You are on page 1of 8

Analisis Artikel 2

Tajuk : Status Sosio Ekonomi dan Komitmen Ibu Bapa Terhadap Pencapaian Pelajar dalam
Penilaian Menengah Rendah, Malaysia

Penulis : Mohamad Johdi Salleh Che Noraini Hashim, Ismael Hassanaen, Amir Hasan Dawi.

PENGENALAN

Status Sosio Ekonomi dan Komitmen Ibu Bapa Terhadap Pencapaian Pelajar dalam
Penilaian Menengah Rendah, Malaysia merupakan satu hasil kajian bersama oleh Mohamad
Johdi Salleh, PhD, Che Noraini Hashim, PhD, Ismael Hassanaen, PhD, Amir Hasan Dawi,
PhD. Artikel ini diterbitkan pada tahun 2009 di dalam 14th International Conference on
Education. Kajian ini membincangkan tentang status sosio ekonomi (SSE) serta komitmen
ibu bapa terhadap pencapaian pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Malaysia.

Latar belakang status sosio ekonomi (SSE) merangkumi aspek bilangan isi
keluarga,pendapatan ibu bapa, pekerjaan ibu bapa dan aspirasi sesebuah keluarga, yang
lazimnya dikaitkan dengan komponen teras sosial dan ekonomi. Ahli-ahli sosiologi, termasuk
Max Weber bersetuju terhadap lima kelas sosial di dalam masyarakat iaitu golongan
atasan,pertengahan atasan, kelas pertengahan bawah, kelas pekerja dan golongan bawahan.
Kedudukan SSE sedemikian turut mempengaruhi kanak-kanak yang secara langsung dan
tidak langsung belajar daripada persekitaran fizikal, sosial dan iklim dalam dunia mereka
dibesarkan. Ketinggian SSE sering dikaitkan dengan berinisiatif tinggi, bermotivasi, dan
penyerlahan pelbagai kejayaan. Manakala, status SSE rendah pula dikolompokkan dalam
kepapaan, kemiskinan, pengasingan daripada arus perdana kemajuan. Mereka dilabelkan
sebagai sering berputus asa dan sukar menerima kenyataan. Ini menyebakan mereka sukar
merancang masa depan dan sering menjadi mangsa keadaan sehingga berterusan dalam
lingkaran ’putaran ganas kemiskinan’.

Kemelut ini berterusan merebak persis wabak iaitu masyarakat umum melabelkan
ibubapa SSE rendah tidak mempunyai cita-cita yang tinggi terhadap pencapaian anak-anak
mereka di sekolah. Situasi ini berlaku kerana ibubapa tidak menggalakkan cita-cita mereka
dengan tidak menghiraukan pelajaran mereka. Walaupun kanak-kanak ini mempunyai citacita
untuk berjaya tetapi gagal mencapai cita-cita tersebut kerana tidak mendapat dorongan dan
sokongan sewajarnya daripada ibu bapa sendiri
Sesungguhnya dimensi bias ini boleh berubah dengan ikhtiar dan tawakkal sebagai
manusia ciptaan Allah SWT yang Maha Pemurah dan Penyayang. Kesungguhan usaha dan
ketinggian komitmen telah terbukti menghasilkan perubahan dan kejayaan kedudukan iaitu
bukan semua pelajar dari golongan SSE rendah akan menghadapi kegagalan. Pengalaman
membesar dalam kemiskinan telah menjadikan mereka seorang dewasa berketerampilan,
tinggi jati diri, jitu pendirian, sakhsiah berkualiti, lantas berperanan positif-konstruktif dalam
keluarga, masyarakat, dan negara, bahkan sebahagian telah terserlah ke tahap persada dunia.

RINGKASAN ARTIKEL

Berdasarkan artikel, penulis menyatakan tujuan kajian dijalankan adalah untuk


membincangkan tentang status sosio ekonomi (SSE) serta komitmen ibu bapa terhadap
pencapaian pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Malaysia. Di antara objektif-
objektifnya ialah mengenalpasti perbezaan prestasi akademik pelajar SSE tinggi, SSE
pertengahan dan SSE rendah; meneroka faktor-faktor berlakunya perbezaan prestasi
akademik di antara pelajar-pelajar daripada golongan-golongan kelas sosial di atas;
mengenalpasti pengaruh atau komitmen ibu bapa terhadap prestasi anak-anak mereka dalam
peperiksaan; dan, mengetahui komitmen ibu bapa daripada golongan SSE tinggi, pertengahan
dan rendah dalam membantu mencapai kejayaan. Kajian ini dijalankan di beberapa buah
sekolah di Selangor, Malaysia, melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan Empat terdiri daripada
kelas cemerlang, kelas sederhana, dan kelas paling rendah pencapaian PMR mereka. Penulis
turut menemubual beberapa orang guru untuk menjelaskan persoalan berkaitan kajian. Kajian
ini menggunakan kaedah soal selidik, temu bual, dan penelitian dokumentasi. Hasil daripada
perbincangan dalam artikel ini dapatlah dirumuskan, bahawa perbezaan pencapaian
dikalangan murid-murid disebabkan perkara-perkara berikut:

1. Ciri-ciri latarbelakang seperti status sosio-ekonomi keluarga.


2. Status pendidikan ibu bapa.
3. Komitmen ibu bapa terhadap anak-anak.

Beberapa aspek kajian kes ini menyerupai kajian Alexander (1997) iaitu ciri-ciri latar
belakang seperti status sosio-ekonomi keluarga, jantina, jenis keluarga, dan saiz keluarga,
sikap dan nilai ibubapa, serta amalan sosialisasi dalam keluarga, dan sumber kendiri kanak-
kanak seperti sikap terhadap diri, matapelajaran dan terhadap sekolah memainkan peranan
penting dalam pencapaian pelajaran.
Murid yang mendapat pencapaian yang tinggi dalam PMR adalah mempunyai ciri-ciri
berikut: terdiri daripada murid yang ibu bapanya berpendapatan tinggi, anak pekerja
professional, taraf pendidikan ibu bapa tinggi, mendapat sokongan daripada ibu bapa dan
mempunyai aspirasi professional.

Murid yang lemah dalam peperiksaan pula terdiri daripada pelajar SSE rendah. Antara
ciri-ciri pelajar daripada SSE rendah, majoriti mereka mempunyai konsep kendiri yang lemah
termasuklah tidak mempunyai cita-cita, tidak mempunyai tahap keyakinan yang tinggi untuk
lulus peperiksaan, mudah terpengaruh dengan rakan sebaya yang tidak bersekolah, menjadi
liar kerana pengaruh tidak sihat kawan-kawan remaja di luar sekolah dan tidak pandai
menguruskan masa sendiri, memberikan lebih tumpuan kepada aktiviti yang tidak menjurus
kepada kecemerlangan akademik, dan terlibat dalam aktiviti salah laku (BPPDP, 1996).

Ibubapa daripada SSE rendah tidak mampu menyediakan tempat tinggal yang
kondusif. Apa yang mampu adalah menyediakan tempat kediaman yang sesak dan bising
seperti rumah pangsa dan kawasan setinggan di bandar dan pinggir bandar tidak menyediakan
suasana yang kondusif untuk pelajar mengulangkaji pelajaran, sebaliknya menjadi faktor
penolak pada pelajar untuk membuang masa dengan melepak.

Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa kesungguhan usaha dan


ketinggian komitmen telah terbukti menghasilkan perubahan dan kejayaan kedudukan iaitu
bukan semua pelajar dari golongan SSE rendah akan menghadapi kegagalan. Pengalaman
membesar dalam kemiskinan telah menjadikan mereka seorang dewasa berketerampilan,
tinggi jati diri, jitu pendirian, sakhsiah berkualiti, lantas berperanan positifkonstruktif dalam
keluarga, masyarakat, dan negara, bahkan sebahagian telah terserlah ke tahap persada dunia.
Anjakan ini amat berkait-rapat dengan sikap guru-guru, ibu bapa dan masyarakat sekeliling
yang mendorong khasnya pelajar-pelajar dengan cara memahami, menyayangi, dan
menghargai kesungguhan mereka untuk berjaya di dalam pelajaran. Sesungguhnya paradigma
ini boleh direalisasikan dengan ikhtiar dan tawakkal sebagai manusia ciptaan Allah SWT
yang Maha Pemurah dan Penyayang.
3.0 ULASAN KRITIS

Tugasan yang diberikan ini adalah bertujuan untuk menganalisa dan seterusnya mengulas
artikel yang telah dipilih yang bertajuk ‘Status Sosio Ekonomi dan Komitmen Ibu Bapa
Terhadap Pencapaian Pelajar dalam Penilaian Menengah Rendah, Malaysia’. Melalui kertas
kerja yang dilakukan ini, pendapat tentang isu-isu utama yang dibangkitkan oleh penulis serta
mengebolarasikan lagi dengan lebih mendalam dan terperinci tentang kandungan- kandungan
yang terdapat dalam artikel tersebut akan dikemukakan.

3.1 Isu Utama Yang Dibangkitkan Oleh Penulis

Isu utama yang telah dibangkitkan oleh penulis ialah latar belakang status sosio
ekonomi (SSE) serta komitmen ibu bapa mempunyai kaitan rapat terhadap pencapaian anak-
anak mereka dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Amy J. Orr (2003) mengatakan
kekayaan boleh mempengaruhi pencapaian akademik secara positif. Ibubapa yang
mempunyai pendapatan kukuh kurang mendapat masalah dalam melancarkan anak-anak
mencapai pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Murid daripada ststus sosio-ekonomi
tinggi mendapat pencapaian akademik yang lebih baik berbanding dengan murid daripada
status sosioekonomi rendah dan sederhana. Keluarga yang berada mempunyai peluang-
peluang yang lebih untuk membeli bahan pendidikan atau mengadakan kelas bimbingan
tambahan. Persekitaran pembelajaran yang lebih baik boleh diadakan apabila pendapatan
keluarga tinggi.

Gambaran sebaliknya, keluarga yang kurang berkemampuan menghadapi masalah


untuk membeli peralatan dan bahan pembelajaran, membayar yuran sekolah, tambang bas,
dan membeli cermin mata (BPPDP, 1996). Ada juga keluarga kurang berkemampuan yang
mengharapkan anak-anak untuk bekerja bagi membantu keluarga. Keluarga miskin juga
kurang mampu menyediakan rumah yang selesa untuk seisi keluarga menyebabkan suasana
tidak kondusif untuk menjadi tempat belajar. Masalah kemiskinan, kesempitan hidup, dan
kewangan menyebabkan ibu bapa tidak mampu untuk menampung perbelanjaan sekolah
anak-anak. Pelajar yang miskin didapati bekerja untuk membantu menyara keluarga,
membantu ibu bapa bekerja di sawah, ladang, kebun, laut, atau mengusahakan perniagaan
keluarga; dan membantu kerja rumah serta menjaga adik-adik ketika ibu bapa bekerja.

Isu seterusnya yang dibangkitkan oleh penulis adalah komitmen ibu bapa terhadap
pendidikan anak-anak. Sikap ibu bapa terhadap nilai pendidikan akan menjadi asas
pembentukan identiti individu pelajar. Pendidikan pada peringkat awal yang diperolehi di
rumah serta sokongan dan dorongan keluarga akan menjadi asas kepada kejayaan pelajar
pada peringkat persekolahan seterusnya. Pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi
mempunyai kecenderungan untuk mempunyai aspirasi tinggi, ekspektasi tinggi dan
pencapaian akademik tinggi. Keluarga yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi mampu
mengadakan persekitaran belajar yang sesuai dan baik. Manakala anak-anak daripada
keluarga berpendapatan sederhana berkecenderungan mempunyai aspirasi tinggi, kesan
daripada status ibubapa yang memberi tekanan kepada anakanak untuk berjaya. Aspirasi ibu-
bapa mempengaruhi anak-anak dalam cita-cita dan minat kerjaya. Ibu bapa kanak-kanak SSE
rendah lebih mementingkan peraturan daripada pembelajaran. Peraturan kepada mereka
adalah salah satu elemen yang amat penting dalam kehidupan mereka terutama anak-anak
mereka.. Jelas di sini menunjukkan ibu bapa dari SSE rendah lebih mementingkan survival
anak-anak mereka daripada pendidikan.

3.2 Adakah Isu Itu Menarik?

Kajian yang telah dibuat oleh penyelidik-penyelidik tersebut adalah amat menarik
untuk dibaca dan difahami. Hal ini demikian kerana penyelidik telah menghuraikan setiap
maklumat mengenai kajian tersebut secara terperinci, maka konteks kajian di dalam artikel
tersebut lebih mudah untuk dikaji dan tidak sulit untuk difahami.

Setiap konsep dimulakan dengan definisi yang telah dijelaskan secara ringkas dan diikuti
dengan penerangan lebih mendalam serta disediakan contoh kesan secara tepat. Isu Status
Sosio ekonomi keluarga dan komitmen ibu terhadap pendidkan anak-anak dapat difahami
secara mudah dan ringkas. Isu tersebut juga telah memberi kami ilmu pengetahuan yang baru
dengan penjelasan daripada sumber - sumber yang munasabah.

Selain itu, isu ini menarik kerana isu yang dibahaskan merupakan salah satu isu
semasa. Hal ini kerana masyarakat kini menghadapi saat-saat sukar ketika mendepani wabak
Covid-19 yang mengakibatkan ramai dalam kalangan rakyat kehilangan punca pendapatan
berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Malaysia. Oleh itu,
saya merasakan isu ini akan terus berlanjutan kerana rakyat masih berada dalam proses
pemulihan pasca Covid-19. Sedikit sebanyak ia akan menjejaskan status sosio ekonomi
masyarakat khususnya yang mempunyai anak yang masih belajar.
3.3 Adakah Isu Yang Dibangkitkan Oleh Penulis Relevan Bagi Anda Sebagai Seorang
Penyelidik?

Sebagai seorang penyelidik, saya berpendapat bahawa isu yang dibangkitkan oleh
penulis adalah relevan dengan situasi masyarakat sekarang. Hal ini kerana isu yang
dibangkitkan adalah isu yang kerap kali dibahaskan dan seterusnya tanpa kita sedari isu
tersebut memainkan peranan yang penting dalam membentuk murid ke arah masa depan yang
lebih baik. Masyarakat perlu menyedari kepentingan pendidikan khususnya untuk anak-anak
kerana merekalah yang bakal menjadi generasi yang akan memimpin negara kita.

Para ibu bapa juga perlu mengambil berat terhadap anak-anak tidak kira status sosio
ekonomi rendah mahupun tinggi. Pada masa kini, ramai ibu bapa yang mempunyai taraf
kehidupan yang tinggi tetapi tidak mempunyai masa untuk meluangkan waktu bersama anak-
anak. Sebaliknya, ada ibu bapa yang miskin dan tidak berkemampuan dari segi material tetapi
mampu meluangkan masa dan cakna terhadap pendidikan anak-anak.

Kesimpulannya, isu yang dibangkitkan oleh penulis sedikit sebanyak membuka mata
masyarakat tentang bukan sahaja status sosio ekonomi sahaja yang mempengaruhi
kecemerlangan anak-anak malah komitmen ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam
kemenjadian anak-anak.

3.4 Persetujuan Tentang Kandungan Artikel

Melihat kepada analisa dan kajian yang dijalankan di dalam artikel yang ditulis oleh
Mohamad Johdi Salleh et. al, kandungan- kandungan yang terdapat didalam artikel ini
amatlah dipersetujui yang mana status sosio ekonomi keluarga dan komitmen ibu bapa
terhadap pendidikan anak-anak mempengaruhi kecemerlangan murid dapat dikenal pasti.
Kaedah kajian dijalankan dengan kaedah soal selidik, temu bual, dan penelitian dokumentasi
dilihat amat tepat mengikut kehendak objektif kajian serta menjawab persoalan kajian.

Di akhir artikel, penulis ada memberi cadangan bagi mengatasi isu yang dibangkit.
Saya bersetuju dengan kenyataan penulis yang menyebut bahawa ibu bapa perlu berusaha
menyediakan peluang dan suasana pembelajaran yang selesa untuk anak-anak mereka dalam
usaha membantu meningkatkan prestasi anak-anak dalam pendidikan. Selain itu juga,
peranan ibu bapa dan sekolah perlu dijalin ke arah membentuk sahsiah seseorang pelajar.
Antara program yang boleh dijalankan ialah pusat sumber ibu bapa, school van house call
dan ibu bapa melibatkan diri dengan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Cadangan
terhadap guru juga saya amat setuju yang mana penulis menyatakan guru merupakan input
pengajaran yang amat penting untuk memastikan kejayaan pelajar. Guru seharusnya bijak
menggunakan teknik-teknik serta kaedah-kaedah yang berkesan dalam pengajaran dan
pembelajaran untuk menarik minat dan perhatian pelajar selain mengetahui tentang pengaruh
latar belakang keluarga seseorang pelajar.

3.5 Adakah Artikel Ini Dapat Mengubah Atau Memberi Kesan Kepada Pemikiran
Anda?

Artikel ini dengan jayanya dapat mengubah atau dalam erti kata lain dapat memberi
kesan terhadap pemikiran. Hal ini kerana, melalui kajian artikel yang diulaskan ini, dapat
menyedarkan saya bahawa bukan sahaja pembelajaran di sekolah dapat melahirkan murid
yang cemerlang tetapi terdapat juga faktor-faktor lain yang memainkan peranan di sebalik
tabir.

Melalui artikel ini juga saya dapat mengubah pemikiran saya untuk memahami situasi
yang dihadapi oleh murid-murid terutama di sekolah. Hal ini kerana murid-murid hadir
daripada pelbagai jenis latar belakang yang berbeza. Maka setiap murid mempunyai cara
kehidupan yang lain antara satu sama lain. Sebagai seorang guru, kita perlu mendekati murid
dengan menyelami jiwa mereka agar dapat menarik minat mereka untuk belajar dan berjaya.
Keadaan ini seterusnya akan mengubah cara kita atau pendekatan yang berbeza dalam proses
pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

3.6 Penemuan Baru Yang Diperoleh Daripada Artikel

Antara penemuan baru yang diperoleh daripada artikel ini ialah tiada perbezaan yang
begitu ketara dalam komitmen ibu bapa antara pelajar lemah dan cemerlang dari segi
memberi galakkan kepada pelajar. Hal ini membuktikan kebanyakan ibu bapa tidak kira latar
belakang sosio ekonomi terus memberi galakan kepada anak-anak mereka untuk belajar.

Penemuan lain ialah hHubungan kemiskinan dengan pencapaian dikaitkan juga


dengan kesan negatif terhadap perkembangan minda. Kesan ini termasuk food deprivation
yang mempengaruhi konsentrasi dan pembelajaran harian; kekurangan nutrien atau zat yang
mempengaruhi pembesaran, kekurangan pengawasan oleh ahli dewasa dan penjagaan anak
yang akan menghad pembelajaran; kekurangan stimulasi yang mengakibatkan kekurangan
motivasi untuk belajar dan melambatkan perkembangan kognitif; tingkah laku yang
bermasalah; sikap kendiri yang rendah; buta huruf dan pencapaian rendah; gangguan kepada
kehadiran ke sekolah dan tercicir dari sekolah; dan kekurangan kemasukan ke universiti.

4.0 KESIMPULAN

4.1 Bagaimana Anda Akan Menggunakan Ilmu Pengetahuan Ini Dalam Kajian Yang
Akan Anda Lakukan Pada Masa Akan Datang?

Ilmu pengetahuan ini dapat diaplikasikan dalam kajian saya dengan menggunakan instrumen-
instrumen yang sesuai dalam artikel ini. Isu status sosio ekonomi dalam keluarga ini dapat
dibangkitkan dalam kajian saya pada masa akan dating dengan mengaitkannya dengan
penglibatan murid dalam pdpr. Caranya adalah dengan memberikan fakta yang tepat dan
padat selari dengan dapatan kajian. Item-item yang digunakan oleh penulis dalam instrumen
juga boleh digunapakai kerana sangat berkait dengan kajian yang akan saya lakukan.

4.2 Cadangan Untuk Meningkatkan Lagi Kualiti Kajian Ini.

Terdapat beberapa cadangan untuk meningkatkan lagi kualiti kajian ini. Sebelum
cadangan dikemukakan, ingin dinyatakan bahawa artikel yang bertajuk ‘Status Sosio
Ekonomi dan Komitmen Ibu Bapa Terhadap Pencapaian Pelajar dalam Penilaian Menengah
Rendah, Malaysia’ ini sememangnya memberikan impak yang positif. Melalui kajian yang
dilakukan ini, saya sebagai pembaca amat tertarik untuk terus membaca tanpa rasa jemu
sehingga ke penghujung.

Tidak banyak cadangan yang dapat diusulkan kerana bagi saya artikel ini cukup
bagus. Antara cadangan bagi meningkatkan lagi kualiti artikel ini adalah penulis boleh
meletakkan rangka konseptual di dalam penulisan artikel ini. Hal ini dapat memudahkan para
pembaca mendapat gambaran secara virtual konstruk dan sub-konstruknya. Dalam jawapan
penulis untuk persoalan kajian yang kelima, penulis juga boleh menyatakan jenis-jenis
komitmen ibu bapa dalam golongan sosio ekonomi rendah. Hal ini kerana penulis hanya
menyatakan komitmen bagi ibu bapa daripada golongan sosio ekonomi tinggi sahaja.

You might also like