You are on page 1of 4

BINCANGKAN PENGARUH AGAMA ISLAM TERHADAP MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL DI TANAH MELAYU

SEBELUM KEDATANGAN BRITISH.

A) PENGENALAN (2@3 M)

Agama Islam telah dibawa masuk ke Tanah Melayu pada abad ke-15 melalui kerajaaan Kesultanan Melayu Melaka dan
seterusnya dikembangkan ke seluruh Tanah Melayu serta dianuti oleh masyarakat Melayu tempatan. Agama Islam telah
mempengaruhi setiap aspek kehidupan masyarakat Melayu tradisional di Tanah Melayu sebelum kedatangan British pada
abad ke-19. Kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada masyarakat Melayu di Tanah Melayu dalam bidang politik,
perundangan, adat dan kebudayaan, semangat jihad dan pendidikan.

B) ISI (20M)
PENGARUH AGAMA ISLAM TERHADAP MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL

1)Politik
a.Kedatangan agama Islam telah memperkenalkan konsep kesultanan yang berbeza dengan konsep beraja yang dipengaruhi
oleh unsur agama Hindu-Buddha. Konsep Dewa Raja yang menganggap Raja sebagai bayangan tuhan di muka bumi telah
digantikan dengan Sultan sebagai Khalifah Allah di muka bumi.
b.Agama Islam juga turut memperkukuhkan kedudukan dan taraf raja-raja Melayu. Raja dalam masyarakat Melayu tradisional
telah digantikan dengan gelaran Sultan yang menjadi penaung kepada agama Islam dan bertindak sebagai Ketua Agama
Islam di Negeri-negeri Melayu.
c.Sementara pemimpin-pemimpin Islam pula telah dilantik sebagai penasihat sultan dalam semua perkara yang berkaitan
dengan hukum syarak ataupun mengenai agama Islam. Mereka menerima anugerah daripada Sultan seperti Imam Maharaja,
Maharaja Kadi, Dato Mufti dan Seri Utama.
d.Di Terengganu, golongan agama digelar Tokku. Keturunan mereka dikenali sebagai Engku atau Tuan.

2)Perundangan
a.Hukum Syarak telah dijadikan sebagai sistem perundangan di negeri-negeri Melayu tradisional. Hukum syarak telah dijadikan
sistem perundangan secara meluas di Perak, Terengganu, Pahang dan Johor.
b.Hukum Syarak yang dilaksanakan di negeri-negeri Melayu pada abad ke-19 termasuklah undang-undang jenayah yang
melibatkan hukum bagi kesalahan mencuri, samun, membunuh, berzina dan liwat. Sementara undang-undang muamalat pula
melibatkan hukuman bagi kesalahan menjual-beli, hutang-piutang, sewa tanah, hukum berhuma, berladang, menternak dan
larangan melakukan kerja-kerja mungkar seperti meminum arak dan tuak.
c.Contohnya, pada abad ke-19, Terengganu melaksanakan hukum Syariah/ Undang-Undang Islam. Hukuman yang dijatuhkan
ialah kesalahan mencuri dikudungkan tangan, yang bersalah dipenjarakan, yang membunuh dihukum bunuh dan kesalahan-
kesalahan Mal akan didenda.

3)Adat-istiadat
a.Selepas kedatangan Islam beberapa adat dan undang-undang tempatan telah disesuaikan dengan hukum syarak.
b.Contohnya, Adat Perpatih telah dibawa masuk ke Tanah Melayu pada abad ke-17. Selepas kedatangan Islam, Adat Pepatih
telah disesuaikan dengan unsur-unsur ajaran Islam. Begitu juga dengan Adat Temenggung. Kedua-dua adat ini telah
menggunakan hukum syarak yang berasaskan Mazhab Shafie.
c.Sementara adat-istiadat yang dahulunya dipengaruhi oleh unsur agama Hindu telah digantikan unsur agama Islam seperti
adat persandingan, pertabalan, pijak tanah, melenggang perut, berkhatan dan sebagainya.
d.Upacara mengkhatam Al-Quran telah diadakan bagi meraikan kanak-kanak yang tamat mengaji Al-Quran, kenduri arwah dan
kesyukuran serta adat berkampung yang mengkehendaki semua penduduk kampung lelaki mengerjakan sembahyang Jumaat
adalah merupakan unsur-unsur Islam.
e.Adat bercukur turut diadakan dan dimulakan dengan berzanji dan marhaban iaitu bacaan mengenai kisah-kisah kelahiran
dan kebesaran Nabi Muhammad. Adat ini diakhiri dengan bacaan tahlil dan doa selamat sebagai mengucap syukur kepada
Allah.
f.Sementara upacara pengkebumian pula dilakukan dengan bacaan talkin dan diakhiri dengan doa oleh imam atau orang alim.
g.Kumpulan-kumpulan hadrah dan kompang pula akan mempersembahkan lagu-lagu bagi memuji kebesaran dan kemuliaan
Nabi Muhammad pada majlis sambutan maulidul Rasul.
h.Perayaan-perayaan yang diadakan di istana turut dipengaruhi oleh unsur Islam.
i.Adat-istiadat dan perayaan-perayaan di Istana akan dimulakan dan diakhiri dengan bacaan Al-Quran dan doa.
j.Sementara pegawai-pegawai agama seperti Imam memainkan peranan penting dalam setiap Majlis dan perayaan di Istana.
k.Imam adalah orang yang membaca doa dalam setiap majlis dan perayaan di istana.
l.Imam akan duduk di Balairong bersama-sama dengan pembesar. Ini bermakna agama Islam telah diberikan penghormatan
dan kemuliaan yang amat tinggi padamasa ini.

4)Kepercayaan
a.Agama Islam juga turut memperkenalkan konsep tauhid iaitu menafikan kewujudan banyak tuhan. Ia bermula dengan
keesaan tuhan dan konsep ibadat yang luas. Faktor ini telah berjaya menarik minat penduduk-penduduk tempatan terhadap
agama Islam.
b.Agama Islam juga turut memberi penekanan kepada fahaman akliah/rasional. Fahaman ini telah berjaya mengubah
pemikiran masyarakat Melayu daripada mempercayai unsur-unsur tahyul kepada kepercayaan yang bersifat akliah atau
rasional.
c.Selepas kedatangan Islam, pandangan masyarakat Melayu juga telah berubah daripada tokoh-tokoh Hindu, ahli sihir dan
bomoh kepada tokoh-tokoh Islam.

5)Pendidikan
a.Kedatangan Islam juga turut mempengaruhi perkembangan pendidikan di Tanah Melayu.
b.Kanak-kanak Melayu dikehendaki mempelajari bahasa Arab, membaca Al-Quran, belajar sembahyang dan fardu ain. Guru-
guru agama biasanya keturunan Arab yang digelar Sayid ataupun Syeikh.
c.Kelas-kelas agama akan diadakan di rumah guru agama pada waktu malam. Dari sini lahirlah sistem pendidikan pondok.
d.Sekolah-sekolah pondok ini akan mengajar mata pelajaran Tauhid, Fekah, Tafsir Al-Quran, Ilmu Mantik, Tasawwuf, Akhlak,
Sejarah Islam dan sebagainya.
e.Tujuan penubuhan sekolah-sekolah pondok ialah untuk melahirkan pelajar yang berakhlak tinggi, berpengetahuan Islam dan
beribadat dengan betul. Pengajian di sekolah-sekolah pondok ini adalah merupakan pendidikan yang tertinggi di negeri-negeri
Melayu sehingga tahun 1850-an.

6)Kesenian
a.Pengaruh Islam juga dapat dilihat dalam bidang kesenian melalui ukiran-ukiran di dinding-dinding masjid, kubah masjid,
menara azan, tempat berwuduk, madrasah, batu nisan dan sebagainya.
b.Terdapat juga tulisan dan ukiran yang bercorak bunga geometri dan ayat-ayat Al-Quran dan Hadith yang menghiasi rumah
dan bangunan.

7)Bahasa dan Kesusasteraan


a.Kedatangan agama Islam turut menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan.
b.Bahasa kuno yang menggunakan huruf-huruf dari India telah digantikan dengan tulisan Arab iaitu Jawi.
c.Dengan adanya tulisan jawi, ilmu pengetahuan dan Kesusasteraan Melayu telah mengalami perkembangan pesat. Banyak
buku-buku telah dihasilkan dengan menggunakan tulisan Jawi.
d.Melalui pengaruh Islam, Bahasa Melayu telah berkembang maju dengan pelbagai istilah yang dipinjamkan dari Arab dan
Parsi.

8) Konsep Jihad
a.Konsep Jihad yang muncul selepas kedatangan Islam telah memainkan peranan penting dalam membina tenaga dan
menggerakkan tindakan terhadap Imperialisme.
b.Contohnya di Kedah, selepas Kedah ditakluki Siam, usaha-usaha telah dilakukan oleh Sultan Ahmad Tajuddin dan puteranya
untuk mengambil semula Kedah daripada kerajaan Siam yang telah dilakukan melalui Perang Jihad terhadap musuh yang
bukan Melayu atau kafir. Selama hampir dua dekad putera-putera Sultan Kedah serta alim ulama menyertai penentangan
terhadap Siam. Saudagar Islam di NNS turut memberi sokongan secara diam-diam.

9. Ekonomi
a.Islam juga mempengaruhi sistem ekonomi masyarakat Melayu tradisional.
b.Baitulmal telah diperkenalkan yang berfungsi sebagai perbendaharaan Negara dan hasilnya diperoleh daripada zakat dan
sedekah.
c.Islam menggalakkan umatnya rajin bekerja dan mencari rezeki yang halal dan melarang perbuatan mengemis.
d. Menggalakkan berdagang dan mengamalkan unsur-unsur yang halal semasa berniaga.
e.Amalan riba, penindasan dan penipuan adalah dilarang.
f. Islam juga menggalakkan nilai-nilai murni dalam ekonomi seperti berjimat cermat dan berusaha bersungguh-sungguh

C) KESIMPULAN (2 @ 3 M)

Agama Islam mempunyai pengaruh dan kesan yang penting dalam masyarakat Melayu serta menjadi amalan seharian dalam
kehidupan.
Namun begitu, selepas kedatangan British ke Tanah Melayu, British telah mengubah amalan kehidupan seharian masyarakat
Melayu sama ada dalam bidang politik, perundangan, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Huraikan bentuk pemerintahan baru yang diperkenalkan oleh Dinasti Brooke di Sarawak pada abad ke-19
Sarawak asalnya wilayah pegangan atau hak Kesultanan Brunei. Namun begitu, pada tahun 1836, telah berlaku
pemberontakan di Sarawak. Sultan Brunei waktu itu, Sultan Omar Ali Saifuddin gagal untuk menyelesaikan krisis tersebut.
Fenomena inilah yang menyebabkan baginda meminta bantuan daripada James Brooke pada tahun 1839 yang kebetulan
berada di sana. Atas bantuan James Brooke pada masa itu, krisis tersebut diselesaikan, beliau telah dilantik oleh Sultan Brunei
sebagai Gabenor Sarawak pada 24 November 1841. Akhirnya, pada tahun 1846, Sultan Brunei telah mengakui sepenuh
James Brooke dan penggantinya sebagai pemerintah bebas di Sarawak.
 
James Brooke mentadbir Sarawak mengikut asas pentadbiran British. Beliau telah memperkenalkan satu kod undang-undang
keamanan di Sarawak. Namun begitu, bagi jenayah-jenayah berat, hukumannya masih berpandukan kepada undang-undang
tradisi Brunei. Pada tahun 1855, James Brooke telah menubuhkan sebuah Majlis Tertinggi yang berperanan sebagai
penasihatnya dalam pentadbiran. Majlis ini terdiri daripada Charles Brooke dan 4 orang Datu daripada orang Melayu. Selain
itu, beliau juga memperkenalkan sistem perdagangan bebas kecuali bagi dagangan antimoni dan candu.
 
James Brooke juga telah menghapuskan amalan tradisi masyarakat pribumi iaitu perburuan kepala dan sistem perhambaan.
Pada tahun 1840-an ini juga, beliau cuba menghapuskan aktiviti pelanunan yang selama ini mengganggu keamanan di
perairan Sarawak. Beberapa kubu lanun berjaya dimusnahkan seperti di Saribas, Padeh, Teluk Marudu, Dayak Laut dan
Batang Muru. Selain daripada usaha-usaha pentadbiran James Brooke di atas, beliau juga berjaya memperluas wilayah
Sarawak itu sendiri. Kawasan asal Sarawak yang diperolehinya dari Sultan Brunei hanyalah kawasan antara Tanjung Datu dan
Sungai Samarahan. Pada tahun 1853, Sultan Brunei, Sultan Abdul Mumin telah menyerahkan kawasan di sekitar Sungai
Sadong, Batang Lupar, Saribas dan Kalaka. Sultan Brunei telah menerima bayaran tahunan sebanyak 1000 paun atas
penyerahan ini. Pada tahun 1861 pula, Sultan Brunei telah menyerahkan kawasan pantai di antara Sungai Rajang dan Tanjung
Kindurong dan Sultan menerima bayaran tahunan sebanyak 4500 paun atas penyerahan ini.
 
Pada September 1865, James Brooke telah menyerahkan tampuk pemerintahan Sarawak kepada anak saudara beliau
Charles Brooke. Charles Brooke turut mengambil beberapa langkah untuk mengemaskinikan sistem pemerintahan Sarawak.
Pada tahun 1865, beliau telah menubuhkan sebuah Majlis Negeri. Penubuhan majlis ini untuk memberi peluang kepada suku-
suku kaum tempatan terlibat dalam pentadbiran. Di antara ahli-ahlinya ialah, ahli Majlis Tertinggi, ketua-ketua suku daerah,
pegawai kanan Eropah dan Residen Eropah. Oleh sebab wilayah Sarawak semakin besar, beliau membahagikan Sarawak
kepada 3 bahagian yang diketuai oleh Residen Eropah setiap satu. Residen ini dibantu oleh penolong Residen dan pegawai
rendah. Di bawah Residen ini pula ditubuhkan Majlis Bahagian yang bertanggungjawab sebagai penasihat kepada Residen
tadi. Sementara itu, di peringkat Kampung, ketua-ketua kampung masih dipegang oleh ketua suku kaum di kawasan
berkenaan.
 
Di dalam soal kehakiman, hukuman masih berasaskan undang-undang tradisional suku kaum pribumi. Namun, sekiranya
terdapat sebarang hukum yang diragui, undang-undang British akan digunakan. Pada tahun 1883, Charles Brooke telah
memperkenalkan rang undang-undang untuk membebaskan semua hamba di Sarawak dalam masa 5 tahun. Sebagai mana
bapa saudaranya, Charles Brooke turut berusaha memperluaskan wilayah Sarawak. Pada tahun 1890, misalnya, Sultan Brunei
telah menyerahkan kawasan Limbang kepada Brooke. Pada tahun 1905 pula, Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah
menyerahkan kawasan Sungai Lawas kepada Brooke.
 
Charles Brooke turut membuat beberapa pembaharuan dan usaha untuk memajukan ekonomi Sarawak. Contohnya, pada
tahun 1876, beliau telah menggubal dasar yang menggalakkan kemasukan orang Cina dari Singapura ke Sarawak untuk
mengerjakan tanaman lada hitam. Pada tahun 1885, Sarawak berjaya mengeksport lada hitam sehingga berjumlah 392 tan.
Getah pula mula ditanam di Sarawak pada tahun 1905. Untuk itu, buruh-buruh Jawa telah diimport untuk mengerjakan ladang-
ladang getah. Sagu turut diusahakan dan kemudian salah satu tanaman eksport yang diusahakan oleh orang Malanau. Selain
hasil pertanian, kegiatan ekonomi turut pesat dalam aktiviti perlombongan. Antara sumber galian yang dilombong di Sarawak
ialah antimoni, raksa dan arang batu.
 
Pemerintahan Charles Brooke ini kemudian berakhir apabila beliau diganti oleh anaknya Vyner Brooke pada 24 Mei 1917.
Vyner Brooke banyak menyambung usaha-usaha yang dilakukan oleh bapanya. Pada tahun 1924, beliau telah memperkenal
satu kanun jenayah Sarawak. Kanun ini amnya berasaskan kepada Kanun Jenayah India. Pada tahun 1923 pula, beliau telah
memperkenalkan jawatan Ketua Setiausaha. Selain itu, beliau juga telah mewujudkan jawatan Peseruhjaya Hakim yang
sebelum ini dikenali sebagai Ketua Hakim. Pada tahun 1929, beliau telah melantik seorang Setiausaha Hal-Ehwal Orang Cina.
Jawatan ini berfungsi untuk menguruskan perkara yang berkaitan dengan orang Cina. Pada 24 September 1941 pula, Vyner
Brooke telah memperkenalkan sebuah perlembagaan baru untuk Sarawak. Perlembagaan ini merupakan langkah pertamanya
ke arah pemerintahan sendiri. Intipati kepada perlembagaan ini, Raja Sarawak memerintah dengan nasihat Majlis Tertinggi.
Majlis Negeri dikekalkan dengan keanggotaan seramai 25 orang ahli yang bertindak sebagai badan perundangan.
 
Vyner Brooke turut berusaha untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di Sarawak. Getah kini menjadi eksport terpenting Sarawak
dengan keluasan ladangnya yang kian bertambah. Petroleum telah ditemui di Miri dan ia menjadi pengeluaran utama bagi
negeri Sarawak. Perusahaan kayu balak turut dimulakan. Perkembangan infrastruktur juga turut bertambah dengan lebih
banyak pembinaan jalan raya dan keretapi. Namun, pengangkutan air masih merupakan pengangkutan utama di Sarawak.
 
Pemerintahan Vyner Brooke berhenti seketika apabila berlaku Perang Dunia Kedua dan jatuhnya Sarawak ke tangan Jepun.
Vyner Brooke mengambilalih semula Sarawak selepas Perang Dunia Kedua. Namun begitu, pada 1 Julai 1946, Vyner Brooke
telah menyerahkan Sarawak ke bawah pentadbiran Kerajaan British. Hal ini disebabkan beliau tidak mempunyai waris dan
beliau tidak cukup wang untuk membangunkan semula Sarawak selepas mengalami kemusnahan teruk semasa Perang Dunia
Kedua. Justeru itu, tahun 1946 ini, berakhirlah pentadbiran Dinasti Brooke di Sarawak.
 

peranan adat, undang-undang dan peraturan dalam masyarakat Melayu tradisional pada abad ke-
19.
Adat menjadi pegangan masyarakat Melayu tradisional.Segala bentuk Undang-undang
bersumberkan daripada adat.Undang-undang terbahagi kepada tiga jenis iaitu undang-undang
bertulis , tidak bertulis dan undang-undang Islam. Undang-undang tidak bertulis terbahagi kepada
dua iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung.
Undang-undang lisan disebut sebagai hukum adat. Adat ialah peraturan yang diamalkan dalam
sesuatu masy. secara turun-temurun sehingga akhirnya berubah menjadi hukum yang harus
dipatuhi. Di Tanah Melayu Hukum Adat berdasarkan dua sumber iaitu resam / adat turun-temurun
dan hukum syarak (Hukum Islam) 

Peranan adat, peraturan dan undang-undang. 


1.Menjamin keamanan, keharmonian, kesejahteraan dan keselamatan dalam masyarakat. 
2.Mengawal tingkah laku manusia dan mengeratkan persaudaraan.
3.Menentukan hak seseorang dalam masyarakat terutamanya harta warisan terjamin.
4.Menjamin kedudukan raja dan pembesar dan membentuk pemerintahan yang adil dan 
saksama.
5.Semua anggota masy mesti mematuhi dan mengamalkan adat. Sesiapa ingkar dikenakan 
hukuman.
6.Dijadikan garis panduan untuk melakukan sesuatu perkara
7.Masyarakat sedar batas-batas mereka sebagai rakyat; keamanan dan kesejahteraan akan 
Terjamin
Penting mematuhi undang-undang dan adat dalam kehidupan seharian. Pepatah Melayu “biar mati
anak jangan mati adat” Penting untuk membentuk ikatan erat antara anggota masy. adat dan
peraturan sebagai peraturan hidup bermasyarakat. Amalkan konsep gotong-royong dan kerjasama
seperti menuai atau merayakan sesuatu majlis seperti perkahwinan. Anggota masyrakat akan sedar
tugas dan tanggungjawab masing-masing; masy. akan harmoni dan sejahtera. Ikatan erat juga
digambar melalui sikap tolong-menolong,bermuafakat dan tolak ansur seperti amalan masyarakat
Minangkabau dalam Adat Perpatih.

Adat juga dapat membentuk keperibadian sesebuah masyarakat dari segi politik, ekonomi dan
sosial.contohnya dalam masyarakat yg amalkan adat perpatih, mereka lebih mementingkan wanita
dalam soal pembahagian harta pusaka dan nasab keturunan, manakala dalam Adat Temenggung,
kaum lelaki diutamakan dalam pelbagai hal.
Untuk menjaga dan mengukuhkan kedudukan golongan pemerintah iaitu raja dan pembesar.
Dengan adanya undan-undang, raja dapat mengukuhkan kedudukannya kerana rakyat tidak berani
mempersoalkan hak-hak keistimewaan raja.

Dapat menentukan hak dan tanggungjawab setiap anggota masyarakat.


Tanggungjawab dan hak setiap anggota masyarakat tidak boleh dipersoalkan kerana telah termaktub
dalam undang-undang dan adat. Dalam Adat Temenggung; jawatan Sultan diwarisi secara turun-
temurun dan mempunyai kuasa mutlak. Perkara-perkara ini diterima oleh rakyat tanpa ragu-ragu,
rakyat pula bertanggungjawab untuk taat setia kepada pemerintah.

Jelas bahawa adat, peraturan dan undang-undang penting untuk menjamin kesejahteraan hidup
masyarakat secara keseluruhannya.Jika semua lapisan masyarakat tahu dan sedar akan hak dan
tanggungjawab mereka, maka keamanan dan kemakmuran hidup antara anggota masyarakat akan
terjamin dan berkekalan.

You might also like