohlberg, L. (1984). the psychology of moral development: The nature and validity of
moral stages. United States: Harper & Row.
Mares, M. L., & Woodward, E. H. (2001). Prosocial effects on children’s social
interactions: Handbook of children and the media. United States: California.
Mohd Arif Ismail & Amla Salleh. (2008). Media penerapan dan pemupukan nilai.
Selangor: Oxford Fajar Sdn Bhd.
Perloff, R. (1997). Mass media effects. United States: University of Virginia.
Salomon, G. (1983). Information technologies: What you see is not (always) what you
get. Educational Psychologist, 20(4), 207 – 216.