You are on page 1of 3

Mungkinkah Berlaku Terrorisme Makanan?

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Suasana suram pandemik masih lagi terasa. Saban hari kes jangkitan dan kematian masih
lagi dilaporkan dalam jumlah yang tinggi. Serangan virus COVID-19 ini bukan sahaja
menimbulkan kejutan kepada sektor kesihatan negara, malah mencetuskan kegusaran
dalam kalangan pemain industri makanan, pihak autoriti dan para pengguna. Ini kerana
potensi serangan berbentuk biologi ini boleh berlaku dalam rantaian makanan.
Sebagai salah satu keperluan asas kepada manusia, makanan merupakan sasaran
yang menjadi perhatian pihak yang terlibat dengan aktiviti terrorisme. Makanan yang
menjadi sasaran termasuklah yang bersumberkan haiwan ternakan ataupun tumbuhan,
buahan dan sayuran, baik dalam bentuk yang mentah ataupun telah diproses. Hal ini
disebabkan setiap manusia tanpa mengira peringkat usia perlu mengambil makanan untuk
bertahan dan meneruskan kehidupan.
Sebelum berlaku pandemik COVID-19, kita telah melalui detik cemas ketika wabak
SARS menyerang pada tahun 2002. Ia melibatkan pemindahan virus dari haiwan kepada
haiwan juga kepada manusia. Virus ini telah menyerang sektor makanan negara khususnya
penternakan ayam dan unggas dan telah memberi kesan terhadap kekurangan sumber
makanan pada ketika itu.
Apabila virus COVID-19 menyerang pada penghujung tahun 2019, telah berlaku
kepanikan kerana sistem pertahanan makanan negara kita tidak bersedia dengan krisis
bekalan makanan. Namun, kita masih bernasib baik kerana kebanyakan kes COVID-19
hanya melibatkan pemindahan virus dari manusia kepada manusia walau peringkat awal
tercetusnya dikatakan berpunca dari haiwan liar.
Justeru iktibar daripada tragedi epidemik SARS dan pandemik COVID-19 wajar
dijadikan pengajaran agar sistem pertahanan negara mampu lestari dan dapat bertindak
bagi menjaga keperluan asasi para pengguna. Walaupun begitu, perasaan takut dan
bimbang tetap wujud dengan cabaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi
boleh mengakibatkan ancaman terhadap keselamatan nyawa.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terrorisme makanan ditakrifkan
sebagai suatu perbuatan atau ancaman pencemaran makanan yang disengajakan untuk
kegunaan manusia dengan agen kimia, biologi, atau radio nuklear untuk tujuan
menyebabkan kecederaan atau kematian kepada penduduk awam dan/atau mengganggu
kestabilan sosial, ekonomi, atau politik.
Dengan kata lain, ia merujuk kepada tindakan pencemaran yang sengaja terhadap
rantaian bekalan makanan dengan beberapa motif, di antaranya adalah dengan tujuan
menyebabkan kemudaratan fizikal dan ancaman nyawa manusia, menyebabkan gangguan
terhadap ekonomi sesebuah negara, mencetuskan ketidakstabilan politik di samping
mewujudkan rasa ketakutan terhadap masyarakat awam. Biasanya sumber makanan dan
air adalah salah satu daripada beberapa sasaran yang digunakan untuk menimbulkan rasa
ketakutan yang berpanjangan dengan gambaran keadaan merbahaya.
Malah kini kita telah memasuki dekad yang penuh dengan cabaran seiring dengan
perkembangan teknologi dalam Revolusi Industri 4.0. Seiring dengan itu, aktiviti
terrorisme kini telah berkembang selaras dengan kecanggihan teknologi yang dicapai oleh
manusia. Ia berkembang dari pendekatan tradisional kepada bentuk baharu. Dalam
ancaman terrorisme konvensional, tindakan keganasan ini dapat dicerap oleh pancaindera,
misalnya tindakan pengeboman, bunuh diri, tembakan rambang dan sebagainya.
Berbanding teknik moden yang tidak dapat ditanggap oleh panca indera. Ia hadir tanpa
rasa, tanpa warna dan tanpa bau.
Selain itu, perkembangan teknologi semasa telah menghasilkan berbagai bahan dan
kaedah baharu yang diperolehi dan digunakan bagi menghasilkan produk makanan
sehingga sukar dikenal pasti dengan menggunakan panca indera semata-mata. Penghasilan
makanan yang kompleks ini menyebabkan ia tidak dapat dikenalpasti secara luaran,
bahkan perlu analisis makmal yang ketat untuk menentukan kandungannya dengan tepat.
Dalam catatan, terdapat empat kes keganasan makanan yang telah dilaporkan
berlaku iaitu serangan Mau Mau pada tahun 1950, Rajneeshees pada tahun 1984, Dark
Harvest pada tahun 1981 dan Aum Shinrikyo dari tahun 1990-1995. Selain itu, dalam
industri ternakan di United Kindom dan lebih 12 buah negara lain, serangan penyakit
lembu gila pernah berlaku. BSE (Bovine Spongiform Encephalopath) telah dijumpai di lebih
daripada 187,000 haiwan. Sebanyak 183,000 kes dilaporkan telah berlaku di United
Kingdom (UK), yang mana penyakit itu mula dikesan pada tahun 1986. BSE berpotensi
untuk ditransmisikan kepada manusia yang memakan daging yang tercemar. Walaupun
pakar berbeza pandangan dalam menentukan kes jangkitan ini sebagai terrorisme
makanan atau tidak, tetapi potensi serangan tetap wujud.
Pada dasarnya, pelbagai titik sasaran serangan terrorisme makanan boleh dilakukan
dalam rantaian bekalan makanan dari ladang ke tangan pengguna. ia termasuklah serangan
terhadap sumber makanan di ladang seperti ternakan, tenusu, atau dalam peringkat
pemprosesan dan pengedaran, kemudahan penyimpanan, pengangkutan hinggalah
penghidangan ke meja pengguna.
Sedangkan Islam telah meletakkan garis panduan halal haram yang jelas dalam
pengambilan makanan dan minuman. Ini kerana ia sebahagian daripada tuntutan ibadah.
Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang
baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika
betul kamu hanya beribadat kepadanya. (QS, al-Baqarah [2]: 172). Begitu juga dengan
arahan untuk memakan rezki yang halal lagi tayyib kerana ia indikator keimanan. Firman
Allah SWT: Dan makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allâh telah rezekikan
kepadamu, dan bertakwalah kepada Allâh yang kamu beriman kepada-Nya (QS, al Ma’idah
[5]: 88).
Berdasarkan ayat di atas, kita perlu memilih dan memastikan makanan yang
diambil adalah halal dan tayyib, iaitu suci, selamat, berkualiti, bersih dan segar tanpa
sebarang bahan yang memudaratkan untuk menjamin kelangsungan hidup.
Secara tersiratnya dapat difahami bahawa pertahanan makanan negara perlu
diperkasakan bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan berlakunya serangan
terrorisme makanan. Jika tidak, kita akan mengalami krisis kekurangan bekalan makanan
atau sekuriti makanan yang serius dan gangguan terhadap aspek ekonomi, politik, sosial di
samping ancaman terhadap keselamatan nyawa manusia.
Tegasnya, ancaman terrorisme makanan ibarat sebagai musuh tidak kelihatan.
Dengan itu, tindakan untuk meminimumkan atau menangani ancamannya perlu dilakukan
untuk melindungi bekalan makanan dan rantaiannya dari pencemaran sengaja yang
dimaksudkan oleh pihak pengganas. Bahkan masyarakat juga perlu sedar tentang potensi
ancaman terhadap makanan dalam era baru ini. Kegagalan untuk membangunkan
pertahanan makanan negara yang lestari bagi melindungi makanan dan pengguna akan
menyebabkan tragedi terhadap rantaian bekalan makanan, dan secara langsung akan
memberi kesan terhadap kelangsungan hidup manusia.

* Rencana ini adalah sebahagian daripada hasil penyelidikan geran FRGS-FP007-2018A.

You might also like