You are on page 1of 3

KERAJAAN Melaka yang mewarisi Empayar Sriwijaya melalui jalur Kerajaan Singapura

pada zaman Majapahit, merupakan Empayar Melayu terbesar pada abad ke-15M.
Melaka mempunyai keistimewaan khas di mana ia mewarisi Kerajaan Melayu Sriwijaya
dari sudut bangsanya, tetapi turut mewarisi Kerajaan Islam Perlak dari sudut agama. Ini
kerana pengasasnya, Parameswara adalah putera berdarah Palembang sebelum
mengasaskan Melaka pada 1262M, dan menjadi menantu Sultan Perlak sebelum
1267M. Melaka mewarisi dua tradisi, iaitu Melayu sebagai kuasa politik dan
perdagangan yang menguasai Nusantara semenjak abad ke-7 Masehi, dan Islam
sebagai agama dan kuasa politik baru dunia yang juga muncul pada abad ke-7 Masehi
di Tanah Arab. Percantuman dua kekuatan ini telah membangkitkan Melaka sebagai
Empayar Melayu Islam yang pertama dan terbesar di Nusantara.

Pembangunan Melaka boleh dikatakan berlaku pada empat tahap iaitu pertama, tahap


penubuhan, di mana Parameswara menjadikan Melaka sebuah kota pelabuhan dan
mengadakan hubungan dengan Perlak dan Samudera-Pasai sehingga Islam mula
berkembang di Melaka. Kedua, tahap kebangkitan iaitu ketika Islam mulai diterapkan
dalam kerajaan pada zaman Sultan Muhammad Shah, kemudian Sultan Muzaffar Shah
menjadikan Islam agama rasmi dengan Hukum Kanun Melaka mula berkuat kuasa.
Pada zaman Sultan Mansor Shah, Sultan Alaiddin Riayat Shah dan awal pemerintahan
Sultan Mahmud Shah adalah tahap ketiga, tahap kemuncak. Pada tahap ini,
pelaksanaan Syariat, pengukuhan hubungan dengan Khalifah dan China, penguasaan
ke atas perdagangan, penyebaran dakwah dan perluasan kuasa telah berlaku. Pada
tahap ini juga, Melaka telah muncul sebagai empayar besar di Alam Melayu yang
setanding dengan Majapahit di Jawa. Keempat, tahap keruntuhan di mana pada akhir
zaman Sultan Mahmud Shah, tersebar fitnah dan kekacauan dalam negeri yang
akhirnya mengundang serangan Portugis ketika Melaka dipimpin oleh Sultan Ahmad
Shah. Dengan empat tahap perkembangan ini, Melaka telah bangkit sebagai Empayar
Melayu Islam bermula awal abad ke-15M dan bertahan selama satu abad.

Pengukuhan Melaka: Membangun Empayar Melayu

Selepas Islamnya Parameswara sekitar 1267M, para ulamak telah datang berdakwah
dan meng-Islam kerabat Diraja, pembesar dan rakyat Melaka seluruhnya. Kesan
daripada itu, pada zaman Sultan Muhammad Shah, walaupun Hindu masih kuat, tetapi
penerapan Syariat Islam mulai diberlakukan, termasuk memulakan penggubalan Hukum
Kanun bagi Negeri Melaka. Apabila Raja Kassim atau Sultan Muzaffar Shah menaiki
takhta pada 1343M, baginda telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara,
menguatkuasakan Hukum Kanun Melaka dan melantik Maulana Syed Yusof sebagai
Qadhi Melaka yang dikenali sebagai Qadhi Yusof. Kemudian peranan ulamak turut
diperluaskan dengan membawa masuk para ulamak dari luar termasuk Arab, Parsi dan
India, untuk menjadi pegawai pelaksana Syariah, mengajar agama, menterjemah kitab-
kitab dan berdakwah. Pengukuhan ini telah membina kekuatan kepada Melaka dalam
masa yang cepat untuk ia bangkit sebagai kuasa politik kemudiannya.

Selain faktor pelaksanaan Syariat yang memberi kekuatan kepada Melaka, hubungan
dengan China yang dibina sejak 1404M telah meredakan tekanan Siam dan Majapahit,
di samping Kerajaan Melaka menguasai kekuatan ekonomi melalui perdagangan di
Selat Melaka. Kedatangan Laksamana Cheng Ho telah memberikan kekuatan politik
kepada Melaka, sedangkan sebelumnya Melaka telah berbaik-baik dengan Majapahit.
Dari sudut pemerintahan sendiri, Melaka bukan sahaja memiliki Sultan-sultan yang
berwibawa, tetapi juga pembesar seperti Tun Perak dan Hang Tuah yang menjadi tiang
seri kerajaan, di samping struktur pentadbiran yang tersusun terutama dalam
mengendalikan keamanan negeri dan mentadbir pelabuhan dengan cekap. Apabila
gerakan dakwah ke atas Jawa yang dikuasai Majapahit dimulakan pada 1404M oleh
Wali Songo, ia bukan sahaja melemahkan kuasa politik Hindu itu, tetapi menjadi
pemangkin kepada kekuatan Melaka dalam pembinaan empayarnya.

Perluasan Wilayah Melaka

Setelah Melaka berdiri kukuh, proses perluasan wilayah telah mula berlaku pada zaman
Sultan Muzaffar Shah apabila kawasan Dinding, Kelang, Selangor, Muar, Batu Pahat,
Singapura, Bintan dan Pahang berjaya ditakluk dan dikuasai oleh Melaka. Perluasan ini
diteruskan pada zaman Sultan Mansor Shah di mana Kedah, Johor, Bernam, Beruas,
Perak dan Terengganu pula menjadi wilayah taklukan Melaka. Pada zaman Sultan
Mahmud Shah, Melaka meluaskan pengaruhnya ke Utara Semenanjung Tanah Melayu
dengan menguasai Manjong, Kelantan, Mahligai, Pattani hingga ke Singgora
(Songkhla). Ini bermakna seluruh Tanah Melayu dari Singgora hingga Singapura berada
dalam penguasaan Melaka. Di luar Tanah Melayu, Melaka turut menguasai Aru, Deli,
Serdang, Siak, Kampar, Indragiri, Jambi, Tungkal dan Rokan di Sumatera, serta
Kepulauan Riau-Lingga hingga ke Brunei di Laut China Selatan. Ini bermakna seluruh
Semenanjung Tanah Melayu, Pantai Timur Sumatera dan kepulauan di Selatan
Semenanjung adalah termasuk dalam Empayar Melaka, sekali gus meletakkan
penguasaan Melaka ke atas Selat Melaka, Laut China Selatan dan Selat Singapura.

Dari segi kepentingan jajahan takluk Melaka ini, ada beberapa aspek yang boleh
dinilai. Pertama, kawasan yang kaya dengan hasil bumi seperti timah dan emas telah
dikuasai. Negeri Kedah, Perak, Beruas, Kelang, Selangor dan Manjung adalah
pengeluar timah utama, manakala Siak, Rokan, Kampar, Pahang dan Kelantan adalah
pengeluar emas. Kedua, negeri-negeri yang kaya dengan hasil tanaman seperti rempah,
lada, kelapa dan lain-lain yang banyak dikeluarkan di Rokan, Kampar dan Perak juga
jatuh ke tangan Melaka. Ketiga, penguasaan ke atas semua laluan perdagangan utama
iaitu semua Negeri Pantai Barat Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera adalah
pesisir Selat Melaka, sedangkan Singapura, Riau, Batam dan Lingga adalah pengawal
kawasan Selatan Laut China Selatan dan Selat Singapura, manakala Pattani, Kelantan,
Terengganu, Pahang dan Brunei adalah mengawal laluan utama Laut China Selatan
dari Utara. Keempat, menguasai kawasan ancaman lanun yang mengganggu
perdagangan di Selat Melaka dan Kepulauan Riau-Lingga. Perluasan ini telah memberi
manfaat politik dan ekonomi kepada Melaka, sekali gus mengukuhkan kedudukannya
sebagai Empayar Melayu di Nusantara.

Perluasan wilayah dan pengembangan Islam

Di samping manfaat politik dan ekonomi, perluasan jajahan takluk Melaka dalam
membentuk empayar ini turut memberi manfaat kepada perluasan pengaruh Islam. Ia
berlaku dalam beberapa bentuk. Pertama, pertabalan Sultan-sultan dari kalangan putera
Melaka yang menjadi negeri tersebut Wilayah Islam seperti Sultan Abdul Jamil di
Pahang, Sultan Abdullah di Kampar dan Sultan Muzaffar Shah di Perak. Kedua, peng-
Islaman Raja-raja seperti yang berlaku di Kota Mahligai di mana Raja Siam di situ, Cau
Seri Bangsa, telah memeluk Islam dan diberi nama Sultan Ahmad Shah oleh Sultan
Melaka. Ketiga, merapat hubungan dengan Kerajaan Islam sedia ada melalui
perkahwinan seperti perkahwinan Sultan Mahmud Shah dengan Puteri Onang Kening,
puteri Sultan Mansur Shah (1467-1521M), Raja Kelantan. Dan keempat, penaungan ke
atas negeri-negeri yang meminta perlindungan seperti Pattani dan Kedah. Di samping
mengukuhkan Negeri Islam sedia ada, pendekatan Melaka yang mengekalkan
pemerintahan Raja-raja yang memeluk Islam, telah menyebabkan Wilayah Melaka
semakin berkembang. Begitu juga perkahwinan Sultan Mansor Shah dengan Puteri
Hang Li Po yang telah menyebabkan negeri-negeri naungan Melaka terselamat dari
ancaman kuasa asing.

Perluasan wilayah ini juga telah memberi manfaat terhadap proses dakwah Islamiyah
yang berkembang pada abad ke-14 dan 15M. Negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan,
Terengganu dan Jawaka dikatakan telah menerima Islam sebelum Melaka terus bangkit
sebagai kuasa politik Islam sebagaimana peranan Pattani dalam Pendidikan Islam
misalnya. Sedangkan, negeri-negeri lain masih beragama Hindu-Buddha, walau mulai
menerima pengaruh Islam, telah mula didakwahkan. Dengan penaklukan ini, seluruh
Semenanjung hingga ke Singgora telah dapat di-Islamkan. Demikian juga bekas jajahan
Buddha Sriwijaya dan Hindu Majapahit di seluruh Pantai Timur Sumatera yang turut di-
Islamkan sebagai negeri jajahan Melaka. Sementara berkembangnya dakwah di negeri-
negeri tersebut, kekuatan politik Melaka telah membolehkan pendakwah dikirim ke
Brunei, Mindanao, Sulu, Sulawesi, Maluku dan Jawa. Perkembangan ini telah
meluaskan pengaruh Islam di seluruh Nusantara dalam tempoh 100 tahun, sebelum
kedatangan Portugis pada 1511M. Kesannya, terbina pula Kerajaan-kerajaan Islam
yang baru seperti Demak di Jawa, Brunei di Borneo, Sulu dan Maguindanao di
Mindanao dan lain-lain, yang membawa kepada penguasaan politik Islam di Nusantara. 

You might also like