You are on page 1of 2

Soalan

Anda akan menyertai Pertandingan Bahas Ala Palimen peringkat daerah sebagai pasukan kerajaan. Usul
perbahasan tersebut ialah “Bangunan Bersejarah Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”.
Sebagai  menteri kedua, sediakan teks perbahasan tersebut.

Teks Perbahasan Menteri Kedua

Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Speaker Dewan, rakan-rakan Yang
Berhormat daripada pihak kerajaan, barisan pembangkang dan seterusnya ahli-ahli dewan sekalian.

Tuan Yang Dipertua,


Sebagai menteri yang kedua, saya pastinya menolak definisi usul yang telah dipinda oleh Ketua
Pembangkang sebentar tadi iaitu “Bangunan Bersejarah Tidak Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan
Negara”. Jadi saya memohon agar definisi usul itu dipinda semula seperti definisi yang diberikan oleh
Perdana Menteri sebentar tadi, iaitu “Bangunan Bersejarah Perlu Dikekalkan Sebagai Warisan Negara”.

Sebelum membentangkan hujah-hujah seterusnya, saya akan membidas hujah yang dikemukakan oleh
Ketua Pembangkang sebentar tadi. Ketua Pembangkang mengatakan bahawa bangunan bersejarah ini
memerlukan kos yang tinggi untuk mengekalkannya. Beliau mengatakan bahawa kerajaan terpaksa
membelajakan wang yang banyak untuk memulihara dan mengekalkan bangunan bersejarah yang rata-
ratanya sudah lama ditinggalkan oleh penjajah.

Memang benar kata Ketua Pembangkang bahawa bangunan bersejarah yang perlu dipulihara dan dijaga
daripada musnah atau rosak itu memerlukan belanja yang banyak. Namun demikian, kita perlu ingat
bahawa kos tersebut tidak sama dengan nilai sejarahnya yang tidak boleh dijual beli. Jadi bangunan
tersebut sememangnya perlu dijaga dan dipulihara daripada musnah ataupun rosak, walaupun terpaksa
menanggung kos yang tinggi. Hal ini demikian kerana, kita tidak mahu bangunan yang tinggi nilai
sejarahnya ini rosak kerana bangunan tersebut sebenarnya tidak dapat digantikan dengan wang ringgit.
Sekiranya bangunan tersebut digantikan dengan bangunan yang baharu sekalipun, sudah tentu nilai
sejarahnya tidak sama dengan bangunan yang asal. Tambahan pula, pada tahun lepas Melaka dan
Pulau Pinang telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Hal ini sudah tentu
membuktikan betapa pentingnya bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita itu perlu dikekalkan
dan dipelihara daripada musnah. Pengumuman Tapak Warisan Dunia bagi kedua-dua buah negeri
tersebut juga merupakan satu pengiktirafan yang sangat tinggi daripada UNESCO kepada negara kita.

Tuan Yang Dipertua,


Bangunan bersejarah perlu dikekalkan sebagai warisan negara, jadi hujah saya yang pertama iaitu
berpaksikan frasa, sebagai bahan kajian. Bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita ini menjadi
tumpuan para pengkaji dalam pelbagai bidang. Seperti yang kita sedia maklum terdapat banyak
bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita, seperti Fort Cornwalis di Pulau Pinang dan Bangunan
Stadhuyst di Melaka. Selain itu terdapat juga bangunan bersejarah yang lain seperti Masjid Ubudiah di
Kuala Kangsar, Menara Jam Condong di Telok Intan, dan Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala
Lumpur.

Terdapat banyak aspek yang boleh dikaji oleh para penyelidik bangunan lama yang memiliki unsur
sejarah yang tinggi ini. Aspek tersebut ialah teknologi binaan, bahan-bahan yang digunakan untuk
membina bangunan tersebut serta kaitan bangunan itu dengan fakta sejarahnya dan sosiobudaya
masyarakat tempatan. Kata orang, “Tak kenal maka tak cinta”, jadi para pengkaji ini akan melaporkan
hasil kajian tersebut dalam bentuk penulisan atau dokumentari agar dapat dibaca, ditonton dan
seterusnya difahami oleh masyarakat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa. Berdasarkan kajian
itu juga, para pengkaji akan mendapat pengetahuan yang berguna tentang ilmu senibina yang telah
digunakan oleh arkitek atau jurubina pada zaman dahulu.

Tuan Yang Dipertua,


Hujah saya yang kedua iaitu berpaksikan frasa, menarik pelancong. Bangunan-bangunan bersejarah itu
berupaya untuk menjadi daya tarikan utama kepada pelancong dari dalam atau luar negara. Hal ini
demikian kerana, para pelancong yang datang ke negara kita adalah semata-mata untuk melihat kesan-
kesan sejarah tinggalan penjajah zaman dahulu. Oleh itu, bangunan-bangunan tersebut merupakan
sebahagian daripada kesan sejarah dan perlulah dikekalkan dan dipulihara daripada musnah. Sebagai
contohnya, bangunan Sultan Abdul Samad, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, Istana Banda, di Jugra dan
Kellie’s Castle di Perak, perlu dipulihara agar keasliannya dapat dikekalkan.
Pelancong juga akan tertarik oleh keunikan dan kesenian bangunan-bangunan bersejarah itu. Hal ini
membuktikan bahawa, orang zaman dahulu sudah memiliki kemahiran dan ilmu kesenian dalam senibina
bangunan. Oleh hal yang demikian, bangunan-bangunan tersebut perlulah dipelihara dan dikekalkan
keasliannya. Dengan cara itu, bangunan-bangunan tersebut akan kekal sampai bila-bila, seperti kata
pepatah, “Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”, dan boleh disaksikan oleh generasi yang akan
datang.

Tuan Yang Dipertua,


Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong usul ini seratus peratus dan memohon agar
usul ini diluluskan oleh dewan yang mulia ini dengan suara majoriti.

Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadang.


Sekian, terima kasih.

You might also like