You are on page 1of 1

Pakar Psikiatri Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Hospital Mesra Bukit

Padang Dr Sivenanthini Purana Visvanathan berkata, aktiviti menyanyi dan menari seperti
senamrobik dan zumba mula diadakan di pusat kuarantin Pusat Kebudayaan Penampang sejak
awal November lepas berikutan aduan pesakit COVID-19 yang merasa bosan dan tertekan apabila
duduk di pusat kuarantin.
Dr Sivenanthini berkata, sebelum ini jika pesakit didapati murung atau tertekan, mereka akan dirujuk
kepada pakar psikiatri untuk sesi kaunseling individu.
"Setiap individu yang masuk ke pusat kuarantin perlu mengisi borang saringan tahap tekanan. Jika
seseorang itu memperoleh markah yang tinggi, pakar psikiatri akan memberi bantuan kepada
individu berkenaan," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pasukan MHPSS yang mempunyai seramai 20 orang ahli itu mengadakan aktiviti
terapi secara berkumpulan seminggu sekali di setiap pusat kuarantin dan setiap sesi diadakan
selama 30 minit hingga sejam.
Ketua Pasukan MHPSS daripada JKNS Dr Leydra Philip pula berkata pada awalnya aktiviti itu
hanya diadakan dalam komuniti namun apabila ia dilihat sangat berkesan kerana penggunaan
muzik yang mudah diterima, maka beliau memasukkan aktiviti berkenaan dalam jadual riadah di
pusat kuarantin.
Bagaimanapun, Dr Leydra berkata, aktiviti itu akan disesuaikan di setiap pusat kuarantin bergantung
kepada keluasan pusat berkenaan bagi menjaga penjarakan fizikal selain ada juga pesakit di pusat
kuarantin lain yang memilih melakukan aktiviti pendidikan secara interaktif dalam talian.
Katanya setiap daerah juga diwajibkan mempunyai pasukan MHPSS namun intervensi yang
dijalankan berbeza mengikut keadaan, umur dan keperluan pesakit.
Penambahan jumlah pesakit Covid-19 di negeri Sabah pada gelombang ketiga juga antara faktor
aktiviti itu dimasukkan dalam jadual riadah di pusat kuarantin.
"Aktiviti ini juga sebagai salah satu kempen #endstigmanow terhadap bekas pesakit Covid-19 dan
mereka yang berada dalam pusat kuarantin selain memberi gambaran kepada masyarakat luar
tentang keadaan di dalam pusat berkenaan," katanya yang juga aktif selaku seorang aktivis sosial
bagi bekas pesakit Covid-19.
Sementara itu Penolong Pegawai Perubatan Norbert Andilah yang tular menyanyi dengan PPE
sambil menyanyikan lagu berjudul "Original Sabahan" itu berkata, beliau menyanyi di pusat
kuarantin Penampang pada 17 November lalu.
Katanya lagu yang berentak seperti tarian sumazau itu sesuai dinyanyikan sekali gus diselitkan
ketika aktiviti bersenam bersama pesakit Covid-19.
"Waktu menari dan menyanyi memang terasa panas (memakai PPE), memang tinggi cabarannya
tetapi sebagai petugas barisan hadapan hanya itu yang boleh saya bantu dari segi kesihatan mental
kerana muzik dan senaman memainkan peranan untuk mengurangkan tekanan seseorang itu,"
katanya yang memang gemar menyanyi.
Berdasarkan laporan JKNS terdapat 28 pusat kuarantin di negeri ini yang masih menempatkan
2,121 pesakit Covid-19.

You might also like