You are on page 1of 11

BUDAYA SEKOLAH : PENGENALAN

Definisi Budaya
Menurut Deal dan Peterson(1999), John(2010) dan Garatt(1990), budaya ialah entiti
keseluruhan yang kompleks. Ia merangkumi aspek-aspek seperti pengetahuan, kepercayaan,
kesenian, moral, undang-undang, norma, adat resam dan kemahiran-kemahiran lain serta
kebiasaan yang diwarisi ataupun diperoleh dan diaplikasi di dalam kehidupan. Kesemua
elemen ini adalah penting dalam menghuraikan sesuatu perkara ataupun perlakuan (Deal dan
Petterson, 1999). Manakala, menurut Ma‟rof Redzuan dan rakan-rakan (2001) pula
menghuraikan budaya sebagai fabrik masyarakat yang mengikat ahli-ahli masyarakat dan
institusinya melalui set matlamat dan nilai yang disediakan oleh budaya masyarakat itu
sendiri. Ia juga lebih dikenali sebagai concensual dan holistic (menyeluruh).

Definisi Budaya Sekolah


Maksud budaya sekolah menurut Banks dan Banks(1993), Deal dan Peterson (1998) ialah
sistem sosial yang mempunyai budaya yang tersendiri. Ia terdiri dari norma institusi, struktur
sosial, kepercayaan, nilai, simbol, tradisi, matlamat dan tujuan yang tersendiri untuk
membentuk organisasi tersendiri. Berdasarkan kajian Budaya Sekolah Rendah: Hubungannya
Dengan Kepemimpinan, Komitmen Organisasi Dan Pencapaian Akademik oleh Yaakob,
2007. Menurut Hopkins (2005), kajian-kajian menunjukkan salah satu faktor penghalang
kepada pencapaian sekolah ialah budaya organisasi sekolah. Justeru, reformasi pendidikan
harus memberi fokus kepada budaya terlebih dahulu sekiranya mutu pendidikan hendak
ditingkatkan. Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum,
bentuk bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah
unsur budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah
(Bolman & Deal, 1991; Huberman, 1992; Sharifah Md Nor, 2000). Memandangkan budaya
dibentuk oleh warganya, maka budaya boleh berubah dan orang yang paling berpengaruh
untuk mengubah dan mencorakkan budaya sekolah ialah kepemimpinan sekolah (Deal &
Peterson, 1999; Sergiovanni, 2000).
Sifat budaya sekolah
Melalui definisi-definisi di atas, terdapat beberapa sifat yang dapat kita pastikan dalam
membentuk budaya sekolah. Setiap sifat dan dalam rangkaian budaya mempunyai fungsi dan
peranan serta pengertian yang tersendiri yang menjadi asas sekolah. Maksud yang tersirat
dalam sifat-sifat budaya sekolah menurut Shatar Sabran (2001) adalah seperti simbol, norma
yang terdiri daripada Mores dan resam, nilai, kepercayaan dan ritual, bahasa, tradisi dan
perayaan, konvensi dan andaian dan pengetahuan.

Faktor-faktor yang mempengaruhi budaya sekolah


Daripada yang kita ketahui, setiap sekolah mempunyai budaya yang tersendiri yang
membentuk sistem yang tersendiri. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi dalam
membentuk budaya sekolah. Antara faktor-faktornya ialah nilai dan misi, struktur organisasi,
komunikasi yang berkesan, persekitaran kerja, pemilihan dan pengambilan pekerja,
perancangan kurikulum, belanjawan dan pengurusan sumber, sistem nasihat dan disiplin dan
komuniti.

Definisi visi, misi dan nilai


Visi ialah tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan
dengan perkembangan masa depan dan sebagainya (Kamus Dewan Edisi Empat). Visi juga
merupakan matlamat sekolah yang berorientasikan pencapaian. Misi ialah memberi arah tuju
dan tujuan sekolah yang nyata. Ia adalah cara merancang pelan operasi bagi mencapai objektif
dan sasaran oleh masyarakat sekolah. Nilai adalah bagaimana sifat-sifat dapat dicapai.

Nilai dan visi mempengaruhi budaya sekolah.


Budaya sekolah merupakan elemen yang penting dalam sesebuah sekolah dan dipengaruhi
oleh nilai dan kepercayaan yang menjadi asas dam visi sekolah. Selain itu, struktur dan sistem
sekolah membolehkan sekolah memilih cara bagaimana ia menjalankan aktiviti visi. Visi
sekolah terdapat dalam pernyataan dasar sekolah yang timbul daripada nilai dan kepercayaan
sekolah. Visi dan misi sangat penting di dalam sesebuah sekolah, ini merupakan matlamat
sekolah dan hala tuju sekolah sesebuah sekolah. Visi dan misi mempunyai ciri-ciri yang
tersendiri dalam membentuk wawasan sekolah dan merupakan pemangkin setiap warga
sekolah untuk mencapainya. Oleh itu, nilai dan visi merupakan pengaruh yang penting dalam
membentuk budaya sekolah dan tanggungjawab warga sekolah untuk mencapainya. Ini
adalah kerana nilai dan visi adalah cermin sesebuah sekolah tersebut.
BUDAYA SEKOLAH : MEWUJUDKAN IKLIM SEKOLAH YANG POSITIF

IKLIM & PERSEKITARAN SEKOLAH

Sudah menjadi fitrah setiap manusia yang cinta akan sesuatu yang cantik, bersih dan ceria.
Begitulah juga dengan pelajar-pelajar sekolah yang memerlukan persekitaran sekolah yang
baik bagi merangsang pembentukan jiwa yang tenang dan aman dalam menimba ilmu
pengetahuan. Jadi tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan sekolah amat menekankan
aspek iklim dan persekitaran sekolah yang baik. Mana mungkin pelajar dapat belajar dengan
tenteram sekiranya persekitaran sekolahnya kucar kacir, kotor, berbau dan bising. Di tambah
pula dengan hubungan antara pelajar dengan guru yang sentiasa tegang, guru yang tidak
mesra, sikap pelajar yang nakal dan suka bergaduh. Hal ini boleh menyumbang ke arah
pemerosotan prestasi pelajar, masalah ponteng dan disiplin pelajar yang sukar untuk
dibendung kesan daripada iklim dan persekitaran sekolah yang negatif. Pusat Perkembangan
Kurikulum (1981) mendefinisikan „iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana
keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang
lancar‟. Sebuah sekolah boleh mengalami iklim positif dan negatif (Smith, 1995). Pada
kebiasaanya, sebuah sekolah yang iklimnya dianggap positif mempunyai ciri-ciri fizikal
sekolah yang bersih dan menarik, hubungan sosial yang baik antara semua warga sekolah
serta suasana kerja yang produktif. Manakala iklim negatif atau tertutup lazimnya mempunyai
keadaan sekolah yang kucar-kacir, kurang selamat, tidak tenteram dan teratur, malah sering
menghadapi konflik dan masalah disiplin (Mok Soon Sang, 2003).

Usaha untuk mewujudkan suatu iklim yang sihat amat penting dalam membina
sekolah yang berkesan. Salah satu aspek penting dalam iklim persekolahan adalah faktor
keceriaan. Menurut Kamus Dewan, ceria dapat diertikan sebagai sesuatu yang cantik, bersih,
suci dan murni dalam sesuatu ruang atau kawasan tertentu. Manakala menceriakan bermaksud
menjadikan sesuatu ruang atau kawasan tertentu kelihatan ceria, bersih, dan cantik dengan
mengindahkannya, memurnikan, menyucikan serta mendidik dan memelihara. Oleh hal yang
demikian, semua warga sekolah patut berganding bahu dalam mewujudkan iklim sekolah
yang positif dengan mengindahkan kawasan sekolah seperti menanam pokok-pokok bunga,
memelihara kebersihan, melukis mural yang sesuai serta menghiasi bilik darjah dengan
pelbagai bahan pengajaran yang menarik (Abdullah Sani bin Yahya, 2007). Sekiranya
keceriaan sekolah tidak dijaga, hal ini akan mewujudkan suasana sekolah yang „mati‟ dan
membosankan apabila kita menjejakkan kaki ke kawasan sekolah tersebut. Dengan keadaan
sekolah yang tidak teratur, rumput-rumput tumbuh meliar dan panjang, kereta dan basikal
yang tidak tersusun, bilik darjah, tandas dan makmal yang kotor, cermin-cermin tingkap yang
penuh dengan debu, longkang yang tersumbat dan berbau busuk serta kawasan sekolah yang
penuh dengan sampah sarap. Iklim sekolah yang sebegini akan mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolah seterusnya menggambarkan bagaimana sikap dan
budaya negatif warga sekolah tersebut.

Pada amnya, iklim dan persekitaran sekolah akan membawa pengaruh yang penting
terhadap pembentukan tingkah laku, imej mental, aspirasi dan interaksi sosial bagi anggota-
anggota di dalamnya (Abdullah Sani bin Yahya, 2007). Terdapat kajian yang menunjukkan
bahawa sekolah yang berpencapaiaan tinggi mempunyai tahap keceriaan yang lebih baik
berbanding sekolah yang persekitarannya kurang ceria (Mohd Redzauddin bin Ismail, 2008).
Oleh hal yang demikian, suasana dan iklim sekolah adalah amat penting dalam membantu
pelajar untuk belajar dengan tenteram dan selesa. Selain itu, apabila kawasan persekitaran
sekolah yang cantik dan ceria, pelajar tidak akan jemu untuk hadir ke sekolah lagi kerana
merasa bahagia berada di kawasan sekolah. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan masalah
ponteng sekolah dalam kalangan pelajar malah masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan
kerana emosi pelajar tidak terganggu. Dalam masa yang sama, sesebuah sekolah yang cantik
dan menarik pasti akan mendapat pujian daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa pelajar
yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka akan bertambah yakin dengan pihak
pentadbiran sekolah yang mampu mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi
membantu proses pembelajaran anak-anak mereka.

Sememangnya sudah menjadi impian untuk setiap warga sekolah untuk menjadikan
sekolah masing-masing yang terbaik di antara yang terbaik. Tetapi tidak dinafikan terdapat
halangan-halangan tertentu dalam merealisasikan hasrat tersebut. Salah satu halangan tehadap
melaksanakan sesuatu projek keceriaan biasanya timbul daripada masalah kewangan. Dalam
hal ini, semua pihak patut bekerjasama termasuklah, pengetua, guru-guru, staf-staf sekolah,
para pelajar dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pihak sekolah perlu berusaha
mencari penaja, pelajar pula boleh menjalankan kutipan derma melalui program-program
tertentu, guru-guru pula membantu para pelajar menjalankan program-program amal. Selain
itu, gotong-royong secara berkala, pertandingan keceriaan kelas, membersihkan kawasan
sekolah 5 minit sebelum kelas bermula, mampu memastikan kebersihan dan keceriaan kelas
di tahap yang baik. Kadang kala halangan untuk mewujudkan budaya cinta akan kebersihan
dan keceriaan sekolah adalah berpunca daripada segelintir guru dan para pelajar yang enggan
memberikan kerjasama. Oleh itu, sikap dan gaya kepimpinan pihak pengurusan sekolah yang
berwibawa seharusnya mampu menangani halangan ini dengan sebaiknya. Sekiranya iklim
dan persekitaran sekolah dalam keadaan yang bersih dan ceria, sudah pasti motivasi dan
prestasi pelajar dapat ditingkatkan ke tahap yang optimum seterusnya mewujudkan budaya
sekolah yang positif.

BUDAYA SEKOLAH : FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHINYA

Faktor Kepimpinan Sekolah


Menurut Porth (2000), budaya sesebuah sekolah banyak dipengaruhi oleh sikap
pemimpinnya. Pemimpin yang akan menentukan matlamat dan hala tuju sekolah tersebut.
Pemimpin yang bersemangat tinggi , sedar tanggungjawab beliau kepada staf, murid, ibubapa
dan masyarakat , sedar tanggungjawab kepada bangsa dan masyarakat sudah tentu akan
memainkan peranan untuk membentuk budaya kerja yang cekap dan seterusnya budaya
sekolah yang cemerlang. Pemimpin sekolah perlu memastikan keperluan semua guru dan
aspek kesediaan di ambil perhatian. Usaha untuk membentuk budaya sekolah gaya
kepimpinan juga perlu berubah dari autokratik kepada distributif. Pemimpin yang
mengamalkan perkongsian kepimpinan akan melihat keupayaan, kebolehan subordinatnya
sebagai satu aset untuk membentuk budaya kerja profesional dan prestasi tinggi. Hussein
Mamood (1993), mengatakan kejayaan dan kegagalan sesebuah sekolah di Malaysia banyak
bergantung kepada pihak sekolah iaitu guru besar, guru-guru tetapi kepimpinan guru besar
adalah dikenalpasti sebagai pemboleh ubah yang penting sekali yang mempengaruhi kualiti
dan kuantiti hasil sekolah.

Disokong kajian Huber (2004) sekolah yang diklasifikasikan sebagai berjaya


mempunyai pemimpin sekolah yang kompeten dan sebaliknya sekolah yang tidak berjaya,
tidak mempunyai pemimpin sedemikian. Lewis dan rakan-rakan (2008), mencadangkan lima
set amalan yang membentuk teras asas amalan kepimpinan yang berjaya iaitu menetapkan
hala tuju, membangunkan keupayaan manusia, mereka bentuk semula organisasi, mengurus
program pembelajaran, dan perilaku kepimpinan. Pertama, menetapkan hala tuju organisasi di
mana pemimpin yang menetapkan hala tuju yang jelas akan memberikan impak kepimpinan
yang besar. Terdapat banyak masalah yang timbul sekiranya pemimpin sekolah tidak
menjalankan peranannya dan menyerahkan tanggungjawab beliau di sekolah kepada pekerja-
pekerja di bawahnya. Fenomena ini akan membentuk satu budaya kerja yang tidak cekap dan
selaras. Kerjasama antara staf sukar dibentuk kerana setiap orang mempunyai pelbagai
pendapat. Pelbagai masalah akan timbul sekiranya ketua dalam organisasi tersebut tidak
memainkan peranan beliau.

Faktor Kepimpinan Guru


Dalin (1993) juga menyarankan individu yang pertama perlu berubah dalam pembentukan
sesebuah budaya ialah guru. Kesediaan guru untuk berubah mencari, belajar dan menguasai
ilmu baru akan meningkatkan keupayaan, kebolehan, kredibiliti guru untuk merubah budaya
pembelajaran murid secara keseluruhannya. Kebiasaannya, pelajar menjadikan guru sebagai
“role model ” mereka kerana mereka menganggap guru sebagai golongan yang berpendidikan
dan berfikiran jauh ke hadapan. Stolp (1995), kepimpinan guru dapat mempengaruhi pelajar
ke arah situasi pembelajaran yang menggalakkan serta membentuk cara budaya pelajar yang
sesuai. Tambahan pula, pengaruh guru terhadap pelajar sangat besar sehinggakan kadangkala
kepercayaan yang diberikan oleh pelajar kepada mereka tinggi berbanding daripada ibu bapa
sendiri.

Menurut Bath(2001) guru adalah pemimpin yang berperanan sebagai agen perubahan.
Guru melakukan perubahan ke atas sekolah dan bilik darjah. Selain itu, guru juga memainkan
peranan sebagai pemimpin, inventor, pengajar, pengurus dan fasilitator kepada pelajar.
Melalui peranan-peranan tersebut, secara tidak langsung guru dapat menggabungkan elemen
budaya seperti nilai, norma, bahasa, kepercayaan, simbol, pengetahuan dan lain-lain. Apabila
sifat budaya yang diterapkan oleh guru menjadi ikutan pelajar, maka amalan ini akan
membina budaya sekolah

Faktor Disiplin Sekolah


Abdullah Sani Yahaya (2003), budaya sekolah amat berkait rapat dengan disiplin sekolah.
Jika budaya sekolah baik, maka wujudlah disiplin yang baik dengan zero defect dalam semua
aktiviti pendidikan, iaitu tiada masalah P&P, tiada konflik, tiada pelanggaran disiplin, tiada
masalah keceriaan sekolah dan sebagainya. Terdapat banyak masalah disiplin yang sering
dilakukan oleh pelajar. Salah laku yang ditunjukkan oleh pelajar banyak ragam seperti datang
lambat ke sekolah, ponteng kelas, mencalarkan kereta guru, tidak memakai lencana sekolah
dan tidak menghormati guru. Semuanya melibatkan masalah disiplin yang kecil dan masih
boleh diperbaiki di mana boleh dikatakan pelajar ini adalah pelajar nakal. Tetapi berlainan
pula dengan kes memukul guru, mengugut bunuh, merokok, menghisap dadah atau ganja,
merompak dan banyak lagi yang belum didedahkan. Kebiasaannya, apabila pelajar terlibat
dengan masalah disiplin akan menyebabkan mereka hilang minat untuk belajar apatah lagi
memikirkan masa depan.

Menurut Tajul Ariffin (1990), masalah kemerosotan akhlak dan disiplin pelajar sering
ditimbulkan. Masalah ini sekaligus membawa gambaran negatif kepada sistem pelajaran kita.
Punca utama masalah ini ialah penekanan konsep pelajaran yang keterlaluan kepada isi
pelajaran, lulus periksa, pengkhususan yang terhad dan menumpukan kepada perkembangan
intelek dan kemahiran semata-mata. Persoalan pembinaan sikap, akhlak dan disiplin
diabaikan. Jadi, pelaksanaan disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk
mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa dan harmonis. Sekolah mempunyai suasana
disiplin yang teratur tanpa perlu membina peraturan ketat, tenang tanpa penindasan yang
secara amnya adalah selesa untuk suasana proses pembelajaran. Ibrahim Mamat (2001),
proses penyerapan disiplin yang dilaksanakan perlu mengambil kira 4 perkara iaitu matlamat,
corak, kaedah dan kesan. Matlamat akhir yang ditekankan ialah mewujudkan pelajar
seimbang yang serasi dengan masyarakat dan bukan yang mengenetepikan segala nilai dan
norma yang dianuti.

KEPENTINGAN BUDAYA SEKOLAH

Peranan budaya sekolah memang tidak dapat dinafikan lagi, budaya sekolah banyak memberi
pengaruh dan impak kepada warga sekolah terutamanya dari segi pencapaian, emosi dan juga
tingkah laku. Kemajuan dan pencapaian sekolah dapat ditingkatkan melalui penglibatan,
kerjasama dan juga kepercayaan. Menurut (Comer, 1980) pendidik perlu bekerjasama bagi
melahirkan sekolah yang produktif dan seronok dihuni. Research for Better School telah
melakukan kajian pada 200 buah sekolah cemerlang di Amerika Syarikat dan telah
menyenaraikan beberapa ciri budaya yang dimiliki oleh sekolah-sekolah tersebut iaitu sekolah
menyediakan kemudahan-kemudahan yang maksimum kepada pelajar, kurikulum berfokus
kepada isi kandungan dan kemahiran, kepimpinan menyediakan visi dan sumber, guru-guru
disediakan dengan sumber-sumber yang mencukupi dan sekolah tidak menerima sebarang
alasan (Yahya bin Don, Aziah Ismail, Yaakob Daud, 2006). Semua ciri-ciri ini mempunyai
hubungan dengan budaya sekolah yang positif dan seimbang.

Yahya bin Don, Aziah Ismail, Yaakob Daud (2006) menyatakan kepentingan budaya
sekolah dijelaskan dan diperkukuhkan lagi oleh The Southwest educational Laboratory
(SEDL) iaitu membantu usaha menambah baik sekolah bagi pelajar yang berisiko,
menyediakan fokus dan tujuan sekolah yang jelas kerana budaya menjadi gam yang mengikat
ahli bersama bagi menjayakan misi sekolah, budaya juga boleh menjadi penghalang kepada
kejayaan sekolah dan budaya boleh mewujudkan penindasan dan diskriminasi kepada sub
kumpulan dalam sekolah, sekolah yang menginginkan kemajuan perlu memberi fokus kepada
nilai-nilai, kepercayaan-kepercayaan dan norma-norma serta persekitaran dan juga perlu
menitikberatkan perubahan yang fundamental. Kepentingan tentang budaya di sekolah juga
telah dipersetujui dan diperkukuhkan lagi dengan Stolp (1995) yang menjelaskan budaya
sekolah yang sihat mempunyai hubungan yang kuat dengan pencapaian akademik dan
motivasi, produktiviti dan kepuasan guru. Selain itu kepentingan budaya sekolah juga
terbukti melalui kajian demi kajian yang menunjukkan sekiranya budaya sekolah tidak
menyokong pembaharuan yang diperkenalkan, pembaharuan itu akan gagal.

BUDAYA SEKOLAH MENGHALANG KEPADA SESUATU PERUBAHAN


Namun di sebalik kepentingannya, budaya sekolah juga boleh menjadi penghalang kepada
perubahan yang ingin dilakukan jika perubahan tersebut tidak selari dengan budaya yang telah
sedia wujud. Patterson, Purkey dan Parker (1986) menjelaskan budaya sekolah akan
memberikan kesan terutamanya kepada tingkah laku dan pencapaian pelajar di sekolah rendah
dan menengah, budaya sekolah tidak turun dari langit tetapi ia dibentuk dan dimanipulasikan
oleh orang dalam sekolah, budaya adalah unik, justeru tidak mungkin sesebuah sekolah
mempunyai budaya yang sama dengan budaya yang lain, menyediakan fokus dan tujuan yang
jelas, budaya menjadikan ikatan antara warga sekolah demi memenuhi misi sekolah.

FAKTOR PENGHALANG PEMBENTUKAN BUDAYA SEKOLAH

Selain itu, terdapat juga beberapa perkara yang menjadi penghalang kepada pembentukan
budaya yang baru di sekolah di antaranya ialah sesuatu budaya yang telah wujud memang
sukar untuk diubah, disiplin penghalang besar kepada kejayaan sekolah, bekerja dengan orang
yang terpaksa dan birokrasi pendidikan menghalang pendidikan awam berkembang serta
terdapat guru yang menyatakan bahawa mereka telah melakukan yang terbaik di dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu juga, Patterson, Purkey dan Parker (1986)
menyatakan bahawa terdapat beberapa andaian yang selalu dilakukan oleh warga pendidik
yang menjadi penghalang kepada pembentukan baru budaya di sekolah iaitu sistem sekolah
dipandu oleh matlamat yang sama, kuasa dalam sistem sekolah terletak di pihak atasan
(mereka menafikan perkongsian kuasa), alternatif ataupun modifikasi kepada penyelesaian
masalah tidak dicari, untuk setiap masalah hanya ada satu penyelesaian dan mempercayai
bahawa masyarakat tidak banyak membantu sistem sekolah dan menafikan peranan ibu bapa
di sekolah. Semua andaian-andaian ini telah mempengaruhi tindakan warga sekolah dan
menjadikan sekolah mundur.

Justeru itu Patterson, Purkey dan Parker (1986) telah memberikan beberapa saranan
bagi membaiki andaian-andaian tersebut iaitu kuasa di sekolah perlu diagihkan kepada segala
lapisan organisasi, keputusan yang dibuat adalah satu proses tawar-menawar ke arah mencari
penyelesaian yang terbaik dan memuaskan ramai pihak, masyarakat sebenarnya amat
berpengaruh dan kadangkala dengan cara yang tidak dijangka serta pelbagai cara yang
digunakan oleh guru bagi mengajar dengan berkesan.

Kesimpulannya, Bart (2002) menjelaskan segala inovasi dengan meletakkan budaya


sebagai piawai yang tinggi tidak banyak membawa kejayaan kecuali pentadbir dan guru
berusaha mengubah budaya sekolah. Segala inovasi dan piawai yang ditetapkan haruslah
perlu disesuaikan dengan elemen-elemen yang telah sedia ada supaya budaya dan matlamat
sekolah dapat bergerak dengan seiring selaras dengan impian sekolah.

BUDAYA SEKOLAH : MERANCANG KURIKULUM

Isu utama dalam merancang kurikulum di sekolah menengah adalah sejauh mana kurikulum
dapat disampaikan dan pembelajaran murid dikendalikan oleh seorang guru di sebuah bilik
darjah. Disebabkan pendekatan sekolah adalah berstrukturkan pasukan, maka unsur paling
penting yang perlu diserahkan sebagai tanggungjawab individu adalah kawalan kelas ke atas
masanya (Burnham,2004). Disebabkan pendekatan sekolah adalah berstrukturkan pasukan,
maka unsur paling penting yang perlu diserahkan sebagai tanggungjawab individu adalah
kawalan kelas ke atas masanya. Oleh yang demikian, jadual waktu yang terkawal perlu
disusun bagi mengelakkan sebarang masalah. Kementerian Pendidikan Malaysia telah
mengarahkan semua sekolah di seluruh negara menggunakan jadual waktu anjal berdasarkan
Surat Pekeliling Bil. 01/1995 (Abdullah Sani,2003).

Pelaksanaan jadual waktu yang terkawal dapat membantu keberkesanan P&P. Antaranya;
1. Proses pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan berupaya mencapai matlamatnya
kerana peruntukan masa yang mencukupi untuk satu-satu mata pelajaran dalam setiap hari.
2. Mengurangkan pembaziran waktu ketika guru bergerak dari satu kelas ke satu kelas yang
lain. Faktor taburan dan reka bentuk bangunan yang mengambil kira jarak jauhnya, juga
bangunan yang bertingkat-tingkat malah daripada bilik guru sendiri dapat berlaku pembaziran
masa.
3. Peruntukan 2 hingga 3 waktu bagi satu mata pelajaran dapat memberikan ruang masa yang
cukup bagi menghuraikan satu-satu topik yang hendak diajar dan menjadikan pengajaran dan
pembelajaran lebih berkesan.
4. Dapat mengurangkan kekerapan pelajar yang suka keluar dari kelas sewaktu pertukaran guru.

Namun begitu pelaksanaan dan keberkesanan yang akan terhasil bergantung kepada
kebijaksanaan pemimpin sekolah semasa menyusunnya.

Sekolah-sekolah di Malaysia mempunyai persamaan daripada segi, kurikulum, bentuk


bangunan, kelayakan guru, dan prasarana. Namun yang membezakan sekolah ialah unsur
budaya sekolah dan unsur inilah yang dikatakan penentu pada keberkesanan sekolah
(Bolman & Deal, 1991)

Contoh budaya sekolah yang dibentuk oleh sesebuah sekolah untuk memperkasakan
kurikulum sekolah;
• Memanjangkan waktu persekolahan: Sebuah sekolah di Boston iaitu Clarence Edwards
Middle School
• Membina budaya membaca di Parkdale Midle School
• SMKA(P) Kangar: Program 10 Minit Bersama Buku
Namun begitu, perancangan yang berkualiti sahaja tidak cukup jika pelaksanaannya tidak
menampakkan satu budaya yang jelas dan difahami oleh semua ahli komuniti. Sebagai contoh
di Sekolah Clarence Edwards Middle School, sekolah ini telah melaksanakan segala
perancangan yang telah dibincang bersama dan perubahan yang dilakukan melibatkan
kesemua ahli komuniti sekolah. Terdapat sepuluh kunci yang telah ditekankan oleh mereka
dalam mengorak perubahan dan sebahagian daripadanya adalah;

1. Sekolah mesti peruntukkan lebihan masa yang banyak iaitu sekurang-kurangnya 300 jam
setahun, kira-kira 1 jam 45 minit.
2. Mesti bersatu padu dan sepakat untuk menggubal semula jadual waktu.
3. Sekolah mesti mengutamakan dan fokus kepada pembelajaran lebih masa seperti yang
dijanjikan bersama untuk memberi manfaat kepada pelajar.
4. Sekolah perlu mengubah jadual untuk semua pelajar supaya tiada pelajar merasakan bahawa
dirinya berada dalam „tahanan‟.
5. Pelajar di dalam kelas perlulah mempunyai tahap akademik yang setara, guru pula perlu
mahir dalam bidang yang diajar serta kumpulan tutor dalam saiz yang kecil atau
perseorangan.
6. Sekolah perlu melibatkan guru yang efektif
7. Sekolah mestilah mengubah kepercayaan dan tingkah laku guru dan pelajar.

Dalam masa tiga tahun, sekolah ini akhirnya dapat mengubah prestasi sekolah jauh lebih baik
dari sebelumnya dan sekolah ini telah menjadi ikutan sekolah lain untuk melanjutkan waktu
pembelajaran. Jelasnya, sesebuah sekolah dapat melonjak jauh sekiranya setiap ahlinya
bersedia melakukan perubahan untuk membina budaya sekolah baru selari dengan matlamat
mereka yang jelas.

You might also like