You are on page 1of 23

CONTOH-CONTOH KARANGAN SPM

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang karangan
anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan
masyarakat pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya
Kementerian Kesihatan Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam
kalangan masyarakat tanpa mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi dan kencing
manis merupakan penyakit yang sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-
kanak juga sering dihantui penyakit berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat
sebanyak 200 000 orang pesakit melebihi bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah
kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana
berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital
Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat mendapat kemudahan rawatan kesihatan.
Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit yang tidak mengenal usia berlaku pada
zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah pasti ada jalan keluarnya.
Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang disarankan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat?

Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci
pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan
seimbang ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama
sekali.Hal ini kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang
individu yang mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang.
Jika kita merujuk piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian
mengikut keperluan makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan
merupakan kumpulan makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang
mengandungi vitamin, mineral, dan serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan
terakhir bahagian atas ialah kumpulan makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan
panduan kepada pengguna dengan mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali,
seperti lemak dan gula,. Oleh sebab itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit.
Berbanding kandungan karbohidrat perlu diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini
membekalkan kita tenaga untuk menjalani kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang
ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya,
kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengambil makanan seimbang setiap hari.

Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu
menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti
yang berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain
menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam
sekitar dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti
berkenaan dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki
gunung, , menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan
tubuh badan? Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta
selalunya diminta untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita
bersedia terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti
regangan dan pemanasan badan, kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum
peserta melakukan aktiviti yang berat. Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan
merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan
kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang
fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan dan peringatan mengenai langkah-
langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk mengelak sebarang kemalangan
atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung sebelum hujan. Justeru,
tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal ini jelas
menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam
kehidupan.
Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam
membicara aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari
daripada melakukan aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran
Malaysia memperkenalkan pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-
kurang menyertai satu aktiviti sukan di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah
10% syarat kemasukan ke universiti berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya
sukan permainan. Namun, pelaksanaan program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar
masih belum membudayakan diri mereka untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan
hanya sekadar untuk penyertaan bukan sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan
berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan
dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan, masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan
badan, mereka juga akan dapat mencergaskan minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan
diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses
respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan
bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan
mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak akan mudah mengantuk semasa berada di
dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada
mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat. Justeru, kita boleh mengamalkan gaya
hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah
penting dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat
Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia
amat mengambil berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan kesihataperkhidmatan bertaraf
dunia. Hal ini boleh kita lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1
Malaysia, Hospital Desa dan Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan
kepentingan kesihatan mereka. Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah
lepasan universiti dikerah berkhidmat di pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah
untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang
memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa
atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan
darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita melakukan rawatan kesihatan secara berskala
sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan kita boleh dipantau oleh pengamal
perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif kerana pengesanan penyakit secara
awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya. Secara langsung pengesanan awal
boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa disedari terutama penyakit tiga
serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya, sekiranya pesakit mengalami
penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit mengawal kaedah
pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik suntikan insulin
akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah lebih baik
daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting dalam
memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan
kesihatan kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh
menyihatkan tubuh badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi,
menyertai aktiviti sukan dan mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong
kerajaan dalam merealisasikan Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam
keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir, dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya
sahaja yang akan dapat membantu menggapai cita-cita pemimpin untuk memastikan Malaysia mampu
untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan
merupakan aset paling penting sebagai warganegara Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih
penting daripada wang ringgit yang menggunung.

Masyarakat pada zaman alaf milenium ini amat mudah untuk mendapat maklumat melalui
internet. Berdasarkan pernyataan berkenaan huraikan kebaikan internet dalam kalangan
masyarakat kini.
Saban hari penggunaan internet semakin digemari oleh setiap lapisan masyarakat di negara kita. Tahukan
anda bahawa penggunaan internet di negara kita ibarat cendawan tumbuh selepas hujan kerana
pertambahan penggunaannya amat ketara sama ada di kawasan bandar mahu pun di kawasan luar bandar.
Penggunaan internet juga bertambah dalam kalangan rakyat di negara kita disebabkan wujudnya rangkaian
jaringan sosial seperti Facebook, Friendster, My Space dan Tagged dalam internet yang semakin meluas.
Bahkan, negara kita tersenarai dalam sepuluh negara yang paling banyak menggunakan jaringan sosial iaitu
Facebook. Sedar atau tidak, penggunaan internet juga telah sampai di segenap desa apatah lagi selepas
wujudnya teknologi ‘3G’ dan "4G". Apa yang pasti, kajian telah menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh
buah rumah di negara kita menggunakan kemudahan internet untuk pelbagai tujuan. Jadi, sudah terang lagi
bersuluh bahawa pelbagai manfaat dapat diperoleh daripada kemudahan penggunaan internet dalam
kalangan masyarakat sekaligus mengubah ajakan paradigma masyarakat dalam era teknologi maklumat kini
kerana maklumat berada di hujung jari.

Mari kita melebarkan lensa perbincangan dengan mengupas kebaikan penggunaan internet dalam
kalangan masyarakat kini. Pertama kita gunakan minda pelajar kelas pertama dalam memperinci tajuk
perbincangan pertama dengan kata kunci internet bermanfaat untuk mencari dan mengumpul maklumat
dalam masa yang singkat. Hal ini kerana dalam era globalisasi ini segala maklumat sama ada formal atau
tidak formal telah dimuat naik dalam rangkaian internet oleh pelbagai pihak dengan cepat sehingga
mengalahkan media cetak seperti surat khabar. Dalam soal ini, pengguna hanya perlu menaip sahaja
maklumat yang dikehendaki dalam carian enjin google atau yahoo dan segala maklumat yang diperlukan
akan tertera di skrin komputer. Malah, setiap maklumat yang kita perlu dapat kita peroleh menggunakan
pelbagai sumber yang boleh dipercayai keesahannya. Sebagai contoh, jika kita ingin mencari maklumat
berkenaan berita terkini di akhbar, kita akan memperoleh banyak maklumat kerana hampir semua akhbar
telah dibuka atas talian seperti Utusan Malaysia Online, Berita Harian Online, Malaysia Kini dan News Strait
Times. Malahan, pelajar juga boleh mendapat maklumat mengenai berita terkini berlaku di dunia kerana
dengan internet kerana dunia ibarat tanpa sempadan. Perkara ini secara tidak langsung memudahkan kita
mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber dan kita juga akan memperoleh berita terbaru kerana
dalam media mungkin berita berkenaan masih belum disiarkan. Contohnya, kita akan mengetahui peristiwa
seperti bencana tsunami yang pernah berlaku di Acheh dan Jepun, serangan Israel ke atas negara kecil iaitu
di Palestin. Justeru, pada zaman milineum ini bergantung kepada seseorang pelajar untuk mencari
maklumat dan sekiranya mereka malas berbuat demikian mereka boleh diibarat seperti katak di bawah
tempurung. Oleh itu, kita dapat membuat kesimpulan bahawa mencari maklumat akan menjadi lebih mudah
dengan menggunakan kemudahan internet.

Seterusnya mari kita memperinci perbincangan selanjutnya dengan kata kunci penggunaan jalur lebar
dapat menyelesaikan pelbagai urusan seharian seperti membayar bil dan urusan perbankan Kini, kehidupan
masyarakat kita terutama mereka yang tinggal di bandar sangat sibuk dek tekanan tempat kerja dan
kesesakan lalu lintas sebelum serta selepas pulang dari pejabat. Jadi, kesuntukan masa yang dialami ini
amat menyusahkan apabila mereka hendak menguruskan hal-hal berkaitan rumah tangga dan pembayaran
pelbagai bil. Oleh sebab itu, masyarakat di bandar sering mengalami tekanan kehidupan atau stress yang
membelenggu kehidupan mereka seharian. Justeru, masyarakat milenium mereka perlu sedar akan
kemudahan yang telah disediakan oleh pelbagai agensi sama ada agensi kerajaan mahupun swasta dalam
meringankan bebanan dan masa. Bak kata pepatah, masa itu emas, sekiranya kita tidak memotongnya
masa akan memotong kita. Oelh sebab itu satu cara untuk menyelesaikan masal pembayaran bil dalam
kehidupan seharian adalah dengan penggunaan internet. Justeru, pembayaran bil dan urusan perbankan
boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada sambil minum kopi dan berbual bersama-sama ahli keluarga
di rumah, atau dipejabat. Perkara ini dapat dibuktikan apabila banyak bank seperti Maybank, CIMB Bank,
Agro Bank dan RHB Bank menyediakan perniagaan secara ‘online’ di internet kepada para pelanggan untuk
memindahkan wang ke dalam akaun lain dan menyimpan wang secara ‘online’, begitu juga dengan
pembayaran bil kad kredit. Pembayaran bil elektrik, bil air dan bil telefon juga dapat dibayar dengan
penggunaan internet di rumah melalui laman web kerajaan iaitu myeg.com. Pendek kata, kita dapat
menguruskan pembayaran bil dan urusan perbankan di rumah melalui internet sekaligus menjimatkan masa
kita.

Di samping itu, manfaat penggunaan internet di rumah dapat memudahkan kita berkomunikasi di
antara jarak jauh dan dekat malah merentasi lautan seantero dunia. Hal ini kerana terdapat pelbagai
kemudahan yang disediakan di internet untuk tujuan komunikasi. Malah, syarikat gergasi telekomunikasi
berlumba-lumba membuka laman web mereka untuk memudahkan pengguna berkomunikasi di internet.
Berkomunikasi di internet bukan sahaja melibatkan suara orang yang dihubungi malah kita dapat bersua
muka dan melihat wajah kenalan atau individu yang baru kita kenali dengan hanya duduk di kerusi dan
mengadap komputer serta tangan bermain dengan tetikus melalui beberapa klik. Perkara ini amat memberi
kebaikan kepada ahli keluarga yang jauh meninggalkan keluarga untuk bekerja dan belajar di luar negara
seperti di Asia Barat dan Eropah. Oleh sebab itu dengan penggunaan internet hubungan ahli keluarga yang
jauh dapat dipererat dengan menggunakan internet. Mereka hanya perlu mengakses aplikasi ‘yahoo
mesengger’ untuk berkomunikasi bagi melihat wajah dan mendengar suara ahli keluarga yang jauh bagi
melepaskan kerinduan. Tambahan pula, gajet telefon sekarang seperti ipad dan telefon pintar lain boleh
diaplikasi sebagai akses kemudahan internet dan ini mempermudah komunikasi antara masyarakat berlaku
dengan mudah. Tuntasnya, penggunaan internet amat bermanfaat dalam kalangan masyarakat untuk
mereka berkomunikasi jarak jauh.

Negara kita sedang mengorak langkah untuk menjadi negara maju, justeru Kementerian Pelajaran
Malaysia sentiasa meningkatkan mutu pendidikan negara dengan dengan memperkenal pelbagai
kemudahan seperti Sistem Aplikasi Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang memudahkan ibu bapa melihat
keputusan anak mereka diinternet sama ada untuk mengetahui keputusan ujian bulanan dan peperiksaan.
Melalui capaian internet ini ibu bapa akan mudah mendapat keputusan peperiksaan anak secara cepat dan
berkesan. Seterusnya, ibu bapa boleh membuat langkah susulan bertemu dengan para pendidik di sekolah
untuk mengetahui keputusan anak mereka dengan lebuh lanjut. Selain itu program pengajaran dan
pembelajaran secara maya sedang diaplikasi oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan memudahkan
guru dan pelajar untuk berinteraksi melaui capaian internet. Sistem berkenaan yang dikenali sebagai Frog
Vle merupakan satu sistem pembelajaran berasaskan web yang menyerupai dunia pembelajaran sebenar
dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya. Sebagai contoh, guru-guru
dapat memberi tugasan, ujian dan menyemak tugasan secara maya, sementara pelajar dapat menghantar
tugasan dan menyemak markah menerusi VLE. Ibu bapa boleh berkomunikasi dengan pihak sekolah
manakala pentadbir sekolah boleh menguruskan kalendar sekolah dan mewar-warkan notis sekolah melalui
Internet. Justeru, pembelajaran kini boleh berlaku di mana-mana sahaja dan sudah pasti pembelajaran
secara berterusan akan memantapkan lagi prestasi pelajaran dan anak-anak akan lebih tertarik belajar
secara interaktif. Malahan ibu bapa juga mampu mengetahui prestasi pembelajaran anak mereka sebagai
sokongan Sistem Aplikasi Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang diguna pakai sekarang. Tegasnya, Kementerian
Pelajaran Malaysia kini berusaha membuat Transformasi Pendidikan Negara ke araf pendidikan bertaraf
dunia agar pendidikan negara kita boleh duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan pendidikan negara
maju di dunia.

Akhirnya, sebagai pelajar berminda kelas pertama saya ingin menggunakan kata kunci bahan-bahan
bloger di internet yang dikendalikan oleh guru-guru pakar dalam mata pelajaran mampu memperkasakan
kemahiran pelajar dalam mata pelajaran terutama pelajar yang akan menghadapi peperiksaan awam. Hal ini
terbukti apabila guru-guru yang bertanggungjawab, berdedikasi berusaha untuk membantu pelajar
menguasai kemahiran pelajar dalam mata pelajaran berkenaan. Bukan itu sahaja, guru-guru berkenaan
juga membuka ruang kepada pelajar untuk berinterksi di lamam web seperti bmspmet,
mohdramsul.blogspot, mohdrazak.bogspot, dan sebagainya dengan aplikasi chatrool, face book, dan
pelbagai aplikasi lain agar pelajar boleh sentiasa berhubung, sama ada untuk bertanya hal berkaitan
kemahiran yang sukar pelajar kuasai. Malangnya, pelajar tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan
kemudahan yang ada untuk tujuan penguasaan terhadap kemahiran berkenaan. Tambahan pula, guru-guru
pakar berkenaan tidak mengenakan bayaran kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam
penguasaan kemhiran tatabahasa, komsas, dan penulisan karangan. Usaha tangga kejayaan, setiap usaha
akan ada balasannya, begiutlah ungkapan pepatah Melayu yang membawa maksud sekiranya pelajar
berusaha apa sahaja yang mereka usahakan, akhirnya mereka akan menerima hasilnya. Justeru, terbukti
internet banyak memberikan kebaikan kepada peajar terutamapelajar yang bijak menggunakan aplikasi ini
untuk tujuan meningkatkan kemahiran dalam pembelajaran.

Kesimpulannya, penggunaan internet mendatangkan pelbagai manfaat berguna kepada masyarakat.


Oleh itu, masyarakat di negara kita perlu memanfaatkan penggunaan internet kerana melalui penggunaan
internet segala maklumat berada di hujung jari anda. Apa yang pasti, internet mampu memberikan seribu
satu macam kemudahan kepada pengguna jika digunakan sebaiknya. Dalam era serba moden ini,
penggunaan internet seakan tidak dapat dipisahkan lagi dengan kemajuan negara sekarang. Jadi, pihak
kerajaan perlu mendidik masyarakat menggunakan internet bagi melahirkan generasi celik IT sekaligus
setanding dengan masyarakat negara maju lain seperti Jepun demi mencapai wawasan 2020. Selain itu, ibu
bapa juga tidak ketinggalan perlu mendidik anak-anak mempelajari internet di rumah kerana melentur buluh
biarlah daripada rebungnya. Akhirul kalam, tidak dapat dinafikan bahawa kemudahan internet di rumah
memberi pelbagai faedah kepada kita.

Belakangan ini, isu kenakalan remaja hangat diperkatakan dan membawa petanda yang tidak
baik kepada generasi akan datang.

Huraikan peranan anda sebagai seorang remaja dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Melalui usaha yang gigih dan tabah tanpa mengenal jemu dalam bidang yang diceburi serta memiliki sahsiah
yang terpuji , remaja akan menjadi warga yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan nusa. Hal ini
demikian kerana menurut Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek, belakangan ini, remaja
begitu terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran sama ada dari segi pengaruh media massa, pengaruh atau
desakan daripada rakan sebaya serta ibu bapa dan masyarakat ataupun konflik pergolakan antarabangsa
yang semakin hari semakin mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar seluruh negara. Pergolakan
antarabangsa yang berlaku sedikit sebanyak mempengaruhi akidah remaja kita. Remaja yang rata-ratanya
mempunyai semangat inkuiri atau ingin tahu yang tinggi berserta perlakuan untuk mencuba sedaya upaya
sehingga berjaya bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan, perlu
dipandu dan ditarbiah ke jalan yang benar baik melalui diri sendiri, ibu bapa, guru-guru, masyarakat
mahupun kerajaan memandangkan remajalah yang bakal memegang tampuk pemerintahan negara ini
lantas mencorakkannya menjadi sebuah negara yang unggul dan terbilang. Negara memerlukan remaja
yang mempunyai nilai mandiri dan jati diri yang utuh di samping berdaya saing serta berfikiran kreatif dan
inovatif. Namun demikian, amatlah malang kepada negara kita jika remaja yang diharap-harapkan akan
sentiasa mendukung panji ‘Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara’ kini dikaitkan dengan isu
kenakalan. Perbuatan yang melanggar norma, aturan atau hukum dalam masyarakat yang dilakukan pada
usia remaja ini dikatakan membawa petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang bak kata
pepatah, air perabung mengalir ke cucur atap. Isu ini begitu hampir dengan saya memandangkan saya juga
seorang insan yang bergelar remaja justeru saya mempunyai peranan dalam membentuk sahsiah diri yang
terpuji agar memiliki ciri-ciri remaja cemerlang dambaan negara.

Sebagai seorang remaja, dalam membentuk sahsiah diri yang terpuji, saya akan mendalami ilmu agama
dan mencintai Allah. Ilmu agama merupakan ilmu yang mendekatkan diri seseorang kepada Maha Pencipta
iaitu Allah swt. Tiada ilmu yang lebih mulia melainkan ilmu agama di dunia ini iaitu ilmu dan pengetahuan
Islam yang syumul. Perkara ini boleh dibuktikan melalui pernyataan rasa yang disuarakan oleh ilmuan sains
yang terkenal iaitu Albert Einstein (walaupun beliau tidak beragama Islam) yang menyatakan bahawa
agama tanpa ilmu adalah buta , ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Jelas dapat dilihat bahawa ilmu dan
agama mempunyai hubung kait yang sangat akrab. Seseorang yang mendalami ilmu tetapi tidak
berlandaskan atau berpaksikan agama tidak akan merasai nikmat yang telah dikurniakan oleh Allah swt.
Saya akan mendalami ilmu agama dengan membaca dan memahami Al-Quran, mengkaji hadis-hadis dan
menyelami sirah nabi serta para sahabat. Akhlak Rasulullah yang terpuji dan sempurna yang terkandung
dalam Al-Quran dan hadis itu pastinya akan menjadi sumber primer saya bagi membina pemahaman yang
kukuh tentang kemuliaan dan kehebatan memiliki sahsiah yang terpuji. Pembelajaran melalui pembacaan
dan penelaahan yang mendalam sebegini mampu memberi input yang berguna seperti memahami nilai
yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari . Nilai-nilai seperti ketakwaan, kesabaran, kegigihan,
keikhlasan dan bertanggungjawab semuanya memandu diri saya membina peribadi mulia . Pengajaran
daripada Al-Quran dan hadis mampu merobah mana-mana perlakuan saya yang sebelum ini yang dianggap
bejat atau kurang memuaskan kepada perlakuan yang positif atau terpuji. Jikalau saya tidak memahami
kandungan Al-Quran ataupun hadis, saya akan berjumpa dengan ustaz atau ustazah yang mempunyai
pengetahuan yang luas berkaitan dengan agama yang suci ini. Saya akan meluangkan masa untuk pergi ke
perpustakaan bagi mendalami ilmu agama kerana di perpustakaan, suasananya yang hening mampu
menenangkan fikiran dan mendamaikan jiwa. Dengan mendalami ilmu agama, saya yakin saya mampu
membentuk sahsiah diri yang terpuji kerana saya akan memperlihatkan kesopanan berbudi bahasa,
kemanisan berkata-kata dan kemampuan memberikan buah fikiran dengan penuh tertib serta matang
berlandaskan akhlak Nabi Muhammad saw. Jelasnya, saya akan terhalang daripada menjadi penyumbang
petanda yang tidak baik kepada generasi akan datang.

Selain itu, satu lagi modus operandi yang sepatutnya saya lakukan adalah dengan menumpahkan
ketaatan sepenuhnya kepada ibu bapa saya. Ibu bapa merupakan dua insan yang paling dekat dengan diri
saya kerana sesudah saya dilahirkan di muka bumi ini, saya ditatang bagai minyak yang penuh oleh mereka.
Begitu besar pengorbanan ibu bapa terhadap saya bermula dengan ibu yang mengandungkan saya dengan
jerih payahnya selama sembilan bulan sepuluh hari ditambah pula dengan jasa bapa yang bertungkus lumus
mencari nafkah bagi menyara keluarga. Walaupun cuma untuk sesuap nasi tetapi itulah titik peluh ikhlas
yang dilakukan oleh bapa kepada saya. Saya tidak ingin hidup menjadi seperti Si Tanggang atau Si Malim
Kundang yang merupakan anak derhaka terhadap ibunya. Saya akan taat kepada ibu bapa dengan cara
mendengar dan menerima nasihat yang diberikan mereka dengan tangan yang terbuka dan hati yang
lapang. Jika saya tidak bersetuju sekalipun, saya tidak akan memberontak dan meninggikan suara ketika
memberikan pendapat malah saya akan berbincang dengan cara yang paling baik atau bertatasusila bagi
menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku sesuai dengan peribahasa buang yang keruh ambil yang
jernih. Allah telah memberikan kedudukan tinggi kepada ibu bapa dan menyuruh setiap anak berbuat baik
kepada mereka. Perkara ini jelas diterangkan melalui firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 23 yang
menyuruh kita berbakti kepada ibu bapa. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu wawancara menyatakan bahawa remaja boleh membina peribadi mulia
dengan mentaati ibu bapa melalui perbuatan yang baik, melaksanakan hak-hak mereka dan menjauhkan
diri daripada perilaku yang boleh menyakiti hati dan kehidupan mereka. Taat kepada ibu bapa adalah
amalan wajib ditunaikan setiap anak. Ketaatan adalah cara paling baik mendekatkan diri kepada Allah
kerana taat kepada ibu bapa bererti mentaati perintah-Nya juga. Berbakti kepada ibu bapa membawa
berkat. Terdapat hadis Rasulullah saw. yang bermaksud : “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan
ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali silaturahim."
Jelaslah bahawa mentaati ibu bapa mampu menjadikan saya individu yang mempunyai sahsiah diri yang
terpuji dan terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan moral.

Di samping itu, prakarsa ataupun peranan lain yang dapat saya laksanakan adalah dengan
menghormati guru-guru. Sepanjang pembelajaran saya hatta sekalipun saya tidak lagi bergelar pelajar, saya
akan menghormati guru-guru saya sebagai tanda terima kasih kepada mereka kerana mereka telah
bersungguh-sungguh mengajar sehingga saya mampu berdiri dan berpijak di bumi yang nyata menjadi
insan yang sebaiknya dan berguna. Guru telah banyak berkorban demi memartabatkan ilmu dan banyak
berjasa bermula daripada mereka mengajar kita membaca, menulis dan mengira. Mereka tidak pernah
mentertawakan kesalahan yang saya lakukan malah membetulkan setiap satu daripadanya lantas menepati
mutiara kata cendekiawan Wellington iaitu, ‘Usah merendahkan diri seseorang kerana tabiat buruknya tetapi
bimbinglah ia ke jalan yang lebih baik”. Saya akan menerima dan menjadikan nasihat, bimbingan dan tunjuk
ajar daripada guru sebagai insentif dan motivasi untuk saya berjaya menjadi insan berguna yang mampu
mendaki menara gading . Bukan sahaja guru ialah ibu, bapa, pengajar, pendidik, pengasuh, penasihat dan
pembimbing malahan guru adalah segalanya bagi seorang pelajar. Segala kesusahan yang ditempuhinya
dalam mendidik anak-anak muridnya sepatutnya dikenang dan dihargai kerana tanpa jerih payah seorang
guru itu, pelajarnya akan menjadi manusia yang tidak berguna di dunia dan akhirat. Dengan ilmulah
manusia diangkat menjadi makhluk termulia di sisi Allah swt. sehingga dijadikan sebagai khalifah-Nya di
muka bumi. Semua ini tidak akan tercapai kecuali dengan kita menjaga peradaban dan rasa hormat yang
ikhlas terhadap penyampai ilmu tersebut iaitu guru, pewaris para nabi. Justeru dengan menghormati guru,
saya mencetuskan rasa insaf dalam diri dan bertatih membentuk sahsiah diri yang terpuji.

Dalam pada itu, saya akan menjalinkan hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan taulan.
Secara perbandingannya, seorang remaja akan meluangkan masa yang lebih bersama rakan-rakannya
berbanding dengan ibu bapa atau saudaranya. Hal ini demikian kerana selain keluarga tercinta yang dekat di
hati, rakan merupakan tempat mengadu, mencurah perasaan dan berkongsi masalah. Sehubungan itu, saya
akan menjaga atau memelihara hubungan yang baik dengan rakan tidak kira sama ada rakan saya berlainan
agama, kaum mahupun warna kulit. Seseorang yang mempunyai sahsiah diri yang terpuji harus seimbang
dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Saya juga sedaya upaya tidak akan menimbulkan isu sensitif
terutama isu agama. Saya akan mengambil iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang telah
mengorbankan banyak nyawa yang berpunca daripada rusuhan kaum. Saya akan memberikan pertolongan
kepada rakan yang memerlukan bantuan kerana dia merupakan rakan yang baik dan telah membantu ketika
saya dalam kesusahan. Dalam kehidupan yang singkat ini, saya perlu berbaik-baik dengan semua orang dan
bekerjasama dalam semua bidang kerana yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Kita
digalakkan mencari teman yang baik dan meramaikannya seperti kata pepatah ‘berkawan biar seribu tetapi
musuh jangan sesekali dicari.’ Saya akan menjadi seseorang yang dapat memberi manfaat segi dorongan,
nasihat, ilmu dan sebagainya kepada orang lain. Rakan-rakan juga tidak akan berasa kekok apabila
berkawan dengan saya sekiranya saya tidak bersikap bagai buntal kembung. Apabila saya menjalinkan
hubungan baik dengan rakan-rakan, masalah kebejatan moral tidak akan ada dalam kamus rutin hidup saya
sejajar dengan visi saya untuk menjadi remaja yang mempunyai sahsiah terpuji.
Peranan saya yang terakhir adalah dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengelakkan diri
daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak bermoral . Seorang yang ingin
mempunyai sahsiah diri yang terpuji tidak bisa melakukan perkara yang negatif yang mampu keruntuhan
akhlak lantas menjatuhkan imej diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Saya tidak akan mudah
terpedaya oleh hasutan syaitan yang membisikkan ‘kata-kata bermadu’ kepada anak Adam agar melakukan
dosa. Saya sentiasa awas bahawa syaitan telah berjanji akan menyesatkan umat manusia dek sebab Allah
swt. telah mencampakkannya keluar dari syurga kerana tidak mahu sujud kepada Nabi Adam. Kesombongan
merajai hati syaitan dengan alasan dia diciptakan daripada api manakala Adam daripada tanah. Kedegilan
syaitan kian hari kian diwarisi manusia hingga pelbagai kebejatan moral dan perlakuan hedonisme mewarnai
kehidupan menjadikan nilai-nilai nurni jelas nyata dikesampingkan. Saya tidak mahu terjebak dalam kancah
yang serba ‘menyesakkan nafas’ dan boleh memusnahkan visi dan misi saya sebagai seorang Muslim yang
cemerlang dan memiiki sahsiah yang terpuji. Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Chee pernah
menyuarakan pendapat bahawa , “Para belia harus diasuh dan dididik agar memainkan peranan penting
dalam mempamerkan akhlak yang baik sesuai dengan imej di mana-mana sahaja pada bila-bila masa”.
Akhlak yang baik termasuklah menghindarkan diri daripada pergaulan bebas, mengamalkan gaya hidup
sihat, menjaga batas-batas aurat dan menjaga hubungan baik sesama individu di sekeliling kita. ‘First
impression’ orang lain terhadap kita amat penting kerana dari situlah orang lain akan dapat menilai diri kita
yang sebenar”.

Kesimpulannya, gagasan dan tugas untuk memupuk, membangunkan dan meningkatkan mutu
akhlak dalam kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Tugas ini tidak dapat dilakukan dengan
jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusiaan yang tinggi. Saya
yakin berlandaskan lima prinsip yang saya pegang di atas, dengan izin Allah, saya dapat membentuk
sahsiah diri yang terpuji. Pemupukan sahsiah diri ini saya yakin akan membentuk saya menjadi seorang
yang beriman dan bertakwa, mempunyai iltizam yang tidak berbelah bahagi, mempunyai kerohanian yang
amat tinggi serta mewarisi ciri-ciri akhlak perjuangan Rasulullah saw. Mutiara kata ulamak tersohor Hamka
akan saya jadikan pedoman dalam meniti kehidupan ini. Katanya, “Aku hairan melihat orang menyisir
rambutnya setiap hari, tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya teapi tidak pernah
mencuci hatinya. Digosok kasutnya tetapi tidak akalnya.” Tidak akan saya lakukan perkara yang sia-sia
yang bisa menyesatkan saya daripada landasan yang benar sebaliknya pemurnian hati, pemantapan akhlak,
ilmu dan akidah akan terus menjadi pegangan perjalanan hidup saya. Semoga isu kenakalan remaja akan
lenyap agar tidak lagi menebarkan sayap negatif kepada generasi akan datang bak kata peribahasa ‘Sebab
nila setitik rosak susu sebelanga.

FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN SESEORANG MURID DALAM PELAJARAN

Belakangan ini, soal pembinaan modal insan adalah antara perkara yang menjadi agenda utama
pembangunan negara. Selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah
negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020, pembangunan modal insan menerusi bidang pendidikan
telah diberi penekanan. Hal ini cukup penting kerana kita memerlukan sejumlah besar golongan cerdik
pandai bagi membolehkan negara bersaing di peringkat global. Sehubungan dengan itu, kejayaan murid-
murid dalam pelajaran menjadi agenda perdana setiap sekolah kerana mereka merupakan modal insan yang
bakal memacu negara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang
lain. Pada pendapat saya, pelbagai faktor yang dapat dikenal pasti mampu mempengaruhi kejayaan
seseorang murid dalam pelajaran.

Pembelajaran di dalam bilik darjah merupakan faktor perdana yang mempengaruhi kejayaan seseorang
murid dalam pelajaran. Pembelajaran dan pengajaran yang berlaku secara kondusif di dalam bilik darjah
merupakan kunci utama kejayaan seseorang murid. Bilik darjah yang mempunyai sistem pengudaraan yang
baik, susun atur peralatan yang memudahkan pergerakan pelajar, memiliki ciri-ciri keselamatan, bersih dan
ceria menjadi pendorong kepada murid-murid untuk belajar dengan selesa. Apabila murid-murid berasa
selesa, mereka akan lebih fokus terhadap pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah. Jadi, apabila
murid memberikan perhatian di dalam kelas, setiap perkara yang dipelajari dapat difahami dengan mudah.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Pusat Pengajian Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia, 70
peratus kejayaan seseorang murid adalah tumpuan di dalam bilik darjah ketika proses pembelajaran dan
pembelajaran, 29 peratus adalah inspirasi dan 1 peratus melibatkan genius. Oleh itu, berdasarkan kajian
tersebut, dapat dirumuskan bahawa proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik darjah yang
kondusif mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.
Seterusnya, program-program sekolah yang dirancang juga mampu mempengaruhi kejayaan seseorang
murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang oleh Jawatankuasa Kurikulum Sekolah dan panitia
mata pelajaran sama ada di dalam atau di luar sekolah berupaya mencemerlangkan murid-murid. Program-
program seperti Kem Wacana Akademik, Ceramah Teknik Menjawab , Bengkel Akademik, Cemamah Motivasi
dan sebagainya mampu meningkatkan keupayaan murid dalam pelajaran. Program-program yang dirancang
seperti ini membolehkan murid-murid menguasai topik-topik utama dengan mudah dan berupaya menjawab
soalan peperiksaan dengan baik. Hal ini demikian kerana mereka sudah menghadapi soalan-soalan yang
mirip peperiksaan sebenar dan telah berbincang dengan guru dalam program yang dianjurkan. Tokoh
motivasi negara, Datuk Dr. Mohd Fazilah Kamsah menegaskan bahawa jika seseorang melakukan sesuatu
perkara secara berulang-ulang kali maka dia mampu menghadapi setiap cabaran dengan mudah kerana
sudah melaluinya sebelum ini. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa program yang dirancang oleh pihak
sekolah mampu mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.

Selain itu, murid-murid yang mengikuti kelas-kelas tuisyen juga mampu berjaya dalam pelajaran. Ramai
ibu bapa sekarang menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tuisyen berbayar pada luar waktu
persekolahan untuk menambahkan pengetahuan dan kemahiran anak-anak mereka dalam pelajaran.
Mereka tidak menghiraukan tentang kos yang perlu dibayar kepada pusat tuisyen kerana mereka
mengharapkan anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Kelas-kelas tuisyen sama
ada secara individu atau kelompok mampu meningkatkan kemahiran murid dalam pelajaran. Murid-murid
akan ditekankan oleh guru pusat tuisyen tentang teknik-teknik menjawab yang betul dan strategi untuk
mendapat markah yang tinggi. Murid-murid akan mendapat pendedahan tersebut secara terus berbanding
guru-guru di sekolah. Hal ini mampu meningkatkan kemahiran pelajar dalam setiap mata pelajaran yang
diikuti, sekali gus mereka mampu menjawab soalan peperiksaan dengan cemerlang kerana peribahasa ada
menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa. Jadi, jelas menunjukkan bahawa murid-murid yang menghadiri
kelas-kelas tuisyen mampu berjaya dalam pelajaran.

Akhir sekali, dorongan daripada ibu bapa juga mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam
pelajaran. Ibu bapa merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa
menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak-anak
mereka gagal melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Mereka akan melakukan apa-apa sahaja
bagi memastikan anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan kerana pada mereka di mana ada
kemahuan di situ ada jalan. Mereka akan memberikan dorongan dan kata-kata motivasi kepada anak-anak
mereka agar belajar bersungguh-sungguh supaya kejayaan dapat digapai. Selain motivasi, ibu bapa akan
sentiasa berdoa agar anak-anak mereka dipermudahkan ketika menghadapi peperiksaan. Mereka
mengharapkan anak-anak mereka akan tenang apabila menduduki peperiksaan dan dapat menjawab soalan
dengan mudah. Apabila anak-anak merasakan diri mereka dihargai maka mereka akan belajar bersungguh-
sungguh supaya harapan ibu bapa dapat direalisasikan. Mereka berazam untuk menghadiahkan kejayaan
kepada ibu bapa sebagai balasan atas jasa dan pengorbanan mereka selama ini. Jadi, jelas menunjukkan
bahawa dorongan ibu bapa mempengaruhi kejayaan seseorang murid dalam pelajaran.

Kesimpulannya, aset yang paling berharga bagi sesebuah negara adalah warganya. Modal insan inilah
yang menjadi aset yang boleh disuntik nilai tambahnya untuk menjana pembangunan negara. Kejayaan
murid-murid dalam pelajaran menjadi keutamaan dalam membina modal insan yang berwawasan. Anak-
anak yang cemerlang dalam pelajaran dapat menjana idea untuk memacu negara ke arah menjayakan
Wawasan 2020. Jadi, ibu bapa memainkan tanggungjawab yang besar bagi memastikan anak-anak mereka
cemerlang dalam pelajaran kerana di bahu anak-anak inilah terletak harapan untuk menggantikan barisan
kepimpinan negara yang ada sekarang selaras dengan cogan kata pemuda harapan bangsa pemudi tiang
negara.

PERANAN ANAK-ANAK MEMBAHAGIAKAN IBU BAPA

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara semua
rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para
ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran.
Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu
untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh
institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin
berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu
menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu
dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek
kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah
dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah
menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus
membentuk keluarga yang bahagia.

Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa
mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah
semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang
berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa
pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-
anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan
mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anak-anak mereka. Oleh itu, anak-
anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu
bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa
mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak
semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan
sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka.
Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu
tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu
elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak
melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga,
jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi
itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan
keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan
konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anak-anak telah berjaya menjadi insan yang
berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi,
hati ibu mana yang tidak sejuk melihat anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul.
Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana
mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang
menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka.

Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka. Dalam
menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan
negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka.
Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati
orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang
sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka
sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di
hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan
tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang
berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah
sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung
perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar
nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar.
Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti
masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang
anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka.

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar
dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-
anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja
rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan
hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat
membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan
rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah
dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan
persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah
mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus
mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu
daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan
anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat
signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka.

Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar
nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat menyaksikan bahawa hampir saban
hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di
Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa
mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro
bertajuk, ‘Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua’. Wajarkah 9 orang anak bertindak
sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak
mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar
nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka.
Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana
segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa
jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan
kepada ibu bapa mereka.

Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan
untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza.
Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya,
mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang
anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal
ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah
bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan
seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan
kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan
sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di
dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila
berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan
bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa.

Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk
membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa mereka
secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi
tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur
falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan
menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap
dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah
dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan
dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan
seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk
memajukan nusa dan bangsa.

Tulis karangan yang berkaitan dengan ungkapan di bawah:


“Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu

dapat menjaga seorang ibu”

Anak ialah anugerah terindah bagi setiap ibu bapa. Anak jugalah hadiah paling istimewa bua tmereka.
Tanpa anak, hidup mereka tidak bermakna. Ibu, insan mulia yang pernah memperjudikan nyawa demi
melahirkan seorang manusia yang bergelar anak. Ibu itu umpama matahari, hadirnya membawa cahaya
kepada anak-anaknya. Tidak pernah kita mendengar keluh-kesah ibu dalam menghadapi kerenah anak-
anaknya. Sesungguhnya seorang ibu itu dapat menjaga sepuluh oranganak tetapi sepuluh orang anak belum
tentu dapat menjaga seorang ibu. Hal ini terbukti apabila ada anak-anak yang tegar meninggalkan ibu
mereka yang telah tua di rumah kebajikan. Di manakah letaknya hati anak-anak ini? Mereka bagaikan lupa
bahawasanya mereka ialah anak yang bertuah.Ibu mereka, dengan penuh kasih sayang mendidik,
menyayangi dan membelai mereka sejak mereka sekecil tapak tangan sehinggalah besar, menjadi dewasa
dan berakal. Ibu, insan yang tiada dua atau tiga, tiada ganti setelah hilang, tiada yang sama walau seiras.
Hal ini menjelaskan bahawa anak-anak perlulah bertanggungjawab terhadap ibu dan bapa mereka.

Ibu dan bapa, sama penting, sama berjasa. Menjalankan tanggungjawab terhadap ibu bapa tidaklah
sesukar membina sesebuah bangunan. Cukuplah sekadar kita menghormati, menyayangi dan menghargai
mereka sepertimana tanggungjawab yang pernah dilaksanakan oleh mereka kepada kita. Bersopanlah
ketika bertutur dengan mereka kerana bicara yang lembut daripada anak-anak ini pastinya dapat
menenangkan hati si ibu dan si bapa. Tidak perlu kita belikan mereka sebuah rumah banglo untuk
membuktikan kasih sayang kita kepada mereka. Cukuplah sekadar memberikan pelukan kasih. Hargailah
mereka dengan mengaku merekalah ibu dan bapa kita. Janganlah bersikap seperti Si Tanggang, kerana
darjat, ibunya dihina. Tiada yang hina jika kita mengaku ibu dan bapa kita yang miskin itu, tiada yang hilang
jika ibu dan bapa kita hormati, kita kasihi. Sesungguhnya ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya,
anak yang berjaya tidak akan kecundang jika menghormati ibu dan bapanya yang miskin. Oleh itu,
hormtilah, sayangilah dan hargailah ibu dan bapa anda sebelum mereka pergi meninggalkan anda buat
selamanya.

Semua agama mengiktiraf jasa ibu dan bapa. Sebagai seorang yang beragama, seorang anak perlu
faham akan tanggungjawab mereka. Patuhilah setiap suruhan ibu bapa selagi suruhan itu tidak melanggar
hukum syarak. Namun begitu, senario ini tidak berlaku pada zaman serba moden dancanggih ini. Lihatlah di
akhbar-akhbar tempatan, ada sahaja keluhan ibu dan ayah apabila anak yang dipelihara bagai menatang
minyak yang penuh, membuat onar. Si anak gadis lari dari rumah kerana kekasih, si terunanya pula terlibat
dengan pelbagai jenayah. Sukarkah mahu dipatuhi setiap arahan ibu bapa? Payah benarkah mahu menjadi
anak yang mendengar kata? Kasihanilah ibu dan bapa kita lantaran mereka tidak pernah mengajar anak-
anak untuk menjadi 'Abu Jahal' alaf baru.Tidak susah untuk menjadi anak yang bertanggungjawab jika kita
mematuhi setiap kata ibu danbapa. Janganlah kerana 'orang luar', kita campak ibu bapa, kita lupa akan
pesanan mereka. Ibu danbapa kita tidak akan sama dengan orang lain lantaran darah daging itu lebih akrab
sekali gus, air dicencang, takkan putus.

Jika kita mampu mematuhi suruhan mereka, pasti kita juga mampu memikul tanggungjawab
untukmenjaga nama baik mereka. Elakkan perkara-perkara yang mampu mengaibkan ibu bapa kita.
Janganlah kerana terlalu mengikut darah muda yang bergelodak dalam jiwa, kita lakukan maksiat,dan
apabila ditangkap, ibu bapalah yang terpaksa menerima hinaannya. Orang tidak akan bertanya siapa
pesalahnya, yang ditanya-tanya dan disebut-sebut, pesalah itu anak siapa? Tika itu, mana perlu kita
letakkan maruah ibu bapa kita yang ranap menjadi hinaan, mana topeng yang mampumelindungi malu ibu
dan bapa? Ingatlah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan dinanti tika dan masa
si ibu pengsan menerima berita, si bapa menangis melihat si anakterheret ke kandang besi. Peliharalah
maruah dan nama baik ibu bapa kerana anak yangbertanggungjawab selalu mengerti tentang pentingnya
maruah diri. Jika kita berjaya, kitalah yang menerima pujian, tetapi jika kita gagal, ibu bapalah yang akan
dipersalahkan lantaran ibu bapa itulah yang mendidik anak-anak. Gagal si anak, gagallah ibu bapanya.
Janganlah kita menjadi anak yang tidak bertanggungjawab lantaran seekor kerbau membawa lumpur, habis
semua terpalit.

Seterusnya, anak-anak perlulah peka terhadap ibu bapa. Peka ini merujuk kepada prihatin terhadap
segala aspek berkaitan ibu bapa kita. Sebagai anak, kita perlulah mengerti bahawa kemarahan ibu bapa
bukanlah tanda kebencian mereka, sebaliknya marah mereka itu tandanya sayang kerana sayang isteri
tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan. Selain itu, janganlah bersikap terlalu meminta. Ibu bapa
bukan tempat menuntut kehendak. Caknalah pada keadaan mereka. Ambil sedikit masa untuk kita kenali
ibu bapa kita. Fahamilah keadaan kesihatan mereka, status kewangan mereka dan selamilah hati mereka.
Jika kita meminta sesuatu, namun ibu atau bapa kita tidak dapat menunaikannya, jangan salahkan mereka.
Jika mereka mampu, dunia ini pun akan diberikan kepada anak-anak. Oleh itu, sebagai anak yang baik,
sekali-sekala cubalah anda ambil tahu perihal ibu bapaanda. Pastikan mereka gembira sepertimana mereka
menggembirakan anda. Ibu bapa itu permulaan kita, tanpa mereka, tiadalah kita di dunia ini.

Jika sejak kita dilahirkan hinggalah kita dewasa, ibu bapa sabar memelihara kita, seharusnya kita
menunaikan pula tanggungjawab kita kepada mereka selagi hayat mereka dikandung badan. Meniti usia tua
bersama anak-anak pastinya menjadi suatu hadiah terhebat buat ibu bapa. Peliharalah mereka apabila
mereka sudah tua atau ketika mereka sakit. Jika ibu dan bapa tidak pernah bosan melayan keletah anak-
anak mereka, tiada salahnya anak-anak yang telah dewasa memelihara mereka ketika usia senja mereka.
Jangan ditambah lagi bilangan penghuni rumah orang tua-tua. Habiskanlah usia tua mereka dengan merasai
kasih sayang daripada cahaya mata mereka. Seorang ibu pasti pernah berkata kepada anaknya, “Adik, ibu
tak minta harta Adik, ibu tak minta ilmu Adik,tapi cukuplah sekadar Adik jengah ibu sebulan sekali apabila
Adik dah besar nanti”. Begitu besar harapan si ibu untuk dijengah sebulan sekali. Namun begitu, bagi anda
yang pernah membuat ibuanda berjaga malam, bapa anda membanting tulang, cukupkah balasan seperti
itu? Peliharalah mereka seperti mereka memelihara kita bagai menatang minyak yang penuh.Tidak rugi
berbakti kepada ibu bapa kerana suatu masa nanti, anak-anak kita juga akan berbakti kepada kita.

Oleh hal yang demikian, hargailah ibu dan bapa kita. Janganlah dinanti jenazah ibu atau bapa dibawa ke
liang lahad, kerana saat itu semuanya telah terlambat. Pernahkah anda mengucapkan“saya sayang mak”
kepada ibu anda? Atau pernahkah anda memeluk erat bapa anda tanpa sebab? Jika tidak, cubalah buat
pertama kalinya dalam hidup anda. Kasih sayang yang wujud dengan sendirinya tidak perlukan paksaan.
Begitulah yang akan anda rasakan apabila kasih sayang anda salurkan pada ibu bapa anda tanpa paksaan,
dan semuanya anda lakukan kerana anda sayang ibu anda, anda sayang bapa anda. Hasilnya, akan wujud
istilah harmoni dalam jiwa anda. Memanglah yang patah tumbuh, yang hilang berganti, tetapi hilangnya
tiada berganti, hilangnya bapa tiada yang lain lagi. Selagi masih ada bulan mentari, selagi masih ada rasa di
hati, ucapkanlah kepada ibu dan bapa betapa anda menghargai mereka, seperti yang terungkap dalam bait-
bait lagu merdu dendangan Sudirman yang bertajuk 'Ayah dan Ibu', terdapat satu mesej yang jelas tentang
perlunya anak bertanggungjawab terhadap ibu dan bapa, dan mesej itu berbunyi;

'Ayah dan ibu,

Ayah dan ibu,

Itulah permulaan kami,

Dapat melihat bulan dan matahari.'

Oleh itu, beringatlah wahai insan yang bergelar anak.

Tanggungjawab oleh anak-anak kepada ibu bapa.

Memetik kata-kata daripada peribahasa Arab yang bermaksud , “Syurga itu dibawah telapak kaki ibu”
membuktikan keredaan hidup seseorang anak adalah dengan reda ibunya. Maksud yang sama juga dapat
dipetik daripada maksud Hadith Nabi SAW yang bermaksud, “Reda Allah hendaklah dengan reda daripada
ibu bapa”. Oleh hal yang demikian, hasrat seseorang anak yang mahu memperoleh keredaan Tuhan sama
ada di dunia mahupun di akhirat hendaklah terlebih dahulu memperoleh keredaan daripada ibu mereka.
Namun demikian, situasi masa kini memaparkan keadaan di sebaliknya apabila ramai warga emas yang
terbiar terlantar dengan jelas menunjukkan sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab anak-anak
terhadap ibu bapa mereka semakin menjadi-jadi. Inilah tempelakan seperti kacang melupakan kulit yang
menunjukkan rasa tanggungjawab dan sikap membalas budi anak-anak terhadap ibu bapa yang sudah tua
semakin memupus. Sewajarnya hal yang sedemikian tidak berlaku, malahan anak-anak dituntut
melaksanakan tanggungjawab yang sebaik mungkin terhadap ibu dan bapa mereka.

Dipetik daripada sebuah rencana dalam akhbar Utusan Melayu pada 26 Mei 2009 bertajuk “Di mana
Nilainya Warga Emas?”, memaparkan suatu keadaan yang sangat menyedihkan apabila 100 000 warga emas
yang hidup terpinggir dengan 95 000 daripadanya hidup secara bersendirian. Inilah fenomena menjelang
abad milenium apabila induk semakin terpisah daripada generasinya. Implikasi buruk yang bakal berlaku
ialah terpampang di hadapan mata kita anak-anak yang tidak tahu membalas budi, sombong dan
masyarakat yang porak peranda. Inilah ironi kononnya rakyat Malaysia yang sangat kaya dengan budi
bahasa dan sopan santun tetapi induk darah daging sendiri terbiar.

Sebagai anak yang tahu harga diri, kita wajar menjaga maruah diri dan maruah ibu bapa. Jangankan ibu
bapa sudah sampai pada usia warga emas, namun dalam setiap keadaan maruah mereka perlu dijaga.
Sebaliknya pada hari ini terdapat begitu ramai anak-anak yang menjadi samseng jalanan, penagih dadah,
dan gila seks sedang menular di tengah-tengah masyarakat. Anak-anak sewajarnya kembali ke pangkal
jalan. Pilihlah jalan hidup yang diredai dengan berpegang kepada pedoman agama, adat budaya dan
pantang larang. Akibat meminggirkan gaya hidup yang berteraskan nilai-nilai sejati insani akhirnya disiplin,
akhlak dan budi bahasa tidak dipedulikan. Hancurlah hati ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan. Oleh
itu, sebagai anak yang tahu akan nilai keinsanan tunjukkanlah sifat berbudi bahasa yang mudah disenangi
mata yang memandang dan menjadi halwa telinga kepada ibu bapa kerana mengenal getah batang lihatlah
kepada daunnya.

Selagi ada hayat mereka di dunia penuhilah hasrat mereka yang ingin melihat anak-anak berjaya di
dunia dan memperoleh reda Allah di akhirat. Jalan yang terbaik ialah setiap anak hendaklah menyimpan
azam untuk berjaya dalam pelajaran, halus budi pekertinya dan menyerlah dalam kerjayanya. Setelah
meninggal dunia, ibu bapa sangat mengharapkan anak-anak seumpama ini yang mendoakan kesejahteraan
mereka. Jadilah anak-anak yang baik sesuai dengan maksud Hadith Rasulullah, “Apabila mati seseorang
anak Adam itu, justeru terputuslah segala amalnya di dunia ini melainkan tiga perkara. Ketiga-tiganya ialah
sedekah yang dijariahi, ilmu bermanfaat yang disampaikan, dan anak-anak yang soleh yang sentiasa
mendoakan kesejahteraan ibu bapanya.

Kasih sayang boleh diibaratkan seperti tali yang sentiasa bersambung dan tidak pernah putus. Oleh itu,
sebagai anak yang memiliki pekerti mulia, jangan sama sekali diputuskan silaturahim sesama adik beradik,
kaum keluarga serta handai dan taulan yang telah dijalinkan oleh ibu bapa. Sama ada ibu bapa masih hidup
atau sudah tiada, anak-anak amat dituntut untuk memperluas rangkaian silaturahim. Amalan tersebut
bukan sahaja untuk memperkukuh jalinan keluarga malah dapat membentuk sebuah masyarakat yang
damai dan harmonis. Sekiranya ada jemputan seperti ke majlis kenduri kendara, menjenguk kesakitan dan
menziarahi kematian, eloklah anak-anak turut bersama-sama ibu bapa atau pun menjadi wakil kepada ibu
bapa sekiranya mereka sudah uzur. Sesungguhnya, amalan seperti ini menepati falsafah hidup sandar-
menyandar ibarat aur dengan tebing.

Saat yang paling kritikal kepada ibu bapa apabila mereka sudah mencecah usia emas dan mula
dirundung sakit atau uzur. Ramai anak-anak yang memberi alasan sibuk, keengganan ibu bapa tinggal
bersama-sama, dan pelbagai lagi dengan seribu satu alasan. Semuanya bertujuan untuk mengalih perhatian
agar dapat mengelak daripada menjaga ibu bapa. Pada kala ini tepat sangatlah dengan ungkapan di atas
iaitu, “Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat
menjaga seorang ibu”. Sebaliknya sebagai anak yang tahu harga budi dan diri, inilah peluang terbaik untuk
mereka membalas jasa ibu bapa. Bertepatan dengan nasihat Nabi SAW kepada seorang sahabatnya yang
telah mengendung ibunya kerana bertawaf di sekeliling Kaabah, bahawa jikalau sahabat tersebut
memberikan nyawanya sekalipun dia belum boleh menggantikan pengorbanan si ibu kepadanya. Walau
seberapa ramai sekalipun adik beradik, seseorang itu hendaklah berasa dialah yang paling bertuah sekiranya
berpeluang menjaga ibu bapa terutama sekali pada saat-saat nazak untuk menyahut panggilan Tuhan.
Insya-Allah segala pengorbanan anak pada waktu itu akan diganjari Allah pahala yang amat besar dan
segala dosanya terhadap kedua-dua ibu bapa akan diampunkan.

Demikianlah maksud ungkapan, kasih ibu sepanjang hayat, kasih bapa berkorban jiwa, dan kasih
saudara sewaktu berada. Kasih sayang ibu bapa tiada tukar ganti walaupun nilainya segunung emas dan
permata. Oleh itu, berbuatlah baiklah kepada ibu bapa selagi mereka masih hidup dan kirimilah doa setelah
mereka pergi buat selama-lamanya.

Tajuk : Langkah-langkah untuk Menggalakkan Orang Ramai Menggunakan Pengangkutan Awam

Zaman beralih, musim bertukar, selepas tamat penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama
menghantui rakyat, Malaysia telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk
menyesuaikan diri dalam mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami pelbagai
anjakan paradigma, kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan
sistem pengangkutan awam berjalan lancar. Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh
dikategorikan sebagai pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu
(KTM) dan monorel. Jikalau bukan kita yang sebagai warganegara Malaysia menyokong pengangkutan
awam, siapakah lagi yang akan menyokong? Lantaran itu, langkah-langkah yang proaktif dan drastik
hendaklah diimplementasi untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan rakyat, banyak rakyat mengatakan bahawa
kepelbagaian sistem tiket untuk menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah
mengurangkan minat mereka untuk bergerak dari tempat asal ke tempat destinasi dengan penukaran
rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem tiket bersepadu yang
dapat menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Kerajaan haruslah
menubuhkan sebuah Lembaga Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan di negara kita.
Pertubuhan tersebut dapat mempercepat proses pelaksanaan sistem tiket bersepadu yang masih dalam
peringkat kajian. Selain itu, kerajaan juga harus mengambil contoh negara barat seperti Melbourne yang
penumpangnya hanya perlu membeli satu tiket untuk menaiki kereta api dan bas. Seperti kata peribahasa
serampang dua mata, pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang tetapi juga dapat
memudahkan rakyat untuk mengatur perjalanan laluan. Jikalau sistem tiket bersepadu direalisasikan,
jumlah penumpang pastilah dapat mencapai sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali.

Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian rakyat untuk menaiki pengangkutan awam adalah
dengan meningkatkan kuantiti dan kualiti pengangkutan awam. Bilangan kereta api atau bas awam haruslah
dipertingkatkan bagi memenuhi kehendak rakyat. Selain itu, KTM negara kita haruslah mencontohi
perkhidmatan kereta api di Jepun yang menggunakan kuasa elektrik seprti shinkansen (bullet train). Dengan
menggunakan lokomotif kuasa elektrik, kekerapan penggunaan perkhidmatan KTM oleh rakyat di negara
kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan penggunaan pengangkutan awam adalah salah satu unsur untuk
menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal.
Dengan kualiti pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk
menunggu komuter. Hal ini dapat mengurangkan masa perjalanan penumpang secara keseluruhan. Dalam
era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, kekurangan dalam kualiti perkhidmatan pengangkutan
awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka kurang keyakinan terhadap
pengangkutan awam. Lantaran itu, cara ini haruslah dilaksanakan untuk menambat semula keyakinan
rakyat terhadap pengangkutan awam.

Langkah memasang televisyen dalam bas awam yang dijalankan oleh kerajaan mendapat banyak komen
yang baik dan diberi pujian kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat dalam perjalanan mereka. Para
penumpang berpeluang untuk menonton siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka. Prakasa
ini haruslah diperluas dalam pengangkutan awam seperti komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak
penumpang untuk menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam
perjalanan, siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan mengimbas kembali detik-detik
sejarah negara dan sebagainya. Selain rancangan sebegini, program lain seperti berita, laporan cuaca,
perkembangan sukan, maklumat kewangan juga harus disiarkan supaya rakyat dapat mendapat informasi
yang terkini dan meningkatkan pengetahuan dalam perjalanan mereka. Hal ini pasti dapat meningkatkan
bilangan penumpang pengangkutan awam kerana langkah ini telah memenuhi cita rasa rakyat Malaysia
yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang berkualiti tinggi dengan bayaran yang minimum.
Manifestasinya, langkah memasang televisyen memang dapat menggalakkan para penumpang
menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Seperti peribahasa Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya, pendidikan sejak kecil
juga merupakan salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan awam.
Sekolah dicadangkan supaya memberi pelajaran tentang kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan
awam dan keselamatan menggunakan pengangkutan awam supaya dapat menanamkan konsep yang
mendalam dalam minda pelajar supaya menaiki perkhidmatan awam lebih baik daripada menggunakan
kenderaan sendiri. Usaha ini bukan sahaja didedahkan kepada pelajar yang kecil, tetapi juga harus diberikan
kepada mereka yang dewasa untuk mengubah imej buruk yang mendalam dalam hati mereka. Melalui
pendidikan, kita dapat menghasilkan golongan yang bergantung pada perkhidmatan kereta api sebagai
pengangkutan utama mereka. Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang yang menaiki pengangkutan
awam. Walaupun mereka memiliki kenderaan sendiri, tetapi mereka tetap akan menggunakan perkhidmatan
awam seperti kereta api sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep kebaikan pengangkutan awam
ditanam secara mendalam kepada mereka.
Sebenarnya, pengangkutan awam banyak membawa kemaslahatan seperti mengurangkan jarak
perjalanan, menghematkan masa, mempercepat operasi penghantaran barangan ke sesuatu destinasi dan
sebagainya kepada kita. Akhir kata, pemodenan sistem perhubungan darat merupakan inovasi yang penting
ke arah mewujudkan mobilisasi sumber tenaga manuasia pada tahap yang paling optimum. Lantaran itu,
kita harus menyokong usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan dalam menggalakkan orang ramai
menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

[7 43 patah kata]

TEMA 2 : CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG / KUALITI

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan namun, remaja yang merupakan bakal tunjang
negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi
mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara
saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno
pernah mengungkap, “Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di sini
bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa.

Kecemerlangan dari aspek akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan
remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun
bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas
tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana,
seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan
inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik Rakyat sihat, negara maju dan akan
menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang
cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian
mereka. Oleh itu, remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam
dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, Ikut hati mati, ikut rasa binasa.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak
memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental
untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu
memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri
sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan
mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran,
bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak,
merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, Hendak seribu daya, tak
hendak seribu dalih Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam
kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan
dengan slogan. Remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat mempertahankan
kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Selain itu, remaja yang berkualiti juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita
harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik
remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan
ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan
memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-
kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti
sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan
kata lain, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang
agar dapat melahirkan masyarakat sakinah dan madani pada suatu hari nanti.
Sementelahan pula, remaja yang berkualiti perlu kreatif dan inovatif untuk memacu kegemilangan
negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori
bidang yang baru dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan
maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baru akan menikmati buah kejayaan
yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal
tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan
yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan
rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini,
penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan
berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu
menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.

Intihanya, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui
kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti
akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan
kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi
realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-
ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan
terbilang.

[724 patah kata]

Tajuk : Cara-cara Mempopularkan Permainan Tradisional

Dasawarsa ini, negara kita sedang menempuh arus globalisasi dan modenisasi sehingga negara kita
mengalami pembangunan yang pesat sekali. Sehubungan dengan itu, permainan tradisional turut dipandang
enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Hal ini berkait rapat dengan
perkembangan permainan komputer dan permainan siber yang popular dalam kalangan remaja dan belia
kita. Adakah kita sanggup membiarkan khazanah kebudayaan kita ditelan dalam peredaran zaman dan
lenyap di bumi kita ini? Tepuk dada tanya selera dan sebelum nasi menjadi bubur, kita perlu mencari
pendekatan yang efisien untuk meninggikan martabat permainan tradisional di negara kita semula, seperti
peribahasa, di mana batang terguling, di situ cendawan tumbuh. Oleh itu, prakarsa untuk mempopularkan
permainan tradisional ini patut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk mengangkat martabat
permainan tradisional ini.

Sesungguhnya, Kempen Cintai Permainan Tradisional merupakan salah satu alternatif yang ampuh untuk
mempopularkan permainan tradisional ini di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan oleh Jabatan
Kebudayaan dan Kesenian Negara secara besar-besaran dengan kerjasama pihak media massa,
terutamanya media cetak dan media elektronik, iaitu surat khabar dan pihak televisyen. Pihak berkenaan
perlu menyiarkan dokumentari dan rencana untuk memperkenalkan permainan tradisional di negara kita,
seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan sejarah dan cara bermain, pihak media
perlu menyedarkan orang ramai tentang kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara.
Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan karang-mengarang,
pameran, dan peraduan poster dan sebagainya. Bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta lantaran itu,
golongan muda pasti menghargai dan berminat terhadap permainan tradisional kita.

Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menjadikan permainan
tradisional sebagai kegiatan kokurikulum di sekolah. Sehubungan dengan itu, pihak sekolah harus
digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan permainan tradisional. Berpaksikan kelab permainan
tradisional seperti Kelab Wau Bulan, pelajar boleh diajar tentang cara membuat alat permainan, cara
bermain dan syarat-syarat permainan. Setelah disuntik ilmu itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri
dalam permainan tradisional tersebut. Hakikatnya, generasi muda merupakan tunjang yang bakal mewarisi
pucuk kepimpinan dan mewarnai masyarakat kita kelak. Justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam
permainan tradisional pasti dapat memajukan permainan tersebut di tanah air kita daripada membiarkan
seni budaya kita terus lenyap dan pupus begitu sahaja. Bak kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ
ada jalan maka atas komitmen pihak sekolah, putera-puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu
pengetahuan dapat bergiat aktif dalam permainan tradisional untuk melegakan tekanan sebagai kegiatan
riadah yang sangat bermanfaat.

Sementelahan pula, pertandingan merupakan inisiatif yang dominan untuk mempopularkan permainan
tradisional dalam masyarakat kita. Hal ini demikian kerana, sebagai fitrah manusia memang suka bertanding
dan berlaga. Seterusnya agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti pihak
Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan Malaysia boleh bergabung
dengan badan korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan permainan tradisional
dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Salah satu contoh yang
terbaik ialah Festival Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor. Pertandingan layang-layang itu
berjaya menarik peminat-peminat permainan tersebut dari seluruh dunia untuk turut mengambil bahagian.
Hal ini berjaya mempromosikan pelancongan dan permainan tradisional kepada pelancong asing, selaras
dengan peribahasa, sambil menyelam minum air.

Secara intihanya/Sebagai intiha bicara, permainan tradisional harus dilestarikan supaya tidak lapuk dek
hujan dan tidak lekang dek panas. Jika semua pihak bersikap acuh tak acuh dan hanya melepaskan batuk di
tangga, khazanah budaya kita pasti akan lenyap di bumi kita. Ingatlah peribahasa, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi untuk mempopularkan
permainan tradisional ini agar dapat dilestarikan sampai bila-bila dan menjadi satu alat permainan yang
mesti dimainkan oleh generasi pada masa akan datang.

[583 patah kata]

TEMA 4 : HUBUNGAN KEKELUARGAAN YANG SEMAKIN RENGGANG – USAHA-USAHA


MERAPATKANNYA

Tajuk 1 : Rencana ‐ Hubungan Kekeluargaan Semakin Renggang (Kesan, factor dan usaha)

Pada era pascainovasi ini, negara Malaysia sedang mengalami transformasi daripada sebuah negara yang
sedang membangun kepada sebuah negara yang pesat dan rancak pembangunannya. Dewasa ini, Malaysia
mengorak langkah dalam menyongsong arus kemajuan yang kian deras. Namun, sejajar dengan arus
pembangunan negara, perkara yang acap kali merimaskan masyarakat sarwajagat ialah isu hubungan
kekeluargaan yang semakin renggang. Dalam keghairahan mengejar kebendaan dan kemewahan, hubungan
kekeluargaan yang semakin renggang mula berakar umbi sejak dahulu lagi. Keluarga boleh ditakrifkan
sebagai satu institusi yang terdiri daripada orang‐orang yang tersayang dan dikasihi termasuk keturunan
moyang yang sama. Keluarga boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, yakni keluarga nukleus dan keluarga
besar. Keluarga nukleus terdiri daripada ibu, bapa, abang, kakak serta adik. Keluarga besar pula terdiri
daripada keluarga nukleus, nenek, datuk, sepupu, mak cik, dan pak cik. Mutakhir ini, hubungan
kekeluargaan yang semakin renggang dan bobrok kian menggamit perhatian semua pihak.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan kekeluargaan yang semakin renggang mampu
menyumbang kepada pelbagai impak negatif. Antara kesan daripada kemelut ini ialah kegagalan ahli
keluarga dalam memahami serta saling menghormati antara ahli keluarga sendiri. Hubungan kekeluargaan
yang semakin renggang dapat dilihat dengan ketara menerusi beberapa kejadian yang bobrok. Sebagai
contoh, keratan akhbar daripada Berita Harian pada 17 Julai 2005 melaporkan bahawa seorang bapa
bertindak mencabuli kehormatan dan merogol anak perempuannya semasa ketiadaan orang lain di rumah.
Kejadian sumbang mahram ini merupakan satu insiden yang amat menyedihkan dam memalukan.
Seandainya hubungan kekeluargaan semakin renggang, ahli‐ahli keluarga akan menghadapi masalah untuk
berkomunikasi dan saling bertukar fikiran. Hal ini demikian kerana hubungan yang renggang ini telah
memusnahkan jalinan kekeluargaan yang akrab dan erat. Oleh itu, ahli‐ahli keluarga tidak memahami
antara satu sama lain dan seterusnya konflik dan perselisihan faham mudah berlaku. Kejadian ini akan
mengakibatkan pergaduhan dan sekali gus ahli‐ahli keluarga bermusuhan sesama sendiri.

Di samping itu, hubungan kekeluargaan yang semakin renggang turut menyumbang kepada masalah
pengabaian ahli‐ahli keluarga khususnya golongan tua dan bayi. Penghantaran golongan warga emas yang
uzur dan pembuangan bayi yang masih belum mencecah usia tiga bulan tidak lagi asing kepada masyarakat
metropolitan khususnya di Kuala Lumpur. Masyarakat moden pada hari ini beranggapan bahawa golongan
warga emas merupakan suatu beban yang menyusahkan mereka. Oleh itu, mereka bertindak menghantar
golongan ini khususnya ibu bapa mereka yang tua dan uzur ke rumah orang tua‐tua. Mereka langsung tidak
memahami perasaan ibu bapa mereka yang terasa diabaikan oleh cahaya mata sendiri. Selain itu, ada pula
golongan ibu bapa yang masih muda dan mentah pemikirannya bertindak membuang bayi mereka ke dalam
tong sampah mahupun meletakkannya di tepi jalan dan di kaki lima. Perbuatan yang hina ini dipercayai
dilakukan atas sebab ibu bapa tidak bersedia dan tidak mampu untuk memikul tanggungjawab untuk
membela seorang bayi. Angkara mengabaikan ahli keluarga khususnya warga emas merupakan senario
yang amat memalukan. Oleh itu, isu ini tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak.

Peribahasa Melayu ada mengatakan masakan pokok boleh bergoyang kalau tiada angin yang bertiup.
Tiada pihak yang patut dipersalahkan melainkan ahli keluarga itu sendiri. Isu hubungan kekeluargaan yang
semakin renggang kian hangat diperdebatkan oleh media massa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa
sikap ibu bapa yang individualistik dan materialistik merupakan pemangkin utama kepada kemelut ini.
Dewasa ini, golongan ibu bapa taksub mengejar kebendaan dan beranggapan bahawa kerjaya dan wang
ringgit adalah lebih afdal daripada keluarga sendiri. Mereka turut beranggapan bahawa kemewahan dan
kerjaya dijadikan sebagai kayu ukur dalam menilai status sosial mahupun kemampuan individu dalam
masyarakat. Anggapan ini adalah salah sama sekali kerana keluarga merupakan aset paling berharga bagi
semua insan di seantero marcapada. Keluarga merupakan aset yang paling signifikan dan tidak dapat
ditukar beli dengan wang ringgit. Akan tetapi, golongan ibu bapa yang lebih mementingkan kerjaya semata‐
mata untuk kepuasan dan keselesaan diri sendiri telah mengabaikan anak‐anak mereka dan menggantikan
kasih sayang dengan sogokan wang ringgit. Anak‐anak ini telah kehilangan satu wahana untuk bertukar
fikiran dan pendapat dengan ibu bapa mereka. Mereka bertindak mencari rakan sebaya dan meluahkan
segala isi hati kepada rakan yang dipercayai berupaya membantu mereka. Bertitik‐tolak dari sinilah, gejala
sosial mula berlaku dan menular tanpa mencapai titik noktahnya.

Isu ini yang diumpamakan seperti bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru haruslah ditangani dengan
segera. Pelbagai langkah penyelesaian yang pragmatik, sistematik dan konkrit haruslah diambil secara
berterusan. Ahli keluarga haruslah lebih banyak meluangkan masa untuk keluarga. Masa yang
diperuntukkan pula haruslah dimanfaatkan dengan sepenuhnya. Sebaik‐baiknya, segala konflik atau
masalah yang dihadapi oleh sesiapa sahaja dalam keluarga itu hendaklah dibawa berbincang bersama-
sama. Tambahan pula, ahli‐ahli keluarga pula seharusnya menjadikan hari Ahad sebagai hari keluarga
supaya ahli keluarga dapat bersama‐sama tanpa gangguan aktiviti lain seperti mesyuarat dan aktiviti
kokurikulum.

Selain itu, ahli‐ahli keluarga khususnya golongan remaja haruslah didedahkan kepada didikan agama dan
moral. Masyarakat kontemporari acap kali memandang enteng mengenai didikan agama dan moral. Didikan
agama dan moral mampu membentuk jati diri dan hubungan kekeluargaan yang utuh. Melalui pengenalan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1983) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (1989), subjek
Pendidikan Moral dan Pendidikan Agama telah diperkenalkan. Program ini bertujuan untuk menerapkan nilai‐
nilai murni dalam jiwa pelajar khususnya dalam menghargai dan mencintai keluarga. Namun demikian,
pelajar mutakhir ini hanya menganggap bahawa subjek‐subjek ini lebih berorientasikan peperiksaan
daripada ilmu praktikal. Dengan erti kata yang lain, ilmu teori lebih diutamakan daripada ilmu praktikal.
Jadi, pihak sekolah dan pelajar haruslah berganding bahu sama ada dalam memberikan kesedaran tentang
kepentingan hubungan kekeluargaan yang erat atau dalam menghargai hubungan kekeluargaan agar
pergolakan mahupun konflik tidak ditimbulkan sesama ahli keluarga.

Sebagai intiha bicara, komitmen yang jitu dan padu haruslah diberikan daripada semua pihak. Penerapan
nilai‐nilai murni mengenai hubungan kekeluargaan dalam jiwa anak‐anak muda haruslah dilakukan sejak
dari usia yang muda lagi. Bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya yang sepatutnya
dijadikan azimat demi kebahagiaan sejati . Generasi muda khususnya golongan muda haruslah diberikan
kesedaran mengenai keperluan sebuah institusi keluarga yang harmonis. Remaja merupakan pemangkin
dan pelopor kepada kepimpinan negara kelak. Merekalah bakal pemimpin dan akan mengetuai pucuk
pimpinan negara kelak. Tambahan pula, remaja haruslah melengkapkan diri dengan lunas keluhuran moral
supaya hubungan kekeluargaan yang erat dapat dijalin. Sebelum nasi menjadi bubur, eloklah kita
menjangkau sehabis tangan dan menggembleng tenaga dalam membendung kemelut ini. Janganlah
menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi tetapi muflis dari segi
kebudayaan dan nilai-nilai murni. Namun demikian, sekarang bukanlah masanya untuk menopang dagu dan
menuding jari. Misi dan visi rakyat jelata untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang tersohor
dan terkemuka di seantero marcapada pasti bersifat fatamorgana seandainya kemelut ini tidak dapat
ditangani. Institusi keluarga yang harmonis amatlah penting dalam melahirkan golongan pemimpin negara
kelak. Kejayaan seseorang individu bermula daripada institusi keluarga yang sempurna. Pendek kata,
segenap lapisan masyarakat di seluruh pelosok negara haruslah berganding bahu dalam menangani kemelut
hubungan kekeluargaan yang semakin renggang. Jadikanlah “Rumahku Syurgaku” sebagai tempat
terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Jangan jadikan rumah sebagai lembah
pergaduhan mahupun pertelingkahan. Rumah sepatutnya dijadikan sebagai satu tempat yang gembira dan
bukannya sebagai satu tempat yang menimbulkan suasana yang tegang.

[1 122 patah kata]

Tajuk : Kebaikan Amalan Gotong-Royong

Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita
seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan
sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini
menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa wajar dilestarikan agar sentiasa releven dan diingati oleh
masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baru ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini
hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini melunturkan
semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah yang
menghayati maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan muda
generasi kini yang telah bergotong- royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang demikian,
kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong ini.

Kebaikan amalan bergotong-royong yang paling signifikan ialah dapat memperindah tempat tinggal.
Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai
insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan
melaksanakan amalan gotong–royong, kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan
memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak cinta. Apabila
kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai kawasan tempat
tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni bumi, kita boleh
mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong untuk menghijaukan bumi. Bak kata peribahasa, sambil
menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong– royong, kita juga dapat lebih
memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat yang bekerjasama.
Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh . Kita harus mengapresiasi amalan ini
sebelum kewujudannya dipandang sepi oleh masyarakat. Janganlah kita lupa bahawa di mana ada
kemahuan, di situ ada jalannya.

Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang penting
sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan berbuat begitu,
kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Secara
peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan sejak kecil kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti penting dalam
kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan tersebut. Kita
juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga kerja yang
ramai jika kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian, amalan ini
harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk
mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .

Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Kegiatan bergotong-royong memainkan peranan
yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang dijalankan oleh
Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum semakin lebar dari setahun ke
setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan kegiatan bergotong-royong kita
dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-
masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita
dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum masing-masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek,
masuk ke kandang kerbau menguak. Melalui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih mempercayai
masyarakat sekeliling dan menghormati sesama insan. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai
aur dengan tebing .
Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini seperti yang
dikatakan oleh Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan
melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam
diri. Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen
bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan
mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga
mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat.

Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan berbuat


demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan
terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan
semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu.
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin dan
meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jiran
ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita.
Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang pertama akan
membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tidak percaya? Janganlah lupa bahawa pepatah
Melayu ada mengatakan bahawa Jiran sepakat membawa berkat".

Intihanya, amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak. Dengan mengamalkan semangat
ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah secara tidak langsung. Bak kata pepatah, ke bukit
sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup wacana, amalan
gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk mewujudkan kualiti
kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam kehidupan harian.
Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

[865 patah kata]

Tajuk 2 : Usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia

Isu perpaduan kaum merupakan satu usaha berterusan yang perlu dipikul dan dijunjung bersama-sama
oleh semua pihak. Sekiranya terlerai ikatan silaturahim dan musnah perpaduan dalam masyarakat, nescaya
pelbagai impak negatif akan menimpa masyarakat khususnya dan negara amnya. Oleh sebab itu, pelbagai
usaha perlu diambil bagi memupuk dan membaja agar perpaduan terus subur dan mewangi dalam
kehidupan masyarakat.

Usaha pertama untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat adalah dengan mengadakan
aktiviti gotong-royong. Aktiviti gotong-royong merupakan saluran dan peluang kepada masyarakat di
sesuatu kawasan perumahan untuk bertemu dan mengenali antara satu sama lain. Di samping itu, aktiviti
ini dapat memupuk semangat bekerjasama untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran
tempat kediaman mereka sesuai dengan slogan Negara Bersih Rakyat Sihat. Sebagai contoh, aktiviti
gotong-royong yang boleh dijalankan ialah membersihkan kawasan perumahan, taman permainan, tanah
perkuburan dan sebagainya. Seterusnya, aktiviti gotong-royong dapat meringankan serta memudahkan
kerja yang sukar dilakukan ibarat kata peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing serta
ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Selain itu itu, perpaduan kaum di Malaysia boleh dicapai dengan meraikan sambutan perayaan kaum-
kaum di Malaysia secara bersama-sama. Melalui aktiviti kunjung-mengunjung yang dilakukan akan dapat
mengeratkan silaturahim antara jiran serta rakan daripada pelbagai kaum. Sebagai contohnya, sambutan
Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali merupakan perayaan utama yang boleh diraikan oleh seluruh
masyarakat pelbagai kaum. Melalui kunjungan sambutan perayaan sesuatu kaum dapat menerbitkan
perasaan hormat-menghormati terhadap adat dan kepercayaan kaum lain. Di samping itu, budaya ini dapat
mengukuhkan perpaduan akibat kurangnya syak wasangka antara kaum di Malaysia. Sekiranya perkara ini
dapat dipraktikkan nescaya masyarakat Malaysia akan mampu menghadapi apa-apa sahaja cabaran yang
datang dari luar atau masyarakat antarabangsa, ibarat kata peribahasa bulat air kerana pembetung, bulat
manusia kerana muafakat serta bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Seterusnya, aktiviti sukan dan permainan yang dijalankan boleh mewujudkan perpaduan kaum di
Malaysia. Sukan dan permainan yang dijalankan dapat dijadikan tali penghubung atau gelanggang
pertemuan pelbagai kaum di Malaysia. Dalam hal ini, satu perkara yang perlu diselesaikan adalah dengan
memecahkan monopoli sukan dan permainan yang dikuasai oleh sesuatu kaum sahaja seperti permaian bola
keranjang, ping pong, sepak takraw dan sebagainya. Kita berharap pada suatu masa nanti pasukan bola
keranjang negara misalnya, mampu diwakili pelbagai kaum di Malaysia dan bukan sahaja dimonopoli oleh
kaum Cina sahaja. Dalam konteks ini, sukan bola sepak, badminton, hoki dapat dijadikan contoh dan
teladan. Dengan bermain bersama-sama dalam sesuatu sukan dan permainan serta seterusnya mewakili
pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, akan dapat menanamkan semangat cinta akan negara.
Usaha ini tentu dapat mengharumkan nama negara sekali gus meningkatkan imej negara di peringkat
antarabangsa.

Sebagaimana yang semua telah ketahui tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat kemerdekaan
negara. Sambutan Hari Kebangsaan sesungguhnya membuka satu lagi jalan dalam usaha memupuk
perpaduan di Malaysia. Pada kebiasaannya, pelbagai kaum akan menyertai upacara sambutan tersebut pada
setiap tahun. Melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan nescaya dapat menambahkan ukhwah dan
permuafakatan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Di samping itu, penghayatan tema sambutan
Hari Kebangsaan, misalnya Keranamu Malaysia diharap dapat menanam semangat cinta akan negara sekali
gus mengukuhkan amalan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, semua
kaum di Malaysia perlu memahami bahawa kemerdekaan yang digapai pada hari ini perlu dijaga kerana
Malaysia hanya satu, dan tiadak ada duanya. Peribahasa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri
sendiri, baiklah di negeri sendiri perlu direnungi oleh setiap warganegara Malaysia agar perpaduan bukanlah
menjadi duri dalam daging dalam usaha negara mencapai Wawasan 2020.

Intihanya, semua pihak perlu sedar akan pentingnya memupuk dan menjaga perpaduan masyarakat di
negara kita. Sesungguhnya, sekali kita leka dan lali serta memandang enteng akan perpaduan kaum,
nescaya kita akan menyesal untuk selama-lamanya kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata dan
tindakan buruk padahnya. Kini, kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan
adalah demi menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun
terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi
yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan bersifat proaktif oleh semua
pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan kaum dan integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan
perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

[686 patah kata]

Tajuk 2 : Amalan Menabung Perlu Dipupuk Sejak Kecil Lagi. Bincangkan Faedah-Faedah Yang
Diperoleh Melalui Amalan Menabung Ini.

Amalan menabung dapat didefinisikan sebagai suatu budaya menyimpan wang yang dilaksanakan secara
berterusan. Terdapat pelbagai jenis bekas tabung yang diperbuat daripada variasi bahan sama ada semula
jadi atau tiruan seperti buluh daripada bahan semula jadi dan plastik daripada bahan tiruan. Namun,
kebelakangan ini, amalan menabung kurang dipraktikkan oleh majoriti masyarakat di Malaysia dan ini jelas
mengundang kerisauan kepada beberapa pihak yang telah bertungkus lumus mengadakan pelbagai kempen
berkenaan amalan menabung ini. Mahu ataupun tidak, pihak yang terlibat haruslah memerah otak mencari
alternatif lain bagi menjadikan amalan menabung ini merupakan suatu perkara yang sinonim dalam
kalangan masyarakat Malaysia. Sekiranya penerangan tentang faedah-faedah yang diperoleh melalui amalan
menabung mampu memberikan reaksi positif, mengapa tidak kita melakukannya?

Antara faedah yang diperoleh melalui amalan menabung ialah individu itu akan dapat memupuk diri
menjadi seorang yang berjimat cermat. Hal ini berlaku demikian kerana individu tersebut akan sentiasa
mengawal perbelanjaan harian agar dapat menyimpan wang di dalam tabung. Justeru, individu tersebut
akan berjaya mengawal perasaan dan keinginan mereka untuk memperoleh sesuatu barangan walaupun
pada hakikatnya mereka tidak menjadikan barangan tersebut sebagai suatu keperluan. Tamsilannya,
seorang anak yang telah diajar untuk mengamalkan sikap berjimat cermat oleh ibu bapa mereka akan bijak
menggunakan wang yang diberi dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, pendedahan amalan menabung kepada
anak-anak sejak kecil lagi umpama melentur buluh dari rebungnya akan memberikan kesan positif kepada
mereka sekali gus menyematkan sikap suka berjimat cermat dalam diri mereka.

Selain itu, faedah lain yang diperoleh melalui amalan menabung yang dipupuk sejak kecil lagi ialah dapat
menjamin masa hadapan yang cerah bagi anak-anak. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan yang
dikumpul mereka daripada kecil sehingga dewasa akan dapat digunakan untuk tujuan tertentu apabila
mereka dewasa kelak. Lantaran itu, jika anak-anak berkehendakkan sesuatu, mereka mampu untuk
mendapatkannya tanpa perlu membebankan atau bergantung harap pada kedua-dua orang tua mereka.
Tamsilannya, jika anak-anak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading sama ada di
dalam atau di luar negara, ibu bapa mereka tidak begitu risau dan akan menerima tawaran tersebut dengan
hati yang terbuka tanpa perlu memikirkan soal pembiayaan pengajian anak-anak mereka. Oleh itu, amalan
menabung yang dipupuk sejak kecil lagi jelas memberikan masa hadapan yang cerah buat cahaya mata
mereka.

Bukan itu sahaja, amalan menabung yang disemat dalam diri individu sejak kecil lagi juga akan dapat
menjadi penyelamat pada waktu runcing atau kecemasan. Hal ini berlaku demikian kerana hasil tabungan
yang dikumpul dari usia setahun jagung sehingga dewasa akan dapat digunakan ketika berhadapan sesuatu
kejadian yang tidak diduga. Bak kata peribahasa Melayu, malang tidak berbau. Impaknya, individu tersebut
tidak berada dalam keadaan terdesak apabila terjadi sesuatu perkara yang tidak diingini sekiranya mereka
menjadikan aktiviti menabung sebagai suatu amalan. Tamsilannya, hasil tabungan yang dikumpul dari usia
muda dapat digunakan untuk membiayai kos rawatan yang dikenakan pihak hospital sekiranya salah
seorang ahli keluarga penabung berdepan masalah seperti kemalangan, menghidapi penyakit dan
sebagainya sekali gus dapat memupuk sikap saling membantu dalam ahli keluarga. Oleh itu, amalan
menabung yang dididik sejak anak-anak kecil lagi jelas membantu meringankan masalah keluarga ketika
berdepan situasi rumit.

Intihanya, jelaslah bahawa amalan menabung perlu dipupuk dalam diri anak-anak sejak mereka kecil
lagi. Dengan demikian, ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat sekeliling haruslah sentiasa memberikan
sokongan kepada anak-anak muda masa ini dalam usaha membudayakan amalan menabung dalam diri
mereka. Sekiranya semua pihak menjalankan kewajipan mereka dengan sebaik-baiknya, tidak mustahil
suatu hari nanti anak-anak yang diasuh supaya membudayakan amalan menabung ini akan menjadi individu
yang pemurah, berjimat cermat serta seorang pekerja yang amanah terutamanya apabila melibatkan urusan
kewangan. Jelaslah, amalan menabung ini juga merupakan usaha untuk menyediakan payung sebelum
hujan dan juga suatu amalan yang mendatangkan banyak kebaikan kepada individu itu sendiri, keluarga,
masyarakat juga negara.

[605 patah perkataan]

Tajuk 1 : Kelebihan Menguasai Bahasa Asing

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini
menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat dan perlu ditempuhi
oleh setiap individu. Penguasaan pelbagai bahasa merupakan satu aset utama dalam diri individu untuk
menghadapi pelbagai cabaran mendatang. Oleh itu, kelebihan atau kepentingan menguasai pelbagai bahasa
yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan secara terperinci demi manfaat bersama.

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa merupakan medium perantaraan yang
penting dan mempunyai nilai komersial yang tinggi. Bahasa menjadi alat perhubungan dan spektrum
komunikasi yang paling efektif kepada organisasi dan individu dalam segala hal. Kemampuan menguasai
pelbagai bahasa mampu menjamin masa hadapan yang cerah dan berpeluang untuk maju ke hadapan di
samping mengilap potensi diri yang sebenar. Sebagai contoh, seseorang individu yang mampu menguasai
pelbagai bahasa asing akan lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan individu yang hanya
menguasai satu bahasa. Hal ini adalah kerana, persaingan untuk mendapat pekerjaan sangat sengit. Mereka
yang mempunyai kelulusan yang baik, berketrampilan menarik dan berkebolehan menguasai lebih daripada
satu bahasa akan dapat menjawat sesuatu pekerjaan dengan lebih mudah. Sebagai intihanya, seseorang
individu yang menguasai lebih daripada satu bahasa menjadi jambatan untuk mereka mendapat pekerjaan
dengan mudah.

Selain itu, kita juga dapat menyaksikan betapa pentingnya seseorang yang menguasai bahasa asing
untuk memudahkannya berinteraksi dan berkomunikasi. Bagi sesetengah orang yang mempu menguasai
lebih daripada satu bahasa lebih mudah untuknya berkomunikasi, terutamanya apabila kita berurusan
dengan individu yang berasal dari luar negara. Hal ini juga akan meningkatkan keyakinan diri kita dan
mengelakkan kita tertipu apabila berurusan dengan orang lain. Sebagai contoh, individu yang melanjutkan
pelajaran di luar negara, mereka akan lebih yakin untuk bergaul, berinteraksi dan berkomunikasi sekiranya
menguasai lebih daripada satu bahasa. Biar kita ambil contoh seorang usahawan yang berurusniaga di luar
negara, sekiranya beliau menguasai lebih daripada satu bahasa akan mengelakkan dirinya daripada ditipu.
Konklusinya, menguasai lebih daripada satu bahasa akan memudahkan seseorang untuk berinteraksi dan
mengelakkan daripada ditipu.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, mempelajari bahasa asing juga dapat
membantu kita memupuk semangat perpaduan yang tinggi. Sekiranya bahasa kaum-kaum yang terdapat di
Malaysia dan di luar negara dapat dipelajari dan difahami, sudah tentu kita akan dapat mengenali budaya
dan adat resam kaum tersebut dengan lebih mendalam. Sebagai analoginya, dengan menguasai bahasa
Kadazan atau bahasa Iban, maka perpaduan akan dapat dipupuk dengan lebih mudah. Konklusinya,
penguasaan lebih daripada satu bahasa akan memupuk perpaduan yang lebih jitu dalam kalangan
masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan etnik, sesuai dengan peribahasa tak kenal maka tak cinta.

Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah mempelajari bahasa asing dapat
membantu kita meneroka maklumat dalam pelbagai bidang. Oleh itu, dengan menguasai pelbagai bahasa,
dapat membantu kita mengumpul maklumat yang ditulis dalam semua bahasa yang kita kuasai. Sebagai
contoh, maklumat yang terkandung dalam buku, jurnal, akhbar dan internet yang menggunakan bahasa lain
di dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Perancis dan Bahasa Arab akan lebih difahami dan
dikuasai sekiranya kita menguasai bahasa-bahasa tersebut. Jelaslah bahawa, mempelajari bahasa asing
dapat membantu kita menelusuri pelbagai maklumat sekali gus dapat meningkatkan ilmu pengetahuan.

Sebagaimana yang kita maklumi, menguasai bahasa asing dapat mengisi masa lapang. Sesungguhnya,
dengan mempelajari bahasa asing bukanlah sesuatu yang sukar. Sebagai contoh, kita boleh mempelajari
bahasa Mandarin, bahasa Jepun, bahasa Arab dan bahasa Perancis dengan menghadiri kelas tersebut,
tambahan pula pengajaran bahasa-bahasa asing ini juga disediakan di pusat-pusat pengajian tinggi dan di
sekolah-sekolah berasrama penuh. Selain itu, kemahiran tersebut boleh mendatangkan nilai komersial bak
kata peribahasa sambil menyelam, minum air apabila kemahiran menguasai bahasa asing ini boleh
diaplikasikan mengikut keperluan. Oleh itu, jelaslah bahawa bahasa asing mudah untuk dipelajari serta
dapat mengisi masa lapang.

Sebagai kesimpulannya, penguasaan bahasa asing banyak mendatangkan implikasi yang positif terhadap
diri kita agar menjadi ilmu penyuluh kehidupan pada masa hadapan. Oleh itu, kita perlu menguasai pelbagai
bahasa asing agar menjadi satu kelebihan atau aset untuk menjadi modal insan yang cemerlang kepada
negara sekali gus dapat melahirkan individu yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

[656 patah kata]

You might also like