You are on page 1of 3

S/K.KEW/PK/KP/9999/010103/57/173 Jld.43 (SJ.

3) (SEM)(14)

KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA

PEKELILING KONTRAK PERBENDAHARAAN BIL. 1 TAHUN 2009

Semua Ketua Setiausaha Kementerian


Semua Ketua Agensi Persekutuan
Semua Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Ketua Badan Berkanun Persekutuan
Semua Pihak Berkuasa Tempatan

PEMBEKALAN DAN PENGIRIMAN BUKU TERBITAN DAN CETAKAN


LUAR NEGARA KEPADA SEMUA AGENSI KERAJAAN DI SELURUH
MALAYSIA

TUJUAN

Pekeliling Kontrak Perbendaharaan (PKP) ini bertujuan untuk memaklumkan


mengenai tatacara perolehan bagi Bekalan Dan Pengiriman Buku-Buku Terbitan Dan
Cetakan Luar Negara kepada semua agensi Kerajaan di seluruh Malaysia.

LATAR BELAKANG

2. Kementerian Kewangan melalui Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bil. 4


Tahun 2005 bertarikh 30 Jun 2005 telah memutuskan perolehan bagi Bekalan Dan
Pengiriman Buku-Buku Terbitan Dan Cetakan Luar Negara dibuat secara pembelian
terus dengan pembekal Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan
dalam kod bidang bahan bacaan (010100). Walau bagaimanapun untuk mengemas
kini peraturan sedia ada, Kementerian Kewangan telah memutuskan untuk mewujudkan
tatacara perolehan baru bagi Bekalan Dan Pengiriman Buku-Buku Terbitan Dan Cetakan
Luar Negara kepada semua agensi Kerajaan di seluruh Malaysia.

3. Buku Terbitan Dan Cetakan Luar Negara ditakrifkan sebagai buku, majalah,
jurnal dan tesis yang dicetak dan diterbitkan di luar negara.
KAEDAH PEROLEHAN

4. Tatacara bagi perolehan di atas ditetapkan seperti berikut:-

4.1 Perolehan bernilai sehingga RM50,000.00 setahun diuruskan secara


pembelian terus dengan pembekal Bumiputera yang berdaftar dengan
Kementerian Kewangan dalam kod bidang 010101 (Bahan Bacaan
Terbitan Luar Negara);

4.2 Bagi perolehan melebihi RM50,000.00 sehingga RM5 juta setahun


hendaklah diuruskan melalui kaedah sebut harga:-

(a) Perolehan melebihi RM50,000.00 sehingga RM500,000.00


setahun hendaklah diuruskan melalui kaedah sebut harga di
kalangan pembekal Bumiputera yang berdaftar dengan
Kementerian Kewangan dalam kod bidang 010101.
Bagaimanapun untuk mempertimbangkan keputusannya, ia
hendaklah diputuskan oleh Jawatankuasa Sebut Harga Agensi; dan

(b) Bagi perolehan melebihi RM500,000.00 sehingga RM5 juta


setahun hendaklah diuruskan melalui kaedah sebut harga di
kalangan pembekal Bumiputera yang berdaftar dengan
Kementerian Kewangan dalam kod bidang 010101.
Bagaimanapun untuk mempertimbangkan keputusannya, ia
hendaklah diputuskan oleh Lembaga Perolehan Agensi.

(c) Perolehan melebihi RM5 juta setahun hendaklah diuruskan


melalui kaedah sebut harga di kalangan pembekal Bumiputera
yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dalam kod
bidang 010101 dan Kementerian Kewangan perlu dirujuk
untuk mempertimbangkan dan menyetujui terima tawaran sebut
harga tersebut.

TANGGUNG JAWAB AGENSI

5. Agensi hendaklah memastikan:-

5.1 Bagi perolehan melebihi RM200,000 setahun satu perjanjian kontrak


diwujudkan dan bon pelaksanaan dikemukakan oleh syarikat;

5.2 Pemilihan pembekal hendaklah berasaskan kepada pembekal yang sentiasa


memberikan perkhidmatan yang terbaik dan menawarkan harga yang
munasabah. Agensi hendaklah tidak tertumpu pada satu atau dua
pembekal sahaja tetapi hendaklah menggilirkan di antara pembekal-
pembekal; dan

2
5.3 Harga yang ditawarkan oleh pembekal adalah harga bersih (termasuk kos
pembungkusan dan penghantaran) dan hendaklah dalam Ringgit Malaysia.

TANGGUNG JAWAB PEGAWAI PENGAWAL

6. Adalah menjadi tanggung jawab Pegawai Pengawal/Ketua Jabatan memastikan


agensi mematuhi peraturan perolehan yang berkaitan dalam menguruskan
perolehan ini.

KUAT KUASA DAN PEMBATALAN

7. PKP ini berkuat kuasa pada tarikh ia dikeluarkan. Dengan berkuat kuasanya PKP
ini, SPP dan Surat Arahan Perbendaharaan (SAP) berikut adalah dibatalkan:

(i) SPP Bil. 4 Tahun 2005;


(ii) SAP bertarikh 19 Julai 2005;
(iii) SAP bertarikh 20 Disember 2005; dan
(iv) SAP bertarikh 25 Mei 2006

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,

(DATO’ MOHAMED BIN STAPA)


Bahagian Perolehan Kerajaan
b.p. Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Kementerian Kewangan Malaysia

Bertarikh: 10 Mac 2009

s.k.
Ketua Setiausaha Negara
Ketua Audit Negara Malaysia
Akauntan Negara Malaysia
Semua Pegawai Kewangan Negeri

You might also like