You are on page 1of 7

Perenggan Pendahuluan

Contoh 1

Dalam mengharungi arus globalisasi serta menerajui dunia ketiga, kita seyogiannya
memperkasakan keeratan serta perpaduan kaum di Malaysia bagi mengelakkan
berlakunya rusuhan kaum. Justeru, variasi kaum haruslah bergerak sederap bagai aur
dengan tebing sebagai satu sinergi menjurus ke wawasan 2020. Menurut kata Perdana
Menteri yang keenam, keakraban rencaman kaum merupakan penawar yang paling
mujarab bagi menyemarakkan keakraban kaum bak kata pepatah’ bulat air kerana
pembetung bulat manusia kerana muafakat’. Selain itu, sinergi daripada semua pihak
berganding bahu melakukan usaha-usaha yang proaktif dan efektif dalam merealisasikan
aspirasi rakyat seantero Malaysia.Persoalannya, apakah usaha-usaha yang boleh
dilaksanakan bagi memperkasakan perpaduan kaum di Malaysia?

Dalam mengharungi arus pemodenan, usaha yang efisien harus dibuat bagi membentuk
perpaduan kaum di negara kita. Pihak keraajaan mempunyai peranan dalam
merealisasikan perpaduan kaum. Usaha kerajaan mengadakan Majlis Rumah Terbuka
peringkat kebangsaan untuk menyambut perayaan kaum utama Malaysia amat dialu-
alukan. Menurut Perdana Menteri kita, konsep Satu Malaysia dapat dijayakan melalui
majlis sebegini. Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, sarwajagat negara
kita yang tediri daripada pelbagai kaum memberi komitmen yang tinggi. Mereka
menghadirkan diri dan mengitimkan hubungan mereka dengan masyarakat yang
mempunyai pelbagai kaum dan latar belakang. Interaksi antara kaum dalam majlis
sebegini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Tuntasnya,
kemajuan negara kita bergantung kepada perpaduan kaum seperti kata pepatah
‘bersatu teguh, bercerai roboh’.

Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti kemasyarakatan yang memerlukan
setiap kaum mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan. Cara ini dapat
memupuk semangat kerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dengan
menghapuskan sikap mementingkan diri yang tertanam di dalam jiwa masyarakat kini.
Namun, sikap negatif masyarakat terutamanya masyarakat yang duduk di bandar yang
hanya bekerja tidak tentu masa dan melakukan kerja sendiri menyebabkan usaha
memupuk semangat perpaduan sukar untuk diterapkan. Aktiviti memperteguh jalinan
kemesraan harus dijalinkan seperti aktiviti gotong-royong yang memerlukan sumbangan
setiap pihak untuk menjayakan aktiviti tersebut supaya perpaduan secara maksimum
dapat dilahirkan. Pendek kata, aktiviti kemasyarakatan dapat menjadi wadah yang
terbaik bagi memupuk semangat perpaduan yang perlu ada dalam diri setiap rakyat
seiring dengan hasrat negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu
walaupun berlainan bangsa mahupun agama.

Sejajar dengan konteks perbicaraan, dengan menganjurkan program Hari Keluarga,


semangat muhibah antara kaum yang berbeza di Malaysia dapat disemarakkan. Agenda
program ini bertujuan untuk mewujudkan nilai keakraban dan membendung sikap
diskriminasi. Serentak dengan itu, menerusi program hari keluarga ini, pelbagai lapisan
masyarakat yang hadir dapat berkomunikasi serta bertukar-tukar idea dan pendapat
berkaitan dengan sesuatu isu. Sebagai contoh, sekolah-sekolah di seluruh pelosok
negara juga dapat melibatkan diri dalam sambutan Hari Keluarga. Di samping itu,
kerajaan juga boleh mengadakan sambutan ini khas untuk kakitangan kerajaan. Jelaslah
bahawa usaha dalam membentuk perpaduan kaum di Malysia boleh direalisasikan
dengan program Hari keluarga yang berpotensi untuk memperkasakan hubungan antara
kaum di negara kita.

Seiring dengan itu, system pendidikan merupakan satu jalan komunikasi yang pintas
untuk merealisasikan hasrat ini. Pengenalan satu sistem pendidikan yang sama oleh
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan perpaduan kaum. Selain itu,
sekolah wawasan yang menempatkan tiga jenis sekolah yakni sekolah kebangsaan,
sekolah jenis kebangsaan cina dan sekolah jenis kebangsaan tamil juga mempercepat
proses perpaduan kaum. Sebagai contoh, aktiviti kumpulan yang dijalankan dapat
memperkasakan hubungan kaum di peringkat sekolah. Selain itu, penggunaan bahasa
Malaysia iaitu bahasa rasmi negara kita sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah
kebangsaan turut membolehkan pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain
seperti slogan bahasa jiwa bangsa. Izharnya, memang tidak boleh kita nafikan bahawa
sistem pendidikan negara kita menjadi pemangkin dalam proses memperkasakan
hubungan sesama kaum.

Dari kaca mata yang lain, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan juga merupakan
salah satu langkah dalam mendekati matlamat dan harapan para pemimpin kita dalam
mencapai perpaduan kaum. Negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yakni
Melayu, Cina dan India. Rakyat boleh mengaplikasikan budaya kaum mereka dari aspek
pemakanan, pemakaian, dan peradaban serta berkongsi dengan kaum-kaum lain.
Sebagai contoh, semakin ramai wanita bukan Melayu yang memakai baju tradisional
orang Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis dan kuliah-kuliah. Makanan India seperti
roti canai dan tose juga semakin diminati oleh kaum yang lain. Oleh itu, kemasukan
nilai-nilai budaya dan warisan berbilang kaum ini dapat menimbulkan rasa hormat
antara satu sama lain dan seterusnya mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam negara.

Sekiranya isu ini diperinci secara mendalam, kerajaan telah mewajibkan remaja yang
berumur 17 tahun ke atas menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul
kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan
dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang merupakan bakal pemimpin
negara. Selaras dengan modul kenegaraan, para remaja berbilang kaum berpeluang
untuk bekerjasama bagai aur dengan tebing dan seterusnya perpaduan dapat disemai
melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan yang dilaksanakan dalam PLKN. Sesungguhnya,
tidak dapat disangkal bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam
membentuk perpaduan kaum.

Sebagai intiharnya, dapat disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah


negara perlulah bergantung kepada perpaduan kaum di Malaysia. Pelbagai pihak harus
bergerak sederap, seia sekata dalam iltizam mencapai hasrat keharmonian dan
perpaduan negara bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana
muafakat. Perpaduan kaum merupakan suatu misi yang amat penting agar Malaysia
dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi
sebuah negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-
negara maju. Rakyat adalah aset negara yang paling bernilai dalam pembinaan negara
yang berbilang kaum demi visi Wawasam 2020.
Pada hemat saya, sudah tentu rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan tema sambutan
Hari Kemerdekaan Negara ke-51, iaitu “Perpaduan Teras Kejayaan”. Jika slogan tersebut
dibaca dengan teliti, slogan tersebut sebenarnya membawa mesej bahawa masyarakat
yang hidup bersatu-padu dapat menjana kejayaan dan kecemerlangan negara. Sebagai
pembuka bicara, kita sudah sedia maklum bahawa perpaduan dan keharmonian
merupakan elemen yang sangat penting dalam mengekalkan kesejahteraan dalam
masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini. Tanpa perpaduan, nescaya kemerdekaan
dan kedaulatan negara yang telah diperoleh sejak sekian lama akan hilang dalam sekelip
mata. Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan perpaduan kaum di negara
ini?

Sebagai langkah pertama dalam membentuk perpaduan, rakyat haruslah bergaul dan
memupuk persefahaman antara kaum. Dalam keadaan tersebut, ibu bapa perlulah
menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi. Persis kata
mutiara, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka digalakkan berkomunikasi
dengan jiran yang berlainan bangsa dan membawa anak-anak mengunjungi rumah jiran
semasa hari lebaran. Dengan cara itu, ibu bapa dapat menjadi suri teladan kepada anak-
anak dan membolehkan mereka menghayati keistimewaan masyarakat Malaysia yang
mempunyai pelbagai jenis kaum dan etnik. Satu lagi cara yang dapat diambil oleh ibu
bapa ialah bergaul dengan anak-anak dalam pelbagai bahasa, misalnya Bahasa Melayu,
Bahasa Inggeris, dan bahasa-bahasa ibunda. Apabila golongan muda menguasai
pelbagai bahasa, mereka dapat berkomunikasi dengan rakan yang berlainan bangsa
dengan mudah. Pokoknya, nilai-nilai perpaduan dan permuafakatan hendaklah
didedahkan kepada generasi muda sejak awal lagi agar jiwa perpaduan dalam diri
mereka dapat berkembang dengan sempurna.

Seterusnya, institusi-institusi pendidikan perlu bertanggungjawab menerapkan semangat


bersatu-padu dalam kalangan pelajar berbilang kaum. Antara langkah yang dapat
diambil adalah dengan memberikan kerja-kerja berkumpulan. Dalam konteks ini, guru-
guru hendaklah membahagikan pelajar secara berkumpulan dalam melaksanakan
projek-projek sekolah, seperti kajian Sains, persembahan maklumat, dan sambutan-
sambutan dalam sekolah. Guru-guru juga haruslah membahagikan kedudukan pelajar
dengan sempurna untuk menggalakkan pelajar berkomunikasi dengan pelajar-pelajar
yang berlainan kaum dan bukannya sesama kaum sahaja. Dalam proses menjayakan
inisiatif-inisiatif tersebut, guru tidak boleh mencetuskan isu-isu sensitif semasa
mangajar, misalnya dengan mengagung-agungkan warisan budaya sendiri dan
mengejek budaya kaum lain. Pendek kata, pelajar-pelajar dan guru-guru perlulah
bekerjasama “bagai aur dengan tebing” demi menzahirkan semangat perpaduan di
peringkat sekolah.

Di samping itu, pelajar-pelajar perlulah belajar dan menghayati sejarah negara agar
dapat memahami erti perpaduan negara. Sebagai satu daripada langkah untuk
mewujudkan permuafakatan bangsa, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan
pelajar-pelajar agar lulus dalam mata pelajaran Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM). Dasar tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2013. Langkah bijak
tersebut diharapkan dapat menyedari anak-anak bangsa tentang kesan akibat
kurangnya perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat. Antaranya, dasar pecah dan
perintah yang dilaksanakan semasa penjajahan British telah menyukarkan usaha
menyatupadukan kaum menjelang kemerdekaan negara. Pada masa yang sama, kita
tentulah tidak mengharapkan peristiwa 13 Mei 1969 berulang dan menggugat kestabilan
tanah air. Oleh itu, pelajar perlu mengenali sejarah tanah air agar dapat menyemai
semangat perpaduan dalam diri individu. Ahli falsafah terkemuka, iaitu George
Santayana juga menyatakan bahawa “sesiapa yang melupakan sejarah pasti akan
mengulanginya”.

Pada masa yang sama, rakyat Malaysia hendaklah menghindari sebarang tindakan yang
dapat mencetuskan provokasi kaum. Hal ini adalah kerana tindakan-tindakan yang dapat
membangkitkan isu perkauman dapat mengakibatkan pertelingkahan antara kaum,
seterusnya menjejaskan keamanan negara. Misalnya, Wee Meng Chee ataupun lebih
dikenali sebagai Namewee, iaitu seorang pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di
Taiwan, telah menimbulkan api kemarahan rakyat Malaysia dengan karyanya yang
berjudul “Negarakuku”. Lagu “rap” yang diubahsuai daripada lagu Negaraku berbaur
unsur-unsur yang menghina Perlembagaan Negara dan dasar-dasar pentadbiran negara.
Sekiranya banyak rakyat Malaysia yang bertindak sedemikian, ke manakah akan
perginya perpaduan negara dan maruah negara? Sesungguhnya, walaupun kita
diberikan kebebasan bersuara, kita janganlah mengambil kesempatan tersebut untuk
mencetuskan isu-isu sensitif yang dapat menghancurkan keharmonian dan kedaulatan
negara.

Seterusnya, masyarakat setempat juga memainkan peranan dalam mengukuhkan


perpaduan kaum di negara ini. Mereka sewajarnya menganjurkan pelbagai aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-royong, Program Rukun Tetangga, dan kempen Bulan
Kemerdekaan untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum. Melalui
aktiviti-aktiviti seperti gotong-royong dan Program Rukun Tetangga, selain daripada
menjamin kesejahteraan hidup warga setempat, rakyat juga berpeluang berkomunikasi
dan menghulurkan bantuan kepada jiran tetangga yang berlainan bangsa. Bak kata
pepatah, “serampang dua mata”. Smabutan-sambutan khas seperti Hari Keluarga dan
Kempen Bulan Kemerdekaan dalam pelbagai peringkat pula dapat membuka mata
rakyat jelata tentang adat resam dan budaya kaum lain. Program Hari Keluarga
misalnya, menawarkan rencaman jenis permainan dan aktiviti bersuka-ria yang
memerlukan perancangan teliti dan kerjasama yang erat antara ahli keluarga ataupun
jiran tetangga. Sesungguhnya, masyarakat setempat tidak ketinggalan dalam
memainkan peranan yang penting untuk melahirkan permuafakatan dalam kalangan
masyarakat negara.

Kerajaan pula harus memainkan tugas penting untuk menggerakkan rakyat ke arah
perpaduan yang jitu. Sebagai jentera pentadbiran negara, kerjaan perlulah berusaha
menerapkan gagasan Satu Malaysia dalam kalangan rakyat. Namun, apakah gagasan
Satu Malaysia sebenarnya? Gagasan Satu Malaysia yang diwara-warakan oleh Perdana
Menteri Malaysia, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak ini bertujuan mewujudkan sebuah
negara bangsa yang merangkumi persefahaman dan perpaduan yang utuh dalam
kalangan warga Malaysia. Demi merealisasikan gagasan tersebut, kerajaan haruslah
menganjurkan pelbagai kempen untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam
kalangan rakyat. Antaranya ialah pameran kebudayaan dan warisan masyarakat
Malaysia. Langkah ini dapat menyemai persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang
kaum kerana mereka dapat mengenali dan menghayati budaya kaum lain dengan lebih
lanjut. Kempen “Cintai Bahasa Kita” perlulah digiatkan dengan lebih cergas lagi untuk
memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Bahasa Melayu. Hal ini adalah
kerana bahasa kebangsaan merupakan wahana penting yang dapat memudahkan
komunikasi antara rakyat. Kerajaan turut telah mengambil langkah menganjurkan
Program Integrasi Nasional dalam kalangan pelajar sekolah. Program tersebut
sebenarnya bertujuan untuk menerapkan semangat bersatu-padu dalam diri bakal
peneraju negara. Tuntasnya, usaha-usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan perlu
dimanfaatkan oleh rakyat dan bukannya “seperti kera mendapat bunga” agar perpaduan
dan integrasi nasional dapat diwujudkan.

Sebagai intihanya, “bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi”. Usaha-usaha untuk
mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini memerlukan sinergi dan dedikasi yang
tidak berbelah bahagi oleh oleh semua pihak, “seperti isi dengan kuku”. Janganlah
mengizinkan sejarah hitam akibat kurangnya persefahaman dalam kalangan masyarakat
seperti peristiwa 13 Mei 1969 berulang di negara ini. Bak kata mutiara, “bersatu teguh,
bercerai roboh”. Oleh itu, marilah kita bergabung idea dan tenaga yang dihiaskan
dengan sikap toleransi dan persefahaman yang kukuh demi mewujudkan integrasi
nasional. Mulakanlah inisiatif-inisiatif tersebut ke arah Wawasan 2020 kerana
“perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama”. Majulah bangsa demi
negara!
Perpaduan merujuk kepada suasana dan ikatan mesra antara rakyat dalam
sesebuah negara. Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin
menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai
cabaran dan rintangan yang bakal menghambat. Isu perpaduan kaum bukanlah
sesuatu isu yang baharu di negara kita bahkan telah menjadi fokus
perbincangan dalam media massa dan buah mulut dalam kalangan rakyat.
Senario ini amat mengecewakan kerana pembangunan negara kita yang pesat
sejak merdeka akan terjejas disebabkan pergaduhan dan pergolakan politik
dalaman.  Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang
konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dijalankan secara berterusan agar
masalah ini boleh dibasmi hingga akar umbi. 

Peranan ibu bapa dan barisan pendidik merupakan wahana dalam membina
generasi masa hadapan yang mementingkan keharmonian antara kaum. Dalam
institusi keluarga, ibu bapa merupakan entiti mithali kepada anak dan perlu
menunjukkan teladan baik. Contohnya, ibu bapa haruslah bertegur sapa dan
melayani jiran setangga dengan mesra tanpa mengira bangsa, kaum dan anutan
agama. Maka, sejak usia muda anak akan terpengaruh untuk meneladani sikap
ibu bapa yang menghormati kaum lain, bak kata pepatah, melentur buluh
biarlah daripada rebungnya. Barisan pendidik di sekolah juga memainkan
peranan signifikan dalam menerapkan nilai murni ke dalam sanubari anak
murid. Melalui pengajaran subjek pendidikan moral dan sivik
kewarganegaraan, barisan pendidik dapat memberikan bimbingan dan nasihat
yang berterusan untuk membentuk sahsiah positif dalam para murid. Yang kita
pastikan ialah gabungan usaha antara ibu bapa dengan barisan pendidik dapat
memupuk nilai perpaduan dalam generasi muda. 

Selain itu, pada masa ini juga aktiviti kemasyarakatan dapat mengukuhkan
perpaduan kaum di negara kita. Melalui penganjuran aktiviti gotong-royong,
masyarakat dapat memupuk semangat bekerjasama bak aur dengan tebing
untuk membersihkan dan mengindahkan kawasan persekitaran tempat
kediaman. Aktiviti sebegini mampu menjamin keceriaan kawasan kediaman
masyarakat dan juga membuka ruang serta peluang komunikasi antara jiran
tetangga. Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka haruslah diperkukuh di
negara kita. Rumah terbuka merupakan kaedah pemupukan perpaduan yang
efektif kerana dapat mendedahkan masyarakat kepada keunikan adat resam
kaum lain. Secara tidak langsung, persefahaman antara kaum dapat
diwujudkan dan hubungan erat bak isi dengan kuku dapat dijalin. Dengan
perkataan lain, aktiviti kemasyarakatan merupakan saluran yang paling
berkesan untuk memupuk perpaduan kaum. 

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa media massa


merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era
globalisasi ini. Dalam konteks mengukuhkan perpaduan kaum, media massa
seharusnya digunakan dengan sebaik-baiknya untuk menyebarkan mesej dan
informasi positif tentang kepentingan bersatu padu. Sebagai analoginya, stesen
penyiaran tempatan boleh menyiarkan program yang berunsur perpaduan dan
mempunyai pelakon yang berbilang pelbagai bangsa. Siaran program sudah
pasti dapat menerapkan nilai perpaduan dalam jiwa masyarakat secara
berunsur-unsur terutamanya jika unsur hiburan turut diselitkan dalam
program tersebut. Sesungguhnya, perpaduan kaum akan tercapai dengan lebih
mudah melalui peranan media massa. 
Dalam sistem perundangan negara kita, rakyat diberikan hak kebebasan
bersuara. Namun demikian, rakyat Malaysia seharusnya menghindari sebarang
tindakan yang boleh mencetuskan provokasi kaum. Rakyat negara kita
haruslah mengawal nafsu diri dan tidak mengambil kesempatan dengan
mencetuskan isu sensitif dan kontroversi. Hal ini dapat mengelakkan muhibah
dan perpaduan kaum daripada terjejas kerana bak kata pepatah, mencegah
lebih baik daripada mengubati. Justeru, peranan rakyat sendiri tidak boleh
dinafikan kepentingannya dalam usaha memupuk perpaduan kaum di negara
kita.

Konklusinya, perpaduan merupakan tunjang dan asas negara Malaysia. Semua


pihak haruslah menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk memainkan
peranan masing-masing dalam menerbitkan semangat perpaduan dalam
sanubari sendiri dan orang lain. Jika semua masyarakat berganding bahu,
ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perpaduan
rakyat dapat dicapai dan diggenggam erat. Dengan ini diharapkan peristiwa
hitam seperti 13 Mei 1969 dapat dielakkan daripada berulang kembali. Demi
merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama menyeru
sahutan kerajaan dan berusaha untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni
dan bersatu. 

You might also like