You are on page 1of 8

Kanak-kanak bukan warganegara, tanpa dokumen boleh ke sekolah kerajaan jika

penuhi syarat ini – KPM


PUTRAJAYA - Kanak-kanak bukan warganegara dan tanpa dokumen boleh diterima masuk
ke sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan namun perlu memenuhi beberapa
syarat.
Timbalan Pengarah Sekolah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Pesol Md Saad
berkata, syarat ketat akan dikenakan ke atas kanak-kanak ini, rentetan status mereka.
Jelasnya, terdapat empat kategori kanak-kanak bukan warganegara yang boleh bersekolah
di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan.
“Kategori itu adalah anak kakitangan kedutaan asing, anak yang ibu bapanya bukan
warganegara tetapi bekerja dalam perkhidmatan atau agensi kerajaan, badan berkanun
atau mana-mana tempat lain dengan permit kerja sah.
“Anak yang ibu bapanya adalah pemastautin tetap Malaysia atau kanak-kanak yang dipilih
kerajaan untuk melanjutkan pelajarannya di Malaysia melalui mana-mana memorandum
persefahaman atau perjanjian antara Kerajaan Malaysia dan kerajaan negara kanak-kanak
itu,” katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan, kelmarin.
Sementara itu menyentuh mengenai dokumen diperlukan sebelum kanak-kanak ini diterima
masuk ke sekolah, Pesol berkata, ia perlu disertakan bersama borang permohonan Jadual
Pertama P.U.A (275), sijil lahir mereka atau kad pengenalan, pasport mereka dan ibu bapa.
“Jika ibu bapa kanak-kanak ini bekerja di negara ini, ibu bapa perlu mengemukakan pas
pengajian, pas tanggungan, surat majikan yang telah disahkan, pas pelajar dikeluarkan oleh
Jabatan Imigresen dan membuat bayaran fi di Unit Kewangan, Jabatan Pendidikan Negeri
berkenaan,” katanya.
Syarat bagi anak tanpa dokumen
Bagi kanak-kanak tanpa dokumen, pemohon perlu mengemukakan kad pengenalan ibu atau
bapa yang warganegara Malaysia, mempunyai surat pengesahan atau surat perakuan sama
ada daripada Ahli Parlimen, Adun, pegawai daerah, penghulu, ketua kampung, ketua kaum
atau ketua rumah panjang tempat tinggal kanak-kanak tersebut.
Menurut Pesol, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak itu diberi tempoh dua tahun untuk
menguruskan dokumen pengenalan diri atau membuat permohonan kewarganegaraan
kanak-kanak itu dengan mengemukakan satu salinan kepada Jabatan Pendidikan Negeri
bagi tujuan rekod.
“Kanak-kanak ini boleh ditamatkan persekolahan jika ibu atau bapa atau penjaga gagal
mengemukakannya kepada Jabatan Pendidikan Negeri dalam tempoh tersebut,” katanya.
Jelasnya, borang permohonan Jadual Pertama P.U.A (275) persekolahan kanak-kanak itu
perlu dikemukakan di Unit Perhubungan dan Pendaftaran, Jabatan Pendidikan Negeri atau
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berhampiran.
Tegas beliau, kanak-kanak berkenaan perlu bayar yuran pengajian sebelum diterima masuk
ke sekolah.
“Kanak-kanak ini perlu bayar yuran ditetapkan Kementerian Pendidikan sebanyak RM120
untuk sekolah rendah dan RM240 untuk sekolah menengah selama setahun.
“Bayaran boleh dibuat di Unit Kewangan Jabatan Pendidikan Negeri berkenaan sebelum
diterima masuk ke sekolah,” katanya.
Mengenai status ibu bapa kanak-kanak bukan warganegara yang tidak bekerja dalam
perkhidmatan atau agensi kerajaan atau badan berkanun tetapi mempunyai permit kerja
sah, ibu bapa kanak-kanak itu perlu mengemukakan pas pengajian kategori I bergaji
RM10,000 ke atas dengankontrak minimum dua tahun atau pas penggajian kategori II yang
bergaji RM5,000 hingga RM9,999 dengan kontrak kurang dari dua tahun, yang
membenarkan mereka membawa tanggungan sepanjang tempoh bekerja di negara ini.
Anak angkat boleh bersekolah
Ada beberapa kategori lain kanak-kanak bukan warganegara boleh ke sekolah sekiranya
memenuhi syarat ditetapkan, antaranya kanak-kanak bukan warganegara yang telah diambil
oleh warganegara Malaysia sebagai anak angkat, kanak-kanak bukan warganegara hasil
perkahwinan tidak mengikut undang-undang Malaysia iaitu bapa adalah warganegara dan
ibunya bukan warganegara.
Ini termasuk kes kanak-kanak tanpa dokumen, dengan salah seorang ibu atau bapanya
warganegara.
"Mengenai keperluan dokumen bagi kategori ini, pemohon perlu kemukakan Sijil
Pengangkatan atau Perintah Mahkamah hak penjagaan kanak-kanak itu atau Surat Akuan
Penjagaan Kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Bagi kanak-kanak bukan warganegara hasil perkahwinan tidak mengikut undang-undang,
pemohon perlu kemukakan Sijil Pengangkatan, Perintah Mahkamah atau surat perakuan
daripada Ahli Parlimen, Adun, pegawai daerah, ketua kampung, ketua kaum atau ketua
rumah panjang tempat kanak-kanak itu tinggal,” katanya.
Maszlee: Kemasukan murid tanpa kerakyatan tak jejas murid tempatan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memberi jaminan inisiatif membenarkan kanak-
kanak tanpa kerakyatan mendaftarkan diri di sekolah kerajaan tidak akan menjejaskan
peluang dan kemudahan persekolahan murid tempatan di seluruh negara.
Menterinya, Maszlee Malik berkata kementerian itu sentiasa bertanggungjawab
menyediakan prasarana dan infrastruktur pendidikan yang mencukupi bagi menampung
keperluan murid sekolah kerajaan termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Saya mengambil maklum akan kekhuatiran yang dibangkitkan berhubung inisiatif ini tetapi
saya ingin jelaskan ia berkaitan mereka (murid) yang tidak ada dokumen berkenaan tetapi
anak kepada warga Malaysia atau salah seorang ibu bapanya merupakan rakyat Malaysia,”
katanya dalam sesi Pertanyaan Menteri Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) yang ingin tahu usaha
kerajaan supaya inisiatif kanak-kanak tanpa kerakyatan boleh bersekolah mulai 2019 itu
tidak menjejaskan kemudahan dan proses pembelajaran murid tempatan terutama di Sabah.
Menjelas lanjut, Maszlee berkata kementerian menerima kanak-kanak yang tidak
mempunyai dokumen lengkap seperti sijil lahir atau kad pengenalan untuk ke sekolah aliran
kebangsaan dengan syarat ibu atau bapa perlu mengemukakan surat pengesahan atau
perakuan ketua kampung bahawa kanak-kanak tersebut merupakan anak mereka.
Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak itu juga perlu berusaha menguruskan dokumen
pengenalan diri yang diperlukan dengan hadir ke Jabatan Pendidikan negeri masing-masing
untuk tujuan tersebut.
Menteri itu berkata ketika ini kementerian juga sedang giat melaksanakan sesi libat urus
dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen
Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara bagi mendapat maklum balas selaras dasar dan
peruntukan perundangan yang diamalkan agensi berkenaan serta pendirian mereka
berhubung inisiatif tersebut.
Menerusi sesi libat urus, Maszlee berkata pihaknya menjangka akan memperoleh maklumat
dan senario sebenar berhubung isu akses pendidikan golongan kanak-kanak berkenaan.
Katanya, kementerian juga akan menganalisis maklumat dan data yang diperoleh hasil libat
urus tersebut dan dapatan yang diperoleh akan dijadikan asas dan justifikasi kukuh dan
komprehesif untuk menyelesaikan isu akses pendidikan kepada kanak-kanak tersebut tanpa
menjejaskan keperluan dan kebajikan murid warganegara yang belajar di sekolah kerajaan
dan sekolah bantuan kerajaan.
Kerana guru bukan kerani
Sejak hari pertama saya diamanahkan, salah satu fokus utama saya adalah untuk
memastikan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan.
Mendidik anak-anak harus dijalankan dengan penuh kasih sayang supaya dapat
menanamkan perasaan cinta pada ilmu pengetahuan. Pekerjaan yang mulia dan bermakna
ini seharusnya tidak menjadi sebuah pekerjaan yang menyakitkan dan membebankan.
Oleh hal yang demikian, kementerian sedang berusaha keras untuk mengembalikan tugas
hakiki para guru iaitu mendidik dan mengajar. Atas dasar itulah kita telah berjaya mengenal
pasti punca tugas-tugas perkeranian yang mengganggu tugas utama guru, yang tidak lagi
relevan malah perlu dimansuhkan. Hal ini dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan
dari akar umbi; iaitu para guru yang mengajar di sekolah.
Untuk memastikan tujuan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, kementerian mempunyai
perancangan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang. Untuk perancangan jangka
masa pendek, mulai Januari 2019, sembilan (9) intervensi telah digariskan untuk
dilaksanakan oleh pihak Kementerian, JPN, PPD dan sekolah untuk mengurangkan beban
tugas guru. Sembilan (9) intervensi tersebut telah dipecahkan kepada lima (5) inisiatif.
Bagi inisiatif pertama iaitu memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, sebanyak tiga (3)
intervensi akan dilaksanakan iaitu memudahkan pengurusan:
1.1. Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT),
1.2. Fail panitia dan
1.3. Pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Bagi pengurusan SPBT, Kementerian akan menambah baik proses perekodan yang mana
guru tidak perlu menulis perolehan, pengurangan bilangan fail, pengisian maklumat secara
softcopy dan lain-lain. Makluman telah diedarkan kepada semua penyelia SPBT JPN untuk
dipanjangkan ke PPD dan Sekolah manakala taklimat skala besar ke seluruh negara akan
bermula pada Februari 2019.
Bagi pengurusan fail panitia, pihak sekolah diberi autonomi dalam menentukan bilangan fail
panitia dan bentuk dokumen tersebut disimpan sama ada salinan digital (softcopy) atau
salinan keras (hardcopy) berdasarkan keperluan dan kesesuaian sekolah.
Bagi pelaporan PBD, cetakan hanya perlu dilakukan berdasarkan keperluan sekolah.
Panduan pelaksanaan PBD juga telah dimuat naik ke laman sesawang Bahagian
Pembangunan Kurikulum (BPK).
Pengurusan data dan sistem 'online'
Bagi inisiatif kedua iaitu pengurusan data dan sistem online, sebanyak dua (2) intervensi
akan dilaksanakan iaitu:
1.1. Segala pengumpulan dan perolehan data sekolah, guru dan murid hendaklah diambil
dari sumber data sedia ada yang terdapat di dalam sistem-sistem yang diperaku dan
digunapakai oleh semua pihak di KPM.
1.4. Di samping itu, Sistem Kehadiran Murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya bagi
merekod kehadiran murid. Dalam hal ini, guru tidak lagi perlu mengisi buku Jadual
Kedatangan Murid. Bagi sekolah yang tiada kemudahan capaian Internet, kehadiran murid
boleh direkod secara manual dalam Jadual Kedatangan Murid.
Bagi inisiatif ketiga iaitu sesuai dengan pemansuhan Peperiksaan Tahap 1, sekolah boleh
merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan
keperluan murid di sekolah.
Pihak sekolah hendaklah mengenal pasti murid Tahap 1 yang mengalami kesukaran untuk
menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta menyediakan intervensi
(pemulihan) yang bersesuaian di peringkat sekolah.
Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Akhir Tahun Murid Tahap 1 di sekolah rendah
termasuk Murid Keperluan Khas (MBK) digantikan dengan pentaksiran yang lebih objektif
dengan melihat kepada perkembangan murid secara lebih menyeluruh dan berterusan
termasuk amalan nilai-nilai murni yang berbentuk rutin harian.
Bagi inisiatif keempat iaitu penyeragaman borang dan proses pemantauan, sebanyak dua
(2) intervensi akan dilaksanakan untuk memastikan guru tidak lagi terbeban untuk mengisi
borang kebersihan, keselamatan & penarafan kantin iaitu
Semua pengusaha kantin dikehendaki mengisi Borang Penarafan Kendiri Kantin dan
pengesahan dibuat oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) sahaja
Manakala Borang Prestasi Perkhidmatan Kontraktor Pembersihan dan Keselamatan
diuruskan oleh kontraktor dan akan dikawal selia serta disahkan oleh Pengetua/Guru Besar
atau Penolong Kanan sahaja. Dalam hal ini juga, tiada lagi apa-apa tambahan borang dan
aktiviti berunsurkan pertandingan yang diselaraskan di peringkat JPN atau PPD.
Bagi inisiatif kelima iaitu penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah,
intervensi yang akan dilaksanakan akan memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak
berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.
Intervensi yang akan dilaksanakan untuk mengurangkan beban guru ialah Jawatankuasa
Kurikulum Sekolah diperkasakan dan semua perkara berkaitan pembelajaran, sahsiah,
keselamatan dan kesihatan murid akan dibincangkan dalam JK ini.
Pemansuhan jawatankuasa
Maka, semua jawatankuasa yang diwujudkan atas inisiatif sekolah berkaitan pembelajaran,
sahsiah, keselamatan dan kesihatan murid hendaklah dimansuhkan.
Lima inisiatif ini merupakan langkah pertama untuk meningkatkan kualiti pengajaran,
manakala langkah kedua pula melibatkan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi
memastikan guru-guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran yang terbaik.
Terima saya ucapkan kepada semua guru yang mengambil peluang memberikan
pandangan dan maklum balas berkaitan cara terbaik untuk meringankan beban guru,
khususnya persatuan guru NUTP yang memberikan komitmen untuk menjayakan inisiatif ini.
Benarkah guru terbeban kerja?
SELAIN isu beg sekolah dan kasut hitam, isu bebanan kerja guru turut mendapat perhatian
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. Beliau membayangkan bahawa mulai awal tahun
hadapan, beban kerja guru akan berkurangan.  
Sebuah jawatankuasa khas akan mengkaji beban kerja guru dan jawatankuasa tersebut
dijangka membuat perakuan tentang langkah-langkah yang perlu diambil untuk
mengurangkan beban kerja guru.  
Tujuan yang baik ini harus disokong. Cuma, sejauh manakah guru masa kini amat terbeban
dengan kerja yang banyak? Persoalannya, benarkah guru terbeban dengan banyak kerja?
Disebabkan guru terbahagi kepada beberapa kategori, guru kategori manakah yang
terbeban itu? Apakah jenis kerja yang membebankan guru? Dan soalan terakhir yang perlu
dijawab ialah siapakah yang memberikan bebanan kerja kepada guru? Semua soalan ini
perlu dijawab secara profesional bukan berdasarkan ‘dengar cakap’ sahaja.
Secara dasarnya, semua guru mesti melaksanakan tugas hakikinya iaitu guru mesti
mengajar, termasuklah pengetua dan guru besar.  Rata-rata guru biasa atau guru penolong
akan mengajar antara 24 hingga 30 waktu seminggu manakala pengetua dan guru besar
perlu mengajar sekurang-kurangnya enam waktu seminggu manakala penolong kanan
pentadbiran, hal ehwal murid dan kokurikulum pula waktu mengajarnya 12 hingga 18
seminggu.  
Semua guru mesti menjalankan tugas hakiki ‘mengajar’ kerana tugas itu adalah merupakan
kelayakan ikhtisas mereka. Hal inilah membezakan profesion guru dengan profesion bukan
guru.
Berbalik kepada tiga soalan di atas, jelas bahawa guru atas tugas hakikinya mengajar
tidaklah terkategori sebagai terbeban kerana tugas mengajar mengikut jadual masa yang
ditetapkan itu merupakan tugas rasmi yang membolehkannya mendapat gaji bulanan
ditetapkan.  
Selain mengajar, guru juga perlu menanda kehadiran, membentuk disiplin dan menjaga
kebajikan murid sepanjang murid berada dalam kawalan guru di sekolah. Guru juga terlibat
dalam aktiviti kokurikulum dan menjalankan kelas tambahan atau bimbingan pada waktu
petang termasuk pada hari Sabtu.
Walau bagaimanapun, Kementerian Pendidikan seperti juga kementerian-kementerian yang
lain, tidak dapat mengelak daripada penggunaan aplikasi secara ‘online’ dalam
penghantaran atau penerimaan maklumat melalui internet.  
Maklumat boleh diakses secara cepat dan komprehensif misalnya secara emel melalui
pelbagai sistem yang diwujudkan oleh bahagian-bahagian di bawah Kementerian
Pendidikan. Dengan adanya sistem ‘online’, maka adalah kerja tambahan untuk guru. Guru-
guru perlu menghadap komputer bagi mengisi data yang diperlukan mengikut jadual masa
ditetapkan.  
Adakah semua guru terlibat dengan tugas-tugas perkeranian ini dan adakah tugas itu perlu
dibuat pada setiap hari? Sebenarnya bukanlah semua guru terlibat bagi penghantaran data
dan bukan pula perlu dihantar secara harian. Kebanyakannya hanya perlu diisi dan dihantar
secara berkala seperti sebulan sekali atau dihantar apabila diperlukan sahaja.  
Jika demikian, kenapakah kita mengatakan guru terbeban dengan banyak kerja
perkeranian? Apatah lagi di setiap sekolah, khususnya ada guru data yang boleh membantu
yang waktu mengajarnya 12 waktu sahaja dalam seminggu.
Sesungguhnya, bebanan kerja boleh dikaitkan dengan prestasi kerja guru. Ada guru
mendakwa dia tidak dapat menumpukan tugas pengajaran kerana terbeban dengan tugas
perkeranian. Ada juga guru mengatakan mereka mengalami tekanan perasaan atau stres
akibat  terlalu banyak kerja perlu dibuat.   
Menteri Pendidikan sendiri menyatakan lebih 2,000 guru sedang mengalami stres hingga
beliau bercadang mahu menambah bilangan kaunselor organisasi di pejabat pendidikan
daerah. Benarkah dakwaan prestasi kerja menurun dan stres berpunca daripada beban
kerja atau pun disebabkan oleh faktor-faktor peribadi guru itu sendiri.
Guru adalah manusia biasa maka guru juga tidak terkecuali dengan masalah-masalah
peribadi yang menjejas prestasi kerja dan mengalami stres akibat masalah kewangan,
rumah tangga, kesihatan dan sebagainya.
Bebanan tugas di luar skop hakiki
Tidak pasti ramai sedar, pendidik juga paling ramai ‘berpisah’ dengan keluarga dan terpaksa
berjauhan dengan orang tersayang, terutama anak dan isteri atau suami.
Kajian penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati 71.1 peratus guru di Kuala
Lumpur dan Selangor mengalami tekanan, dengan guru wanita dua kali ganda lebih ramai
berbanding lelaki.
Guru dikatakan terbeban dengan kelas yang ramai murid, malah tugas lain seperti
perkeranian yang terpaksa dibuat turut menambah beban hakiki. Itu belum masuk kajian
dijalankan di peringkat universiti.
Itu pada peringkat guru. Bagi pensyarah pula, mereka turut mengalami tekanan kerana
golongan ini juga terbeban dengan pelbagai tugasan selain mengajar.
Skop kerja pensyarah juga banyak. Selain kerja hakiki meliputi pengajaran, penyeliaan
penulisan penerbitan dan perundingan, pensyarah perlu memastikan petunjuk prestasi
utama (KPI) tercapai sepanjang masa.
Pensyarah juga mesti menjadi ahli jawatankuasa tertentu dalam fakulti dan bekerja tidak kira
masa. Adakalanya sehingga malam dan bekerja pada hari cuti hujung minggu. Ini semua
antara faktor menyumbang kepada tekanan dan berisiko menyebabkan kemurungan.
Menyentuh kemurungan, ia boleh dihidapi sesiapa sahaja. Namun, ada sebab tertentu
membuatkan seseorang itu mengalami kemurungan.
Realisasikan tugas hakiki guru
JAMINAN Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa guru di negara ini bakal bebas
daripada beban tugas perkeranian yang akan direalisasikan selewat-lewatnya awal tahun
depan, pastinya satu kelegaan buat seluruh warga pendidik tanah air.
Sudah sekian lama, kita mendengar rungutan mereka bagaikan semakin hilang fokus
terhadap tugas hakiki kepada pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di sekolah,
disebabkan pelbagai beban tambahan yang ada kalanya dilihat bukan menjadi keutamaan.
Mungkin ada yang beranggapan kerja pentadbiran yang perlu dilakukan guru bukan berat
manapun, tetapi jangan kita lupa semua tugas terpaksa diuruskan menuntut sebahagian
besar masa mereka.
Bayangkan jika waktu yang diambil bagi melakukan tugas tambahan itu sepatutnya
diperuntukkan kepada mengajar dalam kelas, pasti akan menyebabkan kerugian kepada
murid. Belum lagi mengambil kira masa peribadi mereka untuk bersama keluarga di rumah,
termasuk pada hujung minggu.
Jika diimbas mengenai janji bahawa guru tidak lagi akan dibebani tugas perkeranian
sebenarnya sudah sering dilakukan Menteri Pendidikan yang silih berganti sejak sekian
lama, sehingga bertukar tampuk pemerintahan kerajaan. Namun, isu ini belum benar-benar
menampakkan penyelesaian sebenar.
Kita mengharapkan jaminan kali ini biarlah yang terakhir dan tidak menerima nasib sama
seperti mana janji yang pernah dibuat sebelum ini.
Tugas sampingan jadi keutamaan
Timbalan Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia
Cawangan Johor, Datuk Jemale Paiman, menjelaskan ada banyak lagi tugas lain perlu
diberikan keutamaan oleh guru dalam membuat persiapan PdPc seperti rancangan
pengajaran harian.
Malah, masalah bebanan tugas ini seharusnya sudah lama menemui jalan penyelesaian
kerana kajian demi kajian sudah dilaksanakan kementerian terbabit yang diterajui beberapa
menteri terdahulu, namun belum ada pengakhiran kepada masalah itu.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan perlu ada pembantu guru yang ditempatkan di
sekolah sebagai tambahan kepada kakitangan sokongan sedia ada dalam membantu
menyelesaikan tugas tambahan yang wujud.
Persatuan itu pernah mencadangkan supaya pembantu guru dilantik dalam kalangan bekas
guru sendiri supaya tugas membantu menjadi lebih mudah, memandangkan kebanyakan
mereka berpengalaman dan tahu apa yang perlu dilakukan.
“Jika mahu ditawarkan kepada lulusan sekolah atau universiti pun perlu pastikan mereka
diberikan latihan jangka pendek supaya lebih faham dengan tugas yang akan dilaksanakan,”
katanya.
Beliau mengakui tugas tambahan yang terpaksa dilakukan kebanyakan guru hari ini nampak
agak remeh dan tidak terlalu berat, sebaliknya menuntut waktu mereka yang sepatutnya
ditumpukan kepada mengajar di kelas atau meluangkan masa bersama-sama keluarga.
Kurangkan hal remeh
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengharapkan Kementerian
Pendidikan untuk mengurangkan lebih banyak perkara remeh dalam hal membabitkan tugas
perkeranian seperti pengisian borang secara dalam talian, selain pengendalian program
tertentu yang dianggap tidak perlu.
Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berpendapat dengan meminimumkan borang yang
perlu dikendalikan golongan pendidik, diharapkan beban tugas mereka dapat dikurangkan
dalam usaha memperkasa kerjaya keguruan dengan memastikan guru mampu memberi
fokus tugas mendidik dan mengajar di kelas.
Beliau menjelaskan memang menjadi keperluan untuk menempatkan pembantu guru,
terutama di sekolah terpilih yang memiliki bilangan pelajar yang ramai atau melebihi 2,000
murid, biarpun kementerian seboleh mungkin turut melihat alternatif lain yang tidak akan
membabitkan soal kewangan.
Sebagai cadangan awal, pihaknya berasakan sekurang-kurangnya dua pembantu guru
diperlukan bagi jika sekolah memiliki bilangan murid yang agak ramai, sebagai tambahan
kepada kakitangan sokongan sedia ada.
Cadangan untuk menambahkan bilangan kerani di sekolah juga antara usaha diharapkan
mampu mengatasi masalah bebanan tugas perkeranian guru, tetapi pihaknya tidak melihat
keperluan untuk menawarkan peranan itu kepada bekas guru.
Masalah dihadapi kebanyakan guru ialah terlalu banyak dokumentasi yang dianggap
sebagai remeh dan perlu diselesaikan di sekolah.
Kamarozaman berkata, itu belum termasuk pelbagai program yang dilihat bertindih dan
perlu disertai guru terbabit sehingga mengabaikan tugas hakiki mereka mendidik di kelas.
Hilangkan tekanan guru
Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
berharap jaminan menteri pendidikan itu bukan sahaja dilihat mampu meningkatkan mutu
PdPc di sekolah, tetapi lebih penting dapat membantu menghilangkan banyak tekanan
dihadapi golongan pendidik.
Presidennya, Datuk Azih Muda menyatakan CUEPACS pernah menyuarakan beban dan
tekanan yang terpaksa ditanggung kumpulan pendidik di negara ini, selain keperluan
pembantu guru dalam usaha menangani pelbagai urusan tambahan sehingga mengabai
tumpuan tugasan hakiki.
Seperti kata Maszlee sendiri, amat merugikan apabila kemahiran dan kepakaran guru tidak
dioptimumkan bagi tujuan mengajar, sebaliknya dibebankan dengan tugas perkeranian.
Zaman kegemilangan guru perlu dikembalikan supaya mereka bukan sahaja boleh dianggap
‘wira’ dalam kalangan murid dan pelajar, tetapi terus berada di tempat yang cukup mulia
serta menjadi sanjungan anak didik mereka.

You might also like