You are on page 1of 2

Faktor-faktor yang mendorong kepada masalah disiplin pelajar.

·         - Ibu bapa tidak mendidik anak-anak.

·         - Ibu bapa sibuk bekerja.

·         - Pengaruh rakan sebaya.

·         - Pengaruh media massa.

Dewasa ini kita sering dihambat dengan masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan remaja. Hal ini
pastinya amat membimbangkan banyak pihak kerana remaja merupakan tiang negara pada masa
hadapan. Keruntuhan moral ini boleh menjejaskan matlamat negara dalam melahirkan modal insan
yang berkualiti dalam memacu negara ke era negara maju. Jika diperhalusi, pelbagai faktor yang
mendorong kepada masalah disiplin dalam kalangan remaja.

Faktor utama yang dikenal pasti ialah berpunca daripada ibu bapa yang tidak mendidik anak-anak
dengan didikan yang betul. Jika ibu atau bapa tidak boleh mendidik anak-anak mereka dengan baik,
pada siapakah lagi tanggungjawab itu harus dipikul? Sesetengah ibu bapa belakangan ini juga
bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan lurus. Jelas, ibu bapa perlu memainkan
peranan mereka dalam mencorak keperibadian remaja.

            

        Di samping itu, faktor yang mendorong kepada permasalahan ini ialah berpunca daripada ibu
bapa yang sibuk mencari nafkah sehinggakan anak-anak terabai. Kesempitan hidup ini memang tidak
boleh dinafikan dalam mencari sesuap nasi untuk membesarkan anak-anak. Namun demikian, sering
kali anak-anak yang masih mentah ini mengambil peluang yang ada untuk berseronok dengan rakan-
rakan sehinggakan timbul masalah yang lain. Dalam hal ini ibu bapa perlu bijak dalam
membahagikan masa dengan anak-anak.
            

        Seterusnya, pengaruh rakan sebaya turut menjadi penyumbang utama dalam peningkatan
masalah disiplin pelajar. Masakan tidak kerana golongan remaja kini banyak menghabiskan masa
bersama-sama rakan sebaya berbanding ahli keluarga. Didorong atas sifat ingin tahu, mereka pasti
akan mencuba sesuatu yang baharu dalam hidup mereka yang mungkin boleh menggelapkan masa
depan sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, remaja atau pelajar perlu bijak dalam memilih rakan jika
tidak mahu terlibat dalam masalah ini.

            

        Selain itu, pengaruh media massa turut menjadi faktor utama dalam meruncingkan lagi
permasalahan disiplin ini. Lihat sahaja di layar perak mahupun di kaca-kaca televisyen yang banyak
menyiarkan aksi keganasan dan masalah sosial. Contoh yang paling ketara seperti filem Bohsia,
Adnan Sempit dan KL Gengster yang memaparkan tema keganasan yang mendapat tempat dalam
kalangan masyarakat. Sedikit sebanyak remaja yang menebal sikap ingin tahunya itu pasti akan
mengikut aksi yang terpapar dalam filem yang berkenaan.

            Kesimpulannya, terdapat banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan masalah sosial
dalam kalangan remaja. Namun demikian, perkara ini boleh diatasi jika semua pihak memainkan
peranan masing-masing serta saling berganding bahu bagai aur dengan tebing. Secara tidak
langsung, hasrat kerajaan dalam melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi pada tahun 2020
bakal terlaksana.

You might also like