You are on page 1of 9

PENGENALAN

Kesalahan bahasa merupakan kombinasi dua perkataan “kesalahan” dan “bahasa”. Kesalahan
merujuk perbuatan salah atau kesilapan. Perkataan bahasa pula, bermakna sistem lambang
bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok
manusia. Menurut seorang sarjana Jerman, Wilhem Von Humbodt, bahasa ialah satu sintesis
daripada bunyi yang dibentuk oleh “lautform” bentuk luaran dan fikiran yang dibentuk oleh
“idenform” bentuk dalaman. Hasilnya, pelbagai ragam ujaran yang tidak terbatas jumlahnya
dapat diterbitkan. Sementara itu, seorang lagi sarjana linguistik Amerika, John B. Carol,
mentakrifkan bahasa sebagai satu sistem berstruktur daripada bunyi vokal dan urutan bunyi
yang dipakai sewenang-wenangnya atau yang digunakan untuk berkomunikasi oleh
sekumpulan manusia. Hasilnya, bahasa dapat dirumuskan sebagai satu struktur yang unik
daripada bunyi ucapan yang dipilih dan disusun secara sewenang-wenangnya untuk
digunakan oleh sesuatu masyarakat sebagai pelat berkomunikasi. Pada keseluruhannya
bahasa adalah alat untuk berkomunikasi dan terdiri daripada kalimah. Bahasa mempunyai ciri
unik. Antara ciri-cirinya:
a. Bahasa mempunyai bunyi yang dihasilkan oleh alat artikulasi iaitu mulut, hidung dan paru-
paru.
b. Bahasa mempunyai sistem. Bahasa mempunyai susunan bunyi, perkataan, nahu ataupun
sintaksis yang tertentu.
c. Bahasa mempunyai bentuk tertentu seperti ayat, rangkai kata, perkataan,imbuhan dan lain-
lain.
d. Bahasa mempunyai makna yang ditugaskan untuk menyatakan sesuatu.
e. Bahasa itu berubah.
f. Bahasa arbitrari yang mempunyai hubungan antara bunyi yang dilafazkan dengan benda
yang dimaksudkan.
g. Bahasa itu linear.
George (1973), berpendapat bahawa kesalahan bahasa ialah “….an unwanted form which a
particular course designer or teacher does not want”. Menurutnya kesalahan bahasa adalah
mengikut pertimbangan cita rasa seseorang guru. Penggunaan bahasa tidak formal dalam
penggunaan formal mengakibatkan kesalahan bahasa. Kesalahan bahasa bererti kesilapan
yang berlaku sama ada melalui pertuturan atau tulisan. Nak Safiah Karim (1980:10)
berpendapat, kesalahan bahasa bererti penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-
peraturan bahasa yang dipersetujui, sama ada pada peringkat sebutan, pilihan kata atau
susunan frasa dan ayat. Nik Safiah Karim dalam Dewan Bahasa, turut menyatakan terdapat
tiga peranan utama yang dimainkan oleh bahasa Melayu iaitu sebagai bahasa kebangsaan
yang berjaya direalisasikan dengan beberapa dasar yang digubal oleh kerajaan. Begitu juga
sebagai bahasa ilmu yang mampu bersaing dengan bahasa Inggeris. Namun fungsinya
sebagai bahasa perhubungan dengan penggunaan bahasa rojak (salah satu kesilapan bahasa)
mencemarkan kedaulatan bahasa Melayu. Selain itu banyak kesalahan bahasa juga wujud
kerana kurangnya pengetahuan tentang bahasa Melayu dan pengaruh bahasa kaum lain di
Malaysia. Budaya merujuk kepada peraturan yang dikongsi bersama. Budaya Melayu adalah
satu set nilai, kepercayaan dan sikap yang dikongsi bersama oleh kebanyakan ahli bangsa
Malaysia. Budaya Melayu mempengaruhi banyak aspek kehidupan bangsa Malaysia.
Perkongsian paling nyata adalah penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu merupakan aset
penting bagi memupuk kesatuan dalam konteks masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Bahasa penting dalam menghapuskan polarisasi etnik dengan memupuk penyatuan
menyeluruh dengan nilai persefahaman yang dipersetujui bersama. Oleh itu, bahasa Melayu
merupakan platform dalam memupuk agenda ini dalam konteks masyarakat majmuk di
Malaysia meskipun wujud sifat kepelbagaian budaya dan kaum. Seirama dengan
pemakaiannya yang semakin meluas, kesalahan-kesalahan penggunaan bahasa oleh bangsa
Malaysia merupakan fakta yang menonjol. Kesilapan yang dianggap pencemaran bahasa
akan serta-merta mengingatkan semua pihak kepada pencemaran udara dan alam sekitar yang
menjadi fenomena zaman moden yang menakutkan. Bangsa Malaysia terdiri daripada
berbilang kaum yang masing-masing mempunyai bahasa ibunda yang berlainan. Rakyat
berbilang kaum ini telah mengalami sistem persekolahan dan bahasa penghantar yang
berlainan. Dialek daerah berlainan di Malaysia juga memerlukan proses standardisasi kerana
turut menjadi punca kesilapan penggunaan bahasa. Sejauh mana kita bergerak ke arah Negara
cemerlang, gemilang dan terbilang, harus ada usaha supaya bahasa Melayu kekal berdaulat
sebagai bahasa yang mampu bergerak seiring dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi
tetapi entitinya harus ada supaya bahasa Melayu terus bersaing dan disegani di mata
masyarakat dunia.
Kesalahan Bahasa Secara Umum
Bahasa Melayu atau disebut bahasa Malaysia di dalam buku Pendidikan Negara Bangsa
Malaysia oleh Ishak Saat dinyatakan sebagai bahasa penyatuan. “Bahasa jiwa Bangsa”
berperanan penting membentuk jati diri dan identiti sesebuah bangsa. Bangsa yang
dimaksudkan adalah bangsa Malaysia. Usaha memartabatkan bahasa Melayu juga perlu
diperkasa semaksimum mungkin bagi menjayakan gagasan “satu bahasa, satu bangsa, satu
Malaysia”. Semua pihak daripada pucuk pimpinan sehinggalah ke akar umbi perlu
menggembleng tenaga untuk menjayakan matlamat ini. Sehubungan itu kesalahan bahasa
yang terjadi perlu diperbetulkan. Sejak bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi
(kebangsaan) dalam perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka, dengan sendirinya bahasa
Melayu menjadi milik orang Melayu, orang Cina, orang India dan semua penduduk
warganegara Persekutuan Tanah Melayu. Maka, untuk berkomunikasi dengan berkesan, kita
perlu memilih bahasa yang diketahui oleh semua pihak. Kesalahan sering timbul ketika
komunikasi berlangsung antara bangsa yang berlainan. Yang pertama kesalahan penggunaan
kata. kesalahan penggunaan kata menimbulkan rasa kurang senang tetapi tidak menjejaskan
makna kerana kebanyakan kita dapat memahami maksud yang hendak disampaikan.
Kesalahan seperti ini kerap terjadi kerana kurang pemahaman tentang tatabahasa.
Contoh 1. “Baru” dengan “baharu”.
1a. Ayah baru sampai dari kampung.
1b. Baju baru yang dibelinya berwarna kuning.
Penggunaan ejaan baru dalam ayat 1a betul yang merujuk kepada masa. Tetapi baru pada
ayat 1b salah kerana ayat merujuk kepada benda. Sepatutnya dieja baharu.
Contoh 2. Penggunaan “di” sebagai kata sendi dan imbuhan
2a. Buku itu disimpan di dalam almari.
2b. Negeri Melaka telah berkembang maju di zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.
2c. Sila letakkan borang di dalam kotak ini.
Kata sendi di ditulis berpisah daripada Kata Nama yang mengikutnya. Dalam hal ini. Ayat 2a
betul tetapi penggunaan di dalam ayat 2b salah. Bagi ayat 2c penggunaan di dijadikan kata
imbuhan dan dirapatkan adalah salah tetapi yang dikesalkan ayat 2c menjadi label yang
dipaparkan di salah sebuah pejabat imigresen di negara kita. Hanya di yang berfungsi sebagai
kata imbuhan perlu dirapatkan. Kedua, kesalahan frasa. Kesalahan frasa kerap berlaku kerana
melanggar Hukum D-M, iaitu penerang mendahului unsur yang diterangkan. Contohnya
Chan Restoran sepatutnya Restoran Chan. Frasa terbitan sering kedengaran menerusi radio,
televisyen dan surat khabar. Contohnya Johor leads by 2-0. Ayat tersebut diterjemahkan
menjadi Selangor mendahului 2-0 dan membawa maksud yang tidak jelas. Sepatutnya,
pasukan Selangor mendahului pasukan lain dengan mata 2-0. Ketiga kesalahan ayat.
Kesalahan ayat turut berlaku terutama ayat tergantung. Walaupun maksud yang ingin
disampaikan mungkin dapat difahami tetapi ayatnya tidak lengkap.
Contoh 3. Tidak lebih dan tidak kurang.
Contoh 4. Lebih penerbangan. Lebih pilihan.
Contoh 5. Hanya satu calitan.
Contoh 6. Alimah guru.
Ayat lengkap mesti mengandungi subjek yang bersifat frasa nama dan predikat. Predikat
ialah kumpulan perkataan yang tergolong dalam satu frasa dan menjadi unsur yang
menerangkan subjek. Contoh 6 adalah ayat tunggal yang lengkap kerana Alimah adalah
subjek dan guru adalah predikat. Ini berbeza dengan contoh ayat 3, 4 dan 5.
Kesalahan Bahasa Dalam Kalangan Masyarakat Majmuk
Corder 1973 berpendapat bahawa sebab terjadi kesalahan bahasa ialah kerana terdapat
banyak peraturan yang ada pada sesuatu bahasa iaitu formal dan tidak formal. Kadang-
kadang, jika tidak berhati-hati, dalam masa menggunakan bahasa formal seseorang akan
terbawa-bawa dengan bentuk yang tidak formal. Penggunaan bentuk bahasa yang tidak
formal adalah dianggap kesalahan bahasa. Malah sesuatu bahasa lazimnya mempunyai
dialek-dialek. Penggunaan dialek adalah tidak formal. Oleh itu jika dialek dicampuradukkan
dengan bahasa formal atau standard maka terjadilah kesalahan bahasa. Sharma (1981),
berpendapat bahawa kesalahan bahasa dibahagikan kepada 3 kategori. Pertama kesalahan
bahasa disebabkan faktor lupa, gangguan emosi, kelalaian dan kurang latihan. Kedua,
kesalahan bahasa berpunca daripada kekacauan atau kekeliruan kerana wujudnya faktor-
faktor kelainan bentuk dalam penggunaan sesuatu bahasa formal (bahasa persuratan, bahasa
akademik dan bahasa kesusasteraan) dan tidak formal (dialek dan bahasa pasar). Ketiga
kesalahan bahasa khas bagi penggunaan bahasa kedua iaitu bahasa yang dikuasai
terkemudian daripada perolehan bahasa pertama iaitu bahasa ibunda. Kesalahan umum
memang luas jika diperkatakan tetapi kesalahan disebabkan pengaruh masyarakat bangsa
Malaysia berlaku disebabkan banyak faktor.

Faktor-faktor yang mengundang kesilapan dalam penggunaan bahasa antaranya:

i. Faktor dialek
ii. Faktor pengaruh media
iii. Faktor pengaruh bahasa lain
iv. Faktor pencemuhan
v. Faktor bahasa slanga
vi. Faktor keanekaan latar belakang
vii. Faktor kurang pemahaman tatabahasa
viii. Faktor pengaruh bahasa iklan

Faktor pertama pengaruh dialek. Dialek menurut Hartmab dan Stork (1972), ialah sejenis
kelainan bahasa yang berbeza daripada segi sebutan, tatabahasa dan kosa kata daripada
bahasa standard. Pengaruh bahasa dialek begitu menebal mempengaruhi sistem bunyi.
Bahasa dialek itu mempengaruhi penulisan terutamanya murid-murid di pantai timur. Bahasa
dialek sebenarnya ialah tradisi lisan tempatan. Apabila murid-murid bertutur menggunakan
bahasa dialek, maka bukan ayat lengkap yang dipertuturkan tetapi frasa dan klausa atau
struktur ayat yang hanya difahami oleh penutur asal dari daerah dialek yang sama. Berikut
ialah beberapa contoh ayat yang biasa digunakan oleh penutur di Terengganu.

Contoh 7. Ali menangkap ikang.


Contoh 8. Adik melukis bulang.
Contoh ayat 7 dan 8 adalah ayat lengkap tetapi penggunaan perkataan ikan dan bulan dieja
mengikut sebutan dialek yang menyebabkan kesalahan ejaan.
Contoh 9. Ambo suka makan di kedai bersih. Demo lagu mano? Ayat betul: Saya suka makan
di kedai bersih? Awak macam mana?
Contoh 10. Cakna pendidikan Kelantan tersohor. Di dalam Kamus Dewan perkataan cakna
bermaksud ambil berat atau ambil tahu tetapi jarang digunakan dan menjadikan ayat tersebut
janggal bagi masyarakat negeri lain. Ayat tersebut boleh diperbaiki menjadi “Ibu bapa harus
cakna pelajaran anak supaya Kelantan tersohor dalam bidang pendidikan”.
Contoh 11. Maghi pakat gi jale. Maksud ayat: Jom kita pergi melancong.
Contoh 12. Sudoh slaluh. Ayat tersebut bermaksud siap dengan segera.
Contoh ayat 9 hingga 12 adalah salah jika dinilai daripada sudut penggunaan perkataan yang
dientrikan dalam kamus. Papan tanda dan kain rentang yang dipamerkan membuktikan
bahawa bahasa dialek ini diterima pakai di negeri atau daerah tertentu. Persoalannya,
siapakah yang harus dipersalahkan? Adakah kita perlu mengorbankan kedaulatan bahasa
Melayu demi menaikkan taraf bahasa daerah? Umum mengetahui terdapat banyak bahasa
dialek tetapi hanya bahasa Melayu Baku ditetapkan untuk dijadikan bentuk bahasa rasmi.
Bahasa dialek memberi maksud berbeza yang sukar ditafsirkan.
Contoh 13. Sudah banyak kali saya bilang sama dia.
Contoh 14. Mama saya belum pulang lagi.
Contoh 15. Saya akan pulang jam tiga.

Perkataan bilang dalam ayat 13 bermaksud memberitahu. Mama dalam ayat 14 merujuk
kepada ibu atau emak di sabah tetapi tidak diterima dalam bahasa Melayu kerana kata mama
sebenarnya mengikut Kamus Dewan ialah bahasa percakapan bagi kata ibu. Kata jam di
dalam ayat 15, merujuk Kamus Dewan edisi keempat adalah sejenis alat untuk menunjukkan
waktu. Kata jam biasanya diganti dengan pukul yang lebih jelas merujuk kepada waktu.
Dalam bahasa Melayu, kata jamban membawa makna tempat membuang air atau tandas
tetapi dalam dialek Pahang membawa maksud tempat mandi atau basuh kain. Di Kelantan
dan Terengganu dialeknya lebih sukar difahami. Contohnya kata bidas bererti memantul
menurut Kamus Dewan tetapi membawa maksud lastik mengikut fahaman dialek masyarakat
di negeri tersebut. Kata bahang yang bermaksud hawa panas akan berubah maksud menjadi
bahagian, hal dan kepunyaan mengikut maksud dialek Perak. Rumusan daripada contoh di
atas dapat disimpulkan bahawa pengguna kata dialek mendukung maksudnya sendiri yang
tidak difahami oleh masyarakat luar lingkungannya dan membawa maksud berbeza daripada
maksud yang terdapat di dalam Kamus Dewan. Ini menimbulkan banyak kekeliruan dan
kesalahan penggunaan kata bahasa Melayu. Faktor kedua, pengaruh media. Memang tidak
dapat dinafikan bahawa media elektronik seperti radio dan televisyen, memainkan peranan
penting dalam perkembangan bahasa terutamanya kanak-kanak. Melalui radio dan televisyen,
mereka mempelajari aspek bahasa seperti sebutan, perbendaharaan kata, intonasi dan
sebagainya. Bunyi vokal dan konsonan dalam perkataan perlu dibunyikan dengan betul
kerana jika tidak, akan timbul masalah. Di dalam bahasa Melayu banyak perkataan yang akan
bertukar maksud jika salah sebutannya. Misalnya tempoh dengan tempuh, dadah dengan
dada, marah dengan mara, belot dengan belut, masakan dengan masakkan, mengubah dengan
menggubah atau tumbuk dengan tembok. Salah sebutan akan merubah maksud yang ingin
disampaikan. Hal ini terjadi terutamanya bagi penutur bukan Melayu. Selain itu, terdapat juga
kesalahan pengulangan kata jamak seperti mereka menjadi mereka-mereka atau para penulis
menjadi para penulis-penulis. Kesalahan bahasa yang dilakukan oleh media turut menjadi
ikutan khususnya bagi mereka yang tidak mendalami tatabahasa. Kadangkala pengguna
bahasa Melayu, termasuk pelajar masih meyakini tatabahasa dan ejaan yang digunakan oleh
media meskipun salah.

Contohnya:
Contoh 16. Van yang mereka naiki telah terbabas.
Contoh 17. Alya melaporkan dari Johor.
Contoh 18. Lain-lain perkara akan dibincangkan kemudian.
Contoh 19.Usaha memperluaskan jalan sedang dijalankan.
Contoh 20. Bagaimanapun ada perkara yang tidak jelas yang mana ramai orang tidak
mengetahuinya.

Bagi ayat 16 dianggap tidak menepati struktur ayat pasif kata ganti nama diri ketiga.
Kesalahan di dalam ayat 17, Kata kerja transitif hendaklah diikuti oleh objek. Bagi ayat 18
berlaku kesalahan hukum D-M. Bagi ayat 19, berlaku kesalahan kerana penggunaan apitan
memper….. kan pada kata adjektif. Ayat 20 yang tertulis pada akhbar Harian Metro 23
Januari , yang mana adalah terjemahan terus which dalam bahasa Inggeris. Pihak media
massa sepatutnya lebih prihatin mengelak daripada melakukan kesalahan bahasa. Media perlu
memainkan peranan mengetengahkan sesuatu kosa kata baharu dan menggunakan ayat yang
betul untuk dimanfaatkan oleh pengguna. Faktor ketiga, pengaruh bahasa lain. Kesalahan
bahasa turut berpunca daripada pengaruh bahasa Inggeris. Hal ini berlaku kerana sesetengah
anggota masyarakat yang menguasai bahasa Inggeris kadangkala cenderung untuk
menggunakan bahasa Melayu menurut peraturan bahasa Inggeris. Sebagai contoh
penggunaan di mana (where) dan yang mana (which) sebagai kata hubung dalam ayat begitu
meluas seolah-olah diterima dalam bahasa Melayu. Malah golongan intelektual dan individu
yang dianggap berpengetahuan dalam bahasa Melayu turut mengamalkan kesalahan tersebut.
Demikian juga penggunaan frasa yang tidak mematuhi hukum D-M, misalnya lain-lain hal
dan mini maraton. Pengaruh bahasa Inggeris juga sering dicampur aduk dalam bahasa
Melayu sedangkan istilah tersebut telah sedia ada dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, ori
(asli atau tulen), live (langsung atau terus), breakfast (sarapan), lunch (makan tengah hari)
dan dinner (makan malam). Kita bangga jika bangsa Malaysia boleh berbahasa Inggeris tetapi
janganlah menggunakan bahasa rojak sesuka hati yang merosakkan imej bahasa kebangsaan.
Sesetengah orang pula sukar menyebut sesuatu perkataan berdasarkan sebutan yang
diseragamkan, terutamanya bagi perkataan pinjaman daripada bahasa Inggeris. Oleh sebab
itu, masih banyak orang menyebut perkataan tertentu seperti sebutan Inggeris walaupun dieja
dalam bahasa Melayu. Misalnya, struktur (structure), aktif (active),dan psikologi
(psychology). Amalan demikian akan menjadi ikutan generasi baharu. Kesalahan ejaan pasti
berlaku jika salah sebutan. Misalnya, agenda dieja ajenda, unit dieja yunit dan teknologi dieja
teknoloji. Penguasaan bahasa Inggeris memang perlu dalam era globalisasi. Namun
mengagung-agungkan bahasa Inggeris akan menyukarkan usaha untuk mengatasi masalah
kesalahan bahasa yang kerap berlaku. Penggunaan bahasa campuran atau rojak dalam
pelbagai situasi termasuklah situasi rasmi menyebabkan kekeliruan. Selain pengaruh bahasa
Inggeris, kesalahan bahasa juga sering berlaku akibat pengaruh bahasa Cina dan India.

Antara ayat yang sering kita dengar seperti:


Contoh 21. Jangan takut menderma dara (darah).
Contoh 22. Ramai pelajar sekarang yang ditangkap menghisap dada (dadah).
Contoh 23. Jangan mara-mara (marah-marah), nanti cepat tua.
Contoh 24. Saya mahu membeli telo (telur).

Penggunaan kata lain seperti senarai disebut senarai, cendekiawan disebut can-dia-kawan dan
pengarah disebut pen-ga-rah. Pada kain rentang dan papan tanda gambar 2,4 dan 5 terdapat
kesilapan ejaan seperti salapan (sarapan), negera (nagara) dan memjual (menjual). Kesalahan
ejaan sebegini kerap berlaku kerana dieja mengikut bahasa Cina. Campur aduk penggunaan
bahasa Inggeris dan bahasa Melayu juga dapat dilihat. Contohnya bagi perkataan tingkat 2
dan floor 2, plumber paip air & tandas dan lori sewa 24 hour dalam gambar 1, 3 dan 6. Faktor
keempat, pencemuhan. Pencemuhan menggunakan bahasa kasar dan lucah semakin mendapat
tempat terutama dalam kalangan muda-mudi tanpa mengira kaum. Penggunaan bahasa ini
sering kedengaran melalui lagu terutama muzik rap. Lagu adalah cabang seni. Penggunaan
perkataan lucah bukan sahaja mencemarkan bahasa dan bangsa Melayu tetapi membunuh
nilai seni budaya. Apabila berlaku perkara yang tidak diingini, luahan nama Allah sering
kedengaran. Bahasa kesat biasanya digunakan untuk meluahkan emosi berang atau ingin
bergurau. Kehalusan budaya bangsa akan lenyap jika budaya seperti ini yang dijunjung.
Kesedaran terhadap hala tuju bahasa amat penting dan kehadiran unsur tertentu perlu
dihindari demi memartabatkan bahasa dan mempertahankan tamadun budaya bangsa
Malaysia. Faktor kelima, bahasa slanga. Bahasa slanga adalah kelainan bahasa yang dicirikan
oleh kosa kata yang baru digubal dan cepat berubah. Misalnya bahasa pelajar di universiti
dan golongan muda mempunyai slanga tersendiri semasa bertutur dan ada kalanya kita
sebagai golongan dewasa tidak memahami apa-apa yang diperkatakan oleh mereka.
Penggunaan bahasa slanga atau frasa seperti very fantastic di saluran Astro, jika dibiarkan
tanpa teguran akan menjadi sebati dengan bahasa Melayu. Ini akan mengancam bahasa
kerana bermula dengan perkataan slanga lama kelamaan diterima oleh semua masyarakat.
Contoh lain perkataan gay, sekitar 1960-an digunakan tanpa sebarang masalah. Namun begitu
sekarang perkataan itu akan membawa erti yang agak negatif iaitu orang yang homoseksual.
Sistem pesanan ringkas (SMS) yang banyak meringkaskan perkataan hakikatnya merosakkan
bahasa jika tidak dipantau penggunaannya dan dipraktikkan dalam situasi formal. Perkataan
yang digunakan juga sama seperti bahasa slanga yang sering berubah mengikut peredaran
zaman. Dahulu kita menggunakan perkataan kekasih, kini pelbagai perkataan baharu
digunakan seperti makwe, cewek dan awek. Namun maksudnya masih sama. Ko pula
digunakan untuk awak dan gua untuk saya.. Faktor keenam keanekaan latar belakang.
Keanekaan latar belakang ialah warisan kita yang terdiri daripada berbilang kaum, agama dan
kebudayaan. Ini merupakan keunikan bangsa Malaysia tetapi jika dilihat dari satu sudut yang
lain, hal tersebut merupakan masalah dan cabaran untuk memastikan semua bangsa dapat
menguasai dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dengan betul. Di
peringkat awal iaitu melalui pembelajaran di sekolah dapat dikesan kesalahan berlaku dalam
semua bidang kemahiran bahasa dan aspek bahasa. Gangguan bahasa ibunda berlaku kerana
penggunaan bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Jawa, bahasa Inggeris dan lain-lain sejak
kecil. Gangguan sistem bunyi bahasa ibunda mereka boleh menyebabkan kesukaran dalam
aspek sebutan dan intonasi bahasa Melayu yang dipelajari sebagai bahasa kedua. Masalah ini
pernah dibicarakan oleh Jack C Richards (1980) sebagai “masalah antara bahasa” atau
interlanguage problems. Bagi kaum Cina, masalah sebutan dan intonasi berlaku apabila
bertutur dalam bahasa Melayu. Masalah ini boleh didengar di kelas, kedai, di pasar atau 288
melalui media elektronik seperti radio atau televisyen. Yang berikut adalah sebahagian
contoh kesalahan sebutan yang kerap dilakukan oleh penutur Cina.
BIL PERKATAAN BAHASA MELAYU SEBUTAN SALAH
1. Banyak Manyak
2. Cakap Ciakap
3. Dahulu Lulu
4. Duit Luit
5. Dengan Degan
6. Lebih Lebeh
7. Sudah Suda
8. Semua Suma
9. Sedang Sidang
10. Zaman J aman
Kesalahan penutur kaum India akibat pengaruh bahasa ibunda agak berbeza dengan kaum
Cina. Contoh-contoh di bawah adalah antara kesalahan sebutan yang biasa dituturkan oleh
bangsa Malaysia berketurunan Cina dan India. Namun tidak dinafikan, sistem pendidikan
mampu mengubah fenomena ini dan ramai di kalangan bangsa lain di negara ini mampu
bertutur bahasa Melayu dengan lancar dan betul.
BIL PERKATAAN BAHASA MELAYU SEBUTAN SALAH
1. Apa Appa
2. Boleh Bole
3. Darah Dara
4. Enam Annam
5. Getah Keta 6
. Hisap Isap
7. Murah Mura
8. Puluh Pulu
9. Pergi Pigi
10. Sendiri Sindri
Selain aspek sebutan, aspek intonasi juga merupakan masalah kerana dilagukan mengikut
intonasi bahasa ibunda Cina dan India. D.A.Wilkins (1981:24) menegaskan bahawa: Peranan
guru amat penting sebagai ejen pengajar yang paling berpengaruh dan merupakan model atau
sumber teladan yang akan ditiru oleh murid-murid. Guru bahasa Melayu terutamanya tidak
boleh bersikap seperti ketam dan menyuruh murid-muridnya berjalan betul, sedangkan guru
sendiri berjalan senget. Sekiranya guru bahasa Melayu sendiri menghadapi masalah ketika
bertutur atau mengajar, mereka perlu mengatasinya dengan segera. Faktor ketujuh, kurang
pengetahuan bahasa Melayu. Faktor ini jika dinilai terjadi kepada semua bangsa Malaysia.
Kurangnya pemahaman bahasa Melayu menyebabkan banyak kesalahan bahasa yang
dilakukan. Salah satu kesalahan yang berlaku adalah penggunaan kata tunjuk itu dan ini.
Menurut Prof. Slametmuljana, dalam percakapan bahasa yang kurang teratur, kata tunjuk
ditempatkan di depan kata yang ditunjuk seperti:
Contoh 25. Ini kereta Honda City.
Contoh 26. Itu hari saya sudah pulang ke kampung.
Penggunaan kata tunjuk seperti contoh ayat 25 dan 26 adalah seperti ayat berunsur bahasa
basahan dan kolokial. Dalam aspek penulisan, amalan kelewahan amat jelas. “Leweh”
menurut Kamus Dewan 2004 bermakna terlalu banyak hingga berlimpah-limpah. Dalam
konteks bahasa, amalan kelewahan dapat diertikan sebagai penggunaan kata, frasa ataupun
ungkapan secara berlebihan dalam penulisan dan jika digunakan tidak menambah maksud,
malah merosakkan kelancaran dan kepersisan sesuatu ayat. Selain itu. penggunaannya tidak
pula menjadikan bahasa itu indah ataupun melancarkan proses komunikasi. Kelewahan juga
terjadi kerana pengguna bahasa tidak tahu atau tidak berfikir dahulu ketika hendak
menggunakan bahasa.
Contoh 27. Hadiah percuma itu diberi kepada semua peserta.
Contoh 28. Nelayan yang menangkap ikan telah ditangkap kerana memasuki perairan negara
jiran.
Penggunaan kata hadiah tidak perlu diikuti dengan kata percuma kerana sesuatu hadiah
adalah percuma. Dalam ayat 28 pula, penggunaan kata nelayan cukup menjelaskan tugas
menangkap ikan. Jadi ungkapan yang menangkap ikan tidak diperlukan dan dianggap
kelewahan dan mubazir. Contoh lain penggunaan frasa pada masa ini (kini), penghuni yang
tinggal di (penghuni) dan sekolah tempat kami belajar (sekolah kami). Frasa yang ditulis
panjang hanya perlu ditulis seperti di dalam kurungan supaya menjadi ayat yang tepat. Dalam
hal kelewahan, Yeop Johari Yaakob (1987) menggolongkan ulangan kata sebelum penanda
jamak sebagai amalan mubazir. Umpamanya, semua pegawai-pegawai, sebilangan besar
kakitangan-kakitangan kerajaan dan pokok-pokok itu tinggi-tinggi belaka, ditakrifkan sebagai
mubazir. Amalan ini dikelaskan sebagai kesalahan bahasa yang harus diberhentikan oleh
pengguna bahasa Melayu demi kebakuan dan ketulenan bahasa Melayu. Selain itu kelewahan
lain seperti menjamakkan kata bilangan seperti banyak kereta-kereta sepatutnya banyak
kereta atau kereta-kereta. Kelewahan imbuhan adjektif memper….. –kan dan diper ….;kan
berlaku kerana kecenderungan untuk menggandingkan kedua-dua imbuhan dengan kata dasar
yang terdiri daripada kata adjektif seperti memperkemaskan sepatutnya memperkemas atau
mengemaskan dan dipertingkatkan sepatutnya dipertingkatkan atau ditingkatkan. Kelewahan
apitan memper….-i, mengikut Tatabahasa Dewan edisi baharu hanya ada empat bentuk
sahaja yang wajar iaitu memperingati, memperkawani, memperisteri dan mempersuami.
Bentuk memperisteri dan mempersuami sebenarnya mengalami pengguguran i kerana
sebenarnya berbentuk memperisterii dan mempersuamii. Faktor usia juga menjadi salah satu
sebab berlakunya kesalahan bahasa. Kurangnya pemahaman yang sudah menjadi kebiasaan
menyebabkan golongan ini kekok mengubah sesuatu yang telah sebati. Komunikasi mereka
terganggu sekiranya mencuba untuk menggunakan bahasa baharu yang betul tetapi dianggap
asing. Masalahnya, kesalahan bahasa yang digunakan ini akan menjadi ikutan orang lain yang
mendengarnya. Kesalahan bahasa yang agak luas penggunaannya akan berterusan. Malah
sesetengah pelajar menyedari kesalahan tersebut, tetapi masih melakukannya kerana
terpengaruh oleh penggunaan bentuk lazim orang tua mereka. Antara contoh kesalahan
bahasa termasuklah yang berikut:
i. Ramai murid-murid sekolah……………
ii. Semua pekerja-pekerja kilang……………..
iii. Di saat-saat akhir ………….
iv. Kedua ibu bapa……………..
v. Demi untuk negara……………..
vi. Senarai nama-nama calon
vii. …………….……dari masa ke semasa……………..
vii …..adalah merupakan…………….
Semua pihak tidak menyangkal kepentingan tatabahasa dan sistem ejaan sesuatu bahasa,
tetapi penguasaan bahasa Melayu di negara ini masih kurang memuaskan. Jika dilihat dengan
teliti aspek tatabahasa bahasa Melayu memang sukar dikuasai dan perlu dipelajari oleh semua
lapisan masyarakat. Faktor kelapan, laras iklan. Iklan berfungsi untuk mempromosikan
sesuatu produk atau perkhidmatan kepada pengguna. Penguasaan bahasa merupakan
komponen penting dalam sesebuah iklan kerana tanpa bahasa sesebuah iklan tidak mungkin
terhasil. Penggunaan bahasa dalam iklan memberi pengaruh yang besar kepada pengguna dan
sebagai pengguna kita sepatutnya berupaya memahami tugas penulis iklan di ruangan sempit.
Contohnya slogan “ sehingga menjilat jari”. Umum mengetahui slogan tersebut digunakan
oleh ‘Kentucky Fried Chicken” sebagai usaha melariskan jualan. Penghargaan seharusnya
diberi kepada penulis yang kreatif dan berusaha menggunakan bahasa Melayu. Gaya
penulisan iklan menitikberatkan bahasa yang betul dan gramatis. Namun ramai penulis yang
gagal memastikan ayat yang ditulis betul tatabahasanya. Salah guna bahasa iklan berlaku
kononnya untuk menyesuaikan bahasa yang digunakan masyarakat semasa bertutur iaitu
mengikut kesesuaian taburan demografinya. Contohnya menyerapkan bahasa slanga
golongan remaja dalam iklan. Bahasa Melayu standard dan formal dianggap kaku dan ini
berbeza dengan kehendak DBP. Iklan bertujuan untuk memudahkan pemahaman dan ayat
yang tergantung dalam iklan hanyalah taktik untuk menarik perhatian masyarakat. DBP
sepatutnya dapat bekerjasama dengan pihak pengiklanan untuk memastikan bukan sahaja
keuntungan yang terhasil tetapi juga dapat memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang
pengiklanan.
Cara Mengatasi Masalah Kesalahan Bahasa
Dalam usaha mempercepat penguasaan bahasa Melayu di kalangan bangsa Malaysia,
Kementerian Pelajaran harus melentur buluh dari rebungnya dengan memperkasakan sekolah
kebangsaan di negara ini. Cara ini dapat menggalakkan ibu bapa agar menghantar anak
masing-masing ke sekolah kebangsaan untuk memantapkan penguasaan bahasa dan
seterusnya mewujudkan integrasi antara murid daripada pelbagai kaum. Di dalam dunia
pekerjaan dan dunia sosial, kemahiran berbahasa menentukan kejayaan seseorang. Sekeping
ijazah tidak bernilai tanpa kecekapan berbahasa. Profesion perguruan berperanan mengajar
bahasa khususnya aspek sebutan dan ejaan yang saling berkait dengan betul. Aspek
kesantunan berbahasa harus diterapkan. Amalan dan nilai budi bahasa perlu dikekalkan
walaupun terdapat pengaruh barat.
Yang merah itu saga,
Yang kurik itu kendi;
Yang indah itu bahasa,
Yang elok itu budi
Orang berbudi, kita berbahasa,
Orang memberi, kita merasa.
Corak pembelajaran ilmu sebagai proses menghafal untuk mengambil peperiksaan perlu
diubah. Sebaliknya dilaksanakan sebagai proses memahami apa yang dipelajari. Seseorang
yang faham dalam bahasa akan dapat menggunakan bahasa dengan baik, tersusun dan
lengkap. Pelajar khususnya diberi peluang mengungkap ilmu yang diterima dan
menggunakan bahasa sebagai saluran pernyataan buah fikiran dan ilmu pengetahuan melalui
proses pengajaran dan pembelajaran. Pihak media massa dan dunia pengiklanan harus lebih
prihatin dan memberi penekanan kepada penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pakar-pakar
sosiobudaya pula perlu membuat kajian menstandardisasikan aspek budaya selaras dengan
perkembangan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sekarang. Ungkapan “bahasa jiwa
bangsa” dan “bahasa menunjukkan bangsa”, menunjukkan hubungan erat di antara bahasa
dengan kebudayaan dan tingkah laku bangsa Malaysia. Kemampuan bahasa Melayu sebagai
bahasa komunikasi dan bahasa ilmu tidak perlu diragui. Gabungan Persatuan Penulis
Nasional (GAPENA) dan Persatuan Penulis Nasional pada bila-bila masa pasti boleh diminta
pandangan tentang sesuatu isu bahasa. GAPENA pernah mengeluarkan penyataan cadangan
agar bahasa Melayu wajib diambil oleh pelajar sebagai syarat memasuki institusi pengajian
tinggi awam. Sebagaimana syarat yang ditetapkan untuk bahasa Inggeris melalui Malaysian
University English Test. Sebagai rakyat, kita seharusnya menyokong usaha pejuang bahasa
untuk mempertahankan kedaulatan bahasa. Kesalahan bahasa dapat dikurangkan dan
dihapuskan jika mendapat kerjasama semua pihak. Perancang bahasa perlu memperbaiki atau
merancang unsur-unsur bahasa untuk meningkatkan keefisienan, mengurangkan sebarang
perbezaan yang menghalang fungsi bahasa sebagai bahasa kebangsaan . Sistem ejaan perlu
diperbaiki dan menstandardkan sebutan kata-kata pinjaman. Proses penciptaan istilah oleh
Dewan Bahasa dan Pustaka harus diteruskan untuk membolehkan pengungkapan konsep-
konsep teknikal dan sains dilakukan. Usaha DBP amat jelas dengan penghasilan buku
panduan tatabahasa seperti buku Tatabahasa Dewan. Penghasilan buku ini diharap dapat
membantu memperbaiki penggunaan tatabahasa di kalangan pengguna bahasa Melayu. DBP
juga melakukan penyelaras bentuk ejaan melalui sidang yang dianggotai oleh negara seperti
Indonesia dan Brunei. Kesalahan penggunaan bahasa sebenarnya hanya akan selesai jika
masyarakat dapat menerima hakikat bahasa Melayu adalah bahasa Malaysia iaitu bahasa
kepunyaan semua warganegara yang menjadi cerminan bangsa Malaysia. Tanpa keinginan
dan kesungguhan yang luhur selari dengan dasar perlembagaan segala usaha tidak akan
berhasil

You might also like