You are on page 1of 4

Laporan Reflektif Tentang Pelaksanaan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) Bahasa

Melayu Tahun 4

Disediakan oleh: Nurul Aizzah binti Abdul Razak @ Mr Royah Kade


Opsyen: Bahasa Melayu 4

Tugasan penulisan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) ini merupakan satu cabaran
baharu kepada diri saya. Hal ini kerana, saya perlu meletakkan diri sebagai seorang guru
yang mengajar murid-murid di dalam kelas. Berdasarkan tugasan ini, saya telah memilih
pengajaran Bahasa Melayu Tahun 4. Standard pembelajarannya ialah 4.2.2 iaitu
menyanyikan lagu boria “Nusaku” dengan intonasi dan sebutan yang betul. Terdapat dua
objektif yang telah ditetapkan berpandukan standard pembelajaran ini. Pertama, murid dapat
menyanyikan lagu boria “Nusaku” dengan intonasi dan sebutan yang betul. Kedua, murid
dapat menjelaskan sekurang-kurangnya dua maksud rangkap lirik lagu boria “Nusaku”
dengan betul.

Apabila perancangan ini dilaksanakan di dalam kelas, masalah yang telah dikenal
pasti ialah guru mengalami kekangan waktu untuk melaksanakan aktiviti. Guru telah
merancang tiga aktiviti yang hendak dilakukan iaitu permainan kad memori, nyanyian di
pentas Boria dan aktiviti berempat. Aktiviti yang paling lama diperuntukkan masa ialah
aktiviti nyanyian. Hal ini kerana, setiap ahli dalam kumpulan perlu menyanyikan satu
rangkap lagu dan ahli lain perlu mengikutnya. Proses ini akan berlaku sehingga setiap ahli
dalam kumpulan menjadi solo dalam pentas “Boria” yang disediakan. Melalui aktiviti ini,
gangguan dari segi waktu berlaku disebabkan oleh pertukaran kumpulan yang hendak
mempersembahkan boria. Semasa transisi ini, murid-murid akan memperlihatkan semua
tingkah laku dalam pelbagai bentuk dan ragam (Woody, 1992). Jadi, saya telah mengambil
inisiatif dengan cara meminta setiap kumpulan menetapkan seorang solo sahaja dan yang
lain sebagai penyanyi tambahan. Langkah ini dapat mempercepatkan proses nyanyian.

Pada masa yang sama, pengalaman mengajar ini telah menyedarkan saya betapa
susahnya melakukan kawalan kelas. Menurut kajian yang dilakukan Eileen (2000)
berpendapat bahawa selalunya sistem kawalan kelas yang lemah menjadi punca utama
kebanyakan proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) tidak dapat dijalankan
dengan baik. Perkara ini dapat dilihat apabila keseronokan yang menguasai dalam diri
murid-murid telah menyebabkan mereka menjadi bising. Keadaan kelas sukar dikawal
apabila murid duduk dalam kumpulan masing-masing. Hal ini kerana, mereka akan bermain
antara satu sama lain apabila kawalan guru difokuskan kepada satu kumpulan sahaja.
Tambahan pula, akan ada sekelompok murid yang suka mengadu sikap rakannya yang lain.
Jadi, perbuatan ini akan menyebabkan keadaan kelas riuh rendah. Justeru itu, tindakan
susulan mestilah dilaksanakan seperti guru merangka sistem dendaan dan ganjaran yang
boleh dijadikan rujukan murid mengenai tingkah laku yang baik dan buruk.

Secara tidak langsung, perkara ini mendatangkan halangan dalam komunikasi


antara pelajar dan guru. Halangan ini menyebabkan mesej yang hendak disampaikan tidak
dapat diterima, tidak difahami, dan tidak mencapai matlamat seperti yang dikehendaki.
Menurut Mohd Khairuddin Abdullah et.al. (2014) telah menyatakan bahawa kelemahan guru
untuk mewujudkan komunikasi yang berkesan bukan sahaja menyebabkan objektif
pengajaran dan pembelajaran yang dirancang akan gagal tetapi turut menyebabkan murid
berasa kecewa dan tidak berpuas hati. Sebagai contoh, kebisingan yang berlaku di dalam
kelas menyebabkan guru tidak mendengar jawapan murid semasa aktiviti berempat.
Perkara ini menyebabkan ada kumpulan yang merajuk dengan guru kerana jawapannya
tidak diterima walhal betul. Bagi mengatasi masalah ini, Noran Fauziah dan Ahmad (1992)
telah menyatakan bahawa salah satu tingkah laku yang disukai murid semasa berinteraksi di
dalam bilik darjah ialah menggalakkan murid-murid menyoal di dalam kelas. Tindakan ini
akan menyebabkan murid-murid memberi tumpuan untuk menanyakan soalan kepada guru.
Oleh itu, halangan komunikasi dalam kelas boleh merencatkan sesi PdPc tetapi boleh
diatasi dengan teknik penyoalan.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan RPH ini telah memberikan satu dimensi yang
baharu kepada saya bahawa pemberian pelekat sebagai tanda penghargaan dapat
meningkatkan motivasi murid semasa sesi PdPc. Contohnya, murid yang dapat membuat
persembahan dengan baik akan diberi pelekat sebagai hadiah. Begitu juga dengan murid
yang berjaya menjawab soalan dengan betul. Perkara ini akan memotivasikan mereka
supaya dapat melakukan sesuatu aktiviti dengan lebih semangat sekaligus dapat
meningkatkan daya saing antara satu sama lain. Kenyataan ini disokong oleh kajian Sheena
(2005) bahawa motivasi ekstrinsik yang saling berhubung kait dengan motivasi instrinsik.
Apabila murid diberikan ganjaran sebagai motivasi ekstrinsik yang berterusan akan
menghasilkan motivasi intrinsik iaitu sikap yang minat terhadap sesi PdPc dapat dipupuk
secara tidak langsung. Maka, sistem ganjaran yang diterapkan di dalam kelas dapat
meningkatkan motivasi murid-murid.

Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa RPH yang telah dilaksanakan ini
mendatangkan kesan yang positif dan negatif kepada saya sebagai seorang guru pelatih.
Perkara ini dapat menjadikan guru lebih teliti terhadap perancangan yang dilakukan bagi
mengurangkan masalah yang telah dinyatakan di atas. Melalui refleksi ini, guru dapat
mengetahui kekurangan yang perlu diatasi dalam pengajaran yang seterusnya. Perkara ini
membolehkan guru untuk mengambil tindakan yang sesuai agar masalah yang sama tidak
akan berlaku lagi. Justeru itu, penulisan reflektif dapat membantu guru mengenal pasti
masalah seterusnya dapat membuat tindakan yang sesuai bagi sesi PdPc yang lain.

Rujukan
Eileen Ferrance. (2000). Action Research. United States: The Education Alliance.

Mohd Khairuddin Abdullah et.al. (2014). Komunikasi Guru Dalam Bilik Darjah dan Tingkah

Laku Delinkuen Murid Sekolah Menengah. Jurnal Pemikir Pendidik, 5, 59 – 77.


Dicapai pada 10 Mac 2020 daripada file:///C:/Users/USER/Downloads/jpp5_4%20(8).pdf

Noran Fauziah Yaakub dan Ahmad Mahdzan Ayob. (1992). Guru dan Perguruan. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sheena, S.I. (2005). Intrinsic and Extrinsic Motivational Orientations in the Classroom.
Journal

of Educational Psychology, 97(2): 184-196. Dicapai pada 10 Mac 2020 daripada


http://www.unco.edu/cebs/psychology/kevinpugh/motivation_project/resources/lepper
_etal05.pdf

Woody, R.H. (1992). School Psychology: A Developmental and Sosial Systems Approach.

Boston: Allyn & Bacon

You might also like