You are on page 1of 7

Dasar Ekonomi Baru

Majlis Perundingan Negara yang diketuai oleh Tun Razak dibentuk pada tahun 1970, dengan
ahli-ahlinya terdiri daripada tiga orang menteri, tujuh orang wakil kerajaan-kerajaan negeri, lima
orang wakil UMNO, tiga orang wakil MCA, seorang wakil MIC, seorang wakil PPP, seorang wakil
Parti Buruh, tiga orang wakil Sabah, lima orang wakil Sarawak, dua wakil agama Islam, dua wakil
agama Kristian, dua wakil kesetuan sekerja, empat orang wakil wartawan, dua orang wakil
persatuan guru dan dua orang wakil kumpulan minoriti.

Hasilnya, DEB (Dasar Ekonomi Baru) yang bertujuan untuk menyusun semula masyarakat dan
membasmi kemiskinan dalam tempoh 20 tahun dilancarkan pada tahun 1971. Sepanjang tempoh
tersebut, pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua hingga Rancangan Malaysia Kelima telah
memberikan tumpuan terhadap pembelaan rakyat termiskin yang sebahagian besarnya terdiri
daripada orang Melayu di luar bandar. Lebih daripada RM400 billion telah dibelanjakan oleh
kerajaan bagi memastikan matlamat penguasaan 30 peratus kek ekonomi oleh orang Melayu
dapat dicapai.

Di samping itu, untuk mengurangkan ketegangan antara kaum, Rukunegara yang mengandungi
lima prinsip yang berteraskan perpaduan kaum dan pembinaan masyarakat adil bagi pembinaan
negara yang aman dan bersatu padu telah dilancarkan. Selaras dengan itu lahirlah Jabatan
Perpaduan Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Pelbagai rancangan pembangunan ekonomi telah dilaksanakan. Felcra, Felda, MARA dan UDA
telah ditubuhkan bagi membantu orang Melayu di luar bandar dan bandar. Pendokong kerajaan
telah melancarkan buku Revolusi Mental bagi menjawab buku Dilema Melayu tulisan Dr. Mahathir
yang diharamkan itu.
 

Tun Razak berusaha gigih bagi meletakkan bangsa Melayu setanding dengan bangsa lain di
negara ini, khususnya dalam membangunkan kawasan luar bandar sehingga beliau digelar
sebagai “Bapa Pembangunan”. Beliau bernasib baik apabila PAS bersetuju menyertai kerajaan
pada tahun 1974 dan kejayaan ini menambah kekuatan Melayu di persada politik negara.

 
Tun Hussien Onn pula berusaha mengekalkan momentum pembangunan negara dan
mengukuhkan perpaduan antara kaum. Kesinambungan usaha pembangunan diteruskan oleh Dr.
Mahathir yang mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada tahun 1981. Beliau
melaksanakan pelbagai dasar penting bagi membangunkan negara dan membawa perubahan
sikap di kalangan masyarakat seperti Dasar Pandang Ke Timur, Penswastaan, Kepimpinan
Melalui Teladan, Penerapan Nilai-nilai Islam dan sebagainya.

Pada umumnya DEB berhasil membangunkan infrastruktur negara, meninggikan taraf ekonomi,
mengurangkan kadar kemiskinan, melahirkan lebih ramai golongan terpelajar, mewujudkan
integrasi nasional dan kestabilan negara. Malaysia dan orang Melayu boleh berbangga dengan
terlaksananya projek besar yang dapat menaikkan imej negara dan bangsa seperti Petronas dan
projek kereta nasional Proton Saga. Kuasa politik Melayu masih dapat dipertahankan dan negara
berada dalam aman dan stabil.

Dilema Ekonomi Melayu


Namun, itu semua belum mencukupi. Setelah DEB berakhir pada tahun 1990, orang Melayu
masih ketinggalan dalam hampir semua bidang. Orang Melayu masih terkebelakang dalam
bidang ekonomi, pendidikan dan kualiti hidup. Sesungguhnya Melayu selepas DEB masih berada
dalam dilema.

Dilema Melayu dalam bidang ekonomi kini semakin ketara dan hakikat ini jelas dibuktikan oleh 
data-data. Walaupun kemiskinan menurun daripada 49.3% pada tahun 1970 kepada 17.1% pada
tahun 1990, namun daripada 619,400 isirumah miskin (1990), sebahagian besar daripadanya
adalah orang Melayu di luar bandar yang kebanyakannya adalah golongan petani, pekebun kecil
dan nelayan.

Kadar kemiskinan memang berkurang sepanjang tempoh DEB, tetapi jurang antra kawasan
bandar dan luar bandar masih wujud. Kemiskinan masih menghantui 21.8% penduduk desa,
sedangkan hanya 7.5% di bandar-bandar. Peratusan orang Melayu yang miskin pada tahun 1990
ialah 23.8%, manakala orang Cina yang miskin Cuma 5.5% dan India pula hanyalah 8.0%. Ini
menunjukkan orang Melayu masih jauh ketinggalan.

 
Pencapaian KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pula berbeza dengan ketara apabila didapati
negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pahang, Kelantan dan Perak yang majoriti penduduknya
adalah orang Melayu masih ketinggalan. Separuh daripada penduduk negeri-negeri maju seperti
Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor adalah terdiri
daripada orang bukan Melayu.

Di kampung-kampung tradisional melayu, nasib mereka tidaklah banyak berubah. Sementara


kemudahan infrastruktur seperti elektrik, bekalan air, jalanraya dan telefon diikmati oleh lebih
85% penduduk negara ini, masih terdapat segelintir orang Melayu yang ketinggalan.

Penanam padi di seluruh negar masih terus bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan. Di
sesetengah tempat, masih terdapat banyak sawah terbiar tidak diusahakan. Generasi kedua Felda
yang tinggal di tanah rancangan masih tidak pasti halatuju mereka.

Dari segi pekerjaan, sebahagian besar tenaga kerja Melayu masih lagi berada dalam kategori
pekerjaan yang rendah pendapatannya. Sehingga tahun 1990, orang Melayu paling ramai dalam
bidang pertanian (76.4%), guru dan jururawat (68.1%), perkhidmatan (61.5%), teknikal an
profesional tidak berdaftar (seperti pelukis pelan, juruteknik, pembantu hospital) (60.3%),
perkeranian (54%) dan bidang pengeluaran atau operator (48%).

Penyertaan orang Melayu dalam bidang profesional yang berdaftar masih belum memuaskan.
Daripada lapan bidang yang disenaraikan iaitu arkitek, akauntan, jurutera, doktor, doktor gigi,
doktor veterinar, peguam dan juruukur, orang Melayu hanya mencapai 29%, berbanding orang
Cina sebanyak 55.9% dan India 13.2%. Begitu juga dengan bidang pentadbiran dan pengurusan,
orang Melayu cuma mencapai 33.3%, manakala bidang pemasaran dan jualan sekitar 36%.

 
Keadaan ini amat menyedihkan kerana bidang-bidang inilah yang menghasilkan pendapat paling
lumayan dan merupakan sektor yang memperngaruhi pelaksanaan dasar-dasar pembangunan
dan kestabilan ekonomi negara.

Wajah bandar dan pekan kita adalah wajah “China town”. Hampir tidak wujud bandar atau pekan
yang bercirikan Melayu. Kebanyakan pasaraya besar di negara ini adlaah milik orang Cina atau
orang asing, kecuali pasaraya Mydin. Walaupun terdapat beberapa restoran Melayu di sana-sini,
kebanyakan peniaga Melayu masih mengendalikan warung, berniaga di pasar malam atau pasar
tani.

Pencapaian orang Melayu dalam keseluruhan modal saham berbayar sektor syarikat pada tahun
1990 hanyalah 20.3%. Jika ditolak agensi amanah sebanyak 6.3%, pencapaian sebenar orang
Melayu hanyalah 14%, sedangkan orang Cina 44.9%, orang India 9.7% dan orang asing sebanyak
23.1%. Orang India yang hanya merupakan 6% daripada penduduk Malaysia mencapai 9.7%
sedangkan orang Melayu yang merupakan penduduk 55% daripada penduduk hanya mencapai
20.3%.

Statistik purata pendapatan bulanan isirumah antara kaum menunjukkan orang Melayu masih
ketinggalan. Pada tahun 1976, purata pendapatan bulanan isirumah orang Melayu hanyalah
sebanyak EM339.00, berbanding  dengan orang Cina sebanyak RM796.00 dan orang India
sebanyak RM537.00. Pada tahun 1990, purata pendapatan isirumah orang Melayu meningkat
kepada RM928.00 sebulan, sedangkan orang Cina melonjak kepada RM1,631.00 dan orang India
RM1,201.00.

Statistik terbaru menunjukkan bahawa purat pendapatan isirumah Melayu hanyalah


RM2,120.00, berbanding orang Cina RM4,885 dan India RM3,805 sebulan. Hanya 20% daripada
orang Melayu mempunyai pendapatan melebihi RM10,000.00 sebulan, sedangkan lebih
daripada 50% orang China berpendapatan melebihi jumlah itu.

 
Tidak hairanlah jumlah tabungan orang Melayu terlalu kecil dengan purata sebanyak RM536.00.
Lebih malang lagi hampir 90% Melayu tidak mempunyai sebarang simpanan! Sedangkan purata
tabungan orang Cina ialah RM2,562.00 dan India RM1,457.00.

DPMM pernah melaporkan bahawa pendapatan  bersih lebih 80% peniaga Melayu hanyalah di
bawah RM2,500.00 sebulan. Ada penyelidik menyatakan bahawa harta purata 20% Melayu
termiskin hanyalah RM2,300.00, sedangkan harta purata 20% Cina termiskin adalah sebanyak
RM44,000.00.

Bukankah ini tanda-tanda kepupusan Melayu? Apa akan jadi 50 tahun akan datang? Adakah
majoriti Melayu akan merempat di negara sendiri? Orang Melayu tentulah tidak boleh
menyalahkan kaum lain dalam hal ini. Soalnya apakah usaha kerajaan untuk membantu orang
Melayu selama ini masih tidak mencukupi? Ataukah orang Melayu memang sudah ditakdirkan
sedemikian? Atau adakah lagi cara lain yang dapat mempercepatkan peningkatan taraf hidup
orang Melayu?

Ada pihak yang berpendapat bahawa orang Melayu yang kaya tidak membantu orang Melayu
yang miskin. Contohnya para pemimpin GLC yang diamanahkan oleh kerajaan lebih
mementingkan keuntungan daripada membela dan membantu usahawan Melayu. Hal ini sudah
acapkali disuarakan tetapi masih tiada perubahan. Kenapakah pihak kerajaan gagal mengawal
GLC?

Paling aneh ialah kenyataan terbaru pihak kerajaan yang membuka 40% peluang pemilikan
hartanah di Kg. Baru atas nama pembangunan, sedangkan Kg. Baru adalah tanah rizab khas bagi
orang Melayu di Kuala Lumpur sejak dahulu lagi. Apakah rasionalnya? Sangat pelik bin ajaib 
apabila seorang menteri Melayu dengan rela hati bersetuju memberikan 40% daripada tanah
Melayu di Kg. Baru kepada orang bukan Melayu, walaupun tanpa diminta atau didesak oleh
sesiapa. Anehnya, UMNO parti terbesar orang Melayu langsung tidak bersuara dalam hal ini!

 
Rasuah, Penyalahgunaan Kuasa dan Penyelewengan
Rasuah adalah barah masyarakat yang boleh meruntuhkan institusi masyarakat dan negara.
Malaysia menduduki tangga ke 40 daripada indeks rasuah dunia. Walaupun kedudukan itu lebih
baik daripada sepuluh tahun lalu, namun ia masih pada tahap yang membimbangkan. Rasuah
juga melibatkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

Walapun sudah wujud Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang baru-baru ini dinaikkan tarafnya
menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun jenayah ini masih terus
berleluasa, khususnya di kalangan ahli politik dan kakitangan kerajaan. Kita tentu terkejut
dengan laporan Presiden CUEPECS, Omar Osman yang menyatakan sebanyak 418,200 atau 41%
daripada penjawat awam di negara ini mengamalkan rasuah – daripada sekecil-kecil perkara
seperti pemalsuan sijil cuti sakit (M.C.) hinggalah kepada kontrak-kontrak bernilai ratusan juta!

Seorang kawan pernah diminta “duit kopi” hanya kerana ingin mempercepatkan bayaran atas
projek di sebuah kementerian. Ini berlaku apabila beliau hairan kenapa ada syarikat yang dibayar
tidak sampai dua minggu daripada tarikh menghantar tuntutan (invois), sedangkan tuntutan
syarikatnya tiga bulan yang lalu belum dibayar. Ini menunjukkan rasuah berlaku di kalangan
pegawai kerajaan, terutama di kalangan pegawai yang mempunyai kuasa meluluskan sesuatu
projek/tender/sebutharga.

Rasuah memang berlaku di kalangan ahli politik. Ini sudah menjadi rahsia umum(public
secret). Jika tidak, mana mungkin mereka dapat mengecapi hidup yang begitu mewah – rumah
besar, kereta mahal dan harta bernilai jutaan ringgit, sedangkan gaji dan elaun mereka tidak
sampai RM25,000.00 sebulan. Dengan kuasa, para pemimpin Melayu tertentu memanipulasikan
prosedur tertentu atau “mengarahkan” supaya tender dan projek tertentu diberikan kepada kroni
mereka. Pemimpin jenis ini akan meluluskan projek kepada orang tertentu yang kemudian
memberikan sejumlah besar wang sebagai balasan. Sesetengahnya menggunakan proksi yang
terdiri daripada saudara-mara ataupun kawan rapat yang boleh dipercayai. Ia juga akan
melibatkan pegawai tinggi kerajaan yang bersubahat. Kebanyakan mereka menyatakan bahawa
jika mereka tidak buat, orang lain pun akan buat juga. Perhatikan modus operandi kes  di bawah
ini.
 
Kes Satu: Seorang menteri bersetuju memberikan 100 projek latihan di sebuah agensi kerajaan
yang di bawah kuasanya kepada sebuah syarikat dengan cara menaikkan keuntungan sehingga
300%. Projek yang bernilai RM25,000.00 dinaikkan menjadi RM75,000.00, tambahan margin
sebanyak RM50,000.00; sedangkan projek yang asalnya bernilai RM25,000.00 itu sudah ada
untuk sebanyak RM5,000.00. Menteri tersebut memberi syarat daripada keuntungan tambahan
sebanyak RM50,000.00 itu, RM35,000.00 adalah bahagiannya dan RM7,500.00 lagi untuk salah
seorang keluarganya. Si pemilik syarikat itu juga akan mendapat tambahan keuntungan sebanyak
RM7,500.00. bayangkan jika 100 projek, sang menteri akan mendapat RM3.5 juta, ahli
keluarganya akan mendapat RM750,000.00 dan si pemilik syarikat akan mendapat keuntungan
sebanyak RM1.25 juta ((RM5,000.00 + RM7,500.00) x 100 projek). Kesemua mereka mendapat
keuntungan yang berlipat kali ganda! Ini tidak termasuk keuntungan tersembunyi yang lain. Yang
rugi ialah rakyat. Wang keuntungan tambahan itu adalah wang yang sepatutnya dapat disurkan
kepada projek lain yang lebih bermanfaat.

Kes Dua: Pemansuhan tol di kawasan-kawasan tertentu. Ada andaian kononnya pihak tertentu
yang terlibat menerima 10% daripada jumlah yang dibayar oleh kerajaan kepada pihak
pengendali tol. Apabila kisah ini diceritakan di kedai-kedai kopi, seorang pemimpin yang pernah
rapat dengan pihak tertentu menyatakan bahawa bayaran “duit kopi” yang dibayar ialah 30%!
Benarkah ini berlaku?

You might also like