You are on page 1of 10

5.

0 AKHLAK ISLAM

Pengertian akhlak :
Perkataan akhlak berasal daripada al-akhlak, iaitu kata jamak daripada perkataan al-khuluq
beerti tabiat, kelakuan, perangai, tingkah laku, maruah, adat kebiasaan, malah ia juga beerti
agama itu sendiri.

Firman Allah SWT yang bermaksud :”Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) benar-benar
berbudi pekerti yang agung” Al Qalam :4

5.1 Perbezaan Etika, Moral dan Akhlak


Etika berasal daripada perkataan Yunani ‘ethikos’ daripada ‘etho” yang membawa erti adat
kebiasaan , perangai dan sebagainya. Kedua-dua istilah ini bermaksud tatasusila, peraturan-
peraturan atau norma-norma yang mengukur tentang baik buruknya, salah dan betulnya
sesuatu perbuatan manusia. Ia merupakan tindakan lahiriah manusia dalam perhubungan
sesama manusia berdasarkan pemikiran dan pandangan umum dalam sesuatu kumpulan,
masyarakat, pada sesuatu masa dan tempat yang tertentu. Nilai-nilainya bersifah
sementara, boleh berubah mengikut sesuatu lingkungan pemikiran, suasana dan tempat.

Moral berasal daripada bahasa Latin “moralis”atau mores iaitu jamak daripada “mos” yang
bererti kebiasaan iaitu perbuatan, budi pekerti atau perangai. Dictionary of education men
jelaskan moral ialah istilah yang digunakan untuk menentukan batas-batas daripada sifat,
perangai, kehendak, pendapat atau perbuatan yang secara layak dapat dikatakan benar,
salah, baik dan buruk. Nilai moral ditentukan oleh masyarakat dan keperibadian manusia
yang mulia.

Akhlak pula ialah suatu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan perilaku atau
perbuatan manusia dalam membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada
prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ia juga adalah suatu sistem yang
menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat
dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia
dengan haiwan, dengan malaikat, jin dan juga alam sekitar.

5.2 Skop Akhlak


1. Mutlak dan menyeluruh, tidak boleh dipinda atau diubah. Mesti diamalkan oleh semua
individu tanpa mengira keturunan, pangkat dan kedudukan dan pada setiap masa dan ketika
dan bagi semua aspek kehidupan manusia.
2. Merangkumi semua aspek kemanusiaan. Ditinjau daripada sudut kejadian manusia yang
dibekalkan dengan pelbagai naluri, akhlak Islamiah adalah merangkumi semua aspek
kemanusiaan, rohaniah, jasmaniah dan aqliah, sesuai dengan semua tuntutan naluri dalam
usaha mengawal sifat-sifat tercela( sifat mazmumah) untuk kesempurnaan insan, bukan
untuk meneykat kebebasan peribadi seseorang.
3. Bersifat sederhana dan seimbang. Tuntutan akhlak dalam Islam adalah sederhana, tidak
membebankan sehingga menjadi pasif dan tidak pula membiarkan bebas sehingga
menimbulkan bahaya dan kerosakan.
4.Mencakupi suruhan dan larangan bagi kebaikan manusia. Perlaksanaan akhlak Islam
berkait dengan mematuhi suruhan dan larangan untuk kebaikan manusia.
5. Bersih dalam perlaksanaan. Untuk mencapai kebaikan, akhlak Islamiah memerintah
supaya cara dan metode perlaksanaan sesuatu perbuatan dan tindakan itu hendaklah
dengan cara yang baik dan saluran yang benar yang telah ditetapkan dengan akhlak
Islamiah. Islam tidak membenarkan “matlamat menghalalkan cara”
6. Seimbang antara tuntutan rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Akhlak dalam Islam
membawa keseimbangan bagi tuntutan-tuntutan reality hidup antara rohaniah dan
jasmaniah serta aqliah, dan antara kehidupan dunia dan kehidupan akhirat sesuai dengan
tabii manusia itu sendiri.

5.3 Mahmudah Dan Mazmumah


Akhlak-akhlak mahmudah ialah :
1. Taubat. Iaitu kembali kepada Allah SWT. Tiga perkara syarat taubat :
i. Menyesali perbuatan maksiat
ii. Meninggalkan perbuatan maksiat
iii. Bercita-cita untuk tidak kembali

Sekiranya maksiat tidak meninggalkan amalan fardhu dan tidak bergantung


kepada manusia. Sekiranya berkait dengan amalan fardhu, maka wajiblah dia
mengqadha’ nya. Jika maksiat berkaitan dengan manusia, wajiblah dia
memohon maaf dan memulangkan harta sekiranya mencuri. Sekiranya tidak
mampu memulangkan semula yang dicuri, serta pemilik tidak menghalalkan,
maka seseorang itu perlu bersungguh-sungguh memohon kepada Allah SWT
semoga pemilik harta itu meredhai dirinya pada hari kiamat.

Taubat yang diterima ialah taubat yang dibuat sebelum nyawa sampai ke
halkum atau sebelum matahari terbiyt dari sebelah barat.

Masalah yang menghalang seseorang dari bertaubat ialah kerana maksiat itu
sudah menjadi kebiasaan yang sukar di tinggalkan. Ubatnya ialah empat
perkara : mengingati balasan daripada Allah atas perbuatan maksiat itu
sentiasa mendekat, memikirkan mudarat yang akan diperolehi akibat
maksiat, memikirkan kematian boleh berlaku pada bila-bila masa dan yang
keempat mengingati bahawa Allah SWT tidak memaafklan orang yang
menangguhkan taubat.

Manusia juga sering lalai terhadap dosa kecil sedangkan dosa kecil akan
menjadi dosa besar dengan sebab :
i. Menganggap dosa kecil tidak penting untuk dihindarakan
ii. Bila seseorang berasa suka dan gembira melakukannya
iii. Apabila menyangka Allah tidak murka ada dosa kecil yang
dilakukannya kerana merasa mulia di sisi Allah
iv. Mengerjakannya secara terang-terangan dan menzahirkan dosa.

2. Takut kepada Allah.


Rasa takut kepada Allah kerana melakukan dosa atau kerana mengenali sifat2 Allah.
Semakin seseorang mengenali Allah, maka semakin takutlah kepada Allah SWT.

Orang yang takut kepada Allah mempunyai empat kebaikan :


i. Mendapat petunjuk Allah
ii. Mendapat rahmat daripada Allah SWT
iii. Berilmu pengetahuan
iv. Allah SWT redha kepadanya.

Cara untuk menjadi orang yang takut kepada Allah SWT :


i. Menambah ilmu pengetahuan tentang kebesaran Allah dan kekayaannya.
ii. Melihat kepada orang takut kepada Allah, cuba kelakuan dan tindak tanduk
mereka untuk menyedarkan diri sendiri perlunya takut kpd Allah .

Persaan takut itu perlulah disertakan dengan pengharapan kepada Allah agar diberi
rahmatNya atas keyakinan kepada keadilan dan sifat kasih sayangNya yang maha luas.

Kategori takut itu ada tiga :


i. Bagi orang yang sentiasa melakukan dosa dan maksiat, takut perlu lebih banyak
daripada mengharap rahmat.
ii. Bagi orang yang taat dan tidak melakukan maksiat, takut dan mengharap sama
banyak.
iii. Bagi orang yang menghampiri mati, maka mengharap rahmat dan berbaik sangka
kepada Allah lebih utama.
3. Zuhud. Bencikan dunia dan berpaling daripadanya. Ada ulamak mengatakan zuhud
berrmaksud menyimpan barang sekadar memenuhi keperluan shj. Zuhud
menyebabkan seseorang itu kasigh kepada Allah SWT dan seluruh makhluk.
Kunci bagi menjadikan seseorang zuhud ialah mempunyai ilmu pengetahuan. Peringkat
zuhud .
Tiga perkara yang menyebabkan zuhud :
i. Takut terhadap seksaan api neraka, zuhud bagi org yg takut kepada Allah SWT.
ii. Suka pada nikmat akhirat
iii. Membesarkan Allah SWT dan menghina pada sesuatu yang lain daripadaNya.

Perbezaan antara zuhud dan fakir.


Zuhud adalah sifat seseorang yang terasing daripada dunia kerana taat, tetapi dia berada
dalam keadaan mampu menjalani kehidupan dunia dengan penuh kesenangan. Namun
sekiranya seorang itu terasing daripada dunia ketika dia gemar dengan kehidupan yang
penuh kesenangan, tetapi tidak mampu mendapatkannya, maka itu dinamakan fakir.
4. Sabar. Sabar ialah menahan diri daripada marah pada sesuatu perkara yang tidak
disukai dan menahan lidah daripada mengadu kepada selain Allah SWT.
Menurut Imam Al Ghazali di dalam Kitab nya Al Arbain, sabar itu ialah ketetapan berpegang
kepada agama bagi melawan setiap perkara yang membangkitkan keinginan nafsu. Di
dalam diri manusia terdapat dua unsur yang sering berlawanan antara satu sama lain.
Setiap muslim perlu bersabar dalam kehidupannya, sama ada dalam mengerjakan ketaatan
yang wajib seperti solat, ataupun meninggallkan maksiat, ataupun menghadapi ujian dan
bala bencana. Hukum bersabar ialah fardhu ain atas setiap mukallaf.

Kelebihan orang=orang yang sabar :


i. Diampunkan dosa-dosanya oleh Allah SWT
ii. Mendapat rahmat Allah SWT
iii. Diberi ganjaran pahala daripada Allah SWT
iv. Menjadi ikutan bagi orang ramai
v. Mendapat pertolongan daripada Allah SWT.

Sabar ada tiga peringkat :


i. Peringkat yang tinggi dan kuat dalam melawan serta menghina setiap perkara
yang menyeru kea rah keinginan nafsu sehingga tidak tinggal sedikit pun
untuknya kekuatan bagi mengerjakan keinginan nafsu itu. Peringkat ini hanya
dapat dicapai melalui istiqamah iaitu mengekalkan sabar secara berterusan serta
bersungguh-sungguh.
ii. Peringkat yang lebih rendah , iaitu seseorang yang mengikut kehendak nafsunya
serta tidak mempunyai ketetapan dalam agama. Diri mereka dikuasai oleh hawa
nafsu dan hati mereka menyerah diri kepada syaitan. Allah SWT mensifatkan
mereka di dalam Al Quran :
“ Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan semua jin
dan manusia ( yang pada masa hidupnya tidak berusaha untuk beriman dan
beramal soleh.”
As Sajdah : 13

Tanda orang yang begini apabila seseorang berkata , “Aku ingin bertaubat tetapi
aku siudah uzur. Maka aku tidak bersungguh-sungguh padanya. “ Orang yang
berputus asa ini adalah orang yang binasa”
iii. Peringkat yang ketiga ialah peringkat pertengahan. Iaitu mereka yang tidak
lemah dalam peperangan dan tetap pendiriannya dalam agama bagi melawan
setiap perkara yang membangkitkan hawa nafsu. Kadang-kadang menang dan
kadang-kadang kalah. Mereka ini adalah golongan yang bersungguh-sungguh.

Jenis-jenis sabar :
i. Sabar mengerjakan ketaatan
ii. Sabar meninggalkan maksiat
iii. Sabar ketika disakiti dengan tidak membalasnya
iv. Sabar ketika ditimpa musibah

5. Syukur. Sifat syukur ialah apabila seseorang hamba menerima segala nikmat
kurniaan Allah SWT yang dianugerahkan kepadanya seperti pendengaran,
penglihatan, kaki, tangan dan sebagainya kepada perkara yang baik. Seperti
menggunakan telinga untuk mendengar ayat-ayat Al Quran dan hadith serta ilmu
yang memberi manfaat. Menggunakan kaki melangkah ke masjid dan mengerjakan
ibadat haji.
Sifat syukur mengatasi sifat sabar, zuhud, takut dan sebagaainya. Kerana sifat syukur
ada di syurga sementara sifat sabar, zuhud dan takut tidak ada lagi di syurga.

Di dalam sifat syukur ada tiga perkara :


i. Ilmu, syukur dengan ilmu adalah dengan mengetahui bahawa segala nikmat
datangnya daripada Allah SWT, tidak ada yang lain. Jikalau kita melihat nikmat
itu datangnya daripada makhluk, ia hanya sebagai penyebab kerana Allah SWT
menzahirkan nikmat itu daripadanya. Hakikatnya nikmat itu daripada Allah SWT.
ii. Perbuatan. Syukur dengan perbuatan adalah kita suka dengan Allah SWT yang
memberi nikmat serta kita mengagungkanNya dan menghinakan diri sendiri.
iii. Pekerjaan. Syukur dengan pekerjaan ialah menggunakan nikmat itu pada
perkara yang disuruh oleh Allah SWT, bukan pada perkara yang dilarangNya.
Seperti menggunakan mata untuk melihat Al quran dan hadith dan buku-buku
bermanfaat.
Apabila kita mengetahui sesuatu perkara itu mempunyai hikmah dan disukai Allah SWT,
maka kita sepatutnya melakukan pekerjaan itu. Cara bersyukur juga ialh dengan cara
mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Syukur tidak sempurna melainkan orang yang
melakukannya ikhlas kerana Allah SWT tanpa sebab lain.

6. Ikhlas. Ikhlas ialah sifat mengesakan Allah SWT dalam setiap ketaatan . Iaitu
seseorang itu melakukan segala ketaatan demi mendapatkan kasih saying Allah SWT
dan tiada sebab yang lain seperti pujian manusia, harta benda, dimuliakan dan lain-
lain yang membawa kepada keduniaan.
Ikhlas mempunyai tiga peringkat :
i. Ikhlas yang tinggi. Apabila seseorang hamba mengerjakan ibadah hanya kerana
menjunjung perintah Allah SWT.
ii. Ikhlas pertengahan, apabila seseorang mengerjakan ibadah kerana menuntut
pahala dan melepaskan diri daripada seksaan neraka.
iii. Ikhlas yang lebih rendah, apabila mengerjakan ibadah dengan harapan Allah
memuliakannya di dunia dan selamat daripada kebinasaan. Contoh membaca
surah Al Waqi’ah dengan niat dimurahkan rezeki.

Imam Al Ghazali mengatakan ikhlas ada tiga rukun:


i. Asal, iaitu niat kerana Allah
ii. Hakikat, menafikan percampuran dalam niat
iii. Kesempurnaan, iaitu benar. Benar mempunyai enam p[eringkat , sesiapa yang
dapat mencapai kesemua peringkat dikira sebagai orang yang benar.
a. Benar pada setiap perkataan dan kelakuan.
b. Benar pada niat, iaitu menyeru kepada kebajikan dan tidak bercampur
dengan menyeru kepada kejahatan.
c. Benar pada cita-cita, cita-cita yang kuat dan tidak ragu-ragu
d. Benar dalam menyempurnakan cita-cita. Bersungguh-sungguh melaksanakan
apa yang dicita-citakan.
e. Benar dalam pekerjaan. Apa yang di dalam hati dizahirkan melalui
perbuatan. Apa yang dizahirkan itu memang ada di dalam hati.
f. Benar pada batin seperti takut, sabar,tawakal. Sifat itu menjadi tabiatnya.
7. Tawakal. Sifat tawakal adalah percaya dengan Allah SWT dan yakin setiap qada itu
ditetapkan olehNya. Tawakal juga adalah apa sahaja perkara yang mengikut sunnah
Rasulullah SAW serta berusaha bagi mencari rezeki hidup seperti makanan,
minuman, pakaian dan memelihara diri daripada musuh seperti apa yang dilakukan
oleh para nabi. Tawakal adalah satu perkara yang dipuji, kerana Allah SWT kasih
kepada orang yang bersifat tawakal. Surah Ali Imran, ayat 159.
Tawakal adalah satu perkara yang disuruh. Kadang kala ia menjadi wajib dan kadang-
kadang ia menjadi sunat. Allah SWT memberi jaminan kepada orang yang bertawakal akan
diberi pertolongan dan keselamatan oleh Allah SWT kerana Allah SWT berkuasa menjauhkan
kita daripada kesusahan. Orang yang bertawakal juga dikasihi Allah SWT.

Rukun tawakal ada tiga iaitu :


i. Tauhid , iaitu mempercayai dengan sebenar-benarnya tiada tuhan yang berhak
disembah melainkan Allah SWT, yang maha esa, tiada yang menyekutuinya.
Pujian hanya layak diberikan kepada Allah dan semua kekuasaan adalah milik
Allah SWT. Tauhid adalah asas kepada tawakal kerana tawakal hanya lahir
daripada orang yang benar-benar yakin kepada Allah SWT.
ii. Perbuatan, iaitu percaya kepada Allah SWT dengan yakin dan menyerahkan
segala pekerjaan kepadaNya dan tidak mengharap kepada selain Allah SWT.
iii. Pekerjaan. Orang yang bodoh akan menyangka syarat tawakal itu adalah dengan
meninggalkan usaha. Malah meninggalkan perubatan apabila terkena wabak
atau sakit dan menyerahkan diri kepada perkara yang boleh membinasakan, iaitu
menerima apa sahaja yang berlaku keatas diri sendiri tanpa usaha. Ia salah
kerana sikap itu dilarang oleh syarak.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung
dosa kejahatan yang diusahakannya.”
8. Kasih kepada Allah.
Kasih kepada Allah adalah sifat yang sangat dipuji dan tinggi nilainya di sisi syarak.
Orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang sangat mencintai Allah.
Ulamak bersepakat bahawa kasih kepada Allah SWT dan rasul adalah perkara fardhu.
Rasulullah SAW menyebutkan bahawa kasih kepada Allah SWT adalah syarat iman .

Dua perkara yang menyebabkan kita perlu kasih :


i. Berbuat baik. Kita perlu mengasihi Allah SWT kerana hanya Dia yang
memberikan kebaikan kepada kita, segala kebaikan yang kita dapat
datangnya daripada Allah SWT. Jika ada orang yang berbuat baik kepada kita,
ini kerana dia mendapat petunjuk daripada Allah SWT.
ii. Keelokan. Semua keelokan pada diri kita dan seluruh alam adalah datangnya
daripada Allah SWT.
Cara untuk mengasihi Allah SWT :
i. Mendahulukan setiap pekerjaan yang diperintahkan oleh Allah SWT berbanding
pekerjaan yang disukai oleh nafsunya.
ii. Rindu untuk bertemu dengan Allah SWT. Dia tidak benci kepada kematian.
iii. Redha dengan qada’ Allah SWT
iv. Benci terhadap dunia kerana dunia itu melalaikan dirinya daripada mengingati
Allah SWT. Maksudnya tidak menyukai perkara yang bersifat keduniaan semata-
mata.

Orang yang mengenali Allah nescaya akan kasih kepada Allah SWT.

9. Redha dengan qada. Bermaksud gembira dengan segala yang dikehendaki Allah SWT
dan tidak menyangkal segala yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada hambaNya.
Namun bukanlah bermaksud tidak berasa sakit ketika ditimpa bala dan
meninggalkan doa, berubat ataupun membiarkan mudarat datang kepada kita
sedangkan kita mampu menolaknya.

Redha dengan qada bermaksud :


1. mengerjakan sesuatu yang diperintahkan Allah SWT dengan mengikut sebab-
sebabnya (peraturan alam/sunnatullah). Sekiranya kita meninggalkan setiap
sebab itu, makai a menyalahi konsep redha Allah SWT. Contohnya dahaga, tetapi
tidak berusaha untuk mencari air untuk minum menghilangkan dahaga. Namun
tidak dikira redha krepada Allah SWT jika usaha itu adalah dengan melakukan
perkara yang dilarang Allah SWT.
2. mematuhi ketetapan Allah tentang halal dan haram sesuatu perkara serta tidak
redha kepada perlakuan kufur dan maksiat.
3. Tidak mempersoalkan ketentuan Allah tentang sesuatu peristiwa atau kejadian
dan dia meyakini Allah maha adil dan setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.

10. Mengingati mati. Penyebab menambah dan memperbanyakkan amal ibadah serta
penyebab bagi mengurangkan keduniaan.

Mati adalah suatu keadaan huru-hara yang besar. Namun padanya terdapat
manfaat yang besar ini kerana keadaan ini boleh menyebabkan kita menjauhkan
dunia dan merindukan akhirat. Manakala lalai daripada mengingati kematian
menyebabkan seseorang itu panjang angan-angan , kasih pada dunia serta jahil
tentang ilmu.

Pendek angan-angan adalah kelakuan yang terpuji kerana ia adalah persediaan


kepada mati. Manusia berbeza-beza angan-angannya tentang kehidupan, ada yang
berangan-angan dipanjangkan umur hingga hidup 1000 tahun.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Hati seseorang yang sudah berusia
tetap muda dalam kecintaannya terhadap dua perkara iaitu ingin hidup dengan lebih
lama dan cintakan harta.”
Hadis direkodkan Muslim dan Ibnu Majah

Ada juga manusia yang sentiasa merasakan umurnya tidak Panjang maka faedahnya
ialah dia segera dalam mengerjakan amal ibadah, dia sentiasa bersedia menghadapi
kematian pada pagi dan petang dengan berbekalkan taubat dana mal ibadah yang
baik. Sekiranya mereka hidup hingga ke petang, maka mereka akan bersyukur
kepada Allah SWT kerana dapat mengerjakan ketaatan kepadaNya dan berasa
gembira kerana hari itu tidak berlalu dengan sia-sia. Kemudian mereka mula
bersedia dari petang hingga ke waktu pagi, maka mereka bersyukur kepada Allah
kerana dapat mengerjakan ketaatan kepada Allah. Jadi kehidupan orang yang
mengingati mati sangatlah produktif. Jika mati , mereka dalam keadaan bersedia, jika
masih terus hidup, hidup mereka sentiasa terisi dengan perkara yang bermanfaat,

Akhlak-akhlak mazmumah ialah :


1. Banyak makan /kekenyangan. Kekenyangan menyebabkan tiada kenikmatan
menegrjakan ibadah, menambah keinginan nafsu, hilang rasa kasihan kepada orang
miskin kerana tidak tahu macamana keadaan orang yang lapar dan menyangka
semua orang kenyang, lemah untuk mengingat ilmu yang memberi manfaat, orang
yang kekenyangan akan asyik keluar masuk tandas sedangkan sepatutnya dia keluar
masuk masjid.
2. Banyak berkata-kata, apabila seseorang banyak berkata-kata, sudah tentu perkataan
yang keluar daripada mulutnya hanya perkataan yang sia-sia. Maka ini bukan sahaja
menyebabkan hati menjadi gelap, bahkan banyak berkata-kata boleh menyebabkan
hati mati, keran itulah Rasulullah SAW memberi peringatan terhadap lidah. Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud :”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari
kiamat, maka dia perlu bercakap perkara yang baik ataupun hendaklah diam.”
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Perkara buruk yang lahir akibat banyak berkata-kata ialah berdusta, mengumpat,
berbantah-bantah (berlawan cakap), melawak berlebihan, memuji yang membawa
kebinasaan.

3. Marah
Marah adalah sifat tercela yang membawa banyak kebinasaan. Marah jika
diturutkan akan mendorong anggota zahir untuk memukul, memaki, membunuh,
berdendam, dengki dan mengharapkan orang yang dimarahi itu mendapat bala.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : “ Bukanlah kekuatan itu dengan merebahkan
beberapa orang lelaki, tetapi yang kuat itu adalah apabila seseorang itu memiliki
dirinya (boleh mengawal dirinya) ketika marah.
Hadis riwayat Bukhori
Perkara yang perlu dilakuakn ketika marah ialah :
i. Menahan marah iaitu mengajar marah agar mengikut akal dan peraturan
syarak.
4. Menahan marah dengan menggunakan ilmu pengetahuan dan pekerjaan. Ilmu
pengetahuan yang dimaksudkan di sini adalah seseorang itu perlu mengetahui tidak
ada sebab untuk dirinya marah terhadap yang lain kerana tidak ada sebab untuk
dirinya marah terhadap yang lain kerana tidak ada yang terjadi melainkan semuanya
adalah qada’ dan qadar Allah SWT.
5. Kedekut Dan Sayang Harta. Sifat kedekut adalah sebesar-besar penyakit batin yang
membinasakan. Firman Allah SWT yang bermaksud : “dan ingatlah sesiapa yang
menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka
merekalah orang-orang yang berjaya.”
Surah At Taghabun : 16
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “ Orang yang pemurah adalah hampir dengan
Allah, hampir dengan manusia, hampir dengan syurga dan dia jauh dari api neraka.
Manakala orang yang kedekut itu, dia jauh daripada Allah SWT jauh daripada manusia, jauh
daripada syurga, dan hampir dengan api neraka. Orang yang jahil lagi pemurah lebih
dikasihi oleh Allah daripada orang yang mengerjakan ibadah tetapi kedekut.”
Hadis riwayat Tirmizi
Asal bagi sifat kedekut adalah seseorang yang kasih dengan hartanya. Ia adalah kelakuan
yang dicela.
Kita perlu mengetahui bahawa harta itu tidak dicela semata-mata sebaliknya yang dicela itu
adalah harta yang melalaikan kamu daripada beribadah. Manakala harta yang membantu
dalam perkara ibadah adalah dipuji.

6. Bangga Diri. Sifat bangga diri adalah satu sifat dicela. Firman Allah SWT yang
bermaksud : “ Negeri akhirat yang sudah diterangkan nikmat-nikmatnya itu, kami
sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan mahu mendapat pengaruh atau
ketinggian di muka bumi dan tidak ingat mahu melakukan kerosakan.”
Surah Al Qasas :83
Ayat di atas menyatakan bahawa orang yang mahu mendapat pengaruh dan ketinggian
maksudnya sifat bangga diri tidak akan mendapat nikmat di akhirat.

7. Cintakan Dunia. Keduniaan ialah perkara-perkara yang tidak memberi manfaat


selepas kematian. Manakala perkara yang bersifat akhirat pula ialah setiap perkara
yang memberi manfaat selepas kematian, walaupun perkara tersebut berada di
dunia seperti ilmu, ibadah dan makanan yang memberi kesihatan yang baik untuk
kita mengerjakan ibadah dengan sempurna. Cintakan dunia adalah kelakuan yang
dicela oleh syarak, ia adalah tunjang bagi segala kesalahan.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Maka adapun orang yang melampau
melakukan kederhakaan serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata.
Maka sebenarnya neraka jahannamlah tempat kediamannya.”
Surah An Naziat:37-39
8. Besar Diri. Sikap membesarkan diri itu adalah apabila seseorang melihat dirinya
melebihi daripada orang lain pada sifat kesempurnaan, dan dia melihat orang lain
lebih hina daripadanya. Ini sebahagian daripada sifat tercela yang ada dalam hati
dan sebesar-besar maksiat yang tercela.
Firman Allah SWT yang bermaksud :”Maka seburu-buruk tempat bagi orang-orang
yang sombong dan takabur adalah neraka jahanam.”
Surah AzZumar : 72
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :”Tidak masuk ke syurga seseorang yangada
dalam hatinya sifat membesarkan diri walaupun sebiji sawi.”
Hadis riwayat Muslim
9. Ujub. Merupakan sifat kagum terhadap diri sendiri seperti berbangga dengan ilmu
dan ibadahnya serta tidak takut akan kehilangan nikmat dan melupai bahawa segala
pemberian itu adalah daripada Allah SWT. Sifat ujub tidak akan lahir sekiranya
manusia menyedari bahawa segala nikmat yang diperolehinya adalah kurniaan
daripada Allah SWT.
Siti Aisyah r.a. ditanya : “Bilakah masanya seseorang itu menegrjakan kejahatan?”
Maka beliau menjawab :”Apabila dia menyangka dirinya berbuat kebaikan.”
Punca ujub adalah jahil dan penawarnya ialah ilmu. Setiap manusia mestilah
meneydari bahawa semua yang dia perolehi adalah datangnya daripada pemberian
Allah SWT. Sebaliknya seseorang itu perlu rasa takut sekiranya Allah SWT mencabut
atau menarik kembali setiap nikmat itu daripadanya.

10. Riyak. Maksud riyak ialah seseorang beribadah bagi mendapatkan manfaat dunia.
Para ulamak sepakat mengatakan riyak adalah syirik kecil.
5.4 Cabaran Pembinaan Akhlak :
1. Kejatuhan imej guru. Mutakhir ini ada kes-kes keruntuhan akhlak yang berlaku di
kalangan guru-guru. Keadaan ini menjatuhkan imej pelajar.
2. Faktor dan latarbelakang pelajar. Pelajar lebih banyak bersama dengan rakan sebaya
yang juga masih perlukan bimbingan dan banyak melakukan kesalahan. Masa lebih banyak
dihabiskan bersama mereka berbanding dengan ibu bapa di rumah.
3. Gaya kehidupan masa kini, dunia tanpa sempadan yang mana pelajar boleh akses
informasi yang negatif dan berunsur lucah.
4. cabaran daripada pihak ibubapa dan penjaga, arus globalisasi kebudayaan dan kebendaan
tamadun barat moden.
5. Cabaran di sekolah, dari segi penguatkuasaan hukuman adan denda serta larangan
merotan.
6. Perbezaan pemikiran, sikap, nilai dan amalan , ini berlaku hasil perbezaan persekitaran
tempat remaja membesar.
7. Generasi muda membesar dalam suasana ikatan kejiranan yang semakin renggang. Dulu
anak-anak bukan setakat takut kepada ibu bapa malah turut takut kepada jirannya untuk
melakukan perkara-perkara yang buruk.
8. Pengaruh budaya asing dalam pergaulan terutama pergaulan dengan yang berlainan
jantina.

You might also like