You are on page 1of 2

Soalan 103: Huraikan cabaran dan strategi utama Negara Malaysia dalam usaha merealisasikan wawasan

2020

Pengenalan

   Wawasan 2020 merupakan gagasan negara untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang
tahun 2020. Idea wawasan ini telah dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat, iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad.
Matlamat Wawasan 2020 adalah untuk menjadikan negara ini sebagai sesebuah negara industri yang maju dan
setanding dengan negara-negara maju yang lain.
   Terdapat beberapa perkara asas yang perlu dititik beratkan untuk mencapai kemajuan bersepadu seperti
perpaduan rakyat, kestabilan politik, ketinggian taraf hidup, kekukuhan nilai moral dan etika, kekukuhan sistem
kerajaan, ketinggian maruah bangsa serta semangat yakin diri bangsanya. Terdapat Sembilan cabaran yang perlu
dihadapi oleh negara Malaysia bagi merealisasikan Wawasan 2020.

Isi-isi Penting:

a.      Cabaran yang pertama ialah membina bangsa Malaysia yang bersatu padu. Malaysia menjadi negara
yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum dengan rakyat hidup dalam harmoni, bekerjasama
sepenuhnya secara adil serta didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi
kepada negara. Asas kekuatan penting untuk kejayaan sesebuah negara ialah perpaduan yang menjadi cabaran
pertama Wawasan 2020. Semua ini telah dilakukan melalui pelbagai dasar kerajaan sepanjang tiga dekad lalu seperti
Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan
Dasar Pembangunan Nasional sebagai usaha mewujudkan perpaduan kaum dan rakyat yang beridentitikan Malaysia.

b.      Cabaran kedua ialah membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram, dan keyakinan. Masyarakat
Malaysia mesti dapat dikenali melalui usaha untuk mencapai kecemerlangan, sedar terhadap semua kemampuan
yang ada, tidak mudah mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat negara lain. Masyarakat Malaysia perlu
berbangga dengan pencapaian dan berani menghadapi pelbagai masalah. Rakyat Malaysia yang memiliki dan
menghayati ciri-ciri tersebut akan menjadi sebuah bangsa gagah yang sentiasa berusaha untuk memajukan negara
sehingga dapat mengangkat martabat bangsa dan negara di persada antarabangsa serta mampu mematahkan
serangan musuh dengan mudah.

c.      Seterusnya, memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang. Malaysia perlu


mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang dan prinsip demokrasi yang menjadi amalan boleh dijadikan
contoh oleh kebanyakan negara membangun yang lain. Sebuah masyarakat yang matang dapat dilahirkan sekiranya
dipupuk dan dibina. Masyarakat demokratik memiliki kebebasan untuk memilih kerajaan. Rakyat yang rasional akan
menggunakan hak-hak demokrasi dengan bijak. Perasaan tidak puas hati dan teguran disalurkan melalui saluran
tertentu secara berhemah dan bersifat membina.

d.      Selain itu, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika bagi merealisasikan
Wawasan 2020. Etika melibatkan tingkah laku atau perangai yang berkait rapat dengan tabiat dan kelakuan manusia.
Tabiat dibina di atas tiga unsur, iaitu ilmu, kemahiran, dan keinginan. Bagi membentuk etika yang baik, seseorang
perlu mempunyai ilmu pengetahuan, kemahiran, dan keinginan yang tinggi. Ketiga-tiga unsur penting itu perlu 
diasah dan dipupuk sekaligus dihayati bagi melahirkan rakyat Malaysia yang dinamik dan berusaha untuk
meningkatkan hasil kerja yang cemerlang. Kepatuhan kepada agama, pengamalan budaya dan tradisi yang cemerlang,
keberkesanan sistem pendidikan, dan keunggulan sistem kekeluargaan juga menjadi sumber untuk membina sebuah
masyarakat yang bermoral dan beretika. Falsafah Pendidikan Negara contohnya, bertujuan untuk melahirkan
masyarakat berilmu, berakhlak, seimbang dan harmonis.

e.      Cabaran yang kelima ialah mewujudkan masyarakat yang matang, liberal, dan
bertolenrasi. Masyarakat yang matang mampu berfikir secara rasional dan tidak bertindak secara melulu. Mereka
akan membebaskan diri daripada fahaman sempit dan berfikiran terbuka  menerima perubahan dan pandangan
orang lain. Masyarakat yang bertolenrasi dapat digambarkan melalui kebebasan yang dianuti oleh setiap rakyat
untuk mengamalkan adat resam, kepercayaan, dan kebudayaan masing-masing tanpa menjejaskan kesetiaan kepada
negara. Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan  dan Akta Bahasa Kebangsaan merupakan
langkah ke arah mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertolenrasi.

f.       Seterusnya, Malaysia perlu mewujudkan masyarakat yang maju dan saintifik.       Masyarakat maju ialah
masyarakat progresif yang dapat menyerap segala perubahan persekitaran agar dapat mencapai kecemerlangan.
Masyarakat yang maju tidak boleh terpisah daripada masyarakat saintifik. Penguasaan ilmu pengetahuan
berunsurkan sains dan teknologi merupakan ukuran kemajuan sesuatu bangsa. Masyarakat yang maju dan saintifik
mempunyai budaya ilmu yang menjana produktiviti, kreativiti dan inovatif. Malaysia seharusnya mempunyai daya
perubahan tinggi dan memandang ke hadapan dan turut sama menyumbang kepada tamadun saintik dan teknologi
masa depan.
g.      Cabaran ketujuh ialah mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang. Hal ini merujuk kepada sistem
sosial yang meletakkan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan individu dan kebajikan insan tidak berkisar
kepada negara atau individu, tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh.Masyarakat penyayang akan hidup
muafakat, saling memahami, hormat menghormati dan saling membantu antara satu sama lain. Masyarakat
berbudaya penyayang mengutamakan kepentingan masyarakat melebihi kepentingan diri sendiri.Asas pembentukan
masyarakat penyayang ialah kepatuhan kepada agama, kasih sayang dalam kekeluargaan dan amalan nilai-nilai
murni. Hubungan sesama manusia dalam masyarakat juga ditekankan dalam agama.Kasih sayang dalam masyarakat
bermula daripada kasih sayang yang terjalin dalam keluarga. Hubungan baik sesama manusia amat ditekankan dalam
agama. Budaya tradisi yang penuh dengan nilai-nilai murni perlu ditonjolkan dan dihayati semula untuk memupuk
masyarakat yang bersifat penyayang.

h.      Cabaran seterusnya ialah menjamin masyarakat yang adil dan saksama dalam bidang
ekonomi. Pengagihan kekayaan negara dilaksanakan secara adil dan saksama dengan mewujudkan perkongsian
secara bersama dalam segenap masyarakat. Masyarakat yang dibentuk itu akan menghapuskan pengenalan kaum
yang berdasarkan fungsi ekonomi yang diwarisi dari zaman penjajah serta kemunduran kaum dari sudut ekonomi.
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan ekonomi untuk menjamin keadilan ekonomi dan
meningkatkan taraf hidup rakyat seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan Rancangan
Pembangunan Lima Tahun.

i.      Cabaran yang terakhir ialah memupuk dan membina masyarakat yang makmur. Masyarakat yang makmur ialah
masyarakat yang hidup dalam kemewahan dan mempunyai taraf hidup yang tinggi. Masyarakat makmur juga
bermaksud tidak ada anggota masyarakat yang hidup dalam kemiskinan. Pendapatan isi rumah dan pendapatan
negara juga berada pada tahap yang tinggi. Malaysia perlu mempunyai kekuatan ekonomi untuk bersaing, dinamik,
giat, dan kental dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang untuk menjadi masyarakat yang makmur.

Kesimpulan

   Kesimpulannya, Wawasan 2020 akan terus memacu kemajuan negara. Dasar-dasar kerajaan adalah
bertujuan merealisasikan Wawasan 2020.

   Kesejahteraan rakyat yang menjadi agenda utama pembangunan negara dapat dicapai dengan keadilan
ekonomi dan perpaduan negara.

You might also like