You are on page 1of 6

Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada cara menyayangi sekolah.

Huraikan
pendapat anda tentang cara-cara menyayangi sekolah. Panjangnya huraian anda hendaklah antara
200 hingga 250 patah perkataan.

i. Memelihara harta benda sekolah

ii. Mematuhi peraturan sekolah

iii. Kecemerlangan akademik

iv. Pencapaian kokurikulum

Sekolah merupakan institusi yang diwujudkan untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi
melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Pendidikan yang disediakan kepada anak-anak di sekolah mampu
menyediakan modal insan yang berilmu pengetahuan. Hal ini selari dengan aspirasi Perdana
Menteri,Tan Seri Muhyiddin bin Mohd Yassin yang berazam untuk menyediakan pendidikan yang
berkualiti kepada anak-anak agar mereka mampu bersaing dalam dunia globalisasi yang semakin
mencabar kini. Hasrat ini dapat direalisasikan jika murid-murid menunjukkan rasa sayang akan
sekolah masing-masing. Pada pendapat saya, pelbagai cara boleh dilakukan oleh murid-murid untuk
menyayangi sekolah.

Seseorang murid menunjukkan rasa sayang akan sekolah jika mereka memelihara harta
benda yang disediakan. Harta benda sekolah seperti meja, kerusi, tandas, telefon, peralatan sukan
dan sebagainya perlu dijaga dengan baik. Murid-murid tidak boleh merosakkan harta benda yang
disediakan kerana harta benda ini merupakan aset negara yang perlu dikongsi secara bersama
dengan murid-murid lain. Secara analoginya, mereka perlu menjaga dan menyayangi harta benda
sekolah seperti menyayangi harta benda sendiri ibarat menatang minyak yang penuh. Jangan sesekali
melakukan vandalisme terhadap harta benda sekolah kerana kerajaan terpaksa menyediakan
peruntukan lain untuk membaiki kerosakan tersebut. Sebagai buktinya, Ketua Pengarah Pendidikan
Malaysia, telah memaklumkan bahawa kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah RM12.5 juta
pada tahun lalu untuk membaiki kerosakan harta benda sekolah. Keadaan ini sangat mendukacitakan
kerana peruntukan tersebut sepatutnya boleh disalur untuk menyediakan kemudahan lain kepada
murid agar mereka dapat belajar dengan sempurna. Jadi jelas menunjukkan bahawa menjaga harta
benda sekolah dengan baik merupakan cara yang boleh ditunjukkan oleh murid sebagai tanda
mereka menyayangi sekolah.

Selain itu, murid-murid juga boleh menunjukkan rasa sayang akan sekolah dengan cara
mematuhi peraturan sekolah. Murid-murid perlu mematuhi peraturan sekolah kerana peraturan
yang disediakan adalah untuk mendidik mereka supaya berdisiplin dan menjadi insan yang
sempurna. Mereka tidak boleh menganggap peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah adalah
untuk menyekat kebebasan mereka sebagai orang muda. Jangan sesekali mengatakan peraturan
sekolah itu adalah untuk menyekat jiwa remaja mereka daripada melakukan sesuatu yang mampu
memenuhi tuntutan remaja. Mereka perlu menganggap peraturan yang disediakan adalah untuk
membina jati diri murid supaya mampu mendepani cabaran apabila keluar daripada institusi
persekolahan nanti. Saya berpendapat sedemikian kerana peraturan yang dirangka oleh pihak
sekolah sebenarnya adalah untuk memudahkan pengurusan murid dan mengelakkan mereka terlibat
dengan salah saku disiplin sehingga boleh menjejaskan proses pembelajaran mereka di dalam kelas.
Sebagai contoh, jika pelajar bergaduh di asrama dan kes tersebut tersebar di akhbar, sudah tentu
murid tersebut akan dikenakan tindakan disiplin seperti gantung persekolahan atau buang sekolah.
Oleh itu, murid-murid perlu mematuhi peraturan supaya nama baik sekolah dapat dijaga sekali gus
menunjukkan rasa sayang pada sekolah.

Di samping itu, menunjukkan kecemerlangan akademik juga merupakan cara yang boleh
dilakukan sebagai usaha menyayangi sekolah. Murid-murid perlu menaikkan nama sekolah dengan
kejayaan-kejayaan dalam akademik sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Mereka perlu
berusaha bersungguh-sungguh kerana kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh pelajar dapat
menaikkan imej sekolah pada kaca mata komuniti. Mereka perlu berbangga jika mereka berjaya
dengan cemerlang, sekolah lain akan datang melawat untuk melihat kejayaan-kejayaan yang telah
dicapai. Lebih manis lagi, sekolah akan diberikan anugerah oleh pihak kementerian atas kejayaan
yang diraih. Sebagai contoh, kejayaan Mohd Ammar Mokhtar mewakili negara ke Cape Town, Afrika
Selatan dalam pertandingan berkaitan dengan neurologi telah menaikkan nama Sekolah Menengah
Sains Tengku Muhammad Faris Petra di pentas antarabangsa. Kejayaan Mohd Ammar itu
menyebabkan Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra telah dipilih sekolah angkat
Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai jaringan dengan institusi pengajian tinggi. Jadi, sudah terang
lagi bersuluh bahawa pelajar boleh menunjukkan cara menyayangi sekolah mereka dengan cara
menunjukkan kecemerlangan dalam akademik.

Kesimpulannya, murid-murid bertanggungjawab terhadap sekolah mereka. Mereka perlu


menyayangi sekolah masing-masing kerana di situlah tempat mereka menimba ilmu dan membina
masa depan. Sekolah juga menjadi tempat murid-murid mengaut pengalaman untuk menjadi insan
yang seimbang. Jadi, tugas menjaga nama baik sekolah perlu menjadi keutamaan murid-murid.
Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit kerana kejayaan seseorang adalah bermula daripada seorang
guru sekolah.

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan membeli barangan
buatan tempatan. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Sejajar dengan landaan gelombang globalisasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan
telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga mengalami anjakan paradigma
ke arah menggapai hasrat sebagai negara maju. Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini,
terdapat lakaran suram yang terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-
agungkan barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang
sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak peribahasa duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk
ini sebaliknya mengubah stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini
kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai menyelam
sambil minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya, apakah
kemaslahatan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan tempatan?

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat
menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan Malaysia. Sebagaimana yang
kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal daripada barangan buatan tempatan sedangkan
barangan buatan Malaysia turut mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada
barangan import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama Bata
telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa semasa bertanding di
pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas memanifestasikan bahawa barangan buatan
tempatan bukan sahaja lebih murah harganya tetapi mempunyai jaminan dari kualiti barangan,
Secara tidak langsung, kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekali gus
meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah, anggota masyarakat
dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli barangan buatan Malaysia.

Tidak ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat
patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat sekiranya sikap sering mengagung-
aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia.
Mengapakah dikatakan demikian? Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau,
onak dan duri ini, rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan
negara yang tipis bak senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat tentang
perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan terlalu banyak barangan import
telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun. Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan
angkatan muda membeli barangan buatan tempatan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat
menyedari bahawa sebenarnya “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita
bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara “kalau masih rebung, mudah
dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi.” Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan
mendalam dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Sesungguhnya, seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat,
Tun Dr. Mahathir Mohamad, “membeli barangan buatan tempatan merupakan teras kejayaan
Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.” Kata-kata hikmat tersebut jelas
menunjukkan bahawa sememangnya industri tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan
menggalakkan rakyat jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan
import yang terkenal di seantero dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun produktiviti dan
pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak kurang daripadanya. Hal ini dapat
merangsang perkembangan industri tempatan untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan
dalam pembelian barangan buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan
secara tidak langsung. Deduksinya, kita dapat memajukan industri tempatan supaya dapat mencapai
aspirasi negara menjadi negara industri.

Sebagai penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli barangan
buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan kepada seluruh strata
masyarakat bak peribahasa “bagai serampang dua mata” dan “bagai makan menanak nasi.” Oleh hal
yang demikian, segenap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus
lumus untuk menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan
Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak watan Malaysia, sahutlah
cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung untuk menunaikan impian
nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!
USAHA-USAHA YANG PERLU ANDA LAKUKAN UNTUK MENJADIKAN MEMBACA AMALAN HIDUP

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan pada hari ini telah menyebabkan remaja
hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa. Mereka lebih terdorong dan gemar melakukan pelbagai
aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah mereka melakukan
aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang keuntungan kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik
dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh
mereka khususnya dengan membaca? Apakah yang dimaksudkan dengan membaca dan apakah
kepentingannya? Membaca didefinisikan sebagai memerhati sesuatu yang tertulis atau tercetak
dengan teliti dan memahami makna kandunganya. Kepentingannya pula adalah untuk melahirkan
individu yang berilmu pengetahuan. Hal ini kerana, membacalah yang menghubungkan antara
manusia dengan segala ilmu pengetahuan.

Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Hal ini amat
berbeza bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan bilangan buku yang dibaca oleh rakyat
Jepun . Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara yang buruk dibuang, dengan
runding yang baik ditarik dengan muafakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh
itu, tanpa menuding jari ke arah orang lain kerana dikhuatiri bagai menepuk air di dulang, terpercik
ke muka sendiri, sebagai seorang pelajar dan remaja kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang
efektif untuk menjadikan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama ialah remaja perlulah rajin pergi ke perpustakaan. Marcapada


mempelihatkan Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan. Tamsilnya, perpustakaan sekolah,
perpustakaan awam dan perpustakaan bergerak. Di sini, remaja dapat membaca dan meminjam
pelbagai jenis buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Walaupun perpustakaan yang dipenuhi
dengan buku itu ibarat lautan yang terbentang luas yang tidak dapat diterokai, remaja perlulah
sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk membaca. Walaupun sekadar sebuah buku
seminggu, ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Remaja juga boleh melakukan lawatan sambil
belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti – universiti terkemuka di Malaysia.
Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri , remaja juga dapat melihat kecanggihan
teknologi yang terdapat di situ, bak peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan itu , remaja
perlulah rajin mengunjungi perpustakaan agar sentiasa terdorong untuk membaca.

Selain itu , remaja juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu
Amalan Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca
dalam kuantiti yang banyak. Melalui program ini , remaja perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris dan kemudiannya direkodkan di dalam Buku Nilam. Pelajar yang
membaca dalam kuantiti yang banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak,
emas dan seterusnya nilam. Malah, pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang
lebih tinggi iaitu peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Remaja juga perlu menjadikan amalan membaca sebagai hobi pada masa senggang . Aktiviti
ini jauh lebih baik berbanding remaja melakukan aktiviti-aktiviti yang membawa remaja ke arah
negatif. Daripada remaja membiarkan masa yang terluang terbiar begitu sahaja, remaja perlu
mengisinya dengan membaca kerana Masa itu emas. Marcus Aurelis pernah berkata, “jangan
membuang masa memikirkan bagaimana untuk menjadi orang yang baik, sebaliknya mulakan dengan
diri sendiri dahulu” . Di sini jelaslah bahawa remaja itu sendiri perlu menggalakkan dirinya agar
melakukan sesuatu yang baik. Dengan itu, remaja perlulah sentiasa menggalakkan diri sendiri agar
sentiasa membaca ketika waktu senggang.

Seterusnya , remaja juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan . Buku- buku
atau majalah yang dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja tetapi juga bercorak
santai . Tamsilnya, Dewan Siswa, majalah i-sihat dan Solusi . Di manakah remaja boleh melanggan
buku-buku tersebut ? Remaja boleh melanggannya di kedai-kedai buku , internet atau meminta
bantuan guru di sekolah untuk melanggan. Impaknya, remaja akan sentiasa membaca pada setiap
masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan terkini apabila melanggan buku
pada setiap bulan. Remaja perlulah sentiasa berusaha mencari pelbagai jenis buku dengan cara
melanggan buku pada setiap bulan. Persis kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Remaja juga boleh menjadikan individu yang gemar membaca dan sentiasa dekat dengan
buku sebagai idola . Sebagai contoh, A.Samad Said yang terkenal dengan karya puisinya, Profesor
Diraja Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan penulis tersohor, Sharifah Abu
Salim . Apabila remaja menjadikan mereka sebagai idola, remaja akan sentiasa terdorong untuk
membaca dan menjadi seperti mereka. Positifnya, remaja akan sentiasa menjadikan idola mereka itu
sebagai hala tuju. Hal ini kerana, ketekalan dan kejituan mereka dalam usaha menulis buku untuk
dijadikan bahan rujukan harus dihargai dan dijadikan pendorong . Walaupun kini maklumat di hujung
jari tetapi tidak mungkin maklumat yang diperoleh itu menyamai secara total seperti yang ditulis oleh
mereka. Hal ini kerana, hanya jauhari yang mengenal manikam . Justeru, remaja haruslah menjadikan
tokoh-tokoh tersohor ini sebagai idola berbanding dengan menjadikan artis sebagai pujaan hati
mereka.

Prakarsa seterusnya ialah berkawanlah dengan rakan sebaya yang gemar membaca atau
lebih dikenali sebagai ulat buku. Hal ini demikian kerana, pengaruh rakan sebaya amat kuat semasa
peringkat remaja. Malah, Saidina Ali bin Abi Talib juga ada mengatakan, “selemah-lemah manusia
adalah orang yang tidak dapat mencari rakan dan orang yang lemah daripada itu adalah orang yang
mensia-siakan sahabat yang dicari”. Melalui kata-kata ini, dapatlah disimpulkan bahawa rakan itu
amat besar nilainya dan rakanlah yang dapat memberi kita pelbagai faedah. Dengan itu , remaja
perlulah arif memilih rakan seperti rakan yang rajin membaca. Jika remaja tersilap langkah dalam
memilih rakan, tidak mustahil mereka akan menjadi duri dalam daging dalam hidup kita.

Konklusinya , sebagai seorang remaja kita perlulah sentiasa berusaha memajukan diri untuk
jaminan masa hadapan. Hal ini kerana, remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja
merupakan aset negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah biarkan
usia remaja dipenuhi dengan perkara sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan
aktiviti yang berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan
slogan “Membaca itu Jambatan Ilmu” dan “Rakyat Membaca , Bangsa Berjaya” seperti yang diuar-
uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia kita , Dato’ Seri Najib bin Abdul Razak “generasi
berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara maju”.

You might also like