You are on page 1of 19

BINCANGKAN PENGLIBATAN IBU BAPA DI SEKOLAH, APAKAH FAKTOR

KEBAIKAN, HALANGAN DAN KESUKARAN


DALAM PERKONGSIAN TERSEBUT.

oleh
Mohamad Nasir bin Abu
Rafizi bin Omar
Zulkhairi bin Ramli

PENDAHULUAN
Mengikut rekod tahun 2013 Kementerian Pelajaran Malaysia, di negara kita ada
7743 buah sekolah rendah dengan 72967 orang guru lelaki dan 167099 orang guru
perempuan. Sejumlah 2344 buah sekolah menengah dengan 55548 guru lelaki dan
122532 guru perempuan. Bilangan murid Prasekolah lelaki 97158 murid dan 94784
murid perempuan. Bilangan murid tahun satu hingga tahun enam di sekolah rendah pula
ialah seramai 1411082 murid lelaki dan 1332067 murid perempuan manakala di sekolah
menengah seramai 1134792 orang murid lelaki dan 1144378 orang murid perempuan.

Sesungguhnya dengan angka atau bilangan ini sahaja telah dapat memberikan
gambaran yang sangat jelas kepada kita tentang kepentingan Institusi Pendidikan kepada
masyarakat. Maka sudah pasti sekolah adalah sebagai satu sistem sosial yang tersendiri
dan menjadi tumpuan serta agen perubahan masyarakat serta terpaksa juga turut sama
mengikut perubahan masyarakat. Ini kerana masalah yang berlaku dalam masyarakat
pasti juga akan memberi kesan dan menjadi masalah kepada sekolah juga. Setiap orang
dalam masyarakat mesti secara langsung mahupun tidak akan terlibat dengan sekolah.

Masyarakat hari ini melihat sekolah sebagai tempat penting dan mempunyai
peranan untuk memberi input terbaik kepada anak-anak mereka untuk berjaya dalam
setiap ujian atau peperiksaan malah anak mereka berjaya mendapat kerjaya yang baik dan
berjaya dalam hidup. Sebilangan besar dikalangan waris mengharapkan sekolah
mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang beradap sopan atau berakhlak mulia
malah mentaati agama walaupun sebenarnya perkara ini adalah tanggungjawab mereka
sebagai ibubapa. Apapun persepsi atau harapan waris kepada sekolah, sebenarnya guru-
guru sudah pun bergerak ke arah tersebut malah Falsafah Pendidikan Negara dengan
jelas menghuraikan apakah hasrat atau Visi dan Misi negara kita terhadap aset (murid-
murid) yang ada di sekolah seluruh negara tanpa prejudis sama ada luar bandar, dalam
bandar atau pendalaman, sekolah Kebangsaan, sekolah menengah atau sekolah Jenis
Kebangsaan juga sekolah swasta.

Harapan besar daripada waris kepada sekolah kadang-kadang menjadi bebanan


kepada guru dan sering timbul isu ibu bapa atau masyarakat tidak berpuashati dengan
sekolah. Apa pun perkara ini wujud atau berlaku lebih kepada salah faham dan buruk
sangka sebelah pihak. Maka dalam hal ini, tidak dapat tidak masyarakat perlu berlapang
dada dan perlu bekerjasama dengan sekolah untuk mencapai cita-cita sekolah,
masyarakat dan negara. Malahan institusi pendidikanlah yang memberikan
perkhidmatan yang paling rapat dan berpanjangan kepada hampir semua golongan
masyarakat. Timbulnya isu-isu pendidikan yang dipaparkan di dada-dada akhbar secara
tidak bertanggungjawab atau lebih kepada provokasi dan tuduh menuduh boleh
mempengaruhi masyarakat untuk turut sama mencari kesalahan guru atau sekolah.
sedangkan ianya hanyalah persepsi atau sekadar melayan nafsu amarah terhadap insan
yang bergelar “GURU”. Tidak dapat dinafikan, daripada sejumlah 240,066 orang guru
di sekolah rendah dan sejumlah 178,080 di sekolah menengah sudah tentu ada kelemahan
dan kekurangan serta sikap yang dingin, kurang ajar, tidak berdisplin dan melampau serta
bertindak secara tidak wajar dan tidak rasional serta bersikap professional terhadap ibu
bapa dan murid kerap juga berlaku . Kalaulah perkara sebegini yang seumpama perpatah
melayu, “seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit lumpur” atau “kerana
setitik nila rosak susu sebelanga” hendak diperbesar-besar dan masing-masing tidak
mahu mengalah dan mengubah sikap maka sudah tentu bangsa dan negara kita akan terus
“malap” dan terkebelakang malah tidak mustahil akan huru-hara dan kembali terjajah.
Oleh itu penglibatan masyarakat dalam bentuk perkongsian yang harmonis dan
bersepadu perlu dipupuk dan digembleng bagi kepentingan bersama dan menjayakan
hasrat serta aspirasi yang diimpikan oleh semua masyarakat termasuklah ibu bapa, guru,
murid dan Jabatan Pelajaran serta kerajaan negara kita. “Bulat air kerana pembentung,
Bulat kata kerana muafakat”. “ Bersatu kita teguh berceria kita roboh”. Tidak syak lagi
mahu atau tidak mahu, demi negara yang tercinta ini kita mesti berusaha bersungguh-
sungguh ke arah pemuafakat atau perkongsian ini. Hayatilah pantun dan sajak karya
Usman Awang yang sudah pasti tidak dapat kita nafikan lagi tentang jasa seorang “guru
biasa” bertajuk
“Guru oh Guru”
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi.
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
Tidakkah sajak ini dapat merungkai keegoan kita bahawa guru di sekolah samada
di bandar, luar bandar, pendalaman, perkampungan orang asli, sekolah elit, sekolah biasa
atau di mana-mana sahaja merupakan orang yang bertanggungjawab menjadikan kita
insan yang kita miliki wataknya pada hari ini. pasti ungkapan:-
“Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa”
“sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa”,
“Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca”.
Oleh hal yang demikian marilah kita sama-sama berlapang dada untuk
membersihkan semua tohmahan terhadap guru walaupun kekadang berita tersebut benar,
kerana punca kejadian tersebut lazimnya berlaku adalah untuk memastikan murid mahu
belajar dan menjadi yang terbaik dan lazimnya juga perkara tersebut terjadi kerana
“stress dan provokasi” daripada ibu bapa atau murid itu sendiri, maka kesabaran guru
yang dalam keadaan perlu menangani dan mengatasi masalah secara segera menjadi tidak
sabar dan hilang punca. Sebagai orang yang pernah berdamping rapat dan dekat dengan
insan bergelar “guru” maka apa salahnya kita semua mengambil tanggungjawab untuk
rapat dengan sekolah dan membantu serta member kerjasama sepenuhnya terhadap
program yang diatur oleh guru-guru di sekolah.

Menurut Yang Berbahagia Dato Hj. Abdul Rafie Bin Mahat, Mantan Ketua
Pengarah Pendidikan Malaysia di dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Pengukuhan Dan
Peningkatan Kualiti Pendidikan Dan Profesionalisme Keguruan” menyatakan:
“Hubungan tiga dimensi iaitu sekolah, rumah dan komuniti perlu diberi penekanan.
Ketiga-tiga entiti ini perlu ada hubungan yang mantap dan akrab kerana kejayaan
sistem pendidikan negara bergantung kepada sejauhmana ketiga-tiga elemen ini dapat
berfungsi, saling melengkapi dan bantu membantu antara satu sama lain. Pihak
pengurusan sekolah boleh memainkan peranan utama dalam merapatkan hubungan
antara rumah dan komuniti melalui pelbagai cara selain daripada yang diketahui umum
iaitu melalui PIBG”.
(Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 5, 2004)
Saranan Mantan Ketua Pengarah itu dengan jelas menyatakan bahawa sesebuah
institusi pendidikan tidak boleh wujud bersendirian. Hubungan tiga dimensi yang
disebut oleh beliau menerangkan bahawa permuafakatan dan perkongsian bijak penting
untuk membawa kejayaan kepada sesebuah institusi pendidikan pada masa kini.

Selain itu perkongsian pintar atau bijak adalah satu gabungan strategik yang
membawa faedah sinergi kepada semua pihak yang terlibat. Dalam konteks kita di
sekolah, perkongsian pintar berlaku apabila ibu bapa, agensi-agensi kerajaan dan swasta
berkongsi kepakaran, mengguna pakai pengalaman atau produk dalam sesuatu bidang
yang telah terbukti berjaya dan sesuai.Semua kekangan dan halangan atau salah faham
jangan dibiarkan berpanjangan tanpa cuba ditangani dan diperbetulkan.

Firman Allah dalam surah Al-Ma‟idah ayat dua bermaksud :


“Dan bertolong-tolonglah kamu atas kebijaksanaan dan taqwa. Dan janganlah kamu
bertolong-tolongan dalam dosa atau permusuhan”.

-Surah Al-Furqan ayat 74 bermaksud “Ya Allah, anugerahkan kepada kami pasangan
kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin
bagi orang yang bertakwa”.
Al-Qur‟an seterusnya dengan tegas mengingatkan ibubapa akan tugas mereka .
Surah al-Tahrim ayat 6 bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman perliharalah diri
kamu dan keluarga kamu dari api neraka”
Surah al-Anfal ayat 28- Ibubapa diingatkan supaya berwaspada dengan keluarga dengan
firmannya bermaksud “Sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah
ujian” ujian yang menguji ibubapa

Menurut Betty Boult (Donald, 1978), seorang Pembantu Superintenendent di


Coquitlam, British Columbia:
“In many schools, parents are welcomed as equal partnerships in their child‟s education.
Educators at such institutions believe that making education a meaningful experience for
students requires partnerships, education is a shared trust”.

Sebenarnya konsep perkongsian dalam pendidikan merupakan konsep lama yang


telah diperbaharui daripada amalan-amalan yang telah biasa diamalkan dalam masyarakat
kita seperti gotong-royong, kerjasama dan tolong-menolong. Malah masyarakat lain di
dunia ini seperti Cina, Jepun dan India juga telah mengamalkan sikap bekerjasama
sehingga terhimpunlah dan digambarkan melalui madah, unggapan, bidalan atau
perumpamaan yang menggambarkan kebaikan dan kepentingan mengamalkan semangat
bekerjasama.
Di kalangan masyarakat Melayu, unggapan yang biasa kita dengar „seperti aur
dengan tebing‟, „bukit sama didaki, lurah sama dituruni‟. Di kalangan masyarakat Cina
madah seperti „semua manusia adalah saudaraku, semua makhluk adalah sahabatku‟.
Sementara di kalangan masyarakat Jepun pula, „persaudaraan adalah perlindungan yang
paling mahal‟. (Aminah Hamim & Gunawan Mahmood, 2001)
(Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 5, 2004)

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang dilancarkan


baru-baru ini khasnya untuk memartabatkan pendidikan di negara kita melalui
Tranfomasi Pendidikan dengan tiga gelombang menerusi sebelas anjakan. Hubungan
dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas dinyatakan dalam anjakan ke
sembilan. Melalui anjakan ini kementerian berhasrat untuk mengembeling tenaga dan
berusaha mendekatkan waris dengan sekolah serapat mungkin dan mendedahkan kepada
waris contoh-contoh terbaik untuk memudahkan waris berinteraksi dengan sekolah
melalui dokumen yang disedia serta diedarkan kepada ibu bapa melalui “Sarana PIBG”
dan “Sarana Sekolah”. Apa yang berlaku sekarang Ibu bapa hanya datang ke sekolah
apabila dijemput untuk “hari-hari” tertentu sahaja contohnya Hari Pelaporan, Hari Sukan
dan datang ketika ada masalah disiplin di sekolah sahaja.

Kementerian berhasrat untuk melihat dan mengajak masyarakat mempertingkatkan


penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta dalam pembelajaran anak-anak mereka
dan mempunyai tanggung jawab bersama bagi:-

1. Memastikan pembelajaran berkualiti untuk murid dapat disempurnakan


termasuk di rumah dengan memberi sokongan, galakan, dorongan dan
menyediakan pasarana dan peluang serta suasana belajar di rumah dengan
mengurungkan sebanyak mungkin halangan dan pengaruh luar terutama
media elektronik yang menjadi punca mereka(murid-murid) membuang masa
tanpa berfaedah.
2. Meningkatkan kesedaran ibu bapa dalam membantu pembelajaran murid
khasnya melalui pembelajaran tidak langsung seperti lawatan, keterlibatan
dengan aktiviti ko akdemik, kokurikulum, aktiviti sekolah dan aktiviti
masyarakat.
3. Memperluas peranan ibu bapa sebagai rakan sekolah dalam meningkatkan
keberhasilan anak-anak mereka.
4. Mendapat kerjasama secara sukarela daripada pertubuhan dalam komuniti
untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan dan memberi manafaat kepada
sekolah
5. Menggalakkan penglibatan murid dalam pertubuhan dan aktiviti komuniti
serta mendapat pengajaran penting melalui proses tersebut.

Pendekatan dan langkah-langkah promosi yang dianjurkan oleh Kementerian


Pelajaran melalui sekolah merupakan usaha mengukuhkan semula segala aktiviti-aktiviti
dan program yang berunsurkan kerjasama untuk kebaikan bersama yang telah wujud dan
diamalkan dalam agama dan budaya masyarakat kita diteruskan, diperbaiki dan
dimantapkan lagi. Ia perlu menjadi usaha yang berterusan supaya dapat menangkis
semua ancaman-ancaman yang sangat negatif dan boleh mengancam keharmonian
hubungan sekolah, ibu bapa dan sektor swasta dalam era globalisasi ini. Kalau tidak
dikukuhkan ikatan perpaduan ini, maka pasti sekolah akan bergerak bersendirian tanpa
sokongan masyarakat malah menjadi untuk diterjemahkan dengan hasil yang baik atau
cemerlang sebagaimana diharapkan oleh semua orang.

Rajah di bawah menjelaskan bagaimana hubungan tiga dimensi antara sekolah,


ibu bapa dan komuniti dalam mencapai matlamat atau objektif yang sama. Ia juga boleh
disebut sebagai hubungan tiga penjuru
SEKOLAH

MATLAMAT

WARIS KOMUNITI

Apakah Matlamat Perkongsian Di Peringkat Sekolah?


Mengikut C. Bernard (1938) dalam bukunya yang berjodol „The Functions Of
The Executives‟ menjelaskan: „Bahawa pentadbir perlu menggunakan sepenuhnya
sumber yang ada dan mendapat sokongan daripada ahli sistem sosial di sekolah dan
masyarakat luar‟.
Dalam usaha mencapai cita-cita sekolah dan negara, konsep perkongsian dalam
pendidikan (hubungan ibu bapa dengan sekolah) cuba mencapai matlamat supaya ibu
bapa dapat mengambil berat terhadap pelajaran dan sahsiah anak-anak mereka di sekolah.
Permuafakatan dan kerjasama daripada waris atau ibu bapa sekaligus akan menunjukkan
keperihatinan mereka terhadap usaha membentuk dan mendidik generasi masa kini untuk
cemerlang dunia dan akhirat. Selain itu pihak sekolah memerlukan masyarakat untuk
memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan masalah-masalah seperti disiplin,
kesihatan, kebajikan dan lain-lain, seterusnya apabila sikap buruk dan semua masalah
dapat ditangani maka kecemerlang akademik dan sahsiah akan terhasil.

Dalam hal ini, pendekatan, cara, hubungan dan kerjasama yang hendak dibina di
sekolah-sekolah dalam bandar dan di sekolah-sekolah di luar bandar pasti berbeza kerana
suasana kehidupan bandar yang semakin kompleks sifatnya dan luar bandar yang masih
ketinggalan menyebabkan sekolah sebagai institusi sosial memerlukan masyarakat ikut
serta program yang dirancang dan mahu dilaksanakan.

Melalui perkongsian sekolah dan masyarakat juga, kita boleh membetulkan


srtuktur kekeluargaan yang semakin negatif, mengejar kebendaan dan bersikap
individualistik serta tidak memperdulikan masyarakat sekeliling mereka. Sekurang-
kurangnya sekolah membantu menjadi tempat untuk ibu bapa berkenal-kenalan dan
melakukan aktiviti yang berfaedah serta hasilnya berfaedah juga kepada anak-anak
mereka. Keadaan ini kalau tidak berjaya diwujudkan ianya akan melemahkan lagi
peranan pihak sekolah untuk menangani pelbagai isu yang berlaku atau akan berlaku
secara bersendirian dan sudah pastilah hasilnya mendukacitakan semua pihak dan
sekolah akan dilihat gagal menjadi tempat yang boleh membina tamadun anak bangsa
dan menjayakan wawasan Negara kita terutama dalam semangat “1 MALASIA” yang
dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato‟ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul
Razak.
Sesungguhnya matlamat yang berkaitan dengan konsep “perkongsian” ini adalah
ke arah memberi kefahaman kepada semua pihak bahawa:-
• Sekolah sebagai sebuah institusi sosial tidak wujud bersendirian. Oleh itu
permuafakatan bersama masyarakat penting dalam membawa kejayaan.
• Mewujudkan permuafakatan dan perkongsian pintar yang mantap dan akrab antara
pihak sekolah, rumah dan komuniti supaya sistem pendidikan mencapai kejayaan.
• Penglibatan masyarakat amat penting dalam membentuk dan mendidik generasi masa
depan.
• Masyarakat dapat menjayakan hasrat murni ini melalui sumbangan idea, tenaga, bahan
atau wang ringgit,sokongan moral dan sebagainya.
• Sekolah sebagai sebuah institusi sosial yang kompleks, perlu difahami oleh masyarakat
dengan menghampirinya,menyertainya dan terlibat aktif dengan aktiviti yang dianjurkan
supaya tidak timbul keraguan dan salah faham.
• Cabaran-cabaran yang melanda masyarakat kita pada masa kini, terutamanya aksi
globalisasi memerlukan keperihatinan dan permuafakatan antara pihak sekolah dan
komuniti dalam menangani dan mengatasinya agar anak-anak kita tidak menjadi mangsa
kerakusan agenda pihak tidak bertanggung jawab..

Konsep „Smart Community‟ dan „Smart Partnerships‟ boleh dilaksanakan dipelbagai


peringkat seperti:
• Di dalam sekolah – sesama warga sekolah
• Di antara sekolah,contohnya sekolah rendah dengan sekolah rendah sekolah menengah
berasrama penuh atau Maktab Rendah Sains Mara dengan sekolah harian biasa. Sekolah
luar bandar dan bandar. Sekolah swasta dengan sekolah kerajaan. Sekolah dengan
institusi pendidikan tinggi dan zon pendidikan lain
• Bersama pihak PIBG – ibu bapa / penjaga
• Bersama masyarakat setempat atau masyarakat luar
• Bersama dunia korporat

Perkongsian bijak ini boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan cara. Peranan
dan kerjasama yang dibuat atau dijayakan mestilah berdasarkan perancangan rapi dan
keikhlasan semua pihak yang menjayakan program atau hubungan tersebut. Bentuk
kerjasama tersebut meliputi sumber kewangan, alatan dan barangan, sumber manusia dan
kepakaran, sokongan moral, nilai komersial, sokongan politik, malah perangsang atau
motivasi serta tiada celaan atau kritikan yang mereuntuhkan moral sekolah khasnya guru-
guru sudah memadai bagi menjayakan hasrat murni ini.

Apa yang menjadi persoalan ialah walaupun konsep perkongsian adalah baik untuk
diterapkan dan dilaksanakan di peringkat sekolah, namun apakah konsep tersebut dapat
dilaksanakan di semua sekolah di seluruh negara, sama ada di kawasan bandar, luar
bandar atau pedalaman? Apakah semua peringkat perkongsian dapat dilaksanakan di
sekolah-sekolah seluruh negara dengan latar belakang, sosio budaya, pemikiran dan
tahap ekonomi yang berbeza-beza? Apakah pelbagai bentuk perkongsian dapat
dilaksanakan dengan jayanya di sekolah-sekolah seluruh negara? Apakah peringkat dan
bentuk perkongsian bijak yang lebih dominan bagi sesebuah sekolah di sesuatu kawasan,
daerah, mukim, kampung atau pedalaman.

Beberapa persoalan pasti timbul untuk difikirkan bersama, sama ada konsep
perkongsian akan boleh dilaksanakan di sekolah-sekolah sebenarnya memerlukan
perancangan yang begitu teliti dan perlu kepada muhasabah semua pihak. Sebagai
contohnya jika terdapat penyertaan ibu bapa atau penjaga dalam program-program di
sekolah di kawasan pedalaman, apakah penyertaan mereka secara aktif atau pasif,
jikapun penyertaannya ramai? Manakala di kawasan bandar, jika mereka aktif, adakah
jumlah mereka pula ramai? Bagi syarikat-syarikat korporat yang begitu aktif di kawasan
bandar utama, bolehkah mereka terlibat dalam program perkongsian bijak di sekolah-
sekolah di kawasan pedalaman. Jenis penglibatan ibu bapa yang membantu
perkembangan murid adalah seperti memberi sumbangan atau derma contohnya:-
sumbangan kewangan, makanan, pakaian sukan, alatan sukan, alat bantu mengajar, alat
permainan, alat tulis, buku rujukan dan buku latihan. Selain daripada itu waris perlu
melibatkan diri secara aktif di sekolah contohnya dalam program yang dianjurkan seperti
gotong royong, sukaneka, Hari Kantin, Ceramah Perdana dan lain-lain lagi.Penglibatan
mereka dalam program sebegini sudah pasti mengembirakan sekolah(guru), murid dan
menarik masyarakat lain untuk turut meramaikan majlis dan memberi sumbungan. Ibu
bapa juga boleh terlibat dengan cara memberi bantuan kepakaran yang mereka ada untuk
dikongsi bersama. Mereka boleh menjadi guru secara sukarela bagi membantu mendidik
anak-anak mengikut kepakaran yang mereka ada. Sekiranya sekolah mengadakan
kegiatan luar sekolah, ibu bapa boleh bertindak sebagai pengawal, pendamping atau
fasilitator. Dalam hal ini ibu bapa boleh bertindak sebagai jurulatih, pendamping,
motivator, pendorong dan sahabat kepada anak-anak dan guru di sekolah anak-anak
mereka. Secara tidak langsung keselamatan anak-anak mereka terjamin dalam program
luar seperti ini. Hubungan ini sudah pasti sesuatu yang amat bermakna dan membantu
menjayakan anak-anak mereka dalam pelajaran dan sahsiah yang mulia malah sikap
terpuji ini akan dipandang mulia oleh sekolah, masyarakat lain serta anak-anak mereka
sendiri.
Apabila memikirkan tentang penyertaan yang menyeluruh untuk semua sekolah
di seluruh negara pastinya terdapat kekangan atau halangan yang memungkinkan
kelewatan untuk pelaksanaan perkongsian tersebut.

Antara kemungkinan halangan yang boleh menyekat aktiviti perkongsian di peringkat


sekolah adalah:
• Masa – Tidak semua komuniti sekolah, pihak ibu bapa dan masyarakat yang dapat
menyertai setiap kegiatan yang dianjurkan oleh pihak sekolah memandangkan masing
masing mempunyai kerja atau komitmen sendiri yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
• Jarak lokasi – bagi sekolah yang terletak di kawasan luar bandar atau pedalaman
mungkin agak sukar untuk dihubungi, malah tidak mudah untuk menjayakan sesuatu
rancangan yang memerlukan kerjasama pihak luar.
• Pentadbir Yang Kurang Aktif – Konsep ini hanya akan berjaya jika pihak pengurusan
sekolah yang terdiri daripada Pengetua/Guru Besar, Penolong Kanan pentadbiran,
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Penyelia Petang atau Guru, ketua bidang memainkan
peranan aktif untuk melaksanakan program yang boleh memberi peluang pihak ibu bapa
dan komuniti terlibat sama. Jika mereka tidak bersungguh-sungguh maka komuniti luar
tidak akan bersama mereka.
• Kelonggaran „teamwork‟ dikalangan warga sekolah – Apabila pelbagai aktiviti telah
dirancang oleh pihak pengurusan sekolah, adakah pihak warga sekolah turut menyertai
dan menyokong supaya program dapat dijalankan dengan licin.
Kekangan dan halangan ini juga boleh diperincikan lagi kepada tiga pecahan utama iaitu
masalah melibatkan ibu bapa, melibatkan guru dan melibatkan murid seperti berikut:-
a. Ibu bapa:
i. Kebanyakan ibu bapa mempunyai tahap pelajaran yang rendah dan terlalu sibuk
dengan tugas mencari nafkah.
ii. Ibu bapa meletak tanggungjawab mendidik anak-anak mereka 100% kepada guru.
iii. Ibu bapa kurang memberi keutamaan kepada masalah persekolahan dan pendidikan
anak-anak mereka.
iv. Ibu bapa tidak mahu hadir ke sekolah berjumpa dan berbincang dengan guru atau
berunding dengan guru berkaitan dengan pelajaran anak-anak mereka.
v. Ibu bapa beranggapan menghadiri upacara rasmi sekolah sebagai perkara membuang
masa.
vi. Kebanyakan ibu bapa berasa rendah diri dan beranggapan mereka tidak setaraf
dengan guru.
vii. Kebanyakan ibu bapa bekerja sendiri dan pendapatan di bawah paras kemiskinan
serta pendapatan tidak tetap.

b. Guru:
i. Ada sebilangan guru tidak mengajar bersungguh-sungguh dan beranggapan mereka
bekerja semata-mata makan gaji.
ii. Guru tidak berusaha menjalin hubungan dan pergaulan dengan ibu bapa.
iii. Kerapkali salahlaku murid tidak dimaklum kepada ibu bapa terlebih dahulu.
iv. Guru kurang mengadakan kelas bimbingan, kelas pemulihan dan kelas tambahan.
v. Guru kurang menggunakan ABM dan ABB semasa mengajar.
vi. Kurang latihan pengukuhan diberi kepada murid.
vii. ABM dan BBM tidak mencukupi dan tidak releven.
ix. Pengajaran guru kurang terancang.
xi. Guru terpaksa mengajar bilangan murid yang ramai di kelas.
xii. Guru kurang membuat ujian dan penilaian.
xiii. Perhubungan guru dengan murid kurang mesra.

c. Murid-murid:
i. Murid-Murid tinggal jauh dari sekolah.
ii. Murid-murid terpaksa berjalan ke sekolah.
iii. Murid-murid tidak ada kemudahan belajar di rumah.
iv. Murid-murid tidak mempunyai perbelanjaan wang saku yang mencukupi ke sekolah.
v. Murid mempunyai masa belajar yang kurang di rumah.
vi. Murid-murid tidak belajar di rumah.
vii. Murid-murid tidak peduli dengan kerja rumah yang diberi oleh guru dan tidak
buat kerja rumah.
viii. Murid-murid tidak mempunyai bahan bacaan di rumah.
ix. Murid-murid kurang menerima perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
x. Murid-murid kurang menggunakan kemudahan perpustakaan.

Permasalahan atau kekangan yang dicetuskan oleh ketiga-tiga watak penting dalam
perkongsian ini sebenarnya telah merencatkan atau mencetus kepada kegagalan dalam
usaha membina perkongsian yang bermakna dan berfaedah atau lebih tepat lagi ialah
menjayakan hasrat murni semua pihak iaitu melahirkan murid yang berjaya dunia dan
akhirat.

Penyelesaian kepada masalah yang disenaraikan di atas boleh dilaksanakan melalui


kesungguhan dan usaha daripada ibu bapa dan guru itu sendiri.
a. Ibu bapa:
i. Pihak pengurusan Sekolah dengan kerjasama PIBG perlu mengatur rancangan dan
aktiviti untuk menyedarkan ibu bapa dan masyarakat bahawa tanggungjawab
mendidik anak-anak mereka bukan seharusnya diletakkan 100% kepada guru-guru
di sekolah.
ii. PIBG perlu mengadakan aktiviti ke arah membantu ibu bapa dan masyarakat
memperolehi ilmu dan kemahiran serta membina sikap yang positif dan sesuai.
Aktiviti itu hendaklah berkaitan dengan perkembangan menyeluruh dan bersepadu
anak-anak mereka dari segi jasmani, emosi rohani dan intelek.
iii. Di samping itu kesedaran haruslah dipupuk di kalangan ibu bapa bahawa
tanggungjawab memberi pendidikan yang sebenarnya (hakiki) bermula di rumah dan
dikembangkan di sekolah oleh guru-guru sama ada di bilik darjah atau di luar
bilik darjah melalui aktiviti ko-kurikulum sekolah. Kemudian murid itu sendiri
mengamalkan dan menghayati segala ilmu yang diperolehi itu dalam kehidupan
sehari-harian.

b. Guru
Guru -guru hendaklah sedar bahawa tugas utama mereka bukan hanya semata-mata
menyampai ilmu kepada murid-murid dibilik darjah sahaja tetapi guru mesti memainkan
peranan seperti berikut:-
i. Guru sebagai pengembang dan pengukuh penguasaan kemahiran.

ii. Guru sebagai pembentuk akhlak.


vi. Guru sebagai contoh teladan (Rule Model).
v. Guru sebagai agen perubahan Masyarakat.

Nilai Positif atau Kebaikan yang diperolehi hasil hubungan baik.


Kebaikan atau faedah kepada hubungan baik antara ibu bapa murid, guru atau sekolah,
masyarakat setempat atau NGO agensi kerajaan atau swasta ini bersifat umum dan
khusus dan ianya sangat membantu hasrat yang diidam-idamkan oleh semua pihak.

• Umum – Dalam suasana masyarakat Malaysia yang terdiri daripada masyarakat


berbilang kaum, konsep „Partnership‟ boleh mengeratkan semangat perpaduan kaum
dan sikap toleransi yang diperlukan supaya dapat mengelakkan perasaan prasangka
dan prejudis yang keterlaluan. Oleh kerana program-program yang berkaitan
perkongsian melibatkan banyak pihak yang berkepentingan dalam sekolah, maka
banyak aktiviti boleh dirancang bersama demi menjayakan wawasan negara.
Penyertaan pelbagai pihak dalam aktiviti tersebut boleh merapatkan hubungan
silatulrahim dan menghindarkan perasaan perkauman. Malahan dalam kesibukan
bekerja, dengan menyertai pelbagai aktiviti di peringkat sekolah, kawan dan kenalan
baru ditemui. Di samping itu konsep perkongsian di peringkat sekolah boleh
membantu dalam menjimat dan mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan.
• Khusus – Bagi pihak sekolah, perkongsian dalam pendidikan juga boleh membawa
perubahan dalam sistem pendidikan seperti „model education of change and
innovation‟ yang disarankan oleh para penyelidik seperti Bennis et al. (1969), Bolan
et al. (1875) dan Hopkin et al. (1997). Model-model „adoptive‟ yang juga memberi
tumpuan kepada persekitaran termasuk sumber manusia yang terlibat dalam
perubahan tersebut. Malahan Fullen (1991 / 1993) bersetuju dengan sebarang
perubahan yang melibatkan soal kemanusiaan dan isu-isu praktikal dalam menangani
sesuatu perubahan.

Bagi Pengetua/Guru Besar, kejayaan mengadakan konsep perkongsian


menunjukkan mereka mempunyai kepimpinan politik yang berjaya. Politik yang
dimaksudkan bukanlah politik kepartian tetapi kemahiran pengetua/guru besar
mempengaruhi persekitaran dan pihak berkepentingan di luar sekolah bagi menghasilkan
persekitaran yang lebih kondusif (Baharom, 2001). Dengan kewujudan program-program
tertentu, hubungan komuniti yang baik membolehkan pihak sekolah mendapat maklumat
dan sokongan dalam banyak hal. Morros & Vrabbel (1978) menyimpulkan bahawa tanpa
kepimpinan pengetua/guru besar yang efektif, sekolah tidak berupaya mewujudkan
hubungan dengan komuniti luar. Tanpa hubungan ini adalah mustahil sekolah akan
memperolehi kerjasama.
Guru-guru juga akan mengamalkan konsep „Collegiality‟ seperti yang disarankan oleh
Drucker (1992):
„in knowledge and service work, partnership with responsibility for the worker is the only
way, nothing else will work at all”
Selain itu guru juga akan merasa „sense of belonging‟ atau „ownership‟ terhadap sekolah
di mana mereka berkhidmat. Ini membolehkan program sekolah berjalan dengan
berkesan dan efektif. Malahan konsep „share leadership in a collaborative moment‟ akan
mewujudkan perasaan keakraban yang tinggi kerana diberi kepercayaan oleh pihak
pengurusan sekolah dalam program sekolah. (Salbiah, 2001)

Manakala para pelajar pula merasakan diri mereka penting dan berguna serta
dihargai kerana mendapat perhatian dan sokongan yang padu daripada kedua-dua belah
pihak. Selain itu, bagi anak-anak yang kurang cemerlang, jika tiada perhatian, mereka
menyangka mereka tidak disayangi. Mereka perlulah mengetahui bahawa mereka tetap
disayangi. Cara begini akan meningkatkan keyakinan mereka untuk terus berjaya.
Sebaliknya jika berlaku pengasingan diri seperti yang difikirkan oleh Dr. Ting Chew Peh
(1979):
„…..manusia merasa terpisah malahan hubungan mereka terputus daripada masyarakat
dan kebudayaannya‟

Manakala menurut Shahbudin Ngah (1993):


„…..memahami betapa pentingnya motivasi di dalam kehidupan manusia supaya mereka
berfungsi sepatutnya. Mereka memahami kejayaan sesuatu organisasi itu bergantung
kuat kepada ketekalan motivasi di kalangan anggota mereka‟.
Ini menunjukkan bahawa pelajar adalah sebahagian daripada anggota organisasi
sekolah dan masyarakat yang akan menuntut mereka memahami dalam memainkan
peranan secara aktif dan berkesan.
Melalui persekitaran yang positif akan menghasilkan tindak balas yang positif.
Perkongsian dengan pihak tertentu dari luar sekolah seperti pihak korporat atau ahli
perniagaan, sekolah boleh memohon bantuan untuk membuat perubahan kepada suasana
persekitaran sekolah. Dengan cara ini, kemudahan fizikal boleh dilengkapkan dan
menjadi lebih efektif. Kajian yang dijalankan oleh Bahagian Perancangan dan Penilaian
Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (1989) mendapati salah satu ciri sekolah
yang berkesan adalah kemudahan fizikal yang lengkap. Ini disokong oleh kajian yang
diusahakan oleh Rahimah Ahmad dan Zulkifli Abdul Manaf (1996) dan Shahril Marzuki
(1997). Perkongsian yang bercorak bantu-membantu dalam merubah fizikal sekolah
adalah bertujuan supaya sekolah mendapat kemudahan fizikal yang memuaskan dan
terlibat dalam program „penambahbaikan sekolah‟.
(Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 5, 2004)

Penglibatan ibu bapa dan penjaga dalam program sekolah akan menyebabkan
mereka lebih memahami dan mengetahui tentang sekolah dengan lebih dekat. Selain itu
mereka akan mengetahui hak mereka dalam sekolah dan bagaimanakah mereka dapat
memainkan peranan yang lebih berkesan dalam sistem sekolah. Antaranya ialah ibu bapa
atau penjaga akan sentiasa memberikan sokongan sepenuhnya kepada program-program
yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Pengukuhan ikatan ini merupakan kelangsungan
kejayaan konsep perkongsian.

Ini menunjukkan penyertaan masyarakat dalam proses sekolah boleh membawa


erti kepada mereka kerana dapat menyumbangkan bakti dan memahami tentang sekolah
sebagai institusi sosial yang kompleks. Selain itu pihak masyarakat boleh mengetahui
sumber-sumber di sekolah seperti peralatan, guna tenaga dan sebagainya yang
memerlukan bantuan daripada masyarakat. Malahan masyarakat juga akan memiliki
„sense of belonging‟ dan „collegiality‟ dalam proses sekolah. Perasaan dan sikap yang
sedemikian rupa penting dalam mencapai „effectiveness, improvement and change‟.
(Salbiah : 2001)

Konsep perkongsian atau „Partnerships‟ mempunyai masa depan yang cerah


untuk dilaksanakan dalam sistem sekolah. Konsep ini sebenarnya saling lengkap-
melengkapi atau bantu membantu yang memang sesuai diamalkan dalam masyarakat di
Malaysia. Tambahan pula di zaman yang serba canggih ini ancaman oleh aksi globalisasi
yang menuntut kita bersatu padu supaya masyarakat kita tidak terperangkap dengan
suasana dan sikap yang tidak menguntungkan seperti individualistik dan materialistik
yang keterlaluan.

Boleh dikatakan konsep perkongsian bijak antara pihak sekolah dan komuniti luar
sekolah merupakan satu strategi untuk menzahirkan suasana mesra masyarakat dan
sekolah. Konsep ini mendidik masyarakat supaya mengenali semula budaya bangsa
seperti gotong-royong, bekerjasama adalah konsep-konsep yang masih penting dan perlu
diamalkan dalam suasana hari ini. Hubungan sekolah, ibu bapa dan komuniti perlu
mantap dan akrab jika mahu sistem pendidikan di sekolah berjaya. Namun suatu hakikat
yang tidak dapat dielakkan bahawa perlaksanaan konsep ini hanya akan berjaya jika
pihak pengurusan sekolah yang memainkan peranan sebagai pencetus atau pengerak ke
arah permuafakatan dan perkongsian pintar memulakan aksi dan cetuskan gelombang
kemesraan tiga demensi ini.. Semua pihak perlu ikhlas dan berusaha bagi menjayakan
matlamat tersebut. Kejayaan konsep ini akan melangkah kearah „school improvement‟.

Memandangkan konsep pekongsian ini adalah selari dan seiring dengan budaya,
pemikiran dan agama masyarakat di Malaysia, penyertaan sekolah dan komuniti luar
sekolah dalam “satu sangkar perkongsian” akan menghasilkan „win-win situation‟.
Malahan kewujudan Sekolah Bestari dan sekolah Wawasan mempunyai kaitan dengan
konsep perkongsian yang diwar-warkan oleh pihak kerajaan. Kini pihak kerajaan melalui
Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah dan
Sekolah akan terus mengorak langkah dengan sentiasa menganjurkan program-program
yang menjurus ke arah perpaduan kaum, keakraban hubungan waris, murid dan sekolah
perbagai kaum, semua program yang dilaksanakan semuanya ke arah perpaduan kaum,
kecemerlangan sahsiah, dan hasrat murni untuk mencapai wawasan 2020, secara
peringkat demi peringkat di seluruh negara kerana ingin mengukuhkan perpaduan dan
integrasi nasional di kalangan penduduk pelbagai kaum.
KESIMPULAN
Sesungguhnya konsep „partnerships‟ atau perkongsian yang bijak dalam
pendidikan di Malaysia amnya boleh memberi keyakinan pelbagai pihak tentang ke mana
arahnya generasi pelapis negara kita akan atau mahu dibawa pada masa depan.
Perkongsian tersebut hendaklah dimanfaatkan oleh masyarakat dengan tidak memandang
serong tentang kegiatan yang akan dilaksanakan demi kebaikan bersama. Pihak sekolah,
ibu bapa, murid dan pihak agensi kerajaan dan pihak swasta serta NGO perlu meletakkan
kepentingan sekolah di hadapan atau sebagai keutamaan dalam perjalanan hidup kita ke
arah memakmurkan dunia ini kerana di sinilah(sekolah) bermulanya perjalanan
mengumpul ilmu dalam hidup seorang insan atau warga Negara. Kerjasama, kesepaduan,
kesepakatan, saling bertolak ansur dan mengutamakan kejayaan murid-murid adalah
sangat penting dalam usaha menjayakan wawasan negara tercinta ini.
„Marilah kita sempurnakan seni bersahabat‟.
„kekuatan sesuatu bangsa, tercermin daripada perpaduannya‟.
(Aminah Hamim & Gunawan Mahmood, 2001)
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Zariat: 56.
Maksudnya "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan
untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku".
RUJUKAN
Aminah Hamim & Gunawan Mahmood (2001). Buku madah bestari cinta negara.
Jabatan Perkhidmatan Penerangan Malaysia. Kuala Lumpur.
Bennis, W. E. Benne & Chin R (1969). The planning of change. Holt, Rinehart &
Wilson. London.
Bolan R (1975). The management of educational change: Towards a conceptual
framework. In Harris A, Lawn M and Pre. Ott (eds). Curriculum Innovation London;
Croom Helm.
Donald A. Erickson. (1978). The principal in metropolitan school: Mccutchan
Publishing Corporation. U.S.
Drucker, P. (1992). Managing the non-profit organization. Oxford: Butterworth-
Hienemann.
Hopkins, D., Bruce, J. and Calhoun, E. (1997). Models of learning-tools for
teaching. Buckingham: Open University Press.
Ibrahim Mamat (2001). Pengetua sekolah: Menangani isu dan cabaran kepimpinan.
Kumpulan Budiman Sd.

You might also like