You are on page 1of 2

CONTOH: MENULIS SURAT KIRIMAN RASMI

Soalan :
Di kawasan tempat tinggal anda terdapat pelbagai masalah keselamatan yang
timbul berpunca daripada pendatang asing yang terlalu ramai di kawasan itu.
Sebagai wakil penduduk di tempat anda. Tulis sepucuk surat kepada pihak yang
berkuasa bagi mengadukan hal tersebut agar masalah ini dapat diselesaikan.

Contoh jawapan surat rasmi.

Lin Cheng Heng,


No.6, Jalan Limau Purut 3,
Taman Cheras Perdana,
52400 Kuala Lumpur.
______________________________________________________________________________

Ketua Balai,
Balai Polis Cheras,
Jalan Ikan Emas 2,
53000 Cheras,
Kuala Lumpur…… ……………………………………………… 16 JULAI 2013

Tuan,

Aduan Tentang Masalah Pendatang Tanpa Izin di Taman Cheras Perdana


Merujuk perkara di atas, saya Lin Cheng Heng selaku setiausaha penduduk Taman Perdana,
ingin membuat aduan tentang masalah pendatang tanpa izin yang begitu ramai bilangannya di
kawasan tempat tinggal kami. Akibat bilangannya yang terlalu ramai, pelbagai masalah sosial
telah timbul sehingga mengganggu ketenteraman hidup penduduk di kawasan ini.

2.… Untuk makluman pihak tuan, kawasan ini menjadi tumpuan pendatang tanpa izin kerana
banyak bangunan baru didirikan di kawasan ini. Hal ini menyebabkan ramai pekerja tanpa izin
bertumpu di kawasan ini untuk bekerja sebagai pekerja bangunan kerana di mana ada gula, di
situ ada semut. Kebanyakan daripada pendatang tanpa izin itu tertumpu di Jalan Limau Manis 4
dan Jalan Tembikai 3. Mereka tinggal di dalam pondok-pondok sementara yang disediakan oleh
pemaju dan didirikan daripada kayu. Perkara yang membimbangkan kami ialah sebahagian
daripada pendatang tanpa izin tersebut melakukan pelbagai jenayah dan mengancam keselamatan
penduduk tempatan di kawasan ini.
3.….Sebelum kedatangan mereka di kawasan ini, kehidupan kami amat aman dan makmur.
Namun begitu, kehadiran mereka sejak lima bulan yang lalu telah mengubah segala-galanya.
Kejadian kecurian dan rompakan sering kali berlaku di kawasan tempat tinggal kami. Sehingga
kini terdapat enam kejadian pecah rumah dan rompakan yang telah diadukan kepada pihak polis.
Kebanyakan rompakan tersebut melibatkan senjata tajam seperti parang dan senjata tajam yang
lain. Hal ini menyebabkan kami berasa takut sekiranya kejadian seperti itu berulang semula.
Kami juga percaya bahawa kejadian jenayah tersebut melibatkan pendatang tanpa izin melalui
pertuturan mereka semasa kejadian jenayah itu berlaku. Hal seperti ini amat merungsingkan
penduduk di kawasan ini.

4.….Selain itu, sebahagian pendatang tanpa izin di kawasan ini turut berkelakuan tidak sopan
terhadap penduduk tempatan di sini. Beberapa orang gadis yang pulang lewat daripada bekerja
telah diganggu dengan kata-kata yang tidak menyenangkan. Mereka juga sering mengeluarkan
kata-kata berbau lucah kepada penduduk di kawasan ini sehingga pernah menyebabkan
pergaduhan di antara pendatang tanpa izin dengan penduduk di taman ini. Sebagai ibu bapa di
kawasan ini, kami berasa bimbang jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini ke atas
keluarga kami. Justeru, kami berharap agar pihak tuan mengambil tindakan awal seperti kata
pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Kami tidak mahu ada di antara penduduk di kawasan
ini yang akan menjadi mangsa akibat kelewatan kita mengambil tindakan kerana nasi sudah
menjadi bubur.

5.….Pada masa yang sama, sebahagian daripada pendatang tanpa izin tersebut juga melakukan
pelbagai jenayah seperti berjudi dan menyalahgunakan dadah. Hal ini telah kami maklumi
melalui beberapa orang penduduk yang pernah terserempak dengan mereka ketika melakukan
jenayah tersebut. Sebelum ini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku di kawasan tempat
tinggal kami. Keadaan ini juga amat membimbangkan penduduk di kawasan ini kerana kami
takut sekiranya ada di antara anak-anak kami yang akan terpengaruh dengan gejala yang tidak
sihat tersebut. Justeru kami meminta agar pihak tuan mengambil tindakan awal kerana mencegah
lebih baik daripada mengubati.

6.….Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan agar pihak tuan dapat mengambil tindakan
dengan secepat mungkin. Antara cadangan kami termasuklah meminta pihak tuan membuat
serbuan dan menangkap pendatang tanpa izin di kawasan kediaman kami. Kami juga
mencadangkan agar pihak tuan dapat membuat rondaan dengan lebih kerap supaya kejadian
jenayah yang membimbangkan kami tidak berlaku di sini. Sekiranya pihak tuan memerlukan
bantuan dan kerjasama daripada penduduk di kawasan ini, kami sedia menghulurkan bantuan
yang diperlukan.

7.… Akhir kata, saya berharap agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya
dengan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini. Kerjasama daripada
pihak tuan amat kami hargai dan didahului dengan jutaan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

Lin cheng heng


...................
(LIN CHENG HENG)
Setiausaha,
Persatuan Penduduk Taman Cheras Perdana.

You might also like