You are on page 1of 15

ABSTRAK

Semenjak dilanda arus globalisasi, kedudukan Bahasa Melayu dilihat semakin merosot. Meskipun
pihak-pihak yang bertanggungjawab ada mengambil langkah-langkah dan menjalankan usaha-usaha
untuk meningkatkan taraf Bahasa Melayu namun ianya jelas masih belum cukup untuk bersaing
dengan bahasa asing terutamanya Bahasa Inggeris. Senario ini sebenarnya merupakan satu ancaman
besar yang sedang melanda negara ini secara senyap. Rata-rata dapat dilihat keutamaan jelas
diberikan kepada penguasaan bahasa Inggeris yang dikatakan boleh menjadi penjamin kepada
kemajuan hidup di masa depan. Tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan ibu bapa di negara ini
lebih berbangga sekiranya anak-anak mereka berja menguasai bahasa Inggeris berbanding Bahasa
Melayu. Setelah diteliti dan dikaji terdapat banyak faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya
kemerosotan yang serius terhadap Bahasa Melayu. Justeru itu, artikel ini cuba merungkai secara
mendalam permasalahan ini dan pada masa sama turut mengutarakan beberapa cadangan yang wajar
diberikan perhatian serius oleh pihak-pihak yang berwajib agar kedaulatan Bahasa Melayu dapat
dipulihkan.

1
Pendahuluan:
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia. Ini bererti bahawa bahasa Melayu telah
berubah tarafnya daripada bahasa kebangsaan bangsa Melayu kepada bahasa kebangsaan negara
Malaysia. Perubahan taraf ini (seperti yang diisytiharkan dalam Perlembagaan (1957) mempunyai
implikasi sosiopolitik yang luas dan penting bagi negara pelbagai etnik dan pelbagai bahasa seperti
Malaysia. Perubahan taraf itu bererti bahawa fungsi bahasa Melayu tidak lagi hanya sebagai bahasa
perpaduan dan bahasa kemajuan bangsa Melayu sahaja tetapi lebih penting lagi, ia diberikan fungsi dan
nilai baharu, iaitu sebagai bahasa perpaduan dan kemajuan negara, merentas segala sempadan dan
kepentingan etnik dan bahasa-bahasa lain.

Ada orang beranggapan bahawa bahasa kebangsaan tidak mempunyai peranan sebagai alat
kemajuan atau pembangunan negara, tetapi hanya sebagai ‘lambang negara’ atau sebagai ‘alat
perpaduan bangsa atau etnik’. Anggapan ini tidak benar, kerana bahasa kebangsaan bererti bahasa
komunikasi luas. Tidak mungkin bahasa yang hanya diketahui oleh sebilangan kecil penduduk dapat
diterima atau diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan sesebuah negara. Kalau pun bahasa itu diterima atau
diiktiraf oleh undang-undang atau dasar bahasa sebagai bahasa kebangsaan negara itu, nilainya nanti
tidak lebih hanya sebagai ‘bahasa simbolik’ tetapi tidak digunakan sebagai alat untuk memajukan
bangsa dan negara.

Misalnya, di Singapura bahasa Melayu masih diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan negara itu,
tetapi peranannya hanya sebagai lambang yang tidak mempunyai apa-apa fungsi pembangunan, yakni,
bahasa ini tidak digunakan sebagai alat untuk memajukan negara itu, misalnya dalam bidang ekonomi,
pendidikan, teknologi dan sebagainya. Tetapi di Indonesia, bahasa Indonesia (bahasa Melayu) ialah
bahasa pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara Indonesia. Nilai atau fungsi bahasa Indonesia
sebagai bahasa nasional, atau sebagai bahasa perpaduan rakyat pelbagai etnik dan bahasa di negara itu
dan fungsinya sebagai bahasa urusan kerajaan (bahasa rasmi) tidak dipisahkan daripada proses
pembangunan negara itu seluruhnya. Tetapi di Malaysia nampaknya, fungsi bahasa kebangsaan terpisah
daripada proses pembangunan negara. Kegunaan bahasa kebangsaan nampaknya terhad dalam bidang
urusan rasmi kerajaan sahaja tetapi fungsi atau kegunaannya tidak tersebar luas dalam sektor
pembangunan ekonomi, perniagaan dan teknologi negara, terutama yang dikuasai sektor swasta.

2
Dasar bahasa kebangsaan mengandaikan bahawa bahasa ini, di peringkat negara, dapat
dimajukan sebagai alat untuk menyatupadukan penduduk berbilang kaum. Dikatakan matlamat itu
lebih mudah dicapai kerana prosesnya tidak melibatkan sentimen dan emosi, tetapi semata-mata
berdasarkan fungsi atau nilai instrumental bahasa Melayu untuk memainkan peranan sebagai bahasa
perpaduan negara dan sebagai bahasa kemajuan atau pembangunan negara. Apakah alasan kita? Alasan
yang paling kuat ialah, bahasa Melayu mempunyai nilai tambahan yang cukup banyak, yang tidak
terdapat pada bahasa-bahasa lain yang digunakan di negara ini.

Antaranya, pertama, bahasa ini merupakan lingua franca atau bahasa perhubungan antara
pelbagai etnik di pelbagai peringkat dan bidang atau ranah komunikasi sosial, politik dan budaya,
perdagangan dan lain-lain, tidak hanya di peringkat elitis atau dalam bidang-bidang yang terbatas.
Sebagai contoh, jikalau semua papan tanda dan iklan di Malaysia disiarkan dalam bahasa Melayu, pasti
tiada siapa (kecuali penduduk bukan rakyat Malaysia) yang tidak memahaminya. Tetapi tentu banyak
penduduk Malaysia dari semua golongan etnik yang tidak akan memahami iklan dan papan tanda itu
jikalau mesejnya ditulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin atau Tamil. Ini contoh (dan
banyak contoh lain) yang menunjukkan bahawa nilai bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi luas
ini tidak ada pada bahasa-bahasa lain di Malaysia.

Kedua, bahasa Melayu ialah bahasa yang sudah maju sejak ratusan tahun dahulu di kawasannya
sendiri, bukan baru sekarang. Sebagaimana yang kita tahu, bahasa ini telah berkembang sebagai bahasa
pembentuk budaya dan tamadun tinggi di seluruh rantau berbahasa Melayu sejak abad ke-14 lagi.
Hakikat bahawa bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Indonesia
(tidak bahasa-bahasa lain, misalnya bahasa Jawa yang jauh lebih besar jumlah penutur aslinya)
membuktikan sifat kesegaran dan dinamika sosial bahasa ini. Sifat ini tidak ada pada bahasa Inggeris
atau bahasa-bahasa lain di Malaysia atau di rantau ini. Dasar penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan yang dilaksanakan sejak tahun 1970-an
(berdasarkan Akta Pelajaran 1961 hingga Akta Pendidikan 1995) memperkukuh lagi kedua-dua taraf
dan fungsi bahasa Melayu itu.

3
Pemerhatian kita mutakhir ini menunjukkan bahawa orang bukan Melayu makin lebih cekap
berbahasa Melayu tinggi, bahasa Melayu yang betul, daripada orang Melayu sendiri. Berdasarkan dua
sifat dan fungsi sosiopolitik dan dinamika sosiolinguistik yang tersebut itu, maka kita dapat berkata
bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi atau kelebihan yang banyak untuk dimajukan secara tegas
sebagai bahasa pembangunan dan kemajuan negara. Strategi dan matlamat ini jauh lebih penting dan
lebih mudah dicapai daripada matlamat untuk ‘menyatupadukan’ penduduk pelbagai etnik dan bahasa
di negara ini melalui bahasa Melayu.

Kesimpulannya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara bererti bahasa untuk
memajukan rakyat dan negara Malaysia. Dalam proses ini kepentingan negara seharusnya mengatasi
kepentingan etnik dan kaum. Setakat hari ini, nampaknya hanya bahasa Melayu sahajalah yang dapat
merentas segala sempadan budaya dan bahasa-bahasa etnik yang lain untuk digunakan sebagai alat
kemajuan dan perpaduan antara etnik di negara ini. Inilah sebenarnya nilai dan potensi bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan negara.

Perbincangan:
Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan semenjak detik
pengisytiharan tersebut Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi,
bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kedudukan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sebagaimana yang telah diwartakan
dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan memperkukuhkan kedudukan sebagai bahasa pengantar
dalam institusi pendidikan menerusi Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Kamus Dewan (1970:59) mendefinisikan bahasa rasmi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa
perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan institusi pengajian
tinggi. Ainon Mohammad (1984) pula merumuskan bahawa bahasa rasmi membawa pengertian sebagai
peranan bahasa Melayu sebagai saranan pembinaan negara di dalam semua urusan, terutama urusan
pentadbiran negara. Oleh itu, dapatlah diringkaskan bahawa bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan
di dalam sistem pendidikan negara, urusan perniagaan dan pentabiran dan di dalaam upacara-upacara
rasmi. Bahasa rasmi pula mungkin membawa lebih daripada satu fungsi bagi sesebuah negara.

4
Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas Perang dunia Kedua ialah
mencari formula untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatupadu, yakni masyarakat
majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun
dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia. Satu cara
yang penting untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan.
Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam membina
kerakyatan yang tunggal telah lama disedari.

Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah
melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa perhubungan dan persefahaman di
antara satu kaum dengan yang lain dapat diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini
mempercepatkan lagi perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini. Oleh itu, Penyata Razak
telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957. Ordinan ini mewajibkan
semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama manakala Bahasa Melayu pula
digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan
dan menjadi wahana berkesan untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai
dialek atau bahasa.

Daripada banyak faktor, bahasa muncul sebagai faktor yang dominan dan daripada begitu
banyak bahasa, Bahasa Melayu yang terpilih sebagai bahasa kebangsaan dan seterusnya menjadi
wahana perpaduan masyarakat majmuk di negara Malaysia. Melihat kepada pengiktirafan yang diberi
kepada Bahasa Melayu tentunya Bahasa Melayu memiliki keistimewaan tersendiri sehingga berupaya
mengangkat bahasa ini sebagai Wahana Penyatuan Bangsa Malaysia. Maka dalam tulisan ini saya ingin
membuktikan kepada pembaca mengapa dan bagaimana Bahasa Melayu mampu menjadi teras atau
tunjang kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.Di akhirnya pula saya akan menuliskan
beberapa ancaman ke atas Bahasa Melayu dalam kedudukannya untuk bertahan sebagai bahasa
kebangsaan yang menjadi alat perpaduan.

5
Secara konseptual Bahasa Melayu Sebagai Wahana Penyatuan Bangsa Malaysia bolehlah
didefinisikan sebagai bahasa utama yang menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa perantaraan berupaya
menjadi tunjang atau nadi kepada penyatuan pelbagai kaum di negara ini. Sejarah membuktikan
bahawa Bahasa Melayu telah diterima sebagai lingua franca atau bahasa komunikasi utama sejak
zaman kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 lagi. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam
bidang perdagangan dan hubungan diplomatik. Dalam Kitab Sejarah Melayu menyebutkan bagaimana
para pedagang bertungkus lumus mempelajari Bahasa Melayu dan menguasainya bagi memudahkan
mereka berurusan dengan pemimpin dan masyarakat setempat yang telah lama menggunakan bahasa
itu.

Dalam konteks hubungan antarabangsa surat-surat rasmi dan dokumen perjanjian turut
menggunakan Bahasa Melayu bertulis jawi. Ini membuktikan bahasa Melayu dapat difahami oleh
pelbagai kaum termasuk pihak British. Kalau mereka tidak mengerti pun ada munsyi atau guru Bahasa
Melayu yang akan mengajar mereka. Begitu juga dokumen-dokumen lain seperti undang-undang tubuh
negeri-negeri Melayu telah menggunakan Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sebagai medium. Semua
ini membuktikan kepada kita betapa Bahasa Melayu pernah mencapai tahap yang tertinggi dan diguna
sehingga ke peringkat antarabangsa. Memandangkan Bahasa Melayu telah diguna sekian lama sebagai
bahasa rasmi dan basahan, sebagai bahasa komunikasi dan persuratan maka Bahasa Melayu telah
dipersetujui dan disepakati bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini agar menjadi bahasa
kebangsaan bagi persekutuan Malaysia yang merdeka pada tahun 1957.

Malahan permuafakatan pelbagai kaum itu dirakamkan dalam bentuk dokumen tertinggi dan
luhur iaitu Perlembagaan Negara sepertimana yang termuat dalam Perkara 152, para 1 sebagai bahasa
bagi persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia yang merdeka. Maka sejak itu Bahasa Melayu
berkembang luas penggunaannya termasuk menjadi bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan menjadi
bahasa rasmi di semua agensi kerajaan termasuk di mahkamah. Jelas sekali Bahasa Melayu telah
diiktiraf oleh semua kaum sebagai bahasa utama dan dapat digunakan bersama untuk mencapai
matlamat perpaduan. Bahasa Melayu yang mampu menjadi teras perpaduan bangsa Malaysia ialah
Bahasa Melayu yang digunakan secara bersama dan meluas. Bahasa melayu bukan sahaja berfungsi
sebagai bahasa basahan, namun bahasa rasmi dan tidak rasmi.

6
Bahasa ini bukan sahaja dijadikan bahasa perantaraan di sekolah-sekolah dan universiti tetapi
penggunaannya menjangkau ke peringkat antarabangsa. Ini bererti Bahasa Melayu yang dimaksudkan
ialah bahasa Melayu yang standard dan mengikut struktur bahasa Melayu baku dan mempunyai sistem
yang sama untuk semua. Slanga atau loghat mungkin sesuai untuk orang Melayu di negeri-negeri
tertentu, tetapi apabila bertutur dengan bangsa Melayu dari kawasan atau negeri yang lain dan dengan
orang bukan Melayu, Bahasa Melayu yang standard wajar digunakan. Inilah bahasa yang diajar dan
digunakan di sekolah, dalam buku teks, buku-buku dan majalah serta dalam dokumen rasmi yang lain.

Selain itu, Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan utama mempunyai masa depan yang cerah
kerana Bahasa Melayu bersikap terbuka kepada bahasa lain. Kita sedar sesuatu bahasa yang terlalu
rigid, terpencil dan statik tidak akan mampu mengadaptasikan dirinya dengan perubahan semasa. Dunia
semakin berkembang, masyakaratnya semakin maju dan berpengetahuan, maka begitulah juga halnya
dengan bahasa Melayu Sejak dahulu Bahasa Melayu dilihat mempunyai tahap keterbukaan dan
toleransi yang begitu tinggi,kepada kemasukan isitilah-istilah baru dan kata asing. Dinamika bahasa ini
amat diperlukan untuk memastikan Bahasa Melayu tidak terkubur seperti yang berlaku kepada bahasa
Sanskerta.

Bahasa Melayu memudahkan penguasaan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia. Selaras dengan
konsep rakyat didahulukan, perpaduan akan dikecapi. Nikmat daripada kesejahteraan rakyat maka
dapatlah kita merealisasikan pencapaian melalui ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu telah memperkasa
anak watan dalam pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi sekali
gus dapat melahirkan golongan kelas menengah yang menjadi sinergi dan sumber manusia yang terus
menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara. Bahasa Melayu yang dahulunya hanya
berperanan sebagai ‘lingua-franca’ dan juga ‘bahasa kedua’ akhirnya menjadi bahasa pengantar, bahasa
ilmu, bahasa komunikasi, bahasa perundangan, bahasa pentadbiran dan bahsa yang dapat
mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Oleh hal yang demikian,bagi memastikan semangat
dan kecintaan terhadap kepentingan dan kemampuan bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai
bahasa ilmu dan wahana merealisasikan Gagasan 1 Malaysia, usaha promosi harus dipergiat dari
semasa ke semasa.

7
Sayugia diingat dalam keghairahan kita hendak mempertahankan Bahasa Melayu jangan sampai
bahasa ini menerima nasib yang sama seperti dinossours yang akhirnya pupus kerana gagal untuk
menyesuaikan dirinya dengan perubahan semasa dan persekitaran. Maka menyedari hakikat itu DBP
telah memainkan peranan yang begitu aktif untuk membentuk dan menyelaraskan istilah-istilah baru
dalam pelbagai bidang pengetahuan seperti sains dan teknologi, undang-undang, pendidikan,
perbankan, komputer dan internet. Kedudukan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan bangsa
Malaysia diperkukuhkan apabila kehadirannya tidak pernah disangsikan oleh kaum-kaum lain.
Sebabnya Bahasa Melayu tidak dianggap sebagai ancaman kepada mana-mana pihak dan kehadirannya
tidak akan menyebabkan bahasa ibunda kaum masing-masing akan menerima nasib malang.

Rahsia Bahasa Melayu tetap diyakini sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan hingga
kini ialah kerana jaminan yang diberikan dalam perlembagaan Malaysia yang telah menyebutkan
bahawa bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan. Keadaan ini menjadikan Bahasa Melayu akan terus
dihormati dan tidak akan disaingi oleh bahasa-bahasa lain. Gerakan Cintailah Bahasa Kita yang
dilancarkan pada 11 Disember 1987 membuktikan betapa seriusnya pihak kerajaan dalam mengangkat
martabat bahasa ini sebagai bahasa komunikasi utama pelbagai kaum. Sejak itu banyak kegiatan
kebahasaan turut melibatkan pelbagai kaum. Ini membuktikan bahasa Melayu menjadi bahasa yang
boleh dipelajari dan dituturkan oleh sesiapa sahaja. Pemilihan Bahasa melayu sebagai bahasa
kebangsan dan bahasa perpaduanm melonjakkan bahasa ini sebagai satu identiti bagi masyarakat
majmuk sehingga mampu menjadi model perpaduan dunia melalui penggunaan satu bahasa

Gagasan 1 Malaysia sudah pastinya dapat diwujudkan melalui pembentukan jati diri bangsa
Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami. Penyatuan rakyat melalui
bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni seperti
yang tercatat dalam matlamat pendidikan kebangsaan, iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu
padu. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mampu menyemarakkan lagi semangat 1 Malaysia
dengan membawa dimensi baharu dalam arena kebahasaan.

8
Menurut Havranek, di dalam Garvin (1984), sesuatu bahasa yang mencapai taraf sebagai bahasa
ilmu perlu mempunyai dua ciri penting iaitu keintelektualan dan kesempurnaan bahasa. Melalui
keintelektualan, bahasa tersebut mestilah mempunyai keupayaan menyampaikan hujah dan buah fikiran
yang berkesan dan tepat yakni ampu menyampaikan kesinambungan dan kerumitan fikiran tanpa
melalui pelbagai rintangan. Kesempurnaan bahasa pula bermaksud satu bahasa yang akan berfungsi
sebagai bahasa ilmiah harus mempunyai sistem dan peraturan bahasa yang lengkap yakni mempunyai
sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian, keberkesanan dan keindahan.

Perubahan dunia semakin pantas dan kemajuan dunia semakin cepat. Persekitaran lokal tiba-tiba
sahaja bertukar kepada glokal dan akhirnya menuju global. Bumi yang dulunya terpecah kepada begitu
banyak kampung yang tak berhubung, kini menjadi sebuah kampung besar tanpa sempadan. Bahasa
Melayu turut menerima cabaran apabila golongan remaja hari ini lebih berminat menggunakan istilah
dan gaya bahasa sendiri yang dikatakan lebih pantas dan ringkas. Ini terbukti apabila munculnya
teknologi komunikasi terkini seperti sistem pesanan ringkas, mms, mel elektronik dan chating. Kata-
kata yang panjang telah diringkaskan dan istilah-istilah baru tercipta. Surat yang dianggap ketinggalan
dan lambat telah digantikan dengan mel elketronik, menelefon telah digantikan dengan SMS dan
MMS.

Bagi saya ini satu perkembangan yang menkjubkan sekaligus menunjukan bahasa Melayu
sentiasa berupaya menyesuaikan dirinya dengan keperluan semasa. Minat anak muda daripada pelbagai
bangsa menggunakan bahasa ini menjadikan bahasa Melayu akan terus berkembang sebagai alat
perpaduan utama. Cuma terpulanglah kepada Kementerian Pelajaran dan DBP untuk menyelaraskan
semua ini. Akhirnya marilah kita menyahut cabaran 1Malaysia cetusan idea YAB Perdana Menteri
Malaysia, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Gagasan ini bukan sahaja mengajak kita berkongsi
sebuah negara, iaitu Malaysia tetapi juga berkongsi satu bahasa, iaitu Bahasa Melayu yang telah
terbukti mampu menjadi teras Penyatuan Bangsa Malaysia.

9
Dalam usaha mengantarabangsakan bahasa melayu melalui buku serta sastera tempatan,
kerajaan perlu menghasilkan serta mengetengahkan koleksi besar yang diyakini mampu menarik minat
penerbit luar untuk menterjemahkannya ke pelbagai bahasa dunia. Secara tidak langsung, usaha ini
dapat mengetengahkan bahasa Melayu di mata masyarakat asing yang berminat untuk mempelajarinya.
Usaha ini juga amat penting kerana karya melayu sekadar besar dalam lingkungan kelompok tertentu
tidak akan mampu membawa bahasa melayu ke mana-mana. Karya yang kuat itu perlu diketengahkan
ke peringkat antarabangsa dan seterusnya dipromosikan bagi menarik minat penerbit asing bekerjasama
menterjemahkan karya-karya ini untuk pasaran negara masing-masing. Cara ini akan dapat
menawarkan sastera Melayu kepada khalayak antarabangsa, sekaligus memperkasakan kewujudannya,
baik di tanah air sendiri, mahupun di peringkat antarabangsa.

Pelaksanaan dasar bahasa yang digubal oleh kerajaan perlu dijalankan secara meluas.
Pelaksanaan secara terbatas beerti menghadkan tindakan perlaksanaan berdasarkan apa-apa yang
tersurat dalam undang-undang bahasa yang ada. Misalnya, menurut peruntukan Fasal 152
Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967, penggunaan bahasa Melayu sebagai "bahasa rasmi"
hendaklah dihadkan bagi urusan pentadbiran kerajaan sahaja,kusunya dalam bidang pentadbiran
awam,bidang kehakiman dan perundangan. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa
kerajaan atau pelaksana dasar bahasa tidak boleh mengembangkan domain atau ranah bahasa Melayu
di luar bidang urusan rasmi kerajaan. Begitu juga di luar sistem pendidikan kebangsaan, bahasa lain
boleh digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi swasta.

Pelaksanaan dan penggunaan bahasa Melayu perlu dilaksanakan secara meluas agar jati diri
bangsa Melaysia tehadap bahasa kebangsaannya terus kukuh. Penguatkuasaan undang-undang perlu
untuk memastikan pelaksanaan dasar bahasa sebagai pembentuk jati diri bangsa tercapai. Dengan
adanya kuasa undang-undang penggunaan bahasa Melayu dapat diperluaskan di luar bidang urusan
rasmi kerajaan seperti dalam iklan di ruang awam atau untuk menggunakan nama yang bercorakan
Malaysia di kawasan perumahan yang dibina oleh pihak swasta. Hal ini perlu kerana peminggiran
penggunaan bahasa Melayu di sektor swasta selama ini berlaku atau dibiarkan berlaku kerana orang
mentafsirkan undang-undang bahasa secara sempit dan tidak ada undang-undang yang secara langsung
menyokong penggunaan bahasa Melayu. Kesungguhan Institut Terjemahan Negara yang mengambil
bahagian di Frankfurt Book Fair 2008 dengan misi untuk mengantarabangsakan karya-karya Malaysia
adalah contoh yang mesti dibanggakan kerana telah mengantarabangsakan karya-karya Malaysia.

10
Golongan intelek dan elit bangsa Malaysia, yang kebanyakannya daripada kelas menengah
terdiri daripada professional, ikhtisas seperti peguam,doktor, pentadbir dan seumpamanya adalah amat
penting diwujudkan dengan segera.Golongan ini seharusnya sanggup membuktikan kebolehan mereka
dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan dan penulisan secara global. Sikap tolak ansur dalam
melaksanakan dasar bahasa harus diketepikan, sebaliknya diketengahkan sikap memperjuangkan jati
diri terhadap bahasa kebangsaan. Dengan adanya semangat cinta akan bahasa dan bangsa sendiri,
alasan sesetengah pihak untuk mengubah suai dasar bahasa berteraskan tuntutan nasiolisme, desakan
gelombang pasaran bebas dan kemajuan teknologi maklumat dapat dibendung. Kerjasama dari
golongan ini amat diperlukan bagi mengukuhkan jati diri rakyat Malaysia terhadap bahasa kebangsaan.

Kerjasama yang utuh sesama mereka untuk memperjuangkan hasrat memperkasa peranan
bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di Malaysia, terutama ketika negara sedang mendepani
globalisasi amat diharapkan Selain mereka hasrat murni ini memerlukan penyertaan dan komitmen
setiap pihak yang prihatin dan berkepentingan, sama ada individu mahu pun kumpulan dalam kalangan
pelajar atau sesiapa sahaja yang cintakan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu sememangnya sudah mencatat kegemilangan apabila telah menjadi bahasa
antarabangsa suatu ketika dahulu meskipun perubahan zaman telah merubah kedudukan bahasa
melayu. Mendaulatkan bahasa Melayu bukan bererti menyisihkan bahasa-bahasa lain dan
menganggapnya sebagai bahasa bahasa yang mesti dipinggirkan dalam setiap aspek kehidupan.
Sebagai bahasa yang pernah melalui sejarah gemilang, bahasa melayu semestinya terus-menerus
digerakkan untuk mengembalikan kegemilangannya. Bahasa Melayu sewajarnya duduk sebaris dengan
bahasa antarabangsa yang lain dan masyarakat antarabangsa sewajarnya diperkenalkan kepada bahasa
Melayu.

11
Realiti yang berlaku membuktikan bahawa kecemerlangan sesuatu bangsa itu bukan terjadi
menerusi sesuatu bahasa asing yang dipelajari, malah kecemerlangan tersebut datangnya daripada
bahasa sendiri yang menjadi teras pengembangan ilmu. Masyarakat Jepun yang kurang menggunakan
bahasa Inggeris telah mampu memajukan negara mereka menjadi kuasa besar dunia berbanding negara
India yang menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa kebangsaan masih mundur dan dihina.
Matlamat dan misi untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu akan menjadi satu realiti jika setiap
warganegara Malaysia memainkan peranan masing-masing dalam mendaulatkan dan mengembangkan
bahasa ini bukan sahaja di peringkat dalaman tetapi menyerlah ke peringkat global.

Ringkasnya, peranan, media massa, kerajaan mahupun sektor swasta dan kita semua sama ada
golongan professional atau masyarakat umum sebagai rakyat Malaysia amat penting untuk
memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua aspek.
Pelaksanaan memartabatkan bahasa Melayu sewajarnya dilaksanakan secara sukarela dan berterusan
agar Bahasa Melayu terus gah gemilang bersaing di persada antarabangsa.

12
Penutup:
Bahasa kebangsaan ialah alat paling berkesan untuk mencapai perpaduan di dalam sebuah
negara berbilang kaum di Malaysia ini. Aspek keseimbangan ekonomi antara kaum bukanlah satu
faktor mutlak menjamin kelangsungan perpaduan bangsa di negara ini. Bahasa kebangsaan yang lebih
ramai difahami oleh semua golongan dan lapisan masyarakat perlu digunakan secara meluas dalam
semua aspek kenegaraan di Malaysia. Ini kerana bahasa Mandarin dan Tamil misalnya hanya difahami
oleh kaum masing-masing. Bahasa Inggeris pula bersifat elitis apabila lebih banyak digunakan oleh
golongan kelas menengah serta kelompok masyarakat di bandar.

Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan merupakan senjata paling ampuh dalam
merealisaikan konsep 1Malaysia. Perpaduan atau solidariti dapat ditafsirkan sebagai satu proses yang
menyatupadukan rakyat dan seluruh masyarakat dan negara supaya setiap anggota masyarakat dapat
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Kamus
Dewan (1994) mendefinisikan perpaduan sebagai penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan
dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Oleh itu, dapatlah diertikan
bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan ialah bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara
yang digunakan sebagai alat perhubungan di dalam lingkungan satu kelompok manusia yang berfungsi
sebagai alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dalam sesebuah negara.

Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa
komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi apabila rata-rata anak-anak berinteraksi dengan rakan sebaya
di sekolah, majikan dan pekerja berkomunikasi di pejabat bahkan urusan jual beli di pasar raya juga
kita sering mendengar bahasa Melayu diujarkan. Pengukuhan bahasa Malaysia serta pemerkasaan
sistem pendidikan kebangsaan yang turut memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sastera dan
Sejarah dirasakan semakin perlu dalam tumpuan kita melangkah status negara maju 2020 nanti.
Tentunya, bangsa Malaysia mahu melangkah dengan penuh bergaya tanpa compang-camping
keperibadian dan identiti bangsanya. Semua lapisan masyarakat berbilang kaum dari Perlis sehingga ke
Sabah perlu menyemai tekad dan berganding bahu mewujudkan warga yang saling menghormati demi
kehidupan yang aman buat generasi bangsa Malaysia seterusnya. Tindakan dan keputusan yang akan
diambil perlu mengutamakan kepentingan nasional dan bukannya atas faktor kepentingan perkauman
yang sempit.

13
Bibliografi:
A.M Iskandar Hj Ahmad. 1980. Persuratkhabaran Melayu 1876-1968. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Abdullah Hassan.1997. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Dan Esei-Esei Lain. Shah Alam:
Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Ahmat Adam.1992. Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas.
Bangi: Penerbitan Universiti kebangsaan Malaysia.

Amat Juhari Moain. 1994. Sejarah Bahasa Melayu dalam Linguistik Melayu oleh Zaharani Ahmad.
Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Asmah Haji Omar. 1993. Susur Galur Bahasa Melayu Dalam Gelombang Tamadun. Dlm Ismail
Hussien, A.Aziz Deraman & Abd. Rahman Al-Ahmadi (pngr.) Tamadun Melayu Jilid Dua (536-553).
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Had Salleh. 1980. Pelajaran dan Perguruan Melayu di Malaya Zaman British. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. 1997. Falsafah Pendidikan Bahasa: Kajian tentang Konsep dan Pelaksanaannya di
Malaysia dengan rujukan Khusus kepada Pendidikan Bahasa Melayu di Sekolah Menengah. Disertasi
PhD. Universiti Malaya.

Awang Sariyan. 2000. Ufuk Baharu dalam Kerjasama Bahasa Melayu Serantau dan Antarabangsa.
Kertas kerja Seminar Antarabangsa Bahasa Melayu Alaf Baru 2000. Anjuran Pusat Bahasa, Universiti
Teknologi MArA. 25 – 27 September.

Collins, J.T. 1999. Wibawa Bahasa: Kepiawaian dan Kepelbagaian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Hassan Ahmad. 2002. Dasar Bahasa dan Pembangunan Negara di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia.

________________1996. Perancang Bahasa: Sejarah Aksara Jawi.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa


Dan Pustaka.

_______________1985. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Jilid 1. 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Kamus Dewan. 2005. Ed. ke-4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mangantar Simanjuntak. 1995. Pengutamaan Bahasa Melayu Dalam Semua Bidang, Termasuk Sains
& Teknologi, Menjamin Potensinya Sebagai bahasa Ilmu Dan Bahasa Supranasional, Di Samping
Menjamin Pembangunan Negara Yang Maksimum. Dlm. Kertas Kerja Kongres Melayu Sedunia. Kuala
Lumpur. Ogos 1995
14
Nik Safiah Karim. 1993. Pengajian Melayu Menjelang Abad Ke-21. Syarahan Perdana Universiti
Malaya. Kuala Lumpur.

S. Othman Kelantan (pngr.) 1992. 100 Tahun Pergerakan Bahasa dan Sastera Melayu 1888-1988.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

15

You might also like