You are on page 1of 5

Apakah itu TS25? TS25 adalah Program Transformasi Sekolah 2025(TS25).

Ia merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Pendidikan Malaysia(KPM) ke arah


meningkatkan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti dengan mengaplikasikan amalan
terbaik dalam pelaksanaan pengurusan dan kepimpinan serta pedagogi dalam pengajaran
dan pembelajaran(PdP) selari dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Inisiatif KPM ini iaitu untuk melahirkan modal insan unggul melalui persekitaran
pembelajaran yang menyeronokkan dan penglibatan pembelajaran murid yang aktif. Dengan
adanya proses PdP yang berkualiti dilakukan, potensi guru dan murid dapat dioptimumkan.
Selain itu, ia juga harus disokong oleh kepimpinan yang berkualiti dan berwawasan, guru-
guru berkompetensi, beraspirasi tinggi serta komitmen komuniti yang padu. Seterusnya
penglibatan komuniti dalam TS25 ini juga tidak diabaikan. Apabila kita inginkan melihat
kejayaan murid, ia harus melibatkan pelbagai pihak selain daripada guru sekolah, iaitu
penglibatan ibubapa, komuniti dan pihak berkepentingan harus diperkukuhkan lagi.

Program TS25 mempunyai beberapa objektif utama iaitu mengaplikasi konsep dan
amalan terbaik pangajaran dan pembelajaran. Kedua, membangunkan kepakaran dalaman
KPM melalui latihan yang komprehensif dan berstruktur kepada pembimbing kepimpinan
dan pedagogi dalam kalangan pensyarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Institut Pendidikan
Guru Malaysia (IPGM), pegawai Jabatan Pendidikan Negara (JPN), pegawai Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD), Pengetua dan Guru Besar (PGB) serta Guru Penolong Kanan
(GPK), School Improvement Partners Plus (SIPartners+) dan School Improvement Specialist
Coaches Plus (SISC+). Seterusnya, membangunkan persekitaran pembelajaran yang lebih
bermakna dengan menyediakan suasana biiik darjah dan sekokah yang kondusif dan
fleksibel, teknik PdP yang kreatif dan berkesan, pengurusan sekolah yang cekap dengan
mengutamakan kemenjadian murid.

Dengan adanya program TS25, apakah impaknya terhadap hala tuju dan struktur
organisasi? Terlebih dahulu, kita harus memahami apa yang dimaksudkan dengan hala tuju
organisasi. Hala Tuju adalah satu penentuan matlamat bagi memastikan kejayaan sekolah
(Visi) dan merancang strategi bagi mencapai matlamat tersebut (Misi). Bagi sekolah di
bawah KPM dan yang telah diplih sebagai TS25, pelan hala tuju akan digubal berdasarkan
pertemuan dan perbincangan dalam jawatankuasa pengurusan sekolah untuk menetapkan
hala tuju sekolah. Hala tuju juga selari dengan misi dan visi sekolah serta selaras dengan
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Tambahan pula, setiap organisasi pastinya
mempunyai seorang pemimpin yang akan memimpin organisasi tersebut, sama juga dengan
organisasi pendidikan negara kita di Malaysia. Pemimpin tersebut akan menghalakan
sasarannya kepada pengikutnya dengan menguasai hala tuju strategik, polisi dan struktur
organisasi. Menurut Yukl (2008), seorang pemimpin yang berjaya akan mampu
mempengaruhi keberkesanan organisasi melalui pengaruh ke atas pengikut, pasukan dan
organisasi kepada pencapaian Visi dan Misi. Melalui TS25 ini, dalam satu tempoh yang
dirangkan, sesebuah sekolah tersebut seharusnya mencapai peningkatan dalam
kemenjadian murid dan sekolah berkualiti. Justeru, segala perancangan yang dibuat di
peringkat induk dan peringkat ketua panitia perlulah menjurus kepada inspirasi TS25.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025, pada bab
kedua, ia adalah berkaitan dengan visi dan aspirasi. Bab ini membincangkan dua aspek
berkaitan masa depan sistem pendidikan iaitu gambaran sistem pendidikan setelah berjaya
ditransformasikan dan harapan serta aspirasi untuk setiap kanak-kanak di Malaysia. Dalam
bab aspirasi sistem pendidikan ini juga, terdapat lima hasil yang ingin dicapai dalam Pelan
ini terhadap sistem pendidikan di Malaysia iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan
kecekapan. Apabila kita lihat program TS25, ia juga menekankan tentang melahirkan insan
yang unggul melalui persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan. Hal ini berkait rapat
dengan Laporan Razak. Pada 1956, Laporan Razak merencanakan suatu sistem pendidikan
kebangsaan yang menjamin tempat di sekolah untuk semua kanak-kanak tanpa mengira
etnik atau latar belakang sosioekonomi, dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang
menghargai perpaduan dalam kepelbagaian. Pada pendapat saya, apabila pelajar pelbagai
etnik belajar bersama-sama dalam keadaan yang selesa, ia akan menjadi satu sauna yang
amat menyeronokkan, di samping itu, mereka boleh saling mempelajari antara satu sama
lain.

Selain itu, elemen kemenjadian murid dalam program TS25 ialah pendidikan di
sekolah melahirkan murid yang berilmu pengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran
memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian dan mempunyai identiti
nasional. Semua ini adalah sejajar dengan hasrat 6 aspirasi mudd dalam PPPM 2013-2025.
Setiap murid haruslah mempunyai kebolehan berfikir dengan membina kemahiran inkuiri
dan mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat agar murid dapat menghubung kaitkan
pelbagai pengetahuan, dan menghasilkan pengetahuan yang baharu. Kemahiran berfikir
aras tinggi juga amat penting dalam dunia teknologi yang berkembang pesat. Dengan
kapasiti pedagogi pembelajaran bermakna (KPPB), pelajar sepatutnya dapat mempraktikkan
apa yang telah dipelajari dalam bilik darjah di dalam kehidupan sebenar beserta dengan
kemahiran berfikiran aras tinggi.
Perihal berkemahiran memimpin pula, terdapat beberapa ciri-ciri kepimpinan yang
perlu ada untuk penetapan dan pelaksanaan hala tuju, antaranya ialah berkongsi wawasan
(Shared Vision), mengkomunikasi wawasan (Communicate Vision), membuat penetapan
tentang Sasaran dan KPI dan melaksanakan Hala Tuju dan Program. Fleishman(1973)
menyatakan bahawa kepimpinan adalah usaha ke arah pengaruh antara perseorangan
yang diarahkan melalui proses komunikasi ke arah pencapaian matlamat. Kemahiran
memimpin merupakan satu proses interaksi sosial yang dialami oleh semua individu pada
hari ini, contohnya di rumah, ibubapa merupakan pemimpin kepada anak-anak; di sekolah,
setiap guru adalah pemimpin kepada murid; setiap ketua bidang/ panitia merupakan
pemimpin kepada guru dibawah jagaannya; penolong kanan pula sebagai pemimpin kepada
setiap ketua bidang/panitia; manakala guru besar atau pengetua akan memimpin semua di
bawah jagaannya. Dengan adanya pemimpin yang baik dan bertanggungjawab, akan
melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran memimpin yang mantap. Hal ini juga
disokong oleh Nabi Muhammad s.a.w bahawa ‘setiap orang adalah pemimpin dan setiap
pemimpin mempunyai tanggungjawab terhadap orang yang dipimpin’, (Muhammad,2014).
Dalam menerajui sekolah, seorang pemimpin perlu berwawasan dan berfikiran
strategik. Beberapa contoh pemimpin berwawasan dunia adalah termasuk Steve Jobs,
Thomas Edison, Albert Einstein (Kerr.J.,2005), Tun Mahathir, Tan Sri Syed Mukhtar
AlBukhary, Tan Sri Tony Fernandez, dan lain-lain lagi.

Seseorang guru yang berjaya dinilai melalui tahap pembelajaran dan perkembangan
murid semasa mereka melalui sistem tersebut. Kerajaan kita berusaha untuk meningkatkan
kualiti kemenjadian murid selaras dengan aspirasi meletakkan Malaysia dalam kelompok
sistem pendidikan sepertiga teratas di dunia, iaitu sejajar dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan(FPK), pendekatan Kementerian terhadap pendidikan tertumpu kepada
pembangunan murid secara holistik yang menekankan pembangunan intelek, rohani, emosi,
dan fizikal, seiring dengan penghayatan identiti nasional yang kukuh. Demi mencapai tahap
pendidikan yang bertaraf dunia, kurikulum dan pentaksiran mesti selaras dengan tanda aras
antarabangsa bagi memastikan murid di negara kita memperoleh pengetahuan dan
kemahiran yang diperlukan untuk berjaya pada abad ke-21 dan seterusnya. Dengan itu,
kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan
dipertingkatkan lagi oleh pihak kerajaan.

Selain daripada murid arus perdana, perhatian juga harus diberikan kepada
kumpulan murid lain yang keperluannya berbeza daripada murid arus perdana, supaya
mereka berpeluang mengembangkan potensi diri. Contohnya Sekolah Seni Malaysia
(SSeM), ia memberi perhatian kepada murid tahun enam (sekolah rendah) yang mempunyai
bakat dalam seni seperti seni muzik, visual, tari dan teater untuk memasuki sekolah
menengah (SSeM) dan di situ pelajar dapat mengasah dan memperkembangkan lagi bakat
dan potensi yang ada pada diri mereka. SSeM Sabah bidang muzik telah memperolehi
pencapaian “winner of certificate 1st degree & invitation for the Asian Championship of
Folklore Asia Folk 2021 and voucher” pada tahun 2020. Ini menunjukkan salah satu tujuan
PPPM 2013-2025 telah direalisasikan kerana pelajar-pelajar yang bukan arus perdana ini
juga berpeluang untuk menonjolkan potensi dan bakat mereka dalam peringkat
antarabangsa. Seterusnya, pelajar juga menggunakan teknologi terkini untuk menyiapkan
tugasan mereka contohnya mencipta lagu dan menulis lagu dalam perisian muzik Sibelius.
Sibelius merupakan satu perisian muzik yang digunapakai oleh pelajar muzik satu dunia,
penggubah lagu bertaraf dunia, dan juga komposer bertaraf dunia. Dengan memiliki
kemahiran menggunakan perisian seperti ini, pelajar akan mempunyai daya saingan yang
kuat dengan orang lain di peringkat dunia.

Bagi menilai impak globalisasi TS25 terhadap hala tuju dan struktur organisasi
pendidikan negara, ia menunjukkan pencapaian positif kerana jumlah sekolah yang terlibat
dalam TS25 ini semakin meningkat. Pada permulaannya,sebanyak 99 buah sekolah yang
terlibat dengan Program TS25, iaitu pada tahun 2015. Seterusnya pada tahun 2017
sebanyak 100 buah sekolah dipilih untuk kohort kedua dan tahun 2018 sebanyak 401 buah
sekolah dipilih untuk kohort ketiga, menjadikan jumlah keseluruhan yang terlibat adalah 600
buah sekolah.Pada tahun 2019 pula sebanyak 500 buah sekolah telah dilibatkan dalam
program ini. Jika impak globalisasi TS25 memberi kesan yang negatif, semestinya sekolah
yang dilibatkan dalam program tersebut akan semakin berkurang dan bukan semakin
bertambah. PPPM 2013-2025 juga dapat direalisasikan kerana sebahagian matlamat dan
objektif antara TS25 dan PPPM 2013-2025 adalah sejajar dan telah tercapai.

(1339 patah perkataan)


Rujukan:

Yukl, G. (2008). How leaders influence organizational effectiveness. The Leadership Quarterly,


19(6), 708–722. https://doi.org/10.1016/j.leaqua.2008.09.008

Fleishman, E. A. (1973). Twenty years of consideration and structure. In E. A. Fleishman & J. G. Hunt (Eds.),
Current developments in the study of leadership (pp. 1–40). Carbondale, IL: Southern Illinois University
Press

Hussien Mahmud. (1993). Kepimpinan dan keberkesanan sekolah. Kuala Lumpur: DBP.

Muhammad Ahmad Isa. (2014). Mukjizat  sahih Nabi Muhammad s.a.w. PTS Trading.
http://www.mphonline.com/books.

You might also like