You are on page 1of 4

Nota ialah catatan yang ditulis oleh pelajar semasa atau selepas proses pengajaran dan

pembelajaran daripada pelbagai sumber dengan tujuan untuk mengulang kaji. Nota boleh
dijadikan sebagai bahan rujukan untuk pelajar, sekiranya pelajar terlupa sesuatu maklumat atau
fakta yang mereka telah pelajari. Sebagai seorang pelajar, kemahiran membuat nota adalah
satu prioriti dalam pembelajaran mereka untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Nota
yang dibuat tidak semestinya perlu cantik dan berwarna-warni, namun nota yang cantik dan
kemas mampu menarik lebih minat pelajar untuk membaca nota tersebut. Dalam pada itu,
setiap individu mempunyai sifat kreatif yang berbeza-beza untuk menghasilkan satu nota dan
yang paling utama ialah individu tersebut mestilah memahami nota yang telah dihasilkan.
Kelebihan yang dapat kita perolehi apabila mereka mengamalkan dan mempraktikkan
kemahiran membuat nota dalam pembelajaran ialah kita dapat meningkatkan daya fikiran yang
kreatif dan kritis. Tambahan pula, pelajar dapat membuat persediaan yang lebih awal dalam
menempuhi alam peperiksaan kelak.

Begitu juga dalam melengkapkan suatu mata pelajaran yang telah kita pelajari, kita
mestilah membuat nota ringkas bagi memantapkan lagi daya ingatan. Hal ini demikian kerana
jika kita hanya membaca dan menghafal sesuatu fakta, berkemungkinan otak kita lambat untuk
mengingatkan kembali semasa menjawab soalan peperiksaan. Oleh itu, strategi yang sesuai
dan boleh digunakan secara berkesan oleh pelajar untuk membuat nota selepas waktu kuliah
ialah pelajar menggunakan perkataan atau kata kunci yang mudah dan sesuai untuk diingati.
Hal ini kerana pelajar dapat menjimatkan masa dalam menghasilkan nota yang padat. Sekali
gus, isi nota tersebut mestilah mempunyai maklumat yang penting dalam pelajaran tersebut.
Nota yang dihasilkan hendaklah ringkas dan bermakna iaitu padat dengan info-info yang patut
pelajar ingati dan fahami dalam pembelajaran yang telah mereka pelajari. Penambahbaikan lagi
nota yang efektik haruslah kemas dan tersusun dengan sistematik serta mempunyai visual yang
dapat menarik kembali minat pelajar untuk membaca nota pelajaran tersebut. Tidak lupa yang
paling penting pelajar jangan mencampurka nota dengan subjek yang lain supaya mudah untuk
dicari semasa mengulang kaji dan tidak keliru ketika menjawab soalan.

Antara, strategi yang baik untuk pelajar membuat nota selepas kuliah ialah pelajar perlu
mengenal pasti teknik pembelajaran yang mereka gunakan. Perkara ini disebabkan setiap
individu atau pelajar mempunyai ciri-ciri yang berbeza dan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu
orang visual, orang auditori dan orang kinestetik. Setiap individu ini menggunakan strategi gaya
pelajar mengikut minat dan cara masing-masing. Strategi gaya belajar yang baik untuk orang
visual menghasilkan nota ialahmereka perlu menggunakan gambar atau simbol untuk
memudahkan mereka memahami pembelajaran yang dipelajari. Justeru itu, sebelum
menghasilkan nota gunakan pen yang berwarna untuk menandakan info atau maklumat
pembelajaran. Pelajar yang merupakan golongan orang visual mestilah membiasakan diri untuk
membaca buku-buku yang bersifat ilustrasi dan gambar rajah. Malahan, pelajar hendaklah
biasakan untuk melukis idea sendiri dalam menghasilkan nota dengan menggunakan gambar-
gambar. Hal ini dapat membantu pelajar yang merupakan orang visual untuk menghasilkan
nota yang efektif selepas waktu kuliah.

Selain itu, strategi yang sesuai dan boleh digunakan dengan berkesan buat pelajar yang
menggunakan gaya belajar secara auditori ialah pelajar haruslah belajar secara berkumpulan
atau berkelompok untuk lebih memahami pelajaran yang dipelajari. Pembelajaran secara
berkumpulan sebenarnya adalah bagus kerana dapat memperolehi pelbagai idea dan pendapat
yang boleh dijadikan sebagai nota semasa mengulang kaji pelajaran. Sementelahan, pelajar
boleh merakam video atau audio semasa sesi pengajaran berlangsung, kemudian membuat
nota berdasarkan video yang telah dirakam. Bahkan juga selepas menghasilkan nota yang
padat dan ringkas pelajar tersebut harus membaca nota secara berulang-ulang kali supaya
dapat menguatkan lagi daya ingatan dan kefahaman pelajar dalam mata pelajaran tersebut. Di
samping membaca dan menulis nota, pelajar yang merupakan orang auditori boleh merakam
audio atau video pembelajaran dan mendengarkan audio tersebut sebelum mereka tidur.
Perkara ini dapat memberi kesan yang baik kepada pelajar yang menggunakan gaya belajar
secara auditori supaya lebih rajin untuk belajar dan melakukan nota selepas pembelajaran
dijalankan.

Di samping itu, strategi yang berkesan dan boleh digunakan oleh pelajar yang
merupakan orang kinestetik ialah semasa pensyarah atau guru sedang mengajar, pelajar perlu
mencatat info yang penting dan membuat nota yang ringkas supaya mudah untuk difahami.
Ataupun selepas proses pembelajaran pelajar menghafalkan sesuatu maklumat tersebut
dengan cara berjalan atau melihat secara langsung nota tersebut. Hal ini dapat membantu
pelajar kinestetik untuk menghafal sesuatu maklumat atau info dengan lebih cepat. Seterusnya,
pelajar juga boleh menggunakan jari untuk menunjuk kata-kata yang penting atau utama untuk
pelajaran yang dibaca ketika membaca lalu menghasilkan nota yang ringkas berdasarkan apa
yang dibaca. Semasa mengulang kaji pelajar menggunakan bahasa tubuh atau juga dikenali
sebagai non verbal semasa membaca nota-nota tersebut. Hal ini disebabkan pemahaman bagi
pelajar kinestetik dapat meningkatkan dengan menggunnakan pembelajaran secara non verbal.
Perkara yang di atas merupakan cadangan strategi yang baik untuk pelajar yang menggunakan
gaya belajar orang kinestetik.

Seterusnya, strategi yang sesuai dan boleh digunakan secara berkesan untuk membuat
nota selepas kuliah ialah melakukan nota dalam bentuk peta minda. Cara membuat peta minda
adalah mulakan peta minda dengan menulis tajuk utama dan diikuti dengan tajuk-tajuk kecil.
Kemudian, pelajar menggunakan simbol dan huruf besar untuk idea-idea yang penting serta
menggunakan pelbagai warna dalam penghasilannya. Peta minda mempunyai berbagai-bagai
kelebihan yang boleh digunakan oleh pelajar ketika membuat nota selepas waktu
pembelajaran. Kelebihan peta minda ialah peta minda mempunyai maklumat yang dapat dilhat
oleh pelajar secara menyeluruh. Oleh itu dengan membuat nota dalam bentuk peta minda,
pelajar dapat memahami topik yang dipelajari dengan menyeluruh dan lebih mudah ketika
mengulang kaji pelajaran tersebut. Selain daripada itu, bahan yang disusun dalam peta minda
adalah lebih teratur, kemas dan ringkas. Perkara demikian dapat memudahkan pelajar untuk
mengingati dan memahami semasa mengulang kaji pelajaran terutamanya untuk menjawab
soalan peperiksaan.

Kesimpulannya, dalam proses pembelajaran meskipun ketika melaksanakan tugasan


yang diberikan kepada seseorang pelajar, penyusunan strategi amatlah penting. Hal ini kerana
penyusunan strategi yang baik membolehkan seseorang pelajar menguasai segala isi
pengajaran dan pembelajaran serta maklumat yang diperolehi agar otak dapat memproses
maklumat tersebut dengan lebih mudah. Oleh yang demikian, penggunaan peta pemikiran dan
peta minda adalah sesuai ke arah memudahkan pembacaan, dan penganalisisan otak bagi
menghasilkan sesuatu yang bermakna. Dengan itu, kemahiran mengambil dan membuat nota
adalah sangat penting agar dapat memberi impak yang baik dan berkesan kepada individu
tersebut.

(1000 patah perkataan)

You might also like