You are on page 1of 15

Pendahuluan:

Merujuk kepada perkataan klasik, Kamus Dewan (1986 : 590) mentakrifkannya sebagai
kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai;
yang tinggi dan abadi nilainya atau lawan bagi perkataan moden. Takrifan ini menjelaskan
kepada kita bahawa bahasa Melayu Klasik diakui kepenggunaannya pada suatu masa dahulu.
Namun, perubahan masa dan zaman menyebabkan bahasa ini tidak lagi menjadi wahana kepada
para pengkaji sebagai bahan kajian dan penyelidikan tentang perkembangan dan
pertumbuhannya.

Bahasa Melayu Klasik adalah bentuk bahasa Melayu yang dipakai oleh Kesultanan
Melaka (abad ke-14), Kesultanan Aceh, dan sejumlah entiti politik lain di sekitarnya hingga abad
ke-18. Dalam kajian yang berhubung dengan perkembangan Bahasa Melayu, terdapat
percanggahan pendapat antara para sarjana. Misalnya Prof. Dato' Asmah Haji Omar dalam
bukunya Susur Galur Bahasa Melayu (Kuala Lumpur, DBP:1985) menjelaskan bahawa bahasa
ini berkembang dari abad ke-13 hingga ke-17 masehi. Manakala Prof. Dato' Ismail Hussien
melalui bukunya Tamadun Melayu Jilid Dua (Kuala Lumpur, DBP:1993) menyatakan bahasa
Melayu berkembang dari abad ke-13 dan ke-14 Masehi.

Namun begitu, apa yang perlu ditegaskan di sini , bermula abad ke-14 hingga abad ke-19
Masehi Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan utama bagi masyarakat ketika itu.
Malah ada di kalangan pengkaji menyamakan bahasa ini dengan bahasa Latin dan Perancis
kerana penggunaannya begitu meluas iaitu sehingga dituturkan di India dan juga Eropah (Abdul
Samad Ahmad:1966).

1
Bahasa Melayu Klasik dikatakan terpisah dari bahasa Melayu Kuno apabila wujudnya
tulisan jawi (Asmah Haji Omar:1993). Sebelum ini tulisan yang digunakan oleh masyarakat
Melayu dalam Bahasa Melayu Kuno ialah tulisan "palava" (Raminah Hj Sabran dan Rahim
Syam:1986). Kedatangan Islam membawa perubahan yang amat ketara ke atas masyarakat
Melayu. Perubahan tersebut bukan sahaja dari aspek tauhid dan akidah tetapi sistem tulisan
masyarakat Melayu turut berubah, Tulisan jawi berasal dari tulisan Arab. Pendakwah-pendakwah
Islam berketurunan Arab pada mulanya menerapkan sistem tulisan Arab dalam tulisan Jawi.
Tujuan utamanya ialah memudahkan bacaan, kerana tulisan jawi merupakan sesuatu yang baru
bagi masyarakat Melayu. Bagi memudahkan ejaan, tanda baris atas dan bawah dimansuhkan.

Selain dari itu, ciri-ciri yang dapat dikesan dalam bahasa Melayu klasik ialah adanya
pengaruh Islam. Kedatangan Islam ke alam Melayu memberi impak yang begitu besar. Roh
Islam bukan sahaja ada pada individu malah turut terdapat dalam istilah dan ungkapan bahasa.
Jika agama Hindu banyak mempengaruhi setiap aspek dan perbuatan orang Melayu pada suatu
ketika, perkara sedemikian juga turut berlaku apabila wujudnya pengaruh Islam. Istilah dan
ungkapan Islam telah diterima pakai oleh masyarakat Melayu sebagai perantaraan dalam
komunikasi atau penghasilan sesuatu karya. Tokoh-tokoh Islam seperti Hamzah Fansuri,
Nuruddin al-Raniri, Daud Abdullah al-Patani serta Raja Ali Riau banyak membantu dalam
memperkembangkan istilah dan ungkapan bercirikan Islam.

Karya-karya sastera Melayu Klasik banyak menggunakan watak-watak ciptaan dengan


nama Islam, khususnya nama-nama raja. Misalnya Raja Nursyirwan Adil, Raja Abdul Jalil dan
Sultan Muhammad Syah. Di samping itu terdapat juga nama campuran unsur Sanskrit, India dan
Islam. Contohnya Merong Mahawangsa, Raja Donan dan Seri Rama.

Salah satu dari ciri yang membezakan bahasa Melayu Klasik dengan moden ialah
pengunaan kata-kata adapun, syahdan, hatta, setelah, arakian,al-kisah, bahawasanya, kelakian,
sebermula dan sebagainya.

2
Dalam zaman bahasa Melayu klasik banyak berdiri kerajaan Melayu yang menggunakan
bahasa Melayu Klasik sebagai bahasa pemerintahan seperti kerajaan Pasai-Samudera, Melaka,
Johor-Lama, Johor-Pahang-Riau-Lingga, empayar Berunai yang menyebar luas di daerah
Kalimantan Utara hingga ke Filipina Selatran; Patani, Ligor, Palembang, Jambi, Siak, Sri
Inderapura, Langkat, Pahang, Perak dan lain-lain. Bahkan ada empayar atau kerajaan bukan
Melayu tetapi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan. Contohnya kerajaan
Ache di Sumatera Utara.

Zaman bahasa Melayu klasik menempuh kemajuan yang amat pesat berbanding dengan
zaman bahasa Melayu Kuno. Pada masa ini perkembangan ilmu pengetahuan dan kegiatan
intelektual dalam bahasa Melayu mencapai tahap yang tinggi. Pada akhir abad yang ke-16 M,
umpamanya, sudah lahir hasil-hasil karya falsafah tasawwuf dalam bahasa Melayu. Bahkan pada
awal abad ke-17 M, berlaku pula polemik-polemik ilmiah tentang falsafah, tasawwuf dan ilmu-
ilmu agama yang lain khususnya seperti polemik yang dilakukan oleh Hamzah Fansuri,
Syamsudin Pasai, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Kelahiran hasil-hasil karya
bersifat intelektual ini berpunca daripada pengaruh Islam yang meresap ke dalam bahasa dan
budaya Melayu. Keadaan ini tidak berlaku pada zaman Hindu.

Lantaran itulah maka bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di Asia Tenggara untuk
urusan pengembangan agama Islam bahkan ianya menjadi salah satu di antara enam bahasa
dunia Islam iaitu selain Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi. Oleh sebab itu juga orang-orang
Kristian menggunakan bahasa Melayu dalam penyebaran agama Kristian di kawasan Asia
Tenggara (Manggantar Simanjuntak : 1995)

3
Karya Pilihan: Hikayat Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Kedah adalah hikayat yang menceritakan
susur galur Merong Mahawangsa dan pengasas Kedah, sebuah negeri di Malaysia. Sungguhpun
terdapat beberapa fakta sejarah, ia turut mengandungi dakwaan yang mengkagumkan. Era yang
dirangkumi oleh teks ini bermula dari pembukaan negeri Kedah oleh Merong Mahawangsa, yang
didakwa sebagai keturunan Iskandar Agung dari Macedonia sehingga ketibaan Islam pada abad
ke-2 M. Merong Mahawangsa merupakan penganut Hindu dan terdapat sembilan pemerintah
Hindu sebelum Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam pada 1136 dan mengambil nama Sultan
Mudzafar Shah.

Bahagian awal cerita mengemukakan kisah-kisah raja dan pembukaan negeri berdasarkan
mitos dan lagenda atau cerita-cerita khayalan yang dipercayai kemasyarakatan, sama ada bersifat
tempatan, bersifat Hindu ataupun cerita-cerita yang berasal dari pengaruh Islam. Dalam bahagian
inilah hikayat ini menyatakan yang menjadi nenek moyang raja-raja Kedah ialah Raja Merong
Mahawangsa, seorang raja yang bukan sahaja mempunyai ikatan kekeluargaan dengan Raja Rom
tetapi juga menjadi pembesar kepercayaan Raja Rom.

Angkatan Raja Merong Mahawangsa yang sedang belayar dari Rom ke negeri China
telah diserang oleh Garuda. Ia membuka negeri Langkasuka dan diangkat menjadi raja. Ia pulang
ke Rom setelah menabalkan puteranya Raja Merong Mahapudisat menjadi raja. Langkasuka
ditukar namanya ke Kedah Zamin Turan.

4
Berpandukan nasihat yang diberikan oleh ayahandanya, Raja Merong Mahapudisat
merajakan putera sulungnya menjadi Raja Siam, putera tengah, Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah
ditabal sebagai Raja Perak dan anakandanya yang ketiga, seorang puteri, sebagai Raja Patani.
Putera yang bongsu menggantikan ayahanda mereka sebagai Raja Kedah dengan gelaran Raja
Seri Mahawangsa. Raja inilah yang memulakan tradisi menghantar persembahan bunga mas dan
bunga perak sebagai hadiah kepada kekandanya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat
putera.

Raja Seri Mahawangsa mangkat setelah kecewa dengan puteranya yang tidak menurut
perintah dan digantikan oleh putera itu dengan gelaran Raja Seri Maha Inderawangsa. Seterusnya
putera Raja Seri Maha Inderawangsa menjadi raja dengan gelaran Raja Ong Maha Perita Deria
yang lebih terkenal dalam sejarah negeri Kedah sebagai Raja Bersiong. Apabila Raja Bersiong
turun dari takhta setelah ditentang kerana kezalimannya, puteranya ditabalkan sebagai Raja Phra
Ong Mahapudisat. Raja ini digantikan oleh puteranya, Raja Phra Ong Mahawangsa yang
kemudiannya menjadi raja Kedah yang pertama memeluk agama Islam. Syeikh Abdullah
Yamani menukarkan namanya kepada Sultan Mudzafar Shah.

Tiada siapa yang tahu bila Hikayat Merong Mahawangsa pertama kali dikarang.
Pembayang utamanya mungkin terletak dalam mukadimahnya yang berbunyi: "Adalah pada
suatu masa zaman Sultan Muazzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang maha mulia kerajaan
negeri Kedah, pada suatu hari baginda keluar ke penghadapan, …" Sultan Muazzam Shah
sebenarnya memerintah dari tahun 1179–1201. R.O. Winstedt mula-mulanya mengusulkan tahun
1612 sebagai tahun asalnya, namun beberapa sejarawan Kedah meragui anggapan ini kerana
sastera Melayu belum berkembang ketika itu. Nampaknya ramai sejarawan berpendapat bahawa
manuskrip asli Hikayat ini ditulis pada abad ke-19, apatah lagi sekitar tahun 1821, berasaskan
peristiwa pembakaran salinan buku Hikayat ini atas perintah kerajaan Siam pada tahun itu.
Ketika itu, negeri Kedah menjadi negeri ufti Siam, oleh itu kerajaan Siam membenci mana-mana
tindakan yang kelihatan mencabar kewibawaannya baik dalam negara sendiri mahupun negeri-
negeri uftinya.

5
Catatan pusaka Hikayat Merong Mahawangsa masih disimpan dalam beberapa salinan
manuskrip yang diterbitkan pada zaman pendudukan Barat di Nusantara sekitar abad ke-19 dan
awal abad ke-20 sebagai panduan. Antaranya:

1. Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 21 yang merupakan koleksi pertama milik
W. Maxwell. Naskhah ini ditulis sepanjang 149 halaman tanpa nombor di setiap halamannya,
dan telah diserahkan ke Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Di dalamnya terdapat
tandatangan Maxwell dan catatan Singapore, 1884 M.

2. Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 16 oleh W. Maxwell. Naskhah ini tersimpan
di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Naskhah ini disalin oleh Muhammad Nuruddin
bin Ahmad Rajti pada 2 September 1889 M di Pulau Pinang dengan panjang 207 halaman.

3. Sejarah Negeri Kedah atau Hikayat Merong Mahawangsa, yang dikenali sebagai versi von de
Wall, No. 201. Naskhah salinan ini ditemukan oleh von de Wal ketika ia di Riau.

4. Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Negeri Kedah. Naskhah ini ditulis di Kampung
Sungai Kallang, Singapura. Di dalamnya tercatat tahun 1876 M. Salinan manuskrip ini disimpan
di Perpustakaan Bodleian, Universiti Oxford, England.

5. Hikayat Merong Mahawangsa versi R.J. Wilkinson, dicetak batu dalam tulisan Jawi berukuran
fulskap oleh Kim Sik Hian Press, No. 78, Penang Street. Versi ini disalin pada 16 November
1898 oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin di Pulau Pinang.

6. Hikayat Merong Mahawangsa versi Sturrock yang diterbitkan dalam Journal of The Royal
Asiatic Society, Straits Branch (JRASSB) No. 72, Mei 1916 M di halaman 37-123, yang dicetak
menggunakan tulisan Rumi (tulisan romawi).

7. Hikayat Merong Mahawangsa versi Logan yang merupakan koleksi J.R Logan, kini tersimpan
di Perpustakaan Nasional Singapura dengan nombor arkib qMR 8999, 2302 HR.

Hikayat Merong Mahawangsa turut dirakam dalam bentuk ulasan historiografi oleh Siti
Hawa Haji Salleh, terbitan Universiti Malaya pada tahun 1991.[2] Buku ulasan ini memetik
ceritanya dari tiga manuskrip, iaitu Maxwell 16, Maxwell 21, dan Von de Wall 201.

6
Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, terdapat 8 orang Raja yang berkuasa di
Langkasuka yang juga pengasas kepada kerajaan Kedah Tua bermula disekitar Lembah Bujang.
Di antara mereka juga merupakan pengasas kepada Kerajaan Siam, Gangga Negara dan negeri
Patani, Selatan Siam (Thailand). Berikut adalah penama-penamanya:

1. Merong Mahawangsa (berasal dari Rom kemudiaan belayar ke China. Dalam


pelayarannya ke China, baginda telah diserang oleh garuda. Lalu bersinggah ke wilayah
Lembah Bujang, Langkasuka (Kedah Tua) bagi membuka penempatan baru). Baginda
berketurunan Kaisar Romawi Iskandar Agung dari Macedonia. Merong Mahawangsa
ialah seorang Raja beragama Hindu.

2. Raja Merong Mahapudisat, putera sulong Merong Mahawangsa. Beragama Hindu.


Baginda ditabalkan di Rom sebagai Raja Siam. Langkasuka ditukar nama sebagai "Kedah
Zamin Turan". Baginda menjadi Raja Siam pertama.

3. Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah, putera kedua Merong Mahawangsa. Beragama Hindu.
Ditabal Raja dan pengasas bagi Kerajaan Gangga Negara.

4. Raja Puteri, merupakan anak ketiga Merong Mahawangsa. Juga merupakan seorang
Puteri, beragama Hindu. Ditabal sebagai Raja Patani pertama.

5. Raja Seri Mahawangsa, petera bongsu Merong Mahawangsa. Beragama Hindu.


Menggantikan ayahdanya Merong Mahawangsa sebagai Raja Kedah. Raja inilah yang
memulakan tradisi menghantar persembahan ufti bunga mas dan bunga perak sebagai
hadiah kepada kekandanya sulongnya, Raja Siam, setiap kali kekandanya mendapat
putera. Mempunyai seorang putera yang degil yang bernama Raja Seri Maha
Inderawangsa.

7
6. Raja Seri Maha Inderawangsa merupakan putera kepada Raja Seri Mahawangsa.
Beragama Hindu. Merupakan Raja yang degil dan zalim. Memakai gelaran Raja Ong
Maha Perita Deria. Bagi rakyat jelata, baginda lebih sinonim dengan panggilan Raja
Bersiong kerana suka memakan darah manusia. Lari kedalam hutan Gunung Jerai dan
mangkat disana selepas di serang oleh angkatan tentera menterinya. Meninggalkan
seorang putera yang bernama Raja Phra Ong Mahapudisat.

7. Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan putera kepada Raja Seri Maha Inderawangsa
(Raja Bersiong). Raja Phra Ong Mahapudisat merupakan Raja beragama Hindu.
Mempunyai seorang putera bernama Raja Phra Ong Mahawangsa.

8. Raja Phra Ong Mahawangsa merupakan putera kepada Raja Phra Ong Mahapudisat.
Asalnya beragama Hindu, kemudian memeluk agama Islam. Menukar nama sebagai
Sultan Mudzafar Shah (Dipercayai sebagai Sultan pertama Kedah dan salah seorang
Sultan tertua di dunia bermula tahun 1136). Di Islamkan oleh Syeikh Abdullah Yamani.

8
Analisis Karya:

Hikayat Merong Mahawangsa sesungguhnya menyampaikan mesej yang amat jelas ingin
kepada bangsa Melayu iaitu:

1. Jangan lupakan tentang asal mulanya rumpun Melayu itu sebagai bangsa yang bermaruah
2. Mempunyai raja dan kerajaan untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu itu sendiri,
lalu dengan itu wujudlah satu tuntutan untuk mewarisi dan mengekalkan segala hak
Melayu yang telah diperturunkan. dan bumi Melayu itu amat tinggi maruahnya
3. Melayu itu bukan orang gasar. malah Melayu itu tidak rendah darjatnya dari bangsa Rom
dan China. Pemimpin yang mampu menerajui dan memimpin Melayu adalah pemimpin
yang berkarisma dan mempertaruhkan dirinya sendiri untuk menyatukan kampung
(rakyat) yang bertelagah. bukan setakat pemimpin yang pandai berpolitik sahaja tetapi
benar-benar sanggup menggadai kepentingannya. dan bahawa usia ketuanan Melayu itu
sudah lama hidup, melalui munculnya kuasa institusi raja-raja Melayu itu sendiri dan ia
adalah suatu amanah turun temurun yang telah dizahirkan oleh generasi purba lagi.

Ini adalah karya sastera Melayu klasik yang mengisahkan sejarah masuknya Islam di
kawasan Kedah, Malaysia, dan kehidupan para sultan di sana. Ianya disusun secara tradisional
dengan mencantumkan banyak mitos dan cerita fiksyen. Penulisannya menggunakan huruf Arab
Melayu, yang menunjukkan bahwa pada masa itu pengaruh Islam sudah cukup kuat. Beberapa
kata dan kalimat Arab dapat dijumpai di sana-sini. Ada kata sultan, kitab, fakir, hadzir, dan alim
yang dalam bahasa Melayu berarti orang berilmu. Ada juga kata muta'alim yang artinya pencari
ilmu. Bahkan, dalam beberapa bait, ceritanya mengisahkan Raja Sulaiman (Nabi Sulaiman As)
sedang berbincang dengan burung garuda.

9
Akan tetapi, judulnya sendiri tidak berasal dari bahasa Arab atau Melayu. Kata 'merong
mahawangsa' berasal dari bahasa Siam, yang bererti 'naga pembesar bangsa harimau'. Merong
Mahawangsa adalah pengasas dan raja pertama Kerajaan Kedah. Keturunan Raja Merong yang
ketujuh, iaitu Raja Phra Ong Mahawangsa kemudian memeluk Islam dan berganti nama menjadi
Muzaffar Syah. Mulai waktu ini, agama Islam berpengaruh kuat dalam semua lekuk kehidupan
kesultanan. Tampaknya, perubahan agama mempengaruhi masa depan hubungan Kesultanan
Kedah dengan Kerajaan Siam. Kononnya, dahulu Kesultanan Kedah berada di bawah kekuasaan
Kerajaan Siam. Namun, termaktub dalam Hikayat Merong Mahawangsa, yakni raja-raja Siam
merupakan keturunan dari sultan-sultan Kedah.

Pencitraan ini membuat pihak Siam tidak senang. Kerajaan Siam pun menyerang Kedah.
Peristiwa itu terjadi pada tahun 1821M. Pasukan Siam yang melepasi benteng pertahanan
Kesultanan Kedah berhasil menemukan buku Merong Mahawangsa dan membakarnya. Merujuk
pada peristiwa tersebut, seorang peneliti sastera Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM), Siti Hawa Salleh, menyatakan penulisan Hikayat Merong Mahawangsa adalah di antara
tahun 1800 hingga 1820 M. Pendapat lain mengatakan penulisannya pada tahun 1860-an. Hal ini
didasarkan pada bukti sejarah bahwa masyarakat Melayu Kedah telah mengenal tulisan sejak
tahun 1625M. Buku Hikayat Merong Mahawangsa yang pertama telah musnah terbakar. Namun,
cerita di dalamnya tidak berhenti beredar. Kuatnya tradisi lisan dan tulisan dalam masyarakat
Melayu memacu penulisan hikayat itu dalam berbagai versi baru.

Ahli sastera Melayu asal Malaysia, Prof Dr Ding Choo Ming, mengatakan, akibat
pembakaran manuskrip ini, muncullah salinan-salinan naskah baru yang ditulis oleh banyak
orang menurut kepentingan dan tujuannya masing-masing. Ada yang menulis sesuai salinan
aslinya dengan sedikit tambahan. Ada pula, yang menampilkannya dalam bentuk cerita mitos
dan tambahan kisah lainnya.

10
Menurut Siti Hawa Salleh, Hikayat Merong Mahawangsa merupakan sebuah karya
sejarah beraroma fiksyen atau sastera sejarah. Genre sastera serupa juga dapat ditemukan dalam
hikayat-hikayat Melayu lainnya, seperti Hikayat Aceh, Hikayat Raja Pasai, Misa Melayu, dan
Hikayat Patani. Hikayat Merong Mahawangsa terdiri atas lima bab.

1. Bab pertama mengisahkan kesaktian Raja Merong Mahawangsa. Dalam bab ini, juga
disinggung percakapan Nabi Sulaiman As dengan burung garuda. Dalam percakapan itu,
Nabi Sulaiman berkata ada empat perkara yang tidak dapat dielakkan manusia, iaitu
rezeki, maut, jodoh, dan perceraian.

2. Bab kedua tentang kisah pendirian Kerajaan Kedah oleh Raja Merong Mahawangsa dan
perluasan wilayahnya ke negeri-negeri sekitarnya, seperti Siam, Perak, dan Patani. Di bab
inilah, disebutkan bahwa raja-raja Siam adalah keturunan raja Kedah yang menimbulkan
peperangan itu.

3. Bab ketiga mengisahkan Raja Phra Ong Mahawangsa yang suka minum arak hingga
mabuk berat.

4. Kemudian, di bab keempat disebutkan Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam
setelah bertemu dengan Syekh Abdullah Yamani dari Baghdad.

5. Sedangkan bab kelima, menuturkan silsilah sultan Kedah setelah keislaman negeri itu.

11
Ding Choo Ming berpendapat, untuk memahami isi Hikayat Merong Mahawangsa
tidaklah tepat jika memakai analisis sejarah. Hikayat sengaja diceritakan kepada khalayak ramai
sebagai sebahagian dari tradisi lisan yang secara terus-menerus dilestarikan. Dengan demikian,
hikayat haruslah dipahami sebagai cerminan alam pemikiran dan cara hidup masyarakat di
zaman itu. Penghasilan karya-karya berunsur sejarah ini memiliki dan peranan tersendiri dalam
konteks pengetahuan mengenai aspek-aspek politik, sosial dan ekonomi masyarakat Melayu.
Hikayat Merong Maha Wangsa yang dikarang dengan berdasarkan konsep penulisan sejarah
Melayu tradisional, menjalankan peranannya sebagai sebuah penulisan sejarah. Ia bukanlah
dikarang semata-mata berdasarkan khayalan dan dongengan; malah banyak rahsia budaya dan
nilai hidup zaman dulu tersirat dalam himpunan perlambangan, mitos dan lagenda.

Pendapat yang menyatakan bahawa India sebagai perantaraan penyebaran agama Islam
ke Alam Melayu tidak dapat dinafikan. Kesan dari batu bersurat seperti yang terdapat di Minye
Tujuh turut memperlihatkan penggunaan bahasa campuran antara bahasa Melayu atau Sumatera,
Sanskrit dan Arab. Selanjutnya dalam kisah pengislaman Merah Silu (Malek al- Saleh) terdapat
imbasan perantaraan orang-orang dari selatan India yang turut belayar ke Alam Melayu. Bahkan
asalnya batu nisan Malek al-Saleh juga disebut dari Kembayat. Dengan yang demikian nyatalah
orang-orang dari pantai Coromondel, India telah memeluk Islam daripada orang-orang di Alam
Melayu. Justeru tidak hairanlah jika ada sastera Islam yang tidak diterima secara langsung dari
timur tengah, tetapi dari resensi-resensi India. Contohnya Hikayat Berma Shahdan yang berasal
dari timur tengah dan datang ke alam Melayu melalui resensi India. Ada pendapat lain yang
menyatakan bahawa pengaruh Islam di Alam Melayu datangnya dari Parsi-India, kerana
perhubungan antara penduduk alam Melayu dengan Arab agak terkemudian. Mengikut Marrison,
orang-orang Gujeratlah yang mula-mula mengenalkan Islam dan membawa pengaruh Parsi ke
Alam Melayu. Di Gujerat, Islam disebarkan dengan penaklukan secara besar-besaran oleh
Muhammad Ghor. Seterusnya Marrison mengatakan bahawa pengaruh Parsi menjalar melalui
dua sumber: Pertama melalui sumber Parsi-India di bawah pemerintahan kerajaan Delhi, Gujerat
dan Deccan. Kedua, melalui pengembara Parsi yang melawat Asia Tenggara dan membawa
pertemuan kebudayaan.

12
Kedatangan Islam ke Alam Melayu disebut dalam beberapa buah buku yang bercorak
sejarah; seperti Hikatat Raja-Raja Pasai, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa. Dari
segi sejarah, sember dan kesan dari buku tersebut tidak begitu penting, kerana catatannya lebih
banyak merupakan cerita yang didengar oleh pengarang buku berkenaan.

Dengan lenyapnya Pasai sebagai pusat perkembangan kesusasteraan Melayu, ianya


kemudian digantikan oleh Melaka yang memang terkenal dengan pelabuhannya dan di sini ramai
para sasterawan, alim ulama dan para pedagang berkumpul. Banyak hasil terjemahan dan
saduran sastera Islam yang menempuh sejarah pembaharuannya di Melaka. Perkembangan
sastera Melayu yang berpengaruh Islam mencapai kemuncaknya pada zaman kegemilangan
kerajaan Aceh. Seperti Melaka, Aceh juga menjadi pusat tumpuan para alim ulama yang
mendapat galakan daripada sultannya. Antara tokoh ulama Aceh ketika itu termasuklah Hamzah
Fansuri, Shamsudin al-Samatrani, Abdul Rauf dari Singkel dan Sheikh Nuruddin al-Raniri. Pada
abad ini juga terdapat buku-buku sastera dan agama seperti Sejarah Melayu, Bustan al-Salatin,
Taj al-Salatin dan sebagainya.

Buku ketatanegaraan kebanyakan adalah terjemahan dan saduran dari bahasa Arab.
Sheikh Nuruddin al-Raniri telah menyadur kitab Taj al-Salatin pada tahun 1603M dan kitab
Bustan al-Salatin pada tahun 1638M. Sheikh Nuruddin turut melahirkan buku-buku keagamaan
seperti ilmu tasauf atau mistik, tafsir al-Quran dan nahu, Sirat al-Mustakin dan akhbar al-
Akhirat. Sheikh Nuruddin dalam bukunya ada menyebut nama beberapa orang ulama seperti
Abu Khair ibn Sheikh al-Hajar yang mengarang kitab al-Saif al-Qati, Muhammad al- Yaman,
Sheikh Muhammad Jailani, seorang ilnuan dalam bidang fekah dan mantik. Karya sastera yang
dihasilkan pada masa itu sebahagiannya ditujukan kepada orang yang menguasai bahasa Arab
dan sebahagiannya lagi diterjemahkan oleh sarjana tempatan yang menggunakan bahasa Melayu
bercampur perkataan Arab. Contohnya kitab Sarab al-Ashiqin telah ditulis dalam bahasa Melayu
untuk dipelajari oleh orang yang tidak tahu bahasa Arab.

13
Penutup:

Bahasa merupakan cermin akal budi bangsa dan juga sebagai wahana pemikiran dan
budaya. Dalam konteks kebangkitan semangat kebangsaan untuk menuntut kemerdekaan negara
ini, bahasa menjadi salah satu tunjang yang penting. Semangat dan jiwa inilah yang menjadi
jentera atau perjuangan yang meraih kemerdekaan bagi rakyat yang bangkit menentang penjajah.

Dalam pembinaan sesebuah tamadun, faktor bahasa tidak terkecuali dalam


menyatupadukan rakyat berbilang kaum melalui nilai-nilai seperti kesepakatan dan
ketoleransian. Begitu juga pembinaan dan peribadi mulia. Oleh sebab itulah para pujangga lama
kita menciptakan ucapan bernas seperti ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, ‘Hilang Bahasa Lenyaplah
Bangsa’, dan lain-lain lagi.

Oleh itu, bahasa berkait rapat dangan pembinaan dan kemajuan sesebuah bangsa.
Contohnya, kemajuan tamadun Yunani dikaitkan dengan pemikiran ahli falsafah seperti
Socrates, Plato, dan Aristotle. Dalam kajian mereka, fungsi bahasa wujud dalam setiap aspek
kehidupan manusia mencakupi pemikiran, hubungan masyarakat dan budaya.

Peranan Bahasa Melayu dalam perlembagaan Malaysia adalah sebagai bahasa rasmi
negara, pada masa sekarang. Namun, mungkin tidak ramai yang mengetahui ataupun perasan
bahawa sebenarnya Bahasa Melayu telah dijadikan sebagai bahasa rasmi dan lingua franca
sekitar kurun ke-7 hingga kurun ke-14 lagi. Melalui keadah arkeologi, penyelidik telah berjaya
menemukan bukti penggunaan Bahasa Melayu pada waktu itu yang juga dikenali sebagai Zaman
Bahasa Melayu Kuno. Antara bukti terawal yang ditemukan ialah:-

a) Batu Bersurat Kedukan Bukit, Palembang (683 M);

b) Batu Bersurat Talang Tuwo, dekat Palembang (684 M);

14
c) Batu Bersurat Kota Kapur, Pulau Bangka (686 M);

d) Batu Bersurat Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (692 M).

Daripada penemuan-penemuan inilah sebenarnya merupakan tonggak kepada Bahasa


Melayu pada zaman sekarang. Bahasa Melayu telah mengalami beberapa transformasi yang
meluas dan berkembang pesat. Daripada Zaman Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik,
dan kepada Bahasa Melayu Moden (yang diguna pakai sekarang). Daripada transformasi inilah
wujudnya sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu dan lahirlah sebuah negara yang aman
damai, Malaysia.

Bibliografi:

A. Bakar Hamid. (1983). Peristiwa-Peristiwa Dari Hikayat Hang Tuah. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Ismail Hamid. (1987). Perkembangan Kesusateraan Melayu lama. Selangor: Longman Malaysia
Sdn. Bhd.

Kassim Ahmad. (1995). Hikayat Hang Tuah (Diselenggarakan dan Diberikan Pengenalan Baru
oleh Kassim Ahmad). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Taib Osman & Abu Hassan Syam. (1984). Warisan Prosa Klasik. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hasyim Hj. Musa & Abdul Hamid Mahmood. (2006).
Tatabahasa Dewan. Edisi Baru. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainon S Ahmad. (1988). Sastera Melayu Lama Untuk STPM. Kuala Lumpur: Percetakan Dan
Perniagaan Berlian Sdn. Bhd.

15

You might also like