You are on page 1of 3

Soalan 103: Huraikan cabaran dan strategi utama Negara Malaysia dalam usaha merealisasikan

wawasan 2020

Pengenalan

§  Wawasan 2020 merupakan gagasan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju
menjelang tahun 2020. Idea wawasan ini telah dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat, iaitu Tun
Dr Mahathir bin Mohamad. Matlamat Wawasan 2020 adalah untuk menjadikan negara ini sebagai
sesebuah negara industri yang maju dan setanding dengan negara-negara maju yang lain.

§  Terdapat beberapa perkara asas yang perlu dititik beratkan untuk mencapai kemajuan bersepadu
seperti perpaduan rakyat, kestabilan politik, ketinggian taraf hidup, kekukuhan nilai moral dan etika,
kekukuhan sistem kerajaan, ketinggian maruah bangsa serta semangat yakin diri bangsanya.
Terdapat Sembilan cabaran yang perlu dihadapi oleh negara Malaysia bagi merealisasikan Wawasan
2020.

Isi-isi Penting:

a.     Cabaran yang pertama ialah membina bangsa Malaysia yang bersatu padu. Malaysia menjadi
negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum dengan rakyat hidup dalam harmoni,
bekerjasama sepenuhnya secara adil serta didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai
kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Asas kekuatan penting untuk kejayaan sesebuah
negara ialah perpaduan yang menjadi cabaran pertama Wawasan 2020. Semua ini telah dilakukan
melalui pelbagai dasar kerajaan sepanjang tiga dekad lalu seperti Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar
Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Dasar
Pembangunan Nasional sebagai usaha mewujudkan perpaduan kaum dan rakyat yang beridentitikan
Malaysia.

b.     Cabaran kedua ialah membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram, dan keyakinan.
Masyarakat Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha untuk mencapai kecemerlangan, sedar
terhadap semua kemampuan yang ada, tidak mudah mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh
rakyat negara lain. Masyarakat Malaysia perlu berbangga dengan pencapaian dan berani
menghadapi pelbagai masalah. Rakyat Malaysia yang memiliki dan menghayati ciri-ciri tersebut akan
menjadi sebuah bangsa gagah yang sentiasa berusaha untuk memajukan negara sehingga dapat
mengangkat martabat bangsa dan negara di persada antarabangsa serta mampu mematahkan
serangan musuh dengan mudah.

c.     Seterusnya, memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang. Malaysia perlu
mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang dan prinsip demokrasi yang menjadi amalan
boleh dijadikan contoh oleh kebanyakan negara membangun yang lain. Sebuah masyarakat yang
matang dapat dilahirkan sekiranya dipupuk dan dibina. Masyarakat demokratik memiliki kebebasan
untuk memilih kerajaan. Rakyat yang rasional akan menggunakan hak-hak demokrasi dengan bijak.
Perasaan tidak puas hati dan teguran disalurkan melalui saluran tertentu secara berhemah dan
bersifat membina.

d.     Selain itu, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika bagi
merealisasikan Wawasan 2020. Etika melibatkan tingkah laku atau perangai yang berkait rapat
dengan tabiat dan kelakuan manusia. Tabiat dibina di atas tiga unsur, iaitu ilmu, kemahiran, dan
keinginan. Bagi membentuk etika yang baik, seseorang perlu mempunyai ilmu pengetahuan,
kemahiran, dan keinginan yang tinggi. Ketiga-tiga unsur penting itu perlu  diasah dan dipupuk
sekaligus dihayati bagi melahirkan rakyat Malaysia yang dinamik dan berusaha untuk meningkatkan
hasil kerja yang cemerlang. Kepatuhan kepada agama, pengamalan budaya dan tradisi yang
cemerlang, keberkesanan sistem pendidikan, dan keunggulan sistem kekeluargaan juga menjadi
sumber untuk membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika. Falsafah Pendidikan
Negara contohnya, bertujuan untuk melahirkan masyarakat berilmu, berakhlak, seimbang dan
harmonis.

e.     Cabaran yang kelima ialah mewujudkan masyarakat yang matang, liberal, dan bertolenrasi.
Masyarakat yang matang mampu berfikir secara rasional dan tidak bertindak secara melulu. Mereka
akan membebaskan diri daripada fahaman sempit dan berfikiran terbuka  menerima perubahan dan
pandangan orang lain. Masyarakat yang bertolenrasi dapat digambarkan melalui kebebasan yang
dianuti oleh setiap rakyat untuk mengamalkan adat resam, kepercayaan, dan kebudayaan masing-
masing tanpa menjejaskan kesetiaan kepada negara. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar
Pendidikan Kebangsaan  dan Akta Bahasa Kebangsaan merupakan langkah ke arah mewujudkan
masyarakat yang matang, liberal dan bertolenrasi.

f.      Seterusnya, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang maju dan saintifik.       Masyarakat
maju ialah masyarakat progresif yang dapat menyerap segala perubahan persekitaran agar dapat
mencapai kecemerlangan. Masyarakat yang maju tidak boleh terpisah daripada masyarakat saintifik.
Penguasaan ilmu pengetahuan berunsurkan sains dan teknologi merupakan ukuran kemajuan
sesuatu bangsa. Masyarakat yang maju dan saintifik mempunyai budaya ilmu yang menjana
produktiviti, kreativiti dan inovatif. Malaysia seharusnya mempunyai daya perubahan tinggi dan
memandang ke hadapan dan turut sama menyumbang kepada tamadun saintik dan teknologi masa
depan.

g.     Cabaran ketujuh ialah mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang. Hal ini merujuk kepada
sistem sosial yang meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan individu dan kebajikan
insan tidak berkisar kepada negara atau individu, tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang
kukuh.Masyarakat penyayang akan hidup muafakat, saling memahami, hormat menghormati dan
saling membantu antara satu sama lain. Masyarakat berbudaya penyayang mengutamakan
kepentingan masyarakat melebihi kepentingan diri sendiri.Asas pembentukan masyarakat
penyayang ialah kepatuhan kepada agama, kasih sayang dalam kekeluargaan dan amalan nilai-nilai
murni. Hubungan sesama manusia dalam masyarakat juga ditekankan dalam agama.Kasih sayang
dalam masyarakat bermula daripada kasih sayang yang terjalin dalam keluarga. Hubungan baik
sesama manusia amat ditekankan dalam agama. Budaya tradisi yang penuh dengan nilai-nilai murni
perlu ditonjolkan dan dihayati semula untuk memupuk masyarakat yang bersifat penyayang.

h.     Cabaran seterusnya ialah menjamin masyarakat yang adil dan saksama dalam bidang
ekonomi. Pengagihan kekayaan negara dilaksanakan secara adil dan saksama dengan mewujudkan
perkongsian secara bersama dalam segenap masyarakat. Masyarakat yang dibentuk itu akan
menghapuskan pengenalan kaum yang berdasarkan fungsi ekonomi yang diwarisi dari zaman
penjajah serta kemunduran kaum dari sudut ekonomi. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai
rancangan pembangunan ekonomi untuk menjamin keadilan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup
rakyat seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan Rancangan Pembangunan
Lima Tahun.

i.      Cabaran yang terakhir ialah memupuk dan membina masyarakat yang makmur. Masyarakat
yang makmur ialah masyarakat yang hidup dalam kemewahan dan mempunyai taraf hidup yang
tinggi. Masyarakat makmur juga bermaksud tidak ada anggota masyarakat yang hidup dalam
kemiskinan. Pendapatan isi rumah dan pendapatan negara juga berada pada tahap yang tinggi.
Malaysia perlu mempunyai kekuatan ekonomi untuk bersaing, dinamik, giat, dan kental dalam
menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang untuk menjadi masyarakat yang makmur.

Kesimpulan

§  Kesimpulannya, Wawasan 2020 akan terus memacu kemajuan negara. Dasar-dasar kerajaan
adalah bertujuan merealisasikan Wawasan 2020.

§  Kesejahteraan rakyat yang menjadi agenda utama pembangunan negara dapat dicapai dengan
keadilan ekonomi dan perpaduan negara.

You might also like