You are on page 1of 11

STRUKTUR DALAM PENULISAN

PEMERENGGANAN

Konsep Pemerengganan
Pemerenggan bermaksud usaha untuk menghasilkan komposisi sebuah wacana yang mantap
melalui binaan perenggan-perenggan yang sempurna. Perenggan yang sempurna terhasil
apabila struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap dalam perenggan berjaya diwujudkan.
Bahagian-bahagian itu berlainan antara perenggan pendahuluan, isi, dan penutup

Maksud Perenggan
Perenggan ialah binaan bahasa yang terhasil daripada sekumpulan perkataan yang membina
pelbagai jenis ayat untuk menyampaikan satu idea utama secara tuntas.

Jenis Perenggan Umum


Perenggan Pengenalan.
Perenggan Isi
Perenggan Penutup

Struktur Karangan Sempurna

Perenggan Pengenalan
Perenggan Isi 1
Perenggan Isi 2
Perenggan Isi 3
Perenggan Isi 4
Perenggan Isi 5
Perenggan Penutup

Fungsi Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan berfungsi untuk:


1. mengenalkan tajuk kepada pembaca;
2. menjelaskan tajuk dari segi makna atau tujuan;
3. memberikan gambaran tentang konteks penulisan;
4. menegaskan pendirian atau pendapat penulis tentang isu yang terkandung dalam tajuk;
5. mampu merangsang minat, rasa ingin tahu dan emosi pembaca.
Binaan Perenggan Pengenalan

Perenggan pengenalan yang baik hendaklah dibina menggunakan ayat:


1. Ayat Penyataan
2. Ayat Huraian
3. Ayat Rangsangan
4. Ayat Pandu/Arah

Contoh Perenggan Pengenalan

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

(a) Sesebuah negara perlu mengembangkan pelbagai jenis industri. (b) Hal ini perlu supaya
negara itu memiliki sumber ekonomi yang lebih luas dan mantap. (c) Ibarat sebuah keluarga,
ahli-ahlinya semua bekerja dan menjawat tugas yang berlainan di sektor yang berlainan pula.
(d) Sudah tentu keluarga itu memperoleh pelbagai sumber kewangan, pengalaman dan ilmu
pengetahuan. (e) Berdasarkan itu, tidak ada salahnya Brunei Darussalam mengorak langkah
secara aktif untuk meneroka dan memajukan industri pelancongan. (f) Lebih-lebih lagi,
negara kita sebenarnya mempunyai potensi yang sangat besar. (g) Potensi itu dapat
dikategorikan kepada lima aspek.

1. Ayat Penyataan (a), penegasan (b) alasan


2. Ayat Huraian (c), huraian jenis perbandingan / ibarat (d) faedah
3. Ayat Rangsangan (e), memujuk perasaan (f) rasa ingin tahu
4. Ayat Pandu/Arah (g) lima aspek akan / ingin dibahaskan

Struktur Perenggan Pengenalan

Ayat Penyataan
Ayat Huraian
Ayat Rangsangan
Ayat Pandu

Fungsi Perenggan Isi

Perenggan isi digunakan untuk menyampaikan idea. Penyampaian itu hendaklah jelas supaya
cepat diterima atau difahami oleh pembaca. Keberkesanan perenggan isi hanya berlaku jika
ayat-ayat yang digunakan saling menyokong dan berpusat pada idea utama yang tertulis
dalam bentuk ayat judul.

Binaan Perenggan Isi

Sebuah perenggan isi hanya mengandungi satu idea utama. Idea utama ini perlu dituliskan
dalam bentuk ayat judul dan hanya dapat disampaikan secara tuntas apabila dibantu dengan
ayat-ayat kembangan. Ayat-ayat kembangan menyempurnakan maksud isi utama dengan
memberikan penghuraian lanjut, membuat perbandingan, membuat rujukan tertentu,
memasukkan petikan, memberikan contoh dan sebagainya. Di bahagian akhir perenggan, ayat
rumusan digunakan bagi mengulung hujah atau membuat penekanan.

Contoh Perenggan Isi

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

a) Salah satu potensi Brunei yang jelas ketara ialah sumber kewangan. b) Sebaik manapun
perancangan yang dilakukan, tanpa sumber kewangan yang mencukupi usaha menjadikan
negara ini sebagai pusat pelancongan tidak akan berjaya. c) Terdapat negara yang pendapatan
negara kasarnya lebih rendah daripada Brunei telah berjaya memajukan industri ini,
antaranya Thailand dan Malaysia. d) Hal ini membuatkan kita lebih yakin, lebih-lebih lagi
pernah terbukti bahawa dengan kewangan yang mencukupi, kita telah berjaya mengelolakan
Sukan S.E.A. pada tahun 1999. e) Jadi, tidak syak lagi, bahawa, dari segi sumber kewangan,
Brunei Darusalam sudah bersedia.

1. Ayat Topik a)
2. Ayat Huraian b)
3. Ayat Contoh c)
4. Ayat Sokongan d)
5. Ayat Rumusan e)

Struktur Perenggan Penutup


Ayat Topik (Isi Penting)
Ayat Huraian
Ayat Contoh
Ayat Sokongan
Ayat Rumusan

Fungsi Perenggan Penutup

Secara umunya, perenggan penutup berfungsi untuk mengakhiri penyampaian idea. Hal ini
bermaksud, penulis telah selesai menyampaikan ideanya kepada pembaca. Sebelum berpisah
dengan pembaca, penulis menggunakan perenggan penutup sebagai senjata atau strategi
terakhir untuk meninggalkan kesan tertentu supaya mampu mempengaruhi fikiran, emosi dan
pendirian pembaca.
Binaan Perenggan Penutup

Untuk meninggalkan kesan tertentu kepada pembaca, perenggan penutup dibina


menggunakan strategi yang mengandungi beberapa ayat yang berfungsi sebagai:

Ringkasan, Rumusan, Keputusan, Penegasan, Imbasan, Bandingan, Amaran, Harapan,


Ramalan, Kesan dan Cadangan.

Perenggan penutupan boleh dibina menggunakan satu atau beberapa fungsi di atas sekali gus
jika sesuai.

Contoh Perenggan Penutup

Tajuk: Potensi Perkembangan Industri Pelancongan di Brunei Darussalam. Bahaskan.

a) Di atas, saya telah memaparkan lima potensi yang dimiliki oleh Brunei Darussalam, iaitu
letak geografi, alam semula jadi, warisan budaya, tahap literasi dan sumber kewangan. b)
Berdasarkan bukti kukuh tersebut, saya yakin industri pelancongan akan berkembang pesat
jika diusahakan dengan serius. c) Dengan berkembangnya industri ini di Brunei Darussalam,
sudah tentu peluang pekerjaan akan terbuka luas terutamanya bagi rakyat tempatan yang kini
jumlah pengangguran semakin meningkat. d) Tanpa usaha mempelbagaikan sumber ekonomi
bererti kita mengabaikan keupayaan sendiri. e) Saya percaya, rakyat Brunei Darussalam ingin
melihat beberapa hotel bertaraf lima bintang tersergam indah di puncak Gunung Pagon.

a) Ringkasan b) Penegasan c) Kesan d) Amaran e) Harapan

Struktur Perenggan Penutup

Ringkasan
Penegasan
Kesan
Amaran
Harapan 
NOTA TAMBAHAN :
Struktur Karangan

Anda sudah tahu dalam karangan terdapat tiga bahagian: Pengenalan/Pendahuluan karangan,
isi-isi/ tubuh karangan, dan penutup/kesimpulan. Sebenarnya masih ramai pelajar STPM yang
tidak menguasai atau memahami struktur karangan ini. Percaya atau tidak, sekiranya anda
membaca dan memeriksa karangan rakan anda pasti akan temui sebilangan karangan yang
setaraf karangan PMR (satu muka halaman kertas) dan tidak menunjukkan struktur yang
betul dan berkesan.

Ya, sekiranya anda sudah tahu dan sering menghasilkan karangan yang baik, adakah anda
tahu akan ciri-ciri dan fungsi tiap-tiap  bahagian itu? Setakat kita tahu struktur karangan
bukanlah ukuran anda boleh menghasilkan karangan yang berkualiti dan mencapai jumlah
perkataan yang dikehendaki. Tidak terlampau sekiranya saya mengatakan para pelajar perlu
benar-benar memahami dan menguasai fungsi serta ciri-ciri setiap bahagia struktur karangan
tersebut. Kenapa begitu, sebabnya anda perlu menghasilkan sebuah karangan yang utuh
dari aspek kerelevanan(pendahuluan, isi, dan penutup), pengolahan yang baik dan
berkesan, pemerengganan yang baik dan memaparkan tatabahasa yang betul (kesalahan
yang minima). Itulah tujuan anda menulis karangan.

Struktur karangan yang biasa peringkat STPM ialah berstruktur 1 - 5 - 1:  1 peranggan
pendahuluan(P1), 5 perenggan isi(P2-P6), dan 1 peranggan penutup/kesimpulan (P7).

PENDAHULUAN -----P1

ISI 1                       -----P2 


ISI 2                       -----P3
ISI 3                       -----P4
ISI 4                       -----P5
ISI 5                       -----P6

PENUTUP             -----P7
1. Pendahuluan
Setiap perkara harus ada pemulanya. Tanpa pemula sesuatu itu tidak dapat dilihat, difahami,
dan diketuhui apa yang hendak disampaikan. Dalam konteks ini pendahuluan adalah
cerminan awal tentang apa yang akan kita terangkan dalam huraian seterusnya. Pendahuluan
merupakan pemula, kepala atau dasar pemikiran utama sebelum kita mnengutarakan hujah-
hujah seterusnya. Gambaran pendahuluan yang mantap, berkesan, jitu, dan disertakan fakta
yang terkini akan membantu menyerlahkan ketajaman pendahuluan. Sebaliknya, persoalan
pokok yang hambar dan fakta yang dibuat secara umum akan menjejaskan keseluruhan
pendahuluan. Jadi, antara fungsi pendahuluan adalah untuk mengutarakan persoalan pokok
berdasarkan kehendak soalan, dihurai bersulamkan diksi yang sesuai bagi menjelaskan
persoalan pokok, ditunjangi fakta berupa contoh dan statistik yang yang sesuai dari sumber
yang boleh dipercayai. Akhirnya diakhiri dengan unsur kesimpulan kecil yang mengacu
kepada arah tuju perenggan berikutnya.
Isi
Pendahuluan : Persoalan pokok/utama
                               Huraian persoalan pokok/utama
                                Penjelasan huraian (jika perlu)
                                Contoh/statistik (sebaiknya nyatakan sumber)
                                kesimpulan kecil

2. Isi
Peringkat STPM memerlukan anda mengemukakan sekurang-kurangnya 5 isi sebagai hujah
untuk menyokong atau menenrangkan tentang isu utama berdasarkan soalan dan jenis
karangan yang dikemukakan. Setiap isi hendaklah dihuraikan dalam satu perenggan lengkap
dan utuh. Pastikan setiap isi yang dikemukakan relevan dan tidak bercampur beberapa isi.
Biasanya berlaku percampuran lebih satu isi dalam satu perenggan apabla pelajar gagal
menghurai isi utama selengkapnya atau kadang-kadang pelajar menganggap perkara yang
dikemukakan itu adalah huraian, tetapi sebenarnya adalah isi utama. Hal ini biasa terjadi
sekiranya anda kurang membuat rujukan. Sepatutnya dalam satu perenggan hanya
menumpukan atau berfokus kepada satu isi sahaja.

Setiap isi adalah kesinambungan kepada isi dalam perenggan yang sebelumnya. Oleh itu,
setiap akhir perenggan harus ada kesimpulan kecil/ayat topik sebagai contohnya, "Faktor
yang lain akan diterangkan dalam perenggan berikutnya". Terdapat pelbagai bentuk ayat
yang menggambarkan ayat topik dan kesimpulan kecil tersebut, anda perlu sesuaikan
mengikut kehendak soalan. Sebaiknya janganlah mengulangi ayat yang sama, bina
berdasarkan penanda wacana yang sesuai dan susunan ayat yang bervariasi tetapi
menggambarkan kesimpulan kecil atau ayat topik.  Ayat inilah yang menggambarkan kohesi
atau keterkaitan/kesinambungan/bertautan antara perenggan.

Gambaran ringkas struktur isi:

                                               Isi utama
                                                          Pernyataan/penegasan isi
                                                          Huraian
                                                          Fakta/contoh/statistik
                                                          Kesimpulan kecil/ayat topik

3. Penutup/Kesimpulan

Perenggan penutup bukan lagi ruang untuk anda mengemukakan isi. Bahagian ini akan
memaparkan rumusan bagi semua isi dan huraian yang telah disampaikan dalam perenggan
sebelumnya. Kesimpulan hendaklah memaparkan pendirian/penegasan serta harapan tentang
tajuk yang anda bincangkan. Ciri penting kepada perenggan ini ialah perkataan awal yang
digunakan: Sebagai kesimpulannya..., Sebagai penutup...,Jelaslah bahawa...,Demikianlah...,
Sebagai mengakhiri ucapan saya..., dan sebagainya.

BENTUK-BENTUK PERENGGAN
Karangan yang menarik memerlukan penyusunan isi karangan mengikut perenggan-
perenggan tertentu. Pada asasnya, setiap perenggan memiliki satu kesatuan isi utama dan
kesemua isi atau idea utama ini hendaklah mempunyai perkaitan dengan tajuk karangan
tersebut agar pembaca dapat memahami, selain itu ia juga dapat memperlihatkan karangan
tersebut sebagai satu komposisi yang tersusun (Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj.
Abdul Aziz 1997). 

Kata ‘pemerengganan’ berasal daripada kata dasar ‘perenggan’. Perenggan ditakrifkan dalam
Kamus Dewan(2005) sebagai bahagian daripada muka atau bab dalam buku, rencana yang
terdiri daripada beberapa baris. Menurut Jo Ray McCuen dan Anthony Winkler (2006) pula,
perenggan berasal daripada perkataan Latin, iaitu paragraphus yang bermaksud suatu
lambang yang menandakan pembentukan bahagian baharu. Sulaiman Masri dan Ahmad
Khair Mohd Nor (2007) berpendapat bahawa perenggan mempunyai dua peranan, iaitu
peranan secara logik dan peranan secara visual.

Berdasarkan pembahagian peranan perenggan yang utarakan oleh Sulaiman Masri dan
Ahmad Khair, perenggan yang berperanan secara logik adalah perenggan yang membantu
pembaca mengikuti hujahan iaitu dengan menunjukkan pergerakan satu isi kepada satu isi
yang lain dalam karangan tersebut. Bagi perenggan yang berperanan secara visual pula,
perenggan ini memisahkan keseluruhan teks dan muka surat yang memberi tarikan kepada
pembaca. Perenggan yang mempunyai bilangan yang banyak menyebabkan pembaca
melangkau lebih banyak muka surat, manakala bagi bilangan perenggan yang sangat sedikit
akan menyusahkan pembaca. Penyusunan perenggan yang betul dari segi visual dapat
ditentukan oleh saiz muka surat, saiz huruf, ruang antara teks, tajuk, jadual, ilustrasi dan
kapsyen. Secara umumnya, pemerengganan penting dalam menyampaikan idea-idea yang
konkrit dan tersusun. Idea atau isi yang disampaikan oleh pengarang dapat disampaikan
dengan lebih jelas dan terperinci serta secara langsung memudahkan pembaca mengikuti
idea-idea penulis dengan lebih licin (Kamarudin Hj. Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz
1997).

Namun, tidak semua perenggan memerlukan ayat topik atau ayat tesis yang konkrit. Hal in
demikian kerana, ada sesetengah karangan yang kreatif yang tidak mempunyai ayat topik
namun berdasarkan penerangan yang bernas dan logik maka secara tidak langsung ayat topik
telah berada dalam perenggan tersebut (Ruth Baygell 2003).

Secara amnya, sesebuah karangan memerlukan kira-kira lima isi utama. Oleh itu, perlu ada
lima perenggan untuk setiap isi utama ini. Namun, karangan yang mempunyai kurang
daripada lima isi utama juga boleh diterima kerana dalam karangan tidak mewajibkan
sebarang bilangan had isi utama. Setiap perenggan ini merupakan unit-unit wacana yang
saling berhubung dan seterusnya membentuk sebuah karangan (Awang Sariyan 2004).
Namun, tiap-tiap satunya tidak harus  dihurai dengan terlalu panjang berbanding dengan
perenggan-perenggan yang lain. Setiap perenggan yang dibina perlu berada dalam keadaan
seimbang antara satu sama lain. Maka, bagi membentuk pemerenggan yang seimbang dan
baik, ia memerlukan ciri-ciri kesatuan, pertautan dan penekanan. Ciri kesatuan bererti bahawa
sesebuah perenggan yang dihasilkan hendaklah sedapat-dapatnya menjurus kepada satu hal
atau idea sahaja. Pencampuran idea dalam satu perenggan akan membuatkan pembaca hilang
fokus tentang idea yang ingin disampaikan (Awang Sariyan 2004). Apabila setiap perenggan
menjurus kepada isi-isi utama yang digambarkan dan membina pertautan ayat antara
perenggan maka terhasilah sebuah karangan yang utuh.

 Bagi ciri pertautan pula ialah pertalian antara isi yang dikemukakan dengan judul dan
pertalian antara ayat. Selain itu, pengolahan karangan juga melibatkan kepelbagaian bentuk
dalam menyusun isi, huraian dan contoh yang terdapat dalam setiap perenggan. Menurut
Mohd Azhar Abd. Hamid et al. (2001), dalam pembentukan perenggan, kedudukan ayat topik
yang berlainan akan menghasilkan bentuk-bentuk perenggan iaitu bentuk deduktif, induktif,
deduktif- induktif, dan dampingan. Bentuk-bentuk perenggan inilah yang menjadi punca
penghubung antara perenggan.

Manakala menurut Drs. Andi Baso Mappatoto (1992), penulisan karangan ibarat menyusun
bata bagi membina tembok. Pelbagai bentuk dan teknik dapat digunakan untuk menyusun
bata-bata tersebut, sama seperti menyusun perenggan untuk membentuk karangan. Antara
pola atau bentuk yang boleh digunakan dalam menghurai sesuatu isi utama ialah pola
tematik, spiral dan blok. Pola tematik dibentuk dengan memberi penegasan kepada isi utama,
sama seperti perenggan bentuk deduktif. Bagi pola spiral pula, pola yang memberi penegasan
isi utama diakhir perenggan dan pola ini sama dengan perenggan berbentuk induktif.
Seterusnya, pola blok pula sama dengan perenggan berbentuk deduktif-induktif kerana
binaannya memberi penegasan kepada isi utama di awal dan di akhir perenggan.

Bagi perenggan yang dibentuk dari jenis deduktif, ia melibatkan penyusunan isi utama,
huraian dan contoh yang berbentuk segi tiga iaitu dimulai dengan isi utama, huraian serta
contoh yang berkaitan. Menurut Abu Hassan Abdul dan Nik Hassan basri Nik Ab. Kadir
(2009), perenggan deduktif digunakan dalam membina perenggan karangan jenis analisis.
Hal ini demikian kerana, struktur perenggan deduktif dimulai dengan idea umum dan
seterusnya diikuti dengan idea-idea khusus serta seterusnya diakhiri dengan idea umum. Idea
umum dinyatakan semula sebagai kesimpulan umum pada bahagian akhir perenggan bagi
membuktikan kebenaran kenyataan dalam ayat pertama.  Berikut merupakan petikan
perenggan berbentuk deduktif:

Martabat bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan harus dikembalikan. Bahasa
Melayu telah menjalankan fungsinya sebagai bahasa perpaduan dengana amat baik dan
berkesan sehingga dapat mewujudkan persefahaman di kalangan penduduk pelbagai etnik di
negara ini. Faktor ini tidak harus dilupakan kerana dengan adanya perpaduan inilah maka
negara kita dapat dibangunkan dan dimajukan seperti yang ada sekarang.

(Mazlan A. Aziz, Pemertabatkan Bahasa Melayu di Institut Pendidikan Tinggi Swasta, dalam
Jurnal Dewan Bahasa 1999)

Perenggan jenis induktif dibina bermula dengan huraian, contoh dan isi utama. Menurut
Sulaiman Masri dan Ahmad Khair Mohd. Nor (2004), perenggan induktif dimulai dengan
pengembangan, iaitu dimulakan dengan huraian, diikuti bukti atau contoh dan diakhiri
dengan isi utama. Istilah induktif itu sendiri dari sudut bidang falsafah menunjukkan kaedah
penghuraian sesuatu konsep atau teori dengan terlebih dahulu mengemukakan perincian dan
ditutup dengan prinsip atau rumusan (Awang Sariyan 2004). Maka atas pengertian itulah
perenggan ini dibina. Berikut adalah petikan  yang menunjukkan perenggan bentuk induktif:

Selainskizofenia, psikosis, kemurungan, fobia, kumpulan campuran – penagih dadah, ketagih


minuman beralkohol, gangguan tingkah laku seks, gangguan kanak-kanak, gangguan
mengawal perasaan, kecelaruan personaliti, gangguan tabiat pemakanan, dan masalah
identitimerupakan penyakit mental yang berbahaya tetapi tidak seserius pesakit skizofrenia
yang berpontesi besar mengancam nyawa orang lain.

(Aminah Janang, Jenayah Pesakit Mental, dalam Dewan Masyarakat, Mac 2008)

Dari sumber yang sama turut menyatakan bahawa, bagi perenggan deduktif-induktif pula
ialah satu perenggan yang telah bergabung oleh dua jenis bentuk perenggan iaitu perenggan
deduktif dan perenggan induktif. Menurut Jo Ray McCuen dan Anthony C. Winkler (2006)
pula, perenggan deduktif- induktif  mempunyai bentuk seperti ‘sandwich’ iaitu dimulakan
dengan isi utama, seterusnya huraian dan akhirnya adalah penegasan terhadap isi utama.
Dalam perenggan ini terdapat dua ayat isi yang ditulis diawal perenggan, kemudian ditulis
semula dalam pengembangan isi berkenaan. Perenggan berbentuk deduktif-induktif ini
dikatakan lebih canggih dan berkesan. Hal ini demikian kerana dengan mengemukakan isi
utama di awal dan di hujung perenggan, maka pembaca mudah mengingat dan menangkapi
isi yang hendak disampaikan oleh penulis. Perenggan berbentuk gabungan deduktif- induktif
seperti berikut:

Perangkaan menunjukkan bahawa bahawa di kalangan kanak berumur bawah 18 tahun,


bilangan kanak – kanak dalam kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun adalah yang paling
tinggi mengalami lebih berat badan. Masalah pemakanan, sama ada kekurangan zat makanan
atau berlebihan zat makanan, ia lebih banyak berlaku dalam kumpulan umur ini. Manakala
tabiat makan tidak sihat di kalangan mereka semakin membimbangkan. Perangkaan ini
menunjukkan trend yang amat membimbangkan.

(Garam Berlebihan Bawa Penyakit, dalam Mingguan Malaysia, Mei 2010:3)

Seterusnya perenggan berbentuk dampingan, perenggan ini terbentuk apabila ayat topik
berada di tengah-tengah perenggan dan permulaan serta akhir perenggan disokong  dengan
huraian dan contoh (Mohd. Azhar Abd. Hamid et.al. 2001). Berikut adalah contoh petikan
yang mempunyai perenggan berbentuk dampingan:

Jangan malu bercakap dalam bahasa Inggeris biarpun penggunaan ayatnya tidak betul atatu
bertutur dalam bahasa ‘rojak’. Tingkatkan keyakinan diri untuk bercakap dengan orang yang
mahir dalam bahasa tersebut. Secara tidak langsung, anda boleh belajar daripada rakan yang
mahir cara bertutur dengan betul. Anggap teguran tersebut sebagai penguat semangat untuk
anda perbaiki.

(Fateh Saphilla Mohamed Isa, Tip Mahir Bahasa Inggeris, dalam Kosmo Februari 2010)

Walaupun terdapat ketidaksamaan dalam bilangan jenis atau bentuk perenggan yang
diutarakan, namun bentuk-bentuk ini dalam lingkungan yang sama dan penulis juga bebas
untuk memilih mana-mana bentuk perenggan yang ingin dibina berdasarkan kesesuaian isi
yang ingin dihuraikan. Bahkan bentuk-bentuk perenggan ini juga boleh bergabung dalam satu
karangan dan seterusnya kepelbagaian bentuk perenggan dapat membantu kepada
menghidupkan lagi karangan tersebut.

You might also like