You are on page 1of 5

TUGASAN 4- ANALISIS LARAS BAHASA

1.0-PENGENALAN

“Bahasa Jiwa Bangsa” serta “Maju Bahasa, Majulah Bangsa” merupakan slogan yang
memaparkan tanda kebangaan kita kepada negara dalam menggunakan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi serta bahasa perpaduan di negara Malaysia.
Nor Hashimah (2009) menyatakan bahawa pengukur identiti yang mudah adalah melalui
bahasa dan budaya. Hal ini disedari melalui usaha-usaha untuk mendaulatkan bahasa
Melayu menerusi penerapan falsafah dan Dasar Bahasa Kebangsaan. Usaha-usaha
sebegini merupakan suatu perjuangan bagi mendaulatkan bahasa Melayu agar hubungan
silaturahim antara masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita dapat
dikukuhkan lagi. Masyarakat yang harmoni akan mencerminkan masyarakat yang berdaulat
secara tidak langsung. Pada masa yang sama, bahasa Melayu juga mempunyai pelbagai
fungsi dalam konteks negara Malaysia. Jika kita lihat secara mendalam, setiap fungsi
bahasa Melayu yang ada pada zaman sekarang sebenarnya berkait rapat dengan sejarah
perkembangan bahasa Melayu. Faktor sejarah dan perjuangan masyarakat zaman
dahululah yang menyebabkan bahasa Melayu kekal sebagai suatu bahasa yang kukuh dan
membanggakan pada zaman sekarang.

2.0-HUBUNG KAIT SEJARAH DENGAN FUNGSI BAHASA MELAYU DALAM KONTEKS


NEGARA MALAYSIA

2.1-BAHASA KEBANGSAAN

Bahasa kebangsaan merupakan bahasa yang dipilih untuk dijadikan sebagai bahasa
utama dalam sesebuah negara yang berdaulat dan juga digunakan sebagai bahasa
rasmi untuk negara tersebut. Setiap negara mempunyai bahasa kebangsaannya
yang tersendiri, contohnya, bahasa Perancis di Perancis, bahasa Jepun di Jepun,
bahasa Inggeris di United Kingdom serta bahasa Jerman di negara Jerman. Bahasa
Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan kita berdasarkan beberapa faktor
yang utama. Pertamanya, majoriti penduduk di Malaysia terdiri daripada penduduk
Melayu dan bahasa Melayu digunakan di antara semua penduduk Malaysia sebagai
suatu bahasa untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Faktor kedua adalah
berkaitan rapat dengan faktor sejarah bahasa Melayu. Pada abad ke-7 hingga abad
ke-13 pada zaman Srivijaya, bahasa Melayu merupakan sebuah bahasa yang
digunakan sebagai ‘lingua franca’ yang bermaksud bahasa perantaraan serta bahasa
pentadbiran. Oleh kerana itu, sejarah memaparkan kegemilangan bahasa Melayu
yang telah mendorong kepada pemilihannya sebagai bahasa kebangsaan negara
Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa pentadbiran kerana
sifatnya yang sederhana dan mudah diterima dan difahami oleh pihak luar. Bahasa
Melayu juga mudah untuk dipelajari dan tidak terikat kepada perbezaan susun lapis
masyarakat. Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mencapai
kemerdekaan dan memerlukan satu bahasa kebangsaan untuk dijadikan sebagai
dasar indentifikasi nasional. Jawatankuasa yang merangka Perlembagaan
Persekutuan yang diketuai oleh Lord Reid telah sedar akan kepentingan bahasa
kebangsaan kepada negara Malaysia. Menurut Hafizah (2010), bukti untuk
penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dapat dilihat melalui
kewujudan perenggan 152 dalam Perlembagaan Malaysia seperti berikut: “Bahasa
Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah digunakan dalam tulisan yang
diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa (a)
tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain
bahasa rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa berbahasa-
asing; (b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan
Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan
meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain dalam
Persekutuan.”

2.2-BAHASA RASMI

Menurut Zanariah (2012), bahasa rasmi merupakan bahasa yang digunakan dalam
situasi rasmi seperti dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran, sistem
pendidikan, urusan perdagangan dan perusahaan, kehakiman, upacara rasmi dan
antarabangsa. Dalam konteks negara Malaysia, bahasa rasmi bermaksud bahasa
yang terpilih untuk digunakan dalam urusan seharian negara. Antara tahun 1957
hingga 1967, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan namun
bahasa Inggeris masih digunakan secara rasmi dalam tempoh masa tersebut. Pada
April 1963, bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa
rasmi melalui penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963. Akta tersebut
mempunyai tiga seksyen, iaitu aspek-aspek tulisan, bentuk angka dan bahasa yang
digunakan dalam borang rasmi kerajaan. Akta Bahasa Kebangsaan telah diluluskan
dan mula berkuat kuasa pada 1 September 1967 di Semenanjung Malaysia.
Kemudiannya, akta ini telah disemak semula dan disatukan dengan Akta Bahasa
Kebangsaan 1963 dan dikenali sebagai akta yang baru, iaitu Akta Bahasa
Kebangsaan 1967. Kedua-dua akta ini telah menunjukkan dengan jelas bahawa
bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi untuk
kegunaan dan kepentingan masyarakat. Akta Kebangsaan 1967 memperuntukkan
bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi hal-hal rasmi, kecuali kes-kes
yang tertentu seperti undang-undang yang sedia ditulis dalam bahasa Inggeris mulai
1 September 1967. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi menjadi
semakin kukuh apabila penekanan dalam penggunaan bahasa Melayu dalam semua
urusan rasmi telah diberikan.

2.3-BAHASA PENGANTAR

Dengan tercatatnya dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar


dalam Penyata Razak pada tahun 1956, usaha untuk mencapai tujuan ini telah
dijalankan. Sistem yang sebelumnya hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar di sekolah Melayu hingga ke peringkat Tahun empat sahaja. Mulai
tahun 1958, sistem ini telah ditukar dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar di semua kelas menengah Melayu yang kemudiannya menjadi
Sekolah Menengah Kebangsaan. Pertukaran bahasa pengantar di Sekolah Rendah
Jenis Kebangsaan Inggeris telah dijalankan secara berperingkat dan dimulakan pada
bulan Januari 1968 dengan menetapkan mata pelajaran Jasmani, Ilmu Kesihatan,
Seni Lukis dan Pertukangan Tangan, Pelajaran Tempatan dan Muzik yang diajarkan
dalam bahasa Melayu di Semenanjung Malaysia dan negeri Sabah. Pada tahun
1969, perkara ini diikuti pula oleh mata pelajaran Tatarakyat, sejarah dan Geografi di
Tahun empat. Seterusnya, semua mata pelajaran di Tahun satu, melainkan bahasa
Inggeris dan bahasa ibunda selain dari bahasa Melayu telah diajar dalam bahasa
Melayu mulai tahun 1970. Pada tahun 1975 pula, semua Sekolah Rendah Jenis
Kebangsaan Inggeris menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Di
Sarawak pula, pelaksanaanya bermula dari tahun satu pada tahun 1977. Berikutnya,
pada tahun 1973, dalam konteks sekolah menengah pula, semua mata pelajaran
sastera di Tingkatan satu mula diajarkan dalam bahasa Melayu. Untuk mengukuhkan
lagi penguasaan bahasa Melayu, murid dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan
Cina dan Tamil telah menerima bahasa Melayu sebagai suatu subjek baru untuk
diajarkan kepada mereka dengan mengekalkan bahasa Cina dan Tamil sebagai
bahasa pengantar mereka pada masa yang sama. Mulai tahun 1980, semua sekolah
menengah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dari Tingkatan
satu hingga lima, melainkan Tingkatan enam yang mula menggunakannya mulai
tahun 1981. Selanjutnya, Penyata Razak juga telah menyarankan agar bahasa
Melayu dijadikan sebagai suatu subjek yang penting dalam latihan perguruan. Oleh
kerana itu, bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar utama dalam latihan
perguruan sekolah rendah mulai tahun 1970. Mulai tahun 1973 pula, bahasa Melayu
telah dijadikan sebagai bahasa pengantar dalam hampir semua kursus yang diambil
di setiap maktab perguruan. Pada masa yang sama, dasar bahasa Melayu yang
termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan dasar pelajaran kebangsaan juga
mula dilaksanakan di universiti-universiti awam. Para pelajar dikehendaki mencapai
sekurang-kurangnya tahap lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia untuk diluluskan
kemasukan ke semua universiti, kecuali Universiti Teknologi Malaysia yang
menghendaki para pelajar mendapat sekurang-kurangnya kepujian dalam subjek
bahasa Melayu. Dengan cara ini, bahasa Melayu telah berkembang dan menjadi
kukuh sebagai bahasa pengantar di negara kita dan menjelang tahun 1983, bahasa
Melayu telah dilaksanakan sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran
sastera pada tahun pertama di universiti.

3.0-ANALISIS LARAS BAHASA YANG TERDAPAT DALAM JURNAL

Menurut Astera (2013), laras bahasa boleh didefinisikan sebagai gaya atau cara
penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi yang ada pada setiap
penutur. Ciri-ciri laras yang penting adalah perbendaharaan kata, susunan ayat dan juga
frasa yang digunakan. Daripada suatu segi, kita dapat menyimpulkan bahawa dengan
memilih laras yang berlainan untuk situasi-situasi yang tertentu, kita dapat sedar akan
situasi sosial yang berlainan yang wujud di sekitar kita.

3.1-LARAS BAHASA AKADEMIK

Laras bahasa akademik adalah bersifat ilmiah, formal dan objektif. Contoh ayat-ayat
yang menggunakan laras bahasa akademik dalam jurnal tersebut ialah
“Sesungguhnya perancangan bahasa dan polisi bahasa di negara ini diletakkan di
bawah kuasa politik, iaitu di bawah Kementerian Pelajaran. Tujuannya adalah untuk
memastikan semua perancangan selari dengan aspirasi negara untuk menjadikan
bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan yang bermartabat dan dihayati
oleh rakyat Malaysia.” Ayat-ayat ini mempunyai gaya bahasa yang menunjukkan
kematangan dan keintelektuan. Pada masa yang sama, ayat-ayat tersebut juga
mempunyai kesempurnaan bahasa dari segi kestabilan, kelenturan dan
keberkesanan dalam menyampaikan mesej. Selain itu, laras bahasa akademik boleh
dibahagikan kepada beberapa cabang kecil yang mendalami akademik dengan
menumpukan kepada subjek-subjek yang tertentu. Sebagai contoh, laras akademik
dalam bidang matematik boleh didapati dalam jurnal tersebut. Contohnya, “Hasil
kajian menunjukkan 93.3 peratus pelajar Melayu, 67.6 peratus pelajar Cina, 85.2
peratus pelajar India, 95.5 peratus pelajar Iban, 93.3 peratus pelajar Kadazan dan
92.9 peratus lain-lain suku kaum bersetuju bahawa mata pelajaran bahasa Melayu
dapat memberikan kemahiran bertutur dengan baik.” Ayat ini menerangkan tentang
peratusan pelajar yang merangkumi pelajaran statistik dalam bidang matematik.
Laras bahasa sebegini bersifat spesifik dan menggunakan perkataan-perkataan yang
tertentu sahaja untuk memberikan pemahaman yang kukuh.

4.0-KESIMPULAN

Sebagai rakyat Malaysia yang tegar, kita haruslah menghayati sejarah bahasa
Melayu agar dapat mengetahui akan perit yang dialami oleh rakyat zaman dahulu untuk
berjuang demi bahasa Melayu kita yang kekal mantap hingga ke hari ini. Kita juga haruslah
meningkatkan pemahaman kita terhadap fungsi bahasa Melayu dalam konteks negara
Malaysia agar perkara ini dapat melahirkan rasa cinta akan negara yang lebih mendalam
dalam jiwa kita. Selain itu, kita harus berasa bangga sebagai rakyat Malaysia kerana
mempunyai bahasa Melayu sebagai suatu bahasa yang menjadi bahasa kebangaan kepada
kita semua. Bahasa Melayu juga merupakan lambang jati diri dan kedaulatan kepada
negara Malaysia. Konklusinya, pemahaman yang mendalam terhadap fungsi bahasa Melayu
dapat mewujudkan persefahaman pemikiran dan mengukuhkan keharmonian dalam
kalangan masyarakat Malaysia.

You might also like