You are on page 1of 13

Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil.

2 (61-72) 61
ISSN 1985 - 496X

Pendidikan Luar di Malaysia


Outdoor Education in Malaysia

Md Amin Md Taff
Shamsor Nahar Mohd Yaakob

Abstrak

Pendidikan luar didefinisikan sebagai sebarang proses pendidikan terancang yang


dilaksanakan di alam semulajadi, bertunjangkan kaedah experiential learning dan
memanipulasikan elemen risiko dalam membangunkan potensi holistik individu. Ia
merupakan salah satu bidang pendidikan alternatif yang sedang berkembang pesat
di Malaysia. Sehingga kini, tiada sebarang penulisan yang mengutarakan tentang
susur masa perkembangan pendidikan luar di Malaysia. Akibatnya, ramai yang kabur
tentang susur galur bidang pendidikan luar di Malaysia. Sehubungan itu, penulisan
ini mengupas tentang perkembangan bidang pendidikan luar (outdoor education)
bermula dari era Sultan Idris Teachers College hingga ke penubuhan kem pendidikan
luar swasta. Selain itu, penulisan ini juga mengupas tentang isu semasa dalam bidang
pendidikan luar di Malaysia.

Kata kunci Pendidikan luar, Malaysia

Abstract

Outdoor education can be defined as systematic experiential learning method in the


outdoors which utilizes risks and adventure as a medium of holistic development.
Since 1922, outdoor education has gained popularity as a medium of alternative
learning in Malaysian educational system. However, there is no article published to
discuss the development of this unique educational field. As a result, the historical
development of outdoor education in Malaysia is unclear. This paper discusses the
development of outdoor education in Malaysia from the establishment of Sultan Idris
Teachers College to the present. In addition, this paper also discusses recent issues in
Malaysian outdoor educational practices.

Keywords Outdoor education, Malaysia


62 Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72)
ISSN 1985 - 496X

Pengenalan

Perkembangan pendidikan luar di Malaysia merupakan suatu proses yang agak sukar
untuk didokumentasikan disebabkan faktor perlaksanaan program pendidikan luar
yang pelbagai di Malaysia. Tambahan pula, tidak terdapat banyak rujukan pendidikan
luar yang berlatarbelakangkan Malaysia telah ditulis oleh pengkaji lampau. Ini terbukti
melalui dapatan kajian penulis yang hanya menemui dua penerbitan rasmi berkaitan
bidang pendidikan luar di Malaysia iaitu Scholer & Teoh (1980) dan IPSI (1995).
Kajian ini mendefinisikan penerbitan rasmi sebagai sebarang penerbitan dalam bentuk
buku, jurnal atau multimedia yang berwasit dan mempunyai nombor pengkatalogan
Perpustakaan Negara Malaysia. Ia tidak termasuk prosiding seminar kebangsaan
ataupun antarabangsa yang tidak diterbitkan. Kajian ini mendapati ketandusan sumber
rujukan pendidikan luar walaupun bidang ini bermula secara rasminya di Malaysia
lebih 50 tahun lampau dengan mengandaikan bahawa program pendidikan luar yang
sistematik dan berfokuskan pendidikan bermula melalui penubuhan Sekolah Membina
Semangat (Outward Bound School) di Lumut pada tahun 1952.
Namun kajian ini berpendapat bahawa suatu langkah ke hadapan perlu diambil
bagi mendokumentasikan proses perkembangan pendidikan luar di Malaysia walaupun
dihimpit kekurangan fakta. Langkah ini amat penting bagi memastikan golongan
pendidik dapat menghayati proses, pola dan perkembangan pendidikan ini di Malaysia
dan sekali gus membolehkan mereka merancang, melaksana dan menambah baik
program pendidikan ini di Malaysia.

Definisi pendidikan luar

Penulisan ini mendefinisikan pendidikan luar sebagai sebarang proses pendidikan


terancang yang dilaksanakan di alam semula jadi, bertunjangkan kaedah experiential
learning dan memanipulasikan elemen risiko dalam membangunkan potensi holistik
individu. Potensi holistik individu adalah satu proses pembangunan domain jasmani,
emosi. rohani, intelek dan sosial individu yang seimbang.
Definisi ini secara umum merangkumi program pendidikan luar yang dilaksanakan
oleh institusi pendidikan seperti sekolah, institut pengajian tinggi, Outward Bound,
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), dan syarikat swasta seperti Wilderness
Malaysia, Dusun Eco Resort dan Banseke.

Perkembangan pendidikan luar di era tradisional

Sejarah telah membuktikan bahawa sejak dari dahulu lagi masyarakat di Tanah Melayu
mempunyai hubungan yang kuat dengan alam semula jadinya (Norazit, Hashim, & Nor
Hisham, 1997). Alam bukan sahaja menjadi tempat mencari rezeki, malah ia dihargai
sebagai salah satu elemen terpenting dalam kehidupan masyarakat pada ketika itu.
Pada zaman tersebut, proses experiential learning menunjangi proses pembelajaran
seharian. Anak-anak muda didedahkan secara langsung dengan kemahiran yang
dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian (Haron, 2005). Faktor ini merupakan
Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72) 63
ISSN 1985 - 496X

falsafah utama dalam bidang pendidikan luar hari ini iaitu untuk mendidik individu
memperkembangkan potensi holistiknya melalui proses pembelajaran dari pengalaman
yang berlangsung di alam semula jadi. Hasil pembelajaran ini kelak boleh dipraktikkan
dalam kehidupan seharian serta seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Proses pembelajaran ini berlangsung di alam semula jadi yang menjadi makmal dan
juga guru terbaik bagi mereka. Hasilnya masyarakat pada zaman tersebut memiliki
potensi diri yang holistik, berkemahiran dalam pelbagai bidang serta mempunyai
hubungan yang akrab dengan alam semula jadi.
Catatan sejarah membuktikan bahawa aktiviti pendidikan luar moden yang
dilaksanakan hari ini sebenarnya telah lama diamalkan oleh Orang Asli (Iskandar Carey,
1976). Berpegang teguh kepada semangat alam, Orang Asli menjadikan cabaran alam
sebagai salah satu gaya hidup mereka. Hidup secara nomad (ekspedisi), mengamalkan
cara hidup yang ringkas (minimal impact), dan menghayati serta berhubungan rapat
dengan alam (place based education) merupakan bukti terbaik betapa kaum ini terlebih
dahulu mengamalkan prinsip-prinsip pendidikan luar. Semangat alam ini amat mirip
dengan fahaman deep ecologists yang beranggapan bahawa manusia merupakan salah
satu elemen alam semula jadi. Sehubungan itu, manusia haruslah menghormati alam
dan mengubah amalan hidup moden agar ia tidak merosakkan alam.
Catatan sejarah Tanah Melayu juga menunjukkan bahawa aktiviti luar telah lama
berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Catatan sejarah Negeri
Melaka merekodkan bahawa aktiviti seperti bersilat, berperahu, berlayar, memburu,
mengembara dan memancing merupakan sebahagian dari cara hidup masyarakat pada
zaman itu (Wan Shamsuddin, 1969). Malah catatan sejarah dengan jelas membuktikan
betapa penguasaan kemahiran luar yang tinggi dalam pelayaran dan navigasi telah
membawa Hang Tuah mengembara hingga ke Negara China.
Namun akibat penjajahan, kemahiran ini segera terhakis daripada diari hidup
masyarakat Tanah Melayu, terutamanya orang Melayu. Pengenalan cara hidup moden
telah merenggangkan hubungan manusia dan alam semula jadi. Proses pemisahan ini
telah mewujudkan pelbagai masalah seperti kejutan budaya dan pencemaran alam
yang melampau (Khoo, 1984). Pengenalan bilik darjah dan papan tulis dalam proses
pendidikan segera menghakis kebergantungan kepada alam semula jadi sebagai sumber
pembelajaran. Manakala proses experiential learning terus terbantut dengan pengenalan
buku mata pelajaran. Elemen penjajahan ini jelas telah menghakis kemahiran pendidikan
luar dalam kalangan masyarakat Melayu. Kemahiran yang dahulunya merupakan
sebahagian dari cara hidup, kini secara perlahan-lahan lenyap dimamah masa.

Perkembangan pendidikan luar di era moden

Perkembangan pendidikan luar dalam era moden di Malaysia banyak dipengaruhi


oleh pertubuhan sukarela dan institusi pendidikan (contohnya pergerakan pengakap
dan Maktab Perguruan Ilmu Khas). Sehubungan itu, penulis akan memperincikan
sumbangan setiap satu berdasarkan kronologi sejarah.
64 Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72)
ISSN 1985 - 496X

Penubuhan persatuan beruniform

Badan beruniform seperti Pengakap Malaysia, Pandu Puteri dan Persatuan Bulan Sabit
Merah merupakan organisasi yang bertanggung jawab memperkenalkan pendidikan
luar secara tidak formal di Malaysia. Catatan menunjukkan bahawa Pertubuhan
Pengakap Malaysia ditubuhkan pada tahun 1910 di Singapura, Pertubuhan Pandu Puteri
pula ditubuhkan pada tahun 1917 di Kuala Lumpur manakala Persatuan Bulan Sabit
Merah ditubuhkan pada tahun 1951 di Kuala Lumpur (Ab. Alim, 1999). Sepanjang
penubuhannya, organisasi terbabit ini telah memainkan peranan yang amat penting
dalam menyediakan pengalaman pendidikan luar kepada kanak-kanak di seluruh
Malaysia. Antara program popular dijalankan oleh organisasi ini ialah perkhemahan
dan khidmat masyarakat.

Penubuhan Sultan Idris Teachers College (SITC), 1922

Terdapat bukti bahawa program pendidikan luar secara formal bermula di Sultan Idris
Teachers College (SITC). Namun idea ini memerlukan sokongan kajian yang lebih
mendalam agar ia benar-benar menjadi bukti sejarah yang tepat. SITC ditubuhkan
pada tahun 1922 oleh R.O.Winstedt di Tanjong Malim, Perak. Institusi ini berperanan
mendidik bakal guru yang akan disalurkan ke sekolah-sekolah Melayu di seluruh negara
(Abu Bakar, 2000). Selain ilmu kependidikan, pelajar maktab ini juga dilengkapkan
dengan pelbagai aktiviti kokurikulum seperti kraf tangan, perkebunan dan kemahiran
sukan (Kamsiah, 2007). Pengenalan aktiviti kokurikulum ini khusus untuk memenuhi
tuntutan pertubuhan pengakap dan pandu puteri yang mendapat sambutan hangat di
sekolah pada ketika itu. Antara kemahiran luar yang didedahkan kepada bakal-bakal
guru pada ketika itu ialah perkhemahan, kawad kaki dan berenang. Sebahagian besar
guru-guru ini kemudiannya bertugas di sekolah dan memperkembangkan kemahiran
pendidikan luar yang mereka peroleh sewaktu di SITC.

Penubuhan Sekolah Membina Semangat (Outward Bound School) di Lumut,


Perak.

Sekolah Membina Semangat atau Outward Bound School (OBS) Lumut merupakan
pelopor kepada bidang pendidikan luar yang dilaksanakan di Malaysia sekarang.
Ditubuhkan pada tahun 1952, OBS Lumut merupakan cawangan Outward Bound
International yang kedua tertua di dunia. Fungsi utama penubuhan OBS Lumut pada
ketika itu ialah sebagai sebuah institusi latihan fizikal dan modal insan (character
building) kepada kakitangan kerajaan British, institusi pendidikan dan golongan
belia Malaysia (Outward Bound Malaysia, 2008). Sewaktu awal penubuhan, OBS
berfokuskan kepada aktiviti lasak seperti kawad kaki, merentas halangan, berlayar
dan mengembara. Aktiviti ini dilaksanakan dalam bentuk ekspedisi pendidikan luar
yang agak panjang (hingga mencakupi 21 hari) di kawasan sekitar Lumut dan Pulau
Pangkor. Aktiviti cabaran lasak sebeginilah yang menunjangi program pendidikan luar
di seluruh Malaysia masa kini.
Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72) 65
ISSN 1985 - 496X

Kursus-kursus pendidikan luar yang dijalankan oleh OBS pada masa itu telah
mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ini didorong
oleh faktor perlaksanaan aktiviti pendidikan luar yang terancang dan terbukti berkesan
dalam membangunkan potensi holistik individu. Kesannya, program pendidikan luar
di OBS telah mempengaruhi ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan pendidik
untuk menerapkan pendekatan yang serupa di institusi mereka (Md Amin, 2010).

Penubuhan program khas Pendidikan Jasmani di Maktab Perguruan Ilmu Khas


(MPIK), 1965

Pendidikan luar telah tersenarai dalam arena pendidikan Malaysia melalui penubuhan
program khas Pendidikan Jasmani di Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) pada
tahun 1965 (Abu Bakar Sidek, temu bual 2005). Dikenali sebagai specialists course,
kursus setahun ini bermatlamat mendidik golongan pakar Pendidikan Jasmani negara.
Selain diperkenalkan kepada pelbagai subjek utama Pendidikan Jasmani, pelajar juga
diwajibkan mengikuti beberapa siri perkhemahan pendidikan luar. Tujuan utama
perkhemahan ini ialah untuk mendedahkan konsep pendidikan luar dalam proses
pendidikan formal serta membentuk kualiti kepimpinan dalam kalangan pelajar
(Scholer & Teik Lee, 1980).
Sewaktu program pendidikan luar tersebut, pelajar akan dibawa ke lokasi terpencil
dan berkhemah dengan teknik yang minimal (berkhemah, memasak menggunakan
kayu api dan membina gejet). Selama dua minggu, perkhemahan berpusat tersebut
mendedahkan pelajar kepada pelbagai kemahiran pendidikan luar. Pembelajaran
kemahiran ini dilaksanakan berdasarkan kaedah stesen di mana pelajar menjalankan
aktiviti yang berlainan mengikut giliran kumpulan.
Selain kemahiran pendidikan luar, aspek tumpuan utama perkhemahan tersebut
ialah pembentukan semangat setiakawan yang perlu dipatuhi oleh semua ahli kumpulan.
Aspek ini dibina melalui jadual yang ketat dan perlaksanaan aktiviti yang berfokuskan
kerjasama kumpulan (bergotong-royong dalam sebarang aktiviti perkhemahan).
Sehingga hari ini, pendekatan perkhemahan pendidikan luar yang mula diperkenalkan
dalam program perkhemahan Maktab Perguruan Ilmu Khas masih diamalkan oleh
beberapa institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Penubuhan program Pendidikan Jasmani di Universiti Pertanian Malaysia


(UPM)

Tahun 1979 merupakan satu tarikh yang amat bersejarah kepada program pendidikan
luar di Malaysia kerana ia telah disenaraikan sebagai mata pelajaran akademik rasmi
dalam program Pendidikan Jasmani di Universiti Putra Malaysia. Kursus Lanjutan
Pendidikan Jasmani di MPIK tidak menyenaraikan program pendidikan ini sebagai
mata pelajaran akademik rasmi sebaliknya hanyalah sebagai aktiviti kokurikulum
pelajar program tersebut.
Mata pelajaran tiga kredit ini dilaksanakan melalui kelas teori dan praktikal. Kelas
teori mendedahkan pelajar kepada kaedah pembelajaran dan pengurusan program
66 Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72)
ISSN 1985 - 496X

pendidikan luar manakala kelas praktikal pula berfungsi untuk melatih kemahiran
pendidikan luar pelajar. Mirip dengan program di MPIK, program di UPM juga
menyenaraikan perkhemahan sebagai aktiviti wajibnya. Setiap pelajar diwajibkan
menyertai program perkhemahan kemahiran air dan darat yang berlangsung selama
enam hari (tiga hari bagi setiap program perkhemahan). Selain itu, pelajar juga
diwajibkan menjalani program perkhemahan induk yang berlangsung selama dua
minggu (Abu Bakar Sidek, temubual 2005).
UPM secara umumnya telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan
amalan pendidikan luar di Malaysia hari ini. Pengaruh UPM dapat dilihat dengan jelas
dalam aktiviti pendidikan ini yang dijalankan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG)
dan Pusat Kokurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia yang akan dibincangkan
nanti. Ini kerana majoriti pelajar lepasan UPM menjawat jawatan tugasan utama di
jabatan dan kementerian pelajaran. Malahan ramai juga yang menjadi tenaga pengajar
di institut pendidikan utama di seluruh Malaysia. Hasilnya, pengalaman yang mereka
perolehi di UPM telah sedikit sebanyak diterapkan dalam polisi pendidikan mahupun
program yang mereka jalankan (Md Amin, 2010).

Penubuhan Pusat Kokurikulum Kementerian Pelajaran

Pusat Kokurikulum Kementerian Pelajaran merupakan nadi utama program pendidikan


luar dalam kalangan pelajar sekolah Malaysia dewasa ini. Ditubuhkan pada November
1991 di enam buah negeri terpilih (Sabah, Sarawak, Kelantan, Pahang, Terengganu
dan Kedah), pusat ini bermatlamat untuk menjadi pusat latihan pendidikan luar yang
melengkapi proses pembelajaran bilik darjah. Selain itu, pusat ini juga menumpukan
usaha untuk melahirkan golongan pelajar yang berpaksikan modal insan seiring dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1999).
Penubuhan Pusat Kokurikulum Kementerian Pelajaran ini telah memberikan
satu dimensi baharu dalam perkembangan pendidikan luar di Malaysia terutamanya
dalam aspek pengurusan, logistik, kejurulatihan dan penerbitan. Pewujudan jawatan
penolong pengarah (pegawai pengurus), kakitangan tetap dan peruntukan kewangan
berkala telah membolehkan aktiviti pendidikan ini dijalankan secara sistematik dalam
kalangan warga pendidikan Malaysia.
Pusat-pusat ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti asrama,
dewan kuliah dan pejabat pengurusan. Selain itu, ia turut dibekalkan dengan pelbagai
peralatan aktiviti pendidikan ini yang canggih dan terkini (contohnya dinghi, peralatan
paintball dan basikal lasak).
Pusat Kokurikulum Kementerian Pelajaran juga merupakan satu-satunya badan
pendidikan ini yang mempunyai sistem kejurulatihan yang sistematik dan terbesar
rangkaiannya di Malaysia. Setiap tahun, guru yang menjadi jurulatih di pusat ini
dihantar mengikuti kursus pengkayaan diri sama ada di dalam mahupun luar negara.
Sumbangan pusat ini dalam memperkayakan penerbitan pendidikan luar
kebangsaan juga tidak boleh dinafikan. Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak tiga buah
buku berkaitan pendidikan luar telah diterbitkan oleh pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia (Mahamad Amran Kamsi, temu bual 2008). Malangnya buku ini diedarkan
dalam lingkungan pusat kokurikulum dan jurulatihnya sahaja.
Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72) 67
ISSN 1985 - 496X

Sehingga hari ini, Pusat Kokurikulum Kementerian Pelajaran terus berkembang


pesat menjadi pusat pendidikan luar terbesar negara. Kini usaha giat sedang dijalankan
untuk menubuhkan pusat kokurikulum daerah, mendapatkan jurulatih tetap dan
memperbanyakkan penerbitan pendidikan ini di Malaysia.

Bahagian Pendidikan Guru (BPG)

Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah


memainkan peranan yang amat besar dalam perkembangan pendidikan luar di
Malaysia. Selain penyenaraian program perkhemahan dalam program khas Pendidikan
Jasmani di MPIK, BPG telah turut mencorakkan perkembangan pendidikan ini di
Malaysia melalui perlaksanaan Kursus Latihan Membina Semangat (1990–1994),
Program Pendidikan Luar (1995 hingga kini) dan Program Bina Insan Guru (2001
hingga kini) kepada semua pelajarnya. Program ini tidak tersenarai sebagai mata
pelajaran akademik tetapi wajib diikuti oleh semua pelajar BPG melalui kursus-kursus
khas yang dilaksanakan oleh pihak institut pendidikan guru. Kesemua program ini
dikendalikan oleh pensyarah institut pendidikan guru yang terlibat.
Kursus Latihan Membina Semangat (KLMS) telah diperkenalkan dalam kurikulum
pendidikan guru Malaysia pada tahun 1990. Berkonsepkan ala tentera, peserta program
ini akan berkhemah (base camp) selama 14 hari di kem yang diwujudkan di sekitar
kawasan institut pendidikan guru terpilih (mengikut zon). Sepanjang perkhemahan,
peserta akan menjalani pelbagai aktiviti lasak seperti kawad kaki, merempuh
halangan dan perkhemahan solo. Selain masa rehat dan tidur yang singkat, program
ini melaksanakan hukuman yang keras terhadap sebarang kesilapan yang dilakukan
oleh peserta. Antara hukumannya ialah direndam dalam kolam ataupun berkawad
di tengah malam. Kesemua senario dan hukuman ini bukannya bertujuan mendera
tetapi dirancang khusus untuk melahirkan golongan guru yang tahan lasak dan tabah
dalam menghadapi cabaran. Namun akibat beberapa insiden kemalangan, sanggahan
masyarakat dan perubahan polisi pendidikan, program ini telah diberhentikan pada
tahun 1994 dan digantikan dengan program pendidikan luar.
Program pendidikan luar telah diperkenalkan pada tahun 1995 kepada semua pelajar
major dan elektif Pengajian Pendidikan Jasmani di institut pendidikan guru Malaysia.
Objektif utamanya ialah untuk melahirkan golongan insan guru yang berpekerti mulia,
tahan lasak dan mampu memacu perkembangan bidang pendidikan negara. Berbanding
KLMS, program ini lebih singkat jangkamasanya (hanya tiga hingga empat hari
sahaja). Konsep perlaksanaan programnya juga berbeza dengan KLMS dengan ia lebih
bertumpu kepada pendekatan mesra pelajar. Aktiviti fizikal yang dijalankan tidak tinggi
intensitinya dan tiada sebarang elemen hukuman keras yang dilaksanakan. Program
pendidikan ini kerap dilaksanakan secara ekspedisi pendek seperti mendaki gunung,
berkayak dan berkhemah. Sehingga artikel ini ditulis, program pendidikan luar masih
menjadi program wajib dalam kalangan bakal guru jurusan Pendidikan Jasmani yang
menuntut di institut pendidikan guru di seluruh negara walaupun terdapat ura-ura untuk
menggantikannya dengan program Bina Insan Guru.
Program Bina Insan Guru (BIG) mula diperkenalkan kepada semua pelajar institut
pendidikan guru di seluruh negara mulai tahun 2001. Pada bulan Julai tahun 2005, sukatan
68 Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72)
ISSN 1985 - 496X

pelajarannya telah diseragamkan di seluruh negara. Fokus utama program ini ialah
sebagai pencetus kepada usaha pembinaan insan guru yang berakhlak mulia, tahan lasak
dan menghayati nilai-nilai keguruan yang tinggi (Bahagian Pendidikan Guru, 2005).
Program BIG ini dilaksanakan dalam bentuk perkhemahan selama empat hari tiga
malam di kawasan rekreasi. Berbanding program pendidikan luar lain yang banyak
memfokus kepada aktiviti lasak, program BIG mensasarkan pencapaian objektifnya
melalui gabungan aktiviti lasak dan latihan dinamika kumpulan (LDK). Program BIG
mengurangkan slot aktiviti lasak bagi memberi ruang kepada perlaksanaan aktiviti
penyelesaian masalah, permainan kreatif dan perbincangan kumpulan.

Penyenaraian matapelajaran pendidikan luar dalam sukatan pelajaran


Pendidikan Jasmani

Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pusat Perkembangan Kurikulum juga telah


memainkan peranan besar terhadap perkembangan pendidikan luar di Malaysia.
Pada tahun 1995, buat pertama kalinya mata pelajaran pendidikan ini telah tersenarai
dalam sukatan pelajaran Kurikulum Baharu Sekolah Menengah (KBSM). Dinamakan
kemahiran rekreasi, mata pelajaran pendidikan ini dalam kurikulum tersebut bertujuan
untuk menggalakkan pelajar menceburi aktiviti pendidikan luar khusus untuk membina
kecergasan fizikal dan mental yang tinggi. Antara mata pelajaran yang disenaraikan
ialah kemahiran asas perkhemahan, ikatan dan orienteering (Pusat Perkembangan
Kurikulum, 1995).
Malangnya mata pelajaran berbentuk rekreasi ini agak kurang terlaksana di
sekolah sekolah kerana kekurangan tenaga pengajar dan peralatan aktiviti. Faktor ini
juga didorong oleh isu penyisihan mata pelajaran Pendidikan Jasmani berbanding
mata pelajaran akademik di sekolah. Akibatnya, perkembangan pendidikan luar yang
dihasilkan oleh Kurikulum Pendidikan Jasmani agak perlahan berbanding dengan apa
yang dicapai oleh Pusat Kokurikulum Malaysia.

Aktiviti Pendidikan luar Kendalian Syarikat Swasta di Malaysia

Syarikat swasta juga telah memainkan peranan yang relevan dalam perkembangan
pendidikan luar di Malaysia (Lau, Turiman, Shamsuddin & Bahaman, 2001). Syarikat-
syarikat swasta yang berorientasikan keuntungan ini ditubuhkan khusus untuk
memenuhi tuntutan aktiviti pendidikan ini yang tidak dapat dipenuhi oleh badan-badan
kerajaan. Selain itu, penubuhan syarikat syarikat dalam bidang ini turut dipengaruhi
oleh peningkatan minat masyarakat Malaysia terhadap aktiviti yang berteraskan cabaran
alam semula jadi. Salah sebuah syarikat yang amat giat mempromosikan program
pendidikan luar dalam kalangan pelajar dan remaja Malaysia ialah Wilderness Malaysia.
Beroperasi di Pulau Tuba, Langkawi, Wilderness Malaysia merupakan syarikat
pendidikan luar terbesar di Malaysia. Objektif utama penubuhan syarikat ini ialah
untuk menjadikan pendidikan ini sebagai medium membangunkan potensi holistik
individu (Wilderness Malaysia, 2007). Pendekatan program pendidikan luar syarikat
ini mirip Outward Bound lantaran kebanyakan staf awal syarikat ini datangnya dari
Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72) 69
ISSN 1985 - 496X

pertubuhan yang sama. Program Wilderness Malaysia berbentuk ekspedisi lima hari
yang dijalankan di Pulau Tuba dan kawasan sekitarnya. Setiap tahun Kementerian
Pelajaran Malaysia menaja hampir 10 ribu orang pelajar sekolah di seluruh negara
untuk mengikuti program pendidikan ini yang dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Perlaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga turut menyumbang dalam
proses perkembangan pendidikan luar di Malaysia. Program PLKN ini merupakan
kesinambungan program pendidikan ini yang telah dijalankan oleh Kementerian
Pelajaran dalam kalangan pelajar sekolah di seluruh negara.
PLKN adalah program pembinaan jati diri dan perpaduan dalam kalangan
remaja Malaysia dan telah diperkenalkan pada tahun 2004 oleh Kerajaan Malaysia.
Dipertanggungjawabkan di bawah pentadbiran Jabatan Latihan Khidmat Negara,
program ini berfokuskan kepada usaha melahirkan generasi muda yang cintakan
negara, bersatu padu dan mengamalkan ciri ciri insan unggul. Program ini diwajibkan
kepada semua remaja Malaysia yang berusia 18 tahun dan dilaksanakan di kem-kem
latihan di seluruh negara.
Selama tiga bulan, peserta program PLKN perlu mengikuti empat modul utama
iaitu modul fizikal (pembinaan kecergasan), modul pembinaan negara (penerapan
nilai jati diri), modul pembinaan sahsiah (membangunkan sahsiah peserta), dan modul
khidmat masyarakat (menggalakkan amalan bermasyarakat) (Jaffry Zakaria, 2008).
Kajian ini mendapati bahawa falsafah pendidikan luar menunjangi perlaksanaan
program PLKN ini. Matlamat program PLKN adalah seiring dengan matlamat
pendidikan luar iaitu untuk mendidik masyarakat moden yang mengamalkan ciri-ciri
murni terhadap diri, masyarakat dan alam sekitar. Pendekatan pendidikan ini juga
digunakan sepenuhnya dalam program PLKN. Ini terbukti melalui perlaksanaan aktiviti
yang berteraskan risiko terancang, dilaksanakan di alam semula jadi, hidup dalam serba
kekurangan dan menggunakan kaedah experiential learning dalam membangunkan
potensi individu. Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti luar yang dijadikan medium
pencapaian matlamat program yang telah ditetapkan seperti berkhemah, berkayak,
merempuh halangan, mendaki dan mengembara. Kesemua elemen ini memperkuatkan
tanggapan kajian ini bahawa PLKN juga merupakan salah satu agen perkembangan
pendidikan luar di Malaysia.

Program pendidikan luar di universiti tempatan

Peranan universiti tempatan di seluruh negara dalam proses perkembangan pendidikan


luar di Malaysia juga tidak boleh dinafikan. Hampir semua universiti menyenaraikan
program rekreasi luar dalam aktiviti kokurikulum pelajarnya. Hasilnya, ramai pelajar
universiti terdidik tentang perlaksanaan aktiviti luar yang sistematik dan selamat.
Universiti tempatan juga telah memainkan peranan yang amat penting dalam
perkembangan pendidikan ini di seluruh Malaysia melalui penyenaraian pendidikan
luar sebagai salah satu mata pelajaran utama.
70 Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72)
ISSN 1985 - 496X

Antara universiti yang terlibat secara langsung dalam perlaksanaan program


pendidikan ini ialah Universiti Putra Malaysia yang memperkenalkan mata pelajaran
pendidikan luar (Program Pendidikan Jasmani, Fakulti Pendidikan) dan Ijazah Sarjana
Muda Pengurusan Rekreasi Luar (Fakulti Perhutanan). Universiti Teknologi MARA
pula menubuhkan Fakulti Sukan dan Rekreasi dan ijazah dalam pengurusan rekreasi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris memperkenalkan mata pelajaran pendidikan pula
dan kemahiran ikhtisas rekreasi dalam kalangan pelajar Fakulti Sains Sukan dan
Kejurulatihannya, Universiti Kebangsaan Malaysia menubuhkan Program Sukan
dan Rekreasi dan Universiti Teknologi Malaysia memperkenalkan mata pelajaran
pendidikan luar kepada pelajar jurusan Sains Sukannya.
Pengenalan mata pelajaran dan program pengajian pendidikan ini di universiti-
universiti tempatan telah melahirkan ramai tenaga penggerak yang profesional
dan terlatih di seluruh negara. Sehingga hari ini, bilangan universiti tempatan
yang memperkenalkan program pendidikan luar dalam kalangan pelajarnya terus
bertambah.

Isu Semasa Pendidikan luar di Malaysia

Walaupun pendidikan luar sedang berkembang pesat di negara ini, namun ia juga tidak
dapat lari dari beberapa isu yang sedang menghimpit perkembangannya. Antaranya
ialah isu keselamatan dan kebajikan peserta, isu pencemaran alam sekitar akibat amalan
perkhemahan yang negatif, isu pembiayaan program yang terlalu tinggi kosnya, isu
etika dan profesionalisme jurulatih serta isu organisasi pendidikan luar negara yang
masih lagi belum sistematik.
Isu-isu yang disenaraikan di atas telah mendatangkan impak yang besar terhadap
perlaksanaan dan perkembangan pendidikan ini di Malaysia. Antaranya ialah penamatan
program Kursus Latihan Membina Semangat (KLMS, anjuran Bahagian Pendidikan
Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia) akibat beberapa insiden kemalangan yang
berlaku sewaktu program tersebut (Mohd, 1992). Kini, program PLKN juga mendapat
tekanan yang serupa dari segelintir masyarakat Malaysia.
Kajian ini mengesan tidak terdapat peningkatan nyata dalam menjalankan aktiviti
pendidikan luar di Malaysia walaupun ia telah bermula lebih 50 tahun lalu. Pencemaran
sampah di kawasan rekreasi luar masih berlaku, kecurian hasil alam semula jadi seperti
mengambil batu karang di kawasan yang terdapat karang, mengambil secara tidak
dibenarkan hasil hutan seperti pokok tongkat ali dan lain-lain terus berleluasa dan
pencemaran sisa manusia terus mengotorkan kawasan rekreasi di seluruh Malaysia
(Shamsor, 2008). Amalan negatif ini diburukkan pula oleh pembangunan moden di
kawasan aktiviti luar yang mengakibatkan lokasi aktiviti pendidikan ini semakin
mengecil dan terancam.
Selain itu, program pendidikan luar di Malaysia juga diancam oleh kos perlaksanaan
aktiviti yang tinggi. Kos yang tinggi ini wujud lantaran aktiviti dilaksanakan di kawasan
terpencil, penglibatan tenaga pembimbing yang ramai, serta jangka masa program
yang agak panjang bagi memenuhi kepelbagaian aktiviti (Fakulti Sains Sukan, 2006).
Kesemua faktor ini sebenarnya amat penting dalam mewujudkan program pendidikan
luar yang berkesan. Malangnya keperluan kewangan yang tinggi ini telah disalah
Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72) 71
ISSN 1985 - 496X

anggap sebagai elemen pembaziran oleh sesetengah pentadbir. Kesannya, terdapat


beberapa program pendidikan ini yang terpaksa dihentikan ataupun dipendekkan
jangka masanya atas alasan penjimatan kos.
Permintaan yang tinggi terhadap program pendidikan ini telah mewujudkan defisit
tenaga kejurulatihan yang agak meruncing dalam bidang ini (Fittler, 2007). Isu ini
ditambah dengan tahap burnout yang tinggi dalam kalangan jurulatih pendidikan luar
akibat jangka masa berkerja yang tidak menentu, lokasi kem yang agak terpencil dan
tawaran kerja lain yang lebih menarik. Isu ini jelas dialami oleh Wilderness Malaysia,
PLKN dan juga Pusat Kokurikulum Malaysia. Selain itu, beberapa pusat pendidikan
luar swasta telah mengambil jurulatih secara ad hoc bagi menjimatkan kos tenaga
kerja (Lau, Turiman, Shamsudin & Bahaman, 2001). Sesetengah jurulatih yang
diambil berkerja ini tidak mempunyai kemahiran dan kaedah bimbingan kumpulan
yang sistematik. Akibatnya program yang dilaksanakan agak rendah mutunya malah
diancam oleh beberapa insiden kemalangan yang meragut nyawa.
Sehingga kini, masih belum wujud suatu organisasi yang bertanggungjawab di
peringkat kebangsaan dalam mengawal mutu aktiviti pendidikan ini di seluruh negara.
Akibatnya, kualiti dan corak perlaksanaan program ini masih tidak banyak berubah.
Selain itu, wujud percanggahan dan perdebatan hangat dalam kalangan pelaksana
program pendidikan ini hingga kadangkala mendorong kepada kemerosotan kualiti
program.
Ketiadaan organisasi pemantau ini juga mendorong setiap pelaksana program
pendidikan ini di Malaysia melahir dan mengiktiraf jurulatih mereka sendiri.
Akibatnya, mutu kejurulatihan pendidikan luar negara agak terkebelakang
berbanding Singapura, New Zealand dan Amerika Syarikat. Malahan, ketiadaan
badan pemantau ini juga telah mengehadkan bilangan penerbitan berkaitan
pendidikan luar di Malaysia. Di Amerika Syarikat, badan pemantau pendidikan luar
seperti Association of Experiential Learning dan Outdoor Recreation Round Table
telah menerbitkan banyak bahan rujukan tentang aktiviti pendidikan luar di negara
mereka. Hasilnya, masyarakat dapat mempelajari pendidikan luar secara terancang
sekali gus meningkatkan perlaksanaan mutu program tersebut.

Kesimpulan

Secara umumnya, penulisan ini mengupas perkembangan pendidikan luar di Malaysia


mulai dari tahun 1922 hingga sekarang. Bermula sebagai suatu kaedah alternatif kepada
proses pembelajaran bilik darjah, pendidikan luar di Malaysia telah berkembang
sebagai aktiviti kokurikulum (Pusat Kokurikulum), aktiviti pembinaan modal insan
dan perpaduan negara (OBS dan PLKN), aktiviti jati diri dan kecergasan fizikal
(institut pendidikan guru), mata pelajaran rasmi (Pusat Perkembangan Kurikulum,
universiti tempatan) dan juga sebagai karier profesional (Wilderness Malaysia).
Ini membuktikan bahawa pendidikan ini semakin dinamik dan diterima baik oleh
masyarakat di Malaysia.
Namun, ia juga tidak dapat lari dari pelbagai isu dan masalah yang sedikit sebanyak
telah mendatangkan kesan negatif terhadap perlaksanaan program pendidikan jenis ini
72 Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72)
ISSN 1985 - 496X

di Malaysia. Sehubungan itu, suatu langkah bersepadu haruslah diambil oleh semua
pelaksana program, penggerak dan juga penggiat bagi memartabatkan lagi mutu
pendidikan luar negara.

RUJUKAN

Ab. Alim, Abdul Rahim (1999). Pengurusan kokurikulum dan badan beruniform. Kuala
Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Abu Bakar, Nordin (2000). Meniti zaman: SITC-MPSI-IPSI-UPSI. Kuala Lumpur: Pustaka
Antara
Bahagian Pendidikan Guru. (2005). Panduan dan modul program Bina Insan Guru (BIG).
Manuskrip yang tidak diterbitkan. Kuala Lumpur: Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Fakulti Sains Sukan. (2006). Kertas kerja perkhemahan amali akhir program pendidikan luar
Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kertas kerja yang tidak diterbitkan. Tanjung Malim:
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Haron, Daud (2009). Mantera dan unsur luar biasa dalam masyarakat Melayu. Pulau Pinang:
Penerbit Universiti Sains Malaysia.
IPSI (1995). Pengurusan Program Pendidikan Luar. Tanjong Malim, Malaysia: Penerbit
Institut Perguruan Sultan Idris
Iskandar Carey. (1976). Orang asli: The aboriginal tribes of Peninsular Malaysia. Kuala
Lumpur: Oxford University Press.
Jaffry Zakaria. (2008). The effects of National Service Programme in Perlis State on group
cohesion. Thesis Ijazah Sarjana yang tidak diterbitkan, Serdang, Selangor: Universiti Putra
Malaysia.
Kamsiah A. (2007). Benih budiman: Suatu analisis sosio-sejarah Persekolahan Melayu di
Singapura. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (1999). Panduan pengurusan pusat kokurikulum. Kuala
Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Khoo K. K. (1984). Sejarah masyarakat Melayu moden. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya.
Lau, Y.Y, Turiman S., Shamsuddin A. & Bahaman A. S. (2001). The effectiveness of an outdoor
training programme at Banseke human resource development centre. Kertas kerja yang
dibentangkan di Graduate Research Education Conference. Serdang, Selangor: Universiti
Putra Malaysia.
Md Amin, Md T. (2010). The effects of residential outdoor education camp on environmental
knowledge and attitudes of first year undergraduate students from selected Malaysian
universities. Thesis Ijazah Kedoktoran yang tidak diterbitkan. Serdang, Selangor: Universiti
Putra Malaysia.
Mohd, Yusuf Bakar (1992). Dua pensyarah maktab ditemui mati. Berita Harian, hal. 12.
Norazit S., Hashim A. & Nor Hisham O. (1997). Meniti zaman: Masyarakat Melayu antara
tradisi dan moden. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.
Outward Bound Malaysia. (2008). History of Outward Bound Malaysia, Lumut. Dimuat turun
pada 23 Ogos 2008, daripada http://outwardbound.my/about/history.html.
Pusat Perkembangan Kurikulum. (1995). Sukatan pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Scholer, E.A. & Teoh T. L (1980). Teacher training in physical education in Malaysia. Journal
of Physical Education and Recreation. hal. 74–76.
Jurnal Perspektif Jil. 2 Bil. 2 (61-72) 73
ISSN 1985 - 496X

Shamsor, Nahar Yaakob (2008). Identification of physical impact indicators for the tropical
mountain trail: The case of Gunung Tahan trail, Taman Negara National Park, Peninsular
Malaysia. Thesis Ijazah Kedoktoran yang tidak diterbitkan, Newcastle: University of
Newcastle.
Wan Shamsuddin, Mohd Yusuf (1969). Sejarah Tanah Melayu dan sekitarnya: 1400–1967.
Kuala Lumpur: Pustaka Antara.
Wilderness Malaysia. (2007). About Wilderness Centre Sdn. Bhd. Dimuat turun pada 24 Julai
2007, daripada http://www.wildernessmalaysia.com/About%20WCSB.html.

You might also like