You are on page 1of 21

1.

0 Pengenalan

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai pelbagai destinasi


pelancongan yang menarik. Kerajaan melalui Kementerian Pelancongan Malaysia telah
melakukan pelbagai usaha di peringkat antarabangsa untuk menarik lebih ramai
kemasukan pelancong dari luar negara bagi merealisasikan misi membangunkan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkenal di dunia. Malaysia pernah berada di
kedudukan ke-16 dari segi pendapatan pelancongan dan menguasai 2% daripada syer
pasaran global pada tahun 2008. Manakala, industri pelancongan negara telah
menggaji 1.7 juta pekerjaan atau hampir 16% daripada jumlah guna tenaga pada 2008.
“Malaysia Truly Asia” merupakan motto yang digunakan oleh Malaysia dalam usaha
memperkenalkan produk-produk pelancongan yang terdapat di Malaysia kepada
negara-negara lain seluruh dunia. Kemasukan pelancong asing dari luar negara ke
Malaysia menunjukkan peningkatan pada setiap tahun di mana pada tahun 2009
sebanyak 23.6 juta pelancong asing melawat Malaysia dengan memberikan
pendapatan kepada negara sebanyak RM53.4 bilion. Manakala kemasukan
pelancongan asing ke Malaysia telah meningkat sebanyak 3.9% pada tahun 2010.
Sebanyak 24.5 juta orang pelancong dan telah memberi peluang pekerjaan kepada 1.2
juta rakyat di negara ini. Keindahan bentuk bumi yang semulajadi seperti keindahan
pantai, pulau-pulau, gunung-ganang serta tinggalan sejarah yang menarik menjadikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan dunia di samping keunikan budaya,
keamaman dan keramahan penduduknya. Beriklimkan hutan hujan tropika dan
keindahan hutan hujan tropika serta keunikan flora dan fauna yang terdapat di bumi
Malaysia merupakan aset penting negara. Kerajaan Malaysia telah membelanjakan
jutaan ringgit dalam usaha membangunkan tempat-tempat yang menarik bagi menawan
hati para pelancongan yang berkunjung (Unit Perancangan Ekonomi, 2010).

Sejak Rancangan Malaysia ke-2 sehinggalah Rancangan Malaysia ke-9 sebanyak RM


4212.08 juta telah diperuntukan bagi membangunkan industri pelancongan negara.
Seterusnya, pola kemasukan pelancong ke negara mengalami sedikit perubahan
selepas berlakunya serangan yang meruntuhkan Bangunan World Trade Center (WTC)
di New York Amerika Syarikat pada 11 September 2001. Pelancong beragama Islam
terutamanya dari negara-negara Arab dan negara benua Afrika telah bertukar citarasa
daripada mengunjungi negara-negara Eropah atau USA ke negara Asia Tenggara
termasuklah Malaysia.
Pemeriksaan kastam yang ketat dan pandangan serong barat terhadap umat Islam
serta wujudnya fenomena Islamofobia menyebabkan pelancong Muslim mengubah
destinasi percutian mereka ke negara selain barat. Data statistik kemasukan pelancong
dari negara Arab Saudi ke Malaysia pada tahun 2001 ialah sebanyak 39,957 ribu orang
dan meningkat pada tahun 2002 sebanyak 45,007 ribu orang pelancong. Hal ini
menunjukkan bahawa pelancong dari Timur Tengah yang kebanyakan beragama Islam
mula memilih Malaysia sebagai destinasi percutian mereka.
Oleh itu, Malaysia dilihat mampu menjadi salah satu destinasi pelancongan terunggul di
dunia. Namun sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam,
pembangunan sektor pelancongan perlulah menepati ciri-ciri dan kehendak Islam.
Justeru, pembangunan sektor pelancongan juga perlu seiring dengan kepesatan
pembangunan ekonomi negara. Nilai dan aspek kerohanian serta pembangunan
kemanusiaan perlu dititik beratkan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara
maju yang seimbang dari segi fizikal dan rohani (Unit Perancangan Ekonomi, 2010).

2.0 DEFINISI PELANCONGAN


Pelancongan dan melancong membawa maksud yang berbeza. Menurut kamus dewan,
pelancongan berasal daripada perkataan lancong atau melancong yang membawa
maksud melawat sambil melihat-lihat (bersenang-senang). Dalam bahasa Inggeris
Pelancongan diertikan sebagai tourism manakala melancong pula diertikan sebagai
“travel” atau “journey”. Melancong juga didefinisikan sebagai meninggalkan tempat
tinggal menuju ke sesuatu destinasi dengan tujuan tertentu dan berhasrat untuk
kembali semula ke tempat asal (Noresah Bt Baharom,1997).
Manakala pelancong pula diertikan sebagai orang yang bermusafir ke sesuatu tempat
dengan tujuan tertentu dan tidak bertujuan untuk berhijrah atau berkerja di tempat
tersebut. Pelancongan turut didefinisikan sebagai satu kegiatan multidimensi dan
pelbagai yang menyentuh dalam aspek kehidupan dan aktiviti ekonomi. Pelancongan
tidak semuanya bertujuan untuk keseronokan atau berhibur malah ia juga merangkumi
pelancongan perniagaan, pelancongan kesihatan, pelancongan sukan dan lain-lain
(Joyce M.Hawkins,2006).
Fathi Yakan (1999) membahagikan pelancongan kepada dua iaitu perlancongan taat
yang berlandaskan syariat Islam dan pelancongan maksiat iaitu yang berlawanan
dengan ketetapan dan syariat Allah s.w.t. Menurut Hunziker pula, beliau mendefinisikan
pelancongan sebagai satu fenomena yang mempunyai hubungan dengan perjalanan
seseorang yang tidak kekal dan tidak terlibat dengan aktiviti atau kegiatan yang
produktif.

Pertubuhan Pelancongan Dunia atau World Tourism Organization (WTO)


mendefinisikan pelancongan sebagai orang yang pergi atau tingal di tempat-tempat
yang diluar kebiasaan mereka untuk bercuti dengan tidak melebihi tempoh satu tahun.
Manakala, Islamic Tourism Centre atau Pusat Pelancongan Islam di bawah
Kementerian Pelancongan Malaysia pula telah mendefinisikan pelancongan Islam
sebagai suatu bidang atau industri atau aktiviti yang berkaitan dengan pengembaraan
untuk melawat tempat-tempat yang mempunyai sejarah Islam, mengenali budaya serta
warisan Islam, dan juga untuk memahami dan menyelami cara hidup masyarakat Islam.
Kesimpulannya, dapat disimpulkan bahawa pelancong merupakan seseorang yang
meninggalkan rumah kediamannya untuk pergi ke sesuatu tempat dengan tujuan
bercuti atau melancong. Manakala pelancongan pula disimpulkan sebagai satu industri
yang memberi kemudahan kemudahan kepada orang ramai untuk pergi melancong.
3.0 PERKEMBANGAN SEKTOR PELANCONGAN DI MALAYSIA
Sektor pelancongan di Malaysia merupakan salah satu sektor yang penting dalam
ekonomi negara. Sehingga kini, sektor pelancongan merupakan sektor kelima terbesar
negara selepas sektor perkhidmatan kewangan, kelapa sawit, borong dan runcit, gas
dan tenaga, dan petroleum dengan menyumbang sebanyak RM36.9 bilion kepada
Keluaran Negara Kasar (KNK). Namun begitu pada peringkat awal selepas pasca
kemerdekaan Malaysia, kerajaan tidak memberi penekanan terhadap sektor
pelancongan. Kerajaan pada ketika itu lebih memberi tumpuan kepada pembangunan
infrastruktur negara dan melawan ancaman komunis. Selain itu, faktor ancaman dari
luar seperti konfrantasi dengan Indonesia turut menjejaskan fokus kerajaan pada ketika
itu. Ia sekaligus melambatkan pekembangan sektor pelancongan di Malaysia.

Pada era tahun 60-an, sektor pelancongan masih belum memainkan peranan yang
penting terhadap perkembangan ekonomi negara. Kerajaan pada ketika itu memberi
tumpuan kepada sektor hasil bumi seperti bijih timah dan getah. Sektor hasil bumi
tersebut telah menyumbang sebanyak 45% kepada keluaran Negara kasar (KNK) pada
tahun 70-an. Walaubagaimanapun, sektor pelancongan negara telah mula dilihat
mengalami perkembangan positif pada era tahun 70an. Ketibaan pelancong melalui
udara dan air ke Malaysia telah meningkat daripada 23,000 orang pada 1961 kepada
77,000 orang pada tahun 1970 dengan purata kemasukan setahun meningkat
sebanyak 14.4%.
Hasil kerjasama kerajaan dengan pihak swasta telah meningkatkan lagi kemudahan-
kemudahan asas untuk kegunaan pelancong. Bilangan bilik penginapan yang mengikut
piawaian antarabangsa telah meningkat daripada 1900 bilik pada tahun 1965 kepada
6000 bilik pada tahun 1970.
Di samping itu, peningkatan jumlah hotel dan bilik tersebut turut membuka peluang
pekerjaan kepada penduduk Malaysia seramai 2700 orang pada tahun 1965 kepada
8000 orang pada tahun 1970. Dalam Rancangan Malaysia Ke-2 (RMK-2 : 1971-1975),
kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Ia bertujuan untuk
mencapai perpaduan nasional melalui pembasmian kemiskinan dan merapatkan jurang
perbezaan antara kaum.
Pada tahun 1972, Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Conference Of The
Pacific Areas Travel Association (PATA). Seminar berkenaan telah menyedarkan
kerajaan terhadap kepentingan dan peluang ekonomi yang terdapat dalam sektor
pelancongan. Ekoran dari itu, kerajaan telah menubuhkan Tourist Development
Corporation (TDC) pada 1972 yang bertujuan untuk melaksanakan dasar
pembangunan (Unit Perancangan Ekonomi,1971).
Pelancongan pertama negara yang lebih dikenali sebagai Pelan Pembangunan
Pelancongan 1975. Sektor pelancongan negara dilihat semakin berkembang pada awal
tahun 80-an. Pada ketika ini negara sudah aman daripada ancaman komunis dan juga
ancaman luar. Jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia sebanyak 2.25 juta orang pada
tahun 1980 telah meningkat kepada 3.22 juta orang pada tahun 1985 dan
seterusnyanya meningkat kepada 3.62 juta orang pada tahun 1988.
Pada tahun 1987, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah ditubuhkan.
Kemudian pada tahun 1990 kerajaan telah menaiktaraf kementerian tersebut kepada
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia. Dengan penubuhan
tersebut, ia telah merancakkan lagi pembangunan industri pelancongan negara.
Dalam Rancangan Malaysia ke-5 (RMK-5 : 1986-1990), kerajaan telah
mempertingkatkan kemudahan-kemudahan asas untuk para pelancong di seluruh
negara seperti menaiktaraf jeti pelancongan di Kuala Tahan, Pulau Langkawi dan Pulau
Tioman. Membaiki kemudahan sedia ada di taman-taman negara. Selain itu, kerajaan
juga telah menaiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan
Terbang Antarabangsa Langkawi bagi menampung kemasukan pelancong asing yang
kian bertambah.
Seterusnya, kerajaan telah mengamalkan dasar ruang angkasa terbuka untuk
penerbangan sewa khas ke Malaysia. Dasar tersebut bertujuan untuk menarik lebih
ramai pelancong asing berkunjung ke Malaysia melalui penerbangan khas dari negara
masing-masing terus ke destinasi pelancongan seperti Langkawi, Pulau Tioman, Kota
Kinabalu dan Kuching. Pada tahun 1990, kerajaan telah mengisytiharkan Program
Tahun Melawat Malaysia (TMM 90) (Unit Perancangan Ekonomi,1971).

Ia telah meningkatkan lagi kedatangan pelancong ke Malaysia sebanyak 7.44 juta


pelancong. Dalam Rancangan Malaysia ke-6 (RMK-6 : 1991-1995), kerajaan telah
bekerjasama dengan pihak swasta dalam membangunkan produk-produk pelancongan
baru. Kemudian, pada tahun 1994, kerajaan sekali lagi melancarkan Tahun Melawat
Malaysia 1994 (TMM 94) dengan menawarkan 170 program dan acara merangkumi
kebudayaan, kesenian, kraftangan, perayaan kebangsaan, sukan, konvensyen dan
pameran.
Pembukaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sepanjang 847 km menghubungkan Bukit
Kayu Hitam dengan Johor Baharu telah meningkatkan kemudahan jaringan
pengangkutan dalam negara. Ia berjaya mengalakan perkembangan pelancongan
domestik dan meningkatkan ketibaan pelancong dari Thailand dan Singapura. Namun,
industri pelancongan negara telah mengalami kemerosotan pada tahun 1997 dan 1998
disebabkan oleh kejadian jerebu, penularan wabak virus nipah dan Coxsackie serta
krisis kewangan Antarabangsa. Faktor-faktor tersebut menjadi punca kemerosotan
kedatangan pelancong Malaysia. Peratusan kemasukan pelancong telah menurun
sebanyak 13% pada tahun 1997 dan 10.6% pada tahun 1998.
Bagi memulihkan semula krisis ekonomi yang melanda Malaysia, kerajaan telah
menjadikan sektor pelancongan sebagai salah satu pelan pemulihan krisis tersebut.
Kerajaan telah melakukan pelbagai strategi baru dengan meningkatkan promosi dan
menceburi pasaran baru seperti China, India, Timur Tengah, Australia, dan juga
Eropah. Antara tujuan kerajaan adalah untuk menggalakkan aliran masuk wang ke
dalam negara dan mengurangkan aliran keluar matawang negara dan seterusnya
memulihkan krisis ekonomi negara.
Hasilnya, pada tahun 1999 ketibaan pelancong telah meningkat sebanyak 43.6%
daripada jumlah ketibaan pelancong tahun 1998. Sebanyak 10.2 juta pelancong telah
direkodkan melawat Malaysia pada tahun 2000. Industri pelancongan negara
berkembang baik dengan peningkatan ketibaan pelancong dengan kadar purata
sebanyak 10.0% setiap tahun. Namun, pada tahun 2003, ketibaan pelancong ke
Malaysia telah kembali mengalami kemerosotan. Ia disebabkan oleh

penularan wabak Sindrom Penafasan Akut Yang Teruk (SARS) dan keadaan politik
dunia yang tidak stabil. Walaubagaimanapun, ketibaan pelancong telah meningkat
semula pada tahun 2005 dengan 16.4 juta orang dicatatkan melawat Malaysia.
Pada Rancangan Malaysia Ke-8 (RMK-8 : 2001-2005), kerajaan telah menyasarkan
strategi asas dan dasar pembangunan pelancongan untuk mencapai pertumbuhan
yang mampan di samping menjana pendapatan negara. Strategi pelancongan yang
mampan telah digunakan untuk melindungi keseimbangan antara alam sekitar,
ekonomi, sosial dan isu-isu budaya dalam semua aktiviti pelancongan. Pada tahun
2007, kerajaan sekali lagi melancarkan program Tahun Melawat Malaysia (TMM 07).
Program tersebut dijalankan sempena Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan Malaysia
ke-50.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sembilan 2006-2010 (RMK- 9), kerajaan masih
lagi meneruskan dasar pembangunan pelancongan yang mampan dengan
menekankan pembangunan produk baru, peningkatan penggunaan sumber manusia
dan membangunkan pelancongan domestik. Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada
pembangunan eko-pelancongan melalui pertanian dan pembangunan produk luar
bandar.
Secara kesimpulannya, sektor pelancongan negara dilihat telah mengalami
peningkatan dan perkembangan yang baik. Kerajaan telah mengambil perhatian serius
dalam membangunkan industri pelancongan negara sejak awal tahun 80-an sehingga
sekarang. Perhatian kerajaan terhadap sektor tersebut dapat dibuktikan dengan
peruntukan kewangan dan pelaburan yang telah dibelanjakan (Unit Perancangan
Ekonomi,1971).

4.0 KEPENTINGAN SEKTOR PELANCONGAN TERHADAP


PEMBANGUNAN NEGARA

Sektor pelancongan telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan


ekonomi dan menjana pendapatan negara. Ia merupakan salah satu daripada peneraju
ekonomi negara dan merupakan punca pertukaran wang asing negara. Jumlah
pendapatan negara melalui pertukaran wang asing telah meningkat daripada RM132
juta pada tahun 1970 kepada RM545 juta pada tahun 1980. Tambahan pula, sewaktu
negara mengalami kemelesetan ekonomi pada sekitar tahun 1980-an, kerajaan telah
memfokuskan kepada sektor pelancongan untuk meningkatkan kembali pendapatan
negara. Hasilnya, sektor berkenaan telah berjaya menyumbang sebanyak RM 1500 juta
kepada negara pada tahun 1985 dan terus meningkat sebanyak RM4,500 juta pada
tahun 1990.

Manakala pertukaran mata wang asing pula terus memberi sumbangan kepada negara
dengan RM713.4 juta pada tahun 1980 meningkat kepada RM 1,730.6 juta pada tahun
1985. Langkah kerajaan yang menjayakan program Tahun Melawat Malaysia pada
tahun 1990 telah meningkatkan hasil pendapatan negara melalui pertukaran matawang
asing sebanyak 56% dengan hasil bernilai RM 4.5 bilion. Ketika negara mengalami
krisis kewangan pada 1997 dan 1998, kerajaan telah mengambil beberapa strategi
dalam sektor pelancongan dalam usaha meningkatkan semula ekonomi Malaysia yang
terjejas. Kerajaan telah mempertingkatkan lagi promosi pelancongan negara dan
meneroka pasaran baru
dunia bagi menarik lebih ramai pelancong melawat Malaysia. Usaha tersebut telah
mendatangkan hasil dengan peningkatan kemasukan pelancong dan sebanyak 10.2
juta pelancong telah direkodkan melawat Malaysia pada tahun 2000.

Dengan peningkatan kemasukan pelancong tersebut, ekonomi negara yang terjejas


akibat krisis kewangan tersebut telah mula kembali pulih. Pertumbuhan industri
pelancongan menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui rantaian rapat
dengan beberapa industri lain seperti pengangkutan, penginapan, makanan dan
minuman, hiburan dan membeli belah. Oleh itu, pendapatan hasil daripada sektor
pelancongan telah meningkat dengan pertumbuhan sebanyak 13.6% dalam tempoh
Rancangan Malaysia Ke-7 (RMK-7 : 1996-2000) dengan hasil berjumlah RM 18.7 bilion
dicatatkan pada tahun 2000.

Seterusnya, peratusan pendapatan pelancongan daripada pendapatan akuan


perkhidmatan dalam imbangan pembayaran telah meningkat daripada 32.7% pada
tahun 2000 kepada 43.0% pada tahun 2005. Manakala sumbangan bersih pelancongan
pula meningkat daripada RM11.2 bilion pada tahun 2000 kepada RM18.1 bilion tahun
2005. Sempena kemerdekaan Malaysia ke-50 pada tahun 2007, kerajaan sekali lagi
telah melancarkan program Tahun Melawat Malaysia (TMM 2007). Program tersebut
telah berjaya menarik masuk 20.1 juta orang pelancong sekaligus merangsang dan
menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menyumbang hasil sebanyak RM 44.5
bilion.

Pada tahun 2009 pula, sektor pelancongan negara telah menyumbang sebanyak RM
36.9 bilion kepada keluaran negara kasar (KNK). Ini menjadikan sektor tersebut industri
kelima terbesar negara selepas minyak, gas dan tenaga, perkhimatan kewangan,
borong dan runcit, dan kelapa sawit. Ketibaan pelancong pada tahun tersebut adalah
seramai 23.6 juta orang telah mendatangkan hasil kepada negara sebanyak RM53.4
bilion. United Nations World Tourism Organization telah meletakkan Malaysia pada
kedudukan ke-9 bagi ketibaan pelancong dan tempat ke-13 dari sudut pendapatan.
Jumlah pendapatan negara melalui sektor pelancongan terus meningkat kepada
RM59.2 bilion pada tahun 2010.

Selain itu, industri pelancongan juga telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada
penduduk tempatan seperti perusahaan restoran, peruncitan, pernyedian perkhidmatan
pengangkutan, dan penyediaan penginapan. Guna tenaga yang terlibat secara
langsung dalam industri perhotelan telah meningkat dari 25,170 pada tahun 1985
kepada 39,960 pada tahun 1990 dengan mewujudkan tambahan pekerjaan sebanyak
14,790. Bilangan agensi pelancongan juga bertambah dari 611 pada tahun 1985
kepada 1,545 pada tahun 1990. Dalam tempoh itu juga, sebanyak 8,330 lesen telah
dikeluarkan kepada syarikat-syarikat bas persiaran, teksi, dan kereta sewa.

Melalui subsektor eko-pelancongan, ia telah membuka peluang kepada penduduk


tempatan untuk melibatkan diri dalam penyediaan penginapan melalui program
homestay. Pada tahun 2010, seramai 2,998 orang telah dilatih dan diberi lesen untuk
mengendali penginapan homestay di seluruh negara. Selain itu, kerajaan telah
mempromosikan pakej pelancongan komuniti orang asli telah membuka peluang
pekerjaan kepada orang asli menjadi pemandu bot dan pemandu pelancong alam
semulajadi. Secara tidak langsung, program seperti ini akan membuka peluang
pekerjaan kepada penduduk tempatan disamping meningkatkan lagi pendapatan
mereka.

Sektor pelancongan juga telah dapat membangunkan sesuatu kawasan yang kurang
maju dan ketingalan. Ia juga dapat meningkatkan pendapatan dan sosio-ekonomi
penduduk setempat. Contohnya, Langkawi suatu ketika dahulu merupakan sebuah
pulau yang ketinggalan dari pelbagai sudut kini telah berkembang pesat melalui aktiviti
pelancongan dan menjadi salah satu destinasi terkenal di dunia dengan menerima
kunjungan pelancong sebanyak 2,376,736 orang pada tahun 2009 dan meningkat
kepada 2,448,466 juta pelancong pada tahun 2010. Penduduk tempatan pula dapat
melibatkan diri dalam sektor berkenaan dengan menjadi pengusaha homestay,
pengusaha restoran, menjadi usahawan dalam industri kecil sederhana dan
sebagainya. Hal ini dapat memacu dan merancakkan ekonomi di kawasan tersebut.

Dari segi aspek pengangkutan dan perhubungan pula, Malaysia kini mempunyai
beberapa syarikat penerbangan murah yang turut membantu mempromosikan
pelancongan negara. Umpamanya syarikat penerbangan Firefly, Air Asia dan MAS
menawarkan perkhidmatan tambang murah yang memberi kemudahan dan keupayaan
kepada orang ramai untuk pergi melancong ke destinasi pilihan mereka. Hal ini dapat
menjana pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakan rakyat Malaysia pergi
melancong ke destinasi pilihan domestik seperti Pulau Tioman, Taman negara,
Bandaraya Melaka dan termasuklah Langkawi disamping dapat mengurangkan
pengaliran keluar matawang negara.
(Shuib Ahmad, Mohd Nor, and Noor Aziz, 1989)

5.0 HALANGAN ATAU CABARAN DALAM INDUSTRI PELANCONGAN


5.1 PERSAINGAN DENGAN NEGARA LUAR
Antara cabaran yang dihadapi adalah wujudnya persaingan dalam industri pelancongan
dengan negara-negara lain di mana negara tersebut juga sedar akan kepentingan
sesebuah industri pelancongan untuk negara. Setiap negara mempunyai keistimewaan
tersendiri yang menjadi pusat tarikan masing-masing termasuklah pusat membeli-belah,
makanan, tempat tema, keindahan alam semulajadinya dan lain-lain lagi.
Justeru itu, kreativiti sesebuah negara dalam mempromosikan negara masing-masing
adalah amat penting untuk menarik para pelancong dan menjadikan Malaysia menjadi
destinasi utama pelancong. Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia haruslah membuat
persediaan yang cukup untuk menarik para pelancong ke Malaysia.

5.2 KETIDAKSTABILAN POLTIK


Kestabilan politik sesebuah negara amat memainkan peranan dan sekiranya kestabilan
politik ini tidak dapat dicapai ia juga akan memberi impak yang besar kepada negara
termasuklah pelaburan, perusahaan mahupun pelancongan. Ketidakstabilan politik
menyebabkan pembangunan negara menjadi perlahan yang menyebabkan pembinaan
prasarana untuk pelancong semakin berkurangan, serta semua aktiviiti pembangunan
yang dirancang juga akan terganggu. Selain itu, ketidakstabilan politik juga
menyebabkan imej negara turut terjejas. Ramai pelancong tidak akan melancong ke
negara ini dan secara langsung mereka akan mempengaruhi rakan-rakan mereka yang
lain. Sebagai contoh adalah rusuhan atau peperangan yang berlaku di sesebuah
negara menyebabkan pelancong takut untuk pergi ke negara tersebut. Imej negara ini
juga dikhuatiri akan berlanjutan dalam tempoh yang lama walaupun kestabilan politik
telah dicapai disebabkan imej buruk yang telah terjejas. Jelaslah, politik yang tidak
stabil akan membawa banyak kesan buruk pada sektor pelancongan.
5.3 PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Alam sekitar merupakan elemen yang penting dalam industri pelancongan kerana
kebanyakan pelancong akan melancong ke negara ini disebabkan oleh keindahan alam
semulajadinya. Tidak bermaknalah jika negara mempunyai banyak keindahan alam
yang boleh dikunjungi tetapi berlakunya pencemaran tersebut yang mencacatkan
keindahan tersebut secara langsung memberi imej yang negatif kepada negara.
Justeru, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab masing-masing untuk menjaga
kebersihan alam sekitar untuk menarik lebih ramai pelancong dan menjaga imej
sesebuah negara. Tanggungjawab ini bukan sahaja perlu dipikul oleh pihak kerajaan
atau pihak yang berkenaan sahaja bahkan seluruh masyarakat perlu mempunyai
kesedaran tentang alam sekitar untuk kebaikan bersama.

5.4 KEBUDAYAAN TEMPATAN


Kebudayaan tempatan yang semakin dilupai oleh orang ramai juga merupakan salah
satu cabaran bagi industri pelancongan. Pada era globisasi ini, terdapat ramai remaja
mengabaikan kebudayaan sendiri dan mempelajari budaya barat. Kebudayaan
merupakan faktor yang penting dalam sektor pelancongan kerana pelancong-pelancong
ingin merasai dan mengetahui kebudayaan tradisi negara yang tidak ada di negara lain.
Antaranya adalah seni silat, tarian tradisional, pakaian tradisional dan banyak lagi yang
semakin dilupakan oleh anak muda. Jika tidak diwarisi oleh anak-anak muda ketika ini
keunikan sesebuah negara akan hilang yang membawa kepada kurangnya pelancong
yang akan datang ke negara tersebut.

5.5 KEJATUHAN NILAI RINGGIT MALAYSIA


Antara kesan negatif penurunan nilai matawang RM iaitu barangan import lebih mahal.
Barangan import yang dijual dalam malaysia lebih mahal kerana Malaysia akan
mengeluarkan lebih nilai wang untuk membayar harga barangan tersebut disebabkan
nilai tukaran ringgit yg jatuh. Ini menyebabkan harga barangan import atau yang
mengandungi komponen import yang tinggi akan meningkat. Hal ini akan menjejaskan
pembekalan barangan dari luar bagi membangunkan . insfrastruktur pembangunan
pelancongan. Pembekal barangan import tidak akan menanggung kerugian kesan dari
kejatuhan nilai Ringgit ini akan memindahkan beban tersebut kepada pengguna
terutamanya kepada pengusaha di dalam sektor pelancongan.

Kesan kenaikkan harga barangan akan meluas kepada semua barangan keperluan di
sebabkan kejatuhan matawang ringgit malaysia. Kuasa beli rakyat di luar negara
berkurang. Kuasa beli rakyat di luar negara atau pelancong Malaysia berkurang dengan
penurunan nilai matawang Malaysia. Perbelanjaan yang lebih mesti dikeluarkan untuk
bercuti atau hidup di luar negara kerana kuasa membeli barangan di luar negara adalah
berkurang. Kejatuhan nilai Ringgit Malaysia memberikan kesan yang ketara kepada kita
selaku pelancong yang melancong di luar negara.

5.6 PENCEROBOHAN PEMBERONTAK


Insiden pencerobohan militan Sulu di Lahad Datu, dekat Sabah awal bulan lalu bukan
sahaja telah menjejaskan sektor pelancongan negara tetapi juga sektor perkhidmatan
seperti perbankan dan perniagaan di beberapa kawasan sekitarnya. Kemerosotan
sektor pelancongan itu tidak dapat dielakkan apabila nasihat perjalanan dikeluarkan
oleh negara luar terhadap rakyat mereka yang ingin bercuti ke Malaysia. Keselamatan
pelancong merupakan isu yang paling sensitif. Apabila terdapat pelancong diculik atau
dibunuh, ia akan mendorong banyak negara meletakkan tanda amaran merah dan
meminta rakyat mereka tidak melancong ke tempat berkenaan.
Kejadian pencerobohan di Lahad Datu sebelum ini mendorong banyak negara
meningkatkan tahap amaran ke peringkat jingga. Selepas mendapat jaminan
keselamatan daripada Kementerian Luar dan Kementerian Pelancongan, mereka
akhirnya menurunkan tahap amaran ke peringkat kelabu.

Setelah berlaku pencerobohan di Lahad Datu, kerajaan telah menubuhkan Kawasan


Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) untuk mengelakkan kejadian seumpama
berulang. Walaupun usaha telah diambil, namun insiden di Pulau Pom Pom gagal
dielakkan. Kejadian itu menambahkan kebimbangan rakyat Malaysia yang sebelum ini
sudah risau tentang isu keselamatan. Seperti yang diutarakan oleh wakil Pejabat
Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Kuala Lumpur, insiden di Pulau Pom Pom telah
menjejaskan keyakinan pelancong dan pelabur dari Taiwan.

6.0 LANGKAH-LANGKAH MEMAJUKAN SEKTOR PELANCONGAN

Antara langkah yang dapat diambil ialah pihak kerajaan memperkenalkan produk
pelancongan bagi menarik minat pengunjung ke Malaysia ialah dimana kerajaan
hendaklah menggalakkan masyarakat melibatkan diri dalam program inap desa dengan
lebih banyak. Selain itu, konsep pelancongan kesihatan agropelancongan,
ekopelancongan, dan seumpamanya hendaklah dikembangkan. Kita juga wajar
memperkenalkan pelancongan musim buah-buahan seperti musim durian, manggis,
langsat, dan sebagainya. Produk pelancongan yang diperkenalkan mestilah dapat
menarik hati para pelancong.

Biasanya pelancongan luar mahu melihat sesuatu yang tidak ada di negara mereka.
Oleh itu, kita harus mengambil peluang untuk memperkenalkan keunikan negara ini
dengan mengetengahkan budaya hidup dan kesenian masyarakat tempat. Sebagai
contoh, pelancong wajar dibawa untuk tinggal bersama-sama masyarakat luar bandar
dan mendalami cara hidup mereka. Jadi, usaha kerajaan memperkenalkan produk
pelancongan baharu dapat meningkatkan sektor berkenaan.

Selain itu pihak kerajaan wajar menganjurkan karnival pelancongan di seluruh pelosok
dunia. Karnival pelancongan ialah kaedah yang berkesan untuk memperkenalkan
negara kita sebagai destinasi pelancongan. Dalam karnival ini, banyak perkara yang
dapat diketengahkan. Antaranya ialah tempat-tempat menarik di negara ini, makanan
yang pelbagai, dan juga kebudayaan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu karnival ini
juga wajar menyediakan pakej-pakej pelancongan yang kompetetif kepada masyarakat
antarabangsa. Karnival seperti ini hendaklah diadakan di seluruh dunia.

Tumpuan hendaklah diberikan pada rantau yang jauh seperti di Amerika Selatan dan
juga Afrika. Sebagai contoh karnival wajar diadakan di Brazil untuk menarik minat
pengunjung di sana datang ke Malaysia dan menghebahkan kehebatan negara kita,
bak kata pepatah tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, penganjuran karnival
pelancongan di luar negara merupakan langkah yang berkesan untuk mempromosikan
negara kita sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Seterusnya, kerajaan
Malaysia juga wajar menganjurkan pelbagai acara antarabangsa dengan lebih kerap.
Pelbagai acara antarabangsa wajar diadakan di negara ini. Sebagai contoh,
penganjuran acara sukan antarabangsa seperti Monsoon Cup, perlumbaan Formula 1,
kejohanan badminton, dan seumpamanya merupakan acara yang sangat mendapat
perhatian peminat antarabangsa. Dalam bidang seni pula, negara kita menjadi tuan
rumah kepada beberapa acara antarabangsa, contohnya Festival Muzik Dunia yang
diadakan di Sarawak setiap tahun.

Kemampuan negara untuk menganjurkan antarabangsa memang terbukti kejayaannya,


bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di
dunia. Acara antarabangsa ini hendaklah diadakan dengan lebih kerap dan dijadikan
acara tahunan. Dengan cara ini, lebih ramai pelancong akan mengunjung negara ini
bukan sahaja untuk melibatkan diri dalam acara-acara yang dianjurkan, malahan untuk
melawat tempat-tempat menarik di negara kita, bak kata pepatah sambil menyelam
minum air.

Jadi, jelaslah penganjuran acara antarabangsa dapat meningkatkan promosi


pelancongan di negara kita. Selain itu, satu daripada langkah-langkah untuk
mempromosikan sektor pelancongan negara ini adalah dengan mengadakan kempen
Tahun Malaysia Malaysia dengan lebih berkesan dan melibatkan lebih banyak
penyertaan. Tahun Melawat Malaysia ialah kempen untuk menggalakkan pelancong
datang ke negara kita dengan lebih besar bilangannya. Kempen yang diadakan
sepanjang tahun ini mennyediakan pelbagai acara untuk menarik minat pelancong
datang ke negara ini.

Misalnya, pelbagai acara kebudayaan pelbagai kaum dipersembahkan untuk para


pelancong. Penyertaan pelbagai pihak digalakkan untuk memeriahkan lagi sambutan
Tahun Melawat Malaysia ini. Selain badan-badan kerajaan, pihak swasta juga memikul
tanggungjawab untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang
kompetetif, bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hotel-hotel,
syarikat penerbangan, dan syarikat pengangkutan awam mestilah melibatkan diri untuk
menjayakan kempen ini. Jelaslah, kempen Tahun Melawat Malaysia dapat
meningkatkan sektor pelancongan di negara kita.

Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang dapat dirancang dan dilaksanakan


untuk meningkatkan sektor pelancongan di negara kita. Semua pihak hendaklah tampil
dan menunjukkan iltizam yang tinggi untuk membantu kerajaan mempromosikan
Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang hebat, bak kata pepatah kalau tidak
dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya. Jika tidak, segala keunikan dan
kehebatan budaya pelbagai kaum di negara ini akan sia-sia dan tidak dapat
diketengahkan untuk dinikmati oleh pelancongan tempatan dan mancanegara.
Kerjasama dan kesungguhan semua pihak yang terbabit akan menonjolkan Malaysia
sebagai sebuah destinasi pelancongan yang terkenal di dunia (Tourism Malaysia,2007).

7.0 SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA UNTUK


PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

7.1 KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA

Antara fungsi Kementerian Pelancongan Malaysia ialah menggubal dasar pelancongan


negara bagi mencapai visi, misi dan objektif kementerian selain melaksanakan dasar-
dasar berkaitan dengan perkembangan dan pembangunan industri pelancongan.
Kementerian ini juga dibahagikan kepada pengurusan tertinggi, beberapa bahagian dan
unit serta beberapa jabatan dan agensi di bawah seliaannya seperti Tourism Malaysia,
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara(JKKN), Lembaga pembangunan seni visual
negara dan banyak lagi. Antara usaha yang dijalankan untuk pembangunan industri
pelancongan adalah :-
• Program pelancongan
1. Sukarelawan Pelancongan (Voluntourism) – menggalakkan sukarelawan untuk
terlibat dengan aktiviti pembangunan pelancongan.
2. Pelancongan pelajar – memupuk budaya melancong di kalangan pelajar agar
melancong ke tempat-tempat bersejarah, kebudayaan, eko-pelancongan dan lain-lain.
3. Pelancongan pendidikan – untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk
menyambung pengajian di Malaysia.
4. Agro-Pelancongan – menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian
dan perladangan kepada para pelancong.
5. Pelancongan sukan – Penyediaan kemudahan dan infrastruktur sukan yang lengkap
dan canggih sebagai penganjur sukan.

• Kursus berkaitan pelancongan


1. We Are The Host (WATH) – melatih semua barisan hadapan (frontliners) di dalam
sektor pelancongan.
2. Eco-Host Malaysia – untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat
mengenai keperluan memelihara dan memulihara alam sekitar.
3. Bot Pelancong – untuk meningkatkan kesedaran dengan memberi tumpuan kepada
aspek teknikal, keselamatan, pencegahan dan kaedah-kaedah pengendalian pelancong
dan peralatan yang betul.
4. Think Tourism – memberi pengetahuan dan pendedahan kepada frontliners bagi
melengkapkan diri untuk menghadapi cabaran dalam industri pelancongan dan
mempertingkatkan tahap perkhidmatan pelanggan.
5. Program Latihan Terapi Spa (PLTS) – membangunkan kepakaran tempatan dan
mengawal selia industri spa dengan lebih berkesan. Ia juga disasarkan untuk
mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap pekerja terapi spa asing serta
memberi peluang kerjaya baru dalam industri pelancongan.

• Tabung & Insentif


1. Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan – Menyediakan kemudahan
pembiayaan pinjaman Dana Pelancongan yang bertujuan untuk membantu pengusaha
yang ingin membangunkan atau mengembangkan produk-produk pelancongan.
2. Galakan cukai – Pengecualian cukai bagi Syarikat – syarikat pengusaha
pelancongan yang mengendalikan pakej pelancongan dengan membawa pelancong
asing ke Malaysia dengan bilangan yang ditetapkan.
3. Skim Bantuan Kebudayaan – menyediakan bantuan kewangan dan khidmat nasihat
kepada BBK seni dan budaya untuk melaksanakan aktiviti yang menyokong usaha
pembangunan seni dan budaya negara.

4. Skim bimbingan seni – Menyediakan kursus yang tertumpu kepada aspek-aspek


penyelengaraan, perekaan seperti rekaan lampu (lighting design), set dan prop (scenic
design) dan rekaan audio (sound design). Terdapat juga Kursus Pemasaran Untuk
NGO dan Kursus Pengurusan, Pentadbiran dan Pemasaran NGO.
5. Sumbangan & tajaan seni – Segala bentuk tajaan yang disumbangkan akan diberi
keutamaan penghargaan serta pengiktirafan khas dalam setiap promosi, bahan cetakan
dan terbitan. Di antara pihak-pihak yang telah menjadi penaja utama dalam program di
BSVN terdahulu ialah seperti Phillip Morris Malaysia, ExxonMobil Malaysia, Shell,
Nokia, Malayan Tobacco dan Petronas. http://www.motac.gov.my/en/
7.2 TEKUN NASIONAL

TEKUN Nasional yang dahulunya di kenali sebagai Yayasan TEKUN Nasional yang kini
merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang
diwujudkan untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat
kepada bumiputera untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka. Salah satu
jenis bantuan atau bentuk pembiayaan pinjaman perniagaan TEKUN adalah TEKUN
Pelancongan yang mana ia menyediakan pembiayaan bagi memulakan atau
mengembangkan perniagaan atau projek dalam sektor pelancongan untuk aktiviti-
aktiviti seperti program Homestay, chalet, peralatan rekreasi, agro-pelancongan dan
lain-lain sebagaimana yang ditentukan oleh TEKUN. https://www.tekun.gov.my/ms/
7.3 SYARIKAT PENERBANGAN AIR ASIA

Selain daripada kerajaan merangka usaha-usaha untuk perkembangan industri


pelancongan, sektor swasta juga perlu turut sama dalam usahama tersebut supaya
matlamat dapat dicapai. Antara usaha sektor swasta yang ada adalah melalui syarikat
penerbangan Air Asia di mana Air Asia mengadakan pakej tambang murah kepada
para pelancong yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara dengan
menggunakan tagline “now everyone can fly” sedikit sebanyak menarik lebih ramai
pelancong mengunjungi Malaysia. Hal ini dapat membantu kerajaan mempromosikan
negara dengan meletakkan imej-imej menarik yang terdapat di Malaysia pada badan
kapal terbang untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

Antara usaha lain syarikat Air Asia adalah dengan sumbangan Air Asia terhadap
industri pelancongan Sabah dari segi jaringan perhubungan dan membawa jumlah
pelancong tertinggi ke Sabah sepanjang tahun 2013. Syarikat penerbangan tersebut
juga telah meningkatkan jaringan perhubungan ke Sabah dengan penerbangan
antarabangsa dan domestik dengan 23 destinasi yang membolehkan para pelancong
meneroka tempat-tempat menarik bertaraf dunia selain mencari peluang perniagaan di
negeri tersebut.
(astro awani, 23 nov 2015)

7.4 ELANG WAH SDN BHD.

Elang Wah Sdn Bhd merupakan syarikat yang diterajui Syed Azhar Syed Nadzir.
Syarikat itu ditubuhkan pada 2006 dengan usaha sama rakan niaga, Rizal Ashram
Ramli. Ia merupakan salah satu usaha yang sangat baik untuk pembangunan industri
pelancongan dengan penggunaan bas dua tingkat dan pengenalan perkhidmatan bas
KL Hop-On-Hop Off dilihat sebagai tepat pada masanya sempena Tahun Melawat
Malaysia.
Dengan munculnya beberapa pengangkutan awam yang lebih mesra pelancong seperti
KL Hop On Hop Off, pelancong kini tidak lagi mengalami kesusahan untuk mengunjungi
lokasi pelancongan. Sebagai contoh KL Hop On Hop Off membawa anda ke tempat
pelancongan dan kekerapan bas tersebut menjadikan ia pilihan kebanyakan pelancong
asing. Tambang satu tiket untuk sehari murah yang dikenakan sesuai untuk
dilaksanakan di tempat lain di Malaysia bagi menggalakkan ramai pelancong asing
untuk melancong di tempat lain di
Malaysia. http://www.myhoponhopoff.com/kl/contactus.php
8.0 KESIMPULAN
Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun,
jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari
negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan
pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini
juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang
menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas
hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik
pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang
menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.
Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik
untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing
yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan
rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan
Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam
semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu
sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi
iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan
semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati
keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di
situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari
dalam dan dari luar negara.
Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh
keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat
digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti
negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil
kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik
terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh
keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di
kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti
berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut
berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.
Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut
disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau
yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau
Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi
bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para
pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan
aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui
sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat
menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah
mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan
tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana
kemajuan industri pelancongan negara.

Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh
wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan
sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik
terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya
meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya
terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan
tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang
dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan
makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan
masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di
Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung
ke negara kita.
Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga
turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementerian
Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi
pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan
Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-
negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk
di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut
mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti
mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan
Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep
pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan,
pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor
pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk


menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan
agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah
amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta
akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh
penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

You might also like