You are on page 1of 16

KEUNGGULAN MODEL INSAN MELAYU AL-GHAZALI DALAM NOVEL

WAJAH SEORANG WANITA KARYA S. OTHMAN KELANTAN

Robiah binti Mohamad (Ph. D)


Jabatan Pengajian Melayu
IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk meneliti watak dan perwatakan utama yang unggul dan boleh diangkat
sebagai model insan Melayu dalam novel Wajah Seorang Wanita karya S. Othman Kelantan
(SOK). Kaedah kajian yang digunakan untuk kajian ini ialah kajian kepustakaan dengan
membaca buku, jurnal, tesis, kertas kerja, majalah dan akhbar yang ada kaitan dengan kajian
serta sebuah novel dengan menggunakan teknik bacaan rapi (close reading technique) dan
analisis kandungan (content analysis) watak dan perwatakan utama novel tersebut. Pendekatan
yang digunakan untuk menganalisis ialah pendekatan Model Insan Melayu (MIM) yang
merangkumi unsur dalaman dan unsur luaran yang dibina berdasarkan pandangan Imam Al-
Ghazali bahawa manusia mempunyai tiga tahap nafsu iaitu nafsu mutmainnah, nafsu lawammah
dan nafsu ammarah. Hasil kajian mendapati watak Siti Musalmah berada pada tahap nafsu
mutmainnah dan dianggap model insan unggul yang boleh dicontohi kerana memenuhi kriteria
MIM iaitu memiliki sifat dalaman dan luaran yang lengkap. Oleh yang demikian, kajian ini
memperlihatkan bahawa watak Siti Musalmah menjadi insan yang hebat dan akan diingati oleh
pembaca dan secara simboliknya insan beginilah yang dikatakan, ‘takkan Melayu hilang di dunia’
kerana memiliki jati diri yang mempunyai kekuatan dalaman dan luaran yang berada pada tahap
nafsu mutmainnah, yang tidak tergugat. Melalui pendidikan, model insan Melayu beginilah yang
wajar dilahirkan oleh negara bagi generasi akan datang bagi menyelamatkan negara dan bangsa
agar tidak lenyap jati diri mereka.

Kata kunci: novel, model, insan, watak, jati diri

THE EXCELLENCE OF THE AL-GHAZALI MALAY HUMAN MODEL IN


WAJAH SEORANG WANITA BY S. OTHMAN KELANTAN

ABSTRACT

This study will analyse the main character and characterization which can be described as the
Malay human model as found in Wajah Seorang Wanita, by S. Othman Kelantan. A thorough
library research was conducted through reading books, journals, thesis, working papers,
magazines and newspaper articles related to the study. This too include reading the novel paying
close attention to the close reading technique and content analysis on the character and
characterization. Analysis was done through the Malay Human Model approach or Model Insan
Melayu (MIM) which encompasses the inner as well as outer elements which was developed
based on the categorisation of Al-Ghazali: mutmainnah, lawammah and ammarah. This study
identifies Siti Musalmah possess the level of mutmainnah which is example as she meet the
criteria of the MIM such as possessing the complete inner as well as outer elements. As such,
this study enlightens us to Siti Musalmah to be excellent Malay human model and to be
remembered by society and symbolicly deemed as “Malay Shall Not Perish From This World” as
she possess a tough and stable inner as well as outer strength at the mutmainnah level. Through
education, we should yield such Malay human model amongst the younger generation to ensure
the nation and the Malay race of lasting self resilience.

Key words: novel, model, human, character, self resilience

1
PENDAHULUAN

Bangsa Melayu ialah penduduk asal negara Malaysia yang merupakan bangsa terbesar
yang menghuni negara ini. Mereka terdiri daripada suku-suku Melayu-Utara, Melayu-
Kelantan, Melayu-Terengganu, Melayu-Pahang, Melayu-Perak, Melayu-Selangor,
Melayu-Melaka, Melayu Johor-Riau, Melayu-Borneo, Melayu-Brunei, Bugis, Jawa,
Minangkabau, Aceh, Banjar, Mandailing, Rawa dan lain-lain lagi.

Dari segi definisi budaya, orang Melayu merangkumi seluruh penduduk pribumi
di Nusantara iaitu termasuk seluruh suku bangsa yang menduduki kepulauan Melayu-
Indonesia, Melayu di selatan Thailand, Singapura, Brunei, Filipina, Kemboja dan lain-lain
lagi, tanpa mengira agama, bahasa dan adat istiadat kelompok tersebut.

Menurut Perkara 160, Fasal 2 Perlembagaan Persekutuan, Melayu ditakrifkan


sebagai “seseorang yang menganut agama Islam, lazimnya bertutur dalam bahasa
Melayu dan mengamalkan adat-istiadat dan adat resam Melayu”, dan (a) lahir, sebelum
Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu bapanya telah lahir di
Persekutuan atau di Singapura, atau pada Hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di
Persekutuan atau di Singapura; atau (b) ia adalah zuriat seseorang yang sedemikian.

Daripada takrif Melayu yang sah di sisi Perlembagaan itu nyatalah bahawa unsur
utama yang mendasari jati diri seseorang insan Melayu itu ialah agama Islam. Keunikan
bangsa Melayu Malaysia di dunia ini adalah merupakan bangsa yang seluruh umatnya
menganut agama Islam. Perlembagaan meletakkan agama Islam sebagai teras
pengenalan bangsa Melayu. Aspek kedua, iaitu bahasa juga tidak dapat dipisahkan
daripada bangsa. Pepatah Melayu mengatakan bahasa jiwa bangsa. Aspek ketiga iaitu
adat istiadat Melayu pula bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di
sehingga menjadi hukum dan peraturan yang mesti dipatuhi. Dalam membicarakan
adat Melayu, seseorang insan Melayu tidak boleh lupa aspek pertama dan kedua tadi.

Kajian tentang model insan Melayu ini akan menganalisis novel Sasterawan
Negara ke-9, S. Othman Kelantan, yang terkenal sebagai Pemotret Wajah-wajah
Melayu Sepanjang Zaman Penulis dengan Karya dan Watak-wataknya (Wan Hashim
Wan Teh 2005: 141). Oleh itu, kajian ini akan meneliti watak dan perwatakan di dalam
novelnya yang boleh diangkat sebagai model insan Melayu agar boleh dijadikan
panduan hidup pembaca.

PENYATAAN MASALAH

S. Othman Kelantan merupakan Sasterawan Negara ke-9. Selain daripada


menghasilkan cerpen dan penulisan ilmiah, beliau terkenal dengan penghasilan novel-
novelnya. Sehingga ke akhir hayatnya, beliau telah menghasilkan sebanyak 11 buah
novel dewasa dan empat buah novel kanak-kanak. Novel-novelnya membicarakan
pelbagai tema masyarakat Melayu dengan penonjolan watak dan perwatakan yang
berbeza sama ada watak utamanya lelaki atau wanita.

Persoalannya adakah watak dan perwatakan yang ditonjolkan oleh S. Othman


Kelantan dalam novel Wajah Seorang Wanita merupakan watak yang boleh dijadikan
model contoh kepada para pembaca. Isu inilah yang akan menjadi fokus kepada kajian
ini.

2
OBJEKTIF

Objektif kajian ini adalah untuk:

1. mengkaji watak dan perwatakan utama yang unggul dalam novel bagi
mengangkat watak tersebut untuk dijadikan model contoh kepada pembinaan
insan Melayu.

PERSOALAN KAJIAN

Kajian ini akan menjawab persoalan, iaitu:

1. adakah watak dan perwatakan utama dalam novel dapat diangkat sebagai model
contoh yang unggul kepada pembinaan insan Melayu?

KERANGKA KONSEPTUAL

Istilah insan Melayu akan begitu sering digunakan dalam kajian ini. Istilah ini akan dlihat
dari kaca mata Islam dengan memberi fokus kepada takrifan insan dan pembangunan
insan oleh Imam Al-Ghazali melalui bukunya, Ihya Ulumuddin.

Al-Ghazali telah membahagikan nafsu kepada beberapa peringkat iaitu yang


pertamanya ialah nafsu al-ammarah. Nafsu ini ialah nafsu jahat yang tidak mempunyai
unsur-unsur kemuliaan dan kebaikan, bahkan mempunyai kecenderungan melakukan
kejahatan. Nafsu yang kedua pula ialah nafsu al-lawwamah yang mengandungi kedua-
dua kombinasi, unsur kebaikan dan kejahatan menjadikan jiwa cenderung untuk
membuat pertimbangan baik dan buruk. Seterusnya nafsu yang ketiga pula adalah al-
mutmainnah iaitu nafsu yang mempunyai unsur kebaikan dan kemuliaan sahaja.

Pemahaman konsep insan Al-Ghazali dengan tabi’i keinginan dalam diri setiap
insan melalui beberapa tahap nafsu yang mempengaruhi tingkah laku dan akhlak
manusia, iaitu nafsu ammarah, lawammah dan mutmainnah akan menjadi landasan
dalam menganalisis isi (content analysis) watak dan perwatakan utama novel S. Othman
Kelantan ini.

Berdasarkan huraian di atas, pengkaji membina model yang dirujuk daripada


Konsep Nafsu Al-Ghazali seperti yang digambarkan menerusi Rajah 1 di bawah.

3
Rajah 1: Kerangka Model Insan Melayu (MIM) berpandukan konsep nafsu Al-Ghazali

4
Bagi menganalisis keseluruhan novel, pengkaji membahagikan Model Insan
Melayu berpandukan konsep nafsu Al-Ghazali kepada Rajah 2 di bawah, iaitu Model
Insan Melayu (MIM) yang dibina bagi menilai unsur luaran dan dalaman watak utama
dalam novel S. Othman Kelantan ini.

 
 S. Othman Kelantan mempotret watak utama dalam novelnya

Nilai Dalaman Nilai Luaran


   
 Beriman  Berketerampilan
 Berilmu  Ekonomi yang kukuh
 Berakhlak  Kesihatan yang baik

Rajah 2: Model Insan Melayu (MIM)

Model yang dinamakan Model Insan Melayu ini akan dijadikan landasan
penganalisisan watak dalam novel yang dikaji. Model Insan Melayu (MIM) yang dibina
akan digunakan dalam usaha untuk menjawab permasalahan kajian iaitu adakah watak
yang ditonjolkan itu menepati konsep insan Melayu yang membolehkan watak tersebut
dijadikan model kepada para pembaca. Watak seperti beriman, berilmu, berakhlak,
berketerampilan, mempunyai ekonomi yang kukuh dan kesihatan yang baik merupakan
ciri-ciri insan Melayu yang perlu dilahirkan oleh masyarakat dan negara agar dapat
memberi sumbangan kepada kehidupan manusia dan pembangunan negara. Kajian
akan cuba menjawab sama ada watak yang ditampilkan oleh S. Othman Kelantan
(SOK) mempunyai kriteria-kriteria yang dinyatakan di atas.

METODOLOGI

Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kajian kepustakaan (library research).
Penggunaan kaedah ini diharap dapat menyempurnakan kerja-kerja analisis ke atas
novel S. Othman Kelantan ini. Bagi memperoleh dan menganalisis bahan-bahan di
atas, perpustakaan yang dikunjungi dalam usaha mencari bahan dan data ialah seperti
Perpustakaan Tun Sri Lanang, Perpustakaan Institut Alam dan Tamadun Melayu
(ATMA), Bilik Pusat Sumber, Jabatan Persuratan Melayu di Pusat Pengajian Bahasa,
Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta
Perpustakaan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut
dijadikan destinasi rujukan ialah Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, Pusat Sumber Puteri, IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka
dan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka.

5
Pengkaji akan meneliti novel kajian bagi mengkaji watak dan perwatakan.
Pengkaji akan membaca karya menggunakan teknik bacaan rapi (close reading
technique) dan menganalisis isi (content analysis) dengan menggunakan pendekatan
model insan Melayu menerusi pandangan Islam berdasarkan al-Quran dan sarjana
Islam Al-Ghazali.

ANALISIS DATA DAN PERBINCANGAN

Nilai Dalaman: Beriman, Berilmu dan Berakhlak

Beriman

Iman yang digambarkan oleh al-Quran ialah hakikat yang tidak terpisah daripada realiti
kehidupan manusia. Iman ialah hakikat yang tidak terpisah dengan semua kegiatan
hidup sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quran yang bermaksud:

Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah,
Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan demikian itulah yang diperintahkan
kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerah diri (kepada Allah)1.

“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat
kembali yang baik2.”

Ayat di atas merupakan penegasan janji Allah SWT bagi orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, yakni perlakuan yang baik meliputi tindakan perlakuan
peribadi dan perlakuan bermasyarakat. Oleh sebab itulah Allah memerintahkan agar
orang-orang Islam yang beriman melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar kerana
mereka merupakan semulia-mulia umat pada pandangan Allah (Al-Ghazali 1997: 62).

Unsur dalaman kedua ialah berilmu. Huraiannya seperti di bawah.

4.2.2 Berilmu

Definisi ilmu menurut Peter R. Senn (dalam Jujun S. Suriasumantri 1981:110), ilmu
merupakan salah satu hasil dari usaha manusia untuk memperadab dirinya. Lebih dari
seribu tahun, lewat pelbagai kurun, zaman dan tamadun, ketika manusia merenung
dalam-dalam tentang apa ertinya menjadi seorang manusia, secara lambat laun mereka
sampai pada kesimpulan bahawa mengetahui kebenaran ialah tujuan yang paling utama
bagi manusia. Perkembangan ilmu pada waktu lampau dan sekarang merupakan
jawapan dari rasa keinginan manusia untuk mengetahui kebenaran.

Islam meletakkan martabat tertinggi kepada ilmu dan ilmuwan. Kepentingan ilmu
ini membuatkan pencarian dan pengembangan ilmu sebagai tanggungjawab asas
keagamaan, manakala usaha dan pengorbanan pencari ilmu disamakan dengan jihad
pada jalan Allah dan para ilmuan pula dianggap sebagai pewaris para anbia. Manusia
Islam yang ingin menjadi 'abid’3 dan sekaligus khalifah yang berupaya melakukan
kebaikan (amal soleh) mestilah berilmu. Walau bagaimanapun, ilmu yang dimiliki tidak

1
al-Quran, Al-An’am: 162-163.
2
al-Quran, Ar-Ra’d: 25.
3
Orang yang menghambakan diri kepada Allah dengan beribadat kepada-Nya.

6
boleh disalahgunakan, sebagaimana hadis riwayat Ibnu Umar (dalam Abu Abdullah
Muhammad Said 2004: 26), Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa menuntut ilmu untuk berdebat dengan ulama, meninggi atas
orang-orang yang jahil ataupun untuk memalingkan wajah manusia kepada dirinya,
maka ia di neraka.”

Unsur dalaman ketiga ialah berakhlak. Huraiannya seperti di bawah.

Berakhlak

Akhlak bererti tabiat atau tingkah laku. Perkataan akhlak berasal daripada bahasa Arab
yang bererti budi pekerti, perangai, tingkah laku dan adat kebiasaan (M. Ali Hasan 1984:
10). Menurut Al-Ghazali : “Akhlak merupakan suatu keadaan yang sebati di dalam diri
serta melahirkan tingkah laku secara spontan tanpa perlu merenung dan berfikir”.

Akhlak merupakan roh Islam kerana agama tanpa akhlak samalah seperti jasad
yang tidak bernyawa. Menurut Al-Ghazali (dalam H. Moh. Rifa’i 1997: 42), Nabi
Muhammad SAW diutus menjadi Rasul dengan tujuan utama untuk membina dan
menyempurnakan akhlak sebagaimana dinyatakan dalam hadis riwayat Ahmad:
“Bahawasanya aku diutus Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi
pekerti)”.
Islam mengajar manusia hidup dengan akhlak yang mulia dalam apa jua keadaan.

Demikian tiga unsur dalaman menurut pandangan tokoh-tokoh Islam dan Barat
yang semuanya menjurus mendidik jiwa manusia menjadi insan mulia di sisi Allah dan
manusia, yang memperlihatkan kehebatan mereka. Setelah menghuraikan tiga aspek
dalaman insan yang perlu dimiliki iaitu beriman, berilmu dan berakhlak, berikut ialah
analisis nilai dalaman novel Wajah Seorang Wanita.

Satu-satunya wanita yang diangkat oleh SOK menerusi novelnya ialah Siti
Musalmah. Watak utama dalam novel Wajah Seorang Wanita ini juga merupakan
seorang insan Melayu yang kukuh imannya. Siti ialah anak sulung kepada Haji Nik
Abdullah, seorang guru agama dan Bekas Kadi Besar Majlis Agama Islam Kelantan
daripada isterinya Cik Safiah, merupakan seorang anak yang taat kepada ibu bapanya
semenjak zaman remaja lagi. Apabila sudah berkahwin, ketaatannya tumpah pula
kepada suaminya, Omar selain kepada ibu bapa dan mertuanya. Siti Musalmah dan
Omar sangat bermurah hati, tidak pernah mengungkit apabila terpaksa menanggung
makan pakai adik-beradik dan anak-anak saudara yang menumpang di rumah mereka
dan bersedekah kepada insan yang memerlukan telah menampakkan peribadi mereka
yang taat kepada Allah.

Siti amat yakin akan kekuasaan Allah ke atas hamba-hamba-Nya. Bagi Siti,
hidup dan mati ditentukan oleh Allah dan sebagai hamba-Nya dia tidak berdaya
menahan pemergian tiga orang anak lelakinya sewaktu masih kecil dan seorang anak
perempuan yang sedang mengandung empat bulan. Siti begitu tabah dan dapat pula
memujuk menantunya dengan kata-kata semangat agar menerima ketentuan Allah.

Siti Musalmah tidak lupa menunaikan solat fardu, di samping turut menunaikan
solat sunat seperti solat tahajud. Selain daripada itu, Siti turut mengajar anak-anak,
anak-anak saudara dan cucu-cucunya untuk bersolat. Aktiviti solat hajat juga sering

7
menjadi amalan keluarganya. Mereka menunaikan solat hajat secara berjemaah,
antaranya ketika Allah telah menyelamatkan Siti Musalmah dan mereka semua daripada
kekejaman Jepun serta ketika menerima kelahiran seorang cucu yang cacat.

Demi menanggung keluarga yang besar, Siti Musalmah menjadikan Allah


tempatnya bergantung. Dia sering kali bermunajat ke hadrat Ilahi untuk kesejahteraan
diri, anak-anak, cucu-cucu dan keluarganya. Siti juga tidak lupa berdoa untuk arwah
suaminya Omar, ayahnya Haji Nik Abdullah dan ibunya Cik Safiah.

Siti Musalmah menjadikan bacaan al-Quran sebagai santapan rohani, malah


sering juga mengajar anak-anak dan cucu-cucunya mengaji. Siti seakan-akan menemui
kecintaan batinnya terhadap lagu al-Quran yang dia sendiri menghayatinya sehingga
akhir hayat. Siti Musalmah turut mengamalkan wirid selepas sembahyang. Siti
sememangnya beruntung kerana sewaktu hayat ibunya masih ada dia akan ditegur dan
diingatkan jika kurang beribadat. Antara teguran ibunya adalah supaya membahagi-
bahagikan masa untuk membanyakkan ibadat, tidak hanya menunaikan solat sahaja.

Sebagai wanita muslimah, Siti Musalmah sentiasa mengucapkan syukur ke


hadrat Allah SWT. Ketika dia terselamat daripada menjadi mangsa tusukan bayonet
Jepun, Siti Musalmah benar-benar bersyukur, begitu juga apabila keluarga besarnya
tidak kebuluran sewaktu zaman pendudukan Jepun, malah dapat membantu jiran dan
kawan dari kampung berdekatan yang datang meminta makanan.

Sebagai mukmin sejati, Siti Musalmah sentiasa redha dengan qadak dan qadar
Allah ke atas dirinya. Walaupun menangis setiap kali kehilangan anaknya, Siti
Musalmah menyedari akan ketentuan takdir yang tidak dapat dihalang. Begitu juga Siti
Musalmah redha dengan kematian suaminya sebelum melihat perkembangan anak
mereka, Ahmad kerana Allah lebih mengetahui akan nasib masa depannya. Siti
Musalmah turut redha dengan qadak dan qadar apabila anaknya Siti Fatimah berpisah
dengan suaminya. Dua orang cucunya itu terpaksa diambilnya dan dibelanya sendiri.
Lantaran itu Siti Musalmah bertawakal kepada Allah atas apa jua ujian yang
didatangkan kepadanya.

Menjelang hari tuanya, Siti Musalmah juga bertuah kerana beroleh Siti Raudhah
sebagai menantunya yang memahami kebiasaan ibu mertuanya itu yang gemar
berlama-lama di atas tikar sembahyang berwirid, berdoa, membaca al-Quran dan
menelaah kitab. Sehingga ke akhir hayatnya, Siti Musalmah menghabiskan masanya
dengan membanyakkan ibadat dan pasrah dengan penyakit kencing manis yang
dideritainya.

Meneliti watak Siti Musalmah dalam novel Wajah Seorang Wanita juga
mempunyai ilmu agama yang baik. Suaminya, Syed Omar berketurunan pendakwah
dan Siti Musalmah juga berketurunan ulama. Ayahnya, Tuan Guru Nik Abdullah pernah
menjadi kadi kerajaan Kelantan yang kemudiannya mendirikan sekolah pondok. Ibu Siti
Musalmah, iaitu Cik Safiah ialah anak Tuan Guru Haji Yaakub, ulama yang terkenal di
Kota Bharu. Ibunya disebutkan berakhlak tinggi, terdidik dalam agama yang mendalam
dan selalu terbuka dalam berfikir. Siti Musalmah pula mewarisi ibunya yang solehah itu
(Siti Aisah Murad 2004: 120). Dengan ilmu agama yang ada padanya, Siti Musalmah
mengamalkannya dengan tertib dan tidak lokek berkongsi ilmu dengan jiran tetangga.

8
Sebagai isteri solehah, Siti Musalmah sentiasa di sisi suaminya pada waktu
senang maupun sukar. Perkara ini memudahkannya mengambil alih perniagaan setelah
suaminya meninggal dunia di samping dapat mengendalikan perniagaan yang
diusahakannya sendiri. Dia pandai membawa dirinya sebagai balu dengan sangat
sopan, ilmu agama sentiasa memagarinya daripada melakukan sesuatu yang tidak baik.

Watak Siti Musalmah juga mahir dalam ilmu perniagaan, sekaligus


mencerminkan kehebatan wanita Kelantan dalam menjalankan urus niaga. Siti mula
menjinak-jinakkan diri dalam dunia perniagaan bermula dengan “berada di kilang kayu
dan menyemak segala kira-kira pembayaran masuk dan keluar” (Wajah Seorang Wanita
2004: 164). Bantuannya amat disenangi oleh suaminya yang sering kurang sihat dan
sibuk pula dalam urusan agama. Dia mula menjual barang-barang tembaga dan suasa
kepada jiran-jiran terdekat. Siti mula melabur wang perniagaan balak suaminya dengan
membeli barang-barang kemas dan barangan tembaga dan suasa untuk diniagakan.
Kemudian, Siti berniaga kain baju dalam bentuk sarung dan kain ela buatan Terengganu
di Pasar Besar Kota Bharu. Selepas kematian suaminya, urusan perniagaan balak
diuruskan oleh Siti Musalmah di samping memasarkan barangan keperluan
rumahtangga. Perniagaan balaknya terjejas akibat banjir lalu Siti mengajak ahli
keluarganya bertanam ubi dan jagung di samping meneruskan kerja sebagai peraih
beras.

Siti Musalmah kemudiannya menjadi peniaga tetap di Pasar Besar di Kota


Bharu. Dia sebenarnya menjadi peraih menjual sayur, ubi, jagung, sambal ikan dan
daging, dodol, pisau kecil, makanan kering, udang galah dan udang sungai yang
dibelinya di Pengkalan Wakaf Tuk Kasim, udang karah yang diusahakan oleh adik
iparnya, Ali dan nelayan Pulau Gajah serta Kemaruk. Siti turut memasarkan tanaman
yang diusahakan oleh Abdullah dan Jaafar seperti keledek dan ubi kayu serta sayur-
sayuran dan ternakan.

Apabila tidak dapat ke Pasar Kota Bharu selepas Jepun kalah, Siti membuat
kuih-muih untuk dipasarkan di empat buah kedai kopi di Pangkalan Wakaf Tuk Kasim.
Kemudian, Siti Musalmah kembali kepada perniagaan gerainya sebelum menyewa
kedai untuk berniaga barang-barang perak dan tembaga, kain baju dan emas tulen.
Kedai yang bertambah maju dari semasa ke semasa itu akhirnya dijual oleh Siti
Musalmah kerana dia dan adiknya Siti Aisyah sudah tua dan tidak larat menguruskan
perniagaan yang besar itu di samping mahu memberi tumpuan kepada amal ibadat
sepenuh masa sehingga ke akhir hayatnya.

Watak Siti Musalmah dalam novel Wajah Seorang Wanita juga merupakan
seorang yang berakhlak baik. Siti merupakan seorang anak, kakak, isteri, ibu, ibu
saudara, nenek dan ketua keluarga yang bertanggungjawab. Akhlak seorang anak yang
mendengar kata dan taat kepada ayahnya tidak tergugat walaupun dia tidak begitu
bersetuju dengan cadangan ayahnya untuk berpindah ke kampung dan meninggalkan
rumah mereka di Lorong Gajah Mati itu. Siti Musalmah juga rela dan tidak membantah
apabila ditunangkan dengan sepupunya, Omar.

Sebagai seorang kakak pula, Siti Musalmah menunjukkan contoh akhlak yang
baik kepada adik-adiknya. Rajin di dapur, Siti Musalmah turut mengajak adik-adiknya
Siti Aisyah dan Siti Khadijah membantunya dan secara tidak langsung dapat mendidik
mereka agar cekap di dapur. Setelah berumah tangga, Siti Musalmah menjadi isteri
yang taat kepada Omar. Dia sentiasa berada di sisi Omar sama ada waktu makan,

9
waktu kerja atau waktu lain-lainnya. Siti Musalmah juga menerima adiknya Siti Aisyah
yang sudah bercerai kemudiannya tinggal bersama-samanya. Begitu juga dengan Siti
Khadijah yang menumpang tinggal di rumahnya kerana suaminya sering berulang-alik
ke Siam untuk berniaga.

Setelah menjadi balu, Siti Musalmah tetap menunjukkan akhlaknya yang baik.
Dia telah menerima baik kedatangan Cik Mat Razali yang kononnya ingin berkongsi
perniagaan balak dengannya dan kemudiannya datang sekali lagi untuk menyuntingnya
sebagai isteri bagi mengurangkan beban yang ditanggungnya. Siti Musalmah telah
menolaknya dengan sopan kerana tahu akan niat sebenar lelaki itu. Dia bersyukur
kepada Allah kerana meneguhkan hatinya daripada tertarik kepada seseorang yang
tampan dan kacak tetapi suka mengambil kesempatan ke atas harta orang lain. Siti
Musalmah sedar selepas kematian suaminya, banyak godaan yang datang termasuk
daripada Idris dan Manaf, sahabat suaminya sendiri. Namun dia memilih untuk
menumpukan perhatian kepada perniagaan dan keluarganya di samping
membanyakkan amal ibadatnya.

Setelah menjadi nenek, pada usia tuanya, Siti Musalmah telah bertindak nekad
dengan menjual kedai kainnya kerana tidak mahu memikirkan tentang perniagaan lagi.
Siti mahu keluarganya hidup dengan aman damai dan sejahtera untuk beramal ibadat.
Siti mahu terlepas daripada memikirkan harta dunia. Siti telah menjadi nenek yang
penyayang kepada cucu-cucunya. Pada ketika itu, Siti tidak lagi menguruskan makan
minum ahli keluarganya. Urusan tersebut telah diserahkan kepada anak-anaknya serta
menantunya, Siti Raudhah. Siti Musalmah lebih banyak meluangkan masa untuk
beribadat kepada Tuhan dan redha dengan ketentuan Tuhan dengan penyakit yang
dideritainya. Sehingga ke akhir hayatnya, Siti Musalmah telahpun sampai pada tingkat
nafsu mutmainnah dengan hal-hal duniawi tidak lagi menjadi keutamaannya.

Nilai Luaran: Berketerampilan, Ekonomi yang Kukuh dan Kesihatan yang Baik

Berketerampilan

Keterampilan yang dapat dibahagikan kepada keterampilan diri dan keterampilan sosial
terletak di bawah bidang etiket sosial. Perkataan etiket bermaksud adab sopan. Istilah
etiket berasal daripada bahasa Yunani iaitu ethos yang bererti adat kebiasaan.
Pengertian akhlak atau etika berbeza daripada etiket, kerana orang beradab belum tentu
dia berakhlak. Falsafah etiket Islam berbeza daripada falsafah etiket Barat. Menurut
falsafah Barat, etiket bererti suatu ilmu yang menyelidiki baik ataupun buruk perlakuan
manusia berdasarkan kemampuan akal fikiran. Etiket Barat hanya berpandukan akal
fikiran dan tidak berdasarkan agama. Menurut Islam, ilmu etiket ialah ilmu yang
mengajar perlakuan baik dan buruk berdasarkan ajaran Allah SWT dan Rasul-Nya.
Etiket Islam sesuai dengan fitrah dan akal fikiran yang lurus. Etiket Islam menetapkan
bahawa sumber moral ialah Al-Quran dan As-Sunnah atau Hadis Rasul-Nya (Wan
Aminurrashid Wan Abd. Hamid 2002: 1).

Unsur luaran kedua ialah ekonomi yang kukuh. Huraiannya seperti di bawah.

Ekonomi yang Kukuh

10
Ekonomi bukanlah persoalan baharu dalam Islam. Perancangan dan aktiviti ekonomi
telah berlaku dalam zaman Nabi Yusuf alaihissalam yang menjadi Menteri Ekonomi
pertama di Mesir. Baginda telah meletakkan asas Ilmu Ekonomi dengan membuat satu
perancangan rapi bagi memastikan negara mempunyai bekalan yang mencukupi
apabila menghadapi musim kemelesetan. Namun begitu, kegiatan ekonomi pada
zaman awal Islam agak terbatas dengan kegiatan jual-beli sahaja di pasaran yang
mudah. Mulai abad kedua Hijrah bermulalah beberapa kajian mengenai kegiatan
ekonomi secara khusus dan lahirlah tulisan-tulisan mengenai hukum riba, sistem harga,
monopoli, percukaian, zakat, kewangan kerajaan dan sebagainya. Tulisan-tulisan ini
membicarakan hukum-hakam muamalat mengikut mazhab masing-masing (Surtahman
K.H. et.al 2005: xx-xxi).

Mutakhir ini ekonomi Islam telah mendapat tempat dalam masyarakat dunia.
Ekonomi Islam ialah ilmu yang mengkaji tentang kegiatan manusia yang selaras dengan
kehendak syariat Islam dari segi memperoleh, mengguna dan menguruskan sumber
alam demi mencapai keredhaan Allah. Menurut Al-Ghazali (dalam Cholis Akhbar 2010:
2), terlibat dalam aktiviti ekonomi hukumnya fardu kifayah. Aktiviti ekonomi harus
didasarkan pada tujuan untuk mendapatkan kebahagiaan di akhirat dan ketika terlibat
dalam urusan ekonomi setiap insan mestilah: pertama, memanfaatkan sumber daya
alam yang dicipta Allah SWT bagi kelangsungan hidup, sekali gus sebagai bukti
kesyukuran kepada Sang Maha Pemberi Rezeki. Kedua, orang yang kuat secara
ekonomi maka hidupnya akan bebas, jauh dari bergantung pada orang lain dan dapat
menjalankan ajaran agama secara sempurna, misalnya mengeluarkan zakat, memberi
infak dan sedekah dan menunaikan ibadah haji. Ketiga, tingkah laku dalam memenuhi
kegiatan ekonomi tidak boleh menyimpang dari ajaran dan prinsip agama Islam.

Unsur luaran ketiga ialah kesihatan yang baik. Huraiannya seperti di bawah.

Kesihatan yang Baik

Syariat Islam yang diturunkan oleh Allah amat menitikberatkan kesihatan manusia dari
segi kesihatan mental, fizikal dan spiritual (Mastura Zulkifli 2012: 1). Menurut Imam Al-
Ghazali (Hassan Langgulung dalam Roslee Ahmad et. al 2005: 2) , manusia yang sihat
mental ialah manusia yang sempurna; iaitu manusia yang boleh mengawal tujuh
anggotanya. Anggota yang dimaksudkan ialah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan,
tangan dan kaki. Kesimpulannya daripada huraian di atas kesihatan merangkumi dua
perkara iaitu kesihatan tubuh badan dan kesihatan mental. Penting kedua-dua aspek
kesihatan ini dijaga dengan baik. Dengan kesihatan yang baik manusia boleh bekerja
dengan rajin, membuat amal ibadat dengan sempurna dan jiwanya sentiasa terjaga agar
sentiasa memikirkan bahawa dirinya boleh memberi sumbangan berguna kepada
agama, bangsa dan negaranya. Manusia yang baik ialah manusia yang boleh
memberikan kebaikan kepada manusia lain.

Setelah menghuraikan tiga aspek luaran insan yang perlu dimiliki iaitu
berketerampilan, ekonomi yang kukuh dan kesihatan yang baik, berikut ialah analisis
novel karya SOK.

Novel Wajah Seorang Wanita mengetengahkan watak Siti Musalmah yang


berketerampilan dengan personaliti yang menyenangkan. Siti Musalmah merupakan
seorang wanita yang tabah dalam menghadapi apa sahaja ketentuan Allah kepadanya.

11
Bermula dari semasa belum berkahwin lagi, kakak sulung ini sudah diuji kepatuhannya
kepada ayah dan ibunya yang mahu berpindah ke kampung halaman apabila bapanya
mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan. Sungguhpun tidak begitu suka tinggal
di kampung kerana kurang kemudahan, namun Siti Musalmah tetap akur dengan
ketetapan yang telah dibuat oleh ayahnya. Begitu juga apabila ditentukan jodohnya
dengan sepupunya Syed Omar, Siti Musalmah juga menurut tanpa membantah.

Siti Musalmah juga merupakan seorang yang penyabar dengan saudara-


maranya. Rumahtangganya dengan Omar turut menempatkan adik-adiknya yang sudah
bercerai serta anak-anak buahnya. Segala makan pakai mereka turut ditanggung Siti
Musalmah suami isteri. Perkara ini belum diambil kira tetamu yang tidak dijangka yang
sentiasa ada setiap hari. Namun Siti melihat suaminya begitu redha dan tidak pernah
bersungut tentangnya. Perkara ini turut membantu Siti Musalmah dalam keterampilan
sosialnya.

Kesabaran dan ketabahan Siti Musalmah pernah teruji dengan kematian dua
orang anak lelakinya ketika masih kecil. Siti Musalmah turut diuji lagi dengan seorang
anak perempuan yang sedang mengandung juga dijemput Ilahi. Kemudian pemergian
suaminya akibat menderita sakit buah pinggang amat terkesan di hatinya dengan sikap
suaminya yang begitu redha dengan penyakit yang didatangkan Allah kepadanya.
Suaminya tidak pernah mengeluh akan kesakitan yang dirasainya sehinggalah ke akhir
hayatnya. Semua itu menjadikan Siti Musalmah seorang yang semakin tabah.

Walaupun menguruskan perniagaan balak bukan suatu perkara mudah untuk


dipikul oleh seorang balu sepertinya, namun Siti Musalmah dapat menguruskannya
dengan cekap. Sebagai pewaris perniagaan balak suaminya, Siti Musalmah turut
mempunyai keterampilan sosial dalam bidang perniagaan. Siti Musalmah tidak terburu-
buru menerima ajakan untuk berkongsi niaga bagi membesarkan perniagaan balaknya.
Dia telah menolaknya dengan baik. Malah Siti Musalmah juga sangat bijak menolak
ajakan lelaki untuk berkahwin kononnya bersimpati dengan keadaan dirinya. Namun,
Siti Musalmah menolaknya dengan bijak dan mencadangkan agar Cik Mat Razali
mengambil adiknya Siti Aisyah yang terlebih dahulu menjanda menjadi isterinya.

Perniagaan balak yang musnah akibat banjir besar yang melanda tidak
mematahkan semangat Siti Musalmah untuk terus berniaga. Siti Musalmah yang telah
lama berniaga semenjak suaminya masih ada tetap meneruskan pelbagai jenis
dagangannya dengan cekap dari satu jenis dagangan kepada yang lain sehingga dia
dapat membeli sebuah kedai untuk meneruskan perniagaan kainnya. Sebagai seorang
peniaga wanita yang berketerampilan, Siti Musalmah juga telah memutuskan untuk
menjual kedainya tanpa dipengaruhi oleh sesiapapun dalam membuat keputusan demi
hasratnya bagi memberi ruang untuk beribadat sepenuhnya tanpa rasa terlalu cinta
akan dunia.

Demikian keterampilan Siti Musalmah yang dapat menguruskan keluarga dan


perniagaannya dengan baik, betapa pun dia telah menjadi balu. Perjalanan hidupnya
teratur dengan keprihatinannya terhadap keluarga, masyarakat sekitar dan
hubungannya dengan Allah tidak terjejas kerana keterampilannya menguruskan
kehidupan dunia dan membuat persediaan untuk kehidupan hari akhirat.

Selanjutnya watak Siti Musalmah dalam novel Wajah Seorang Wanita juga kukuh
kedudukan ekonominya. Sebagai anak kepada seorang bekas hakim, kehidupan Siti

12
sememangnya senang semenjak anak dara. Sesudah berkahwin, kehidupan Siti
bertambah senang kerana suaminya menjalankan perniagaan balak yang agak maju.
Siti turut membantu suaminya menyimpan wang hasil perniagaan. Mereka tidak pernah
mengalami kesusahan wang ringgit sepanjang menjalani kehidupan berumah tangga,
walaupun terpaksa menanggung ahli keluarga yang ramai. Mereka tidak kedekut dan
dimurahkan rezeki. Siti Musalmah turut menjalankan pelbagai perniagaannya sendiri
semenjak sebelum zaman pendudukan Jepun sehinggalah Jepun kalah.

Jika diteliti, Siti Musalmah merupakan seorang yang kreatif dalam perniagaan.
Dia berniaga apa sahaja yang boleh mendatangkan wang halal. Daripada urusan
perniagaan balak, menjadi pemborong dan peruncit di Pasar Besar Kota Bharu.
Ditambah pula dengan kesungguhan dan kegigihannya berniaga, kedudukan
ekonominya amat kukuh walaupun setelah kematian suami dan melalui kehidupan
dalam zaman Jepun.

Siti Musalmah juga seorang watak yang diperlihatkan mempunyai kesihatan


fizikal, mental dan spiritual yang baik oleh SOK dalam novel Wajah Seorang Wanita ini.
Sejak usia remaja lagi Siti Musalmah sebagai kakak yang sulung merupakan anak yang
rajin dan cergas. Dari segi fizikalnya Siti Musalmah tidak gemuk seperti adiknya Siti
Aisyah dan pergerakannya di dapur juga lebih cekap dan pantas bekerja. Selain
menguruskan rumah tangga, Siti Musalmah juga turut membantu suaminya dalam
perniagaan balaknya.

Sebagai seorang yang sihat fizikal, beliau sangat cergas, Siti Musalmah tidak
suka duduk diam tanpa bekerja. Dia memulakan perniagaannya sendiri dengan
pelbagai barang diniagakannya sehingga memiliki sebuah kedai untuk berniaga barang-
barang perak, tembaga, kain baju dan emas tulen. Kedai tersebut akhirnya dijual oleh
Siti Musalmah kerana dia sudah tua dan tidak larat, di samping kesihatannya yang tidak
begitu memuaskan pada penghujung usianya.

Dari segi mental Siti Musalmah memiliki pemikiran yang sangat baik dan stabil.
Siti amat menghormati dan amat mengutamakan ibu, bapa, suami dan keluarganya.
Kasihnya kepada mereka tidak berkurangan walaupun mereka sudah tiada dan doanya
sering kali dititipkan buat insan-insan tersayang itu. Sebagai balu, Siti Musalmah
meneruskan kehidupan dengan rajin berusaha demi menanggung keluarganya yang
besar itu. Dia berniaga, bercucuk tanam, menternak dan membuat kuih-muih dengan
dibantu oleh ahli keluarganya. Siti Musalmah juga tidak terburu-buru menerima lamaran
lelaki lain setelah kematian suaminya. Gambaran wanita Melayu yang kuat berniaga
menjadi kebiasaan di Kelantan tanpa mengabaikan urusan agama mereka. Wanita
yang dianggap lemah oleh kaum lelaki, sebenarnya mempunyai kekuatan sendiri bagi
memajukan diri mereka. Kelebihan ini yang ingin diangkat oleh SOK bahawa wanita
juga memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi keluarga dan negara.

Bagi membersihkan spiritualnya dia banyak berserah kepada Allah. Amal


ibadatnya yang tidak pernah ditinggalkannya semenjak masih muda diteruskan
sehingga ke hari tuanya, malah semakin warak dan bertakwa menjelang akhir hayatnya.
Siti Musalmah dan suaminya suka bersedekah dan tidak pernah mengungkit segala
tanggungannya terhadap keluarganya yang besar. Siti Musalmah kemudiannya
sanggup menjual kedai kainnya yang semakin maju demi untuk memberi tumpuan
kepada amal ibadat dengan rasa aman, damai dan sejahtera serta terlepas daripada
memikirkan harta dunia. Apa yang ingin diperlihatkan SOK melalui watak ini bahawa

13
sekiranya seseorang itu memiliki kesihatan fizikal dan spiritual yang baik, mereka akan
meneruskan kehidupan hariannya dengan lancar seperti bekerja dan beribadah.

PERBINCANGAN DAN RUMUSAN

Perbincangan

SOK telah menggambarkan watak Siti Musalmah mempunyai kemantapan iman dan
akhlak yang terpuji. Siti Musalmah diberikan tahap keimanan yang paling tinggi
berbanding watak lain dalam mengharungi kehidupan di samping ibu bapa, suami, anak-
anak dan kaum keluarganya. Dalam hal ini pengarang telah mengangkat watak seorang
wanita yang cukup istimewa dan solehah, yang boleh dijadikan model contoh kepada
pembaca, yang menjaga hubungan baik dengan Allah dan hubungan baik dengan
manusia. Wanita yang berakhlak mulia ini membawa kesejahteraan hidup kepada
keluarga terutama suami, anak-anak dan saudara-maranya. Sesungguhnya Siti
Musalmah wanita yang boleh dijadikan model sama ada kehidupan berkeluarga atau
bermasyarakat.

Sungguhpun menjadi balu, Siti meneruskan kehidupan dengan gigih


menggunakan ilmu perniagaan yang diketahuinya, menjadi ketua sebuah keluarga yang
besar tanpa merungut atau mengungkit akan jasanya, menunjukkan akhlaknya yang
mulia. Walaupun Siti Musalmah tidak mempunyai ilmu perniagaan secara formal,
pengetahuan yang diperolehi berpandukan cara berniaga suaminya, menjadikan beliau
seorang peniaga yang boleh dianggap berjaya di daerahnya. Segala usaha yang
dilakukan, beliau bertawakal kepada Allah bagi memberkati hidupnya sekeluarga.

Siti Musalmah juga turut diberi keterampilan diri dan sosial yang mantap,
ekonomi yang kukuh dan kesihatan yang baik. Siti menjual kedai kainnya yang sedang
maju hanya kerana mahu memberi tumpuan kepada beribadat sepenuh masa tanpa
rasa cinta kepada dunia walaupun pada mulanya dia berada pada tahap nafsu
lawammah kerana teragak-agak untuk membuat keputusan. Apabila dia dapat
mengatasi rasa cintanya terhadap hal-hal duniawi, tahap nafsunya meningkat kepada
mutmainnah. Demikian gambaran watak seorang wanita bernama Siti Musalmah yang
diangkat begitu tinggi oleh pengarang. Memiliki pengetahuan agama yang tinggi,
berakhlak mulia, wanita solehah dan selepas kematian suaminya meneruskan usaha
murninya sebagai peniaga yang gigih. Semua bidang perniagaan berani diceburinya
agar boleh mendatangkan wang yang halal demi kesejahteraan hidup keluarga.

Jelas daripada penemuan di atas, SOK berkecenderungan mengangkat watak


yang baik dan ideal, lengkap nilai dalaman dan nilai luaran. Demikian SOK telah
mengangkat satu-satunya watak wanita daripada sebelas buah novel dewasanya yang
berjaya dalam kehidupan di dunia dan tidak mengabaikan kehidupan di akhirat.
Falsafah di sebalik mengangkat watak ini ialah bahawa wanita juga boleh berjaya
sekiranya diberi peluang menguruskan perniagaan dan ini juga gambaran wanita
Kelantan yang hebat berniaga. Boleh dikatakan kekuatan ekonomi rumah tangga di
Kelantan bergantung kepada kegigihan wanitanya dalam perniagaan. Hingga sekarang
realiti ini wujud di Kelantan.

Rumusan

14
Kajian dan analisis yang mendalam ke atas novel Wajah Seorang Wanita dengan
menggunakan pandangan Imam Al-Ghazali mendapati watak Siti Musalmah menepati
ciri-ciri yang ditetapkan dalam Model Insan Melayu (MIM) dan boleh dijadikan model
contoh kepada para pembaca. Watak insan Melayu yang beriman, berilmu, berakhlak,
berketerampilan, mempunyai ekonomi yang kukuh dan kesihatan yang baik dapat
dijadikan aset penting kepada sesebuah negara. Jika ciri-ciri insan Melayu seperti ini
dapat dilahirkan oleh masyarakat dan negara, pasti dapat memberi sumbangan yang
besar kepada kehidupan manusia dan pembangunan negara.

Kajian tentang model insan Melayu dalam novel SOK ini wajar membuka minda
masyarakat untuk melihat hasil karya Sasterawan Negara ini yang berbentuk novel dari
pelbagai sudut. Ternyata novel dewasa SOK ini sama hebatnya dengan ratusan cerpen
beliau yang begitu popular.

Watak insan Melayu yang lahir sepanjang lima dekad penghasilan novel yang
mengangkat kekuatan nilai dalaman dan nilai luaran boleh mengekalkan jati diri insan
Melayu itu walau dalam zaman dan tempat apa mereka berada, menyerlahkan kata-kata
magis Laksamana Hang Tuah “takkan Melayu hilang di dunia”. Melayu yang hilang
ialah yang hilang jati dirinya, yang hilang agama dan maruahnya serta yang mudah
dieksploitasi bangsa lain. Jika kita beriman, berilmu, berakhlak, berketerampilan,
mempunyai ekonomi yang kukuh dan kesihatan yang baik, bangsa kita akan kekal, tidak
perlu bergantung kepada orang lain serta dapat menjalani hidup dengan hebat.

Kriteria Model Insan Melayu iaitu memiliki nilai dalaman: beriman, berilmu,
berakhlak dan nilai luaran: berketerampilan, mempunyai ekonomi yang kukuh dan
kesihatan yang baik perlu dihasilkan oleh negara dalam menghadapi arus global dunia
mutakhir ini agar bangsa Melayu dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan bangsa-bangsa lain yang lebih maju di dunia ini. Kata-kata keramat “takkan
Melayu hilang di dunia” merupakan simbolik kepada tidak hilangnya insan Melayu yang
memiliki kriteria seperti di atas, nama mereka akan terus dikenang oleh masyarakat di
tempatnya sendiri kalau tidakpun di dunia ini buat selama-lamanya.

BIBLIOGRAFI

Abdul Karim Zaidan. (2002). Islam dan dakwah. Terj. Solehan Ayub. Kuala Lumpur:
Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Abu Abdullah Muhammad Said. (2004). Adab-adab penuntut ilmu. Cetakan ke-2.
Johor Bahru: Perniagaan Jahabersa.

Abul Quasem, M. & Kamil. (1988). Etika Al-Ghazali: Etika majemuk di dalam Islam.
Terj. Mahyudin, J. Bandung: Penerbitan Pustaka.

Ahmad Murad Merican. (2013). Identiti nasional ialah identiti Melayu: Penulisan sejarah
dan mempertikaikan kemelayuan. Kertas Kerja Wacana Pemartabatan Bahasa
Kebangsaan dalam Sektor Pendidikan, IPG Kampus Perempuan Melayu,
Melaka, 4 Oktober.

Ahmad Termizi Ab. Aziz. (2010). Keterampilan diri. termiziaziz@udm.edu.my [12 Jun
2013].

15
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. (1990). The nature of man & the psychology of
human soul, a brief outline and framework for an Islamic psychology &
epistemology. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and
Civilization (ISTAC).
Al-Ghazali. (1980). Ihya ulumiddin. Jiwa Agama. Terj. H. Ismail Yakub. Indonesia:
Percetakan Menara Kudus.

Al-Ghazali. (1988). Keajaiban hati. Terj. Nurhickmah. Singapura: Pustaka Nasional


Pte. Ltd.

Al-Ghazali. (1992). Kitab uraian keajaiban hati. Terj. Ed. Baru. Jil. 2. Cetakan ke-2.
Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.

Al-Ghazali. (1997). Akhlak seorang muslim. Terj. H. Moh. Rifa’i. Batu Caves:
Thinker’s Library Sdn. Bhd.

Al-Ghozali. (2000). Mengubati penyakit hati. Terj. Bandung: Penerbitan Karisma.

Al Qardhawy, Yusuf. (1981) Ibadah dalam Islam. Terj. Hasan Idris. KL: Yayasan
Dakwah Islamiah Malaysia.

Al-Syaibany, Omar Mohammad Al-Toumy. (1979). Falsafah pendidikan Islam. Terj.


Hassan Langgulung. Cetakan pertama. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang.

Awang Sariyan. (2009). Mencari makna diri Melayu. Renungan untuk bangsaku.
Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.

Hashim Haji Musa. (2008). Hati budi Melayu: Pengukuhan Menghadapi Cabaran Abad
ke-21. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

Ismail Noor & Muhammad Azaham. 2000. Takkan Melayu Hilang di Dunia. Subang
Jaya: Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd.

Robiah Mohamad. 2015. Model insan Melayu dalam novel-novel S. Othman Kelantan.
Tesis Dr. Fal. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Siti Aisah Murad. (2004). Wanita contoh, autonomi, bijaksana dalam Wajah Seorang
Wanita. Dlm. Mohamad Daud Mohamad & Muhamad Ikhram Fadhly Hussin
(pngr.). Pemikiran Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

S. Othman Kelantan. (2004). Wajah seorang wanita. (Ed. Khas Sasterawan Negara)
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

16

You might also like