You are on page 1of 8

Amali 2

Tajuk: Sistem Pencernaan Haiwan

Tujuan: Untuk mengkaji sistem pencernaan bagi seekor tikus.

Pengenalan:

Sistem pencernaan merupakan satu kumpulan organ yang berfungsi untuk menukarkan
bahan makanan kepada tenaga dan nutrien bagi memenuhi keperluan badan dan
menyingkirkan bahan buangan. Bagi manusia, makanan bergerak akan melalui satu saluran
panjang dalam badan yang dikenali sebagai salur alimentari yang terdiri daripada rongga mulut,
kerongkong, esofagus, perut, usus kecil dan usus besar dan dubur. Sesetengah organ
mempunyai kelenjar tertentu untuk merembeskan enzim yang diperlukan untuk pencernaan.
Kelenjar yang terlibat dalam sistem pencernaan termasuklah kelenjar air liur, hati, pankreas
serta kelenjar pada dinding perut dan usus kecil. Dalam amali ini, suatu kajian terhadap sistem
pencernaan tikus dilaksanakan. Kaedah yang digunakan dalam melaksanakan amali ini adalah
melalui pembedahan tikus.

Bahan: Tikus, kloroform, kapas.

Alat radas: Pisau set pembedahan, bekas kedap udara, jarum peniti, sarung tangan, dulang
pembedahan berisi lilin, topeng muka.

Prosedur:
1) Kapas yang dibasahi dengan kloroform diletakkan ke dalam bekas kedap udara. Kemudian,
tikus diletakkan dalam bekas tersebut untuk dibius.

2) Tikus yang telah dibius diletakkan di atas dulang pembedahan berisi lilin dan jarum peniti
digunakan untuk menetapkan kedudukan tikus.

3) Kulit tikus dipisahkan dengan menggunakan forsep dan dipotong dari bahagian rahang tikus
sehingga ke bahagian dubur menggunakan gunting. Kemudian, kulit tikus ditarik dan
dipinkan di atas dulang pembedahan berisi lilin.

4) Langkah 3 diulangi ke atas tisu perantara yang menyelaputi organ dalaman dengan gunting
tumpul supaya organ dalaman tikus tidak diganggu.
5) Rongga toraks tikus digunting menggunakan gunting tumpul. Trakea dan esofagus tikus
dipisahkan secara perlahan-lahan menggunakan pisau.

6) Organ-organ yang tidak terlibat dalam proses pencernaan tikus seperti jantung, peparu dan
hati dikeluarkan daripada badan tikus.

7) Organ pencernaan tikus iaitu esofagus, perut, usus kecil dan usus besar disusun secara
teratur untuk menelitikan struktur setiap organ. Lapisan lemak pada organ tersebut
disingkirkan.

8) Sistem pencernaan tikus dilukis dan dilabelkan.


Keputusan:
Keputusan (Lukisan Saintifik):
Perbincangan:

Sistem pencernaan merupakan satu sistem yang terdiri daripada salur alimentari dan
kelenjar pencernaan. Sistem ini berfungsi bagi proses mengubahkan makanan dari saiz besar
kepada kecil serta memecahkan molekul makanan yang kompleks kepada bentuk yang ringkas
dengan mekanisme biokimia yang melibatkan organ-organ pencernaan dan enzim tertentu.
Pemecahan molekul makanan sehingga bentuk ringkas akan memudahkan penyerapan
makanan ke dalam badan dalam masa yang sama menyingkirkan sisa makanan.

Dalam amali yang dijalankan, kami dapat perhatikan bahawa tikus mempunyai sistem
pencernaan yang hampir sama dengan manusia. Saluran pencernaan tikus putih terdiri
daripada esofagus, perut, usus kecil, usus besar dan dubur. Esofagus merupakan satu saluran
berotot yang menyambungkan kerongkong (faring) dengan perut. Esofagus bersifat elastik dan
terletak di belakang trakea dan jantung. Perut berbentuk seperti kantung dan terletak di antara
esofagus dan duodenum. Usus kecil pula merupakan saluran panjang yang terdiri daripada tiga
bahagian iaitu duodenum, jejunum dan ileum. Seterusnya, usus besar adalah saluran
pencernaan yang mempunyai diameter yang lebih besar daripada usus kecil dan terdiri
daripada caecum, kolon dan rektum.

Secara umumnya, proses pencernaan tikus boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu
proses pencernaan secara mekanikal dan kimia. Proses pencernaan secara mekanik adalah
suatu proses di mana molekul makanan diubahkan daripada bentuk yang besar kepada bentuk
yang lebih kecil tanpa melibatkan tindak balas enzim. Sebaliknya, proses pencernaan secara
kimia pula adalah proses pemecahan molekul kompleks kepada bentuk ringkas dengan
tindakan enzim yang dirembeskan daripada kelenjar-kelenjar pencernaan.

Proses pencernaan makanan tikus bermula daripada mulut dan berakhir pada dubur.
Dalam mulut, makanan dikunyah secara mekanikal oleh gigi menjadi butiran yang bersaiz kecil.
Ini akan menambahkan luas permukaan yang terdedah untuk memudahkan tindakan enzim.
Pada masa yang sama, kelenjar air liur pada mulut akan merembeskan air liur yang
mengandungi enzim amilase liur. Enzim amilase liur bertindak untuk menghidrolisiskan kanji
kepada maltosa. Butiran-butiran makanan yang kecil akan membentuk satu gumpalan pepejal
iaitu bolus. Seterusnya, penelanan makanan berlaku dan makanan ditolak ke dalam esofagus.
Makanan akan bergerak melalui esofagus dan memasuki perut secara peristalsis iaitu
penguncupan dan pengenduran otot secara beritma.
Di dalam perut, kelenjar-kelenjar gaster di sekeliling dinding perut akan menghasilkan
jus gaster yang mengandungi asid hidroklorik, enzim renin dan pepsin. Asid hidroklorik yang
merupakan asid kuat akan bertindak untuk membunuh kuman yang hadir di dalam makanan
dan juga menyediakan keadaan pH berasid yang sesuai untuk tindakan enzim renin dan
pepsin. Tindakan enzim amilase liur dalam hidrolisis kanji akan berhenti apabila makanan
memasuki perut kerana ia tidak aktif dalam keadaan berasid Pemecahan molekul protein
bermula daripada perut dengan tindakan enzim renin dan pepsin. Enzim renin berfungsi untuk
mengentalkan susu dengan menukarkan kaseinogen menjadi kasein manakala enzim pepsin
pula menghidrolisis protein menjadi pepton dan polipeptida. Makanan akan berada di dalam
perut selama kira-kira 4 jam dan akan memasuki ke bahagian awal usus kecil iaitu duodenum
dalam bentuk separa cecair yang dikenali sebagai kim.

Di duodenum, terdapat jus pankreas daripada pankreas. Jus pankreas diangkut dari
pankreas melalui duktus pankreas dan mengandungi tiga jenis enzim iaitu amilase, tripsin dan
lipase. Enzim amilase akan bertindak ke atas kanji yang belum dihidrolisiskan di dalam mulut
dan membentuk maltosa. Enzim tripsin pula menghidrolisiskan pepton dan polipeptida menjadi
peptida. Bagi enzim lipase pula, ia akan menghidrolisiskan lemak atau minyak menjadi asid
lemak dan gliserol yang merupakan bentuk paling ringkas.

Selain jus pankreas dan hempedu, di sepanjang dinding usus kecil juga terdapat banyak
kelenjar usus yang menghasilkan jus usus yang bersifat alkali. Jus usus mengandungi enzim
erepsin (peptidase), maltase, sukrase, dan laktase. Enzim erepsin akan menghidrolisiskan
peptida menjadi asid amino. Enzim maltase pula akan menghidrolisiskan maltosa menjadi
glukosa, sukrase menghidrolisiskan sukrosa menjadi glukosa dan fruktosa dan laktase
menghidrolisiskan laktosa menjadi glukosa dan galaktosa. Gula ringkas, asid lemak dan gliserol
merupakan hasil akhir pencernaan dalam akan diserap ke dalam badan melalui usus kecil.
Permukaan usus kecil mempunyai unjuran berbentuk jari yang dinamakan vilus. Setiap vilus
mempunyai jaringan kapilari darah dan tengah-tengahnya terdapat satu lakteal. Gula ringkas
dan asid amino akan diserap ke dalam kapilari darah manakala asid lemak dan gliserol akan
diserap ke dalam lakteal.

Daripada usus kecil, sisa makanan yang tidak dicerna akan disalurkan ke usus besar.
Dalam usus besar, penyerapan air akan berlaku dan ini menyebabkan sisa makanan mengeras
dan membentuk tinja. Tinja akan disimpan di dalam rektum untuk sementara waktu. Apabila
rektum dipenuhi, proses penyahtinjaan akan berlaku di mana tinja akan dikeluarkan melalui
dubur dengan pengecutan dinding rektum. Selain itu, caecum dalam usus besar tikus
mempunyai bakteria yang menghasilkan enzim selulase untuk memecahkan molekul selulosa
yang terdapat dalam tumbuhan. Hasil pemecahan molekul selulosa akan terus diserap kepada
salur darah.

Melalui amali ini, kami dapat perhatikan bahawa terdapat beberapa perbezaan antara
sistem pencernaan manusia dan tikus. Perbezaan yang pertama ialah tikus tidak mempunyai
hempedu untuk proses pengemulsian lemak seperti dalam sistem pencernaan manusia. Ini
kerana tikus putih jarang mengambil makanan dengan kandungan lemak yang tinggi, oleh itu
proses emulsi lemak adalah tidak diperlukan dalam sistem pencernaan tikus. Perbezaan yang
kedua ialah tikus mempunyai caecum di antara usus kecil dan kolon. Caecum membantu dalam
penghasilan enzim selulase untuk memecahkan molekul selulosa yang terdapat dalam bijirin.

Dalam amali ini, terdapat beberapa langkah berjaga-jaga yang perlu diberi perhatian.
Pertama sekali, sebelum memulakan pembedahan tikus, kita harus memakai sarung tangan
dan topeng muka untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti dengan bakteria daripada badan
tikus. Seterusnya, peralatan pembedahan yang telah digunakan haruslah diasingkan dan
dibersihkan serta disterilkan selepas amali tamat. Akhir sekali, kita juga haruslah mengendali
peralatan pembedahan dengan baik agar organ dalaman tikus adalah sempurna dan mudah
untuk diamati.
Soalan Perbincangan:

1) Seorang pelajar telah memakan nasi dan ayam goreng semasa makan malamnya.
Bincangkan apa yang berlaku pada struktur ileum.

Dinding ileum mempunyai struktur berlipat dan mempunyai unjuran kecil iaitu vilus.
Setiap vilus mempunyai mikrovilus yang lebih halus, dikeliling dengan jaringan kapilari darah
serta mempunyai lakteal di tengah-tengahnya.

Berdasarkan situasi pelajar di atas, nasi adalah makanan yang mempunyai kanji.
Apabila sampai ke bahagian ileum, kanji dalam nasi mungkin belum dihidrolisiskan kepada
molekul yang teringkas. Dalam bahagian ini, dinding ileum akan merembeskan enzim
maltase, sukrase dan laktase untuk menghidrolisiskan disakarida kepada gula ringkas. Gula
ringkas ini akan menyerap masuk ke dalam badan melalui kapilari darah di sekeliling vilus.

Bagi ayam goreng pula, nutrien makanan yang ada padanya terdiri daripada protein dan
lemak. Di ileum, sekiranya protein dan lemak tidak dipecahkan kepada molekul teringkas
untuk penyerapan, enzim erepsin dan enzim lipase akan dirembeskan untuk proses
pemecahan molekul ini. Enzim erepsin akan menghidrolisiskan peptida kepada asid amino
manakala enzim lipase pula akan menghidrolisiskan lemak atau minyak kepada asid lemak
dan gliserol. Asid amino yang dihasilkan akan meresap masuk ke dalam kapilari darah.
Sebaliknya, resapan asid lemak dan gliserol berlaku di lakteal.

Kesimpulan: Sistem pencernaan tikus terdiri daripada mulut, esofagus, perut, usus kecil, usus
besar dan dubur.

Rujukan
Lee, C & J. Arunasalam. (2006). Longman biology matriculation study guide semester 1.
Petaling Jaya: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Hamdan bin Mohd. Noor, Quek, Y.H., Choo, Y.T, Manoharan a/l Palaniappan, Wahida binti
Abdullah & Kee, B.S. (2002). Biologi. Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Balentine, J. R. (n.d.). The digestion process. Diakses daripada


https://www.medicinenet.com/the_digestion_process_organs_and_functions/article.htm#
digestion_definition

You might also like