You are on page 1of 14

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/325194360

Konsep Penerapan Dan Penghayatan Nilai-Nilai Murni Berasaskan Falsafah


Pendidikan Kebangsaan (FPK)

Conference Paper · May 2018

CITATIONS READS

0 34,824

6 authors, including:

Sapie Sabilan Suhana Mohamed Lip


International Islamic University College Selangor International Islamic University College Selangor
18 PUBLICATIONS   3 CITATIONS    15 PUBLICATIONS   2 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Mohamad FUAD Ishak Shazarina Zdainal Abidin


International Islamic University College Selangor International Islamic University College Selangor
14 PUBLICATIONS   2 CITATIONS    4 PUBLICATIONS   0 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Keperluan Pembangunan Modul Integrasi Latihan Perguruan Guru-Guru Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) View project

Penilaian Program Latihan Guru SRA JAIS View project

All content following this page was uploaded by Sapie Sabilan on 17 May 2018.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


KONSEP PENERAPAN DAN PENGHAYATAN NILAI-NILAI MURNI
BERASASKAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN (FPK)

Sapie Sabilan, Suhana Mohamed Lip, Mohammad Fuad Ishak, Shazarina Zdainal
Abidin, Suziana Hanini Sulaiman,
Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Mujaini Tarimin (PhD)


Universiti Selangor (UNISEL)

ABSTRAK

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah digariskan bagi didokongi oleh para
pendidik dalam penyampaian dan pelaksanaan kurikulum sekolah rendah dan
menengah di Malaysia. Elemen atau nilai dalam falsafah pendidikan ini seharusnya
difahami dan dihayati oleh para guru sebagai satu tunjang kepada hasrat keseluruhan
objektif kurikulum pendidikan negara serta sebagai satu panduan utama dalam
merancang, melaksana dan menilai proses pengajaran dan pembelajaran. Namun
begitu, sehingga ke alaf ini masih lagi terdapat pendidik yang gagal memahami,
menghayati atau memainkan peranan dalam menyebar dan menerapkan nilai falsafah
pendidikan walaupun telah lama menceburi profesion perguruan. Oleh yang demikian
itu, kajian ini dilaksanakan bertujuan menjelaskan konsep penerapan dan penghayatan
nilai-nilai murni dalam konteks pendidikan dan kehidupan serta menganalisis dan
menilai kandungan dan kepentingan FPK dan Standard Guru Malaysia (SGM) dalam
penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan guru. Kajian ini pendekatan kualitatif
sepenuhnya dengan menggunakan dua kaedah pengumpulan data iaitu pemerhatian
dan analisis dokumen. Kaedah ini diperlukan bertujuan untuk melihat dan
menganalisis permasalahan yang berlaku dan memberikan beberapa pandangan dan
cadangan. Hasil kajian ini mendapati penerapan nilai-nilai murni adalah suatu yang
mesti dilakukan oleh guru sepertimana yang telah digariskan dalam (FPK) dan
Standard Guru Malaysia. Penerapan nilai-nilai murni ini boleh diterapkan melalui
semua mata pelajaran dan diperkuatkan pula melalui kegiatan-kegiatan kokurikulum
serta pembentukan budaya sekolah yang positif.

Kata kunci : nilai murni, Falsafah Pendidikan Kebangsaan

1.0 PENGENALAN

Pendidikan perlu mengambil peranan yang penting dalam membina nilai-nilai yang
positif kepada masyarakat ke arah menuju sebuah negara yang maju dan moden.
Tanpa penerapan elemen nilai-nilai murni ke arah pembangunan insan yang seimbang
dari segi akademik dan akhlak, manusia akan menjadi huru hara. Pendidikan dan
penerapan nilai tidak boleh dipisahkan dan mempunyai hubungan yang sangat akrab
(Tajul Ariffin Noordin & Nor’Aini Dan, 1992; Wan Mohd Zahid Mohd Noordin,
1993). Pendidikan tidak akan bermakna dan sempurna tanpa penerapan nilai murni
(Zakaria Kasa, Abdul Rahman Md. Aroff, Abdul Majid Mohd Isa & Rahil Hj.
Mahyuddin, 1996). Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1980) menegaskan bahawa

1
pendidikan merupakan proses penerapan adab ke dalam diri seseorang. Ini bermakna
pendidikan bukan hanya untuk menghasilkan warganegara dan pekerja yang baik,
malah untuk membentuk manusia atau insan yang baik. Dalam sistem pendidikan di
negara kita penumpuan terhadap dasar pendidikan untuk melahirkan insan yang baik,
menyeluruh dan bersepadu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah jelas
berdasarkan apa yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Falsafah
pendidikan ini menjadi tunjang kepada sistem pendidikan di Malaysia yang mampu
mengembangkan potensi individu dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Dalam merealisasikan falsafah pendidikan ini, guru berperanan besar dalam
melaksanakan hasrat FPK. Guru merupakan qudwah hasanah kepada murid-murid
untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran. Guru merupakan golongan yang
memberi kesan besar terhadap perkembangan personaliti, akal, emosi dan fizikal
setiap manusia. Dalam memperkembangkan potensi-potensi tersebut kepada murid-
murid hendaklah dicernakan segala yang terkandung dalam FPK melalui sistem
pengajaran dan pembelajaran, aktiviti kurikulum dan ko-kurikulum, pematuhan
disiplin, penerapan dan pelaksanaan nilai-nilai murni dan adab, kepimpinan dan
pengurusan sekolah, latihan-latihan dan kemahiran dan semua aspek yang
membangunkan domain-domain utama dalam pendidikan.

2.0 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini secara umumnya bertujuan mengkaji konsep penerapan dan penghayatan
nilai-nilai murni berasaskan FPK. Bagi mencapai tujuan ini, terdapat beberapa objektif
khusus yang ditetapkan dalam kajian ini iaitu:

i. menjelaskan konsep penerapan dan penghayatan nilai-nilai murni dalam konteks


pendidikan dan kehidupan.
ii. menganalisis kandungan FPK dan Standard Guru Malaysia dalam penerapan
nilai-nilai murni dalam kalangan guru.
iii. Menilai kepentingan FPK dan Standard Guru Malaysia dalam penerapan nilai-
nilai murni dalam kalangan guru.

3.0 LATAR BELAKANG KAJIAN

Penerapan nilai-nilai murni perlu disemai bagi meningkatkan akhlak yang mulia
kepada golongan pelajar. Ini kerana, Hamzah (2001), telah menyatakan bahawa
golongan pelajar merupakan tenaga simpanan negara yang bakal menjadi pemimpin
masa hadapan, penyumbang budaya, penggerak kemajuan dan pelopor pembangunan
bagi sesebuah masyarakat. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Mustari et al (2004),
dengan masalah keruntuhan akhlak ini sedikit sebanyak merosakkan perkembangan
sahsiah para pelajar. Maka dengan itu, nilai dalam falsafah pendidikan ini seharusnya
difahami dan dihayati oleh para guru sebagai satu tunjang kepada hasrat keseluruhan
objektif kurikulum pendidikan negara serta sebagai satu panduan utama dalam
merancang, melaksana dan menilai proses pengajaran dan pembelajaran. Namun
begitu, sehingga ke alaf ini masih lagi terdapat pendidik yang gagal memahami,
menghayati atau memainkan peranan dalam menyebar dan menerapkan nilai falsafah
pendidikan walaupun telah lama menceburi profesion perguruan. Kajian yang
dijalankan oleh Wan Hasmah Wan Mamat (2002) dan Habsah Ismail (2007)

2
menunjukkan guru masih lagi kurang menekankan nilai-nilai murni yang
kebanyakannya terdapat dalam elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam
pelaksanaan kurikulum di sekolah. Faktor sebegini akan menyebabkan pelajar gagal
mendapat pendidikan yang holistik walaupun sistem kurikulum semasa sepatutnya
disampaikan dan dinilai secara menyeluruh dengan meletakkan domain psikomotor
kognitif dan afektif secara khusus dalam band penilaian pelajar. Kegagalan guru dalam
menekankan nilai kepada pelajar ini sebenarnya bermula dari fasa latihan perguruan
itu sendiri, iaitu guru pelatih di institusi latihan guru kebanyakannya gagal memahami
dan menghayati nilai dalam falsafah pendidikan yang dipelajari. Ini dapat dibuktikan
dalam penilaian pra praktikum serta penilaian penyeliaan praktikum yang
dilaksanakan di Fakulti Pendidikan KUIS (Jawatankuasa Praktikum :2016).
Kebanyakan guru- guru pelatih bukan sahaja tidak menekankan nilai-nilai dalam
pengajaran, malah mengalami kesukaran mengingati elemen dalam nilai FPK. Oleh
yang demikian itu, kajian awal akan dijalankan bagi menilai konsep penerapan dan
penghayatan nilai-nilai yang terkandung dalam FPK dan Standard Guru Malaysia
dalam kalangan guru yang menjadi agen perubahan kepada murid-murid dan
masyarakat.

4.0 METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini mengunakan kaedah metod berbentuk diskriftif kerana ianya dijalankan
untuk mengenal pasti sejauhmanakah tahap kepentingan penghayatan nilai-nilai murni
FPK dalam kalangan guru pelatih. Metod kajian ini menggunakan pendekatan
kualitatif sepenuhnya dengan menggunakan dua kaedah pengumpulan data iaitu
pemerhatian dan analisis dokumen. Kaedah ini diperlukan bertujuan untuk melihat dan
menganalisis permasalahan yang berlaku dan memberikan beberapa pandangan dan
cadangan.

5.0 KONSEP PENERAPAN DAN PENGHAYATAN NILAI MURNI

Penerapan nilai-nilai murni perlu disemai bagi meningkatkan akhlak yang mulia kepada
golongan pelajar. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (1994) menjelaskan penerapan
ialah hal atau perbuatan menerap atau menerapkan sesuatu, penambahan pengetahuan
baru ke dalam pangkalan pengetahuan sedia ada. Penghayatan adalah perihal kepada
kata kerja menghayati. Istilah ini menjelaskan terdapatnya perlakuan tertentu yang
dilaksanakan sehingga meninggalkan kesan kepada jiwa. Ini menunjukkan bahawa
sekiranya sesuatu perlakuan dilaksanakan tetapi tidak meninggalkan kesan kepada
jiwa maka perlakuan itu belum dihayati (Azma Mahmood, 2006). Dari segi konsep,
penghayatan ialah pemanduan sikap, kepercayaan, nilai-nilai, pendapat dan lain-lain
ke dalam sahsiah seseorang. Ia merupakan satu bentuk pengakuran iaitu penghayatan
nilai atau kepercayaan merupakan pengaruh sosial yang paling kekal dan paling
berakar. Ini adalah kerana motivasi untuk menghayati nilai atau kepercayaan tertentu
tertanam di dalam diri seseorang dan berkait dengan keinginan untuk memperolehi
kebenaran. Penghayatan adalah salah satu proses jenis pembelajaran iaitu
pembelajaran dalam konteks sosial, di mana manusia atau perkara-perkara tertentu
menjadi perangsang bagi seseorang untuk mengamalkan atau menghayati nilai-nilai
tertentu. Fungsi utama pendidikan pada zaman dahulu ialah pemindahan nilai-nilai
dari generasi tua ke generasi muda agar identiti suatu masyarakat terpelihara. Oleh itu

3
fungsi pendidikan pada zaman sekarang juga ialah bertujuan pemindahan nilai-nilai.
Perbezaannya hanya kaedah dan teknologi pemindahan itu sahaja kerana sekarang
penggunaan komputer dan media massa nilai-nilai dipindahkan secara besar-besaran
(Hassan Langgulung, 1987).

Manakala menurut Nik Azis Nik Pa (2007) menjelaskan penghayatan merujuk


kepada aspek menjadikan sesuatu perkara sebagai amalan seharian atau satu tabiat.
Sementara itu, Young (1995) menjelaskan penghayatan nilai diperhatikan apabila
kelakuan yang diterima digenerasikan dari faktor intrinsik dan bukan dari faktor
akibatakibat luar. Menurut Hussin (1995), nilai adalah idea tentang kepentingan,
faedah, mutu dan kebernilaian tentang segala benda, perkara dan fenomena yang
terdapat dan berlaku di dalam alam semesta ini. Seterusnya Majid (2012), menyatakan
nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila
individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Aspek
penghayatan nilai murni merangkumi nilai-nilai kerohanian, kemanusiaan dan
kewarganegaraan (Nik Azis Nik Pa, 1994). Penghayatan adalah bersangkutan dengan
tindakan menjiwai ilmu dan iman sehingga diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan
tingkah laku (Nik Azis Nik Pa, 2007). Maka penghayatan daripada sudut akhlak atau
nilai murni menuntut seseorang itu memahami dan mengamalkan banyak daripada
akhlak mulia dan nilai-nilai murni yang baik (Yakan,1985). Manakala Mansor Abd.
Kadir (1997) menjelaskan bahawa penghayatan akhlak dan nilai murni boleh
digambarkan melalui tingkah laku, pemikiran, pengucapan dan perwatakan yang
dilahirkan dari hati nurani seseorang.

Menurut Mohammah Jodi et al (2012), nilai sesuatu yang abstrak yang terdapat
dalam sanubari manusia dan menjelma pada sistem sosial. Tambahnya lagi, nilai yang
terdapat pada seseorang terbina melalui faktor dan situasi yang pelbagai di sepanjang
proses kehidupan yang dilalui oleh individu. Secara umumnya, nilai boleh dibahagikan
kepada yang positif seperti perkara baik (ma’ruf), yang suci, dan yang benar. Nilai
buruk (munkar) pula dianggap sebagai nilai negatif seperti menipu, kejam, dan
sebagainya sepertimana yang digariskan dalam system aksiologi Islam. Penghayatan
nilai-nilai murni merupakan satu faktor utama yang boleh memastikan pembentukan
kesefahaman dan kesepaduan dalam mentafsirkan dan merealisasikan wawasan 2020
(Nik Azis Nik Pa, 1994). Menurut Nik Azis Nik Pa (1994) penghayatan nilai-nilai
murni menjadi faktor utama kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan
etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan, tetapi
sebaliknya banyak membawa keburukan dan kezaliman. Malah penghayatan nilai-nilai
murni merupakan faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan
kepintaran, kemahiran, kedudukan atau kekayaan yang dimiliki. Menurut Jamiah et al.
(2004) menjelaskan bahawa terdapat beberapa prinsip yang perlu ada dalam mengukur
penghayatan keagamaan seseorang. Prinsip-prinsip tersebut ialah penilaian (a)
berasaskan aspek zahir sahaja, (b) pengukuran boleh dibuat namun pengukuran
sebenar yang paling tepat adalah hak di sisi Allah, (c) pengukuran penghayatan
keagamaan adalah berasaskan kepada manifestasi iman, Islam dan ihsan. Pelajar perlu
digalakkan mencontohi dan mengamalkan nilai-nilai yang baik sebagai satu
penghayatan keterampilan diri dan kualiti warganegara yang baik serta prihatin
terhadap soal-soal kehidupan dan pembinaan diri (Abd. Rahim Abd. Rashid,2001).

4
6.0 FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN DAN STANDARD GURU
MALAYSIA

6.1 Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Tajul Ariffin Noordin (1993) menjelaskan bahawa sistem pendidikan Malaysia telah
memasuki era yang lebih baik dengan tercetusnya Falsafah Pendidikan Negara (FPN)
pada tahun 1987. Falsafah ini sekaligus telah menggambarkan hakikat keseluruhan
yang terdapat dalam sistem pendidikan kebangsaan. Falsafah Pendidikan Negara
(FPN) akan menentukan arah haluan, asas dan sumber inspirasi kepada semua usaha
dan rancangan dalam bidang pendidikan. Matlamat pendidikan negara adalah untuk
melahirkan warganegara yang mempunyai sahsiah yang baik, seimbang dan sepadu
dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan kepada
Tuhan.FPN yang telah digubal pada tahun 1988 telah disemak semula pada tahun
1996 dan hasilnya nama FPN telah ditukarkan kepada Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) iaitu:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah


memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengatahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”

Manusia yang ingin dilahirkan menerusi FPK ini tentunya mempunyai perwatakan
yang indah dan unggul. Mereka adalah insan yang baik dan mulia, rakyat yang amanah
dan bertanggungjawab, warganegara yang setia serta bersemangat tinggi (Mok Soon
Sang :2009). Insan yang baik akan membina keluarga yang baik. Berikut merupakan
huraian unsur-unsur yang terkandung dalam FPK:

1. Pendidikan Sebagai Suatu Usaha Berterusan


 Mempunyai kesinambungan peringkat persekolahan.
 Mempunyai kerjasama antara persekutuan dan negeri dll
2. Memperkembangkan potensi individu
 Unsur intelek
 Unsur emosi
 Unsur rohani
 Unsur jasmani
3. Perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu.
4. Insan yang seimbang dan harmonis.
5. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
6. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan.
7. Rakyat Malaysia yang berketrampilan.
8. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia.
9. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab
10. Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri.
11. Rakyat Malaysia yang memberi sumbangan

5
6.2 Standard Guru Malaysia

Model Standard Guru Malaysia (SGM) adalah suatu standard yang dapat menjadi
penanda aras bagi para guru dan bakal guru di Malaysia dalam melahirkan guru yang
berkualiti. Pelancaran buku SGM telah dilaksanakan pada 16 Mei 2009 bersempena
Hari Guru peringkat kebangsaan. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun
Razak turut memberikan jawapan terhadap persoalan para guru mengenai Model
Standard Guru Malaysia (SGM) ini semasa beliau merasmikan pelancaran buku SGM
tersebut. Beliau berkata:

“Bagi guru yang sering bertanya mengenai “berkualiti”, apa standard yang
mereka perlu ada, maka Standard Guru Malaysia adalah petunjuknya.Walaupun
pembikinan SGM berasaskan negara luar namun penanda arasnya dibangunkan
dalam konteks dan budaya serta amalan nilai-nilai masyarakat negara ini.”
(Utusan Malaysia, 14 Mei 2009)

Guru yang berkualiti, mampu melahirkan insan yang baik turut mendapat perhatian
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau menyatakan:

“Guru berkualiti ialah seorang guru yang sentiasa berkualiti pada masa ini dan
masa depan dan untuk menjamin sistem pendidikan kekal berkualiti, guru perlu
sentiasa relevan dengan cabaran semasa dan akan datang. Ini suatu kemestian
jika guru hendak berjaya dan mencapai hasrat Wawasan 2020. Jika guru itu
berkualiti maka pelajar akan menjadi insan yang kamil dan cemerlang. Guru
yang baik adalah guru yang sentiasa mahu mempertingkatkan diri dan akan
melihat di mana diri mereka dalam sistem pendidikan.” (Utusan Malaysia, 14
Mei 2009)

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan pelbagai usaha untuk


melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam
sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan.
Maka dengan itu, antara langkah yang dilaksanakan ialah mewujudkan SGM. SGM
mempunyai tiga standard iaitu

Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan


Standard ini memperincikan kompetensi amalan nilai profesionalisme keguruan
berdasarkan domain diri, profesion dan sosial, yang patut ada pada seseorang guru.

Standard 2: Pengetahuan dan Kefahaman


Standard ini memperincikan kompetensi ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang
subjek pengkhususan, ilmu pendidikan, kurikulum dan kokurikulum yang patut ada
pada seseorang guru.

Standard 3: Kemahiran Pembelajaran dan Pembelajaran


Standard ini memperincikan kompetensi kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang
patut dikuasai oleh seseorang guru.

6
Dalam kajian ini, pengkaji hanya memfokuskan kepada standard 1 iaitu

Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan


Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan digubal berlandaskan budaya Institut
Pendidikan Guru (IPG), Tatasusila Profesion Keguruan, nilai murni dalam kurikulum
sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan Awam, prinsip utama Etika Kerja KPM, dan
Tonggak Dua Belas. Standard ini mempunyai tiga domain utama iaitu:

S1.1 Domain Diri


Domain ini merujuk kepada pegangan nilai diri guru yang sedia ada dan patut
dikembangkan supaya guru boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada
profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara. Nilai-nilai
yang difokuskan dalam domain ini ialah kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas,
berilmu, kasih sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, daya tahan, daya
saing dan, tahan lasak, cergas, aktif dan sihat, kemahiran interpersonal dan
intrapersonal, semangat sukarela, dan efisien.

S1.2 Domain Profesion


Domain ini merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus oleh
guru dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang profesional. Nilai-nilai
yang ditekankan dalam domain ini adalah kecintaan terhadap profesion,
berketerampilan, integriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif, kreatif dan
inovatif.

S1.3 Domain Sosial


Guru berperanan sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat.
Nilai-nilai utama yang patut diamalkan oleh guru adalah keharmonian, kemahiran
sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.

7.0 KEPENTINGAN FPK DAN SGM DALAM PENERAPAN DAN


PENGHAYATAN NILAI-NILAI MURNI DALAM KALANGAN GURU

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menekankan konsep melahirkan manusia


yang seimbang dari segi emosi, intelek, rohani dan jasmani. Merujuk kepada
Kementerian Pelajaran Malaysia (2012), matlamat FPK ini menjuruskan kepada
kesepaduan pendidikan dengan penerapan nilai-nilai murni. Secara umumnya,
keseimbangan dan keharmonian yang terdapat dalam FPK akan dapat dicapai jika
pelajar dapat merealisasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Menurut Fadzil dan
Ahmad (2010), dengan mengatakan FPK berupaya memberi peluang kepada pelajar
untuk membina kekuatan jasmani, menguatkan keupayaan mental, membantu dalam
kestabilan emosi dan kemantapan rohani dalam menerapkan nilai-nilai murni
berlandaskan pegangan kepada agama yang dianuti. Oleh yang demikian, penerapan
nilai-nilai murni perlu menjadi dasar kepada kurikulum pendidikan kebangsaan agar
kesepaduan dan keseimbangan itu wujud. Menurut Ahmad (2004), Jawatankuasa
Pendidikan Akhlak di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang ditubuhkan pada
tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama dan tidak
hanya fokus kepada agama Islam sahaja. Kajian dan maklum balas yang diperolehi,
jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai
yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk

7
pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, efektif, psikomotor dan
akhlak.

1. Baik hati 9. Kebebasan

2. Berdikari 10. Kejujuran


3. Hemah tinggi 11. Kerajinan
4. Hormat 12. Kerjasama
5. Kasih sayang 13. Kesederhanaan
6. Keadilan 14. Kesyukuran
7. Kebebasan 15. Rasional

8. Keberanian 16. Bermasyarakat

Berdasarkan kepada FPK, matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan


manusia yang seimbang dan harmonis dari semua aspek kemanusiaan. Maka di dalam
pernyataannya terdapat unsur-unsur penting yang berkaitan dengan pembangunan
insan iaitu membangunkan intelek, membangunkan rohani dan emosi serta
membangunkan jasmani. Para guru hendaklah memainkan peranan yang penting untuk
mencapai kesemua unsur ini dan melahirkan murid yang seimbang dan harmonis.
Elemen-elemen ini penting disepadukan bagi membangunkan insan agar tidak berlaku
kepincangan seperti mana yang telah dijelaskan oleh Tajul Ariffin Noordin (1993)
Dalam FPK terdapat lima belas unsur yang telah dikenal pasti.

a. Memperkembangkan Potensi Individu

Setiap individu mempunyai pelbagai keupayaan dan bakat yang tersendiri yang
meliputi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu pendidikan memainkan
peranan penting dalam memperkembangkan potensi individu dan ianya perlu
dirancangkan terlebih dahulu dan dilaksanakan dengan teratur dan bersungguh-
sungguh. (Ee Ah Meng, 1988). Contohnya, untuk mengembangkan potensi murid-
murid dari aspek intelek, guru akan memastikan anak-anak murid mereka dapat
menguasai kemahiran asas 4M, iaitu, kemahiran membaca, menulis, mengira dan
menaakul dengan baik dengan mengadakan peperiksaan seperti ujian lisan bertujuan
mengembangkan kemahiran komunikasi murid. Untuk memperkembangkan lagi
kemahiran komunikasi murid, maka guru bolehlah menyuruh murid untuk
membentangkan hasil perbincangan murid di hadapan kelas. Terdapat banyak nilai
yang boleh dikaitkan dengan komunikasi seperti bercakap benar, jujur dan amanah.

Untuk mengembangkan potensi murid-murid dari aspek jasmani pula, subjek


Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah diajar di peringkat sekolah oleh guru untuk
mendedahkan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan aktiviti fizikal dan kesihatan
tubuh badan kepada murid-murid. Murid-murid diajar tentang kemahiran-kemahiran
asas pergerakan dan juga memantapkan lagi perkembangan murid-murid dari aspek
jasmani. Aktiviti-aktiviti yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis
(KBKK) yang diselitkan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga

8
harus diadakan di kelas supaya mengembangkan potensi murid-murid dari aspek
intelek. Potensi bukanlah sesuatu yang terhad dan haruslah terus diperkembangkan.
Oleh itu, usaha guru memang amat penting dan haruslah diteruskan untuk mencapai
unsur ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

b. Menyeluruh dan Bersepadu

Perkembangan secara menyeluruh dan bersepadu ini merangkumi perkembangan


individu secara maksima. Potensi yang ada dalam diri seseorang hendaklah
dikembangkan secara menyeluruh dan bersepadu. Menurut Omardin Ashaari (1998),
guru akan menjadi petunjuk dalam mencari dan memperkembangkan bakat pelajar ini.
Tajul Ariffin Noordin (1993) menyatakan bahawa bangsa yang kuat serta mulia tidak
hanya bergantung pada kekuatan fizikal yang bercorak kebendaan dan teknologi.
Dengan ini dapatlah difahami bahawa manusia yang berjaya bukan sahaja mereka
yang cemerlang pada satu satu aspek sahaja malahan istilah berjaya sebenar diukur
pada kualiti rohaninya. FPK menekankan pembangunan rohani dan emosi secara
seimbang dengan menerapkan nilai-nilai murni merentasi kurikulum (Ahmad Mohd.
Salleh, 2008). Manakala bagi mengukuhkan lagi ilmu yang menghubungkan kepada
kemantapan rohani, prinsip kepercayaan dijadikan pegangan oleh FPK. Keimanan dan
ketaqwaan kepada Allah akan mengukuhkan lagi sahsiah peribadi manusia. Justeru itu,
antara unsur-unsur rohani yang diterapkan dalam kurikulum pendidikan ialah
menyedari dan menginsafi daya Pencipta, menghargai dan mensyukuri pemberian
Pencipta, menyedari dan menginsafi tanggungjawab, memupuk dan membina disiplin
kendiri serta membentuk akhlak mulia (Ahmad Mohd Salleh, 2008). Berkaitan dengan
pembangunan rohani dan emosi ini pula boleh dihubungkan dengan afektif iaitu
tentang perasaan dan kejiwaan. Kurikulum sekolah yang digubal dari semasa ke
semasa bertujuan mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.
Contohnya dalam subjek Pendidikan Moral serta Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan adalah untuk memupuk sikap-sikap terpuji dan nilai-nilai murni
dalam diri murid-murid. Manakala subjek Sains dan Kajian Tempatan pula diajar oleh
guru bertujuan untuk menerapkan nilai kemanusiaan dan mendedahkan ilmu yang
berkaitan dengan persekitaran kepada murid-murid.

c. Insan Yang Seimbang dan Harmonis

Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) insan yang seimbang dan harmonis
ialah yang dapat mengamalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai
kepercayaan teguh kepada Tuhan, berfikiran tenteram, sihat tubuh badan, hidup
bermasyarakat dan cergas. Insan yang seimbang dan harmonis sentiasa berasa
bersyukur dan bersedia menerima segala cabaran hidup. Hal ini dapat dilihat dalam
kehidupan harian atau tingkah laku individu. Contohnya, penerapan nilai-nilai ini amat
ditekankan terutamanya bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, Pendidikan
Moral, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaan, Pendidikan Jasmani dan kesihatan
secara khususnya. Proses pendidikan juga menitikberatkan aspek moral dan
kerohanian. Di sekolah, guru memainkan peranan penting dalam usaha mendidik
anak-anak murid mereka supaya menjadi insan yang berakhlak mulia dan bersahsiah
tinggi. Guru hendaklah menampal nilai-nilai murni dalam kelas semasa menghias
kelas. Di sini murid-murid akan sentiasa terdedah dengan perkataan dan benda-benda

9
yang positif sepanjang mereka berada di sekolah. Bagi menjayakan lagi unsur FPK ini,
maka guru boleh mengadakan aktiviti–aktiviti seperti sambutan–sambutan dan
ceramah-ceramah yang berunsur keagamaan, kesihatan dan motivasi kepada murid-
murid. Hasilnya murid akan hidup dalam suasana yang seimbang dan harmonis selaras
dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

d. Intelek

Menurut Mok Soon Sang (2009), falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti, ilmu
dan nilai. Bagi membangunkan intelektual dan pemikiran manusia, salah satu cabang
utama falsafah iaitu epistemologi berperanan untuk membangun manusia. Kewujudan
konsep ilmu ini mampu meningkatkan dan memperkembangkan minda manusia.
Sistem pendidikan di Malaysia yang disusun berdasarkan kurikulum banyak berkaitan
dengan teori epistemologi iaitu teori ilmu. Islam membuktikan bahawa dengan ilmu
telah membawa umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran. Maka, di dalam
membangunkan intelektual manusia Ahmad Mohd. Salleh (2008) menyatakan terdapat
beberapa unsur yang diberi tumpuan kepada daya berfikir iaitu mempunyai kemahiran
3M, mendapat, meningkat dan menyebarkan ilmu, berfikir secara kritis dan kreatif
(KBKK) serta memanfaatkan ilmu untuk diri dan orang lain. Menerusi Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pula telah menfokuskan
kepada Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) bagi menentukan kejayaan
tranformasi pendidikan seperti yang digariskan. Ringkasnya, pembangunan intelektual
ini lebih menjurus kepada pembangunan kognitif seseorang.Murid juga seharusnya
berfikir secara kreatif dan kritis serta berusaha untuk mengembangkan daya
pemikirannya supaya murid mampu menghurai, mencerakin, menaakul, merumus dan
menghasilkan idea-idea yang bernas. Untuk mencapai unsur ini, para guru boleh
menjadi sebagai fasilitator dan memandu arah murid berfikir secara kreatif dan kristis
dengan menerapkan nilai-nilai yang baik sewaktu bersama guru.

e. Rakyat Malaysia yang Berketerampilan

Rakyat yang berketrampilan ialah rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan dan
kemahiran serta rela memberi sumbangan demi kemajuan negara. Mereka mampu
melaksanakan tugas dengan cekap dan sempurna dalam masa yang singkat. Unsur ini
dapat dicapai dengan cara memupuk sikap kepimpinan dalam diri para pelajar. Untuk
melahirkan pelajar yang berketrampilan, guru haruslah sentiasa menggalakkan
muridnya melibatkan diri dalam jawatan-jawatan penting yang terdapat di sekolah.
Contohnya, pengawas sekolah. Sekiranya pelajar memegang jawatan-jawatan ini,
mereka akan dilatih menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan berketerampilan.
Proses pembelajaran ini akan mendewasakan mereka, menjadikan mereka seorang
individu yang bertanggungjawab, berdaya saing, berani menempuh cabaran serta
berkeyakinan tinggi. Aktiviti-aktiviti perkhemahan yang sentiasa dianjurkan oleh para
guru di sekolah seperti Kem Bina Insan dan Kem Integrasi juga adalah bertujuan
untuk melatih para pelajar menjadi seorang individu yang berketrampilan. Aktiviti-
aktiviti sebegini akan menguji kekuatan fizikal dan mental serta mendidik pelajar-
pelajar menjadi insan yang berdisiplin malah melalui aktiviti-aktiviti ini, mereka akan
mendapat pelbagai pengalaman. Kesemua aspek ini sangat penting untuk menjadikan
seorang individu itu berketrampilan. Program-program sebegini bukan sahaja

10
memberikan ilmu pengetahuan, melatih sifat kepimpinan, menyemai semangat
kekitaan malah dapat melengkapkan diri seseorang individu dengan kemahiran-
kemahiran tertentu.

Perbincangan berkaitan SGM berkaitan amalan nilai profesionalisme keguruan


digubal berlandaskan budaya Institut Pendidikan Guru(IPG), Tatasusila Profesion
Keguruan, nilai murni dalam kurikulum sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan
Awam, prinsip utama Etika Kerja KPM, dan Tonggak Dua Belas. Standard ini
mempunyai tiga domain utama iaitu diri, profesion dan sosial. Perkara pertama yang
wajib dipelajari oleh setiap manusia adalah harus dimulai dengan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan kepada Tuhan, kemudian barulah tanggungjawab sosial yang
seterusnya dapat dilaksanakan oleh manusia iaitu menyentuh kewajipan kepada diri
sendiri, kewajipan kepada masyarakat , rumah tangga, anak dan isteri, ibu bapa dan
juga seluruh umat manusia (Hamka, 1998).Syarat untuk membolehkan manusia
memahami tujuan penciptaannya adalah dengan mengenali hakikat penciptaannya
daripada sudut spiritual. Walau bagaimanapun, pembangunan potensi spiritual tidak
dapat dilaksanakan tanpa merujuk kepada agama. Ini adalah kerana hanya agama yang
mengajar manusia erti kepercayaan kepada Tuhan, cinta kepada kebenaran dan
kebencian kepada kejahatan. Kegagalan manusia membezakan di antara kebenaran
dan kebatilan boleh menyebabkan manusia melakukan kezaliman kepada diri sendiri,
keluarga, masyarakat dan Negara (Rohana, 2010).

Seterusnya berkaitan domain profesion dikaitkan dengan elemen kepimpinan.


Pendidikan dan pembangunan manusia adalah berdasarkan kepada dua visi utama iaitu
visi kehambaan (visi spiritual) dan juga khalifah (hubungan sosial dengan masyarakat
dan makhluk sekalian alam). Kedua-duanya ini seharusnya dibangunkan di atas
falsafah penyatuan dan pelengkap antara satu sama lain sebagai teras utama dalam
proses mendidik untuk membangunkan manusia yang seimbang dan berkualiti
(Rohana, 2010). Membangunkan manusia sebagai pemimpin tanpa visi kehambaan
kepada Pencipta akan melahirkan pemimpin yang zalim. Manakalah membangunkan
manusia dengan jiwa kehambaan kepada Pencipta tanpa visi sebagai khalifah atau
pemimpin perubahan adalah sesuatu yang sangat sia-sia. Oleh itu visi kehambaan
kepada Pencipta perlu menjadi pemandu, matlamat atau hala tuju didalam membangun
manusia sebagai pemimpin perubahan agar manusia dapat membezakan di antara
kebenaran dan kebatilan bersandarkan perintah Pencipta bukan dirinya sendiri. Oleh
itu manusia yang seimbang seharusnya mampu meletakkan visi kehidupan sebagai
hamba kepada Pencipta sebagai keutamaan dan visi panduan kepada visi sosial
manusia iaitu sebagai khalifah atau pemimpin perubahan dunia. Oleh itu, guru yang
berkepimpinan dapat memainkan peranannya sebagai guru yang bukan sahaja
membimbing pelajarnya memperoleh pencapaian yang terbaik tetapi juga berupaya
memimpin dan membimbing dirinya dan teman sekerjanya ke arah matlamat yang
hendak dituju tanpa arahan ataupun paksaan (Abdullah Sani Yahya et. Al.2007).

Manakala domain ketiga iaitu domain sosial sangat berkait rapat dengan
kemahiran intrapersonal dan interpersonal. Guru yang professional perlu memiliki
kemahiran interpersonal dan intrapersonal serta teknik dan kemahiran mengajar
(Parkay dalam Azizi Yahaya et. al. (2005). Menurut Azizi Yahaya (2005) kepentingan
perhubungan interpersonal ialah:

11
i. Untuk menjadikan hidup lebih bermakna di mana seseorang individu
mempunyai orang yang disayangi, menyayanggi dan melaksanakan
tanggungjawab untuk hidup bersama, seperti keluarga, masyarakat, bangsa dan
lain-lain.
ii. Memerlukan orang lain untuk mengenali diri sendiri.
iii. Untuk memenuhi keperluan hidup iaitu keselamatan, kasih sayang, pengetahuan,
kewangan, pencapaian sesuatu dan hampir kesemua aktiviti kita melibatkan
orang lain.

7.0 KESIMPULAN

Penerapan nilai-nilai murni adalah suatu yang mesti dilakukan oleh guru sepertimana
yang telah digariskan dalam (FPK) dan Standard Guru Malaysia. Penerapan nilai-nilai
murni ini boleh diterapkan melalui semua mata pelajaran dan diperkuatkan pula
melalui kegiatan-kegiatan kokurikulum serta pembentukan budaya sekolah yang
positif. Dapat disimpulkan, bahawa penerapan nilai-nilai murni di dalam proses
pengajaran dan pembelajaran secara formal atau tidak formal adalah salah satu dari
kaedah terbaik dalam penyampaian. Ia tidak hanya terlibat kepada matapelajaran
tertentu sahaja malahan kesemua mata pelajaran yang diajar dengan dibantu oleh
pengajar sebagai moderator.

BIBLIOGRAFI

Abdullah Sani Yahya, Abdul Rashid Mohamed dan Abdul Ghani Abdullah. 2007.
Guru Sebagai Pemimpin. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing.
Abd. Rahim Abd. Rashid. (2001). Nilai-nilai murni dalam pendidikan: Menghadapi
perubahan dan cabaran alaf baru. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn. Bhd
Ahmad, M. S. (2004). Penerapan Pendidikan Bersepadu Di Politeknik. Tesis Sarjana.
Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.
Ahmad Mohd. Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan
Pedagogi Pendidikan. Shah Alam, Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Azma Mahmood. (2006). Pengukuran tahap penghayatan pendidikan Islam pelajar-
pelajar sekolah menengah di Malaysia. Tesis Ph.D. Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (1994). Kamus dewan (edisi ketiga). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ee Ah Meng. (1998). Pendidikan di Malaysia 1: Falsafah Pendidikan, Guru dan
Sekolah (Ed. 2). Shah Alam: Fajar Bakti.
Fadzil, N. S. & Ahmad, J. (2010). Kepentingan Kokurikulum Dalam Pendidikan Di
Sekolah Menengah. UKM. Proceedings Of The 4th Internasional Conference On
Teacher Education; Join Conference UPI & UPSI Bandung, Indonesia.
Hamka. 1998. Lembaga Hidup. Singapura: Pustaka Nasional PTE LTD.
Hamzah, H. (2001). Penilaian Ke Atas Perlaksanaan Penerapan Nilai-Nilai Murni Di
Politeknik Johor Baru. : Tesis Sarjana. KUiTTHO
Hassan Langgulung. (1987). Penghayatan nilai-nilai Islam ditinjau dari proses
pembelajaran dalam konteks pendidikan masa kini. Jurnal Pendidikan Islam, 2
(5): 13-30.

12
Hussin, S. (1995). Pengajaran Nilai Dalam Kurikulum. Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd.
Edisi kedua.
Laporan Jawatankuasa Praktikum (2016), Fakulti Pendidikan. Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor.
Majid, L. Abdullah, N & Zakhi, N. H. (2012). Penerapan Nilai Murni Dan
Pembentukan Jati Diri Kanak-Kanak Prasekolah Melalui Penggunaan
Multimedia. Jurnal Hadhari Special Edition (2012) 51-65. Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Mansor Abd. Kadir. (1997, 13 November). Pembinaan sahsiah, disiplin dan
kepimpinan pelajar SMKA. Seminar Kebangsaan SMKA: SMKA model
pendidikan alaf baru. Institut Aminuddin Baki, Genting Highland.
Mohammah Jodi, K. H. Hamat, M. F. & Towpek, H. (2012). Nilai-Nilai Islam Dalam
Program Pemulihan Banduanita Di Penjara. Jurnal Usuluddin (Januari-Jun
2012), 35:99-116.
Mok Soon Sang. (2009). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Puchong, Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Mustari, M. I. Hashim, S. Suratman, A. Samat, A. B. Hamzah, A. R. & Abdullah, A.
H. (2004), Kajian Sahsiah Pelajar-Pelajar Sekolah Menengah Agama Kerajaan
Johor Kluang, Kluang Johor. Research vote no:71872, Pusat Pengajian Islam &
Pembangunan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia.
Nik Azis Nik Pa. (2007). Konsepsi tentang Cabaran dan Isu Kritikal dalam Pendidikan
Islam. Dalam Nik Azis Nik Pa, Rahimi Md. Saad & Ahmad Zabidi Abd. Razak
(editor). Isu-isu Kritikal dalam Pendidikan Islam dan Pendidikan Bahasa Arab
Berteraskan Pendekatan Islam Hadhari (halaman 1 – 33). Putrajaya : Yayasan
Islam Hadhari.
Rohana Hamzah. 2010. Mengenali Manusia Asas Pendidikan Berkualiti. Skudai: UTM
Press
Syed Muhammad Naquib Al-Attas. (1980). The concept of education in Islam. Kuala
Lumpur: ABIM.
Tajul Ariffin Nordin dan Nor’Aini Dan. (2002). Pendidikan dan Pembangunan
Manusia: Pendekatan bersepadu. Bangi: As-Syabab Media.
Tajul Ariffin Noordin. (1993). Perspektif Falsafah dan Pendidikan di Malaysia.Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Hasmah Wan Mamat. (2002). A qualitative investigation on the teaching of
values education in Malaysian schools: Expectations and realities. Jurnal
Pendidikan, 22, 137-154.
Yakan, Fathi. (1985). Apa Ertinya Saya Menganut Islam. Alias Othman (penterj.).
Cetakan 4. Kuala Lumpur: Pustaka Salam.
Young, M.E. (1995). A classroom application of Grusec and Goodnow’s discipline
model of internalization of values. Education, 115 (3): 405-406.
Zakaria Kasa, Abdul Rahman Md. Aroff, Abdul Majid Mohd Isa, Rahil Hj.
Mahyuddin. (1996). Penerapan nilai murni merentas kurikulum : Satu Tinjauan.
Laporan Penyelidikan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Fakulti Pengajian
Pendidikan Universiti Pertanian Malaysia.
Zakaria Kasa, Abdul Rahman Md. Aroff, Rahil Hj. Mahyuddin, Mohd. Ibrahim Nazri,
Muhamad Hassan Abd. Rahman, Abd. Rahman Hj. Raffiee, et al. (1994).
Pendidikan Akhlak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Laporan
Penyelidikan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dan
Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Pertanian Malaysia.

13

View publication stats

You might also like