You are on page 1of 6

1.

0 PENGENALAN
Perkembangan ilmu sastera Melayu banyak dipengaruhi oleh kewujudan dan perkembangan
kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara. Perkembangan sastera Melayu ini dikenali sebagai
kesusasteraan Melayu tradisional. Bidang kesusasteraan ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu
lisan dan tulisan yang dilihat pada zaman permulaannya.

Kesusasteraan lisan berasal daripada masyarakat Melayu yang kebiasaannya terdiri


daripada kaum tani dan nelayan. Lokasi penempatan kaum ini terletak di bahagian pedalaman,
kampung dan pinggir pantai. Sistem tulisan pada zaman itu masih lagi tidak wujud dan
kebanyakan masyarakat buta huruf. Meskipun begitu, penguasaan mereka terhadap bidang
kesusasteraan dapat dikembangkan melalui pertuturan atau penceritaan lisan. Maka,
kesusasteraan lisan itu terhasil apabila kelompok ini menggunakan pertuturan sebagai medium
utama kepada penyebaran ataupun penyampaian cerita secara lisan. Selain itu, kesusasteraan
tulisan pula muncul apabila orang Melayu mendapat pengaruh luar, iaitu pengaruh India. Orang
Melayu telah diperkenalkan dengan sistem tulisan setelah kedatangan pengaruh India tetapi
sistem ini tidak dipraktikkan secara meluas dan akhirnya pupus.

Sejarah kesusasteraan Melayu mempunyai beberapa fasa sebelum menjadi sebuah


karya sastera yang utuh dan digunakan pada hari ini. Menurut Annas Haji Ahmad (2000),
kesusasteraan Melayu telah melalui tiga zaman berbeza, iaitu sastera zaman awal (animisme),
sastera Melayu tradisional dan sastera Melayu moden. Sastera zaman awal atau zaman
anismisme merupakan permulaan kemunculan sastera. Sastera juga telah mengalami
beberapa perubahan serta revolusi untuk disesuaikan mengikut peredaran dan keperluan
zaman tersebut. Oleh itu, penulisan ini membincangkan sejarah perkembangan sastera Melayu.

2.0 KONSEP KESUSASTERAAN MELAYU


Perkataan ‘sastera’ merujuk kepada bahasa Sanskrit, iaitu castra bermaksud kitab suci.
Kesusasteraan pula didefinisikan sebagai segala penghasilan sastera yang disampaikan sama
ada melalui tulisan mahupun pembacaan melalui lisan dan pendengaran (Harun Mat Piah et.
al., 2006). Sastera juga disifatkan sebagai satu bidang seni kreatif yang menggunakan bahasa
sebagai pengantar atau perantaranya. Kenyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S
Jahnson (1983: 2) yang memberi definisi sastera sebagai satu seni dalam bentuk lisan atau
bertulis dengan menggunakan kata-kata. Kesusasteraan Melayu mempunyai sejarah yang
penjang dan sangat menarik untuk dibincangkan. Hal ini demikian kerana, perkembangan
kesusasteraan Melayu mempunyai pelbagai pengaruh yang sehingga hari ini masih kekal dan
digunakan dalam kehidupan masyarakat. Oleh itu, penulisan ini akan membincangkan sejarah
perkembangan kesusasteraan Melayu bermula zaman awal sehingga ke hari ini.

3.0 ANALISIS SEJARAH PERKEMBANGAN KESUSASTERAAN MELAYU


Perkembangan kesusasteraan Melayu mempunyai sejarah yang tersendiri dan melalui
beberapa fasa. Perkembangan kesusasteraan Melayu bermula dengan sastera zaman awal,
sastera Melayu tradisional dan sastera zaman moden.

3.1 Sastera zaman Awal


Sastera zaman awal merujuk kepada zaman animisme, iaitu zaman sebelum tersebarnya
pengaruh Hindu. Menurut Khairulnizam et.al. (2016), animisme didefinisikan sebagai
kepercayaan manusia primitif, masyarakat yang mempunyai hubungan rapat dengan alam
semesta. Ahli antropologi, Edward Burnett Tylor (1832) memberikan definisi animisme secara
etimologi berasal daripada bahasa Latin, anima atau animaus yang membawa maksud jiwa, roh
atau kehidupan. Animisme ialah sebuah kepercayaan terhadap semua benda yang wujud di
bumi seperti pokok, batu dan api yang mempunyai semangat atau roh.

Perkembangan sastera zaman awal lebih berkait kepada sastera rakyat. Kesusasteraan
rakyat merupakan sebuah hasil sastera yang dicipta oleh rakyat biasa yang lazimnya
menjalankan aktiviti ekonomi mudah seperti petani dan nelayan. Kesusasteraan rakyat juga
dikenali sebagai kesusasteraan lisan kerana disampaikan dari mulut ke mulut. Sastera rakyat ini
wujud apabila masyarakat pada waktu itu ingin memberikan pendidikan kepada anak mereka
demi mencari sebab dan akibat sesuatu perkara yang menjadi persoalan. Menurut Annas Haji
Ahmad (2000), hasil sastera rakyat ini juga melahirkan begitu banyak bentuk peribahasa
Melayu yang digunakan pada hari ini. Peribahasa ini merupakan hasil daripada perdampingan
mereka dengan alam semesta. Peribahasa juga dikenali sebagai bidalan atau pepatah.
Contohnya, “biar mati anak jangan mati adat” yang bermaksud kesetiaan orang terdahulu
terhadap adat menjadi keutamaan kepada mereka. Selain itu, mantera, jampi dan serapah juga
antara sastera rakyat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu lama dan menjadi sebuah
warisan pada hari ini.

Kini, kemajuan teknologi telah berjaya merangkumkan kesemua hasil karya lisan ini
dalam bentuk buku cetakan mahupun e-buku secara dalam talian. Meskipun secara lahiriah
sastera lisan ini hilang sifat keasliannya, tetapi sastera lisan ini masih lagi wujud dan diamalkan
dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini melalui bahasa dan teknik penyampaian mereka.
Antara sastera lisan popular pada zaman awal ialah cerita jenaka Pak Pandir, Pak Kaduk dan
Lebai Malang.

3.2 Sastera Melayu tradisional


Sastera Melayu tradisional merupakan tahap kedua dalam perkembangan kesusasteraan
Melayu. Zaman ini juga dikenali sebagai zaman pra-Islam yang terbahagi kepada dua, iaitu
zaman Hindu-Buddha dan zaman peralihan Islam. Sastera Melayu tradisional dikatakan
bermula pada abad ke-4 Masihi hingga abad ke-11 Masihi setelah kemasukan pengaruh Hindu
ke Alam Melayu. Kajian menunjukkan agama Hindu-Buddha berkembang pesat ke Alam
Melayu melalui kegiatan perdagangan yang akhirnya disusuli kegiatan keagamaan oleh orang
Brahmin. Perkara ini telah memberi kesan besar terhadap kebudayaan semesta orang Melayu
termasuklah bidang kesusasteraan Melayu.

3.2.1 Zaman Hindu-Buddha

Pengaruh Hindu dalam kesusasteraan Melayu dapat dikesan melalui asal usulnya ke
Semenanjung Melayu bermula abad ke-9 (Ali Haji Ahmad, 2000). Karya kesusasteraan
Melayu tradisional pada zaman Hindu-Buddha banyak dipengaruhi oleh karya-karya
epik Hindu seperti epik Ramayana dan Mahabaratta. Kedua-dua karya epik ini
mengandungi cerita dewa-dewi yang mempunyai sifat manusia dan tuhan. Karya epik ini
juga banyak mengisahkan berkenaan dengan kejadian luar biasa. Antaranya ialah
penjelmaan dalam pelbagai bentuk seperti ular. Terdapat juga penceritaan berkenaan
dengan kuasa sakti dan senjata ghaib yang berdasarkan ajaran agama Hindu. Karya
epik Hindu ini juga tidak terlepas untuk mempengaruhi sastera Melayu tradisional.
Terdapat beberapa karya sastera Melayu yang mempunyai pengaruh unsur Hindu
dalam penulisannya seperti Hikayat Pendawa Jaya yang merupakan hasil gabungan
unsur tempatan dan epik Mahabaratta.

Selain itu, bahasa Melayu juga mempunyai unsur pengaruh Hindu, iaitu
kemasukan bahasa Sanskrit ke dalam kehidupan masyarakat Melayu. Dalam abad ke-8
Masihi, tulisan Kawi telah tercipta yang berasaskan kepada tulisan Sanskrit.
Walaubagaimanapun, penggunaan tulisan ini tidak kekal lama dan hanya bertahan
sehingga abad ke-14 sahaja. Seterusnya, gelaran yang digunakan dalam adat istiadat
Melayu juga memperlihatkan pengaruh agama Hindu. Buktinya, berdasarkan kepada
sebuah buku bercorak kebangsaan, iaitu Sejarah Melayu yang diceritakan dalam buku
Sastera Melayu Lama, Hikayat Hang Tuah juga mempunyai pengaruh masyarakat India
ini. Hal ini dibuktikan daripada gelaran ‘laksamana’ yang digunakan dalam hikayat
tersebut merupakan satu gelaran dalam epik Ramayana. Gelaran ini juga merupakan
sebuah watak yang digunakan dalam Hikayat Seri Rama oleh orang Hindu.

3.2.2 Zaman Peralihan Islam

Penguasaan kepercayaan Hindu di Alam Melayu tamat pada abad ke-14 hingga abad
ke-15 mengikut sebuah catatan yang dikemukakan oleh Ibnu Batuta, ahli sejarawan
Islam. Walaubagaimanapun, pengaruh Hindu tidak hilang dengan mudah dari Alam
Melayu setelah beratus-ratus tahun bertapak. Malah, pengaruh ini hilang sedikit demi
sedikit dan secara berperingkat. Oleh itu, zaman ini dikenali sebagai zaman peralihan
Hindu-Islam. Kedatangan agama Islam ke Alam Melayu bukan sahaja sebagai sebuah
agama tetapi menjadi peradaban yang memberi unsur dan pandangan baharu kepada
segenap aspek. Antara bukti untuk memperkuatkan lagi kemunculan zaman peralihan
Hindu-Islam ini ialah Batu Bersurat Minje Tudjo yang memperlihatkan kesan-kesan
percampuran bahasa Melayu, Sanskrit dan Arab.

Apabila Islam mula bertapak di Alam Melayu, pendakwah ataupun ulama Islam
tidak menghapuskan sastera dan hikayat Hindu secara langsung. Tetapi, mereka
mengambil pendekatan dengan membuang gelaran dewa-dewa Hindu yang terdapat
dalam mantera, jampi dan menggantikannya dengan kalimah Allah, Muhammad dan
pahlawan-pahlawan Islam. Walaubagaimanapun, plot penceritaan hikayat Hindu itu
masih lagi wujud tetapi karakter ataupun wataknya diberi nafas baharu dengan nama
Islam. Bahagian-bahagian penceritaan yang mempunyai unsur bertentangan dengan
agama Islam juga digantikan dengan ajaran Islam. Terdapat satu lagi sifat penyesuaian
dalam zaman peralihan ini berkaitan dengan penyesuaian cerita Hindu dengan nama
Islam. Maka, banyak cerita zaman peralihan Hindu-Islam itu mempunyai dua nama, iaitu
nama Hindu dan nama Islam. Contohnya, Hikayat Shah Kobad (nama Hindu) dikenali
juga sebagai Hikayat Shah al-Kamar (nama Islam). Dalam sastera penceritaan seperti
penglipur lara yang bermotif binatang, karakter yang diketengahkan dalam cerita
tersebut disulami dengan tokoh-tokoh Islam seperti Nabi Sulaiman.

3.3 Sastera zaman Moden


Sastera zaman moden pula dikenali sebagai sastera zaman Islam. Kesusasteraan Melayu
berkembang dengan pantas selepas Islam tersebar ke Alam Melayu. Sekitar abad ke-13,
agama Islam mula berkembang di Alam Melayu. Perkembangan agama Islam ini bermula pada
era pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai. Perkembangan tersebut berterusan sehingga
abad ke-15 dengan pusat pentadbiran terletak di Melaka dan seterusnya pada abad ke-16 di
pusat-pusat pemerintahan Islam. Hasil kesedaran dan keyakinan terhadap ajaran Islam, sastera
yang menggabungkan elemen Hindu dengan Islam terhasil. Hasil sastera yang berunsur Hindu
juga berubah seperti pemilihan tajuk karya, nama-nama watak yang terlibat dan penggunaan
kata-kata daripada al-Quran. Menurut Siti Hawa (2002:10), kedatangan agama Islam telah
membawa banyak perubahan dalam segenap aspek kehidupan masyarakat pada waktu itu,
sama ada dari segi iktikad dan pembaharuan dari segi penulisan. Hal ini demikian kerana,
pengaruh agama Islam yang berkembang di Alam Melayu telah mengubah struktur penulisan
itu sendiri dengan penggunaan gaya penulisan jawi. Bahasa Melayu juga turut mendapat
tempat dalam kalangan msayarakat apabila berperanan sebagai lingua franca dan menjadi
bahasa utama dalam penyebaran ilmu di Alam Melayu.

Menurut Teuku Iskandar (1995), kemunculan kerajaan-kerajaan Melayu-Islam seperti


Pasai, Melaka dan Acheh telah menggalakkan lagi aktiviti penulisan dengan menjadi pusat
kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Permulaan aktiviti kesusasteraan adalah dengan
penulisan karya-karya berbentuk sastera kitab yang bertujuan untuk menyebarkan dakwah
Islam secara lebih sistematik. Khazanah kesusasteraan Melayu terus berkembang apabila
terdapat beberapa penghasilan karya dengan genre berbeza seperti sastera sejarah, hikayat,
epic, ketatanegaraan dan undang-undang. Karya-karya yang dihasilkan juga tidak terkandung
unsur-usnur Hindu-Buddha dan memperlihatkan ciri-ciri ajaran Islam. Antara karya sastera
terkenal berunsur Islam ialah Hikayat 1001 Malam, Hikayat Qamar al-Zaman dan Hikayat
Damsyik (Siti Hawa Salleh, 1993). Di samping itu, perkembangan kesusasteraan Melayu tidak
dapat dipisahkan daripada peranan istana. Istana memainkan peranan sebagai sebuah
scriptorium yang menjadi pusat penghasilan, penyalinan dan penyebaran hasil kesusasteraan
Melayu (Ding, 2003: 44-46). Hal ini demikian kerana, istana menjadi pusat tumpuan dan
berkumpul bagi jurutulis, para pujangga, pengarang, ulama dan cendekiawan untuk menulis
dan membaca. Pada zaman itu juga, jumlah masayarakat yang menguasai kedua-dua
kemahiran ini sangat terbatas dan menyebabkan golongan ini mendapat kedudukan istimewa
daripada pihak istana dan terus diangkat sebagai pujangga bertugas di istana.

4.0 KESIMPULAN
Berdasarkan penulisan ini, dapat disimpulkan bahawa sejarah perkembangan kesusasteraan
Melayu banyak dipengaruhi oleh pengaruh luar sebelum bertapak di Alam Melayu dengan
ajaran agama Islam. Karya sastera yang bermula seawal zaman animisme itu juga masih kekal
dan terdapat dalam karya-karya sastera yang menjadi nilai berharga pada hari ini. Pengaruh
Hindu yang dibawa masuk ke Alam Melayu telah mengubah landskap penulisan karya sastera
di Alam Melayu secara menyeluruh dan bertapak begitu lama sehingga beratus tahun.
Pengaruh Islam yang dibawa ke Alam Melayu juga telah merubah corak penulisan sastera yang
menunjukkan penyebaran ilmu pengetahuan yang berlandaskan agama. Oleh itu, masyarakat
pada hari ini haruslah menghargai karya sastera yang menjadi warisan secara turun menurun
ini agar nilai sejarah itu kekal dan diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain.

You might also like