You are on page 1of 3

Makna Perlembagaan

perlembagaan merupakan satu dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan dan
undang-undang dasar yang dianggap penting bagi pemerintahan dan pentadbiran sesebuah
negara. Perlembagaan berperanan menentukan bidang kuasa pemerintahan, bentuk
sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat.
     Perlembagaan ialah suatu kumpulan undang-undang dasar yang menentukan cara
pemerintahan sesebuah negara itu dijalankan. Perlembagaan menerangkan kuasa-kuasa
yang dipunyai oleh pelbagai anggota negara itu, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang
diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan orang yang diperintah.
     Profesor Dicey (dalam Tun Mohd. Salleh Abas, 1997) berpendapat bahawa undang-
undang perlembagaan mengandungi dua prinsip sahaja, iaitu prinsip kedaulatan parlimen
dan prinsip undang-undang. Sebagai undang-undang utama di sebuah negara,
perlembagaan mengandungi pelbagai peruntukan, antara lain Badan Perundangan iaitu
Parlimen, Badan Pemerintah seperti Jemaah Menteri, mahkamah dan lain-lain.
Perlembagaan juga mengandungi peruntukan-peruntukan lain seperti kenegaraan,
kebebasan asasi, agama, bahasa kebangsaan dan sebagainya.
     Menurut Md. Bohari Ahmad (1997), perlembagaan merupakan satu dokumen yang
mengandungi semua undang-undang asas negara. Perlembagaan wujud daripada kehendak
keadaan semasa dan diasaskan atas kebolehan kerajaan untuk menjamin semua yang
terkandung di dalam perlembagaan itu. Jika undang-undang yang dikanunkan berlandaskan
perlembagaan yang tidak dapat dijalankan atau hak yang dijanjikan di dalamnya tidak dapat
ditunaikan, maka perlembagaan itu tidak bermakna. Oleh itu, perlembagaan mestilah
dipegang teguh dan seimbang dengan hasrat orang ramai. Yang nyata ialah perlembagaan
bukan sahaja merupakan sebuah fikiran atau syor, tetapi merupakan undang-undang agung
negara.

SUMBER RUJUKAN
Mohd Shariefudin Abdullah, Mohamad Kamal Kamaruddin dan Ahmad Sohaimi Lazim (2009).Kenegaraan dan
Ketamadunan. Diterbitkan oleh Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Faridah Jaafar (2007). Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2995. Diterbitkan oleh Universiti malaya.

Wu Min Aun (1981). Pengenalan kepada Sistem Perundangan Malaysia. Diterbitkan oleh Heinemann Educational Book
(Asia) Ltd. Singapura. Hong Kong.
Peranan Perlembagaan

PERLEMBAGAAN DAN UNDANG-UNDANG NEGARA

SETIAP negara yang merdeka dan berdaulat mempunyai perlembagaan masing-masing.


Perlembagaan dan undang-undang wujud dalam masyarakat bertujuan menjamin
kelangsungan sesebuah negara, menjamin kestabilannya, menyelesaikan pelbagai masalah
masyarakat, menegakkan keadilan serta memberi panduan dan kuasa kepada pemerintah.
Justeru, perlembagaan menjadi asas penting untuk menjamin kesinambungan pentadbiran
dan kestabilan politik serta menjamin taat setia rakyat sesebuah negara itu.

Selain itu, perlembagaan juga menjamin hak dan kebebasan awam mengikut batas-batas
yang ditentukan perlembagaan. Ini bermakna, perlembagaan menggariskan hak, kuasa,
tanggungjawab dan tatacara yang dapat memandu hubungan antara satu autoriti dengan
satu autoriti yang lain supaya ia dapat menjamin pentadbiran yang cekap, jujur, ikhlas, telus
dan adil.

Apakah maksud atau takrif perlembagaan itu? Pakar-pakar perlembagaan menyebut


perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi bagi kewujudan sebuah negara.
Biasanya undang-undang tertinggi inilah yang menjadi punca bagi kesemua undang-undang
lain. Mahkamah pula bertindak sebagai penjaga perlembagaan dan mentafsir peruntukan-
peruntukan dalam perlembagaan dengan jelas dan muktamad.

Di negara kita, Perlembagaan Persekutuan menjadi undang-undang tertinggi yang menjadi


sumber dan punca kepada semua undang- undang. Ketinggian Perlembagaan Persekutuan
boleh difahami dengan jelas di bawah Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan, manakala
Perkara 75 pula menyebut mana-mana undang-undang negeri yang bertentangan dengan
Perlembagaan Persekutuan adalah terbatal, setakat mana ia berlawanan dengan undang-
undang Persekutuan itu.

Parlimen Malaysia merupakan badan perundangan tertinggi yang menggubal undang-


undang seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan, sama ada Kerajaan Pusat atau pun Kerajaan Negeri akan mengendalikan
pemerintahan dan pentadbiran mengikut lunas-lunas yang telah digariskan di dalam
Perlembagaan.

Konsep pembahagian kuasa selari dengan kedudukan Malaysia sebagai Negara Persekutuan
yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen. Dalam sistem negara (Kerajaan)
Persekutuan, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri berkongsi kuasa pemerintahan dan
perundangan. Selain Malaysia, negara lain yang turut mengamalkan sistem Kerajaan
Persekutuan ialah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, India dan Brazil.

Seperti disebut, Perlembagaan Persekutuan menjadi sumber dan punca kepada semua
undang-undang. Ada banyak undang-undang yang dikuatkuasakan di negara kita dibentuk
melalui Parlimen.

Undang-undang yang terbit dari parlimen ini dikenali sebagai akta, manakala undang-
undang yang terbit dari Dewan Undangan Negeri (DUN) dikenali sebagai enakmen.

Walaupun DUN boleh mengadakan undang-undang tetapi ia masih tertakluk kepada Perkara
75 yang menetapkan undang-undang negeri tidak boleh bertentangan dengan
Perlembagaan Persekutuan.

Apakah pula makna undang-undang? Terdapat banyak takrifan undang-undang yang


dikemukakan oleh tokoh falsafah, sosiologis dan tokoh undang-undang sendiri. Aquinas
menganggap undang-undang sebagai 'ordinan akal' mengenai apa yang diisytiharkan baik
oleh ketua komuniti.

John Austin pula melihat undang-undang sebagai perintah yang diberi sama ada secara
langsung atau tidak oleh seseorang individu atau sesebuah badan yang berdaulat kepada
masyarakat atau komuniti di mana kuasa kedaulatan undang-undang (rule of law) tersebut
adalah kuasa tertinggi. Misalnya, di negara kita badan berdaulat yang menggubal dan
mengeluarkan undang-undang ialah Parlimen.

Lady Wooton, pakar sosiologi AS menyatakan undang-undang perlu dihadkan kepada


perlakuan dan tindakan yang memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan masyarakat
dan negara. Mana-mana perlakuan yang tidak ada hubungan dengan soal kesejahteraan
negara tetapi dilihat tidak selari dengan tatasusila dan nilai peradaban masyarakat perlu
diselesaikan dengan 'sanksi' (sanction) masyarakat.

Satu perkara yang harus difahami ialah, perlembagaan dan undang-undang tidak
sepatutnya dilihat dari aspek takrifan yang literal kepada peruntukan-peruntukannya
semata- mata, tetapi ia juga ia mengandungi dan mendukung falsafah tertentu.

Falsafah perlembagaan bagi negara yang mengamalkan ideologi komunis sudah tentu
berbeza falsafah dengan negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti yang
diamalkan di negara kita.

Di negara kita perlembagaan mengiktiraf dan menjamin hak asasi manusia. Ini bermakna
perlembagaan negara mendukung prinsip hak kebebasan seperti yang terkandung dalam
Bahagian 2: Kebebasan Asasi (Perkara 5-13) Perlembagaan Persekutuan.

Hak-hak Asasi tersebut selari dengan Perisytiharan Hak-hak Asasi Manusia Sejagat
(HAM)1948, iaitu dalam Artikel 19, 20 dan 21 (HAM) yang menekankan setiap individu
memiliki hak kepada pendapat dan penyuaraan, kebebasan berhimpun dan berpersatuan,
hak untuk mengambil bahagian dalam negara secara langsung atau wakil yang dipilih secara
bebas serta hak terhadap khidmat awam dan negara.

Kesimpulan, perlembagaan merupakan undang-undang utama (induk) bagi sesebuah


negara. Ketinggian dan keagungan (supremacy of the constitution) melambangkan ia
sebuah dokumen utama yang menjadi 'yard stick' segala tindakan kerajaan dan rakyat
dalam sesebuah negara. Ia secara langsung menjadi instrumen yang melahirkan kuasa dan
institusi-institusi di dalam sesuatu masyarakat atau negara.
PENULIS ialah Penganalisis Media   di Bahagian Penerbitan Dasar Negara,
Jabatan Penerangan.
SEJAK 14 NOVEMBER, 2008

You might also like