You are on page 1of 4

SEJARAH PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA

                 
Perlembagaan Malayan Union (1946)

Setelah tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 , Parti Komunis Malaya(PKM) telah
mengisi kekosongan politik di Tanah Melayu selama 14 hari. Kemudian, tentera British telah
menamatkan keganasan tersebut dan mewujudkan Pentadbiran Tentera British (PTB) pada
September 1945. Selepas itu, kerajaan Malayan Union telah diperkenalkan pada 1 April 1946.
Malayan Union telah mendapat tentangan hebat daripada orang-orang Melayu kerana tujuan, cara
penubuhan dan ciri-cirinya. Antara tujuan penubuhan Malayan Union adalah untuk mengurangkan
dan mengawal kuasa politik orang Melayu kerana bekerjasama dengan pemerintahan Jepun. Cara
penubuhannya pula secara autokratik tanpa memberi peluang kepada raja-raja Melayu untuk
membincangkannya. Perlembagaan Malayan Union telah diselenggarakan oleh pihak British Colonial
Office. Malayan Union diselenggarakan di England yang diusulkan oleh kerajaan 'Labour' yang
memerintah pada masa itu.

Menurut Shamsul (2008), Perlembagaan Malayan Union 1946 mempunyai beberapa ciri.
Pertama, kesemua 9 buah negeri Melayu serta Melaka dan Pulau Pinang disatukan sebagai sebuah
tanah jajahan Inggeris yang diketuai oleh seorang Gabenor British dengan bantuan Majlis Mesyuarat
Persekutuan dan Majlis Perundangan. Kedua, Singapura dijadikan tanah jajahan berasingan di bawah
kuasa seorang Gabenor British. Ketiga, Semua bidang kuasa raja-raja Melayu dalam kerajaan
Malayan Union termasuk hak menentukan dasar luar negeri diambil alih oleh Gabenor . Keempat,
Raja-raja Melayu walaupun diberi hak terhadap agama dan adat resam Melayu tetapi tidak
mempunyai kuasa ke atasnya kerana baginda hanya bertaraf ahli biasa dalam Majlis Mesyuarat yang
dipengerusikan oleh Gabenor Malayan Union. Kelima, Perlembagaan Malayan Union juga
mengiktiraf taraf kerakyatan pendatang asing melalui lunas ‘Jus Soli’ mengikut kelahiran dan juga
kelonggaran diberi kepada kaum pendatang yang memohon menjadi rakyat Malayan Union.
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu(1948)

Melihatkan kesungguhan orang Melayu dalam menentang habis-habisan Kerajaan British,


akhirnya pada Julai 1946, British mula bertolak ansur melalui penubuhan satu jawatankuasa kerja
yang terdiri dari wakil-wakil UMNO, wakil raja-raja negeri Melayu dan wakil kerajaan British.
Tujuan penubuhan jawatankuasa tersebut adalah untuk menggubal satu perlembagaan yang
baharu dan ianya telah dipersetujui melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian
ini telah dimeterai di King House pada 21 Januari 1948.
Mengikut perjanjian ini, negeri-negeri Melayu Pulau Pinang dan Melaka menjadi Tanah
Perlindungan British manakala Singapura tetap menjadi tanah jajahan mereka. Kedaulatan raja-raja
Melayu juga dipulihkan. Manakala Kuasa Tertinggi British adalah di bawah Pesuruhjaya Tinggi yang
dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Dewan Perundangan.
Melalui perjanjian ini syarat-syarat kewarganegaraan diperketatkan dan hak istimewa orang
Melayu dipelihara. Akibatnya wujud ketidakpuashatian di antara kaum yang menyebabkan satu
perjumpaan bagi membincangkan masalah tersebut telah diadakan di rumah Dato’ Onn dengan
dihadiri Tan Cheng Lock, Thivai Singam (mewakili MIC), Malcolm McDonald, Ronald Braddel dan
pemimpin-pemimpin lain. Perjumpaan ini bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang dikenali
sebagai Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum pada Januari 1948. Kebanyakan cadangan mereka
dimasukkan ke dalam usul-usul perundangan yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan.
Melihatkan hubungan baik ini, British telah memperkenalkan Sistem Ahli iaitu dasar kepada
berkerajaan sendiri. Melalui sistem ini, British melantik beberapa orang wakil warganegara
Persekutuan Tanah Melayu Menjadi ahli dalam Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan yang diberi taraf
menteri. Hal ini untuk memberi latihan kepada pemimpin tempatan bagi mendapatkan pengalaman
memerintah secara demokrasi.

Perlembagaan Malaysia(1963)

Dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan, satu suruhanjaya telah ditubuhkan dengan
tujuan untuk menggubal satu perlembagaan bagi Tanah Melayu. Suruhanjaya ini dinamakan sebagai
Suruhanjaya Reid sempena nama pengerusinya iaitu Lord William Reid. Suruhanjaya ini dianggotai
oleh pakar-pakar perlembagaan dari negara-negara Komanwel. Hasilnya, beberapa pendapat,
pandangan dan memorandum telah diterima daripada semua lapisan rakyat sehingga terbentuknya
sebuah perlembagaan Tanah Melayu yang merdeka.
Syor-syor dalam suruhanjaya ini menyentuh lima perkara iaitu kedudukan Sultan, parlimen,
bahasa, agama dan hak orang Melayu. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka akan
diketuai oleh seorang Sultan. Di samping itu, sistem kerajaan bersekutu yang sedia ada akan
diteruskan dengan adanya kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Raja-Raja Melayu pula akan terus
kekal sebagai ketua bagi negeri masing-masing manakala Melaka dan Pulau Pinang akan terus
bergabung di dalam Persekutuan dan diketuai oleh seorang Yang Di Pertua (Gabenor). Sistem
pentadbiran kerajaan adalah bercorak demokrasi dan Ahli Parlimen akan dipilih melalui pilihanraya
umum untuk mewakili rakyat serta mengawal pentadbiran kerajaan.
Selain daripada itu, Suruhanjaya Reid mencadangkan supaya bahasa Cina dan bahasa Tamil
digunakan dalam Parlimen dan Dewan Negeri. Cadangan ini telah ditolak, tetapi membenarkan
orang Cina dan orang India menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengantar di
sekolah-sekolah rendah manakala agama Islam tetap diterima sebagai agama rasmi Persekutuan.
Terdapat juga beberapa cadangan yang dipinda antaranya mengenai hak istimewa orang
Melayu di mana hak keistimewaan ini mesti dipertimbangkan semula dari semasa ke semasa atas
arahan Yang Di Pertuan Agong. Persetujuan menerima pindaan tersebut membuktikan bahawa
masyarakat di Tanah Melayu mempunyai semangat bertolak ansur yang kuat dan utuh di kalangan
rakyat pelbagai kaum.
Rentetan daripada itu, pada Januari 1956 Tunku Abdul Rahman telah mengetuai satu
rombongan ke London untuk berunding dengan Kerajaan British bagi Penggubalan Perlembagaan
Tanah Melayu Merdeka. Rundingan ini dipengerusikan oleh Lord Lennox Boyd, Setiausaha Tanah
Jajahan British dan satu persetujuan telah dicapai mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.
Namun orang Melayu terpaksa berkorban memberi taraf kewarganegaraan secara longgar kepada
bukan Melayu. Hasil daripada perundingan tersebut, pada 5 Ogos 1957 wakil kerajaan British dan
Sultan-sultan menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang mengisytiharkan
Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Di mana Tanah Melayu telah menjadi sebuah
negara yang berdaulat, mengamalkan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan
yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri yang pertama. Upacara
sambutannya telah diadakan di Stadium Merdeka dengan laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali.
Selepas beberapa tahun mencapai kemerdekaan, pada 27 Mei 1961 Tunku Abdul Rahman
telah menggagaskan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu,
Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Ia bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis,
mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepat proses
kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah. Singapura menyambut baik idea
tersebut manakala Brunei enggan menyertainya. Manakala Sarawak dan Sabah yang mulanya
menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan
sendiri.
Kesannya, pada 17 Januari 1962 satu suruhanjaya dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold
telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri tersebut. Suruhanjaya itu
dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell
dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari
Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie manakala Mr. H. Harris bertindak selaku
Setiausaha.

Pada tahun 1962, pilihanraya telah diadakan buat pertama kalinya di Brunei dan Sabah.
Walaubagaimanapun, tentangan yang berterusan daripada Filipina dan Indonesia telah
menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada tahun 1963
yang turut melaporkan bahawa pandangan awam di mana rata-rata menyokong penubuhan
Malaysia. Selepas melalui segala cabaran akhirnya Malaysia secara rasmi telah dibentuk pada 16
September 1963 di mana terdiri daripada Persekutuan Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura,
manakala Brunei pula telah menolak. Pengisytiharan tersebut dibuat di Stadium Merdeka, Kuala
Lumpur. Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di
Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah.
Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negeri yang baru di dalam
Persekutuan Malaysia iaitu En. Lee Kuan Yew, En. Donald Stephens dan En. Stephen Kalong Ningkan.
Namun pada tahun 1965, Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia dan membentuk sebuah
kerajaan sendiri yang merdeka.
Perlembagaan Persekutuan mempunyai 183 Perkara yang dibahagikan kepada 15 Bahagian.
Perlembagaan Persekutuan mempunyai peruntukan-peruntukan mengenai perkara seperti
kebebasan asasi rakyat, kewarganegaraan, badan perundangan, badan pemerintah, badan
kehakiman, kewangan, pembahagian kuasa antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan-kerajaan
negeri, kedudukan istimewa orang Melayu, tanah, pembangunan negara, perkhidmatan awam dan
pilihan raya.
\

You might also like