You are on page 1of 9

Tekanan Emosi dalam kalangan murid

Pendahuluan
           
Setiap individu yang yang hidup dengan kewarasan yang normal akan mengalami pelbagai jenis
emosi. Emosi yang gembira digambarkan sebagai emosi yang positif manakala emosi yang kurang
menyenangkan dikenali dengan emosi negatif. Perbezaan antara individu dari segi persekitaran,
pengaruh keluarga, rakan sebaya, dan juga latar belakang didikan agama mewujudkan emosi yang
berbeza-beza antara satu sama lain. Keunikan penciptaan manusia oleh Allah SWT membolehkan setiap
manusia mempunyai perasaan dan emosi. Perkataan emosi sebenarnya berasal daripada bahasa
Perancis, “emotion”, dan “émouvoir” yang bermaksud ‘kegembiraan’.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, emosi bermaksud perasaan jiwa yang kuat, seperti sedih,
gembira, takut dan lain-lain. Mengikut Bruno (1984), menterjemahkan emosi sebagai suatu keadaan yang
mampu mengganggu kitaran bendalir di dalam badan. Oleh itu, Beliau melihat emosi daripada prespektif
ini kerana apabila seseorang itu mengalami emosi, hampir keseluruhan keadaan sistem badanya
terganggu dengan pelbagai perubahan fisiologi yang berlaku dalam tubuhnya. Kadang- kala kesihatan
individu yang mengalami gangguan emosi juga semakin terjejas. Gangguan emosi pula boleh ditakrifkan
sebagai satu situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh murid-murid. Dalam satu kajian
yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan
Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja adalah 20.3%,
meningkat sebanyak 13% berbanding tahun 1996 (Utusan Melayu, 2011). Bilangan peningkatan dalam
masa 10 tahun ini agak membimbangkan.

Sistem pendidikan di negara kita yang lebih berorientasikan peperiksaan sedikit sebanyak juga
mengakibatkan ganngguan emosi di kalangan murid di sekolah. Sistem pendidikan di Malaysia telah
mengalami pelbagai transformasi yang mengikut peredaran zaman sesuai dengan kehendak cabaran
semasa. Sebelum kehadiran penjajah British ke Tanah Melayu, sistem pendidikan yang ada tidak
tersusun, ianya lebih kepada sistem pendidikan yang berteraskan sistem pondok yang diadakan di
madrasah dan sekolah-sekolah agama. Semasa zaman penjajahan British, sistem pendidikan di Malaysia
mengalami sedikit transformasi. Penjajah British memperkenalkan sistem pendidikan Vernakular merujuk
kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar di sekolah terbabit.
Terdapat tiga jenis sekolah aliran Vernakular iaitu sekolah aliran Melayu, sekolah aliran Cina dan aliran
India. Selepas Tanah Melayu mendapat kemerdekaan, pelbagai laporan dan penyata telah dibentangkan
sebagai penentu hala tuju sistem pendidikan negara. Antaranya termasuklah Laporan Barnes (1950),
Laporan Fenn-Wu (1951), Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960). Selepas dari Laporan
Rahman Talib 1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan Laporan
Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Negara yang
sebelumnya berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman Talib.
           
            Sistem pendidikan terus mengalami perubahan yang dinamik dan berterusan. Kurikulum sekolah
rendah mula diperkenalkan pada tahun 1983 dengan menggunakan nama Kurikulum Baru Sekolah
Rendah. Pada tahun 1993, Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) diperkenalkan. KBSR
disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). KBSR (semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

            Semua sekolah  rendah di Malaysia telah menggunakan satu kurikulum baru yang dikenali
sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini dijalankan secara berperingkat di
seluruh Malaysia bagi murid Tahun  Satu 2011.  Ia selaras dengan perkembangan dan permintaan
semasa yang menuntut modal insan yang lebih  berkualiti sejajar dengan  zaman yang serba maju dan
mampu bersaing di peringkat global. Proses pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul
yang akan menggantikan buku teks.

            Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menitik beratkan perkembangan yang seimbang dirangka
sebagai penetapan pegangan buat guru dalam menentukan hala tuju murid mereka.
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha
ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Ketidakupayaan murid dalam menghadapi permasalahan mereka akan menyebabkan mereka
mudah mengalami gangguan emosi. Sebagai seorang guru, kita seharusnya bijak menangani masalah
murid agar gangguan emosi yang mereka hadapi tidak berada di tahap yang kritikal. Masalah gangguan
emosi memang dihadapi oleh semua orang. Terpulang pada tahap mana seseorang itu berupaya untuk
menanganinya.

Jenis-jenis gangguan emosi


           
Terdapat pelbagai jenis gangguan emosi yang dihadapi oleh murid di sekolah. Jenis gangguan ini
diterjemahkan oleh mereka dengan memperlihatkan sikap mereka pada sesuatu ketika. Secara
umumnya gangguan emosi di kalangan murid di sekolah boleh dikenali dengan melihat perubahan sikap
yang mereka alami. Sebagai seorang guru, kita hendaklah bijak menangani keadaan gangguan emosi
murid agar keadaan murid tidak menjadi lebih kritikal.

            Gangguan emosi secara umumnya terbahagi kepada tiga kategori iaitu
      i.        Gangguan emosi ringan

     ii.        Gangguan emosi sederhana, dan

    iii.        Gangguan emosi berat

Gangguan emosi ringan


           
Gangguan emosi ringan adalah jenis gangguan pada peringkat permulaan. Murid yang
mengalami gangguan emosi ringan ini, tidak begitu kelihatan ciri-ciri luarannya kerana pada peringkat ini
murid mampu untuk mengawal diri dan perasaan masing-masing. Kebiasaanya murid di sekolah tidak
begitu ketara pada peringkat gangguan ini, mereka masih boleh bergaul dan berinteraksi sesame mereka
tanpa menjejaskan komunikasi. Namun secara relatifnya gangguan emosi ringan tidak bersesuaian
dengan tahap perkembangan umur murid. Sebagai contohnya, suasana di dalam bilik darjah,
bersesuaian dengan naluri kanak-kanak yang ingin bermain dan berkongsi peralatan bersama dengan
murid lain, tetapi ada juga terdapat segelintir murid yang merasa kurang senang apabila peralatan
mereka dikongsi dengan orang lain.

Gangguan emosi sederhana


           
Sifat penentangan dan berbagai jenis perasaan jelas menonjol pada gangguan jenis ini.
Kesedihan, ketakutan dan berbagai emosi jenis negatif sering mengganggu kehidupan muird di sekolah.
Sikap menyendiri, pemarah adalah sikap yang yang ditunjukkan oleh murid yang mengalami gangguan
jenis sederhana. Emosi yang sepatutnya bersifat normal dan tidak mampu dihadapi oleh murid
menyebabkan mereka sering bertindak di luar kawalan. Perasaan tidak puas hati akan dizahirkan dengan
pemberontakan secara senyap pada peringkat awalnya bertukar kepada secara teran-terangan. Ada
kalanya murid akan menangis untuk menunjukkan perasaan meraka terganggu. Malahan mereka akan
bertindak di luar kebiasaan sikap normal mereka seperti menjerit, memukul diri sendiri atau merosakkan
harta benda sekolah.
           
Terdapat juga murid yang terbawa-bawa masalah dirumah hingga ke sekolah, sebagai contohnya
apabila dirumah, ketegangan masalah ibu bapa menyebabkan murid mempunyai perasaan dengki
terhadap rakan mereka. Murid berkenaan akan cuba mencari jalan untuk melepaskan perasaan mereka
dengan bertindak mencuri peralatan murid lain. Mereka beranggapan murid lain juga tidak berhak
mendapat kasih sayang seperti mana yang mereka alami. Di dalam bilik darjah, murid menunjukkan
penolakan mereka terhadap arahan guru dengan membuat mimik muka. Murid menunjukkan protes
dengan tidak menyiapkan latihan yang disediakan malahan sering menimbulkan gangguan kepada murid
lain.

Gangguan emosi berat


           
Gangguan emosi berat adalah peringkat yang paling teruk. Guru dapat melihat dengan jelas
murid berkenaan sedang mengalami gangguan emosi. Tingkahlaku, pertuturan, perbuatan murid
sememangnya kelihatan berlainan dari kebiasaanya. Tingkahlaku ini bukan sahaja membahayakan diri
mereka malahan kepada murid lain. Kebiasaannya murid akan mengamuk, merosakkan harta benda dan
mengeluarkan perkataan yang kesat. Jika perlakuaan seperti ini tidak dibendung dari awal, murid
tersebut tidak akan mampu untuk mengawal emosinya apabila dewasa kelak seterusnya mengganggu
proses pembelajarannya.
Pada peringkat yang lebih teruk, murid yang mengalami gangguan emosi berat mudah diserang
histeria. Ada pandangan yang mengatakan histeria adalah kecelaruan mental yang dihasilkan daripada
kemurungan yang tinggi. Penyakit ini dicirikan oleh kekurangan kawalan ke atas tingkah laku dan emosi
diri. Sering kali histeria menyebabkan luahan emosi yang keterlaluan seperti menjerit-jerit. Dalam
kalangan ahli psikologi, mereka mengaitkan histeria dengan faktor psikologikal. Bagi tentera yang
berperang misalnya, trauma perang itu dianggap puncanya.

Punca-punca gangguan emosi di kalangan murid


           
Berdasarkan pengalaman mengajar saya di sekolah, murid menunjukkan pelbagai sikap dan
tingkahlaku yang boleh dikenalpasti. Tingkahlaku tersebut amat berlainan seperti kebiasaanya. Sebagai
guru, kepekaan dengan apa juaperkembangan murid. Sebarang perubahan tingkah laku yang ketara
dalam kalangan murid perlu diberikan perhatian. Contohnya apabila murid yang selama ini aktif dan ceria,
tiba-tiba menjadi muram serta pasif. Guru perlu melakukan kaji selidik punca masalah tersebut dan
membantu murid sebaik mungkin. Gangguan emosi sering berlaku dalam kalangan murid. Masalah
tersebut mungkin berpunca daripada situasi persekitaran sekolah, masalah keluarga, cara pengajaran
guru dan masalah rakan sebaya.

i.        Persekitaran sekolah

Menurut Case (1985), keadaan pelajar yang bersesak dan pada di dalam bilik darjah yang kecil
boleh mendatangkan masalah tekanan dan disiplin di kalangan mereka. Keadaan bilik darjah yang terlalu
panas dan padat dengan bilangan murid-murid akan mendorong murid-murid membuat sesuatu yang
bercanggah dengan undang-undang sekolah.

Susun atur biilik darjah yang tidak efiesen menambahkan lagi suasana yang rimas. Pertambahan
bilangan murid seiring dengan pertambahan bilangan penduduk di sesuatu tempat mengakibatkan
bilangan murid juga akan bertambah. Sekolah yang berada di kawasan bandar keadaannya bertambah
sesak dan padat. Persekitaran sekolah yang tidak kondusif menyebabkan murid kurang berminat untuk
mengikuti pembelajaran. Suasana yang tidak menyeronokkan akan mengakibat sekelompok kecil murid
menimbulkan gangguan kepada murid lain. Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami
gangguan emosi akan menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk dan
berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai dengan situasi-situasi normal.

Kelompok murid yang menimbulkan gangguan di dalam kelas mengakibatkan gangguan emosi
kepada murid yang berminat untuk mengikuti pembelajaran. Gangguan yang ditimbulkan akhirnya akan
menjejaskan tumpuan murid lain. Ini secara tidak langsung akan menarik rakan yang lain untuk berbuat
demikian. Masalah sebegini jika dibiarkan berlarutan akan menimbulkan masalah kepada pihak sekolah
di kemudian hari. Sehingga sampai ke peringkat murid-murid yang mengalami masalah gangguan emosi
ini mengalamai kemerosotan prestasi akedemik mereka. Kedaan seperti ini akan merugikan murid tiu
sendiri, seterusnya pihak sekolah juga akan merasa tempiasnya.

Persekitaran suasana perkampungan di Felda sedikit sebanyak juga tidak jauh bezanya dengan
sekolah di bandar. Secara puratanya bilangan murid di dalam sesebuah kelas seramai 25 orang.
Pengaruh media massa dan ledakan kepesatan teknologi peranti banyak mempengaruhi kehidupan
kanak-kanak pada masa kini.

ii.        Masalah keluarga

Latar belakang kehidupan keluarga yang bermasalah memberi kesan yang mendalam kepada
emosi murid. Peristiwa keretakan rumah tangga ibu bapa menyebabkan murid kehilangan tempat kasih
sayang. Perasaan rendah diri dan menganggap diri sendiri berada di dalam serba kekurangan
menyebabkan tumpuan mereka di dalam kelas semakin berkurangan. Murid yang mengalami sejarah
silam yang negatif juga akan terbawa-bawa ingatan tersebut di sepanjang kehidupan mereka.
Penderaan, kematian, kehilangan orang yang tersayang membuatkan murid berkenaan mengalami
tekanan emosi yang berlanjutan.

Menurut Sandtorm (1968), perasaan ketegangan ini akan terluah sabagai perlakuan salah
penyesuaian yang dilakukan di rumah dan di sekolah. Murid-murid akan mengeluarkan ketegangan
emosi ini semasa berada di sekolah.  Murid-murid yang mengalami ketegangan emosi ini memerlukan
kasih sayang daripada keluarganya. Oleh kerana tidak dapat perhatian daripada keluarganya, maka
mereka melakukan tindakan-tindakan yang luar biasa untuk mendapatkan  perhatian daripada guru.

Keluarga yang tidak mesra, menjadikan murid mengambil contoh daripada keadaan tersebut dan
memendam perasaan sehingga menunggu masa untuk dilepaskan. Tindakan luaran yang dapat dikesan
oleh guru termasuklah murid menjadi pendiam, pemarah dan bersikap biadab. Guru seharusnya bijak
mengesan sebarang perubahan tingkahlaku murid agar kesan gangguan emosi murid dapat ditangani
pada peringkat awal lagi. Peranan keluarga dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan murid
mempengaruhi hala tuju mereka. Keluarga yang harmoni akan melahirkan murid yang seimbang dari segi
emosi dan cemerlang dalam semua bidang yang diceburi.

iii.        Pengaruh rakan sebaya

            Kehidupan di zaman kanak-kanak memang mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya. Minat dan
kecenderungan mereka bergantung dan mengikut minat rakan sebaya mereka. Penerimaan rakan-rakan
terhadap murid akan membentuk personaliti diri di sekolah. Rakan sebaya yang disenangi mudah untuk
didekati, dan menjadi ikutan rakan-rakan yang lain. Murid yang diterima oleh kumpulannya, dari segi
penampilannya lebih menyakinkan dan emosinya berada dalam keadaan tenang dan seimbang. Sikap
mereka yang ceria, suka membantu, bersemangat dan bertolenrasi mengundang kesenangan kepada
rakan-rakan yang lain. Menurut Tan Toh Wah (1995), pengaruh rakan sebaya memang memberi kesan
kepada pembentukan peribadi pelajar. Rakan sebaya merupakan tempat murid-murid mencurahkan
masalah terutama bagi golongan yang mempunyai masalah keluarga di rumah.

            Emosi murid yang terganggu menyebabkan mereka sering bersikap agresif, sombong dan sering
menimbulkan masalah. Murid yang dipulaukan oleh rakan-rakan mereka sering mengalami masalah
gangguan emosi. Gangguan yang dihadapi oleh murid sekiranya tidak terkawal akan mengakibatkan
murid berkenaan bertindak di luar kawalan.

iv.        Gaya pengajaran guru

      Sebagaimana yang kita ketahui, guru memainkan peranan yang amat penting dalam
menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid. Keberkesanan dalam proses pengajaran guru
melahirkan murid yang serba boleh. Keyakinan murid terhadap guru semakin bertambah jika gaya
penyampaian guru tidak membosankan. Kaedah chalk and talk bukan sahaja menimbulkan kebosanan
malahan menambah lagi gangguan emosi kepada murid. Ketidakupayaan murid mencapai apa yang
dihajati oleh guru dan pihak sekolah boleh menjadikan satu bebanan terhadap diri mereka.

      Tambahan pula, sistem penggredan murid lebih berorientasikan peperiksaan menjadikan murid
mengejar sebanyak mana gred A yang boleh diperolehi. Murid yang mendapat markah yang tinggi sering
diberi penghargaan manakala murid yang berada di kelompok lemah merasa semakin terpinggir. Menurut
Syed Lutri (1994), guru bertanggung jawab untuk mencemerlangkan pelajar-pelajarnya dengan
memperbanyakkan latihan, tunjuk ajar, kelas tambahan dan sebagainya untuk memastikan pelajar
memahami dan memanfaatkan sepenuhnya apa yang diajar. Namun demikian, dalam sistem exam-
oriented pelajar akan menumpukan sepenuh masa membaca bahan-bahan yang berpotensi akan disoal
dalam peperiksaan dengan meninggalkan bahan-bahan bacaan ringan dan berat (pengetahuan am) yang
boleh membantu mencabar pemikiran mereka dalam masyarakat global masakini.

      Personaliti guru yang tidak digemari juga mempengaruhi personaliti murid. Bagi matapelajaran
yang tidak disukai oleh murid mereka akan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan menjawab sambal
lewa. Perasaan serba kekurangan akan terus mengusai murid dan seterusnya menyebabkan emosi
mereka terganggu.

v.        Tindakan guru

            Tuntutan untuk mengejar kecemerlangan membuatkan segelintir guru memberikan tugasan yang
banyak. Kegagalan murid dalam menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan menyebabkan
mereka menghadapi tekanan emosi. Masalah keciciran dan kurangnya bimbingan daripada pihak guru
menyebabkan murid mengalami masalah emosi yang serius. Tugasan yang gagal disiapkan
mengakibatkan murid merasa tidak selesa dengan guru berkenaan. Akhirnya mereka mengambil jalan
pintas dengan berdiam diri, menyendiri dan kurang bergaul dengan rakan sebaya.

            Pihak guru seharusnya dapat mengesan simpton-simpton awal masalah gangguan emosi yang
berlaku di kalangan murid. Kebijaksanaan guru menangani gangguan emosi murid dapat mengelakkan
murid daripada terjerumus ke masalah yang lebih besar seperti gejala ponteng sekolah, merokok dan
penyalah gunaan dadah.

vi.        Tuntutan gaya hidup


           
            Perubahan gaya hidup yang menuntut murid bergelumang dengan ledakan teknologi masa kini.
Pendedahan terhadap perkembangan peranti terbaru seperti telefon pintar memaksa murid mencari
ikhtiar untuk mendapatkan peranti terbaru di pasaran. Bagi mendapatkannya mereka memerlukan
kewangan yang banyak. Murid akan cuba menuntut daripada keluarga agar mereka juga standing
dengan rakan-rakan yang lain. Bagi keluarga yang berada diluar kemampuan mereka tidak mampu untuk
menyediakannya. Perasaan rendah diri akan sentiasa membelenggu diri murid. Perasaan sebegini sedikit
sebanyak menganggu emosi mereka. Masalah kemiskinan juga membuatkan murid merasa dirinya tidak
sepadan dengan orang lain. Murid yang mengalami masalah ini akan mengambil sikap menyendiri dan
kurang fokus terhadap pembelajaran
Kesan masalah gangguan emosi
            Guru yang sentiasa berhadapan dengan karenah murid dapat mengesan kesan dan akibat
daripada gangguan emosi, antaranya seperti berikut ;
o   Kerap tidak hadir ke sekolah
o   Mengantuk di dalam kelas
o   Lesu
o   Sakit perut
o   Sakit kepala
o   Mudah di serang penyakit
o   Menyendiri
o   Prestasi akedemik yang merosot
o   Cemas, takut dan pemarah
o   Suka berbohong
o   Mencuri
o   Bertingkah laku ganjil
o   Suka berkhayal
o   Dengki
o   Memprotes

Langkah menangani gangguan emosi di kalangan murid

            Murid yang mengalami masalah gangguan emosi perlu diberi perhatian dan bantuan yang
sewajarnya. Langkah pencegahan awal harus dimainkan oleh semua pihak yang terlibat dengan murid,
ini termasuklah peranan ibu bapa dan guru. Gangguan emosi jika dibiarkan berlarutan akan menjejaskan
perkembangan mental murid dan mengakibatkan murid mengalami kemerosotan prestasi akedemik.
Antara langkah yang boleh diusahakan termasuklah:

i.        Peranan ibu bapa


           
            Tanggungjawab berat yang sedia menanti setiap ibu bapa dalam mendidik anak mereka
seharusnya diambil perhatian. Anak ibarat kain putih, yang akan mencorakkannya pengaruh asuhan ibu
bapa. Hasil dapatan kajian cendiakawan mendapati, cara bagaimana murid itu dibesarkan banyak
mempengaruhi personaliti dan akhlaknya. Masalah keluarga yang sentiasa mempunyai konflik dalaman
menyebabkan murid menjadi mangsa keadaan. Ahli keluarga terdekat sebaiknya mencari jalan
penyelesaian untuk menyelesaikan sebarang konflik yang timbul. Murid yang merasakan diri mereka
dihimpit masalah gangguan emosi sebaiknya cuba mencari jalan keluar. Mereka boleh mencari rakan
sebaya, guru, pemimpin masyarakat yang dipercayai untuk mencurahkan masalah.

            Perbincangan sesama ahli keluarga hendaklah sentiasa menjadi rutin pada setiap masa. Ibu bapa
juga hendaklah sentiasa mengambil berat keadaan pembelajaran anak di sekolah. Kedapatan segelintir
murid bijak menyimpan rahsia mereka. Secara kesimpulannya keutuhan insitusi kekeluargaan bukan
sahaja menjamin sebuah masyarakat yang harmoni malahan ianya menjadi asas kearah pembangunan
modal insan yang cemerlang.
ii.        Peranan guru
           
            Murid yang sedang membesar, sebahagian hidupnya berkisar di kawasan sekolah. Suasana
pembelajaran banyak mencorakkan emosi murid. Persekitaran yang kondusif ditambah lagi dengan sikap
guru yang sentiasa mengambil berat, mesra, mudah didekati memberikan suasana yang selesa kepada
murid untuk mencurahkan perasaan mereka sekaligus dapat membentuk emosi yang yang stabil semasa
murid itu membesar. Menurut Mok Soon Sang (2008), peranan guru yang menjalankan tanggungjawab
dengan penuh dedikasi, tidak memilih kasih akan menjadikan suasana bilik darjah yang kondusif untuk
murid menjalani proses pengajaran dan pembelajaran.

            Gaya pengajaran guru yang bersifat autokratik menimbulkan perasaan yang tidak puas hati
kepada setiap murid. Sikap guru yang mengawal murid dengan memberikan hukuman mewujudkan
suasana stress daan menjejaskan emosi murid di dalam bilik darjah. Gaya Demokratik, dimana seorang
guru memberikan kebebasan tetapi dalam kawalan menimbulkan suasana pengajaran yang lebih
menarik. Persekitaran proses pengajaran dan pembelajaran yang menarik mengakibatkan murid sentiasa
berada di dalam keadaan ceria dan menyeronokkan. Sikap murid dapat diperhatikan dengan memberikan
respon yang positif, emosi yang terkawal dan sentiasa aktif di dalam sebarang aktiviti yang dirancang.

iii.        Dididikan Agama

            Agama adalah benteng segala-galanya. Semua agama yang diamalkan di Malaysia menjurus
kepada nilai-nilai murni. Di dalam amalan agama Islam, solat adalah tiang agama, dengan menunaikan
solat seseorang murid yang beragama Islam secara tidak langsung dapat mengawal diri mereka daripada
terjebak kepada perkara-perkara yang melalaikan. Malahan ketaatan mengerjakan suruhan agama dapat
memberikan ketenangan, jiwa yang tenang menghasilkan emosi yang stabil. Menurut Morsi (1998),
kesihatan jiwa dalam Islam adalah suatu keadaan jiwa manusiayang merasakan redha dan puas apabila
mempunyai akhlak yang baik terhadap Allah S.W.T diri sendiri dan orang lain. Manakala Al-Zahrani
(2005) mendefinisikan kesihatan jiwa sebagai;
“…kematangan emosi dan sosial seseorang yang disertai dengan adanyakesesuaian dengan dirinya dan
persekitarannya. Dia juga mampu untuk memikultanggungjawab kehidupan, serta mampu untuk
menghadapi segala
permasalahan yang  menghalangnya  dengan  perasaan menerima realiti  kehidupan, rasa redhadan
kebahagiaan dengan apa yang berlaku”.

            Mahmud Audah (1994) berpendapat bahawa kesihatan jiwa adalah keadaan sesorang yang hidup
di atas fitrahnya sebagai manusia yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t,sejahtera dengan orang lain,
harmoni dengan diri sendiri, sejahtera jasadnya dan Berjaya dalam kehidupan.

Kesimpulan
            Menangani gangguan emosi di kalangan murid adalah tanggung bersama, baik di kalangan ibu
bapa, masyarakat dan juga guru. Pencegahan pada peringkat awal, dapat mengelakkan masalah yang
lebih serius pada masa murid tersebut dewasa kelak. Ibu bapa, guru juga seharusnya memainkan
peranan mereka dengan penuh tanggungjawab. Kemahiran untuk menangani gejala gangguan emosi
hendaklah dipelajari serba sedikit oleh guru. Emosi murid yang stabil akan menghasilkan murid yang
berprestasi cemerlang dan melahirkan masyarakat yang harmoni, seterusnya menjadi daya penggerak ke
sebuah negara yang aman dan sejahtera.

http://edu3093joha.blogspot.my/2015/09/tekanan-emosi-dalam-kalangan-murid.html

You might also like