You are on page 1of 6

Berhati-hati kesan FTA

Oleh: ABDUL RAHIM ANUAR


RUNDINGAN perjanjian dua hala kawasan
perdagangan bebas (FTA) antara Malaysia dan Amerika
Syarikat (AS) baru-baru ini boleh dilihat dalam konteks
hala tuju regionalisme Malaysia.
Rundingan perjanjian FTA Malaysia- AS bertitik tolak
daripada Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan
Pelaburan (TIFA) Malaysia-AS yang ditandatangani
pada Mei 2004.
Objektif TIFA ialah untuk mengukuhkan lagi hubungan
ekonomi, terutamanya perdagangan dan pelaburan
antara Malaysia dengan AS menerusi penghapusan
halangan dagangan dan bukan-dagangan di antara
kedua-dua buah negara.
Sehingga kini Malaysia telah mengambil empat laluan
regionalisme. Pertama, menerusi kerjasama ekonomi-
politik serantau di mana Malaysia ialah ahli kepada
beberapa organisasi khususnya Pergerakan Negara-
Negara Berkecuali dan Pertubuhan Persidangan Islam.
Kedua, dalam bentuk blok dagangan serantau yang
Malaysia ialah ahli kepada Kawasan Perdagangan Bebas
ASEAN (AFTA). Ketiga, ialah dalam bentuk
perdagangan pelbagai hala di peringkat global yang
Malaysia ialah ahli Pertubuhan Perdagangan Dunia
(WTO). Keempat dan terbaru ialah dalam bentuk
perjanjian dua hala FTA.
Sehingga kini Malaysia telah dan sedang merancang
untuk melaksanakan perjanjian perdagangan dua hala
FTA dengan India, Pakistan, Korea Selatan, Jepun,
Chile, Australia, New Zealand dan yang terbaru ialah
dengan AS.
Laluan regionalisme yang diambil oleh Malaysia ialah
untuk meningkatkan pertumbuhan dan kebajikan
ekonominya serta kestabilan politik menerusi platform
perdagangan, pelaburan, dan hubungan antarabangsa di
peringkat perundingan dua hala dan pelbagai hala.
Dari perspektif AS, perdagangan dua hala dengan
Malaysia merugikannya. Berdasarkan data Perdagangan
Antarabangsa Amerika Syarikat (USITC), AS mencatat
purata defisit imbangan sebanyak AS$14 bilion setahun
bagi tempoh tahun 1996-2005.
Seiring dengan struktur eksport Malaysia ke AS, kira-
kira 80 peratus daripada jumlah import AS dari
Malaysia terdiri daripada produk elektronik dengan nilai
sebanyak AS$19 bilion setiap tahun bagi tempoh 1996-
2005.
Senario yang sebaliknya berlaku bagi perdagangan
perkhidmatan antara AS dan Malaysia. Berdasarkan
data USITC, eksport perkhidmatan komersial swasta
oleh AS ke Malaysia bernilai AS$1.2 bilion pada 2004
berbanding importnya yang bernilai AS$0.7 bilion.
Ini bererti, AS ialah pengeksport bersih dalam
perdagangan perkhidmatan. Dalam pada itu, jualan
perkhidmatan firma AS yang berpangkalan di Malaysia
ialah kira-kira AS$1.5 bilion. Perdagangan
perkhidmatan antara AS dan Malaysia memihak kepada
AS.
Dalam konteks pelaburan antarabangsa, AS ialah
pelabur langsung asing yang terpenting di Malaysia.
Mengikut data USITC, stok pelaburannya pada 2004
ialah kira-kira AS$9 bilion dan menumpu dalam
industri pengilangan (khususnya sub-industri
elektronik) dan perlombongan. Ini juga disokong
dengan data Lembaga Pembangunan Industri Malaysia
(MIDA).
AS merupakan pelabur terbesar di Malaysia dengan
pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan
berjumlah RM14 bilion atau 19 peratus daripada jumlah
FDI yang diluluskan bernilai RM77 bilion.
Intisari perjanjian dua hala FTA Malaysia-AS ialah
masing-masing tidak mengenakan sebarang halangan
dagangan ke atas aliran barang, perkhidmatan dan
pelaburan di antara kedua-dua negara Bagaimanapun,
Malaysia dan AS mengekalkan rejim tarif masing-
masing ke atas aliran barang, perkhidmatan, dan
pelaburan daripada negara ketiga.
FTA Malaysia-AS masih di peringkat perundingan dan
kini menjadi perdebatan polisi di kalangan penganalisis
tempatan. Bagi pihak Malaysia, terdapat reaksi negatif
dan positif dari kalangan orang ramai, institut
penyelidikan, pertubuhan perniagaan, dan organisasi
bukan kerajaan (NGO). Kebimbangan itu bertitik tolak
daripada ancaman kepada kestabilan dan kedaulatan
ekonomi negara.
Adalah menjadi satu kenyataan umum yang proses
integrasi ekonomi di antara negara sedang membangun
dengan negara maju akan berpihak kepada negara maju.
Walaupun proses integrasi itu memanfaatkan ekonomi
negara sedang membangun, kosnya adalah melebihi
daripada laba yang diperoleh.
Malah ada yang melihat, FTA dua hala itu sebagai
bentuk penjajahan ekonomi moden dalam abad ke-21.
Di kalangan mereka yang berpandangan positif, ia
berlandaskan kepada kepentingan ekonomi pasaran
semata- mata tanpa wujud semangat patriotik ekonomi
tempatan, khususnya dalam konteks Dasar
Pembangunan Nasional (DPN) yang terkandungnya
semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu pembasmian
kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Sektor perolehan kerajaan merupakan sektor yang
paling mendapat perhatian utama dan desakan daripada
perunding AS. Terdapat beberapa sebab kenapa
perolehan kerajaan menjadi topik perdebatan yang
hangat. Pertama, saiz perolehan kerajaan adalah besar.
Kedua, oleh kerana dana awam digunakan untuk
membiayai projek awam maka wujud elemen
akauntabiliti. Ketiga, pasaran perolehan kerajaan adalah
tumpuan ahli perniagaan, termasuk syarikat
multinasional.
Terdapat keuntungan yang besar dalam sektor
perolehan kerajaan. Kerajaan membeli barang dan
perkhidmatan untuk agensi dan kementeriannya serta
membangunkan projek prasarana yang berbilion ringgit.
Berdasarkan laporan Kajian Polisi Perdagangan
Malaysia (2005) oleh WTO, pasaran perolehan kerajaan
di Malaysia dianggarkan bernilai RM93 bilion atau 21
peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada
2004.
Ini bererti, pasaran perolehan kerajaan menyumbang
sebanyak 21 sen bagi setiap 100 sen pendapatan yang
diperoleh. Lagi 79 sen disumbang oleh gabungan sektor
pertanian, sektor pengilangan, dan sektor perkhidmatan
(tidak termasuk sektor perolehan kerajaan).
Berdasarkan trend, nilai pasaran sektor perolehan
kerajaan di Malaysia ialah RM80 bilion (2001), RM89
bilion (2002) dan RM104 bilion (2003).
Di bawah perundingan WTO di Hong Kong pada
Disember tahun lepas, Malaysia bersama India telah
berjaya menolak usul negara maju untuk
membincangkan agenda perolehan kerajaan dalam
WTO. Kemasukan sesuatu agenda dalam rundingan
WTO terlebih dahulu memerlukan konsensus daripada
semua ahli WTO.
Bagaimanapun, ia boleh dirunding dalam platform yang
lain, seperti perjanjian dua hala FTA. Platform seperti
inilah yang digunakan oleh perunding AS bagi
memenuhi objektif perdagangan dan pelaburan
antarabangsanya. Oleh itu, Malaysia perlu lebih berhati-
hati dalam perundingan perjanjian dua hala FTA dengan
AS.
Bagi Malaysia, membuka pasaran perolehan kerajaan
kepada pelabur asing akan mengakibatkan komuniti
perniagaan Bumiputra kehilangan kontrak kerajaan
kerana perlu bersaing dengan firma AS yang lebih
kompetitif.
Malah, sektor perolehan kerajaan itu telah banyak
membantu komuniti perniagaan bumiputera bagi
memperbetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi
antara etnik. Kerajaan perlu berhati- hati merundingkan
perjanjian dua hala dengan AS kerana ia membabitkan
banyak isu sensitif yang perlu dikendalikan oleh pakar-
pakar dalam sektor perolehan kerajaan.
Pada keseluruhannya, kerajaan perlu mengkaji
perjanjian dua hala FTA AS dengan negara lain sebagai
garis panduan.
Perjanjian FTA AS-Australia telah merugikan negara
Australia. Menurut kajian oleh Institut Penyelidikan
Ekonomi dan Industri Kebangsaan bagi Pekerja-Pekerja
Pembuatan Australia, ia merugikan ekonomi Australia
hampir A$50 bilion dan kehilangan seramai 20,000
pekerjaan.
Di samping itu, kerajaan juga perlu menyemak semula
perjanjian dua hala FTA Malaysia-Jepun kerana ia
memihak kepada Jepun. Oleh itu, kerajaan perlu
mengambil dasar liberalisasi mengikut kemampuan
industri. Ini secara langsung dapat menjamin
kedaulatan ekonomi negara dan perjanjian FTA itu
membawa situasi menang-menang kepada semua pihak.

You might also like