You are on page 1of 9

ISI KANDUNGAN

BIL. MUKA SURAT


1.0 PENGENALAN

2.0 ISU MENGENAI TULISAN JAWI

3.0 KEPENTINGAN MEMPELAJARI TULISAN JAWI DALAM

MEMUPUK PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT

4.0 RUMUSAN

RUJUKAN

SENARAI LAMPIRAN
1.0 PENGENALAN
Secara umumnya, tulisan Jawi merupakan sebuah tulisan yang tidak asing lagi
dalam kehidupan kita khususnya di negara Malaysia di mana tulisan ini telah
wujud sejak zaman kedatangan Islam di Nusantara pada sekitar abad yang ke- 13
masihi (Shakila Ahmad et al., 2011). Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan
dengan tulisan Jawi? Menurut Abdul Jalil Borham (2012), tulisan Jawi merupakan
sebuah tulisan huruf-huruf Arab yang digunakan di kepulauan Melayu dan lebih
dikenali sebagai tulisan Melayu huruf Arab. Dewan Bahasa dan Pustaka (2013)
juga memberikan definisi tulisan Jawi sebagai sebuah tulisan yang menggunakan
huruf-huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis
dalam bahasa Melayu. Berikutan dengan kedatangan Islam pada zaman dahulu,
hal ini telah menyebabkan penciptaan tulisan Jawi yang pada asalnya
menggunakan huruf Arab dan disesuaikan dengan bahasa Melayu (Akashah
Ismail & Abdul Hakim Samuri, 2018). Sejak adanya tulisan Jawi di Tanah Melayu,
sejarah telah mencatatkan bahawa sistem tulisan tersebut telah mengalami
beberapa perubahan dan perkembangan. Menurut Hashim Musa (2006), terdapat
beberapa sistem yang telah diwujudkan bagi menyelaraskan ejaan tulisan Jawi
dan memperkenalkan ejaan tulisan Jawi yang lebih sistematik. Sistem-sistem
tersebut adalah sistem ejaan jawi pakatan, sistem ejaan jawi za’ba, sistem ejaan
jawi dian dan sistem ejaan Jawi yang disempurnakan. Memang tidak dapat
dinafikan bahawa penggunaan tulisan tersebut masih kekal relevan pada zaman
sekarang dan hal ini dapat dibuktikan akan penggunaannya seperti di dalam
penulisan buku teks Pendidikan Islam KSSM dan KBSM, dinding bangunan
masjid dan sebagainya. Penulisan esei kali ini akan memperincikan isu yang
berkaitan dengan tulisan Jawi di Malaysia dan kepentingan mempelajari tulisan
Jawi dalam mengekalkan perpaduan di Malaysia.
2.0 ISU MENGENAI TULISAN JAWI
Berdasarkan sebuah akhbar mengenai isu tulisan Jawi bertajuk Dewan Rakyat:
Pembelajaran tulisan Jawi di SK, SJK tetap diteruskan yang ditulis oleh Mohd
Iskandar Ibrahim dan Luqman Arif Abdul Karim, isu yang bakal diperincikan dalam
esei ini adalah pembelajaran tulisan Jawi tetap diteruskan walaupun masih
mendapat tentangan daripada pelbagai pihak. Menurut penulis tersebut,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetap meneruskan pengajaran dan
pembelajaran bagi tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di semua
sekolah rendah termasuk sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah kebangsaan
jenis cina dan tamil (SJKC & SJKCT) di seluruh negara pada tahun 2021. Usaha
kerajaan ini bertepatan dengan satu daripada strategi untuk mencapai matlamat
Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu mengadakan kurikulum yang sama bagi
memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar di seluruh negara (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2017). Menurut Mohd Iskandar Ibrahim dan Luqman Arif
Abdul Karim (2020), isu tersebut diteruskan bagi melaksanakan arahan yang telah
dikeluarkan oleh jemaah menteri yang telah meminta agar pembelajaran
mengenai diteruskan di peringkat sekolah rendah. Dalam masa yang sama, isu ini
juga perlu dilaksanakan bagi menjaga kesinambungan yang sedia ada mengenai
tulisan Jawi dalam kalangan murid-murid sekolah.
Melalui isu tersebut, pihak kerajaan telah menetapkan beberapa langkah
untuk mengimplementasikan usaha tersebut dengan aktiviti pengayaan seperi
pembinaan modul pemulihan jawi yang kreatif untuk menarik minat murid-murid
yang kurang minat dan berkebolehan dalam memahami tulisan Jawi (Mohd
Iskandar Ibrahim dan Luqman Arif Abdul Karim, 2020). Apabila seseorang murid
minat untuk mempelajari tulisan Jawi, hal ini secara tidak langsung dapat
membantu pihak kerajaan untuk terus memartabatkan tulisan warisan nenek
moyang kita ini. Selain itu, pihak kerajaan juga telah menetapkan supaya
pembelajaran jawi ini tidak berfokuskan kepada menulis dan membaca semata-
mata, akan tetapi apa yang lebih ditekankan adalah proses pengecaman tulisan
Jawi dalam kalangan pelajar. Hal yang demikian kerana melalui proses tersebut,
para pelajar dapat mempelajari tulisan-tulisan budaya lain secara tidak langsung
dapat mengetahui tulisan Jawi.
3.0 KEPENTINGAN MEMPELAJARI TULISAN JAWI DALAM MEMUPUK
PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT
Secara umumnya, terdapat banyak kepentingan utama dalam mempelajari tulisan
Jawi sebagai wadah utama untuk membina perpaduan dalam kalangan
masyarakat kita terutamanya di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Sesungguhnya, tulisan Jawi ini hanya sebuah tulisan yang berupaya untuk
menyatukan semua golongan masyarakat tidak mengira kaum, agama, pangkat
dan sebagainya (Dzul Haimi Md. Zain, 2006). Persoalannya, apakah kepentingan
mempelajari tulisan Jawi ini sehingga tulisan ini berpotensi untuk meningkatkan
perpaduan antara rakyat yang berbilang kaum di Malaysia?
Kepentingan pertama yang boleh dilihat adalah mempelajari tulisan Jawi
penting untuk membolehkan para pelajar sekolah dapat mengenali dengan lebih
mendalam akan identiti bangsa mereka sendiri (Awang Had Salleh, 1980). Hal ini
dapat dibuktikan apabila para pelajar mempelajari seni sejarah warisan Jawi,
secara tidak langsung para pelajar dapat mengetahui akan sejarah warisan
bangsa-bangsa lain. Pelajar yang mengetahui sejarah warisan bangsa lain akan
membuka mata dan bersikap terbuka dan sikap yang terpuji ini akan membantu
pelajar-pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk menerima perbezaan
yang telah memisahkan hubungan silaturahim antara mereka (Sayuti Ab. Ghani et
al., 2016). Pelajar yang tidak mempelajari budaya bangsa-bangsa lain akan susah
untuk menerima perbezaan budaya dan adat resam yang berbeza dari bangsa
mereka. Oleh itu, menurut Mohd Iskandar Ibrahim dan Luqman Arif Abdul Karim
(2020), pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia telah berusaha
untuk mencipta sebuah pendekatan bagi membantu meningkatkan kefahaman
para pelajar akan warisan dan identiti negara berkenaan tulisan Jawi kerana
tulisan tersebut merupakan sebuah sejarah dan warisan negara yang perlu
diperkayakan dan dihargai selalu.
Seterusnya, mempelajari tulisan Jawi penting untuk mendidik para pelajar
dari kecil untuk mempertahankan keunggulan warisan dan budaya masyarakat
kita yang terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum persis peribahasa Melayu,
seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini juga bertepatan dengan
kenyataan isu di dalam akhbar tersebut, iaitu silibus tulisan Jawi dimulakan
dengan pengenalan tulisan Jawi untuk murif tahun 4 (Mohd Iskandar Ibrahim dan
Luqman Arif Abdul Karim, 2020). Mempelajari tulisan jawi berupaya untuk
mendidik pelajar mengetahui sejarah negara secara tidak langsung memupuk
semangat patriotisme. Semangat patriotisme dan cinta akan negara perlu
ditanamkan dalam diri para pelajar sejak bangku sekolah lagi. Menurut Ku Hasnita
Ku Samsu dan Mohd Haizam Mohd Nor (2011), sekiranya semangat patriotisme
ini tidak disemai dalam diri pelajar ketika mereka masih kecil, hal ini akan
menyebabkan mereka untuk sukar meraikan kepelbagaian adat dan budaya.
Kewujudan generasi baharu yang cintakan identiti dan budaya negara seperti
tulisan Jawi dan seni khat pasti akan berusaha untuk meninggalkan segala
perbalahan yang boleh menyebabkan perpecahan antara satu sama lain. Justeru,
tulisan Jawi perlu dipelajari oleh seluruh masyarakat terutamanya pelajar sekolah
bagi melahirkan modal insan yang saling menyayangi warisan negara untuk
mengekalkan perpaduan kaum antara masyarakat yang majmuk.
Dalam pada itu, kepentingan mempelajari tulisan Jawi yang seterusnya
adalah dapat mengeratkan silaturahim dan membina ukhuwah antara satu sama
lain (Awang Had Salleh, 1980). Perihal yang demikian kerana rakyat-rakyat
Malaysia yang mempelajari tulisan Jawi diumpamakan dengan mempelajari
bahasa Melayu. Mereka cenderung untuk menggunakan satu bahasa ketika
berkomunikasi dan menggunakan dua tulisan iaitu tulisan rumi dan jawi ketika
hendak menulis (Johari Yap, 2019). Pada masa yang sama, hasil yang dapat
dilihat adalah konsep kesamarataan dapat diterapkan ke dalam diri rakyat
Malaysia. Nik Omar Nik Abdul Aziz (2019) telah menerangkan bahawa konsep
kesamarataan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum ini akan
menjadi suatu benteng yang menghalang jurang antara interaksi kaum.
Nampaknya konsep yang sedia ada ini dapat membantu dalam mengeratkan lagi
ukhuwah dan silaturahim sekaligus membina perpaduan antara kaum di negara
kita. Demi meningkatkan silaturahim antara rakyat yang berbilang kaum, pihak
kerajaan telah menetapkan supaya pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi
akan diteruskan di sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan
(SJKC).
4.0 PENUTUP
Sebagai rumusan, tulisan Jawi merupakan sebuah tulisan yang telah wujud sejak
abad ke-13 pada zaman dahulu di mana tulisan tersebut telah menjadi sebuah
identiti negara yang perlu dipelihara. Pembelajaran tulisan Jawi yang bermula dari
akar umbi amat penting bagi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan
rakyat yang saling mengamalkan sikap bertoleransi, bekerjasama dan bersatu-
padu. Hal ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2,
“Bertolong-tolonglah kamu dalam kebajikan dan taqwa. Jangan kamu bertolong-
tolong dalam dosa dan permusuhan”. Pada masa yang sama, isu yang berlaku
dalam negara kita mengenai tulisan Jawi merupakan suatu jalan utama daripada
pemimpin-pemimpin negara kita dalam memartabatkan tulisan Jawi sebagai satu
daripada tulisan utama negara yang wajar untuk dikekalkan identitinya. Bertitik
tolak daripada itu, sebagai masyarakat Malaysia yang maju, kita hendaklah
sentiasa menghargai usaha dan inisiatif yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan
dalam memperjuangkan kesenian dan kebudayaan masyarakat dengan berusaha
untuk mempelajari tulisan Jawi dan memperkenalkan kepada rakan-rakan yang
berlainan kaum mengenai keindahan tulisan Jawi. Hal ini kerana seperti yang kita
sedia maklum, mempelajari tulisan Jawi merupakan satu daripada langkah
permulaan dalam mengekalkan identiti tulisan Jawi di samping mengukuhkan
hubungan persaudaraan antara satu sama lain.

(1 263 patah perkataan)


RUJUKAN

Al-Quran Al-Karim. Terjemahan berdasarkan Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada


Pengertian Al-Quran (Edisi ke-12). (2005). Dar Al-Fikr.

Abdul Jalil Borham. (2012). Tulisan Jawi: Tulisan serantau. Kertas kerja Ucaptama
Seminar Tulisan Jawi dan Teknologi Peringkat Kebangsaaan 2012 di Dewan
Astaka, Universiti Malaysia Pahang. 1-6.

Akashah Ismail & Abdul Hakim Samuri. (2018). Fokus SPM: Sejarah tingkatan 4 & 5.
Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Awang Had Salleh. (1980). Pendidikan ke arah perpaduan. Penerbit Fajar Bakti SDN
BHD.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2013). Tulisan Jawi. Dalam Kamus Dewan (Edisi ke-4, ms
615).

Dzul Haimi Md. Zain. (2006). Manifestasi tulisan Jawi. Jabatan Muzium Malaysia.

Hashim Musa. (2006). Epigrafi Melayu: Sejarah sistem tulisan dalam bahasa Melayu.
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Johari Yap. (2019, September 29). Satu bahasa, dua tulisan. Sinar Harian.
https://www.sinarharian.com.my/article/49777/KOLUMNIS/Satu-bahasa-dua-
tulisan

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2017). Dasar Pendidikan Kebangsaan (Edisi ke-4).


Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian
Pendidikan Malaysia.

Ku Hasnita Ku Samsu dan Mohd Haizam Mohd Nor. (2011). Kepentingan pendidikan
patriotisme terhadap warganegara Malaysia. Jati, 16(1), 23-34.

Mohd Iskandar Ibrahim & Luqman Arif Abdul Karim. (2020, Disember 7). Pembelajaran
tulisan jawi tetap diteruskan. BH Online.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/762390/pembelajaran-
tulisan-jawi-tetap-diteruskan.
Nik Omar Nik Abdul Aziz. (2019). Konsep rahmah dalam kehidupan masyarakat majmuk.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sayuti Ab. Ghani, Redwan Yasin, Burhanudin Jalal, & Mohd Mahzan Awang. (2016).
Kepelbagaian budaya di Malaysia: Analisis dari perspektif Islam.
https://www.researchgate.net/publication/319271624_Kepelbagaian_Budaya_Di_
Malaysia_Analisis_Dari_Perspektif_Islam

Shakila Ahmad, Hussain Othman, Rafiuddin Afkari, Midar Rusdi, & Mohd Hisyam Abdul
Rahim. (2011). Tulisan Jawi sebagai warisan peradaban bangsa: Analisa dari
aspek cabaran semasa. Conference: World Congress For Islamic History and
CivilizationAt: Academy of Islamic Studies, University of Malaya. 1-9.
SENARAI LAMPIRAN

You might also like