You are on page 1of 8

KONSEP ASAS BIMBINGAN,

KAUNSELING DAN PSIKOTERAPI


KONSEP ASAS BIMBINGAN

Pengertian Bimbingan
Berbagai-bagai pengertian telah diberikan kepada bimbingan. Yang berikut ialah pengertian-
pengertian yang berlandaskan tumpuan dan tekanan yang tertentu. Kesemua pengertian tersebut
adalah betul dan tiada satu pengertian yang lebih betul jika dibandingkan dengan pengertian lain.
Definisi Mathewson yang telah digunakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan,
Kementerian Pelajaran Malaysia menegaskan peranan penyesuaian. mengikut Mathewson :
Bimbingan ialah proses professional yang sistematik bagi menolong individu melalui prosuder
pendidikan, dan membuat interpretasi untuk memahami ciri-ciri dan potensinya sendiri dengan lebih
baik lagi, serta untuk menghubungkan dirinya dengan lebih baik lagi dengan keperluan, dan peluang
sosial mengikut nilai-nilai sosial dan moral.
Disamping itu, fokus bimbingan haruslah individu, bukannya masalah yang dihadapi oleh individu itu
semata-mata. maka dengan itu, James telah menyatakan bahawa:
Fokus bimbingan ialah individu tersebut, bukan masalahnya. Tujuan bimbingan ialah untuk
meningkatkan perkembangan individu tersebut untuk arahan kendiri.
Yang diimplikasikan oleh James di dalam pengertian bimbingannya ialah memberikan peluang-
peluang kesedaran kendiri dan arahan kendiri.
Pengertian bimbingan yang boleh dikatakan komprehensif telah diberikan oleh Jones. Mengikutnya :
Bimbingan melibatkan pertolongan peribadi yang diberikan oleh seseorang, iaitu yang telah
disediakan untuk menolong seseorang itu membuat keputusan ke arah yang dituju, apa yang hendak
dibuatnya, atau bagaimana ia dapat mencapai tujuannya itu dengan cara yang paling baik; ia
menolongnya menyelesaikan masalah yang timbul di dalam hidupnya.
Kini kita perlu meneliti perkhidmatan-perkhidmatan yang mewakili bimbingan. Mengikut Belkin :
Bimbingan mewakili pola perkhidmatan yang meliputu orientasi, inventori individu, maklumat
pendidikan dan pekerjaan, kaunseling, penempatan, dan perkhidmatan susulan.
Daripada pengertian ini, kita dapati bahawa bimbingan itu meliputi kaunseling. Malahan bimbingan
meliputi semua aktiviti dan penggunaan berbagai-bagai sumber, seperti penasihatan, kaunseling,
pemberian bahan maklumat, ujian, lawatan, ujian bakat, filem dan perbincangan di bilik darjah yang
akan menolong murid membuat pilihan berhubung dengan perancangan dan objektif pendidikan.
Ada baiknya juga di sini jika kita bezakan bimbingan dengan tugas-tugas guru yang lain. Di antara
tugas-tugas ini ialah, pengajaran, kaunseling, penyelidikan dan pentadbiran.
Menurut Jones, pengajaran ialah tentang hal-hal yang berhubung dengan menolong murid belajar.
Mengikut Ibid, kaunseling meliputi perihal menolong murid mengembangkan kebolehannya dan
menyelesaikan masalah-masalahnya sendiri.
Cribbin mengatakan bahawa penyeliaan bertanggungjawab memberikan pucuk pimpinan untuk
memperbaiki pengajaran.
Pentadbiran pula ialah tentang kawalan, arahan dan pengurusan sekolah, iaitu penyediaan keadaan-
keadaan yang memudahkan pembelajaran.
Seterusnya jika kita analisis pengertian bimbingan yang telah diberikan oleh penulis-penulis dan
pakar-pakar bimbingan yang lain yang telah kita bincangkan, kita mendapati bahawa pengertian-
pengertian mereka yang berbeza-beza itu membawa tujuan-tujuan yang berbeza dan yang serba
merangkumi.

Tujuan Bimbingan
Tujuan bimbingan telah disimpulkan oleh Cribbin apabila beliau telah mengkaji semua penulisan
tentang bimbingan yang telah sedia ada di antara tahun 1935 hingga 1950. Cribbin telah
membahagikan tujuan-tujuan bimbingan kepada dua kelas penting, iaitu tujuan dasar dan tujuan
berkaitan seperti yang berikut.

Tujuan Dasar
Tujuan bimbingan yang asas ialah :
1. Perkembangan individu yang paling baik.
2. Individu yang serba lengkap.
3. Individu yang optimum, penuh, seimbang dan luas pandangan dari segi fizikal, intelek, emosi,
sosial dan kerohanian.
4. Perkembangan individu yang terbimbing kendiri dan perkembangan individu yang matang.
5. Individu yang berdikari , berarahan kendiri, serba mencukupi sendiri dan mempunyai daya
ikhtiarnya sendiri.
6. Individu yang bahagia dan efisien daripada segi social.
7. Individu yang dapat mempelajari hidup lebih baik lagi.
Tujuan Berkaitan
Tujuan bimbingan yang berkaitan pula adalah seperti yang berikut :
1. Mengembangkan inisiatif, tanggungjawab, arahan kendiri dan bimbingan kendiri murid.
2. Mengembangkan kebolehan memilih matlamatnya sendiri.
3. Mengetahui diri sendiri, mengetahui sekolah dan diketahui oleh sekolah.
4. Menjangka, mengelak, dan mencegah krisis daripada bermula di dalam kehidupan murid.
5. Menolong murid, menyesuaikan diri dengan sekolah dan hidup secara yang memuaskan.
6. Menolong murid menyaksi, memahami, menemui dan menyelesaikan masalah-masalahnya.
7. Menolong murid membuat keputusan, rancangan dan interpretasi yang bijaksana pada masa-
masa kritikal di dalam hidupnya.
8. Menolong murid memperolehi celik-akal dan teknik-teknik yang diperlukan untuk
menyelesaikan masalahnya pada masa akan datang.
9. Menolong guru agar guru dapat mengajar dengan lebih berkesan.
10. Menolong pentadbir menjalankan kerja-kerja pentadbiran dengan lebih berkesan lagi dengan
memberikan sumbangan sepenuhnya terhadap rancangan sekolah keseluruhannya.
11. Membentuk dan mengembangkan warganegara yang akan mengambil bahagian dan
menyumbangkan diri ke arah cara-cara hidup demokratik.
12. Berbagai-bagai objektif lain: seperti menolong keluarga di rumah, menolong komuniti,
membina watak yang beretika, mengadakan perhubungan dengan orang lain yang lebih baik dan
menolong mewujudkan persefahaman antarabangsa.
Prinsip-Prinsip Bimbingan
Seterusnya Cribbin telah mengkaji juga teks-teks bimbingan yang sedia ada dari tahun 1935 hingga
ke tahun 1950, dan telah menurunkan prinsip-prinsip bimbingan yang terkandung di dalam teks-teks
tersebut. Hingga kini, prinsip-prinsip yang dirumuskannya itu tidak ditentang oleh pakar-pakar
bimbingan lain, walaupun makna rumusannya yang berikut boleh diperdebatkan.
1. Bimbingan diasaskan dengan pengakuan bahawa seseorang individu itu mulia dan berguna
dan juga berhak menerima bantuan peribadi pada masa kesukaran.
2. Bimbingan adalah berpusatkan ke arah murid, dan berkaitan dengan perkembangan optimum
keseluruhan diri murid serta pencapaian potensi-potensi untuk kepentingan individudan sosial.
3. Sebagai suatu sudut pandangan pula, bimbingan adalah sama.
KONSEP ASAS KAUNSELING
Pengertian Kaunseling
Kaunseling ialah proses pembelajaran apabila seseorang individu itu belajar tentang dirinya sendiri,
tentang hubungan antara perseorangan, dan tentang tingkah laku yang dapat memajukan
perkembangan peribadi mereka sendiri.Pemerian ini agak luas dan tidak terkhusus. Definisi yang
lebih khusus adalah seperti yang berikut.
Kaunseling ialah :
…suatu proses apabila seseorang yang terganggu (iaitu klien) ditolong merasa dan bertingkah laku
dengan cara yang lebih memuaskan daripada segi peribadi dengan cara berinteraksi dengan orang
yang tidak terlibat (iaitu kaunselor) yang memberikan maklumat dan reaksi untuk merangsangkan
klien mengembangkan tingkah laku agar membolehkannya menghadapi dirinya dan persekitarannya
dengan lebih berkesan lagi.
Definisi yang sama khususnya telah diberikan juga oleh Dustin dan George.Mengikut mereka,
kaunseling ialah :
…suatu proses pembelajaran yang disediakan untuk meningkatkan tingkah laku penyesuaian dan
mengurangkan tingkah laku salah penyesuaian.

Tujuan Kaunseling
Kaunseling harus mencerminkan latihan, sistem nilai, persepsi peranan dan keperluan individu yang
sedang ditolong. Hampir semua orang yang menyumbangkan khidmat kaunseling akan bersetuju
bahawa matlamat asas kaunseling ialah untuk membawa perubahan tingkah laku dan seterusnya
akan membolehkan hidup mereka menerima kaunseling lebih produktif dan memuaskan.
Tujuan utama kaunseling sekolah ialah untuk menolong murid memahami dirinya sendiri agar ia
dapat menjadi individu yang terarah sendiri. Tujuan-tujuan ini berdasarkan keselamatan perhubungan
kaunseling kerana murid dapat menjelajahi dinamik dan perhubungan di antara perasaan, nilai, dan
persepsi mereka terhadap orang lain. Murid boleh juga membincangkan perhubungan di antara
perseorangan mereka, keraguan mereka, dan pilihan hidup mereka. Dengan menjelajah seperti ini,
maka lahirlah celik akal, kefahaman diri sendiri, penjelasan peranan, perancangan dan perubahan
tingkah laku. hasilan yang dikehendaki daripada kaunseling ialah kesedaran kendiri dan arahan
kendiri bagi diri murid yang menjadi klien.
Tidak ketinggalan juga, tujuan kaunseling di sekolah sering dikatakan juga untuk perancangan dan
membuat keputusan.
Mengikut Loughary:
…masalah-masalah kaunseling di sekolah yang dihadapi oleh kaunselor boleh diturunkan kepada
masalah membuat keputusan.
Di dalam konteks ini, kaunselor akan menolong klien mendapatkan maklumat persekitaran yang
diperlukan untuk membuat keputusan dan mendapatkan penerimaan atau penjelasan tentang ciri-ciri
peribadi tertentu yang mungkin mengganggu atau berkaitan dengan keputusan tersebut. Hal ini tidak
pula bermakna bahawa kaunselor akan memberitahu murid apa yang salah dan apa yang harus
dibuat pada mereka. Dengan kaunseling, murid ditolong mencapai penyesuaian dan kerjaya mereka
sendiri. Maka dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling memberikan fokus kepada masalah dan
keperluan murid secara individu dan menolong mereka mempelajari perkara-perkara yang diperlukan
untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Dengan cara ini, murid-murid akan menjadi lebih
berkebolehan menghadapi masalah masa depan mereka secara sendiri.
Fullmer dan Bernard pula mengatakan bahawa :
…masalah asas kaunseling ialah untuk mencari cara-cara bagi individu menghubungkan
pengetahuan luar dengan dirinya sendiri agar pengetahuan tersebut menjadi sebahagian dirinya dan
dapat digunakan untuk tingkah laku penyelesaian masalahnya.
Rogers pula mempercayai bahawa tujuan utama kaunselor ialah mendapatkan :
…struktur diri yang lebih luas, memasukkan sebahagian besar pengalamannya sebagai sebahagian
diri, dan penyesuaian hidup yang lebih selesa dan realistik.
Kebanyakan murid akan mengalami keraguan dan tiada persambungan di dalam hidup mereka
kerana hidup di dalam dunia moden ini penuh dengan konflik, keadaan tidak tentu dan kekacauan.
Maka dengan itu, murid sering menghadapi masalah kerana pengalaman-pengalaman tenteram
sudah berkurangan. Di suasana kaunseling yang tenang dan yang tidak mencabar murid yang tidak
bermasalah, murid akan dapat menghadapi masalahnya dengan lebih berani, kerana ia akan dapat
mengasing-asingkan idea dan nilai yang sah baginya untuk keperluan hidup.

Matlamat Kaunseling
Krumboltz berpendapat bahawa matlamat kaunseling tidak seharusnya sama bagi semua klien dan
seterusnya matlamat kaunseling harus mempunyai tiga kriteria yang berikut.
1. Matlamat kaunseling harus dikehendaki oleh klien.
2. Kaunselor harus bersedia dan mahu menolong klien mencapai matlamatnya.
3. Kaunselor harus dapat menilai sejauh manakah klien telah mencapai matlamat tersebut.
Prinsip-Prinsip Kaunseling
Mengikut Arbuckle, kaunseling harus diasaskan mengikut prinsip-prinsip yang berikut :
1. Manusia pada asasnya membuat penentuan kendiri.
2. Klien harus maju ke tahap penerimaan kendiri dan kefahaman kendiri yang lebih tinggi lagi.

KONSEP ASAS PSIKOTERAPI


Pengertian Psikoterapi
Menurut Casey (1996), secara tradisinya, psikoterapi (atau terapi) berfokus kepada masalah
serius yang dikaitkan dengan intrapsikik, isu yang bersifat dalaman dan peribadi. Ia banyak
menangani “recovery of adequancy” . Oleh itu psikoterapi terutama sekali terapi yang bersifat
analitikal menekankan bahawa peristiwa lepas daripada peristiwa sekarang, celik akal lebih
daripada perubahan dan peranan ahli terapi sebagai pakar.
Tambahan pula, psikoterapi dilihat sebagaimana melibatkan satu perhubungan yang lebih
lama iaitu sebanyak 20 hingga 40 sesi atau selama enam bulan hingga dua tahun.
Psikoterapi juga berfokus kepada perubahan yang rekonstruktif jika dibandingkan dengan
perhubungan yang lebih bersifat jangka masa pendek iaitu sebanyak 8 hingga 12 sesi dan
jangka masa kurang daripada 6 bulan. Psikoterapi juga dilihat sebagai perkhidmatan yang
lebih bersifat inpatient.
Bidang psikoterapi lebih memfokus kepada proses pemikiran dan cara seseorang individu
memandang kedudukan dirinya di dalam dunia. Psikoterapi ialah rawatan yang diberi untuk
individu-individu yang mengalami masalah-masalah yang sangat berat dan kepada mereka
yang memiliki masalah kesihatan jiwa.
Pada hakikatnya, kedua-dua bidang kaunseling dan psikoterapi seringkali bertindih. Kadang-
kala, seorang ahli kaunselor perlu berfungsi secara teraputik manakala seorang ahli
psikoterapi perlu memberi kaunseling dalam situasi-situasi yang spesifik.

PERBEZAAN ANTARA BIMBINGAN, KAUNSELING DAN PSIKOTERAPI


Brown dan Pate (1983) menjelaskan agak sukar untuk membezakan antara psikoterapi
dengan kaunseling. Terdapat banyak persamaan di antara kedua-duanya. Kedua-dua
kaunseling dan psikoterapi adalah proses memberi bantuan yang bertujuan untuk kebajikan.
Kedua-duanya banyak menggunakan teknik dan kaedah yang sama dan pendekatan utama.
Psikoterapi telah diubahsuai ke dalam tugas-tugas kaunselor.
Bagaimanapun, terdapat perbezaan yang ketara di antara psikoterapi dan kaunseling. Brown
dan Pate (1983) menjelaskan antara perkara yang membezakan antara kaunseling dan
psikoterapi ialah matlamat dan kaedah. Dari segi objektif, kaunseling bertujuan untuk
mempertingkatkan kebajikan individu dan juga perkembangan psikologikal. Individu dilihat
sebagai menjelaskan proses perkembangan dan perubahan dan berhadapan dengan
peringkat dan dugaan dalam kehidupan.
Kaunseling membantu individu untuk melalui proses perkembangan dengan berjaya dan
menemui kebahagiaan. Kaunseling adalah satu proses yang bersifat fasilitatif
dan promotional bertujuan untuk menyuburkan kebolehan individu dan menggalakkan
individu untuk bersifat tidak bergantung dan mempunyai arah dalam kehidupan. Kaunseling
adalah bersifat orientasi pertumbuhan lebih dari orientasi masalah.
Sementara itu, tujuan psikoterapi lebih bersifat khusus daripada objektif umum. Psikoterapi
wujud kerana amelioration  psikopatologi. Ianya berorientasikan masalah dan klien
menghadapi kesukaran yang lari dari perkembangan psikologikal yang biasa. Masalah yang
dihadapi adalah bersifat menghalang kejayaan kehidupan. Psikoterapi memerlukan lebih
daripada sumber-sumber individu untuk menyelesaikan kecelaruan neurotik.
Tyler (1961) menjelaskan psikoterapi sebagai memberi fokus kepada perubahan personaliti
sementara kaunseling memberi fokus membantu individu untuk menggunakan kekuatan yang
ada untuk berdaya tindak menjadikan kehidupan lebih baik.
Corsini (1995) berpendapat bahawa perbezaan antara kaunseling dan psikoterapi ialah
terdapat persamaan secara kualitatif tetapi berbeza secara kuantitatif. Ahli terapi lebih banyak
mendengar, kurang memberi nasihat dan penerangan. Seterusnya ahli terapi berhadapan
dengan klien yang menghadapi masalah yang lebih berat dari klien dalam kaunseling.
BPS Division of Clinical Psychology (1979) menjelaskan kedua-dua kaunseling dan
psikoterapi menggunakan kerangka teoritikal yang sama dan menekankan keperluan
memberi penekanan kepada klien sebagai individu. Kedua-duanya mendengar secara
sistematik dan mendengar apa yang dikomunikasikan. Ia juga membentuk keupayaan
membantu diri dan bertanggungjawab. Ramai ahli psikologi seperti Truax dan Carkhuff (1967)
dan Corey menggunakan istilah kaunseling dan psikoterpi secara silih berganti.
BIMBINGAN DALAM PENDIDIKAN

Pengantar kepada Bimbingan :


Konsep Bimbingan Dan Kaunseling

Bimbingan, atau guidance dalam bahasa Inggeris, membawa erti memberi panduan atau nasihat
kepada seseorang.
Mengikut Crow dan Crow (1983), bimbingan, di bawah konteks pendidikan merujuk kepada bantuan
atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada pelajar yang berkenaan.
Pelajar yang memerlukan bimbingan merujuk kepada pelajar yang menghadapi masalah peribadi dari
segi intelek, rohani, emosi ataupun social. Masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar biasanya
boleh digolongkan dalam dua kategori yang utama, iaitu masalah akademik dan masalah emosi-
sosial. di dalam proses bimbingan, pelajar yang berkenaan akan diberi panduan atau nasihat yang
boleh membantunya menyelesaikan masalah tertentu.
Manakala, kaunseling mengikut Shertzer dan Stone (1968), ialah proses interaksi yang membolehkan
individu memahami diri dan situasinya.
Menurut Arbuckle (1965), kaunseling bukan bertujuan menolong klien menyesuaikan diri dengan
alam sosial, tetapi menolongnya memahami kelebihan dan kelemahannya,potensi dan
keupayaannya.
Patterson dan Eisenberg (1983) menghuraikan kaunseling sebagai proses pertemuan secara
bersemuka di antara seorang kaunselor dengan kliennya yang membawa perubahan klien pada
akhirnya.
Mengikut Kamus Dewan (1998), kaunseling merupakan proses teratur yang melibatkan perbincangan
yang rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan usaha mengatasi atau
menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat.
Berdasarkan huraian di atas, kita boleh rumuskan bahawa konsep bimbingan adalah saling berkait
dengan konsep kaunseling. Sebagaimana yang dihuraikan oleh G.S. Belkin dalam bukunya Practical
Counseling in the Schools, beliau menulis :
“bimbingan merangkumi aspek-aspek orientasi, inventori, maklumat pendidikan dan kerjaya.
Manakala, kaunseling merupakan penempatan dan perkhidmatan.”
Kesimpulannya, kaunseling merupakan sebahagian proses daripada perkhidmatan bimbingan. Di
peringkat sekolah, kaunseling merupakan proses pertemuan secara bersemuka di antara seorang
guru bimbingan yang memainkan peranan sebagai kaunselor, dengan seorang pelajar (disebut
sebagai klien) yang menghadapi masalah peribadi atau akademik, dengan tujuan membawa
perubahan tingkah laku pelajar itu ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Bimbingan
merangkumi segala aspek seperti orientasi, inventori, penempatan, kaunseling, tunjuk ajar dan
nasihat serta tindakan susulan.

Prinsip-Prinsip Bimbingan Dan Kaunseling


1. Tiap-tiap pelajar yang menghadapi masalah harus diberi peluang perkhidmatan Bimbingan
dan Kaunseling, tanpa mengira kaum, status sosial, latar belakang dan agama atau kepercayaannya.
2. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling ialah tanggungjawab bersama, iaitu kerjasama
harus wujud bukan sahaja di antara kaunselor dan pelajar yang memerlukan bimbingan, tetapi juga di
antara kaunselor dengan pihak sekolah termasuk rakan sejawat dan ibu bapa yang berkenaan.
3. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling haruslah diuruskan mengikut prosedur dan
peraturan atau tata cara yang ditetapkan. Ia menjadi berkesan apabila dirancang secara sistematik
dan teratur.
4. Kaunseling ialah interaksi di antara kaunselor dengan pelajar berdasarkan perhubungan
mesra dan kepercayaan.
5. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling hanya boleh diberi kepada pelajar yang sudi rela
menerimanya dan tidak boleh dipaksa, termasuk memilih tempat perbincangan.
6. Sesi kaunseling hanya boleh dijalankan di antara kaunselor dan kliennya di dalam bilik yang
disediakan khas.
7. Bimbingan dan Kaunseling harus diuruskan mengikut etikanya, demi memelihara hak pelajar.
Segala maklumat pelajar adalah dianggap sulit dan hanya boleh didedahkan kepada pihak yang
bersama membantunya sahaja.
8. Bimbingan dan Kaunseling hendaklah dijalankan dalam situasi bersendirian di antara
kaunselor dan pelajar sahaja. Segala perkara yang dibincangkan haruslah dirahsiakan.
9. Tindakan susulan hendaklah dirancangkan selepas proses perkhidmatan Bimbingan dan
Kaunseling agar memastikan masalah yang dihadapi, sama ada akademik ataupun emosi-sosial,
tidak akan timbul semula.
10. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling hanya boleh diuruskan oleh kaunselor yang
bertauliah atau guru bimbingan yang terlatih, iaitu orang yang mahir serta berupaya membimbing
klien dirinya menyelesaikan masalah akademik ataupun masalah peribadi.
Objektif-Objektif Bimbingan Dan Kaunseling
Objektif utama Bimbingan dan Kaunseling ialah menolong pelajar menyelesaikan masalah, sama ada
akademik ataupun emosi-sosial, yang dihadapinya. Di antara objektif yang lain ialah :
1. Menolong pelajar memahami dan membentuk nilai, sikap dan tingkah laku yang sesuai
dengan budaya sekolah dan norma masyarakat.
2. Melayan keperluan-keperluan pelajar ke arah perkembangan potensi mereka secara
optimum.
3. Menolong pelajar memahami kekuatan dan kelemahannya agar mereka dapat menyesuaikan
diri mengikut kebolehannya serta memilih dan merancang masa depan dengan berkesan.
4. Mendorong pelajar menghadapi masalah dengan tabah hati dan berusaha menyelesaikannya
dengan penuh keyakinan.
5. Menyedarkan pelajar bahawa ada orang yang rela membantunya untuk menyelesaikan
masalah yang dihadapinya.
6. Memberi nasihat supaya membantu pelajar memilih kerjaya yang sesuai pada masa depan.
7. Mengubah tingkah laku bermasalah pelajar dan seterusnya membentuk tingkahlaku yang
diingini.
8. Menolong pelajar membentuk konsep kendiri positif.
9. Memberi tunjuk ajar supaya pelajar dapat mengatasi masalah akademik, dan seterusnya
meningkatkan prestasinya dalam bidang pelajaran yang dahulu dinilai lemah.
10. Memberi nasihat supaya membantu pelajar memilih mata pelajaran elektif atau jurusan yang
sesuai mengikut potensi dan minatnya.
11. Menganjurkan kem motivasi bagi pelajar yang mempunyai motivasi rendah untuk belajar.
Matlamat Utama Bimbingan Dan Kaunseling
Berdasarkan objektif-objektif Bimbingan dan Kaunseling yang dihuraikan, maka matlamat utamanya
ialah memberi bimbingan dan saranan penyelesaian supaya pelajar dapat menggunakan nasihat dan
hasil saranan perbincangan dengan kaunselornya untuk menyelesaikan masalah peribadi,
pembelajaran atau kerjaya yang dihadapinya melaui usaha diri sendiri.
Konsep Bimbingan dan Kaunseling kadangkala disalahertikan sebagai sesuatu sesi digunakan untuk
menganalisis dan mengkritik kesalahan pelajar, menentukan punca kesalahan, memberi ajaran,
ataupun memaksa pelajar yang berkenaan supaya menurut cara penyelesaian yang dicadangkan
kaunselor.
Konsep bimbingan dan Kaunseling yang sebenar ialah kaunselor hanya perlu mendengar dan
memahami masalah yang dihadapi oleh kliennya, dan membimbingnya memikir penyelesaian
masalah dari pelbagai sudut, demi membolehkannya memahami pelbagai cara yang boleh dipilh
untuk menyelesaikan masalah peribadi, pembelajaran atau kerjaya yang dihadapinya.
Ringkas kata, matlamat Bimbingan dan Kaunseling ialah memupuk kebolehan menyelesaikan
masalah diri sendiri, membantu kliennya menguasai pelbagai kemahiran asas untuk adaptasi dan
penyesuaian diri serta dapat menggunakan potensi dan pelbagai sumber yang sedia ada untuk
mencapai prestasi yang lebih baik dalam kehidupan.

Kepentingan Bimbingan Dan Kaunseling


Bimbingan dan Kaunseling membantu murid-murid untuk membantu diri mereka dan untuk
memperkembangkan potensi mereka secara optimum dengan menggunakan peluang maksima yang
dibekalkan oleh sesuatu persekitaran.
Kepentingan bimbingan dan kaunseling ialah :
1. Ia membantu murid-murid untuk memahami diri mereka sendiri. Ia juga membantu murid-
murid dalam pengalaman mereka dengan benda-benda dan dunia di sekeliling mereka.
2. Ia mempunyai kepentingan kendiri dan sosial.
3. Ia membantu individu-individu untuk memperkembangkan kebolehan dan kekuatan mereka
untuk mencapai efisensi kendiri dan sosial.
4. Ia juga bertujuan untuk mengakhiri pembaziran resos manusia dan fizikal dengan membantu
individu-individu untuk mencari kedudukan mereka dalam masyarakat.

You might also like