You are on page 1of 3

Kebaikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada

Masyarakat dan Negara
Posted on October 17, 2017by admin
Pada masa ini, teknologi maklumat memberikan banyak kebaikan dalam kehidupan
seharian. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) kepada masyarakat dan negara.
Zaman beralih musim berubah, fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari
zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman
atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat
(ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran
dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber
pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada
situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai
pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang
paling canggih. Di Malaysia, teknologi maklumat dan komunikasi merupakan agenda
baharu yang begitu diberikan perhatian.  Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah
yang serius untuk menerapkan budaya ICT kepada masyarakat. Berbagai-bagai kempen
dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang pentingnya teknologi
maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah dilaburkan untuk tujuan itu. Berda-
sarkan usaha dan iltizam kerajaan yang tinggi itu, ternyatalah bahawa bidang ICT
mempunyai manfaat yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.

Teknologi maklumat dan komunikasi mampu menjadikan masyarakat negara ini


sebagai sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan pergolakan
dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat, masyarakat negara ini
tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan di dalam dan di luar negara.
Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah komputer
peribadi yang disambung dengan perkhidmatan Internet, masyarakat boleh
mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya perlu menggerakkan tetikus
untuk mendapatkan maklumat terkini dalam sesuatu bidang. Contohnya masyarakat
Malaysia boleh mengikuti pergolakan politik di Timur Tengah melalui skrin komputer
mereka. Dengan ini, masyarakat Malaysia tidak akan keciciran maklumat dalam
menelusuri arus perdana yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Gelaran
katak di bawah tempurung tidak akan dilabel pada setiap rakyat Malaysia. Oleh itu
penguasaan teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai
masyarakat berinformasi.

Selain itu, dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi
dapat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang
berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau
perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila
masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia.
Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat
keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik
bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih
pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya
pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat
persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara
dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok
bandingnya? Jelaslah bahawa kemajuan ICT dapat merapatkan hubungan silaturahim
antara satu sama lain walaupun berada di benua yang berbeza. Kejauhan tidak lagi
menjadi penghalang untuk menjadikan hubungan semakin akrab bagai isi dengan kuku.

Jika kita tinjau kebaikan ICT kepada negara pula, kehadiran teknologi maklumat dan
telekomunikasi merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Kewujudan
ICT dapat membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem
pendidikan di sekolah dapat dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah
bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk
melakukan kerja atau projek-projek di sekolah.  Pelajar akan belajar mengikut
kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di
sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan
menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat
oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan. Fakta ini nyata
terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh
menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah
menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun
pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang
disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan
oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Izharlah bahawa kemajuan ICT mampu
menjadi pemudah cara dan menjadi tarikan dalam memajukan sistem pendidikan di
negara kita.

Selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting
dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin
berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen atau
kamera litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan
seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya.
Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-
tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka. Hal ini berbeza
sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu
tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat
dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV,
akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin Jazlin berjaya ditemui. Kes penculikan
kanak-kanak yang penuh tragis tersebut pernah menggegarkan seluruh masyarakat
Malaysia.  Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat
kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati namun dengan
adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang mengandungi mayat kanak-
kanak tersebut. Dengan kemajuan bidang ICT, keselamatan negara dapat dipelihara dan
secara implisitnya, kehidupan rakyat juga tidak akan terancam. Tugas anggota
keselamatan negara juga akan menjadi lebih mudah. Pendek kata, keamanan dan
keselamatan dapat dijaga melalui kemajuan bidang ICT di negara kita.
Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga meningkatkan
kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan bidang ICT secara
langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat
dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum.
Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat
melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita
tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai
ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi
tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika
Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali
sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari
Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam
membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan
teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama
rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa ICT memainkan peranan yang penting
kepada masyarakat dan negara. Kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai
kemahiran ICT kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke semasa dengan
pantas. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada kemajuan
dalam bidang ini. Malah pada masa ini pun, kebergantungan manusia terhadap
teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan. Oleh itu, sebagai rakyat
Malaysia, kita perlu menyokong usaha ini di samping menyediakan diri untuk
mempelajari pengetahuan baharu berkaitan ICT agar kita tidak dianggap seperti katak
di bawah tempurung. Namun begitu, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus
menyalahgunakan kemudahan ICT. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan
tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang
berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita
bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara
untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan
negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020.

You might also like