You are on page 1of 11

Kepelbagaian Budaya Di Malaysia: Analisis Dari Perspektif Islam

Sayuti Ab. Ghani, Redwan Bin Yasin, Burhanudin Jalal


(Universiti Pertahanan Nasional Malaysia)
Mohd Mahzan Awang
(Universiti Kebangsaan Malaysia)

Abstrak

Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian etnik, agama dan
budaya. Kepelbagaian ini merupakan satu keunikan yang akhirnya membentuk
masyarakat yang hidup bersatu padu. Penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran
dilihat sebagai penyumbang kepada perpaduan dalam kepelbagaian budaya di
Malaysia. Sebenarnya, dasar keislaman telah lama dipraktikkan dalam pentadbiran di
Malaysia tanpa mengetepikan agama-agama yang lain. Penulisan ini, akan memberi
fokus kepada nilai-nilai utama Islam yang menjadi tunjang kepada agama, serta melihat
bagaimanakah pelaksanaan nilai-nilai tersebut boleh membawa kepada perpaduan dan
penyatuan masyarakat sama ada bagi yang beragama Islam mahupun bukan
beragama Islam. Ianya juga mampu mengelakkan interpretasi buruk terhadap nilai-nilai
asas ajaran agama Islam dalam membentuk sebuah masyarakat yang harmoni yang
akhirnya ia dalam memperkukuhkan lagi perpaduan dalam masyarakat berbilang
budaya di Malaysia.

Kata kunci: Kepelbagaian, Etnik, Dasar Islam, Nilai-nilai Islam, Memperkukuh,


Perpaduan.
Pendahuluan

Hampir 59 tahun Malaysia telah menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat.
Pengekalan kemerdekaan ini bukan perkara yang mudah kerana Malaysia di penghuni
oleh pelbagai etnik dan budaya yang berbeza antara satu sama lain. Kebijaksanaan
pemimpin yang mendukung kepimpinan negara menjadi tulang belakang utama dalam
membentuk keamanan antara etnik di bumi Malaysia sehingga sekarang. Perbezaan-
perbezaan yang wujud di kalangan etnik diselesaikan dengan penuh hikmah sama ada
perbezaan yang berlaku dalam politik, ekonomi mahupun sosial.

Kontrak sosial yang terjalin dan sebati dalam jiwa antara etnik di Malaysia semenjak
pada 1957 tidak perlu dipersoalkan lagi. Kewujudan perundangan yang menjadi asas
kontrak sosial di kalangan etnik menjadi kunci kepada perpaduan yang berkesan dan
akhirnya membentuk negara bangsa yang bersatu padu. Proses pembinaan bangsa
merupakan satu episod yang panjang bagi setiap negara yang menginginkannya
termasuklah Malaysia. Proses ini memerlukan sokongan yang kuat dari semua sudut
terutama dari rakyat yang berbilang agama, bahasa dan budaya.

Apa yang hendak difokuskan dalam penulisan ini ialah sejauh manakah peranan agama
dan nilai-nilai Islam mampu membentuk perpaduan di kalangan etnik di Malaysia yang
berbeza dari sudut agama, bangsa dan budaya dari perspektif Islam. Oleh sebab itu,
beberapa prinsip Islam akan diperbincangkan dalam penulisan ini bagi membuktikan
Islam merupakan agama yang cintakan keamanan dan kesejahteraan sama ada
sesama Islam mahupun bukan Islam.

Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Malaysia yang terdiri daripada empat belas negeri yang berbeza serta ditadbir boleh
Sultan atau Raja. Perlembagaan Persekutuan telah menyerahkan kuasa untuk
mentadbir semua hal-ehwal agama Islam dibawah bidang kuasa Sultan. Perkara ini
termasuklah zakat, baitulmal, wakaf dan perkara-perkara yang bersangkutan dengan
agama Islam yang lain. Seterusnya Sultan dengan bidang kuasa yang ada dibawahnya
telah menyerahkan kuasa kepada Majlis Agama Islam untuk mentadbir dan
menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam (Sohaimi, 2008).

Perkara 3(1):
“Islam adalah merupakan agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.
(Perlembagaan Persekutuan, 2009:1)

Peruntukan di bawah Perkara 3 ini adalah jelas memberi hak kepada semua agama
selain Islam untuk mengamalkan dan mempraktikkan agama mereka dan juga
menjelaskan kedudukan Raja-Raja sebagai ketua agama di negeri-negeri melainkan
negeri yang tidak mempunyai raja. Di samping kedudukan Raja-Raja, ianya juga
menyentuh tentang Yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri-
negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Daripada peruntukan ini, menggambarkan Islam menggalakkan persefahaman dalam


membentuk perpaduan yang tidak terbatas kepada saudara seagama sahaja. Sebagai
contoh perubahan situasi yang berlaku di Malaysia, Islam bukan lagi menjadi milik etnik
atau kaum Melayu sahaja bahkan sudah mulai menyentuh minat masyarakat secara
totalnya, termasuk di peringkat global mahupun antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan
dengan kajian yang dilakukan oleh pihak non-Muslim tentang nilai-nilai agama Islam.
(Abdul Monir, 1996:189). Golongan bukan Islam yang hidup bermasyarakat bersama
orang Islam tidak seharusnya khuatir tentang hak mereka untuk beragama dan
mengamalkan ibadah mengikut kepercayaan mereka. Perkara ini secara terangnya
telah disebut melalui sumber utama rujukan umat Islam iaitu al-Quran, yang
menjelaskan bahawa tidak wujud sebarang paksaan bagi orang bukan Islam untuk
menganuti agama Islam iaitu:

“Tiada sebarang paksaan dalam agama Islam”.( al-Baqarah, 2:256)

Agama Islam bukan sahaja menggalakkan perpaduan sesama muslim, malah dengan
golongan bukan Islam yang hidup bermasyarakat dalam sesebuah negara. Menurut
syariat Islam, di antara falsafah terbesar mengapa diciptakan manusia daripada
pelbagai bangsa dan agama adalah supaya mereka saling mengenali, memahami
antara satu sama sekali gus membolehkan mereka untuk hidup bahagia dalam
kelompok kenegaraan yang lebih besar. Hal ini telah dinukilkan oleh Allah SWT
menerusi firmanNya yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari seorang laki-laki, seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu
saling kenal mengenali antara satu sama lain”(al-Hujurat, 49:13)

Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar pemerintahan yang


bercorak keislaman telah mengambil inti pati bagi ayat tersebut dengan membenarkan
hak kebebasan beragama bagi golongan bukan Islam untuk meneruskan kepercayaan
asal mereka dan mengamalkan agama tanpa sebarang gangguan dan paksaan.
Kebebasan beragama bagi bukan Islam di Malaysia adalah penting bagi mencapai
perpaduan menyeluruh yang merupakan agenda utama negara dalam menjamin
kestabilan politik, ekonomik dan sosial negara. Perkara ini telah dijamin oleh
Perlembagaan Persekutuan iaitu:

Perkara 11(1): “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan,
tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya”.(Perlembagaan Persekutuan, 2009:7)

Maka sebagai gantian bagi hak kebebasan tersebut, mereka seharusnya bersama-
sama memelihara kesucian dan menghormati agama utama yang dijadikan tunjang
pemerintahan negara dan mengambil nilai-nilai mulia yang menjadi ajaran asas bagi
agama tersebut. Selain itu, dari konteks fiqh al-Daulah, atau ilmu fiqh berkaitan
kenegaraan, ajaran agama Islam sangat mementingkan konsep perpaduan masyarakat
kerana perkara tersebut adalah merupakan tunjang bagi keamanan dan keharmonian
negara agama. Amat sukar untuk menjalani kehidupan seharian sama ada bagi tujuan
ibadah atau muamalat, melainkan perpaduan sesama masyarakat yang mendiami
negara telah berjaya dicapai. Oleh sebab itu Islam sangat menolak sebarang bentuk
hubungan kemasyarakatan yang boleh menimbulkan elemen permusuhan seperti
Tughyan 20 (keganasan), Fasad (kerosakan), `Udwan (permusuhan), dan Israf
(pembaziran). Sebaliknya ia harus berasaskan kepada usaha mencegah kejahatan dan
menyeru ke arah kebaikan. (Fuad, 1986: 110)

Islam sebagai sebuah agama samawi yang memenuhi setiap kehendak dan keperluan
manusia, kandungan ajaran Islam yang disampaikan sangat sesuai untuk diamalkan
bagi memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum, etnik mahupun agama.(Paimah
Atoma,2008) Pendekatan kehidupan sosial Islam yang harmoni, saling mengenali dan
menghormati antara satu sama lain, mengiktiraf hak-hak yang diberikan tanpa mengira
bangsa juga agama, dilihat dapat membuka ruang laluan yang luas kepada kesatuan
masyarakat secara keseluruhannya.(Shamsul Amri, 2012). Inti pati al-Quran yang
menjadi teras rujukan agama Islam haruslah didukung sebagai pedoman dalam
mencapai kemajuan kejayaan negara.

Malaysia telah mula memupuk nilai-nilai murni yang terkandung dalam agama Islam
yang mana kebanyakannya telah disepakati oleh agama-agama lain melalui Dasar
Penerapan Nilai-nilai Islam. Ini adalah merupakan suatu agenda perlaksanaan kerajaan
untuk menanam nilai-nilai murni yang membina ke dalam pentadbiran negara sebagai
suatu jambatan yang diamanahkan dengan tanggungjawab pemerintahan yang
berteraskan keyakinan dan keamanan”. (Mohammed Zamri, 2007:136). Antara objektif
utama pemupukan atau penerapan nilai keislaman dari sudut konteks kenegaraan dan
kemasyarakatan ialah(Amrin Buang, 1990): Membentuk sebuah masyarakat Malaysia
yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh masyarakat negara lain dan
menubuhkan sebuah Negara Bahagia.

Konsep Wasatiyyah dan Perpaduan di Malaysia.

Wasatiyyah atau dengan bahasa mudahnya ialah kesederhanaan sudah lama di


amalkan di Malaysia. Konsep wasatiyyah dapat dijelaskan dalam semua aspek seperti
dalam ibadah, akhlak, perundangan, politik dan juga dalam aspek sosial iaitu
perhubungan di antara individu dan masyarakat. Hal ini dijelaskan dengan sikap
bertolak ansur, menerima agama serta amalan keagamaan etnik-etnik lain dan
sebagainya yang akhirnya untuk membina perpaduan yang harmoni dalam masyarakat.
Apabila perpaduan antara masyarakat berbilang kaum ini dihubungkan dengan konsep
wasaatiyyah dan pada masa yang sama masyarakat juga memahami konsep
wasatiyyah ini, maka ia akan mudah dicapai dan bertambah kukuh (Mohd. Shukri
Hanapi 2013) Wasatiyyah bermaksud seseorang itu tidak boleh mengejar dunia
semata-mata sehingga mengabaikan akhirat atau terlalu mengejar akhirat sehingga
melupakan dunia (Ridhuan Tee, 2010). Sebenarnya konsep ini telah lama dihayati
dalam kepimpinan negara di Malaysia dan terangkum dalam konsep wasatiyyah.
Namun begitu ia mula menjadi perhatian umum dan dianggap baru apabila
diperkenalkan oleh Y.A.B Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada September
2010.

Di Malaysia, Konsep Wasatiyyah telah diaplikasikan dalam pelbagai peringkat seperti


dalam pembuatan keputusan, pengagihan sumber, pilihan raya dan sebagainya.
Maksud wasatiyyah bagi makalah ini ialah kesederhanaan dalam pembuatan
keputusan, pembahagian sumber secara sama rata, bertolak ansur, bekerjasama,
muafakat dan menerima perbezaan di antara satu sama lain serta tidak mementingkan
diri sendiri. Setiap dasar ataupun konsep yang diperkenalkan oleh kerajaan sudah
semestinya mempunyai pandangan positif dan negatif. Begitu juga perihal wasatiyyah
yang mempunyai penerimaan positif dan juga negatif serta cabaran dalam
pelaksanaannya. Terdapat beberapa cabaran pelaksanaan wasatiyyah dalam
pembinaan bangsa Malaysia iaitu kepelbagaian bangsa, fahaman agama, dan fahaman
politik. Antara cabarannya ialah kepelbagaian bangsa di Malaysia. Terdapat empat
bangsa terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India dan Sabah serta Sarawak.
Bangsa-bangsa lain seperti Iban, Bidayuh, Sikh, Melanau, Bajau, Murut, Kadazan dan
sebagainya. Berdasarkan temu bual rambang di kalangan masyarakat Malaysia
walaupun berbangsa Melayu, ada di kalangan mereka yang menyatakan tidak
mengetahui apa itu wasatiyyah dan tidak mengetahui bahawa Wasatiyyah adalah
prinsip yang mendokong Gagasan 1Malaysia. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain
yang tidak mengetahui mengenai wasatiyyah. Seterusnya ialah fahaman agama yang
dianuti di Malaysia. Fahaman atau pegangan agama merupakan cabaran pelaksanaan
wasatiyyah di Malaysia. Hal ini kerana ada di kalangan responden bukan beragama
Islam yang di temu bual secara rawak menyatakan bahawa wasatiyyah hanya untuk
orang yang beragama Islam sahaja dan tidak berkaitan dengan mereka. Mengikut
dapatan soal selidik yang telah diedarkan di Semenanjung Malaysia, kebanyakan
responden menyatakan bahawa mereka tidak pasti untuk mengguna pakai nilai-nilai
murni daripada agama lain. (Nurulhuda, 2013).

Oleh sebab itu, apa yang dinyatakan dalam konsep Islam yang cuba diterapkan di
Malaysia perlu kepada proses kefahaman yang betul serta oleh semua etnik di
Malaysia agar ianya tidak menjadi isu agama kerana istilah wasatiyyah ini amat sinonim
dengan prinsip-prinsip pentadbiran dan pengurusan Islam. Sekiranya prinsip ini
diadunkan dengan perpaduan sudah tentu negara Malaysia akan di penghuni oleh
masyarakat yang kuat dan berpadu sama ada di saat negara mengalami kesuraman
ekonomi mahupun di sebaliknya. Dengan ini, penulis penuh yakin bahawa tidak semua
orang yang bukan Islam yang menentang prinsip wasatiyyah dengan kata lain mereka
sebenar menunggu dan ingin melihat sejauh mana prinsip wasatiyyah ini mampu
memberi kebaikan kepada semua etnik di Malaysia.
Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Konteks Perpaduan di Malaysia.

Islam adalah agama yang syumul yang merangkumi segenap sudut kehidupan
manusia. Kesyumulan Islam itu adalah berteraskan kepada al-Quran dan al-Hadis yang
menjadi sumber utama dalam Islam. Terdapat banyak nilai-nilai mulia yang membentuk
kesempurnaan agama Islam. Akan tetapi antara nilai-nilai utama yang dikira bertepatan
dengan objektif perpaduan masyarakat, serta sesuai untuk diamalkan oleh segenap
lapisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia ialah:

Al-`Adalah

Definisi keadilan yang dijelaskan oleh ajaran agama Islam dilihat agak berbeza dengan
terjemahan nya menurut istilah kebiasaan bagi bahasa lain. Apa yang dimaksudkan
dengan `Adil menurut agama Islam adalah meletakkan sesuatu itu betul dan tepat
kepada tempatnya. Ia tidak bererti melayan semua tuntutan yang dikemukan secara
sama-rata dan sama rasa sepanjang masa.(Ridhuan Tee, 2010:43). Keadilan dalam
Islam merujuk kepada keperluan sesuatu pihak di dalam memiliki sesuatu. Prinsip asas
Islam menegaskan bahawa layanan keadilan yang akan diberikan adalah bergantung
kepada tahap keperluan bagi sesuatu yang dikehendaki olehnya. Konsep keadilan
adalah asas utama ajaran Islam. Hal ini telah disebutkan dengan jelas melalui firman
Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan,
memberi (kepada kamu) kaum kerabat, melarang daripada perbuatan keji,
kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepada mu agar kamu dapat
mengambil pengajaran”. ( al-Nahl, 128: 90)

Keadilan menurut Islam bukan sahaja layak diterima oleh golongan Muslimin, tetapi
juga bukan Islam. Jaminan ini ternyata telah lama diamalkan semenjak daripada
penggubalan Piagam Madinah yang memberi perlindungan hak kepada masyarakat
Yahudi suatu ketika dahulu yang menetap bersama kaum 21 Muslimin.(Mohd Izani,
2005:16). Penerapan nilai keadilan dalam konteks negara dan masyarakat seharusnya
dipadankan dengan konsep kesaksamaan kerana ianya dilihat akan menyelamatkan
manusia daripada ditindas. Prinsip keadilan sosial yang diamalkan melalui sistem
pemerintahan Malaysia dilihat amat wajar dan jelas dalam konsep demokrasi bahawa
tiada penganiayaan harus berlaku sama ada berpunca daripada pihak majoriti ke atas
minoriti atau sebaliknya.

Secara tersirat nya, roh keadilan dan kesaksamaan menurut Islam yang telah sedia
wujud dalam Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan berupaya mengawal dan
mengimbangi keadaan sosial, mengelakkan ketegangan agama dan menjaga
kemaslahatan rakyat.(Shamrahayu, 2012). Kesemua yang tersebut akan menjadi suatu
pemangkin kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia, apabila
kesemua Muslim mahupun non-Muslim memahami roh keadilan sebenar yang dingin
dipupuk. Sifat Tasamuh yakni toleransi dalam memberi keadilan kepada semua juga
akan mula diamalkan oleh masyarakat bukan Islam. Maka akan terbitlah rasa mudah
mengalah, rasa sudi dan tidak bersungut dalam memberikan ruang atau peluang untuk
tujuan perkongsian kek ekonomi negara kepada etnik lain yang agak mundur serta
memerlukan sokongan lebih daripada pihak kerajaan.

Al-Amanah

Nilai amanah dalam diri adalah merupakan suatu perkara yang sangat ditekankan oleh
agama Islam. Insan yang tidak mempunyai nilai amanah dalam diri akan dianggap
sebagai mereka yang tidak sempurna keimanan mereka di sisi Allah SWT.
Perbincangan soal amanah atau kebiasaannya disebut sebagai nilai integriti dalam diri.
Pengaplikasian konsep “al-Amr bil al-Makruf wa al-Nahy `an al-Mungkar” yang wujud
dalam Islam adalah merupakan kaedah terbaik untuk mencegah pencabulan amanah di
kalangan umat Islam. Falsafah di sebalik kaedah tersebut dilihat dapat menyumbang
kepada perpaduan masyarakat apabila kesemua anggota masyarakat atau komuniti
menganggap ianya sebagai suatu tanggungjawab sosial yang wajib dilaksanakan.
(Hamid, 2000:80)

Sungguhpun nilai amanah ini kebiasaannya hanya ditekan dan di fokus kepada umat
Islam, akan tetapi ianya harus diamalkan dan dipupuk dalam jiwa setiap lapisan
masyarakat. Paksi utama yang membezakan sifat amanah dalam Islam dan nilai
integriti ialah dalam bab keimanan kepada Tuhan yang Esa yakni Allah SWT. Sebagai
contoh melalui nilai amanah, insan bukan sahaja menjauhi amalan rasuah semata-mata
kerana takutkan hukuman perundangan yang bakal dikenakan jika didapati bersalah,
akan tetapi yang terpenting ialah menyedari bahawa perbuatan rasuah itu keji di sisi
Tuhan mereka kerana mengkhianati tanggungjawab yang dipikul.

Hasil pemupukan nilai amanah dalam jiwa masyarakat akan lebih mencerminkan identiti
bangsa Malaysia yang mempunyai acuan tersendiri yang sangat unik dan
mengagumkan. Pemahaman dan penerapan terhadap nilai-nilai murni sejagat yang
diterima daripada bangsa serta agama lain sangat membantu dalam usaha
pembentukan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Perpaduan, pembangunan dan kemajuan negara mampu dicapai dengan mudah
berdasarkan kepada sifat keikhlasan dan amanah dalam perhubungan, tanpa
meruntuhkan norma-norma budaya serta nilai-nilai akhlak yang positif seperti amanah.
(Ismail, 2009:208)

Ta`awun
Di antara elemen kemasyarakatan yang sangat diterapkan oleh Islam ialah Ta`awun
yang bermaksud kerjasama. Skop kerjasama yang menjadi nilai kemuliaan dalam
agama Islam hanya terbatas kepada kerjasama yang berunsur kebaikan sahaja. Segala
aktiviti kerjasama yang membawa kepada keburukan dan kemusnahan insan adalah
dilarang sama sekali dalam Islam dan ditegah menurut Islam. Tuntutan untuk bersama-
sama dalam melakukan perkara yang menuju kebaikan ini telah dinukilkan oleh Allah
SWT menerusi firmanNya:

“Hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat kebajikan dan hal ketakwaan. Dan
janganlah kamu bertolong-tolongan untuk perbuatan dosa (yakni kerosakan) dan
penganiayaan”. (surah al-Maidah, 5:2)

Syariat Islam yang bersifat komprehensif sentiasa menekankan konsep “mutual” yang
dapat ditakrifkan dalam bahasa mudah sebagai konsep bersalingan. Tidak hanya
tertumpu atau dilaksanakan oleh suatu pihak sahaja, tanpa sebarang kerjasama
daripada pihak lain yang mempunyai kepentingan bersama. Kerjasama antara
masyarakat yang berbilang agama dilihat akan memberikan suatu impak perpaduan 22
yang sangat positif kepada negara. Ini adalah kerana jika setiap golongan masyarakat
akan berterusan bekerjasama menjalankan peranan masing-masing sama ada dari
sudut ekonomi, tanggungjawab sosial, mahupun pentadbiran negara. Mereka akan
saling bertanggungan dan saling bekerjasama bermula daripada skop kekeluargaan
yakni sesama anggota keluarga, diteruskan kepada skop kejiranan, diluaskan kepada
komuniti setempat, dan akhirnya ke arah pembentukan masyarakat dalam sebuah
negara.(Ahmad Shalaby, 2001:276)

Jika nilai keislaman ini berjaya diterapkan dalam jiwa setiap masyarakat, nescaya akan
wujudlah sebuah masyarakat yang bebas daripada perasaan mementingkan diri sendiri.
Kesudian untuk saling berkongsi kenikmatan hasil negara, kuasa pentadbiran, dan
pengagihan sumber ekonomi yang bijak telah menjadi sumber kekuatan negara selama
ini. Tindakan daripada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dikira
menggugat perpaduan kaum dan keselamatan negara, malah akan menjejaskan usaha
murni untuk merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara model
pelbagai kaum dan agama.(Azman, 2013). Kesilapan terbesar yang mampu
menghancurkan keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum seperti di
Malaysia adalah apabila wujud di kalangan anggota masyarakat yang hanya
mementingkan nasib atau perut mereka sendiri serta tidak mahu menyumbang apa-apa
ataupun bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam untuk mengeratkan perpaduan
dalam negara.

Musawah

Dalam perbicaraan mengenai hak yang diberikan kepada setiap warganegara bukan
Islam yang mendiami sesebuah negara, syiar Islam tidak sesekali menafikan hak-hak
mereka. Bahkan segalanya dilindungi oleh pemerintah Islam yang dilantik menjadi
ketua negara. Asas inilah yang dipanggil sebagai Musawah yang menjelaskan tentang
konsep persamaan dan kesamarataan dalam Islam. Perbezaan yang wujud di antara
masyarakat Muslim dan non-Muslim ialah dari sudut kepercayaan, pegangan akidah,
serta keimanan mereka sahaja. Akan tetapi norma-norma masyarakat yang terbentuk
mestilah menepati tuntutan asas bagi setiap insan serta menjamin kemaslahatan hidup
yang ingin dicapai.(Faisal, 1997:92) Golongan bukan Islam pada zaman kini yang hidup
bermasyarakat bersama golongan Muslim di Malaysia dijamin hak mereka sebagai
warganegara yang sah. Adalah menjadi kewajipan bagi pemerintahan 23 negara untuk
memenuhi hak-hak mereka, bergantung kepada sejauh mana hasil kebaikan bagi
mereka, selagi mana tidak bertentangan dengan nas syarak atau roh syariat Islam.(Mad
Saad, 1999:86). Maka apabila nilai sebegini dapat difahami dan dipupuk dalam jiwa
masyarakat berbilang kaum, mereka akan mula mengenali yang mana satu kah yang
merupakan hak atau bukan hak yang ditentukan ke atas mereka. Oleh itu tidak wujud
lagi sebarang penentangan tidak berasas atau persoalan kurang cerdik terhadap
peruntukan hak istimewa dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipersoal
atau dibahaskan secara terbuka, yang mana ianya dilihat mampu menggugat
perpaduan kaum di Malaysia. Bertepatan dengan roh kontrak sosial yang diamalkan
iaitu hubungan masyarakat Islam dengan bukan Islam di negara ini dibuat berdasarkan
kepada perjanjian sosial yang dijelmakan dalam bentuk perlembagaan di mana konsep
perkongsian kuasa yang dijadikan formula kepada hubungan tersebut.(Nakhaie,
2004:124).

Maka segala hak keistimewaan dan hak kebebasan yang diperuntukkan dalam
perlembagaan haruslah menjadi asas rujukan semua bagi menjalinkan perhubungan
bersepadu antara kaum. Harus diingat bahawa berbezaan agama dan status
kerakyatan bukan faktor yang boleh mengharuskan kezaliman, penindasan penafian
hak mendapatkan layanan baik. Mereka berhak untuk mempertahankan hak yang
diperuntukkan dan menghalangnya daripada dicabuli. Mereka juga dikehendaki untuk
melaksanakan tugas dan bersama menunaikan tanggungjawab sosial dalam kehidupan
bermasyarakat. (Shukeri, 1998). Perpaduan akan berjaya dicapai apabila elemen
diskriminasi berjaya dihapuskan daripada jiwa masyarakat melalui pemupukan nilai ini.
Tiada lagi rungutan di kalangan masyarakat Malaysia yang mengeluarkan persepsi
negatif bahawa sesuatu etnik atau kaum akan menjual barangan mereka kepada
kaumnya dengan harga yang lebih rendah berbanding dengan kaum yang lain.
Kesemuanya akan mendapat layanan yang sama rata tanpa rasa diketepikan oleh
mana-mana pihak.

Kesimpulan

Pada keseluruhannya perpaduan amat penting dalam sesebuah negara bagi


kelangsungan kemakmuran dan keamanan. Perpaduan dalam konteks Malaysia agar
unik kerana wujudkan perbezaan agama, bangsa dan budaya. Pengekalan perpaduan
yang di kecapi ini banyak bergantung pada kekukuhan kontrak sosial yang dipegang
antara kaum menerusi perundangan dan kekuatan pemimpin menerusi kepimpinan
yang menerajui negara. Perkara ini terbukti menerusi dasar-dasar yang dilaksanakan
serta prinsip-prinsip asas Islam yang diamalkan dalam memperkukuhkan perpaduan
antara kaum di Malaysia.
Rujukan

Abdul Monir Yaacob, 1996, Kesesuaian Islam di Malaysia, Kuala Lumpur: IKIM. Ahmad
Shalaby, 2001, al-Hayatul Ijtima`iyah fi al-Tafkir Islamiy, Singapura: Pustaka Nasional
Pte Ltd.

Al-Quranul Karim Al-Rayyan Hussin Ratib, 1999, `Ajzu al-Muwazanah wa `Ilajihi fi


Fiqhu al-Islamiy, Amman: Dar al-Nafais.
Amrin Buang, 1990, Dasar Utama Kerajaan, Kuala Lumpur: Penerbitan INTAN

As-Sunan Al-Kubra, Jilid 5 Beirut: Dar al-Kutub al-Islamiyyah Azman Anuar, 2013,
Utusan Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Melayu(M) Berhad. BERNAMA, 2013,
Pedoman al-Quran dalam Transformasi. Berita Harian, Kuala Lumpur: Berita Harian
Sdn Bhd.

Faisal bin Othman, 1997, Islam dan Perkembangan Masyarakat, Kuala Lumpur: Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.

Fuad Hasan, 1986, Peranan Islam dalam Perpaduan Masyaraka. Beberapa Asas
Integrasi Nasional: Pro dan Kontranya. pynt: Cheu Hock Tong, Penerbit Karya Kreatif.

Ismail Said, 2009, Pengajian Sosial, Selangor: Karisma Publications Sdn Bhd.

John Hardie & Hamid Algar, 2000, Social Justice in Islam by Sayyid Qutb, Selangor:
Islamic Book Trust.

Mad Saad Abdul Rahman, 1999, Kedudukan Bukan Islam dalam Sejarah Pemerintahan
Islam. Prinsip-prinsip Pemerintahan dalam Masyarakat Majmuk. (pynt): Abdul Monir
Yaacob, Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.

Mohd Izani, 2005, Islam dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di
Malaysia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Mohammed Zamri, 2007, Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pemerintahan.


Dasar-dasar Utama Kerajaan Malaysia, pnyt: Yusof Ismail, Kuala Lumpur: A.S
Noordeen.

Nakhaie Ahmad, 2004, Pembangunan Negara Islam Hadhari, Kuala Lumpur: Milenia
Muslim Publications Sdn Bhd.
Paimah Atoma & Kassim Thukiman & Hamidah Abdul Rahman, 2008, Hubungan Etnik
di Malaysia, Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.

Ridhuan Tee Abdullah, 2010, Perpaduan Teras Pembinaan Negara Maju, 1Malaysia.
Menjana Negara Sejahtera
Dan Bahagia Menjelang 2020. (pynt): Shahlan Ismail, Selangor: Ilham Baru
Publications. Shamrayu A.Aziz, 2012, Kesamarataan Secara Fakta, Bukan Ideal
Semata-mata. Berita Harian, Kuala Lumpur: Berita Harian Sdn Bhd.

Shamsul Amri Baharuddin, 2012, Modul Hubungan Etnik, Selangor: Institut Kajian Etnik
UKM. Sheikh Salim Sheikh Othman, 1984, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shukeri Mohammad, 1998, Pengenalan Politik Islam dan Perlaksanaannya dalam


Negara Malaysia. Kertas kerja Seminar Siasah Syari`ah, Kuala Lumpur: Akademi
Pengajian Islam UM.

Sohaimi Hj. Mohd Salleh & Syarqawi Muhamad (2008), Wakaf Development In Malaysia: Issues And Challenges,
Jurnal Pengurusan JAWHAR, vol.1, No.1, 2007, Jabatan Wakaf, Zakat & Haji, Jabatan Perdana Menteri Malaysia ,
h. 14.

You might also like